Khamis, 14 April 2011

BILA MUNGKAR@MAKSIAT TAK DAPAT DIBENDUNG...BALA DARI ALLAH...KERANA BANYAK ANJURKAN MAJLIS2 YANG ALLAH MURKA....



Pekerja seks lelaki: Satu realiti
Apr 13, 11 2:02pm

Kita biasa mendengar kisah pekerja seks perempuan tetapi bagaimana pula dengan pekerja seks lelaki?

Mungkin ramai yang akan menggeleng-gelengkan kepala, mengaku tidak tahu, kurang tahu atau berpura-pura tidak tahu malah mungkin ada juga yang tidak mahu ambil tahu.

Realitinya memang ada segelintir lelaki yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan memperdagangkan dirinya dan lorong-lorong belakang antara lokasi popular di mana berlaku transaksi ini.

Ini yang dikongsi Roslan Hamzah, 52, yang memperkenalkan dirinya sebagai mak nyah dalam wawancara dengan Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lorong-lorong belakang di sekitar Kuala Lumpur termasuk Lorong Haji Taib bukan asing bagi Roslan atau mesra membahasakan dirinya "atuk".

Sebahagian besar usia atuk antaranya dihabiskan di lorong-lorong belakang yang menjadi lubuk sumber pendapatannya.

Di lorong-lorong belakang jugalah atuk kemudian kembali menjejak insan-insan yang menjalani kehidupan yang pernah dilaluinya.

Tujuannya tidak lebih daripada memberi khidmat nasihat dengan harapan mereka dapat mengubah cara hidup mereka ke arah kebaikan yang lebih berinformasi jika pun ini mungkin tidak berlaku dalam masa terdekat.

Kerana terdesak

Desakan hidup dan penyalahgunaan dadah antara punca yang mendorong golongan lelaki tersebut mencampakkan keegoan dan kehormatan diri serta agama dan dengan sengaja menjerumuskan diri ke lembah kealpaan.

Ada yang telah banyak kali memohon kerja tetapi tidak berjaya dan akhirnya menjadi pekerja seks untuk meneruskan kesinambungan hidup di Kuala Lumpur.

Dari segi pendapatan, ini kata atuk, "purata kalau muka handsome dengan tubuh badan muda, masih 'anak ikan', tak mustahil boleh dapat dua tiga ratus ringgit satu malam, satu pelanggan ke dua pelanggan, mungkin tiga?"

Usia mereka? Kata atuk ada yang semuda 14 tahun hingga 30 tahun!

"Mereka tak akan lebih daripada 30 tahun. Mereka juga lelaki tulen dan ada yang sudah berkahwin.
"Ada seorang lelaki yang atuk kenal, teman wanitanya yang dianggap sebagai isteri baru melahirkan anak dan dia masih buat kerja seperti itu. Tak kah berisiko apa yang dilakukannya?" soal atuk.

Menurut atuk sebahagian besar daripada mereka juga tidak akan melayan pelanggan mereka dalam keadaan normal.

"Dalam 50 orang, kita boleh kata 48 orang akan melayan kita dalam keadaan tidak normal," kata atuk.

Pekerja-pekerja seks lelaki, tambahnya akan mengambil dadah terutama syabu (ice) dan heroin atau setidak-tidaknya akan minum arak.

Ice adalah nama jalanan untuk dadah jenis methamphetamine yang popular di kalangan penagih dadah.

Menjadi mangsa

Bukan semua lelaki yang menjadi pekerja seks ini merancang berbuat demikian.

Seperti kata atuk, ada yang termakan bujukan kawan-kawan dan ada juga yang datang ke kota dari kampung untuk mencari pekerjaan.

Ada juga yang mungkin berfikir mereka masih muda dan itulah cara yang cukup mudah untuk mendapat duit.

Kebanyakan juga berkata mereka buat kerja itu secara suka-suka.

"Ini kisah yang atuk pernah dengar. Budak ini bila sampai di Pudu Raya, dia bertanya kepada orang yang salah, orang yang melakukan kerja-kerja itu.

"Mereka akan kata kalau nak senang hidup, nah ini caranya. Kau ada rupa....

"Mereka yang datang dari kampung ikhlas mahu mencari pekerjaan tetapi bila mereka dah dapat peluang buat macam tu, cara yang lebih senang dapat wang, tak payah buat kerja berat, hanya perlu melayan lelaki gay, mak nyah dan perempuan.

"Mereka ini lelaki biasa yang mempunyai naluri untuk berkahwin dan berkeluarga atau mahu mempunyai pasangan hidup secara sah atau tidak," kata atuk.

Siapa mereka?

Mungkin ada yang ingin tahu siapa pekerja seks lelaki ini, secara khususnya dari segi kaum? Menerusi kerja-kerja 'outreach' dan interaksi atuk dengan pekerja seks lelaki ini, jangan terperanjat jika dia menjawab "majoritinya Melayu"!
Menurut atuk, daripada pergaulannya dengan pekerja seks lelaki di sekitar Kuala Lumpur, dia mendapati ramai juga dari luar Semenanjung Malaysia iaitu Sabah, Sarawak, Thailand dan China terutama di pusat sauna.

Kalau pekerja seks tempatan, kata atuk ramai datang dari negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Kelantan.

Atuk berkongsi kisah dua pekerja seks lelaki terdiri daripada adik beradik yang berasal dari Kelantan.

"Atuk kenal adik-beradik ni. Si abang positif HIV berkongsi jarum suntikan dengan adiknya dan adiknya juga kemudian positif HIV. Masa atuk kenal mereka, umur abang 15 dan adik 14 tahun.

"Itulah realitinya dan atuk tengok si abang bersilih-ganti perempuan sedangkan dia positif HIV, " katanya.

Bimbang penyakit

Ditanya tentang bilangan pekerja seks lelaki itu, atuk berkata setakat yang dia tahu lebih daripada 100 orang.

Bagi atuk isu pekerja seks lelaki ini amat merisaukan.

Kata atuk, dia tidak bermaksud untuk membuka aib mereka tetapi golongan itu, perlu ingat bahawa tindak-tanduk tanpa informasi akan memberi kesan kepada orang di sekeliling.

"Pasangan mereka, pelanggan mereka, ibu bapa mereka, masyarakat sekeliling? Kalau dia berkahwin, apakah impak kepada anak mereka?

"Ramai yang atuk jumpa kemudian muka-muka baru, yang atuk tidak pernah kenal dulu dan atuk tak pasti dari mana mereka datang. Ke mana pula mereka yang atuk pernah jumpa? Ke mana mereka?

"Yang membimbangkan kita tak tahu status kesihatan mereka, siapa yang peduli akan keadaan ini? Inilah antara isu yang sering atuk bangkitkan jika ada perjumpaan seperti perbincangan berkaitan HIV/Aids," tambahnya.

Atuk turut berkata, dia pernah berkawan dengan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang turut memperdagangkan tubuhnya untuk mencari wang tambahan.

Atuk juga pernah mengenali seorang tentera yang sudah beristeri dan melakukan kerja yang sama untuk mencari wang saku.

"Dia kata tak cukup dengan gaji," kata atuk.

Hulur bantuan

Semasa berkhidmat dengan PT Foundation, pertubuhan berasas komuniti terbesar yang memberi khidmat kepada golongan yang dikatakan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV di Kuala Lumpur, atuk berkata sasaran kerja-kerja outreachnya tertumpu kepada pekerja seks lelaki.

Menurut atuk apa yang dilakukannya ketika itu lebih kepada usaha memberi penerangan untuk mencegah penularan penyakit kelamin dan penyakit HIV/Aids.

Pekerja seks lelaki itu juga diberi kondom percuma.

Ada satu kesalan yang masih menghantui diri atuk. Katanya masih kurang usaha untuk membantu pekerja seks lelaki ini.

"Setiap kali ada mesyuarat atuk akan bangkitkan perkara ini. Atuk melihat isu mereka lebih luas. Jika dia positif HIV, impak kepada pasangan dia? Kalau dia berkongsi jarum suntikan dan mendapat Hepatitis C, impak kepada anak? kepada isteri?

"Kita tahu semakin ramai isteri yang dijangkiti HIV, mendapat penyakit ini daripada suami.

"Dalam konteks pencegahan HIV, seboleh-bolehnya kita akan memberi maklumat supaya mereka dapat dilindungi daripada dijangkiti penyakit HIV atau penyakit kelamin.

"Tetapi selepas diberi nasihat dan penerangan dan kalau mereka mahu kembali ke pangkal jalan, ia adalah sesuatu yang cukup baik, syukur alhamdulillah," kata atuk.

Risiko penyakit

Atuk berkata, ada pekerja seks lelaki yang beranggapan mereka tidak berisiko untuk dijangkit penyakit. Tidak terfikir di benak mereka HIV/ Aids, penyakit kelamin atau hepatitis C.

Menurutnya, meskipun apabila mereka tidak melakukan lagi kerja-kerja itu tetapi mereka tidak tahu status kesihatan mereka.

"Simptom HIV bukan nampak hari ini, atuk sendiri simptomnya mungkin 7 atau 8 tahun baru nampak. Atuk boleh mengagak atuk dijangkiti HIV 17 tahun lepas kerana pergaulan atuk. Bila atuk jalani ujian pada 1996, atuk sah positif HIV," katanya.

Atuk turut melontarkan kebimbangan apabila pekerja seks lelaki yang positif HIV tetapi menyembunyikan keadaan kesihatannya.

Pengalaman peribadinya menyaksikan perkara ini banyak berlaku.

"Mereka ini takut kehilangan pasangan yang dicintai. Orang yang macam ini pada atuk amat tidak bertanggung jawab meskipun dia tidak lagi mengambil dadah atau memperdagangkan tubuh.

Ada nasihat

Perit dengan apa yang telah dilaluinya selama ini, atuk kini ingin menghabiskan sisa-sisa usia yang masih ada untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Bagi atuk dia akan meneruskan khidmat baktinya sehingga ke hujung nyawa meskipun ada kalanya dia merasa sudah terlalu penat dengan apa yang dilakukannya.

"Atuk berpegang kepada ajaran Islam bahawa ajal itu sesuatu yang pasti. Kalau masanya sudah sampai ia tidak akan dipercepatkan satu saat atau diperlewatkan satu saat.

Bagi atuk tidak terlalu lambat untuk mereka yang dikatakan tersasar untuk kembali ke fitrah pengetahuan.

Golongan remaja, katanya mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi yang sukar dibendung kecuali mendapat pendidikan kuat daripada ibu bapa.

Atuk memberi contoh minum arak. Di Kedah atuk lihat remaja umur 17, 18 tahun tonggak botol bir yang dibalut suratkhabar sambil memandu kereta.

"Jadi apa juga yang kita cuba di usia muda, kalau kita tahu benda-benda itu tidak baik, kita jangan sekali-kali mencubanya.

"Dan apabila kita menemui jalan kebaikan, carilah ilmu untuk mencari kebaikan itu. Jangan kita mencari jalan kejahatan.

"Atuk percaya jika kita masuk kelompok yang baik kita akan jadi baik. Jika kita masuk kelompok yang jahat, jadi jahatlah juga kita," tegasnya.

- Bernama








Tiada ulasan: