Sabtu, 30 April 2011

KERAJAAN YANG BAIK...PEMIMPIN YG ADIL..ULAMAK BERANI MENEGUR...ORANG KAYA DERMAWAN...ORANG MISKIN MENDOAKAN...BUKAN PEMIMPIN YG ZALIM..ULAMAK FASIK...

PAS tegas akan bersama Pakatan - Mustafa Ali
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 April: PAS dengan tegas menyatakan akan kekal bersama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berjalan dengan baik di negara ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai kenyataan yang tidak sihat untuk perkembangan politik di negara ini.

Mustafa (gambar) mengulas kenyataan Najib yang sekali lagi menjemput PAS untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah beberapa kali ditolak oleh PAS.

Chua pula berkata, MCA tidak akan berada dalam kabinet lagi jika parti itu tidak mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib hari ini mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Najib ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat sini.

Najib mengadakan lawatan kerja ke Terengganu hari ini. Sebelum ini timbalan beliau, tan Sri Muhyidin Yasin juga datang ke Dun Manir, kawasan yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib.

"Suka saya tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap komited bersama dengan Pakatan Rakyat - bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berkembang dengan baik di negara ini demi kepentingan masa depan Malaysia," kata Mustafa dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Bagi Mustafa, kenyataan Najib dan Chua ini hanya kenyataan politik.

Menurut Mustafa, mempunyai orang Melayu sepenuhnya di pihak kerajaan manakala pembangkang pula Cina adalah satu ciri-ciri kemusnahan kepada negara yang tercinta ini.

"Jadi PAS tidak akan membiarkan dirinya ke arah itu," tegas beliau.


Umno terdesak dengan sokongan pengundi Cina
Rizal Tahir

TUMPAT, 30 April: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertemu dengan komuniti Cina di negara ini di samping tidak sabar untuk bertemu rakan sejawatnya dari China membuktikan usaha terdesak BN untuk mendapatkan sokongan kaum tersebut di negara ini.

Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) berkata usaha itu tiada lain bertujuan untuk memberikan satu signal kepada masyarakat Cina di negara ini mereka mesra masyarakat Cina sehingga memberi liputan khas berhubung kedatangan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas menziarahi adik Ahmad Izamuddin Mohammad, 19 yang terkena tembakan Unit Pencegah Penyeludupan baru-baru ini di perkarangan Hospital Daerah Tumpat.

Ketika Najib berusaha mendekati masyarakat Cina selepas kemenangan bergaya DAP di Sarawak, mesej berbeza dihantar oleh media Umno, Utusan Malaysia kepada masyarakat Cina di negara ini.

Oleh kerana terlalu ghairah untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri China ke Malaysia, pentadbiran Najib ditempelak dengan terjemahan banner yang menyambut kedatangan PM China itu apabila ia dibuat dengan semberono sahaja.

Najib terpaksa memohon maaf kepada PM China ekoran kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Selain Najib, timbalan beliau, Tan Seri Muhyidin Yassin pula ke negara China untuk menarik pelabur dari sana sehingga ada yang berkata, "Duit China mahu tetapi orang Cina tidak dikehendaki."

Bagi Shamsul Iskandar, kenyataan Perdana Menteri kononnya beliau menyayangi masyarakat itu sebenarnya ‘sayang ada makna tu’ selepas menyedari kegagalan BN kurang mendapat sokongan kaum itu.

Jelasnya, Umno dan BN semakin terseksa selepas pilihanraya umum lalu terutama pilihanraya negeri Sarawak apabila mendapati sokongan kaum Cina terhadap mereka semakin merosot.

Beliau bagaimanapun yakin tindakan BN itu tidak akan dapat membeli hati pengundi masyarakat Cina kerana sedar usaha itu hanya sekadar menawan hati pengundi berkenaan.

“Masyarakat Cina telah lama menyedarinya dan kita berharap rakyat lain di Negara ini juga turut berbuat demikian kerana Umno sebenarnya tidak relevan lagi untuk mentadbir Negara,”ujarnya.


MB Selangor: Perutusan hari pekerja 1 Mei
Khalid Ibrahim
Assalamualaikum dan Selamat sejahtera.

1 Mei datang lagi. Tahun 2011 ini Hari Pekerja di Malaysia disambut pada Ahad, bersamaan 27 Jamadilawal 1432 Hijrah. Ia merupakan kali ke-32 cuti umum sempena Hari Pekerja disambut oleh golongan pekerja di Malaysia setelah Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja di Malaysia.

Namun begitu, Hari Pekerja tidak disambut serentak di kebanyakan negara di dunia yang mengiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization/ILO). Di samping Malaysia, Argentina, Austria, Belgium, Jerman, Norway Itali, Korea Selatan Perancis, Singapura, Sepanyol, Sweden, Thailand, dan Vietnam juga menyambutnya pada 1 Mei.

Kanada dan Amerika Syarikat menyambutnya pada 2 September; New Zealand (28 Oktober) dan Britain (6 Mei). Jepun, yang mengenalinya sebagai Hari Terima Kasih Pekerja, menyambutnya pada 23 November.

Bagi pekerja di negeri Selangor khususnya, pada tahun ini kita mahu memantapkan perhubungan antara majikan dan pekerja. Selangor, sebagai negeri yang paling maju daripada segi pertumbuhan ekonomi Malaysia, sedar akan betapa pentingnya mengekalkan sumber tenaga kerja yang berdaya saing tinggi dan suasana pasaran yang dinamik. Dua-dua aspek ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara majikan, pekerja dan kerajaan.

Sementelahan pula Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan penduduk negeri, terutamanya pekerja dan usahawan kecil.

Maka, bersempena dengan Hari Pekerja Se-Dunia pada 1 Mei 2011 ini, saya dengan sukacitanya, mengumumkan penubuhan Institut Produktiviti & Perhubungan Perusahaan Selangor atau singkatannya “InPPP.” Institut ini merupakan sebuah pertubuhan yang bersifat sukarela dan bebas. Keanggotaannya terdiri daripada majikan (pihak swasta), wakil kesatuan sekerja dan ahli akademik.

Antara misi InPPP adalah, sebagai wadah bagi mengeratkan perhubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan untuk membolehkan dasar dan usaha bersama yang lebih selaras; untuk membantu usahawan dan golongan pekerja dengan memperkenalkan cara pengurusan, latihan dan teknologi terkini yang lebih berkesan untuk mempertingkat produktiviti; dan untuk menaikkan mutu hidup pekerja dan penduduk Selangor pada amnya.

Buat sementara waktu, satu Jawatankuasa Protem ditugaskan untuk melaksanakan kerja penyediaan dalam tempoh enam bulan.

Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, saya yakin Institut Produktiviti & Perhubungan Perusahaan Selangor ini dapat memperjuangkan hak para pekerja dalam hal menikmati limpahan kekayaan ekonomi yang sejak puluhan tahun hanya dinikmati oleh segelintir dan meminggirkan majoriti rakyat terutama golongan pekerja.

Semoga Allah sentiasa memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita semua.

“Selamat Menyambut Hari Pekerja”. Terima kasih



TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Baca puisi, ceramah bahasa malam ini
Harakahdaily

GOMBAK, 30 April: Gerakan Darurat Bahasa (GDB) akan mengadakan majlis baca puisi dan ceramah Selamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada malam ini, 30 April di Madrasah Tarbiah, Kampung Banda Dalam Gombak bermula jam 8.30 malam.

Majlis baca puisi dan ceramah ini akan dimeriahkan dengan kehadiran Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Seniman Rakyat, Dinsman dan ceramah oleh Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa, Cikgu Azmi Hamid dan Cikgu Ishak Surin, Ketua Kampung, Kampung Banda Dalam.

Selain itu dijangka hadir juga ialah kolumnis Tukar Tiub @ Hishamuddin Rais yang akan menyampaikan ‘Komedi Berdiri’nya.

Oramai dijemput hadir.


Tiada ulasan: