Ahad, 4 September 2011

BILA JARANG ATAU TAK MENADAH KITAB...MALANG LAGI KALAU BENCI MAJLIS ILMU...JAUHKAN DIRI DENGAN SYARIAT ALLAH...LAGI BERAT..KEMBALILAH PADA ISLAM...

Laungan takbir raya 3 Syawal di rumah Ketua Umno
Aslani M

JELI, 4 Sept: Umat Islam di negara ini sedia maklum laungan takbir Hari Raya Aidilfitri hanya sunat dikumandangkan sebelum solat sunat Aidilfitri diadakan.

Berlainan dengan dengan Hari Raya Aidiladha di mana takbir raya boleh dialunkan sehingga tiga hari iaitu hari-hari tasyrid.

Namun lain pula yang berlaku di rumah terbuka Ketua Umno Jeli, Datuk Mustapa Mohamad pada 3 Syawal lalu apabila laungan takbir dikumandangkan pada hari raya ketiga.

Seorang penduduk mendakwa pemimpin Umno terbabit bersama anggota jawatankuasanya bertakbir beramai-ramai pada program hari terbuka yang diadakan di Darul Falah.

“Saya pun hairan mengapa pula bertakbir raya pada 3 Syawal, sedangkan setahu saya takbir Hari Raya Aidilfitri hanya disunatkan sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Namun lain pula yang berlaku di kediaman Datuk Mustapa apabila mereka bertakbir Hari Raya pada 3 Syawal. Sekali ingat hendak gelak juga,” katanya yang enggan dikenali.

Seorang lagi pula mendakwa orang ramai yang hadir tidak mengikut pemimpin Umno bertakbir, sebaliknya asyik melihat sahaja gelagat mereka.

Seorang guru agama dari Pondok Sungai Durian berkata, umat Islam hanya disunatkan bertakbir Hari Raya Aidilfitri sebelum solat hari raya dan selepas itu tidak lagi disunatkan.

“Hendak bertakbir pada waktu lain tidak menjadi kesalahan tetapi masanya sudah habis kerana takbir pada Hari Raya Aidilfitri disunatkan sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Kalau hendak buat juga tidak ada lagi pahala sunat seperti diajar agama Islam. Amalan bertakbir itu berlaku di luar waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, nampak sangat pemimpin Umno tidak mengambil berat solat agama apabila melakukan perkara mengikut akal semata-mata.

Katanya, budak sekolah rendah pun tahu disunatkan bertakbir pada Hari Raya Puasa sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Mungkin juga mereka bertukar dengan bertakbir Hari Raya Haji yang disunatkan sehingga tiga hari,” ujarnya.

Sebelum ini bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dikatakan pernah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat selepas solat Asar.


PAS rakam takziah
Nazri Abdullah

SERDANG, 4 Sept: Lebih 1,000 orang hadir di kediaman keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor di Taman Serdang Raya di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada jurukamera BernamaTV itu yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Mereka terdiri dari anggota keluarga terdekat, jiran-jiran, pemimpin masyarakat, serta sahabat handai yang mengenali Allahyarham khususnya di kalangan warga media.

Turut berkongsi rasa kehilangan Allahyarham termasuk pimpinan PAS Serdang yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

"Bagi pihak PAS Serdang, kami melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham Noramfaizul.

"Kami doakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan kepada anggota keluarga diharap bersabar dengan ujian ini," kata Yang Dipertua PAS Serdang, Shafie Ngah.

Selain beliau, turut serta menziarah jenazah di sini adalah Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Sementara itu jenazah Noramfaizul yang dibawa menaiki van jenazah dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, tiba dikediaman keluarganya di sini kira-kira jam 12.20 tengahari tadi bagi diberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarhan kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Al-Islah Serdang Jaya sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa pulang menaiki pesawat C-130 TUDM tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jam 10 pagi tadi dan dibawa ke Masjid TUDM untuk disolatkan.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.


Umat Islam kehilangan ulama tersohor
M Faqih

Umat Islam di negara ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Tuan Guru Datuk Hashim Abu Bakar, 88, kembali ke rahmatullah pada petang 1 Syawal lalu.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Sim terlantar sakit hampir dua tahun lalu merupakan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan mudir Pondok Pasir Tumbuh.

Lebih 2,000 warga pondok dan penduduk tempatan menunaikan solat ke atas jenazahnya yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut berangkat menunaikan solat di Masjid Pondok Pasir Tumbuh kira-kira jam 6 petang iaitu Sultan dan Tengku Mahkota Kelantan.

Jenazahnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran pondok terbabit.

Setiausaha PPPB, Adam Abdullah berkata, Allahyarham disifatkan sebagai generasi terakhir ulama tersohor dari Malaysia yang pernah mendalami pelbagai kitab di Makkah.

“Sekarang boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ulama yang pernah mendalami ilmu agama di Makkah secara halaqat terus dengan ulama-ulama besar di Masjidilharam.

“Pada pandangan saya boleh dikatakan tiada lagi ulama besar seperti Allahyarham Ayah Sim di negara kita yang pernah menekuni pelbagai ilmu agama di Makkah,” katanya.

Menurutnya ulama yang belajar secara berkitab di Makkah berguru dengan ulama-ulama besar dan mengetahui lebih banyak cabang ilmu.

Setiausaha Pondok Pasir Tumbuh, Sairozi Atiqullah berkata, warga pondok benar-benar merasakan suatu kehilangan besar setelah kembalinya Ayah Sim menghadap Ilahi.

Katanya, Allahyarham satu-satunya pengasas Pondok Pasir Tumbuh yang ada sebelum ini selepas kematian Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar.

“Ayah Sim mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama dua orang iparnya. Dan selepas kedua-duanya meninggal beliau menggantikan tempat sebagai penguasa I atau mudir sehingga sekarang.

”Allahyarham juga dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad sejak 1995,” ujarnya.

Tuan Guru Hashim dilahirkan di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah pada 1923. Mendapat pendidikan di Darul Ulum ad-Diniah, Makkah (1936 – 1939).

Pernah juga belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdullah Merbuk, Sungai Petani; Pondok al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak; Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra dan Pondok Bunut Payong Kota Bharu.

Ayah Sim juga pernah dianugerah Tokoh Hijraturrasul 1428 Hijriah peringkat negeri Kelantan dan mendapat anugerah Datuk Paduka daripada Sultan Kelantan pada 2010.

Beliau meninggalkan lima anak. Isterinya meninggal beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kehilangan Ayah Sin begitu dirasai rakyat dan kerajaan negeri Kelantan kerana kehebatan ilmu yang ada padanya.

“Sepanjang hayatnya Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai bidang berkaitan permasalahan agama,” ujarnya.


Abim gesa terus perjuang martabat bahasa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin mengucapkan takziah di atas kembalinya ke rahmatullah, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada 2 Syawal lalu.

“Sesungguhnya ia adalah kehilangan yang amat besar buat seluruh warga Malaysia terutama sekali di kalangan komuniti pejuang bahasa di negara ini," kata setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Dalam hal ini, katanya Abim amat berbesar hati kerana berpeluang berkongsi aspirasi ilmu, serta pengalaman beliau sepanjang hayatnya.

“Mengambil kesempatan ini, Abim ingin merakamkan penghargaan beliau di atas segala sumbangan terutama sekali dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu serta kebudayaan bangsa di tempat yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, selain peranannya selaku bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Datuk Dr Hassan Ahmad turut memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Segala sumbangan serta amal bakti beliau menjadi dorongan serta inspirasi buat golongan muda untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya di negara ini,” katanya.


Pemuda Umno minat cerca PAS dari bantu perajurit
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Rancangan Pemuda Umno untuk mengadakan program jelajah yang akan ‘menyerang’ Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu amatlah mendukacitakan dan tidak perlu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, tindakan itu diputuskan walaupun pelbagai pihak menunjukkan Mohamad Sabu tidak pernah mengagungkan golongan komunis ataupun mempromosi keganasan dalam ucapan beliau 21 Ogos yang lalu.

Katanya, apa yang terang lagi bersuluh dalam kontroversi terkini adalah: perbalahan pendapat yang masih belum terhenti mengenai zaman darurat dan juga zaman-zaman lain dalam sejarah negara membuktikan versi ‘rasmi’ sejarah Malaysia yang diangkat pentadbiran BN belum diterima sepenuhnya semua pihak.

Malah, ujarnya ia kelihatan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam masyarakat, dan menyulitkan segala usaha untuk menyatupadukan rakyat.

“Kita tidak boleh nafikan kewujudan pendapat berlainan mengenai sejarah Malaysia dan kita juga tidak boleh nafikan pelbagai pihak yang masih belum sembuh luka silamnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebagai parti pemerintah, katanya Umno seharusnya memudahkan perbincangan isu-isu sebegini demi usaha perdamaian nasional, agar sejarah menjadi batu asas dan bukannya batu api kepada masa depan kita bersama.

“Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat parti-parti politik, terutama sayap-sayap pemuda,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Beliau menambah, yang sedihnya, Umno sekali lagi mengguna peluang yang ada untuk menimbulkan syak wasangka dan rasa benci di kalangan rakyat Malaysia demi masa depan politiknya sendiri.

Walaupun begitu, tambahnya pasti timbul keraguan di hati pembaca bila melihat pihak ini tiba-tiba begitu beria-ia mahu perjuangkan nasib bekas perajurit.

Nampaknya, ujar beliau Pemuda Umno tidak mahu menumpukan usaha mereka untuk betul-betul membantu bekas perajurit dan mereka yang masih berkhidmat, tapi sebenarnya hanya berminat untuk mencerca PAS dan Mohamad Sabu.

Sememangnya, kata beliau lagi jika Umno benar-benar mahu perjuangkan nasib para perajurit negara, mereka akan perjuangkan hak para perajurit untuk mengundi dengan bebas dan adil dan bukannya mempertahan sistem undian pos yang sedia ada yang menganiaya hak mengundi para tentera dan polis.

“Lebih dari itu, bukanlah lebih baik jika Umno menyalurkan masa, wang ringgit dan tenaga mereka untuk membantu bekas perajurit Malaysia yang memerlukan bantuan, dan bukannya untuk menjalankan program-program jelajah sebegini,” katanya.

Beliau mempersoalkan, bukankah Utusan Malaysia, akhbar alat sebaran mereka, sudah cukup untuk mencerca PAS, Mohamad Sabu dan Pakatan Rakyat amnya.

“Kita juga terfikir mengapa para "patriot" ini menganggap siri jelajah sebegini lebih membawa manfaat dan kebaikan dari menyokong, mengawas, dan memberi maklum balas kepada badan kebajikan para perajurit seperti Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan badan-badan seperti itu,” katanya.

Beliau menambah, jika mereka bekerjasama dengan badan-badan ini - untuk perjuangkan pembelian aset-aset Exxonmobil, sebagai contoh - pasti pejuang dan perajurit negara akan menikmati kebaikan dan keuntungan, dan kepentingan negara akan terjaga lagi terselamat.

Kata beliau, jika Umno begitu serius untuk perjuangkan nasib bekas perajurit yang telah berjuang demi tanah air tercinta, bukankah mereka sepatutnya membantu bekas perajurit yang telah berjuang sewaktu Perang Dunia Kedua, yang mana ada di antara mereka yang masih belum menerima pampasan atau bantuan di atas perjuangan mereka.

Oleh kerana Umno berkata dialah satu-satunya pengasas gerakan kemerdekaan negara kita, ujarnya Umno wajib sedar bahawa ia telah mempersendakan prinsip-prinsip asas negara kerana kerajaan pimpinannya masih memperguna empat perisytiharan darurat yang masih wujud, walaupun sudah 54 tahun kita merdeka.

“Apakah negara kita masih belum aman damai hingga empat perisytiharan darurat ini masih diperlukan?” soalnya.

Malah, soalnya lagi bukankah ini menunjukkan Umno secara tidak langsung merendahkan martabat para perajurit yang kita kasihi dan memperlekehkan perjuangan mereka selama ini, kerana kononnya negara masih belum selamat dan masih memerlukan empat perisytiharan darurat ini.

“Atau adakah Umno yang sebenarnya memerlukan empat perisytiharan darurat ini demi masa depan politik sempit mereka?

“Sedarlah wahai Umno, buanglah kepura-puraan kamu, dan marilah berganding bahu bersama Pakatan Rakyat untuk menyembuhkan segala duka lara dan luka negara,” katanya.

Justeru, katanya Umno dan lebih-lebih lagi Pemuda Umno harus sedar bahawa, meminjam kata-kata Edward Murrow, membangkang tidak bererti mengkhianat, dan tiada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran ataupun rasa cinta kepada negara.

“Inilah patriotisme sejati,” tegasnya.


Lebuh raya: Awang Adek bertembung Mustapa
Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 Sept: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa kerajaan Kelantan berkemungkinan besar tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya selama-lamanya sebagai satu kenyataan yang berninat jahat dan dangkal serta bernada sumbang.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, kenyatan itu juga membayangkan seolah-olah beliau begitu jahil dengan tanggungjawab kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan lebuh raya di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Saya juga ingin melahirkan rasa kesal di atas kenyataan tersebut yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 3 September 2011 yang antara lain turut menyatakan bahawa kerajaan PAS Kelantan telah diberi peluang selama 21 tahun untuk menyelesaikan masalah kesesakan namun gagal untuk mencari jalan penyelesaian.

“Adakah Awang Adek baru tersedar dari tidur atau sengaja mencari pertembungan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam isu ini, wallahualam,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga bertanya sedarkah Awang Adek bahawa pada 1 September 2011, Utusan Malaysia selaku lidah rasmi Umno sendiri di halaman 6 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang tegas menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tidak akan mampu membina lebuhraya kerana pembinaan lebuhraya ialah tanggungjawab kerajaan Pusat.

Katanya, jika Awang Adek terlupa untuk membelek akhbar pada hari tersebut, boleh perturunkan kembali kata-kata Mustapha yang antara lain menyebut, “Ini (membina jalan utama) tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu untuk membina kecuali dengan bantuan pihak swasta. Jumlah RM2 bilion sangat besar, tidak mampu jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan negeri…”

Soal beliau, bukankah kenyataan itu jelas menunjukkan pengakuan Mustapha sendiri bahawa pembinaan lebuhraya ini bukan merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, cuma kerajaan negeri terpaksa mengambil alih apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab iaitu kerajaan Pusat nampaknya tidak berminat untuk membela nasib rakyat Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu.

Dalam hal itu, beliau mencabar Awang Adek untuk menyebut mana satukah negeri di Malaysia yang membina lebuhraya tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Adun Mengkebang sepenuhnya yakin jika Umno yang berkuasa di negeri Kelantan, bukan setakat membina lebuhraya, untuk menyelaras projek kecil-kecilan di peringkat kampung pun akan berlaku pertembungan kepentingan pelbagai pihak demi mengaut keuntungan mudah.

Justeru, beliau berharap Awang Adek lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kedangkalan seseorang itu bukanlah diukur melalui tinggi rendahnya pangkat tetapi pada betul tidaknya fakta yang diberikan.

“Jangan Awang Adek sangka keterlanjurannya dalam isu judi bola sepak pada tahun lepas sudah dilupakan oleh rakyat Kelantan. Ditambah pula dengan kenyataan dangkal seperti ini, semakin kuranglah markah untuk menjadi ‘bakal Menteri Besar Kelantan’ sekali lagi,” ujarnya lagi.


PRU 13: MP BN dapat dana khas hingga RM2.5 juta

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ─ ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan, lapor The Malaysian Insider.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai “hitam”, di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

“Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing,” kata wakil rakyat itu sambil menambah, “malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi.”

“Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif,” kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

“Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu,” kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN.

“Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya,” kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian.

“Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti “hitam”, “kelabu” dan “putih” - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan “putih” di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di PWTC.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan ‘kubu’ pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing.


Komunisme: Senjata Umno selamanya
Muhammad Nuruddin Bashah

Saya rasa ramai lagi anggota UMNO berfikiran seperti komentar yang ditulis dalam blog saya di bawah. Berikut adalah sedutan 100% komen individu yang memberi komentar tulisan saya berkenaan Rejimen-10 PKM pada 2006 dahulu.

http://www.blogdrive.com/manage/blog_comments?bid=307830&pid=149

Kasturi Sep 02, 11

Rejimen ke 10 adalah sebahagian sayap tentera komunis malaya, meskipun mereka mendakwa jati diri sebagai islam tidak tegugat tp bolehkah dipercayai apabila mereka bersetuju menganggotai parti komunis. Bukan senang seorang islam untuk menerima komunis yang anti agama. Tindakan mereka bolehlah disamakan dengan tindakan pas kerjasam dengan dap semata mata untuk menghapuskan umno bn. Tindakan yang akan terus melemahkan melayu islam di negara ini.

Cukup simplistik mereka mengaitkan pembabitan kaum melayu dengan komunis dengan keterlibatan PAS dengan Pakatan Rakyat yang turut disertai DAP. Menyamakan DAP dengan PKM adalah suatu kebutaan sejarah yang ketara. Bagaimana pula UMNO yang terlibat bermatian dengan chauvinisme Cina bernama MCA semata-mata untuk menentang PAS yang juga majoriti Melayu?

Kelas ideologi adalah kelas yang wajib diberikan kepada ahli UMNO selepas mereka perlu mempelajari asas aqidah.

PKM yang disertai oleh melayu suatu ketika dahulu adalah hanya rejimen-10 iaitu rejimen khas untuk melayu islam. Penyertaan mereka adalah bersyarat. Mereka sertai komunis dalam keadaan pasca Perang Dunia II di mana komunis telah membantu British menentang Jepun, Itali dan Jermen. Komunis menjadi sahabat baik British sehinggalah tahun 1948 kemuncak pecahnya Perang Dingin. Pada awalnya pasca perang British berterima kasih dengan komunis dan membenarkan rakyat Malaysia menubuhkan PKM. Ditubuhkan serta dibenarkan rakyat Malaya termasuk kaum Islam menyertainya.

Ya, pelajaran ideologi pada ketika itu amat rendah. Rakyat masih tidak membicarakan hal komunis anti agama, atau komunis suatu pertembungan kelas. Yang banyak dibincangkan adalah hal revolusi menjatuhkan empayar yang zalim dan penjajah (walaupun komunis kemudiannya menjadi empayar yang zalim juga). Hal ini yang menarik perhatian kaum melayu kiri. Bukannya mereka sertai selepas mereka mengkaji isu falsafah komunisme. Dahulu tiada kelas ideologi khusus, tiada internet dan bahan bacaan berlambak seperti hari ini.

Jika ingin menghukum kaum melayu kiri tersebut, mengapa tidak hukum UMNO menolak agama apabila menganut fahaman kapitalisme. Kapitalis adalah fahaman dielektika dengan komunisme. Kapitalisme juga ideologi ciptaan Yahudi seperti mana komunisme. Kapitalisme juga memisahkan agama dengan perdagangan, politik dan corak kehidupan. Akibat menganut kapitalisme, UMNO menghalalkan judi,pemimpinnya menjadi pengerusi judi dalam pelbagai agensi. Malah UMNO juga terlibat kepada permulaan akta Judi di tanah Melayu sehingga ditegur oleh datuk kepada Abdullah badawi. UMNO juga berusaha memajukan industri arak sehingga menjadio negara 10 rangking arak tersbesar dunia. Isteri Perdana Menteri UMNO menghalalkan fesyen tanpa aurat, menganjur festivel fesyen islam yang menghina Islam walaupun tidak atas nama UMNO.

Adakah ini sama sahaja seperti menyertai komunisme? Komunis mencabut agama dengan kasar tetapi mudah dikesan. Kapitalis mencabut agama secara lembut melalui liberalisasi sosial sehingga sukar lagi masyarakat dipautkan dengan agama. Semasa Hobbes, Adam Smith dan John Locke melancarkan pemikiran kapitalisme, mereka juga cuba memisahkan agama dengan kehidupan malah banyak kenyataan mereka yang menghina Kristian. Jadi bukankah sama dengan komunis?

Bagaimana pula dengan pendedahan Malaysiakini yang pernah melaporkan KDN memberikan permit kepada lidah Rasmi Parti Komunis China People's Daily iaitu akhbar harian di China. Akhbar ini adalah suara rasmi Parti Komunis China. Mengikut laporan Malaysiakini pada 10 Januari 2005, KDN telah meluluskan untuk penerbitan suara rasmi Parti Kominis Malaya bernama "People's Daily".

Jika benar tegar memusuhi komunis sehinggakan kelompok yang berbaju kuning dan ingin membersihkan sistem pilihanraya pun dikaitkan dengan istilah komunis (kelihatan malaysia alergi dengan istilah komunis) mengapa kerajaan benarkan bumi Malaysia ini menerima bahan bacaan komunis atas nama akhbar harin? Bukankah akhbar mudah diperolehi oleh orang awam. Jika benar memusuhi ideologi komunis, perangilah ideologi ini dari 1948 hingga kini dan selamanya. Bercakaplah di PBB, kritiklah dasar zalim China terhadap Uighur di Xinjiang. Jangan hanya berani menyebut istilah itu semasa bersoal jawab dengan tahanan politik Malaysia sahaja.

Sedih, istilah komunis pernah mengorbankan rakyat Memali apabila kaum ulama’ dan muslim tegar di Baling cuba dikaitkan dengan komunisme. Cukup ‘borong’ UMNO menggunakan istilah ini tanpa membaca buku falsafah komunis hingga ke akar umbi. Umpama berdegar-degar bercakap di musabaqah Al Quran untuk memartabat Al Quran, hakikatnya selepas selesai musabaqah, tudung dikepala dilempar keluar, malah Al Quran jauh dari amalan.

Lebih malu apabila Malaysia yang ingin jaguh menentang ideologi komunis ini telah menghantar pulang 11 pejuang Uighur pada 18 Ogos lalu. kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pejuang Islam Uighurs yang menentang kerajaan China kembali ke negara asalnya atas alasan mereka dituduh memperdagang manusia. Sedangkan etnik yang banyak menyeluduh manusia bukan etnik turkik seperti Uighur. Tindakan ini dikkritik keras oleh UNHCR PBB.

Sehebat manapun patung Tugu Negara yang mempamerkan tentera malaysia yang menentang komunis, hebat lagi orang Uighur dan mujahidin Afghanistan menentangnya. Hal ini jelas, mereka bukan sahaja berani mengangkat senjata menghapuskan komunis, malah tegar berdialog menceritakan keburukan ideologi komunis. Tentera Malaysia adakah hingga kini bersedia menentang negara China dan Soviet suatu ketika dahulu? Adakah mereka dilatih untuk menentang komunis hingga saat ini serta bersedia menghancurkan ideologi komunis?

Jadi mengapa tidak disiasat kes Uighur berhati-hati kerna mereka mungkin lebih layak dijadikan Tugu Peringatan kerana banyak menentang kerajaan komunis di Xinjiang.

Pelik apabila saya fikirkan semua ini. Sedih kerana terlalu insan jahil ideologi yang belum sedar kebejatan ideologi ciptaan manusia. Tambah malang jika si pembaca ideologi itu tidak mampu mengaitkian insiden sepanjang perang ideologi dengan nilai semasa, setempat dan berdasarkan kefahaman pada sesuatu zaman tertentu seperti era 1940an dahulu di Malaya.

Penulis adalah Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011


PKR kutuk hantar pulang pelarian Islam Uighur
Harakahdaily

PETALING JAYA, 4 Sept: Parti Keadilan RaKyat (PKR) secara keras mengutuk sifat hipokrit Malaysia menghantar pulang pelarian Islam Uighur dan pelanggaran hak asasi manusia.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Utusan Malaysia-milik Umno menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai simpatisan-komunis berikutan kenyataannya tentang insiden Bukit Kepong, Kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke Kerajaan Komunis China.

Katanya, etnik Uighur adalah orang Islam daripada wilayah Xinjiang di China.

Katanya lagi, kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 orang ini terlibat di dalam sindiket pemerdagangan manusia.

Menurutnya, Agensi Pelarian PBB (UNHCR) telah menyatakan lima lagi yang masih ditahan telah memohon status pelarian dengan UNHCR dan agensi tersebut telah meminta untuk bertemu dengan kesemua 16 pelarian Uighur tersebut.

“Tetapi permohonan UNHCR tersebut telah ditolak dan UNCHR telah melahirkan kekesalan mereka terhadap keputusan Kerajaan Malaysia tersebut,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau menambah, Human Rights Watch (HRW) telah mengutuk tindakan kerajaan memulangkan 11 pelarian Uighur tersebut dan mendesak agar kerajaan tidak memulangkan 5 orang yang masih lagi ditahan di Malaysia.

“Memulangkan mereka kepada Kerajaan Komunis China mendedahkan mereka kepada risiko serius diseksa.

“Kerajaan China secara berterusan telah menganggap permintaan penggunaan bahasa Uighur serta mengamalkan agama Islam sebagai keganasan, pemberontakan dan penderhakaan,” ujarnya.

Meurutnya lagi, OIC yang turut dianggotai Malaysia telah menyeru agar China mengatasi masalah asas penindasan masyarakat Uighur.

Jelasnya, HRW telah mendedahkan bahawa China telah menekan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Pakistan untuk memulangkan pelarian Uighur.

“Trend ini bermula di Cambodia pada 2008 ketika negara tersebut dipaksa memulangkan 20 orang Uighur yang dilindungi oleh UNHCR termasuk seorang wanita hamil dan dua anak kecil ke China,” katanya.

Di Amerika Syarikat, katanya perwakilan Republikan Chris Smith dan Senator Demokrat Sherrod Brown, yang mempengerusikan bersama Suruhanjaya Ekskekutif Kongres mengenai China juga telah mengutuk tindakan Malaysia terhadap pelarian Uighur tersebut.

Ujarnya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara mendakwa bahawa pelarian Uighur ini terlibat di dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Namun, soalnya mengapa mereka tidak didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia tetapi dipulangkan ke China.

“Mengapakah Malaysia membenarkan campurtangan Kerajaan Komunis China di dalam isu yang bukan sahaja melibatkan hak asasi manusia tetapi nasib umat Islam yang kononnya diperjuangkan Umno selama ini?” ujarnya lagi.

Katanya, malang sekali bukti terbaru kelemahan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku bukan sahaja ketika umat Islam sedunia sedang meraikan Hari Raya tetapi ketika rakyat Malaysia meraikan Kemerdekaan negara.

Justeru, tegasnya PKR mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menjelaskan dengan serta-merta serta menjamin bahawa lima orang pelarian Uighur yang masih ditahan di Malaysia dilayan sebagai pelarian sah mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa.


Datuk Hassan Ahmad, Sebuah Puisi Akhir
Dr Rajiee Hadi

(Al-Fatiha, kembali pada 31 0gos 2011)

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Di penghujung hayat dalam degup kebangkitan rakyat
Nafas bara cintamu sebuah tamadun bahasa berdaulat
Tinta perjuangan tamadun bangsa mengangkat darjat
Di gedung dewan bahasa di persada dunia kata-katamu keramat

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Anak jati Muar putera Johor Parit Sakai
Mewarisi jejak Abdullah Munsyi ,Zaaba Pendeta
Syed Nasir panglima bahasa pasal satu lima dua
Obor dinyalakan buat solidariti muda di saf hari muka

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Gerakan mansuhkan sebuah minda yang dijajah
Dengan pena dan sinis lembut suara bernas hujahnya
Segala logika semantik kata makna sebuah pembinaan bangsa
Erat bahasa lestari jiwa resah Melayu yang kian rebah

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Teknorat rakyat yang rela turun bersuara di jalan raya
Birokrat marhaen yang sejati kasih akan bahasa ibundanya
Kerdil tubuh degup usia dikemudikan bahtera nusa
Sebuah perjuangan anak bangsa buat selama-lamanya!

Muar, Johor.
31 0gos 2011.


ADA YANG PILU RAYA..ADA YANG GEMBIRA DENGAN KEUNTUNGAN...JANGAN LUPA HAK ALLAH DALAM KEUNTUNGAN...JANGAN TAK DAN REBUT BERAMAL DIBULAN RAMADHAN...AGAK2LAH...HIDUP KEKAL AKHIRAT...HATI2 TIPU DAYA SYAITAN...MENENTANG ISLAM MACAM KOMUNIS...BAHAYA KENYATAAN NI...MAKA SAMALAH MANA2 PIHAK..ATAU PARTI TAK LAKSANAKAN ISLAM...TARAF SAMA MACAM KOMUNIS...HATI2...JANGAN SENJATA MAKAN TUAN....

Majikan kurung amah seminggu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.
Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. “Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.

“Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.
Menurutnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan mengenai rumah yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan mangsa.

Katanya, mangsa dihantar ke pejabat Kedutaan Kemboja untuk perlindungan sementara.

‘Puding tidak sesedap air tangan Ashraf’

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Walaupun sudah sebulan arwah meninggalkan kami sekeluarga, ada kalanya saya seolah-olah terasa kehadirannya terutama apabila memasak di dapur.
“Arwah seorang anak yang ringan tulang dan rajin membantu di dapur. Sudah menjadi kebiasaan dia membantu saya di dapur sejak kecil lagi,” kata ibu kepada Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, lelaki yang gagal dalam permohonannya menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.

Mohd Ashraf Hafiz meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Jantung Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada 30 Julai lalu selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat muntah-muntah dan pitam sehingga tekanan darahnya dikatakan menurun.
Dalam nada sebak mengenangkan pemergian anaknya, wanita yang membahasakan dirinya sebagai Cik Yah, 50, itu berkata ketiadaan arwah sememangnya dirasai terutama pada Aidilfitri ini apatah lagi arwah rapat dengan keluarga.

“Setiap kali Aidilfitri, arwah antara yang paling sibuk membuat persediaan. Arwah boleh diharap kerana semua urusan memasak, mengemas dan menghias rumah diuruskannya tanpa disuruh. Jika ada tetamu pun, arwahlah yang menyiapkan air tanpa perlu saya membantunya.

“Mengenai hidangan kegemaran arwah ketika Aidilfitri, dia paling pandai memasak puding koktel dan kek coklat. Malah, hidangan berkenaan bukan saja menjadi menu wajib kami sekeluarga ketika Aidilfitri, tetapi turut digemari tetamu lain sehingga ada yang menempah kek coklat itu.

“Bukan saya hendak memuji anak sendiri, tetapi masakan arwah memang sedap. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan. Tahun ini, saya ada menyediakan puding koktail atas permintaan adik arwah. Namun, rasanya tidak seenak air tangan arwah.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu menyediakan puding koktel kerana hidangan itu membuatkan saya terkenangkan arwah,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini, semalam.
Menurutnya, arwah bagaimanapun kurang membantunya dalam kerja berat seperti memanjat atau membersihkan kipas.

“Kalau bab memasak, arwah memang cekap, tetapi kerja berat semuanya diserahkan kepada adik arwah. Sejak kecil lagi, arwah memang lebih suka membantu saya daripada bermain di luar,” katanya.

Ditanya sama ada arwah ada menunjukkan sikap pelik sebelum meninggal dunia, Cik Yah memaklumkan arwah ada memakai purdah sebelum dimasukkan ke HSNZ selain mengambil beberapa keping gambarnya sendiri ketika dirawat di hospital itu.

Terpaksa beraya di rumah bocor



TENDONG – Seorang warga emas, Harun Che Mat, 90, bukan sahaja terpaksa beraya dalam rumah bocor, malah menahan kesakitan akibat cedera terkena pokok tumbang di Kampung Hutan Cengal, sehari sebelum Aidilfitri.

Anaknya, Mohd Nasir Harun, 41, yang tinggal berdekatan terus membawanya mendapatkan rawatan susulan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman di kepala dan kaki bapanya sejurus selepas kemalangan terbabit.

Mohd Nasir berkata, ketika kejadian, dia sedang berbual bersama anak dan anak saudaranya di anjung rumah.

“Tiba-tiba kami dengar dentuman kuat dari belakang rumah dan saya dapati bilik ayah terkena serpihan batang pokok durian sehingga mencederakannya.

“Namun, mujurlah sebahagian besar pokok ditahan atap zink, jika tidak, pasti ayah dihempap sepenuhnya pokok berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu Mohd Kamarudin Harun, 59, berkata, bapanya lebih banyak berehat dalam rumah memandangkan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Bapa yang dahulunya bekerja sebagai pengayuh beca, kini tidak lagi mampu berjalan memandangkan lulutnya tidak lagi sekuat dahulu.

“Penghulu kampung dan Adun Tendong, Dr Mohamad Md Daud juga hadir bagi membantu mengurangkan kesulitan dihadapi,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga berterima kasih kepada Adun kerana sudi menghulurkan bantuan bagi membaiki bilik tidur bapa yang rosak.

Dapat RM5,000 sehari


JERTIH - Kedatangan Ramadan yang baru berlalu bukan sahaja memberi rezeki kepada peniaga juadah berbuka puasa malah menjadi bulan ‘durian runtuh’ kepada peniaga pakaian dan kuih-muih untuk Aidilfitri.

Perniagaan mereka akan mendapat sambutan berlipat kali ganda berbanding hari biasa, manakala yang ingin mencuba juga tidak terlepas menikmati rezeki ini.

Menyedari peluang keemasan itu hanya datang setahun sekali, belia di daerah ini turut bertindak bijak mencari wang hingga mencecah puluhan ribu ringgit di bazar Aidilfitri di sini dalam tempoh sebulan.

Bagi Wan Mohd Faizul Asraf Wan Mamat, 22, masa yang ada adalah lebih baik jika dimanfaatkan dengan berniaga di bazar Aidilfitri.

Menurut Wan Mohd Faizul Asraf, dia memilih untuk berniaga pakaian sejak tiga tahun lalu kerana mendapat sambutan hebat menjelang hari raya.

“Tahun ini saya menyewa empat ruang khemah (lot) untuk menjual pakaian di lokasi berbeza di bandar Jertih iaitu tiga di depan Up Town Pasaraya Econjaya dan satu di Dataran Jertih Souq, saya memperoleh pendapatan kasar bagi keempat-empat lot kedai tersebut RM5,000 sehari,” katanya.

Keuntungan jadi pembakar semangat

Wan Mohd Faizul Asraf berkata, keuntungan diperoleh dalam perniagaan pada Ramadan dua tahun lalu membakar semangatnya untuk menyewa lebih banyak gerai.

Menurutnya, pada peringkat awal Ramadan, sambutan pelanggan agak berkurangan, malah ada kalanya tidak banyak pakaian dijual.

Bagaimanapun dua minggu sebelum hari raya, semakin ramai pelanggan yang membeli dan meningkat dari hari ke hari sehinggalah hari terakhir puasa.

“Hari terakhir Ramadan adalah paling menyeronokkan kepada ribuan orang ramai khususnya perantau yang pulang ke kampung akan ‘menyerbu’ bazar Aidilfitri untuk membeli-belah dan barangan yang dijual akan jadi seperti ‘pisang panas,” katanya.

Dia yang mempunyai lapan pekerja terdiri daripada remaja setempat amat meminati bidang perniagaan walaupun pada hari biasa dia membantu berniaga di kedai makan bapanya di Medan Selera Jertih.

Katanya, bekalan pakaian terutama baju Melayu diperoleh di Kuala Lumpur, manakala seluar lelaki dan pakaian lain dibeli sendiri di China.

Menurutnya, belia patut mengambil peluang menjual pelbagai jenis produk untuk hari raya termasuk kuih-muih, perhiasan rumah dan pelbagai lagi.

Jual 31 jenis biskut raya

Sementara itu Mohd Fairuz Shaari, 24, berkata, tugas sebagai anggota keselamatan tidak menghalang dia menjalankan perniagaan menjual pelbagai biskut di bazar Aidilfitri di sini.

Anak jati Keluang, Johor itu merebut peluang mencuba nasib berniaga lebih 31 jenis biskut raya di lokasi tersebut buat kali pertama tahun ini.

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan sambilan ketika musim perayaan di Johor, tetapi setelah bertugas di negeri ini saya ini mencuba berniaga barangan sama di sini pula.

“Perniagaan ini tidak mengganggu tugas saya kerana saya mempunyai beberapa pekerja yang menjaga dan menguruskan kedai itu,” katanya.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang perniagaan apabila membantu rakannya menyewa separuh daripada satu khemah dengan kadar sewa lebih RM1,000 untuk tempoh tersebut.

Ternyata usahanya mencuba nasib berniaga di bumi Besut Ulul Albab ini tidak sia-sia apabila dia memperoleh pendapatan kasar sebanyak kira-kira RM27,000 sepanjang berniaga di bulan puasa.

“Beberapa hari terakhir menjelang Aidilfitri paling seronok berniaga apabila kedai saya diserbu orang ramai yang ingin membeli biskut dan kuih pada saat akhir,” katanya.


Peniaga songkok untung berganda


ALOR TEMBESU – Songkok merupakan aksesori hiasan kepala yang melambangkan budaya orang Melayu dan bagi sesetengah individu, tidak lengkap sekiranya mengenakan baju Melayu bersama samping tanpa memakai songkok.

Bagi penduduk di daerah Dungun, nama Nusa Tahir sudah tidak asing lagi kerana individu ini merupakan pelopor perniagaan membuat songkok sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Kini, walaupun individu bernama Nusa ini sudah tiada, namun bakat yang ada pada arwah diwarisi anak lelakinya, Ahmad Yani, 43.

Jualan cecah 300 hingga 400 unit

Ahmad Yani yang kini menjalankan perniagaan membuat serta menjual songkok dekat sini ketika ditemui berkata, budaya memakai songkok dalam kalangan orang Melayu sekarang kian berkurangan.

Menurutnya, permintaan terhadap songkok biasanya hanya meningkat pada musim perayaan sahaja.

“Pada musim perayaan khususnya ketika menjelang Aidilfitri, saya dapat menjual songkok secara runcit antara 300 hingga 400 unit berbanding hari biasa hanya mencecah tidak sampai 50 unit sebulan.

“Sempena hari raya, ramai yang nak pakai songkok baru. Sebab itu kedai saya biasanya menjadi pilihan kerana perniagaan saya ini sudah dikenali ramai sejak zaman sebelum merdeka lagi,” kata Ahmad Yani.

Ahmad Yani berkata, songkok buatannya yang menggunakan jenama ‘Songkok Malaysia’ itu menjadi pilihan individu pelbagai lapisan tidak kira sama ada pemimpin, pegawai kerajaan ataupun orang perseorangan.

“Alhamdulillah, setiap kali raya, rezeki saya meningkat kerana ramai orang nak beli atau tempah songkok baru.

“Paling banyak mendapat sambutan ialah saiz kanak-kanak kerana saiz kepala kanak-kanak cepat berubah. Sebab itu ibu bapa mereka membeli songkok baru setiap tahun,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Yani berharap agar budaya memakai songkok yang menjadi sebahagian daripada pakaian seharian masyarakat terdahulu diamalkan kembali kerana songkok juga melambangkan identiti orang Melayu.

Peneroka serbu kedai runcit

FELDA KERTEH TIGA - Biarpun tanpa pasar raya berpendingin hawa, namun kewujudan kedai runcit dengan pelbagai barangan keperluan harian sudah mencukupi bagi kalangan masyarakat peneroka Felda untuk membolehkan mereka mendapat bekalan secukupnya sempena sambutan Aidilfitri.

Bagi masyarakat peneroka, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, kedai runcit adalah premis perniagaan yang menjadi sasaran utama.

Pengusaha kedai runcit, Suhailah Mohd, 37, berpendapat, menjalankan perniagaan kedai runcit di kawasan Tanah Rancangan Felda amat mencabar selain memberi pulangan yang lumayan jika ia diuruskan dengan baik.

Suhailah yang membuka kedai runcit di Felda Kerteh Tiga, Dungun berkata, kedai runcit miliknya menjadi tumpuan masyarakat Felda, terutama pada waktu puncak, iaitu beberapa hari sebelum ketibaan Syawal.

Menurutnya, kebanyakan anak peneroka yang pulang ke kampung halaman mereka menyerbu kedai runcit Suhailah untuk membeli barang keperluan pada saat akhir sebelum menyediakan juadah hari raya keesokan harinya.

“Biasalah berniaga musim raya ni seronok sikit sebab jualannya bertambah, masa inilah kita dapat meningkatkan keuntungan perniagaan.

“Untuk kemudahan masyarakat di sini, saya akan menyambung masa operasi perniagaan. Malah, hari raya pertama pun saya sudah buka kedai kerana ramai yang akan menyerbu kedai runcit saya untuk membeli pelbagai barangan diperlukan. Pada malam raya pula lewat malam baru tutup,” katanya.

Suhailah berkata, biarpun keadaan ekonomi di negara ini difahamkam mengalami kemerosotan, namun perniagaannya tidak terjejas kerana ia melibatkan perniagaan barangan keperluan pengguna.

Daging lembu tempatan masih jadi pilihan

DURIAN MENTANGAU - “Biarpun daging lembu mencecah RM18 sekilo, namun masih ramai menjadikan daging lembu sebagai pilihan utama menjelang Aidilfitri, sebab itu saya terpaksa menambah stok lembu agar ia tidak terjejas”, kata Yaakob Mamat, 60, seorang peniaga daging lembu tempatan.

Yaakob berkata, pada hari biasa, dia hanya menyembelih seekor lembu setiap hari, malah kadangkala bekalan itu berlarutan hingga hari kedua.

Namun katanya, menjelang Aidilfitri, tiga hari sebelum raya, dia terpaksa menyembelih sehingga tiga ekor lembu sehari.

“Untuk lembu pertama, kadang-kadang sebelum jam 11 pagi sudah habis dijual. Jadi setiap kali musim raya, saya terpaksa masuk ke kampung untuk mencari lembu penduduk untuk dijadikan stok,” katanya kepada Sinar Harian.


Peniaga nira, kuih raih pendapatan berganda


MARANG – Ramadan lalu memberi keberkatan dan rezeki kepada kalangan pengusaha makanan dan minuman kerana hasil pendapatan mereka meningkat berbanding pada hari biasa berikutan mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Bagi peniaga kecil hasil jualan yang meningkat itu digunakan untuk membuat persiapan Aidilfitri ini dan menampung perbelanjaan keluarga selepas ini.

Maka tidak hairanlah rata-rata peniaga yang memperoleh pendapatan agak berbaloi ini bercuti panjang selepas hari raya.

Seorang peniaga air nira, Azizah Mamat, 51, bersyukur kerana rezekinya lebih murah sepanjang Ramadan lalu sehingga mampu memperoleh RM200 hingga RM300 sehari berbanding pada hari biasa tidak sampai RM100.

Menurutnya, dia menjual dua jenis air nira iaitu nira kelapa yang diisi dalam plastik RM1.50 sebungkus sementara nira yang diisi dalam botol 500 mililiter dijual dengan harga RM3 sebotol dan RM5 bagi nira nipah.

“Sepanjang Ramadan lalu mak cik mampu menjual 100 bungkus dan 50 botol nira kelapa dan nipah setiap hari. Malah jumlah itu meningkat seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizah yang mula menjalankan perniagaan menjual air nira kelapa dan nipah sejak lima tahun lalu berkata, nira antara minuman yang paling digemari untuk berbuka puasa dan pendapatannya meningkat mendadak sepanjang seminggu lalu.

“Orang ramai sudah mula bercuti. Bagi yang melalui jalan utama di sini, sudah pasti berhenti untuk mendapatkan minuman ini, ketika itu mak cik tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang berniaga di gerai tepi jalan di Kelulut di sini.

Katanya, wang hasil jualan minuman yang dapat dikumpulkan digunakan untuk berhari raya dan membeli keperluan dapur sepanjang seminggu bercuti selepas ini.

Katanya, bekalan air nira sukar diperoleh juga mendorongnya bercuti panjang.

Bazar Ramadan lokasi strategik

Sementara itu, Ramadan lalu juga boleh diibaratkan sebagai pintu rezeki kepada peniaga kuih raya yang mengambil kesempatan melipatgandakan keuntungan mereka, baik yang berniaga tetap mahupun sambilan sepanjang bulan mulia itu.

Ada juga peniaga yang menjadikan bazar Ramadan sebagai pilihan mereka untuk memperluaskan pasaran menjual produk bagi menambah duit raya.

Lokasi tersebut dianggap strategik dan ideal untuk orang ramai membeli kelengka-pan Aidilfitri lantas tapak perniagaan sementara diuruskan oleh Majlis Daerah Marang (MDM) di seluruh daerah ini boleh diibaratkan lubuk rezeki peniaga ini.

Selain kuih raya, pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu pelbagai jenis kelengkapan hari raya lain turut dijual seperti telekung, kopiah dan perhiasan rumah.

Menurut salah seorang pengusaha kuih raya dari Jalan Darul Falah, Bukit Payong, Hatiah Mohd Zain, 45, peluang untuknya mempromosikan produk kepada orang ramai di bazar Ramadan tidak dilepaskan dan dia meraih pendapatan berganda sepanjang seminggu lalu.

“Lokasi tersebut strategik dan pembeli sentiasa ada. Beberapa hari menjelang Aidilfitri lebih ramai akan membanjiri kawasan ini,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sembilan tahun lalu dan mempunyai kilang di Jalan Darul Falah.

Menurutnya, seronok berniaga di bazar apabila berpeluang bertemu dengan ramai pelanggan dan memperkenalkan produk mereka walaupun terpaksa berpanas dan berhujan namun hati puas kerana ia keperluan penting dalam menyambut Aidilfitri.

Syarikat Hatiah mengeluarkan produk makanan ringan antaranya kerepek ubi, kerepek pisang, dan kerepek udang baring serta kuih tradisional seperti kuih siput dan kuih bunga durian dengan harga antara RM10 hingga RM20 sebungkus.

“Syukurlah kerana sepanjang Ramadan tahun ini rezeki kami amat memberangsangkan dan keuntungan yang diperoleh dapatlah digunakan untuk menyediakan keperluan sepanjang seminggu menyambut hari raya,” kata ibu tunggal ini.

Hatiah ketika ini menghentikan operasi perniagaannya selama seminggu bagi menyambut kemeriahan Aidilfitri namun akan menerima tempahan semula jika ada pelanggan yang ingin mengadakan rumah terbuka.

Pengusaha penginapan ambil langkah pelbagai

Dalam pada itu menurut seorang penguasaha pusat penginapan harian di Kelulut, Muzlinah Kamarudin, 26, berkata, sepanjang seminggu Aidilfitri ini berbeza berbanding seminggu akhir pada Ramadan lalu kerana perniagaannya meraih keuntungan berganda.

Menurutnya yang mula menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama Impiana Marang Chalet di Rhu Muda di sini, sebanyak 13 buah bilik yang disediakan penuh kerana mendapat tempahan pelanggan yang pulang untuk berhari raya bersama keluarga.

“Biasanya chalet ini penuh sepanjang 10 hari sepanjang Aidilfitri ini kerana kami menerima ramai pelanggan yang mempunyai ahli keluarga besar tinggal di sini dan mereka memberi alasan tidak tinggal bersama keluarga kerana rumah keluarga kecil,” katanya.

Bagaimanapun berbeza pula dengan seorang lagi pengusaha rumah penginapan di sini, dikenal sebagai Hamzah, 40-an yang mengusahakan sebuah pusat penginapan di Rhu Rendang, menurutnya, dia menghentikan operasi selama tiga hari.

Beli stok pakaian raya dari negara jiran



KEMAMAN – Ketibaan bulan Ramadan disusuli dengan sambutan Aidilfitri membuatkan rata-rata peniaga tersenyum lebar.

Di sebalik senyuman itu golongan peniaga di daerah ini bersyukur kerana limpahan rezeki sepanjang bulan mulia penuh keberkatan diharungi selama sebulan.

Peniaga pakaian, Nor Azmah Mohamad, 22, berkata, sepanjang Ramadan baju kurung yang dijualnya mendapat permintaan yang sangat tinggi sekali gus meningkatkan hasil jualannya sepanjang Ramadan lalu.

“Jualan sepanjang Ramadan sangat bagus, yang paling laku ialah baju kurung kerana saya jual pada harga berpatutan, paling murah RM89 dan paling mahal RM199.

“Saya turut menjual baju Melayu, selendang, jubah, dan pakaian kanak-kanak. Semuanya mendapat permintaan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Beli-belah Mesra Mall, Kemasik, di sini.

Sepanjang Ramadan, Nor Azmah yang memiliki dua cawangan, iaitu di Kompleks Perniagaan Casa Limbong, Chukai dan di Kuala Lumpur turut membuka gerai jualan di Pusat Beli-belah Mesra Mall.

Menurutnya yang juga anak keenam daripada 14 beradik, bekalan baju kurung yang telah siap dijahit serta pakaian lain diambil dari Kuala Lumpur dan negara jiran termasuk Vietnam dan Indonesia bagi memenuhi permintaan menjelang Syawal.

“Saya laburkan RM100,000 untuk membeli stok jualan pakaian raya. Alhamdulillah hasil jualan juga tidak mengecewakan.

“Bagaimanapun, jika dibandingkan tahun lalu, jualan tahun ini agak merosot sedikit,” katanya yang baru mendirikan rumahtangga bersama Mohd Fazli Ahmad, 27, pada Jun tahun lalu dan tinggal di Kampung Padang, Kemasik.

Menurutnya yang bergelar usahawan sejak berumur 19 tahun, minat mendalam dalam perniagaan mendorongnya membuat pinjaman bank sebanyak RM20,000 sebagai modal awal untuk memulakan perniagaan pakaiannya di samping turut dibantu adik-beradik yang lain.

Katanya, jualan setiap hari sepanjang Ramadan yang diperolehnya mencecah lebih RM1,000 sekali gus dapat menampung kos sewa tapak dan kos lain berkaitan.

Tudung, blaus, kerongsang laris

Selain baju kurung pelbagai aksesori pakaian wanita yang dijual peniaga turut laris bagaikan ‘goreng pisang panas’.

Pekerja di Lyana Collection yang turut membuka booth jualan di Pusat Beli Belah Mesra Mall, Tengku Zayata Ain Tengku Hamad, 22, berkata, sepanjang Ramadan semua barangan yang dijual di booth mereka laku termasuk pelbagai fesyen selendang, kerongsang, seluar wanita, jubah, skirt, butang baju Melayu dan biskut raya.

Menurutnya yang juga adik pemilik gerai berkenaan, Tengku Zaizah, 37, berbeza pada bulan biasa pada Ramadan jualannya yang dicapai mencecah RM5,000 sehari pada Jumaat dan Sabtu manakala pada hari biasa hasil jualan sekitar RM3,000 sehari.

“Pada bulan biasa jualan hanya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja. Alhamdulillah berniaga pada bulan Ramadan murah rezeki memandangkan permintaan daripada pelanggan juga tinggi.

“Selain baju kurung, kerongsang yang kami jual juga laku kerana rata-rata pelanggan membelinya untuk digayakan bersama tudung dan baju kurung mereka,” katanya.

Menurutnya, bekalan jubah yang diambil dari Indonesia dan Kuala Lumpur juga mendapat permintaan yang baik sehingga stok juga hanya tinggal sedikit.

Komunis tentang Islam


KUALA TERENGGANU – Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu, Othman Endut, menganggap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong tidak wajar.

Menurutnya, kenyataan sedemikian tidak patut dikeluarkan oleh seorang pemimpin kedua tertinggi dalam parti yang memperjuangkan dasar Islam.

Othman berkata, sama ada beliau sedar atau tidak, perjuangan komunis amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Pas kerana kumpulan itu menentang dasar Islam.

“Tidak mustahil kalau mereka memerintah negara akan diacuankan sedemikian,” katanya.

Dalam laporan agensi berita, pemimpin Pas itu didakwa menyifatkan Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis, adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di Balai Polis Bukit Kepong.

Othman turut menyifatkan kenyataan Mat Sabu sebagai teruk kerana membela mereka yang melakukan banyak pembunuhan terhadap rakyat dalam negara untuk memastikan mereka dapat menguasai negara ini.

Beliau berkata, keadaan itu juga seolah-olah menafikan perjuangan sebenar pejuang tanah air yang bermati-matian suatu ketika dulu yang bangkit untuk menentang kegiatan komunis di negara ini.

Jelasnya, dengan jasa tentera dan polis yang bermandi darah untuk membela rakyat dan mempertahankan negara daripada dikuasai komunis, keadaan itu telah menyebabkan orang ramai mendapat keselesaan pada hari ini selain dapat keluar rumah tanpa rasa takut, tidak sebagaimana ketika komunis bermaharaja lela.

“Mereka banyak melakukan pembunuhan dalam negara dan kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa bertarung nyawa. Kalau dia kata komunis pejuang negara ia adalah sama sekali tidak patut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kenyataan Mat Sabu berkemungki-nan mempunyai unsur politik serta dianggap membela sekumpulan tertentu yang ditahan kerana dipercayai cuba menghidupkan kegiatan komunis di dalam negara.

Tiada ulasan: