Khamis, 14 April 2011

DULU CAKAP LAIN ...SEKARANG CAKAP LAIN...TAK KAN DUA2 BETUL...SATU BOHONG DAN SATU YANG BENAR...YANG BENAR ALLAH SAJA TAU...MORAL2 OH MORAL


Najib disambut dingin di Pekan Pusa
Harakahdaily

BETING MARO, 13 April: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri Sarawak, Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin terdesak apabila isu membabitkan Tan Sri Taib Mahmud terpaksa dijawab satu persatu.

Namun isu bila Ketua Menteri itu akan meletak dan siapa pengganti nampaknya belum mampu dirungkai BN. Ini menyebabkan aktiviti kempen
jentera BN kurang mendapat sambutan.

Hari ini terbukti lagi apabila kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Pekan Pusa disambut tidak lebih 100 penyokong BN.

Lebih memalukan lagi apabila program kempen Najib yang diadakan sejurus selepas itu semakin kurang bilangan pendengar. Kalau hendak dihitung 50 orang pun sukar.

Perdana Menteri datang menggunakan helikopter (gambar). Pemimpin BN tidak serik menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan biar pun seorang terbunuh pada kemalangan helikopter kelmarin.

Najib difahamkan terpaksa berkempen di Beting Maro memandangkan terdapat bayangan BN sukar mempertahankan kerusi berkenaan pada
pilihan raya kali ini.

Isu calon yang tidak dipersetujui akar umbi penyokong BN kini sukar ditangani. Keputusan Taib mengenepikan Bolhassan Di, penyandang
sebelum ini juga makin payah diselesaikan.

Selain itu dan kemenangan kecil Bolhassan pada pilihan raya sebelum ini dengan 895 undi menyebabkan situasi cemas melanda BN.

Menurut krew Kelantantv yang berada di Beting Maro sejak Ahad lalu, kedatangan Najib turut disambut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang.

Katanya, Presiden PAS turut tampil bersalam dengan Najib ketika Perdana Menteri datang ke Pasar Pusa.

Ketika itu pemimpin PAS dan sebahagian daripada Kelantan sedang minum pagi bersama calon PAS Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

”Sambutan penduduk Pusa terhadap Najib amat dingin sekali. Tidak ramai sebagaimana dijangka walaupun BN buat pengumuman termasuk melalui TV
meminta rakyat Pusa keluar menyambut Perdana Menteri.

”Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Ketika ucapannya beliau menghentam Presiden PAS apabila menyebut ’orang PAS bila sambut, peluk
kita nampak baik tapi politiknya jahat," kata jurucakap Kelantantv.

Najib difahamkan tiba di Kuching malam tadi. Beliau dijangka menghabiskan masa berkempen di bahagian Selatan Sarawak iaitu Pusa, Sebuyau dan Batang Sadong sehingga esok.

Dua hari lalu beliau berkempen di Beladin, salah satu Daerah Mengundi di Dun Beting Maro yang hanya boleh dihubungi melalui feri menyeberangi Sungai Saribas.

Turut berkempen membantu calon BN di Beladin, semalam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom.

”Tinggal dua hari kempen sebelum hari pengundian Sabtu ini ternyata BN berada dalam keadaan tersepit apabila pelbagai isu membabitkan Taib
terutamanya tanah adat langsung tidak disentuh Najib semasa melawat
Beladin,” katanya.

Penduduk di Beladin juga dikatakan menuntut janji yang tidak ditunaikan sehingga kini termasuk membayar pampasan tanah.

Malam tadi Ustaz Abdul Hadi berceramah di Pusa Tengah bersama anggota jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu; Senator Mumtaz Nawi, dan
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Sambutan penduduk Pusa terhadap ceramah PAS begitu menggalakkan sekali di mana jauh lebih positif berbanding pilihanraya negeri Sarawak pada
2006.

Malah anak-anak muda tidak kekok melaungkan kata-kata 'Hidup PAS' dan didapati mereka memberi sokongan padu terhadap Abang Mat.

Jentera pembantu kempen dari Dewan Pemuda Kelantan diketuai Abdul Latif Abdul Rahman turut mengadakan acara sukan bersama belia dan anak
muda di Kampung Pusa Tengah semalam.

Sementara itu pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Kelantan, Zainal Abidin Husien berkata, momentum yang berlaku di semenanjung
pada 2008 ternyata telah hanyut ke Sarawak.

”Sebelum ini kita boleh lihat gerak kerja kempen parti selain BN sukar mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

”Kempen PAS di Beting Maro pada pilihan raya negeri lalu pun berdepan dengan pelbagai kesukaran. Namun sekarang berubah 360 darjah. Penduduk boleh menerima PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

(Gambar: Abdul Hadi dan Najib bertemu sewaktu sama-sama berkempen di Pasar Pusa)

Menurutnya juga isu yang paling penting BN sehingga kini belum mampu memecah benteng keutuhan Pakatan Rakyat biar pun cuba membawa isu
video lucah dengan andaian Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak rakyat Sarawak.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang, kehadiran pemimpin Pakatan mendapat sambutan hangat.

Ceramah Muryidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin utama DAP di bandar Kuching malam 10 April lalu mendapat sambutan luar jangka.

”Apa pun keputusan pilihan raya Sarawak ini akan mempengaruhi sentimen politik di semenanjung. Semangat Pakatan sudah diterima rakyat, kata
orang boleh jalan sekarang.

”Kalau dahulu orang masih ragu-ragu, sekarang tidak lagi. Malah usaha media pro BN menghodohkan wajah pemimpin Pakatan nampak belumberjaya,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam Sains Politik berkata, keputusan pilihan raya Sarawak menjadi petunjuk kepada pilihan raya umum ke-13.


Kes Altantuya: Saya tak pernah tuduh PM, isteri terbabit, kata RPK
Apr 13, 11 8:42pm

"Saya tidak pernah menuduh Perdana Menteri atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan kes Altantuya Sharibuu."

Itu pengakuan pengendali lamanweb Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dalam temubual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini.

NONESebaliknya, Raja Petra mendakwa, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil-alih sebagai Perdana Menteri.

Berikutan adalah transkrip temubual tersebut yang disiarkan dalam lamanweb TV3.

Raja Petra berkata, akuan bersumpah yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008, hanyalah bersandarkan maklumat yang diperolehi daripada beberapa individu ini

Menurut Raja Petra, ramai orang termasuk polis, membuat tuduhan tanpa meneliti akuan bersumpahnya.

Dalam akuan bersumpah itu Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

RAJA PETRA KAMARUDIN, PENGENDALI BLOG MALAYSIA TODAY

"Di dalam SD saya tadi saya telah bercerita bahawasanya orang ini telah beritahu dan biarlah orang ini yang datang dan bercerita. Dan pihak berkuasa perlu siasat dan panggillah orang ini. Itu yang saya tulis dalam SD. Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata saya tahu yang isteri timbalan perdana menteri semasa itu ada di tempat kejadian. Saya tidak cakap. Saya tidak buat satu tuduhan seperti berikut. Yang saya kata ada orang yang bercerita tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut lagi dan untuk orang-orang ini kedepan. Dan saya sebut nama-nama orang ini. Saya sebut semasa siasatan polis."

Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat berkenaan, daripada beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog Din Merican.

Menurut Raja Petra seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat yang sama.

"Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil kot. Takkanlah isteri Perdana Menteri nak pergi tempat itu kerana tempat itu kerana kawasan itu tempat hutan dan saya dok fikir dia nak panjat bukit, masuk hutan tengah tengah malam, pukul 12 malam, saya ingat mustahil kot."

Tambah Raja Petera, tujuan mereka ialah untuk memastikan Datuk Seri Najib tidak mengambil alih sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Menurutnya dalam pertemuan dengan Nik Azmi, beliau bertanya kenapa beliau didesak untuk membuat akuan bersumpah itu.

"what do you hope to achieve? Dia kata pak lah akan letak jawatan, kalau kita tak block Najib, Najib akan menjadi Perdana Menteri, ganti Pak Lah"

Menurut Raja Petra, beliau kemudian meminta Din Merican untuk mendapatkan pengesahan Datuk Seri Anwar.

"Din Merican pun contact saya balik dia kata dia dah cakap dengan Anwar dan Anwar pun bagi green light. Dia kata ok, orang ini no problem, apa dia cakap kita boleh percaya. Anwar pun kenal baik dengan dia ini dan dia pun biasa jumpa Anwar…leftenan kolonel ini. Dan dia pun banyak bercerita kepada Anwar tentang isu ini…dia kata proceed. Saya pun proceed."

Beliau berkata, kesemua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau di dakwa di mahkamah.

Bahagian kedua temubual ini dalam Buletin Utama esok.


Haris Ibrahim dilarang masuk Sarawak
Hazlan Zakaria
Apr 13, 11
9:42pm

Seorang lagi aktivis awam - presiden Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim - dilarang masuk ke Sarawak "atas arahan orang atasan".

Malaysiakini mendapat tahu mengenainya daripada tweet Fahmi Fadzil, setiausaha politik kepada ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

NONEKetika dihubungi, Haris (kiri) mengesahkan beliau kini terkandas di
lapangan terbang Kuching selepas tidak dibenarkan masuk ke Sarawak.

"Saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak, mereka beritahu yang saya telah disenaraihitamkan atas arahan pihak atasan, walaupun mereka sendiri tidak sedar kenapa saya dilarang masuk," katanya.

Haris, yang datang sendirian, berkata beliau berkeras meminta perintah bertulis hitam-putih mengenai perkara itu."Saya tidak berhasrat balik tanpa satu pengesahan rasmi," katanya.

Peguam yang menjadi aktivis itu menegaskan adalah tidak masuk akal untuk Sarawak melarang orang datang ke negeri itu hanya kerana pilihan raya akan diadakan, tanpa satu alasan yang sah.

Ekoran permintaannya itu, beliau diberikan satu notis melarangnya masuk ke negeri itu, tetapi tiada alasan diberikan.

Majoriti dua pertiga adalah satu 'bonus', kata Najib

Apr 13, 11 1:14pm

Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata, kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri Sawarak pada 16 April ini adalah satu 'bonus'.

NONEKatanya, ini kerana sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, yang hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah.

"Kemenangan dua pertiga adalah satu sasaran yang mampu dicapai. Jika kita capainya dua pertiga itu satu markah bonus untuk wujud kerajaan yang kuat dan stabil," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang optimis untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dengan kemenangan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Najib, yang disambut dengan paluan kompang dan bunga Manggar, mengakui BN menghadapi tentangan hebat di kawasan bandar, dan cabaran yang dihadapi kali ini "mungkin yang paling sukar dalam sejarah politik Sarawak".

Oleh itu, katanya, parti komponen BN dari Semenanjung Malaysia datang untuk membantu memperkukuhkan lagi jentera gabungan itu.

Katanya, mereka datang sebagai sebuah keluarga untuk membantu calon BN kekal diperintah BN.

Najib berkata, pihaknya tidak dapat menafikan bahawa kerusi di kawasan bandar berdepan dengan tentangan paling sengit.

Bagaimanapun, katanya, BN telah membariskan senarai calon yang berwibawa.

"Jika (pengundi) tidak melihat ini dan hanya mengundi untuk protes, maka saya tidak tahu lah," katanya kepada wartawan.
Sementara itu, perdana menteri juga berkata, dalam mana-mana pilihan raya, prestasi turun naik biasa berlaku dan BN menyedari pilihan raya Sarawak kali ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negeri ini.

NONE"Saya tahu di mana kekuatan BN, di mana kita hadapi tentangan. Kita kena bekerja kuat lagi di kerusi yang terlepas dan kita ada calon yang berwibawa," katanya.

Ditanya kononnya BN cuma membawa "politik Semenanjung", Najib berkata, tuduhan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pengundi sedangkan mereka sendiri turut berkempen di Sarawak.

"Anda tengoklah sendiri Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Guan Eng juga ada di sini turun berkempen.

"Saya - mereka kata tak boleh pulak. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua, untuk ralyat Sarawak juga," katanya.

Iklan 'Saya sayang Pek Mo' - SUPP berang

Wong Teck Chi
Apr 13, 11
8:10pm

Papan iklan "Saya sayang Pek Mo" yang didirikan oleh DAP pagi ini dikatakan menghantui dan memberangkan presiden SUPP dan calon Piasau, Tan Sri Dr George Chan dan dua calon parti itu.

Menurut ketua DAP Johor, Boo Cheng Hau pada sidang akhbar di hadapan papan iklan itu seorang peguam SUPP - David Siaw - telah menghantar sms yang bernada keras kepada pengarah pilihan raya DAP.

Dalam satu daripada sms yang ditunjukkan kepada Malaysiakini, peguam SUPP itu mahu DAP menanggalkan papan iklan itu ataupun menghadapi tindakan undang-undang.

"Sila turunkan papan iklan yang menunjukkan gambar calon kami bersama Ketua Menteri. Awak tidak ada hak menggunakan gambar mereka. Harap ambil perhatian, kami akan menyaman fitnah.”

Dalam satu lagi mesej, pengirimnya memberi amaran parti komponen BN akan bertindakbalas jika papan iklan itu tidak diturunkan.

"Awak mungkin akan saksikan calon DAP berkata perkara-perkara yang memihak BN.”

DAP, bagaimanapun enggan menurunkan papan iklan tersebut dan mendakwa mereka tidak memfitnah sesiapa.

"Kecuali awak kata tidak sayang Pek Moh, maka tiada unsur fitnah," kata Lim Sie Keong, calon DAP yang akan menentang Chan di Piasau.

DAP dakwa perbuatan ganggu undi pos dirakam

Apr 13, 11 6:06pm

DAP hari ini mendedahkan satu klip ringkas video kepada pihak media yang didakwa parti itu menunjukkan berlakunya perbuatan mengganggu undi pos.

NONEParti pembangkang itu mendakwa insiden itu telah dirakamkan di
Wisma Sanyan, Sibu, tempat pembuangan undi pos semalam.

Dalam klip video selama 1.32 saat itu, seorang lelaki dikatakan telah dirakamkan sekitar waktu tengah hari, menerima kertas undi pos dari empat pengundi wanita, sebelum menyedari tindakannya dirakam.

Lelaki itu dengan cepat memulangkan kertas undi tersebut dan cuba menghalang ejen pengundian DAP, daripada memantau proses undi pos.

Ejen pengundi pos DAP, Mary Josephine Prittam Singh berkata, kertas undi tidak patut diberikan kepada orang lain, sekaligus dia percaya perbuatan membeli undi berlaku di Wisma Sanyan.

Satu laporan polis akan dibuat.

Haris Zalkapli: Dunia pasca-Konsensus Washington
Haris Zalkapli

Perkembangan sejak penghujung 1990-an telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam imbangan kuasa dan pengaruh kuasa-kuasa ekonomi dunia.

Selain kumpulan lapan negara industri G8, perhatian dunia kini semakin banyak tertumpu pada G20, kumpulan 20 negara maju dan membangun.

Peningkatan kekuatan negara seperti China, Brazil dan India pula telah mengubah peranan dalam kalangan negara-negara penyumbang dan penerima bantuan.

Negara pesat membangun mula menjadi sebahagian penyumbang bantuan, termasuk kepada negara-negara Eropah yang dilanda krisis ekonomi.

Kekuatan ekonomi itu menjadikan mereka semakin perlu diambil kira dalam pembuatan keputusan.

Negara pesat membangun kini semakin asertif dan selesa dengan peranan lebih besar dalam sistem global.

China, gergasi ekonomi Asia yang semakin mencabar Amerika Syarikat dan sekutunya dari segi ekonomi dan politik semakin menuntut kedudukan lebih tinggi dalam sistem ekonomi dan kewangan global.

Mata wang yuan, yang walaupun masih tidak menarik berbanding mata wang utama dunia yang lain, semakin giat diantarabangsakan oleh Beijing, untuk mengiringi peningkatan kedudukannya di persada global.

Selepas dua krisis ekonomi dan kewangan besar melanda dunia, yang dikaitkan dengan sistem yang dibina dan dipaksakan oleh kuasa-kuasa Barat, negara-negara yang pesat meningkat naik semakin menuntut peranan lebih luas.

Dunia membangun kini lebih mampu untuk menolak preskripsi dan model yang ditentukan oleh kuasa-kuasa ekonomi Barat.

Kepesatan kemajuan dan peningkatan kekayaan China menjadi hal yang semakin mencabar pengaruh kuasa-kuasa sedia ada, sama ada negara mahupun institusi global.

Walau bagaimanapun, model pembangunan neoliberal yang menuntut liberalisasi yang sering tidak sehaluan dengan kepentingan rakyat terbanyak kini masih diletakkan di sebelah garisan yang positif dalam wacana politik dan ekonomi global.

Persaingan kuasa besar di negara bekas Soviet sejak 2003 menjadikan model pembangunan sebagai satu tajuk besar, meletakkan terus model pasaran bebas sebagai pilihan yang sewajarnya dan selain itu sebagai ke arah autoritarian.

Imej simplistik itu menjadi satu bahagian besar cerita geopolitik yang lebih luas itu, yang kini semakin terbukti bukan seperti yang digambarkan ketika persaingan sedang hangat dulu.

Pemilihan haluan model Barat jelas tidak langsung menjadikan negara terbabit lebih demokratik, telus dan bersih.

Model yang dikaitkan dengan China, digelar Konsensus Beijing diletakkan di kutub bertentangan, dengan kepimpinan politik autoritarian disifatkan menjadi ciri utamanya.

Hal ini sebahagiannya sukar untuk dinafikan, terutama memandangkan realiti yang disaksikan di medan pelaburan China di Afrika.

Tetapi bukan hanya dua kutub bertentangan ini yang sepatutnya menjadi pilihan negara-negara membangun dalam mengurus dan mengendalikan pembangunan negara.

Perkembangan terkini telah membuktikan AS dan dunia Barat semakin menyedari kemerosotan kuasa dan pengaruhnya berbanding kuasa-kuasa lain.

Seperti disaksikan di Asia Barat, peningkatan kuasa Turki semakin menjadi realiti yang perlu diterima kuasa-kuasa Barat, dan perlu diimbangi dengan sokongan mereka terhadap Israel pada tahap tertentu.

Kuasa lain tidak dapat dielakkan daripada mengambil peluang untuk kepentingan masing-masing, yang bermakna pemain-pemain berpengaruh semakin bertambah.

Tetapi, peningkatan jumlah pemain berpengaruh tidak semestinya akan menolak dan bertentangan dengan kepentingan kuasa-kuasa Barat di wilayah itu.

Kepentingan bersama tetap akan dipelihara dan menjadi persetujuan untuk dilindungi bersama.

Dalam persaingan melibatkan model pembangunan, Barat turut menyedari dunia yang semakin berubah kini memaksa mereka menerima pemain-pemain baharu yang berpengaruh.

Kuasa ide dan intelektual dunia lain turut bersaing untuk mengambil bahagian masing-masing.

Kuasa seperti China dan lain-lain tidak semestinya bertentangan dalam semua hal dengan kuasa kapitalis Barat, apabila negara Asia itu menjadi salah sebuah pemain yang berkepentingan untuk melihat sistem sedia ada diteruskan.

Penglibatan China dalam membina semula dan mengukuhkan sistem sedia ada akan turut menjadikannya berkepentingan meneruskannya.

Dunia pasca-Konsensus Washington tidak semestinya anti-Washington.

Dalam hal ini, dunia membangun perlu menuntut peranan dan bahagian mereka dan tidak membiarkan kuasa-kuasa tertentu sahaja yang membina peraturan dan konsensus yang mencorakkan dunia itu.


Selepas beberapa minit dipasang dibuang semula

Nazri Abdullah

SADONG JAYA, 13 April: Seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) di Kampung Ensengei Melayu di sini kecewa selepas meter elektrik yang tak sampai 24 jam di pasang, dicabut semula.

Kediaman penghulu tersebut, Tuan Haji Wahab Johari didakwa didatangi dua juruteknik Sarawak Electricity Supply Corporation (Sesco) lebih kurang jam 3 petang semalam.

Mereka memasang meter elektrik sehingga selesai dan kemudiannya menjalankan ujian sebelum mengesahkan ianya berfungsi.

Namun beberapa minit selepas itu, seorang pegawai Sesco didakwa datang dan memaklumkan nama penghulu tersebut tiada dalam senarai.

Beliau kemudiannya mengarahkan meter yang siap dipasang itu ditanggalkan semula.

Difahamkan Haji Wahab ada merayu kepada pegawai tersebut agar tidak mencabut semula meter elektrik itu, namun tidak dilayan.

Jam 12 sebelum itu, AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar ada berkunjung ke rumah beliau dalam siri kempen rumah ke rumah sempena pilihan raya kecil Sarawak kali ini.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, Haji Wahab ada menceritakan salasilah keturunannya yang memang berasal dari kampung tersebut.

Selepas pertemuan itu pula, petugas PAS dari Selangor turut berkunjung ke rumah sama.

Difahamkan Haji Wahab adalah penyokong PBB sejak sekian lama.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada penarikan semula meter elektrik di rumahnya itu ada kaitan dengan dua kunjungan dari PAS sebelum itu.

Calon PAS, Abang Eddy Abang Fauzi ditentang calon BN, Aidel Lariwoo dan seorang lagi calon bebas, Mahayudin Bin Wahab.


Bosanlah, sudah 25 tahun undi BN
Hazayani Zakaria

SEBUYAU,13 April: "Bosanlah, sudah 25 tahun undi BN tapi tidak ada perubahan," luah seorang pengundi N22, Dun Sebuyau.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Duri ditemui sewaktu kami membuat tinjauan di Kampung Seberang, Sebuyau hari ini.

Melihat wajahnya yang tidak lokek dengan senyuman, Harakahdaily mula menegur beliau yang sedang menunggu bot penambang untuk ke seberang, dan perbualan bermula tidak formal bermula.

Di jeti tempat menunggu bot itu, terdapat sebuah rumah penyokong PAS yang dipenuhi poster calon PAS, Haji Adam Ahid.

"Tadi saya ada jumpa dia," katanya sambil mengarahkan jari telunjuk ke poster Adam.

Melihat reaksinya yang begitu senang dengan calon yang dipertaruhkan PAS itu, Harakahdaily mula bertanya lebih lanjut.

Duri yang sudah beberapa kali mengundi dalam pilihan raya negeri memberitahu beliau akan memberi undi kepada Adam kali ini walaupun sebelum ini memang mengundi BN.

"Kami memang akan undi dia (Adam). Suami saya pun memang ikut dia," akuinya jujur.

Ditanya sebab ingin memilih Adam, beliau mula meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan BN.

"Sudah 25 tahun undi BN tapi tak ada perubahan. Bosan sudah. Kali ini mahu tukar," katanya sedikit tegas.

Ditanya lanjut, beliau yang merupakan seorang petani tidak berpuas hati kerana terpaksa membeli baja padi daripada BN.

"Kami selalu kena beli baja daripada BN. Sepatutnya kami boleh dapat subsidi sahaja," katanya.

Ditanya mengenai wakil rakyat BN di Dun itu, beliau hanya menjuihkan bibir dan menggelengkan kepala.

Sejak empat penggal lalu, kerusi Dun tersebut disandang wakil rakyat BN dari PBB, Julaihi Narawi.

"Tidak bagus la dia. Tidak pernah turun dengar masalah kami. Tidak pernah nampak muka," katanya.

Pada pilihan raya kali ini, calon PAS, Adam Ahid berhadapan secara satu lawan satu dengan Juraihi.

Tiada ulasan: