Selasa, 12 April 2011

SETELAH KEMPEN...TERPULANGLAH KESEDARAN RAKYAT....DAN PARTI MANA YANG NAK PILIH...JANGAN TERSALAH PILIH DAH....

Teruskan mood ubah sekarang - PJ PAS Sarawak
Wan Nordin Wan Yaacob

SEBUYAU, 12 April: Calon PAS di Dun Sebuyau, Haji Adam Ahid berharap mood pengundi sekarang berterusan untuk melakukan perubahan.

“Insya Allah saya harapkan mood yang ada sekarang ini, mood di mana-mana mereka mahukan perubahan, tambah lagi orang Sarawak telah faham negeri lain tukar kerajaan, pimpinan Sarawak ini dah terlalu lama, rakyat di sini dah matang fikir tukar kerajaan.

(Gambar: Adam Ahid bertemu dengan penduduk Sebuyau)

Justeru, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak merasakan tidak mustahil berlaku perubahan itu.

“Rakyat di sini miskin tetapi pemimpin mewah, kekayaan pemimpin menyamai kekayaan negara, tak mustahil,” katanya.

Mengenai isu, katanya isu pertama yang besar di Dun Sebuyau ialah isu tanah, pembangunan serta pembelaan rakyat.

Calon PAS di Dun ini, Haji Adam Ahid memberi contoh rakyat di kalangan kaum Iban tidak terbela di Kampung Entangor.

“Kalau mereka sakit payah nak pergi ke klinik tempat yang jauh, mereka gunakan jalan air. Jika air jalan kering, mereka tidak boleh pergi klinik, ramai yang meninggal dunia dalam sampan sebab jauh nak ke klinik.

“Ada yang bersalin dalam sampan sebab jauh perjalanan menaiki sampan dari Kampung Entagor ke klinik di Sebuyau,” ujarnya.

Menurutnya, ini menyebabkan mereka cukup tertekan dengan apa yang dihadapi dan mahukan perubahan.

“Sebab itu saya cakap dengan pengundi di sana, kalau saya terpilih menjadi Adun sini, saya akan bawa isu ini ke Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, bagaimana nak bantu mereka agar adanya kemudahan klinik agar mereka boleh dapatkan bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak menambah, mereka berkata kalau dalam slogan kerajaan ialah rakyat didahulukan, tetapi di sini rakyat diketepikan.

“Kaum Iban di sini janji jika mereka pilih Adam, mereka minta saya selalu ke tempat mereka jengah mereka mendalami masalah mereka, jadi saya akan selami masalah mereka,” ujarnya lagi.


Pengetua sekolah diminta pantau kantin secara terperinci
Aziz Muda

SHAH ALAM, 12 April: Para pengetua sekolah di Selangor diingatkan agar memantau kantin-kantin sekolah mereka secara terperinci untuk mengelakkan peristiwa keracunan makanan kepada para pelajar berulang kembali.

Mereka juga diingatkan agar mengambil tindakan ke atas sebarang aduan oleh para pelajar atau ibu bapa kerana tidak ada aduan yang seharusnya dipandang ringan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad, ketika mengingatkan perkara itu berkata, para pengetua sekolah juga mestilah mengutamakan kepentingan para pelajar dan bukan kepentingan pengusaha kantin.

(Gambar: Iskandar melawat mangsa keracunan makanan)

Menurut beliau, Adun-Adun dan Penyelaras-Penyelaras Dun Pakatan Rakyat juga sentiasa bersedia menerima aduan-aduan para ibu bapa di dalam usaha untuk memastikan kebajikan para pelajar terpelihara.

"6 April lalu, kejadian tidak diingini telah berlaku apabila 16 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sebelum ini, beliau yang juga Adun Chempaka berkata, beberapa buah sekolah termasuk di luar Selangor juga pernah mengalami kejadian yang sama, pada hal kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Kejadian seperti itu tidak mungkin berlaku jika para pengetua sekolah sentiasa memantau keadaan di kantin-kantin sekolah mereka terutama dari segi kebersihan dan penyediaan makanan," katanya.

Beliau turut kesal kerana terdapat aduan pihak tertentu kepadanya yang mengatakan terdapat pengetua sekolah tertentu yang tidak mengambil serius aduan para pelajar dan ibu bapa mengenai keadaan yang tidak memuaskan di kantin-kantin sekolah mereka.

Kealpaan seperti itu tidak seharusnya berlaku terhadap para pengetua sekolah, katanya, kerana mereka sememangnya bertanggungjawab penuh mengenai kejadian seperti itu di sekolah masing-masing.

"Mengenai para pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandah Indah yang keracunan itu pula, adalah didoakan pelajar-pelajar yang dimasukkan ke hospital 6 April lalu akan kembali sihat secepat mungkin," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Hospital Ampang yang telah menerima rombongannya melawat 16 orang pelajar di sekolah itu yang keracunan makanan ketika dirawat di hospital tersebut, 7 April lalu.


Bridget Welsh:Musim bunga di Sarawak?
Bridget Welsh

Semasa angin perubahan menggoncang Timur Tengah daripada Tunisia ke Yemen, ramai yang berpendapat bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku di Malaysia. Kerajaan BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang baik, dengan semua ketidakseimbangan dalam lapangan pertarungan, telah mengadakan satu pilihanraya yang kompetitif.

Namun, dengan berlangsungnya kempen di Sarawak, ia semakin jelas bahawa perubahan sedang berlaku. Pentadbiran 30 tahun Abdul Taib Mahmud yang sama panjang dengan kekuasaan regim Hosni Mubarak sudah memberi inspirasi yang tidak pernah dilihat di bumi kenyalang.

Dengan rekod jumlah pengunjung ke ceramah di seluruh pelusok negeri, pintu perubahan sudahpun terbuka, dengan Perdana Menteri Najib Razak menyuruh semua anggota kabinet turun berkempen di Sarawak yang sudah menjadi satu ujian kertas litmus negara yang penting.

Pilihanraya ke 10 Sarawak bakal menjadi medan ujian yang sebenar selepas Mac 2008 samada Malaysia bakal menyaksikan satu lagi musim bunga atau membantutkan angin perubahan.

Hilang kepercayaan terhadap pimpinan Sarawak

Terdapat beberapa persamaan yang penting antara Sarawak dan Timur Tengah selain tempoh kekuasaan kepimpinan yang lama. Yang paling ketara ialah ketidakpuashatian yang semakin mendalam terhadap pimpinan negeri di mana semakin banyak rakyat Sarawak telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Dengan keputusan Taib Mahmud untuk bertanding dan tidak menawarkan satu pelan pemindahan kuasa yang nyata, fokus tetap terpaku kepada keperibadian dan kekayaan keluarganya. Usaha untuk menyekat laman Sarawak Report sudahpun terlalu lewat.

Dengan ramai yang masih tetap setia kepada Taib, terutamanya dari golongan Melayu/Melanau dan pada tahap yang lebih rendah di antara beberapa komuniti Iban, isu rasuah dan nepotisme telah menjadi fokus utama sehingga menjadikan ianya pusat berbanding dengan keadaan di pilihanraya negeri 2006.

Isu-isu ini telah dibincangkan di rumah panjang dan kedai kopi secara terang-terangan, dengan rujukan kepada contoh-contoh konkrit yang membolehkan isu-isu tersebut menyerap luas ke dalam masyarakat. Terdapat pengundi yang merasakan dirinya dikhianati dan ditipu sehingga ada pemimpin negara dan BN yang hilang kredibiliti mereka.

Apa yang berbeza ialah perbualan kedai kopi daripada pilihanraya yang lepas ialah skop perbincangan dan peningkatan mendadak terhadap kepercayaan mengenai “excesses” (kelampauan salah tadbir negeri), ialah persis kelampauan.

Keadaan ekonomi yang tidak baik

Masa pilihanraya negeri kali ini tidak memihak kepada BN, dan memberikan lagi kesan terhadap faktor kelampauan. Inflasi tetap pada kadar yang tinggi (lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia), dan kesan pertumbuhan di bawah pentadbiran Najib, contohnya Model Ekonomi Baru (NEM), tidak dirasai pada kadar yang sama.

Pembangunan di Sarawak sudah terbantut untuk beberapa tahun yang lepas, di mana pertumbuhan telah mundur dan pendapatan tidak naik-naik. Manfaat ekonomi negeri dilihat tertumpu pada tangan golongan elit Taib. Ekonomi Sarawak – selain daripada pelancongan dan pembangunan pelabuhan berkaitan dengan gas asli, secara umumnya kurang dinamik.

Bahkan harga komoditi yang lebih tinggi untuk barang-barang seperti minyak kelapa sawit tidak menetes ke bawah dalam cara yang sama seperti Semenanjung Malaysia, kerana ini didominasi oleh syarikat yang menguruskan ladang (banyak di tangan elit politik dan orang dari Semenanjung Malaysia) daripada petani kecil.

Sektor runcit pula tersepit oleh pengurangan pembelanjaan, disebabkan kesinambungan upah rendah, yang tetap berada di tahap rendah mengejutkan dalam sektor perkhidmatan dan pertanian khususnya, dengan pekerja mendapat kurang dari RM500 satu bulan di pasaran pelanggan yang boleh dikatakan sekurang-kurangnya 30 peratus lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.

Isu sekuriti makanan juga telah muncul sebagai masalah, dengan perubahan dalam pengeluaran pertanian dan inflasi, mengurangkan kualiti makanan, terutama di kawasan luar bandar.

Tahap kemiskinan melampau walaupun mungkin telah turun dari tahun 1980, namun pada saat ini kadar kemiskinan relatif tetap tinggi, dengan rekod kedua tertinggi di negara. Jurang antara kaya dan miskin di Sarawak telah meningkat dan bertambah lebih luas - meskipun seseorang percaya hanya beberapa laporan kekayaan elit ahli politik negeri itu - daripada Semenanjung Malaysia.

Kesulitan ekonomi dan perbezaan jauh lebih menonjol dalam pemilihan ini dan ini juga sedang dibicarakan secara terbuka.

Hilangnya rasa takut

Perbincangan terbuka ini telah mula mengubah satu lagi elemen penting yang telah menjadi sebahagian integrasi dari politik Sarawak iaitu rasa ketakutan.

Walaupun ada kebimbangan yang cukup bahawa proses pungutan suara tidak rahsia (yang difahami dalam masyarakat penduduknya lebih sedikit), ada juga kesediaan yang lebih tinggi untuk keluar dan berkumpul, dan, seperti yang berlaku di jalanan di Kaherah, dinamik ini sedang mendapat momentum.

Banyak pemilih, yang berdiam diri dalam menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak pembangkang, yang mendapat keberanian untuk menghadapi kesan sampingan dan menghadiri perhimpunan. Mereka memberikan sokongan kewangan di beberapa bandar yang menyamai sumbangan tahun pilihan raya Mac 2008.

Sementara BN yang menunjuk ke arah ketidakstabilan - mengingatkan pada pilihanraya 2001 selepas 11 September - ini tidak mempunyai kesan sama sekali, kerana pemilih di Sarawak seperti di Mesir, lebih bersifat engkar.

Kempen Internet lebih dinamik

Ini kerana sebahagian daripada alasannya berkaitan dengan sumber-sumber maklumat baru, iaitu akses pada sumber maklumat alternatif. Blog, website seperti Malaysiakini, YouTube dan banyak lagi telah menjadi sebahagian integral daripada kempen pilihanraya. Ini tidak berlaku dahulu, bahkan pada Mac 2008.

Kempen siber sangat panas, bahkan mungkin lebih panas daripada rally ceramah. Adalah penting untuk menghargai bahawa penetrasi internet di Sarawak jauh lebih terhad daripada Semenanjung Malaysia, di mana ia hanya tertumpu di bandar-bandar besar. Maklumat walaupun secara tapisan tersebar ke daerah semi-luar bandar dan luar bandar, akan tetapi secara perlahan-lahan dan tanpa impak yang besar sehingga sampai saat ini.

Ironisnya, ini adalah situasi di Timur Tengah juga, kerana perkongisan maklumat hanya tertumpu di kawasan bandar. Golongan kelas menengah dan profesional itu merupakan saluran yang amat penting dan pemimpin perbincangan, dan dinamik ini tampaknya akan bermain di Sarawak juga.

Peranan diaspora yang kritikal

Kesamaan terkini sebagai faktor penentuan melibatkan peranan penting dari diaspora (penduduk Sarawak di luar kawasan) Sarawak. Ada sekurang-kurangnya 300,000 pengundi Sarawak berada di luar negeri. Majoriti yang keluar kerana kurangnya peluang pekerjaan dan mereka tertumpu di Singapura dan Kuala Lumpur.

Mereka telah mengikuti pilihanraya kali ini dari jauh, memberikan sokongan dan kepulangan mereka untuk memilih akan menjadi faktor penting dalam membentuk keputusan di kawasan-kawasan yang sengit. Berapa ramaikah mereka yang akan kembali bakal menjadi penentuan dalam keputusan akhir.

Masalah yang sama juga bermain di dalam negeri, di mana pemilih muda di Kuching, Miri dan Bintulu akan membentuk kempen masyarakat luar bandar (apabila mereka pulang).

Pertandingan yang amat sengit


Walaupun perkara-perkara di atas menunjukkan gelombang ke arah perubahan, terdapat beberapa lagi cabaran penting yang membuatkan pilihanraya kali ini sebuah pertandingan yang paling kompetitif dalam sejarah Sarawak. Kemenangan pembangkang pada tahun 2006 dimenangi dengan margin yang sangat kecil, dan jumlah kecil keseluruhan pemilih di konstituensi membuatkan banyak pertandingan menjadi sengit.

Tiada satu pun dari kerusi pembangkang yang "selamat", dengan sengitnya pertandingan kali ini, lebih banyak kerusi menjadi pertandingan terbuka. Hampir separuh daripada 71 kerusi di dalam ruang, dengan jumlah pemilih atas pagar yang sangat tinggi, terutama di daerah Iban dan di kerusi semi-luar bandar. Keputusan di semua kerusi akan ditentukan pada saat terakhir, termasuk setiap kerusi pembangkang.

Jentera dan kewangan BN

BN akan terus bergantung kepada kelebihan tradisinya iaitu sumber kewangan. Jentera BN - termasuk penggunaan jabatan kerajaan – bergerak dengan baik dan BN mempunyai akses kepada kawasan luar bandar, yang membolehkannya mendapat sebuah kawasan selamat – beberapa kawasan yang “pasti” menang.

Wang tersebut telahpun mengalir keluar, dengan rumah-rumah menerima RM1,000, individu RM200 dan individu yang berpengaruh sebanyak RM5, 000. Sebelum ini mereka ini hanya dibayar sebanyak RM20. Apa yang akan menarik untuk dilihat adalah, jika benar wang terus menjadi kuasa penentuan, yang telah terjadi dalam pilihan raya sebelum ini, adalah berapa banyak lagi wang yang perlu disalurkan.

Penyaluran kewangan awal telah dibuat untuk menjadikan ini satu pilihanraya yang mahal. Meningkatnya penggunaan insentif kewangan untuk mendapatkan sokongan memberikan gambaran terhadap cabaran yang sedang dihadapi BN di dalam usaha memperkukuhkan dan dalam beberapa kes untuk mendapatkan kembali kesahihannya. Laungan janji pembangunan di Sarawak nampaknya tidak mempunyai kesan yang sama.

Pada peringkat ini, adalah amat sukar bagi BN untuk mengadakan pilihanraya umum.

Pertalian peribadi dan pertikaian parti

Penerusan budaya ‘perlindungan’ membezakan musim bunga yang mungkin melanda Malaysia daripada perubahan di Timur Tengah. Di Sarawak, dengan penduduk yang lebih kecil, terutama di kawasan luar bandar, ikatan mereka lebih bersifat peribadi. Ada banyak dalam masyarakat luar bandar yang mempunyai rasa kesetiaan yang kuat kepada Ketua Menteri Taib, kerana hidup dan mata pencarian mereka terikat pada pemerintahannya.

Tidak seperti pertalian akar umbi Umno di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sudah musnah, hubungan peribadi adalah lebih kuat di Sarawak, dan menghasilkan kesetiaan.

Melintasi jambatan ke tempat yang tidak diketahui – terutamanya dengan ketidakpastian di dalam kepimpinan di segelintir golongan pembangkang – bukanlah langkah yang sanggup harungi oleh banyak pihak. Hal ini memberikan BN kekuatan, meskipun telahpun tercemar.

Salah satu alasan mengapa SUPP sedang menghadapi cabaran untuk mempertahankan nyawa ikannya ialah kerana parti itu telah kehilangan sentuhan peribadi di kawasan bandar. Hal ini tidak menghairankan apabila logo kempen mereka cuba untuk menggunakan daya tarikan ini, walaupun dengan kesan yang terhad sampai saat ini.

Satu lagi elemen hubungan peribadi dalam kempen Sarawak adalah hubungan peribadi calon dengan masyarakat. Calon diketahui, daripada yang bebas kepada menteri-menteri BN. Mereka sangat bergantung kepada sokongan keluarga besar dan persahabatan peribadi. Dalam komuniti kecil, isu-isu ini memainkan peranan yang penting.

Semakin banyak pertikaian dalam sesebuah kerusi tertentu, dengan calon bebas yang mempunyai pangkalan mereka sendiri dan ketidakpuasan hati untuk bertarung, ia akan meningkatkan ketidaktentuan dalam perlumbaan-perlumbaan yang sudahpun sengit. Pertikaian telah menyebabkan PKR, Snap dan PBB bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dimana calon bebas turut bertarung. Secara keseluruhan, ini membantu BN dalam tahap yang lebih besar daripada pembangkang.

Politik etnik yang mengerikan


Apa yang membezakan kempen dari yang sebelumnya di luar mobilisasi besar pengundi adalah dari sudut etnik dalam kempen kali ini. Secara tradisinya, dinamik etnik di Sarawak hanya dimainkan di peringkat elit, dengan pertikaian kepimpinan yang jarang diperluaskan ke dalam masyarakat. Sementara itu, walaupun nasionalisme Iban juga penting, ia mempunyai kesan yang kecil pada pilihanraya negeri kali ini.

Sekarang semuanya telah berubah. Pertama, politik perkauman sedang digunakan dalam/daerah Melayu Melanau, dengan alasan bahawa sokongan mereka sangat penting untuk menentukan kedudukan komuniti tersebut dalam kepimpinan Sarawak.

Dengan foto Baru Bian daripada PKR yang diedarkan dan mesej yang halus dihantar dalam kempen, isu 'Ketuanan Melayu' akan mempunyai kesan.

Hujah halus yang disebut-sebut seperti orang Cina tidak setia kerana menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan beberapa pemilih, yang melihat politik etnik Semenanjung Malaysia telah dibawa ke Sarawak sebagai tidak bersesuaian. Hal ini terjadi pada masa yang sama orang Kristian - Iban, Cina, Dayak dan beberapa orang Melanau – berada dalam keadaan sangat marah atas pengendalian Alkitab dan isu-isu 'Allah'.

Agama telah lebih terjalin dengan etnik dan dalam negeri ini, yang majoritinya Kristian, soalan kebebasan beragama telah menimbulkan riak politik, seperti yang berlaku pada bulan Mac 2008 di Semenanjung Malaysia.

Lebih merumitkan dinamik etnik adalah masalah tanah, yang telah terikat pada marginalisasi yang sedang dirasai masyarakat Iban dan Dayak, dengan mengorbankan masyarakat lain dan pihak luar.

Kurangnya kemajuan dalam masalah-masalah tanah adat mempunyai kesan dalam komuniti tertentu dan masalah ini sahaja memiliki arti-penting di lebih daripada 15 kerusi - dari Ba'Kelalan ke Belaga.

Menjadikan pertandingan seadil mungkin


Yang menarik untuk diamati dalam pertandingan ini adalah apakah pilihan raya akan terus dijalankan dalam keadaan terhormat dan adil. Orang Sarawak secara tradisinya akan mengelak konfrontasi dan polarisasi politik. Sementara wang telah diterima sebagai satu norma, masalah lain seperti proses pemilihan juga telah muncul.

Pemilih inginkan, dan patut diberi, satu pertandingan yang adil. Mereka ingin suara mereka diambil kira. Ura-ura bahawa telah ada pemindahan pemilih antara kawasan mengundi, masalah dengan senarai pemilih, cabaran undi pos, kad pengenalan yang didakwa telah diserahkan untuk pembayaran bagi seseorang untuk mengundi individu tertentu, pembatalan permit polis, tekanan pada pemilik kedai untuk membolehkan perbincangan politik telah meningkatkan kebimbangan mengenai integriti dan pendapat.

Apapun yang terjadi ketika keputusan akhir datang, adalah penting bahawa proses pilihanraya ini kredibel. Ramai rakyat Sarawak berharap bahawa seruan BN untuk berkelakuan baik dalam kempen di Sarawak akan dipanjangkan ke proses pungutan undi juga.

Peranan berkecuali dan profesionalisme di antara pegawai negeri di Malaysia dalam pilihan raya Sarawak, adalah sama pentingnya dengan tindakan kerajaan di Timur Tengah.

Ujian kepimpinan Najib


Pada hari-hari terakhir kempen, PM Najib telah membuat langkah berani untuk melibatkan dirinya dalam pilihanraya kali ini. Kehadirannya di bumi Sarawak lebih daripada perdana menteri yang lain kerana ini adalah pertarungan kalah-mati untuk mendapatkan mandat beliau nanti.

Adalah penting untuk melihat apakah beliau mampu mengalihkan kecemasan terhadap kerajaan negeri dan menyalurkan undi terhadap BN.

Pola bersejarah ini sememangnya menjadi salah satu kekuatan Taib daripada pemimpin BN yang lain. Namun segalanya bertukar tempat di pertandingan kali ini. Satu perbandingan selari boleh dibuat ke Tunisia dan Mesir apabila para pemimpin lain datang untuk mengelakkan pembangkang diarahkan dari arah atas.

Target dan kemungkinan


Cabaran di kedua-dua belah pihak sangat besar kerana pertandingan kali ini mempunyai kepentingan yang lebih besar sebagaimana yang disaksikan dalam kempen yang telah berlangsung. BN, Taib dan SUPP sedang menghadapi referendum penentuan yang akan mempengaruhi masa depan mereka, dan mereka harus memegang majoriti dua pertiga dan sekurang-kurangnya kerusi masing-masing.

Bagi pembangkang, apa jua kemenangan yang melebihi 15 kerusi berbanding tahun 1987 adalah prestasi yang besar. Menghalang BN daripada dua pertiga majoriti walaupun tidak mustahil, namun perjuangan ini amatlah sukar bagi semua pihak, dan keunggulan tetap berada di pihak BN walaupun ramainya yang menyerbu ceramah pembangkang.

Setiap undi adalah penting. Musim bunga masih belum tiba ke Sarawak, tapi dengan perubahan yang berlaku di bumi kenyalang, ia masih berada dalam keadaan serba mungkin.
------------------------------------
Bridget Welsh adalah profesor sains politik di sebuah universiti di Singapura. Tulisan asal berbahasa Inggeris disiarkan dalam laman web Malaysiakini. Terjemahan dibuat oleh Li Fook Gao.

KLIK UNTUK KE WEB PILIHANRAYA



Nazri Abdullah

SADONG JAYA, 11 April: Selain kempen rumah ke rumah, apa sahaja bakat atau kelebihan yang ada tentunya akan digunakan oleh calon yang bertanding pilihan raya untuk menarik sokongan rakyat.

Begitu juga calon muda PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya, Abang Eddy Abang Fauzi.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Eddy, 34, menggunakan kebolehan bermain alat muzik dan menyanyi untuk mendampingi rakyat di sini.

Dalam kempennya di pekan Sadong Jaya hari ini, beliau turut mempamerkan kehebatannya itu.

Dengan memetik gitar di tangan, beliau turut menghadiahkan lagu 'Kau Ilhamku' yang dipopularkan artis polular 90an, Man Bai untuk penduduk kawasan itu khasnya anak muda.

"Jom kita nyanyi sama-sama,"katanya kepada anak-anak muda yang di mengerumuni untuk melihat kebolehan beliau.

"Maafkanlah oh...Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu...

"Kau senyumlah oh...Sekadar memori kita di arena ini...Kau ilhamku...",
antara bait lagu 'ever green' yang dinyanyikan itu.

Biarpun pendekatan itu agak baru bagi PAS, namun ianya dilihat cukup memberi kesan untuk mempengaruhi dan mendampingi masyarakat di sini yang sememangnya meminati muzik.

Di akhir persembahan itu, beliau turut berucap dan menggesa belia membuat perubahan untuk bersama PAS pada pilihan raya kali ini.

"InsayaAllah, pada 16 April ini kita semua pakat beri undi kepada PAS.

"Kita dari PAS berjanji akan membela nasib rakyat semua kaum di sini,"katanya.

Turut serta bersama calon dalam siri kempenya hari ini, artis dan komposer terkenal, Shafie Ahmad atau lebih popular dengan nama Pak Long.

Pak Long sebelum ini popular dengan lagu Cinta Pantai Merdeka yang dihasilkan untuk kumpulan Jinbara, manakala sekarang dengan lagu 'Selagi Ada Waktu.'

Difahamkan, setakat kempen yang masuk hari keenam hari ini, penerimaan masyarakat terhadap Abang Eddy cukup memberangsangkan.

Sadong Jaya dikatakan antara tiga Dun yang menjadi sasaran PAS untuk menang selain Beting Maro dan Sebuyau.

Abang Eddy ditentang calon BN, Aidel Lariwoo dan seorang lagi calon bebas, Mahayudin Bin Wahab.

LIHAT VIDEO





PAS ucap takziah kepada Kapten Sahimi
Aziz Muda

KUCHING, 12 April: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan sejurus selepas mendarat di Dataran Perbandaran Sibu petang semalam.

"Kematian dan kehidupan adalah ujian besar dari Allah, semoga keluarga beliau sentiasa dirahmati Allah dan bersabar di atas musibah tersebut," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya, ingin mengingatkan kerajaan BN agar tidak mengambil kesempatan dengan pilihanraya untuk menikmati kemudahan menggunakan helikopter dalam jarak perjalanan sejam ke dua jam.

Lebih mengejutkan bilamana helikopter tersebut baru selesai menurunkan tiga orang anggota rombongan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri yang terhempas di Sibu petang semalam, sehingga juruterbangnya, Sahimi Ghazali meninggal dunia di Hospital Sibu, malam tadi.

Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.

Menurut laporan Bernama Online, Ketua Polis Daerah Sibu, Shafie Ismail dipetik berkata, jenazah Sahimi, 38, akan diuruskan keluarganya yang akan datang ke Sibu dari Kuala Lumpur malam tadi.

Shafie dilaporkan berkata, helikopter yang baru tiba dari Bintangor, Sarikei itu merupakan sebuah daripada tiga buah helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin melakukan tinjauan mesra di sana.

Sebaik sahaja menurunkan semua penumpang, katanya, helikopter berkenaan mahu meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sibu, tetapi tiba-tiba helikopter yang berada pada ketinggian kira-kira tiga meter itu dipercayai hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebelum jatuh.

"Juruterbang yang bersendirian dalam helikopter itu, tersepit sebelum orang ramai membantu untuk mengeluarkannya. 4 orang awam menarik juruterbang keluar dari pesawat dan digegaskan ke Hospital Sibu. Punca kejadian masih disiasat. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar sebuah pasukan untuk membuat siasatan hari ini," katanya.

Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan itu, Hafiz Abdul Halim pula berkata, beliau sedang berjalan kaki menuju RH Hotel, kira-kira 100 meter dari padang itu ketika kejadian berlaku.

"Tidak ada apa-apa masalah dengan helikopter itu bila kami pulang dari Bintangor atau pusing-pusing. Saya sedang berjalan ke hotel ketika kemalangan itu berlaku," kata Hafis yang bersama-sama dengan dua pegawai keselamatan yang naik helikopter itu sebelumnya.

Kejadian ini sekaligus membuktikan betapa BN sewenang-wenangnya menggunakan duit rakyat dalam menghadapi kebangkitan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"Seharusnya mereka belajar dari kegigihan pimpinan Pakatan Rakyat yang sanggup menggunakan kereta bergerak dan tidur bersama petugas sepanjang pilihan raya ini," kata Tuan Ibrahim (gambar kanan).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam Twitternya menulis, Muhyidin sepatutnya pergi berkempen ke seluruh Sarawak dengan tidak menaiki helikopter bagi membolehkan beliau menilai sendiri kualiti jalan raya di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar kiri) pula berkata, kejadian yang amat menyedihkan itu tidak mungkin berlaku jika pihak BN tidak terlalu gelojoh untuk mencapai matlamatnya.

Menurut beliau, sempena kempen pilihanraya, parti-parti yang bertanding sepatutnya tidak menyalahgunakan wang rakyat dengan menggunakan helikopter dan sebagainya.

Ia berbeza dengan pihak PAS yang menggunakan kenderaan darat. "Mungkin orang kata kerana kita tidak ada helikopter."

"Jadi pihak BN kenalah berfikir lebih jauh dalam hal ini. Janganlah kerana nak capai matlamat dan kemenangan dalam pilihanraya, nyawa manusia pula yang menjadi korbannya hanya disebabkan perjuangannya yang bukan pun atas dasar Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berharap kematian Allahyarham tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pihak BN, tetapi dibela dengan ganjaran atau pampasan yang sepatutnya kepada keluarganya.

"Dah mereka gelojoh sangat nak capai matlamat sehingga nyawa orang terkorban, janganlah pula keluarga Allahyarham dibiarkan begitu sahaja. Berilah ganjaran atau pampasan yang sepatutnya kepada keluarga Allahyarham," katanya.


Raja Idris ganti Karim Munisar di KDEB
Harakahdaily

SHAH ALAM, 12 April: Kerajaan Selangor telah melantik ahli korporat terkenal, YM Raja Idris Raja Kamaruddin sebagai Perunding Eksekutif dan Penasihat untuk Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan anak-anak syarikatnya.

Pelantikan ini dibuat selepas berunding dengan DYMM Sultan Selangor , kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya.

Pelantikan Raja Idris dibuat melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan berkuatkuasa pada 5 April 2011.

Beliau bertanggungjawab memantau dan mengawasi urusan perniagaan KDEB dan anak-anak syarikatnya.

Raja Idris menggantikan Datuk Abdul Karim Munisar yang telah meletak jawatan. Pelantikan ini juga melayakkan beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KDEB dan Pengerusi semua anak-anak syarikat.

Raja Idris adalah ahli The Institute of Bankers, UK dan The Institute for the Management of Information Systems, UK. Beliau juga adalah perunding kepada Rototype International, UK, Significant Technologies Sdn Bhd dan Markfield Institute Higher Education, Leicestershire.

Raja Idris pernah memegang beberapa jawatan penting di beberapa syarikat antaranya Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, dan Naib Presiden Rangkaian Komunikasi dan Maklumat Siemens Malaysia.

"Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bahawa semua anak-anak syarikat diurus secara profesional dengan menekankan kepada keetelusan dan kebertanggungjawaban selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor," kata Khalid.



Tiada ulasan: