HATI JADI MATI JIKA 40 HARI TIDAK MENUNTUT ILMU ISLAM DAN 3 HARI HATI JADI SAKIT...KERANA IA MAKANAN HATI...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ
Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُلاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم....
وَالـــــسَّلاَمُ عَلَيْكُـــمْ وَرَحْمَـــة ُاللهِ وَبَرَكَاتُـــهُ
Sabtu, 30 April 2011
BUKAN SOAL MENANG KALAH...SALAH BENAR...ITU DALAM ILMU ALLAH.. KESAN BURUKNYA...ANAK2 KECIL TELAH DIDEDAHKAN TENTANG SEX..YANG DIPAPAR DIMEDIA2
Pandangan Tokoh Agama Mengenai Video Seks dan Sumpah Laknat
1. Pandangan Bekas Mufti Wilayah Persekutuan
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.
Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi,
Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.
“Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.
Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.
Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.
“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.
“Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.
“Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.
“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.
Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang kesan atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.
“Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.
“Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.
Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.
“Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya.
2. Pandangan Bekas Mufti Perlis
Saya mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor. Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek dalam kalangan politikus dan media di negara ini. Kita menentang POLITIK LUCAH dan POLITIK SELAK KAIN. Semua rakyat Malaysia yang bermaruah dan mempunyai harga diri sebagai manusia bertamadun menuntut perkara-perkara berikut;
1. Semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat. Ia adalah amalan jijik dan kotor. Samada dalam UMNO, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; samada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang. Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain.
2. Bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini. Ini akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan.
3. Media hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik. Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.
4. Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif. Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita. Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri.
5. Rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti. Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran.
- Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
3. Pandangan Bekas Mufti Perlis yang Kedua
Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.
Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.
Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Aib Peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.
Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.
Firman Allah(maksudnya):
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
Bukan Bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.
Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.
Firman Allah: (maksudnya)
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhanjaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf(menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.
Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit Generasi Baru!
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!
(Disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya bertajuk Hakikat Mubahalah menyebut 5 syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.)
1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T. tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah
2. Berilmu. Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.
3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan takwa.
4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.
5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama, diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut terhasilnya maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.
5. Pandangan Mufti Perak
Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah mubahalah berhubung dakwaan rakaman video seks, oleh tiga “Datuk T”, yang mengaitkan dengan diri beliau.
Ini kerana jelas Mufti Perak, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” masih belum dibuktikan lagi.
Tegas, Harussani (gambar), sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.
“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.
“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik akhbar arus perdana baru-baru ini, agar Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ekoran tuduhan “Datuk T” terhadapnya. Asri dipetik berkata Anwar perlu bersumpah seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tiga tahun lalu.
"Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.
Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.
Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa “Datuk T”.
Malah sebelum ini Shuib juga mencabar Anwar supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks itu.
Tambah Harussani, sekiranya Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ia tidak boleh membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam tuduhan itu.
“Sumpah mubahalah ini tak perlu buat depan orang ramai, kalau nak buat di mahkamah.
“Kalau buat depan orang ramai tidak boleh pakai kerana keputusan hanya dibuat di mahkamah sahaja... kalau buat kepada orang ramai, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.
6. Video Sumpah Laknat Datuk 'T'
Surah Al-Munafiqun Ayat 1 hingga 4
[1] Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
[2] Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[3] (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).
[4] Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?
p/s :
1. Saya menyiarkan kesemua pandangan tokoh-tokoh agama mengenai video seks, sumpah laknat dan politik lucah ini bukanlah bertujuan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi mahu menyatakan kebenaran yang disembunyikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
2. Pelik sungguh saya apabila kesemua pandangan tokoh agama ini tidak disiarkan di mana-mana media-media perdana contohnya Utusan Malaysia, TV3 dan sebagainya. Kenapa ye? Justeru itu, kita tidak semestinya perlu percaya 100% pada media perdana ni tetapi bacalah juga media-media alternatif kemudian barulah kita layak menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Kita tak boleh terus menilai dengan hanya berpandukan satu sumber semata-mata.
3. Saya bertambah pelik apabila ada dikalangan rakan-rakan yang menyatakan bahawa "Dia dah bersumpah, kira dia betul la tu." satu lagi kenyataan berbunyi "Alaaa, kalau betul dia berada di pihak yang benar, mesti dia berani bersumpah!" Senangnya kita menghukum orang. Jika begitu, semua rakyat di Malaysia semuanya boleh merompak, merogol lepas tu panggil wartawan buat sumpah laknat, kes pun tutup. macam tu ke? Selagi tidak ada bukti , saksi dan ternyata benar-benar disabitkan kesalahan, maka kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum orang. Silap hari bulan kalau salah menghukum, boleh jatuh fitnah. Kita diberikan akal yang sempurna oleh Allah SWT maka gunakan ia sebaik mungkin.
4. Saya ingin memohon maaf sekiranya saya terkasar bahasa ataupun mengeluarkan kata-kata yang sensitif. Saya bukannya apa, tetapi sudah naik muak dengan politik lucah yang diamalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan diri mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan