Selasa, 19 April 2011

JANGAN KIRA UNTUNG SEMENTARA TAPI MERANA YANG BERPANJANGAN....

Shuib: 'Tidak adil' jika didakwa sebar video
Salhan K Ahmad
Apr 19, 11
3:48pm

Salah seorang daripada trio 'Datuk T', Datuk Shuib Lazim berkata, mereka tidak berniat untuk menyebarkan video lucah yang didakwa melibatkan seorang tokoh utama pembangkang.

Oleh sebab itu, Shuib menyifatkan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas mereka sebagai "tidak adil" kerana mereka tidak sepatutnya didakwa atas tuduhan berkenaan.

"Kita rasa kita bukan dedah kepada orang ramai, kita cuma tunjuk kepada pemberita. Pemberita yang akan jadi saksi (dalam kes tayangan video berkenaan).

"Tak adil... Kalau betul kita nak sebarkan, kita boleh buat 10,000 salinan. Itu barulah boleh kata sebar (bahan lucah).

"Tapi kalau polis kata kita salah, kita tanggunglah," kata Shuib lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu kenyataan polis semalam yang menyatakan bahawa trio berkenaan mungkin dikenakan tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks tersebut.

'Tunjuk semua, biar terang'

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa satu video pendek yang tersebar di Internet sejak awal bulan ini merupakan sebahagian daripada video penuh sepanjang 22 minit.

Shuib bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu bagaimana video berkenaan boleh tersebar di Internet memandangkan rakaman asal dan serta satu salinannya telah diserahkan kepada polis.

"Ada satu (rakaman) asal, ada satu salinan. Semuanya polis telah ambil, kesemuanya sekali," tambahnya.

Namun, Shuib turut mengakui bahawa beliau turut berasa terkejut apabila mengetahui bahawa video pendek itu telah berlegar di Internet.

Jelasnya, beliau tidak tahu menahu mengenai tulisan dalam bahasa Thai yang tertera di imej video pendek tersebut.

"Semuanya buat di sini," katanya lagi yang turut menafikan spekulasi bahawa video berkenaan mungkin dirakam di negara berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya pihak polis membuat pemeriksaan DNA ke atas seutas jam tangan yang dikatakan telah diambil daripada lokasi penggambaran berkenaan.

"Sepatutnya (polis) buat (ujian) DNA sebab dekat situ mungkin ada daki (pelaku seks tersebut," tegasnya.

Jam tangan berkenaan juga telah diserahkan kepada polis, katanya lagi.

Video lucah versi penuh itu ditayangkan kepada sekumpulan wartawan oleh Shuib dan dua lagi individu – bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan juga seorang usahawan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Selain tayangan pada 21 Mac kepada sekumpulan wartawan yang diadakan di sebuah hotel ternama, video berkenaan juga telah ditunjukkan kepada beberapa orang individu berkepentingan.

Timbalan pengarah jabatan siasatan jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani semalam dilaporkan berkata, individu terbabit mungkin dikenakan tindakan memandangkan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan itu menjurus kepada pihak yang menayangkan video berkenaan.



Marah, takut memuncak bantah Lynas
Joseph Sipalan
Apr 19, 11
4:39pm

Ia satu pemandangan yang indah ketika memandu dari Kuantan melewati kawasan perindustrian Gebeng, yang terletak sekitar 25km di timur laut ibu ibunegeri Pahang.

Tempat peranginan serta kawasan industri itu terletak di antara perkampungan Melayu yang membariskan kawasan pantai, dengan
penduduknya sibuk dengan urusan masing-masing - berniaga, membaiki kereta, menunggang motosikal, dan menikmati kopi di gerai di situ.

“Ini adalah sebahagian daripada kawasan pelancongan di kawasan peranginan Cherating,” dikatakan Jonathan Wong, yang mengendalikan sebuah syarikat pengiklan di Kuantan.

Langit biru dan udara segar di pantai sepanjang Balok mengundang pengunjungnya itu berehat, tetapi bagi Wong, rakyat Pahang tidak mampu berbuat demikian, sehinggalah mereka dapat menghentikan apa yang menurutnya, bakal menjejaskan kesihatan manusia.

Wong adalah antara anggota sekumpulan kecil, tetapi kini semakin membesar, penduduk tempatan yang bergabung tenaga untuk cuba menghalang syarikat perlombongan, Lynas, daripada membina loji nadir bumi (rare earth) di Gebeng.

'Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia' ditubuhkan hanya beberapa minggu lepas - dalam bulan Mac - di tengah-tengah rasa takut menular terhadap keracunan radiasi dari operasi loji tersebut, yang didakwa penentangnya, bakal menjadi kenyataan.

Syarikat itu telah melabur sekitar RM700 juta untuk membina loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), dan menjangka projek itu akan disiapkan pada bulan September.

Syarikat itu telah memberi jaminan bahawa operasi loji tersebut akan mengeluarkan 'pendedahan radiasi sifar', dan memisahkan syarikat itu daripada kontroversi Asia Rare Asia yang ditutup di Bukit Merah, Perak, pada 1992.

Pada laman Facebooknya, Lynas menegaskan yang bahan mentah yang akan diproses di Lamp - yang dibawa dari kawasan perlombongan Mount Weld di Australia Barat - 'mempunyai paras rendah semula jadi torium yang 50 kali lebih rendah daripada amang timah yang diguna oleh Asia Rare Earth'.

Ramai penduduk tempatan tidak yakin dengan jaminan Lynas itu, dan setengah daripadanya menolak terus projek tersebut.

Pekerja pelabuhan Kuantan, Saufi Harun, 43, yang tinggal di taman perumahan Balok Makmur, hanya 3km dari tapak Lamp, berkata syarikat tersebut membawa bahan mentahnya dari Australia hanya untuk diproses di situ.

“Saya telah diberitahu ia dibawa sejauh 2,500km dari Australia. Kenapa tak dibuat di sana saja? Dan kemudian kami dengar rakyat Australia pun tak mahu sisa tersebut... Ada yang tak kena...," tambahnya.

Saufi, bapa kepada enam orang anak, mendakwa terdapat tidak kurang 10,000 orang yang tinggal dalam lingkungan 5km dari loji Lynas.

“Bila anda sebut 'radioaktif', penduduk jadi takut. Kami bimbang (keselamatan) generasi akan datang,” katanya.

Saufi berkata dia dia telah menghadiri satu ceramah di mana penduduk Bukit Merah bercerita mengenai penderitaan penduduk yang masih lagi mengalami keracunan radioaktif dari kilang Asian Rare Asia.

Abdul Majid Ishak, seorang kakitangan TNB, dari Makmur Perdana dekat situ, percaya kehadiran loji tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada penduduk Kuantan dan kawasan sekitarnya.Dia mendakwa sejak tersebarnya berita yang syarikat tersebut akan meneruskan juga pembinaan lojinya di situ, jualan rumah di sekitar kawasan dekat tempat tinggalnya telah menjunam.


Rekabentuk Masjid Kg Baru percuma, kata firma adik PM
Salhan K Ahmad
Apr 19, 11
12:12pm

Sebuah firma arkitek milik adik perdana menteri, Datuk Nazim Razak hari ini tampil dengan penjelasan bahawa perkhidmatannya menyediakan rekabentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela.

Penjelasan itu timbul susulan tuntutan sebuah NGO anak muda yang menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerangkan isu berhubung pembabitan firma NRY Architects dalam projek naik taraf dengan nilai RM20 juta itu.

Seorang arkitek di firma berkenaan, Muhd Syafeeq Subhi berkata NRY Architects dilantik oleh jawatankuasa masjid berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan rekabentuk bagi pembangunan semula masjid tersebut.

"Tiada sebarang konflik (kepentingan) kerana kami menyediakan perkhidmatan sukarela seperti yang diumumkan perdana menteri dan juga pengerusi masjid ketika majlis penyerahan cek," kata Muhd Syafeeq dalam satu penjelasan melalui e-mel kepada Malaysiakini.

Dalam majlis yang berlangsung pada awal Februari itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan.

Peruntukan bagi masjid itu akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, kata perdana menteri.

Mengulas lanjut, Muhd Syafeeq turut menjelaskan bahawa NRY Associates juga sebelum ini telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pembangunan semula masjid berkenaan sejak lapan tahun lalu.

Perkhidmatan itu termasuk kerja-kerja yang disediakan bagi pembinaan pintu gerbang dan astaka di pintu masuk masjid berkenaan, katanya lagi.

"Baru-baru ini kami menyediakan perkhidmatan untuk menara (masjid). Semua perkhidmatan ini adalah (secara) sukarela dan dibuat (untuk) amal jariah, kami tidak mengenakan bayaran untuk perkhidmatan (berkenaan).

"Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman kami, jawatankuasa (masjid) bekerjasama dengan kami sekali lagi dan kami meneruskan untuk menyediakan perkhidmatan jariah kepada masjid itu," kata Muhd Syafeeq lagi.

Sebelum ini, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutus surat kepada Najib bagi meminta perdana menteri itu membuat penjelasan mengenai kaitan firma NRY Architects dengan projek naik taraf tersebut.

Salinan surat berkenaan, bertarikh 10 April, dimuatkan di laman blog pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin.


Usaha kumpul 1,000 ibu bantah loji Lynas
Lee Long Hui
Apr 19, 11
6:49pm

Satu kumpulan Facebook merancang untuk menjemput 1,000 ibu berhimpun di pantai Teluk Cempaka di Kuantan semasa sambutan Hari Ibu, untuk membantah projek nadir bumi Lynas di zon industri Geben.

Acara itu dianjurkan oleh kumpulan Facebook 1M rakyat Malaysia
Tolak Projek Menara 100 tingkat, dari jam 6 petang hingga 9 malam 8 Mei.

Dalam satu kenyataan, kumpulan tersebut mendakwa loji nadir bumi akan mengakibatkan para ibu melahirkan bayi cacat.

“Bolehkah anda bayangkan penderitaannya bila cahayamata yang dinanti-nantikan oleh keluarga, dilahirkan terencat akal dan cacat anggota?

"Bolehkah anda bayangkan penderitaan jika seorang ibu terpaksa membuat keputusan sama ada hendak menggugurkan kandungan atau tidak?

“Mari kita perlihatkan keazaman penduduk Kuantan dan rakyat Malaysia membantah loji nadir bumi Lynas,” tegas kumpulan itu.

Para peserta diminta menghadiri acara tersebut bersama anggota keluarga masing-masing dan membawa sekuntum bunga teluki (carnation).

Syarikat perlombongan Australia Lynas sedang membina loji Lamp di Gebeng, yang terletak 25km di timur laut Kuantan.

RM50 juta untuk projek emel 1Malaysia
Hazlan Zakaria
Apr 19, 11
6:34pm

Satu syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd akan melaburkan RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan projek berkenaan hari ini berkata, emel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Ditanya sekiranya projek berkenaan akan bertembung dengan perkhidmatan dalam talian lain seperti MyEG, Tricubes berkata projek berkenaan berbeza daripada inisiatif sedia ada.

Ketua pegawai eksekutifnya Khairun Zainal Mokhtar berkata, berbeza dengan perkhidmatan bayaran dalam talian MyEG, perkhidmatan melibatkan email baru itu akan melibatkan penghantaran notis dan bil.

Satu keterangan yang diperolehi media berhubung projek berkenaan menyebut, Projek Emel 1Malaysia juga akan menyediakan perkhidmatan untuk menyemak bil dan bayaran.

Khairun berkata, syarikat berkenaan akan memiliki portal dan infrastruktur emel berkenaan sebaik saja ia siap pada Julai.


MB Kedah nafi cukai tanah UUM dinaikkan
Apr 19, 11 6:29pm

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000.

"Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta," katanya pada sidang media, di Alor Star.

Azizan juga berkata akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

"Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

"Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh," kata Azizan.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri yang diteraju pakatan pembangkang itu tidak pernah mengeluarkan arahan menaikkan cukai sejak mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum 2008.

"...tetapi apa yang kita buat ialah pada 2008, kita menurunkan cukai tanah antara 35 peratus sehingga 75 peratus termasuk tanah-tanah milik kerajaan persekutuan.

"Disebabkan penurunan cukai itu kerajaan negeri telah kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun," katanya.

Mengenai isu air di UUM, beliau menasihatkan universiti itu dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

"Setiap hari pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan kawasan lain kita hanya bagi lima dan 10 juta liter sahaja. Jadi mereka perlu meningkatkan kemudahan loji dalam kampus supaya air itu dapat disalurkan kepada warga kampus," katanya.

- Bernama

Khalwat: Timbalan KSU mengaku tidak bersalah
Apr 19, 11 6:04pm

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di George Town hari ini, atas tuduhan berkhalwat bersama seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.

Nur Diayana Norslan, 29, bekas pembantu peribadi kepada Salim, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya, yang menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Salim, yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi, 16 April lepas, pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, dalam prosiding itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,000 daripada RM3,000, seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Jumlah RM3,000 dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai kerana jumlah itu sama dengan denda maksimum dalam pertuduhan itu.

"Sudah menjadi kebiasaan dan amalan mahkamah syariah menetapkan jaminan antara RM1,000 dan RM1,500 bagi kes khalwat," katanya.

Wan Faridulhadi turut memberitahu mahkamah bahawa isteri Salim yang turut hadir pada prosiding hari ini bersedia untuk menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz memohon supaya jaminan dibayar oleh pemastautin di negeri itu.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh.

Salim tiba di mahkamah bersama isterinya pada kira-kira pukul 8 pagi manakala Nur Diayana tiba berasingan pada kira-kira pukul 9.10 pagi.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata Salim dan Nur Diayana telah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

- Bernama

Tiada ulasan: