KUALA NERUS, 25 Sept: Fenomena pencetus kesedaran rakyat yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Mesir, Tunisia dan sebagainya lahir di kalangan anak-anak muda.
Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh keyakinan tinggi perubahan politik boleh berlaku di kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, kebangkitan luar biasa tersebut tercetus dengan kewujudan laman-laman web social, twitter, facebook dan blog.
“Kesedaran rakyat dimulakan dengan anak-anak muda. Ini yang mencetuskan perubahan. Perkembangan yang berlaku hari ini, semua mengatakan tentang kebangkitan yang luar biasa anak muda.
“Dan yang uniknya, yang istimewanya kebangkitan ini anak-anak muda lelaki dan wanita terlibat. Semua orang terlibat, orang dewasa, orang tua dan muslimat terlibat.
“Kita melihat melalui rangkaian laman web, twitter, blog dan facebook hingga timbul kesedaran baru di kalangan anak-anak muda menuntut keadilan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Rakyat Sempena Siri Jelajah Terengganu di Pekan Batu Enam, Kuala Nerus, semalam.
Menurutnya, dengan kebangkitan serta kesedaran di kalangan anak muda Umno dan Barisan Nasional tidak boleh lagi menipu rakyat.
Katanya, pelbagai khazanah negara ‘dirompak’ oleh pemimpin Negara dengan memperbodohkan orang Melayu.
“Di Terengganu ini kita hendak anak-anak muda yang berfikir. Mana boleh tanah kita dirampas, saham kita diambil, balak kita hilang, keluarga kita hidup dalam miskin, tidak ada peluang pekerjaan, diperbodohkan dan tidak boleh tegur pemimpin.
“TV3 macam TV Mesir, Utusan Malaysia macam Utusan Mesir, perbodohkan orang Melayu. Ini anak muda kena bangkit,” tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Malaysia menyifatkan perubahan dan kesedaran tersebut boleh berlaku di seluruh negara dalam pilihan raya akan datang.
Ini kerana, katanya rakyat Malaysia terutama orang Melayu bukan lagi bodoh untuk mudah ditipu oleh pemimpin Umno-BN.
Menurutnya, perubahan boleh berlaku di Terengganu bahkan di Melaka yang mempunyai sejarah tersendiri.
“Kita boleh buat perubahan di Terengganu ini, termasuk di Melaka pun saya yakin kita boleh buat perubahan berdasarkan sambutan rakyat kepada Pakatan Rakyat, kerana negeri yang mempunyai sejarah.
“Saya minta kawan-kawan fikirkan. Jadi saya haraplah PAS, KeADILan (PKR) dan DAP diberi ruang dan jika kita tengok pada laporan media kerajaan, beratlah,” ujarnya dihadapan 5000 hadirin.
Datuk Seri Anwar mendakwa Umno akan lingkup jika rakyat tahu keadaan sebenar cara pemerintahan di negeri Pakatan Rakyat.
Justeru itu, katanya Umno-BN sanggup melakukan pelbagai fitnah, pendustaan serta mengaibkan pemimpin Pakatan Rakyat bagi menimbulkan kecurigaan.
Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Pengerusi PKR Terengganu, Azam Ismail dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.
Muhamad Faizal | KELANA JAYA, 25 Sept: Seramai 120 orang warga emas di Dun Sri Setia yang berdaftar telah diraikan dalam program 'Jom Shopping' di Pasar raya besar Giant di sini semalam.
Program ini adalah salah satu agenda kerajaan negeri Selangor membalas jasa golongan warga emas yang terkandung Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Skim Mesra Usia Emas.
Melalui program jom shopping itu, setiap dari mereka diperuntukkan wang belanja RM100 oleh kerajaan negeri untuk membeli barang keperluan mereka.
Dalam Adun Seri Setia Nik Nazmi menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa perihatin dengan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.
"Ini ada salah satu usaha kerajaan dalam menghargai apa yang telah dilakukan oleh warga emas selama ini dan ini juga salah satu cara kekayaan negeri ini dapat dikongsi bersama dengan rakyat.
"Kita tahu Negeri Selangor adalah sebuah negeri yang kaya sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi tetap kerajaan terdahulu gagal membawa rakyat untuk bersama-sama menikmati kekayaan tersebut malah rakyat terus terpinggir dan dibebani dengan masalah ekonomi," jelasnya.
Tambahnya lagi program Jom Shopping ini melibatkan seluruh warga emas di negeri Selangor dan kepada mereka yang ingin menyertainya perlu mendaftar di setiap Pusat Khidmat Masyarakat.
"Setiap warga emas yang ingin menyerta program tersebut perlu mendaftarkan diri di Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dun.
"Dari senarai yang berdaftar itulah kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukkan untuk program ini, selain itu juga warga emas yang mendaftar akan mengikuti Skim Mesra Usia Emas yang mana keluarga mereka akan mendapat RM2500 jika berlaku kematian kepada warga emas tersebut," sambungnya lagi.
Sementara itu seorang warga emas, Ramlah Binti Mohit 70 tahun terharu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan merasakan ini adalah satu usaha yang baik telah ditunjukkan dalam meraikan golongan yang lama.
"Makcik betul-betul terharu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini, walaupun melihat jumlahnya hanya seratus ringgit ia dapat meringgankan beban makcik dalam membeli barang keperluan.
"Apa yang dapat makcik lakukan hanya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat kerana sanggup berkongsi dengan rakyat hasil kekayaan negeri ini kalau dulu kita tidak dapat menikmati tetapi sekarang kita telah merasa begitu juga dengan bekalan air percuma," jelasnya.
Sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM465 juta bagi menjayakan program MES dan sebanyak RM49 juta dikhususkan untuk Skim Mesra Usia Emas.
Usaha murni ini adalah keperihatinan kerajaan mengembalikan kembali hasil kekayaan negeri ini kepada rakyatnya untuk dinikmati bersama.
Abdul Aziz Mustafa | KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Kenyataan dan pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak septutnya dikeluarkan seorang kakitangan kerajaan.
"Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?
"Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.
Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?
"Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.
"Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno.
Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan.
"Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?
"Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang," katanya.
Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah.
Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.
"Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).
"Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya.
http://pas-miri.blogspot.com/ | PAS Sarawak sangat simpati dengan nasib dan masalah yang dihadapi oleh bekas prajurit (Sarawak Ranger Veteran Association) seperti yang dilapor oleh akhbar ‘Borneo Post’.
Sepatutnya pihak kerajaan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh bekas-bekas renjar Sarawak yang bertugas semasa Darurat di Tanah Melayu dari 1948-1960. Mereka membantu askar tanah Melayu dari ancaman pengganas komunis dan memastikan negara ini selamat daripada peperangan.
Mereka sudah lama memohon agar diberi tanah lot dan juga kenaikan elaun bulanan yang berpatutan dengan keadaan hidup semasa bukan hanya diberi RM100 sebulan. Sepatutnya elaun mereka dinaikkan sekurang-kurangnya setanding dengan indeks kemiskinan nasional sebanyak RM700.
Pihak kerajaan kena bertindak dan mengambil perhatian dengan segera akan nasib yang menimpa bekas prajurit dan veteran ranjer ini agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini dari ancaman komunis. Jangan hanya pihak komunis yang menyerah diri saja dapat pengampunan dan diberi kemudahan sedang pejuang kemerdekaan dipinggir begitu saja, adakah mungkin disebabkan mereka berlainan fahaman politik dengan parti pemerintah? Adalah tidak adil bagi bekas prajurit ini yang bermatian berperang menentang musuh negara sedangkan musuh yang menyerah diri pula diberi keistimewaan.
Jangan hanya waktu dekat pilihanraya baru sibuk nak minta para prajurit menyokong mereka (BN) sedangkan selama ini nasib mereka terabai begitu saja tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya. Kalau pun diberi elaun bulanan sebanyak RM100 ini bukan sesuai lagi untuk hidup pada masa sekarang dimana kos kehidupan semakin meningkat dan bekas prajurit pun bukan minta banyak dan sudah tentu mereka pun bukan boleh hidup lama lagi untuk menikmati erti kemerdekaan yang mereka perjuangkan selama ini. Kita minta pihak kerajaan jangan biarkan bekas veteran prajurit dan bekas polis yang pernah berkhidmat untuk negara dipinggir begitu saja tanpa sebarang bantuan dan perhatian.
Ingat lah mereka ini juga yang patuh dan taat setia menurut perintah semasa berkhidmat dengan pemerintah tetapi apabila mereka sudah tidak berkhidmat dengan pemerintah mereka langsung tidak dihargai terutama sekali golongan atau anggota bawahan. Mungkin hanya segelintir saja yang diberi keistimewaan kerana mempunyai kepentingan tertentu.
Ramai lagi anggota-anggota bawahan yang menerima nasib yang malang cuma tidak dilaporkan mungkin disebabkan mereka takut atau tidak tahu ke mana hendak mengadu. Kita minta pihak kerajaan bersikap adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Jofri Jaraiee PAS Miri
Ahmad Danial | MELAKA, 24 Sept: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) berkata kerajaan negeri mesti membanteras pusat perjudian tidak kira siapa yang menjadi tuannya. "Jangan hanya mengejar bilis sahaja. "Beranikah Ketua Menteri mengambil tindakan terhadap jerung judi haram?" soalnya dalam blognya. Adly berkata, judi haram di Melaka bukan perkara baru, antara pusat judi haram terbesar terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru, yang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjadi wakil rakyatnya. "Berselindung di sebalik ‘Kelab Eksklusif’, berapa puluh tahun kelab itu beroperasi ?" ujar Adly. Menurutnya, isu judi haram di Melaka memang sudah lama dibincangkan tetapi tiada penyelesaian dan tindakan tegas diambil sehingga ianya berakar umbi dan sukar dibanteras. Katanya, semua itu membuktikan kegagalan kerajaan BN Melaka mentadbir negeri ini. Adly berkata dalam sidang Dun yang lalu, wakil DAP sudah membangkitkan isu itu sehingga keluar dari mulut wakil kerajaan Melaka bahawa ‘judi adalah budaya Cina’. "Akhirnya isu judi ini tidak dibahaskan, tapi wakil rakyat DAP yang dihalau keluar," tambah Adly yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah. Dua hari lepas kerajaan Melaka, kononnya melancarkan perang habis-habisan terhadap premis dan aktiviti judi haram. "Macam kata pepatah Melayu, ‘sudah terantuk baru tengadah, sudah terbolos baru melantai’, judi haram sebenarnya banyak melibatkan remaja Melayu, terutamanya pelajar sekolah. "Judi haram sebenarnya sudah sampai kekampung-kampung, melalui pusat siber, contohnya di Kampung Gangsa sahaja ada dua pusat judi haram," tegas Adly. Menurut Adly, persoalannya sekarang ialah beranikah kerajaan negeri Melaka membanteras jerung judi haram yang sudah bertapak di Melaka lebih 20 tahun lalu. “Jangan sampai orang gelar Melaka sebagai ‘Batam Malaysia’, kata Adly.
Majlis Aidilfitri Perantau, Ilmuan di Bangi 24 Sept Harakahdaily | BANGI, 24 Sept: Dua buah badan bukan kerajaan, Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) dan Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) akan mengadakan Majlis Ramah mesra Aidilfitri pada Sabtu, 24 September mulai jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Ilmuwan (SRITI) di belakang Pejabat Daerah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi.
Untuk memeriahkan sambutan sempena Aidilfitri kali ini, Perantau menyediakan masakan makanan tradisi kegemaran Terengganu seperti nasi dagang, keropok lekor dan lain-lain makanan untuk menjadi hidangan pada majlis tersebut.
Menurut Setiausaha kerja Perantau/Ilmuan, Ustaz Zulhilmi Abd Rahman at-Takiri, kedua-dua NGO ini mengambil inisiatif bergabung mengadakan program pertemuan Aidilfitri kali ini pada 24 September sebagai penerusan kepada kerjasama mereka mengadakan Wacana Merdeka di Masjid Pengadang baru, Kuala Terengganu sempena sambutan Kemerdekaan pada 16 September lepas.
Beliau menjemput dan mengalu-alukan masyarakat sekitar Lembah Kelang terutama ahli-ahli Ilmuan dan Perantau hadir memeriahkan lagi majlis Aidilfitri pada kali ini.
Nasrudin bin Hassan | 1. Tidak ada petir, tidak ada guruh, tiba - tiba isu perlaksanaan hukum hudud timbul kembali. Pada pandangan saya, apabila timbul isu perlaksanaan hukum hudud dan ia dimulakan oleh pemimpin dan mantan pemimpin UMNO dan BN maka ia menandakan masuknya musim pilihanraya.
2. Isu perlaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihanraya. Isu ini tidak pernah muncul pada musim panas mahupun musim sejuk. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim - musim lain seperti musim haji, musim perayaan, musim cuti hatta musim durian sekalipun. Isu hudud hanya muncul dengan segala ribut polemiknya apabila tiba musim pilihanraya.
3. Hudud adalah sebahagian dari syariat Allah swt yang telah dinaskan di dalam al Quranul Karim. Tuntutan melaksanakannya adalah kekal sejak ia diwartakan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta langit, bumi, manusia dan seluruh alam cakrawala ini. Justeru itu, ia bukan satu isu ! sebaliknya ia adalah ilmu dan syariat yang mesti dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati oleh ummat Islam.
4. Saya kagum dan menyokong kenyataan YAB Ayahanda Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokong. Sebetulnya adalah satu keistiqamahan yang dituntut kepada semua pemimpin dan anggota Jamaah Islam. Maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihanraya telah tiba.
5. Perbahasan mengenai hudud tidak selayaknya di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan, tetapi ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan feqh yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun.
6. Perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti Universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, dialog atau halaqah - halaqah tertentu yang dilakukan secara berterusan.
7. Saya menyarankan kepada semua termasuk non muslim dan khasnya kepada pemimpin - pemimpin Umno dan BN yang mahu memahami dan mendalami hukum hudud dan perlaksanaannya supaya daftar dan menyertai kelas pengajian di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad [KUIZM]. Inilah antara tempat yang sesuai untuk belajar, berdiskusi dan berwacana kearah memahami hukum hudud yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'
8. Berbahas dan berpolemik di dada media, pula mendedahkan isu ini kepada komentar orang ramai yang bercakap tidak berasaskan ilmu adalah suatu yang tidak selayaknya berlaku justeru ia akan mendedahkan kesucian hukum Allah swt ini kepada pencemaran fikrah [pemikiran] dan aqidah [keyakinan].
9. Musim pilihanraya hampir serupa dengan musim tengkujuh dalam beberapa aspek terutama ribut yang menghuru - harakan dan petir yang gegak gempita. Kini Umno dan Agensinya sedang porak peranda ekoran siri pendedahan yang konsisten Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi memenangkan Umno dan BN melalui cara yang tidak demokratik.
10. Selesaikan dulu kepincangan politik dan ketempangan demokrasi negara kerana inilah isu sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat keseluruhannya mendepani pilihanraya umum yang akan datang.
Hak mereka mengundi tercalar dengan wujudnya ic klon dan nama pemilih yang bertindih.
Kedaulatan negara terganggu dengan wujudnya pemegang ic berkod 71 tanpa dikenali dan diketahui asal usulnya dengan jumlah melebih 170 ribu.
Demokrasi tercemar apabila peraturan yang digubal tidak konsisten dan tidak saksama.
Integriti pengendali sistem pilihanraya [SPR] negara yang tercalar kerana sikap yang bias dan tidak telus. ------------------------------------------------------------------------- Nasrudin bin Hassan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan