Rabu, 27 April 2011

APA MEREKA RISAU...SEBAB MEREKA KAYA...BANYAK CARA WANG MASUK DALAM SAKU....JADI MEREKA APA PENDULI...TIME MENGUNDI DATANGLAH...

Kerajaan perlu lulus gaji minimum
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 April: Kerajaan sekali lagi diingatkan agar menjaga kepentingan golongan pekerja dengan meluluskan tuntutan gaji minimum yang sejak sekian lama disuarakan mereka.

Penyelaras Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd MHatta Ramli (gambar) berkata, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini seharusnya memberikan suatu perubahan ke arah meningkatkan kualiti dan taraf hidup pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan.

"Sempena hari pekerja ini kita (Protes) harap segala tuntutan khususnya gaji minima ini diambil serius oleh para majikan untuk mengeluarkan para pekerja kita daripada kongkongan kemiskinan dan mula bergerak ke arah pendapatan sederhana, kalau pun tidak melebihi RM2,000 sebulan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bendahari PAS itu juga menegaskan, untuk memastikan golongan pekerja terbanyak ini dapat menyumbang kepada produktiviti negara, majikan seharusnya terlebih dahulu menimbangkan segala tuntutan mereka.

"Kita mengharapkan kumpulan pekerja yang teramai ini diperkasakan supaya kita mendapat pekerja yang produktif.

"Ini bermakna para majikan harus menimbangkan tuntutan-tuntutan yang wajar seperti gaji minima,elaun perumahan dan sebagainya supaya isu ini tidak membebankan para pekerja adan menyebabkan produktiviti mereka terjejas," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan harga barang keperluan asas supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati hasil pendapatan mereka dengan lebih baik.

"Untuk menjaga kepentingan golongan pekerja ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang drastik untuk menangani isu kenaikan harga barang dan berjanji tidak akan menaikkan harga-harga barangan penting seperti minyak dan sebagainya supaya pekerja dapat menikmati hasil pendapatan mereka lebih baik dan juga mengekang inflasi daripada terus naik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi tempoh selama dua bulan untuk kerajaan menurunkan harga barang yang telah naik selain menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika.

Lim berkata, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara iaitu mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.

Namun anehnya apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.

Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus.

"Kenapa kita tidak lihat harga barangan di luar negara turun tetapi di Malaysia harga barang terus naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport.

"Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri dua bulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidak kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, dekat sini, semalam.


Kebenaran terserlah – perjuangan Kase diakui
Zulhazmi Shariff

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03. Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang keputusan Kerajaan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanya setelah kesalahan yang dilakukan dibawa dan dibuktikan di Mahkamah. Antaranya beliau menyebut seperti berikut: It’s not (being lax). It’s only fair; innocent until proven guilty – that is the basic principle of law. Only when they are found to be guilty of their offences in court, will they be blacklisted.

Menyorot kembali polisi Kerajaan sebelum ini di mana Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan kaedah senarai hitam pemilik-pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu iaitu dengan menghalang segala transaksi melibatkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) dan lesen memandu jika didapati pemilik kenderaan dan pemegang lesen mempunyai “perkara yang belum selesai” di dalam rekod JPJ dan PDRM. Tidak pernah pada bila-bila masa semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan mereka. Sebaliknya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen terus dihalang transaksi dengan JPJ melainkan mereka membayar dahulu segala kompaun bagi setiap perkara yang terdapat di dalam rekod JPJ dan PDRM. Ekoran tindakan tersebut, balai-balai polis, kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ dikerumuni para pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar kompaun-kompaun kerana terdesak dan takut mereka akan disenarai hitam. Mereka terpaksa bersusah payah beratur, mengambil cuti dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk melangsaikan kompaun sedangkan semua kesalahan yang direkodkan di dalam sistem JPJ dan PDRM masih belum dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ bertegas mengatakan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan senarai hitam tersebut melalui peruntukkan Seksyen 17(1)(d) dan Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Kami di Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) secara konsisten menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun 2009 di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan pengangkutan Jalan Negeri Sarawak. Kami di KASE telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Menteri Pengangkutan pada Ogos 2010 dan kemudiannya menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Walaubagaimana pun jawapan yang diterima pada waktu itu tetap sama iaitu Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam walaupun kes Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan sebaliknya.

Desakan demi desakan dilakukan sehinggalah pada 23/3/2011 Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menarikbalik perlaksanaan senarai hitam atas kesalahan yang dikeluarkan Notis Pol 170A atau lebih popularnya “Saman Ekor”. Alasan yang diberikan beliau ialah Jemaah Menteri mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara bahawa keputusan perlu ditangguhkan sehingga suatu kes rayuan diputuskan di Mahkamah.

Kami di KASE menyambut baik keputusan tersebut. Walaubagaimana pun keputusan tersebut dengan jelas, nyata dan terang menunjukkan bahawa Kerajaan telah mendera, menindas, menzalimi dan memaksa rakyat khasnya pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar dan mengakui sesuatu perkara yang belum pasti dan belum diputuskan kesalahan mereka oleh Mahkamah. Tindakan Kerajaan sebelum ini jelas membuktikan prinsip “innocent until proven guilty” (tidak bersalah melainkan dibuktikan salah) yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak diendahkan. Kenapa setelah berjuta-juta duit rakyat diperas melalui tindakan senarai hitam baru sekarang hendak disebutkan prinsip “innocent until proven guilty”. Adakah semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini Kerajaan tidak pernah tahu prinsip “innocent until proven guilty”?

PDRM pula dengan bangganya mengumumkan bahawa sehingga Februari 2011 sejumlah lebihkurang RM496.7 juta telah berjaya dikutip. Kutipan ini hasil daripada perlaksanaan kaedah ugut dan paksa oleh Kerajaan selama ini. Kerajaan mengugut akan menghalang transaksi pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu jika kompaun tidak dijelaskan. Hasil ugutan itu, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen berpusu-pusu membanjiri balai polis, pejabat pos dan JPJ untuk membayar kompaun sedangkan kesalahan mereka belum dibuktikan. Inikah prinsip “innocent until proven guilty” yang dipegang oleh Kerajaan? Bayar dahulu – salah atau tidak bukan isunya? Rakyat Didahulukan! Adakah PDRM tidak perlu menggunapakai prinsip “innocent until proven guilty”? Adakah duit kompaun lebih penting daripada pembuktian kesalahan?

Keputusan menarikbalik senarai hitam juga dikatakan ekoran nasihat Jabatan Peguam Negara. Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan pada tahun 2009 tetapi hanya pada Mac 2011 baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam itu tidak betul. Negara amat malang mempunyai “penasihat” seperti ini. Sudah berjuta-juta duit rakyat dikaut, sudah berapa ramai rakyat disusahkan baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat bahawa tindakan Kerajaan tidak betul?

Kami di KASE ingin mendesak kepada Kerajaan untuk menjelaskan beberapa perkara. Pertama, atas prinsip undang-undang apa Kerajaan berpendirian bahawa Kerajaan boleh menghalang transaksi sebelum ini jika sekarang ditarik balik atas prinsip “innocent until proven guilty”? Kedua, siapa yang memberikan nasihat kepada Kerajaan untuk melaksanakan senarai hitam walau pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa tindakan itu salah? Ketiga, jika sekarang ditarik balik kerana prinsip “innocent until proven guilty”, bagaimana status mereka yang telah membayar kompaun sedangkan mereka tidak pernah didapati salah oleh Mahkamah? Mereka membayar kerana ugutan senarai hitam oleh Kerajaan, bukannya mengaku kesalahan.

Akhirnya KASE mendesak Kerajaan melakukan perkara-perkara berikut:

a) Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen atas tindakan senarai hitam tanpa bukti sebelum ini.

b) Memulangkan segala bayaran kompaun yang telah dibuat oleh para pemilik kenderaan dan pemegang lesen akibat perlaksanaa kaedah senarai hitam sebelum ini.

c) Mengeluarkan rekod kesalahan yang tidak dibuktikan di Mahkamah daripada sistem PDRM dan JPJ melainkan semua kesalahan tersebut dibawa dan dibicarakan di Mahkamah.

d) Menghapuskan semua saman-saman ekor dan perkara-perkara yang tidak dibuktikan kesalahan di Mahkamah daripada rekod JPJ dan PDRM.

Sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, KASE berpendapat bahawa Kerajaan sememangnya tidak bertanggungjawab dan telah bertindak zalim kepada rakyat. Di mana slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan? Kebenaran Akhirnya Terserlah....

Zulhazmi Shariff adalah Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Kawal permainan ganas komputer, telefon bimbit
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 April: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya sentiasa berjaga-jaga dalam usahanya untuk mengawal ancaman permainan komputer dan telefon bimbit yang ganas ke atas masyarakat.

Presidennya, S M Mohamed Idris (gambar) berkata, banyak kajian sedia ada yang mengaitkan permainan online ganas dengan sikap keagresifan dalam kalangan kanak-kanak.

Tambahnya, terdapat juga kajian, tetapi amat sedikit yang mendakwa sebaliknya.

“Bagaimanapun penyelidik yang berkelayakan dan mereka yang membiayai kajian seharusnya memberitahu kita yang boleh diyakini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, adalah sesuatu yang logik dan munasabah iaitu siapa sahaja terutama sekali kanak-kanak pada usia yang mudah terpengaruh dengan melihat atau melakukannya atau apa sahaja perkara yang negatif yang memenuhi masa mereka mempunyai kesan yang akan memberikan kesan merosakkan ke atas jiwa mereka.

“Kita telah melihat banyak jenayah remaja di negara barat yang dicetuskan oleh permainan komputer dan video ganas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, menafikan hakikat ini sepertilah menyembunyikan perkara sebenar dan tidak mempedulikan bahaya sebenar.

“Dalam masyarakat hari ini, termasuk Malaysia, kita mempunyai terlalu banyak “tindak balas” keganasan malah kepada insiden kecil seperti dalam kes pembuli jalan raya,” ujarnya.

Di Thailand, katanya beberapa tahun yang lalu, seorang penjenayah telah meniru permainan komputer menyebabkan pengedar tunggal yang sah permainan itu telah menghentikan penjualan permainan itu dan memutuskan untuk tidak mengimport versi yang seterusnya, yang keempat daripada siri itu.

Katanya lagi, kini masyarakat sedang memasuki satu lagi dimensi dengan bidang baru berupa permainan melalui telefon bimbit.

Di Korea, tambahnya peratusan besar lebih daripada 700,000 kanak-kanak dengan telefon pintar menggunakannya untuk bermain permainan online, oleh itu telah membawa kepada kira-kira 50 persatuan ibu bapa di sana menggesa supaya larangan bermain permainan komputer online pada waktu malam bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun dikenakan juga kepada telefon bimbit.

Beliau berkata, tindakan proaktif untuk melindungi masyarakat Malaysia juga perlu jalan yang pintar, sebagai ganti melaksanakan sikap “tunggu dan lihat” untuk melihat jika jenayah seperti itu berlaku atau menuntut kaitannya sebelum mengambil langkah.

Tambahnya, “sampah masuk, sampah keluar” jelas menunjukkan kesan permainan ganas yang kini dengan mudah boleh diperolehi daripada komputer riba, i-Phones dan telefon pintar lain.

Justeru, ujarnya CAP menggesa pihak Kementerian mengambil langkah segera untuk menghapuskan permainan yang sama dan memberi amaran kepada pengguna terutama sekali ibu bapa akan pengaruh negatif terhadap anak-anak mereka.

Tiada ulasan: