Khamis, 14 April 2011

SELAGI KITA BERKUASA....KITA BOLEH APA YANG KITA KEHENDAKI...CUMA NAK PILIH BAIK ATAU TIDAK...ITU SAJA...

Sokongan pengundi pada calon PAS makin terserlah
Hazayani Zakaria

SEBUYAU, 14 April: Sokongan pengundi kepada calon PAS di Dun Sebuyau, Haji Adam Ahid semakin terserlah menjelang hari mengundi pada 16 April ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak bukan sahaja mempunyai keluarga besar di Dun ini tetapi ramai kenalan daripada beberapa kaum.

Sepanjang tempoh berkempen, beliau tidak mempunyai masalah bertemu dengan para pengundi yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Kempen hari kelapan semalam, beliauterus membuat seruan agar pengundi tidak takut untuk membuat perubahan dengan menolak BN-PBB dan memilih PAS sebagai wakil untuk membela nasib mereka di negeri sendiri.

Menemui penduduk di Kampung Seruyuk di daerah Semunjan petang semalam, Haji Adam bersama beberapa pimpinan PAS Pusat mengingatkan mereka agar membuat pilihan yang tepat jika mahu suara mereka dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri.

Beliau dalam ucapan ringkasnya berkata, rakyat Sarawak perlu berani membuat perubahan seperti rakyat di Semenanjung kerana mereka berhak memilih pemimpin yang mampu membela nasib mereka.

"Pengundi mesti memberanikan diri untuk berubah, tukar pimpinan seperti yang berlaku di negeri-negeri di Semenanjung," katanya.

Turut bersama beliau Ketua Penerangan PAS Pusat,Idris Ahmad, Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar yang juga ahli Parlimen Jerai dan Exco PAS Perak, Razlan Zakaria.

Pada sebelah malamnya pula, beliau mengunjungi rumah panjang Lunying dan Belimbing Besi yang masing-masing didiami kira-kira 300 dan 210 penduduk kaum Iban.

Ada yang pada mulanya hanya menjengukkan kepala daripada tingkap rumah namun keluar bersama-sama apabila melihat suasana meriah di anjung rumah.

Ternyata masyarakat Iban memberi kerjasama yang baik kepada calon dan petugas PAS yang mengunjungi rumah panjang mereka.

Melihat cara mereka, ternyat mereka sudah mengenali Haji Adam sejak dahulu lagi.



PRN Sarawak - 13 Dun panas, sengit
Wan Nik Wan Yussof

Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 kali ini sedang menyaksikan 13 Dun panas yang boleh disifatkan panas, persaingan sengit dan sedang merimaskan calon-calon bertanding. Ia diikuti dengan pula dengan enam Dun kelabu bagi Barisan Nasional Sarawak pimpinan Abdul Taib Mahmud.

Berikut adalah jadual yang menerangkan secara ringkas fakta tersebut.


Berpandukan jadual tersebut, 10 Dun adalah dimenangi BN pada pilihan raya 2006, hanya tiga Dun (N.09 Padungan, N.28 Engkilili dan N.43 Ngemah) pihak BN kalah.

Apa pun berdasarkan perkembangan semasa dan mood kebersamaan pengundi (khususnya kalangan Dayak dan Cina) menyahut kempen “Jom Ubah” pihak Pakatan Rakyat, maka dijangkakan 13 Dun panas tersebut bakal dimenangi Pakatan Rakyat atau parti oposisi BN.

Di antara parti-parti Pakatan Rakyat tersebut, KeADILan dijangka memperolehi lima Dun, DAP bakal memenangi empat Dun dan PAS pula dua Dun.

Sementara parti-parti oposisi lain adalah dijangka SNAP mengekalkan kemenangan di Engkilili dan PCM pula akan menawan Dun Ngemah yang dulunya dimenangi calon PCM atas tiket Bebas.

Sekiranya benar, jangkaan 13 Dun ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan parti oposisi. Kemudian, kemungkinan besar DAP dapat mengekalkan dominasi di enam Dun (N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.40 Meradong, N.45 Bukit Assek dan N.59 Kidurong) yang dimenangi 2006, maka Pakatan Rakyat bersama SNAP dan PCM akan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 71 Dun. Ia belum cukup untuk meranapkan keegoan parti BN yang ditunjangi PBB dan SUPP.

Justeru, bagi meranapkan dominasi dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi 25 Dun. Ia memerlukan enam Dun lagi. Antara Dun yang dilihat berpotensi ialah mana-mana Dun kelabu bagi parti SUPP, SPDP dan PRS. Dun tersebut ialah N.25 Balairingin (PRS), N.39 Repok (SUPP), N.41 Pakan (SPDP), N.47 Bawang Assan (SUPP), N.64 Pujut (SUPP) dan N.65 Senadin (SUPP).

Apakah matlamat meranap dominasi dua pertiga Barisan Nasional akan berjaya?

Berdasarkan mood dan kesedaran politik semasa (sentimen pengundi Cina menolak BN bermula di Sibu dan kebangkitan Orang Ulu, Iban dan Bidayuh), maka bukan setakat meranap dominasi dua pertiga, lebih dari itu ialah berkemungkinan BN akan terpenggal tampuk kuasa Kerajaan Negeri!

-----------------------------------------

Penulis adalah pemimpin kanan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Setiausaha Politik MB Kelantan.


Perang antara Najib, Muhyiddin dan Taib?
Analisis oleh Wan Nordin Wan Yaacob
Kempen Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak ke-10 yang masuk hari kelapan tertumpu kepada perang 'kuasa' tiga penjuru antara Perdana Menteri, Timbalannya dan Ketua Menteri Sarawak.

Tiba-tiba sahaja seluruh mata tertumpu kepada isu mengapa Perdana Menteri dilihat bersungguh-sungguh berkempen di Sarawak, sedangkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah lama berkempen di sini.

Samada Najib sebenarnya tidak yakin, mahupun tidak selesa dengan kehadiran Muhyiddin, serta isu-isu yang mendampingi Ketua Menteri Sarawak hingga terpaksa turun padang enam hari berturut-turut.

Ataupun Najib sebenarnya bimbang, sebarang perancangan Muhyiddin 'seteru dalam diamnya' mengatur sebarang strategi untuk membina kekuatan di Sarawak bagi mendapatkan sokongan, duduk di kerusi nombor satu kerajaan menggantikan Najib.

Di peringkat Taib Mahmud pula, beliau sendiri walaupun zahirnya nampak tenang menghadapi angin perubahan yang melanda Sarawak, namun dalam diam beliau sendiri bertarung dengan 'serangan dua penjuru', pembangkang dan rakyat serta kini Najib sendiri.

Isu-isu yang menyangkut beliau sejak 30 tahun menerajui Sarawak, antaranya isu rampasan Tanah adat (NCR), isu pentadbirannya dibayangi skandal pengumpulan kekayaan di dalam dan luar negara, isu 'mistik', isu rakyat tidak mendapat kemudahan asas, dan isu skandal anak-anak serta kroninya.

Taib Mahmud pastinya dalam kelemasan kini, walaupun dalam satu wawancara di TV3, beliau melaungkan keyakinan kononnya BN mampu mempertahankan Sarawak dengan majoriti besar, dua pertiga.

Beliau sendiri mempunyai maklumat, bahawa kedudukan BN cukup genting di 18 kerusi yang diletakkan beberapa pengdanalisis politik sebagai sudah menyebelahi Pakatan Rakyat.

Sementara pertarungan di 10 kerusi untuk menentukan siapa pemenang di garisan penamat, semakin rancak, dengan DAP, PAS dan PKR serta tidak ketinggalan SNAP yang sudah keluar dari Pakatan Rakyat 'bila-bila' boleh menggugat lebih dari kerusi yang dijangkakan.

Kegelisahan Najib- Muhyiddin mungkin bukan atas faktor menang atau kalah BN di Sarawak, kerana mereka lebih gemar dalam pertarungan kuasa untuk menentukan pusingan pertama sebelum pemilihan Umno, siapa yang mendahului.

Menang atau kalahnya BN di Sarawak, ataupun Sarawak hilang majoriti dua pertiga, yang pastinya tergugat adalah kedudukan Taib Mahmud, justeru di celah doktrin itu, Najib dan Muhyiddin bertarung untuk suatu 'kesan' yang boleh membawa erti kepada dua tokoh utama BN ini.

Taib Mahmud hanya 'lauk' yang sedang dimasak (proses kempen pilihan raya) untuk hidangan makan malam (keputusan pilihan raya) , sedap atau tidak bukan persoalan, lebih dari itu mampukan untuk menyampaikan hajat mereka yang berselera besar (Najib dan Muhyiddin).

Kekalahan membawa makna, kedudukan Taib akan terjejas, kemenangan pula akan membawa kesan yang perebutan 'dwilogi' kuasa antara Najib-Muhyiddin di peringkat pusat.

Namun, rakyat Sarawak sudah tentu memiliki satu 'tekad' untuk melakarkan perubahan, setidak-tidaknya perubahan untuk 'mengajar' kerajaan BN erti kesengsaraan yang dihadapi rakyat.

Najib-Muhyiddin-Taib Mahmud, seketika nanti akan melupai kesengsaraan rakyat di bawahan apabila tamatnya pilihan raya, dan mereka akan terus meniti jalan-jalan memperkukuhkan pengaruh dan kuasa, dalam dunia kemewahan!.


Utusan dapati Presiden NUJ bersalah
Apr 14, 11 10:41am

Siasatan dalaman pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd hari ini mendapati wartawannya, Hata Wahari bersalah atas semua lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Siasatan dalaman kenakan ke atas Hata yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), berikutan beberapa kenyataan yang dibuat oleh wartawan itu sebelum ini.

Pada siasatan 1 Mac lalu, ketua pengarang kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak berkata wartawan kanannya itu mempunyai niat jahat terhadap akhbar tersebut.

Hata yang dipilih menjadi presiden baru NUJ tahun lau membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'.

Pandangan dan kritikannya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.


Utusan dan adab songsang cari kebenaran
Wira Arjuna
Apr 14, 11
10:07am


Imam Shafie meluangkan masa menemu bual ramai wanita bagi memahami soal kitaran haid dan pengalaman mereka berhubung perkara istihadah dan sebagainya sebelum mengeluarkan fatwa fiqh mengenainya.

Kajian saintifik penting dalam proses mencari kebenaran. Itu asas hukum Islam. Namun butir kajian bukanlah untuk dipamer dan dihebahkan. Yang penting selepas kajian empirical dibuat barulah rumusan dijadikan fatwa.

NONEAdab dan prosedur ini amat berbeza sama sekali dengan cadangan filem atau video seks dipertontonkan kononnya untuk mencari kebenaran seperti yang dianjurkan oleh Utusan Malaysia demi membuktikan perbuatan zina berlaku seperti tuduhan yang ditujukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sudah pasti apabila Imam Shafie menemubual wanita-wanita berkenaan ia dibuat dalam persekitaran yang mengikut hukum syarak dan dengan izin wali dan suami mereka. Dan, sudah pasti pula ini amat berbeza sekali dan tatakrama merumuskan hukum fiqh walaupun kedua-duanya membabitkan seks.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Sesungguhnya syor Utusan ini bukan kaedah atau adab Islam. Bak kata Mufti Perlis Dr Juanda Yahya (kanan) , Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid, bahan mati seperti video tidak boleh dijadikan bukti dalam kes pertuduhan zina.

Kaedah lebih tepat ialah kehadiran empat saksi yang berwibawa yang melihat perbuatan jijik itu dilakukan. Mufti-mufti ini sepakat mengatakan peraturan ini adalah ketetapan Allah. Maka ini bermakna tiada tawar menawar dalam kes seumpama ini. Menentang adab yang ditentukan Allah bererti biadap kepada Ilahi.

Soal maruah

Soal tuduhan zina – tidak kira dengan wanita merdeka, berlainan agama atau kaum – membabitkan soal maruah.

Bayangkan jika dibiarkan gosip tentang hubungan intim hingga menyindir terjadinya perbuatan zina di antara artis dan orang popular seperti ahli politik dibiarkan berleluasa seperti amalan kebanyakan akhbar dan majalah picisan di negara ini, natijahnya ialah ia akan membajai persepsi manusia umumnya bahawa perbuatan zina adalah lumrah.

azlanRuntuhlah sistem sosial jika amalan media Utusan ini tidak ditegur dan ditentang.

Sebab itu, Allah menggariskan khusus apabila membuat penghakiman mengenai tuduhan zina ini.

Perhatikan sikap dan pendirian Rasulullah s.a.w. apabila seorang wanita datang menemui baginda minta dikenakan hukum rejam kerana berzina. Didorong oleh rasa menyesal yang mendalam, wanita berkenaan mahu dan reda dikenakan hukuman mati.

Namun sikap Rasulullah amat penting dijadikan barometer memelihara maruah seseorang insan.

Wanita berkenaan berkata, bukti dia berzina ialah ketika itu dia sudah mengandung. Oleh kerana tiada saksi selain pengakuan wanita berkenaan, Rasulullah menasihatkan beliau pulang hingga melahirkan bayinya.

NONESetelah melahirkan, wanita berkenaan menemui Rasulullah minta dihukum kerana berzina. Kali ini beliau membawa bayinya untuk jadi bahan bukti perbuatan jeleknya.

Namun Rasulullah mempersoalkan siapakah akan menyusui bayi itu jika beliau dihukum rejam sampai mati. Bagindapun menasihatkan supaya wanita itu pulang dan menyusui bayinya.

Rejam sampai mati

Selang beberapa waktu, wanita berkenaan datang menemui Rasulullah lagi. Kali ini membawa bayinya yang sudah pun boleh memamah roti demi membuktikan bayi itu tidak memerlukan air susunya lagi. Oleh kerana ketegasan wanita yang benar-benar mahu bertaubat, Rasulullah pun menjatuhkan hukum dia direjam sampai mati kerana berzina.

Yang jelasnya, dalam tiga pertemuan itu Rasulullah tidak bertanya wanita itu siapa pasangan zinanya. Mungkin umum berfikir si lelaki terbabit pun patut dihukum. Lantas ia membuktikan doktrin bahawa memelihara maruah adalah amat penting dalam Islam. Soal tuduhan zina atau perkara yang mengaibkan tidak boleh diperpanjangkan.

Sebab itu, mufti-mufti yang bertanggungjawab seperti yang disebutkan sebelum ini memfatwakan video bukan bahan yang boleh dijadikan bukti untuk mensabitkan perbuatan zina.

Ini semangat memelihara kehormatan dalam Islam. Ini semua terzahir daripada ketetapan Allah bahawa tuduhan zina memerlukan empat saksi.

Maknanya, tuduhan melulu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya terhadap sesiapa hanya bersandarkan gosip atau bahan bukti video kabur yang dicuri rakam. Lebih buruk dan jijik lagi jika video itu dirakam untuk tujuan memfitnah.

Soal memelihara maruah ini nampaknya secara sengaja (demi mencapai objektif politik tertentu) dilanggar oleh Utusan dan juak-juak politik yang ingin menjatuhkan Anwar Ibrahim. Yang jelas, tuduhan liar itu membelakangkan syariah dan adab Islam.

NONESyor Datuk Zaini Hasan (kiri), salah seorang pemimpin akhbar Utusan yang mendabik dada pejuang kepentingan Melayu dan Islam, supaya tayangan penuh video seks 21 minit itu dibuat kepada umum adalah jelas satu sikap yang benar-benar membelakangkan ajaran agama tauhid ini.

Mungkin ini agaknya yang dimaksudkan oleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid sebagai unsur yang “amat rendah moralnya”.

Matlamat Utusan dan Zaini serta ahli-ahli politik seperti Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah (yang masing-masing ada kepentingan peribadi) yang mahu video lucah dipamerkan kepada awam memang benar-benar meloyakan sesiapa yang beriman.

Media rendah moral

Didepani oleh orang media yang “rendah moralnya” mereka ini mahu video lucah dijaja seluas-luasnya ke seluruh pelosok negara untuk mengaibkan Anwar Ibrahim. Kenapa mereka begitu yakin bahawa pelaku video lucah itu Anwar?

NONESebenarnya, mereka tidak yakin. Yang mereka yakini ialah jika sekalipun terbukti kelak pelaku itu bukan Anwar, mereka percaya tidak ada tindakan akan diambil ke atas mereka; dan, mereka tidak perlu meminta maaf.

Perkembangan awal isu ini adalah bukti kukuh. Mempamerkan video lucah adalah satu kesalahan menurut undang-undang Malaysia. Sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas mereka oleh pihak polis, Peguam Negara mahupun mahkamah.

Mereka tahu, jika isu ini diperpanjangkan jadi bahan perbualan, apa yang mereka sifatkan sebagai kejelekan Anwar yang mereka khuatiri layak jadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti, akan memalukan Malaysia.

Namun apa yang sebenarnya mereka sedang lakukan sekarang ialah menyebarkan fitnah dan memburukkan nama baik Malaysia di mata dunia.

Jika mereka memang didorong oleh iman yang tulen, mereka sewajibnya mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bersikap seperti Rasulullah – jaga maruah insan dengan melaksanakan tuntutan qazaf Anwar dalam kes dakwaan liwat Saiful dan laporan Angkatan Muda Keadilan yang mahu qazaf dikenakan terhadap penjaja fitnah – Rahim, Eskay dan Shuib.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah seorang editor kanan beberapa media harus perdana sebelum ini dan beliau kini melihat sesuatu berita daripada perspektif berbeza


KP: Kastam hanya rugi RM2.2 bilion setiap tahun
Apr 13, 11 4:02pm

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya hanya mengalami anggaran kerugian RM2.2 bilion daripada RM10 bilion duti import yang sepatutnya dikutip setiap tahun.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, berkata ini bertentangan dengan laporan akhbar tertentu yang mengaitkan RM108 bilion dengan siasatan terhadap KDRM.

Beliau berkata perkara sebenar ialah jumlah RM108 bilion itu adalah anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.

"Kami (kastam) hanya dapat mengutip sejumlah RM7.8 bilion tahun lepas yang mana kami kerugian lebih kurang RM2.2 bilion lagi.

"Jadi tidak tepatlah bahawa kerugian RM108 bilion itu hanya daripada kastam, tapi ia juga libatkan pelbagai agensi penguatkuasa kerajaan yang lain," katanya selepas menghadiri seminar kerjasama kastam-sektor swasta di Kuala Lumpur hari.

Beliau berkata kehilangan RM2.2 bilion atau 23 peratus duti kastam itu bagaimanapun masih dianggap rendah dan pada tahap normal serta biasa dialami oleh negara maju lain, yang menetapkan 25 peratus untuk kerugian maksimum.

Wang berselerak

Mohamed Khalid berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dijangka mengumumkan minggu depan mengenai laporan media yang salah melaporkan bahawa wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lalu, sebaliknya wang itu ditemui di beberapa lokasi berlainan.

"Kami (kastam) perlu membersihkan nama baik penguatkuasa ini kerana jelas laporan (wang berselerak) itu memburukkan nama kami," katanya.

Khalid dalam pada itu memaklumkan bahawa 20 pegawai kastam turut terlibat dalam Operasi 3B (3 bilion) yang bertujuan memastikan kutipan kerajaan melalui aktiviti pengimportan dapat memberikan hasil sejumlah tiga bilion.

"Ada enam agensi turut terlibat dalam operasi ini, iaitu Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Kastam, Ketua Polis Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Cukai Pendapatan dan SPRM sendiri.

"Dengan penglibatan semua agensi ini, ia membuktikan bahawa kita tidak ''compromise'' dan telus dengan mana-mana pihak dan tahan atau siasat siapa sahaja yang terlibat dalam sebarang penyelewengan," katanya.

Beliau berkata 20 pegawai kastam yang terlibat dalam operasi itu mempunyai kepakaran dalam bidang import-eksport, program komputer dan forensik.

Dalam operasi 3B baru-baru ini, seramai 62 pegawai kastam ditahan SPRM dan pada 6 April, Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur.

- Bernama


PKR mahu SPR siasat agensi berkampung di Belaga
Apr 13, 11 3:31pm

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan siasatan segera ke atas beberapa agensi kerajaan yang didakwa hadir dan berkempen di satu kawasan pilihan raya negeri Sarawak.

NONENurul Izzah berkata, PKR menerima maklumat bahawa agensi seperti KEMAS, JASA dan TEKUN itu dikatakan sedang menetap di rumah panjang dan turut berkempen untuk BN di kawasan DUN Belaga.

Beliau mempersoalkan sama ada kehadiran agensi berkenaan dalam kempen pilihan raya kali ini merupakan satu salah laku.

"Kewujudan jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin menjadi satu tekanan, atau bagaikan ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas.

"Oleh itu, kami meminta siasatan dibuat pihak SPR untuk mengesahkan tiada salah laku yang bakal timbul akibat situasi yang saya bangkitkan ini," katanya.

Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PKR juga bimbang keadaan itu akan memberi ruang kepada "pelbagai unsur yang mungkin sukar dikawal" memandangkan peti undi akan dibawa ke kawasan rumah panjang untuk membolehkan proses pengundian dijalankan.

NONE"Kehadiran operasi jentera kerajaan pusat ini membawa pelbagai tanda tanya dan dikhuatiri akan dikembangkan di semua DUN di dalam pilihan raya negeri kali ini – yang dianggap paling berisiko buat Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud," katanya lagi.

"Kedua, adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya satu pengakuan oleh

BN bahawa jentera BN negeri Sarawak telah gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung?

"Lebih khusus, kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota Umno, adakah ini satu petanda UMNO sedang cuba memasuki negeri Sarawak dengan senyap?," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.







Tiada ulasan: