Jumaat, 15 April 2011

ISLAM BUKAN MELARANG HIBURAN TAPI BUKAN HIBURAN YG DIDALAM PENUH DGN KEMAKSIATAN DAN KEMUNGKARAN

341 ahli PBB sertai PAS di Sadong Jaya
Harakahdaily

SADONG JAYA, 15 April: Seramai 341 bekas ahli Parti Pesaka Bersatu Berjasa (PBB) dari beberapa buah kampung di Dun Sadong Jaya menyertai PAS.

Serentak itu, sembilan cawangan PAS berjaya ditubuhkan di Kampung Pelandok, Kampung Jaei 1, Jaei 2, Jaei 3, Jemukan Laut, Samera Laut, Samera Tengah, Rawangan dan Iboi.

Borang permohonan keahlian PAS mereka diserahkan oleh ketua penaja cawangan masing-masing kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud pada satu majlis yang diadakan di Bilik Gerakan PAS Kampung Jaei, malam tadi.

Antara yang menyerahkan borang berkenaan ialah bekas Pengerusi Wanita PBB Bahagian Batang Sadong, Dari Mohamad.

Ketika ditemui pada majlis itu, beliau memberitahu tindakan menyertai PAS kerana mahu menegakkan keadilan Islam dan membela anak bangsa.

Ini, tambahnya disebabkan kerajaan PBB-BN tidak banyak mengadakan pembangunan untuk rakyat sebaliknya melakukan penindasan seperti merampas tanah rakyat.


Hiburan alternatif PAS dapat sambutan penduduk
Hazayani Zakaria

MUARA TUANG, 15 April: Pendekatan yang diambil oleh PAS untuk mendekati masyarakat melalui hiburan alternatif ternyata mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk di Dun ini.

Konsert Mini Bersama Mua’dz yang diadakan di kawasan berhampiran pangkalan feri Kota Samarahan petang semalam dan Kampung Sungai Bandong malam tadi mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Walaupun tiada pentas yang sempurna, namun masyarakat tempatan yang terdiri dari kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa tetap setia mengikuti persembahan Mua’dz dan Hafiedz Algebra yang ternyata menghiburkan mereka.

Celoteh bersahaja mereka berdua mencuit perasaan hadirin yang diselit dengan lawak jenaka spontan menambahkan keceriaan majlis berkenaan.

Lagu-lagu bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan yang dialunkan oleh Mua’dz dan paluan berbagai jenis gendang oleh Hafiedz yang dikenali dengan panggilan Master Gendang mengundang reaksi spontan daripada hadirin.

Selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian, penduduk juga diajukan soalan-soalan pengetahuan am dan diberikan hadiah bagi mereka yang berani tampil ke hadapan dan menjawab soalan.

Ternyata program PAS yang berteraskan prinsip dakwah seperti itu mampu mendedahkan masyarakat setempat bahawa parti itu mengizinkan hiburan yang tidak melalaikan.

Kaunter pemeriksaan kesihatan percuma turut dibuka kepada mereka yang ingin memeriksa tahap kesihatan masing-masing dan dikendalikan oleh tiga doktor daripada Papisma Perak.

Ada juga penduduk yang menyokong BN kelihatan berminat untuk hadir ke program tersebut namun kerana tidak berani, mereka hanya memerhati dan mendengar dari jauh.

Calon PAS di Dun ini, Noraini Hamzah turut bersama-sama dalam program ini dan beramah mesra dengan penduduk.

Menurut Pengarah HalWa Perak yang bertugas di Dun ini, Amizan Baharudin selain memperkenalkan PAS kepada masyarakat, mereka juga harus diperkenalkan dengan hiburan yang dapat membawa mereka mengenali dan mencintai Islam.

"Petugas Semenanjung yang datang ke sini juga bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada mereka.

"Kami melihat masyarakat terutamanya golongan muda sukakan hiburan. Jadi kami gunakan pendekatan hiburan untuk menyampaikan dakwah kepada mereka.

"Walaupun sekejap, tapi kami yakin usaha ini akan memberikan kesan positif kerana mereka dapat melihat bahawa Islam tidak menghalang kita untuk berhibur asalkan tidak melalaikan," katanya.

Rakyat masih rasa terabai di bawah BN
Harakahdaily

SEBUYAU, 15 April: Walaupun Sarawak mempunyai hasil bumi yang banyak seperti minyak dan balak, namun rakyat masih merasa terabai di bawah kerajaan BN sejak lebih 30 tahun lalu.

Pembangunan yang dicanangkan hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja terutama di bandar utama dan tidak menggambarkan keseluruhan negeri yang terbesar di Malaysia ini.

Justeru, penduduk yang berada di kampung-kampung jauh dari bandar tidak menikmati kehidupan yang selari dengan kekayaan negeri dan pembangunan yang dilaungkan oleh pemimpin negeri.

Zaimah Zaini, 32, dari Kampung Seruyuk mengakui bahawa tiada pembangunan di kawasan luar bandar.

Baginya, kehidupan rakyat di luar bandar dan pedalaman dipinggirkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, selain tidak banyak kemudahan yang dinikmati oleh mereka, masalah yang dihadapi sejak dahulu termasuk perhubungan, bantuan dan sebagainya masih tidak dapat diselesaikan.

Bagi Sanin Ali, 32, kerajaan masih tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan yang sewajarnya kepada rakyat terutama di kalangan golongan muda.

Menurutnya, bukan sahaja pemimpin peringkat negeri yang tidak mengambil berat masalah tersebut tetapi juga melibatkan pemimpin di kampung.

Mengenai kekayaan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, calon PAS di Dun ini, Haji Adam Ahid menganggap penduduk di kawasan luar bandar tidak menghiraukan perkara itu kerana tidak mendapat maklumat.

Ini, katanya kerana maklumat itu hanya diperolehi oleh penduduk di kawasan bandar sahaja.

Namun begitu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri yakin rakyat akan membuat perubahan pada pilihan raya negeri yang akan berlangsung 16 April ini.

“Saya yakin dalam pilihan raya kali ini, rakyat di sini boleh berubah seperti yang berlaku di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

“Saya yakin perubahan akan berlaku. Rakyat Sarawak tidak mustahil boleh menukar kerajaan, insya Allah,” ujarnya.













Tiada ulasan: