Rabu, 13 April 2011

JADI AHLI POLITIK YANG JUJUR SERTA TELUS...JANGAN MEMBELIT AMBIK HAK RAKYAT...DIAKHIRAT SUSAH NAK JAWAB...KITA BUKAN TAK MATI...

MKini rayu sumbangan tangkis serangan
Apr 13, 11 5:07pm

Pelayan (server) utama Malaysiakini yang terletak di pusat data TM dan Jaring hari ini terus dihujani serangan melalui rangkaian Internet hari ini sejak serangan pertama dilancarkan lebih 30 jam lalu.

malaysiakini billboard 261104 billboard mountedPelayan berkenaan tidak berfungsi sejak jam 11 pagi semalam. Malaysiakini masih belum berjaya menangkis serangan tersebut yang berpunca dari beberapa pelayan lain di China.

Bagi menghadapi situasi ini, semua laporan Malaysiakini, termasuk dalam versi bahasa Inggeris buat masa ini disajikan secara percuma melalui perkhidmatan Wordpress dan Facebook.

Malaysiakini juga akan berhijrah ke pelayan baru. Kami sedang bekerjasama dengan pusat data baru dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan terutamanya bagi menghadapi beban rangkaian dari sumber yang mencurigakan.

malaysiakini bahasa malaysia version 081104 nash rahmanSesetengah pembaca bagaimanapun sudah dapat melayari Malaysiakini seperti biasa.

Sekiranya masih gagal berbuat demikian, anda dinasihatkan supaya memadamkan 'cache' di 'browser' (Bagi Firefox, sila ke 'Tools', klik 'Clear recent history', dan kemudian 'Clear now'. Bagi Internet Explorer, sila ke 'History', klick 'Delete browsing history', dan kemudian 'Delete').

Kami menjangkakan beberapa siri serangan akan diteruskan ke atas Malaysiakini dalam tempoh liputan pilihan raya negeri Sarawak sehingga Sabtu ini. Bagi menangkis serangan baru, Malaysiakini akan mewujudkan pelayan web dari lokasi baru untuk kandungannya.

Malaysiakini mengalu-alukan sumbangan anda

Bagi menjamin tahap keselamatan yang lebih kukuh, Malaysiakini juga memerlukan dana tambahan. Dana berkenaan akan digunakan bagi membina beberapa pelayan baru bagi meningkatkan kapasitinya. Peningkatan pembaca pada minggu lalu menunjukkan Malaysiakini dilayari sekitar 500,000 pembaca sehari berbanding purata 300,000 sehari.

NONEPembaca boleh menyumbang menerusi saluran berikut:

Kad Kredit


Pembaca boleh membuat sumbangan dengan kad kredit melalui panggilan telefon 03-2284 3367 mulai jam 9 pagi hingga 7 malam. Petugas Malaysiakini akan memohon butiran kad kredit anda.

Maybank2u

Di bawah 'Bill Payments', pilih "All Payee". Kemudian skroll ke "Malaysiakini.com"

ATM Maybank

Di mana-mana ATM Maybank, dana boleh dipindahkan kepada Akaun Semasa Mkini Dotcom Sdn Bhd, No: 514178153586

PayPal


Ahli PayPal boleh membuat pindahan wang online kepada MKINI DOTCOM SDN BHD atau email subscribe@malaysiakini.com.

Cek/Kiriman Wang


Sila buat bayaran atas nama Mkini Dotcom Sdn Bhd dan poskannya kepada Malaysiakini, 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Kuala Lumpur, Malaysia

Sumbangan Tunai


Sumbangan tunai boleh diserahkan kepada pejabat kami di 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Pakatan mampu rampas 19 kerusi, 24 lagi '50-50'
Jimadie Shah Othman & Kuek Ser Kuang Keng
Apr 13, 11
4:49pm

Memasuki pusingan kedua dalam kempen pilihan raya Sarawak - yang dianggap paling sengit dalam sejarahnya - sokongan pada BN dijangka meningkat di saat-saat akhir walaupun menerima tamparan hebat di kawasan bandar pada permulaanya.

NONEMenurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana sentuhan terakhirnya.

"Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir.

NONEPensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula.

"Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia.

Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding.

NONEJika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang.

Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus.

Menurut presiden Zentrum, Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja.

NONEJusteru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang.

Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja.

"Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu.

PM, Taib didakwa dalangi urusniaga mencurigakan
Apr 13, 11 7:05pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperalatkan 1Malaysia Development Berhad.

Menurut ketua pembangkang itu, selain 1Malaysia Development, sebuah syarikat asing juga diperalatkan bagi menghasilkan lebih RM2.17 bilion bagi memperkayakan kroni mereka.

azlanDalam satu kenyataan media, Anwar berkata antara lain, 1MDB diarah melakukan urusniaga dengan PetroSaudi yang menyaksikan syarikat kaitan kerajaan itu membayar firma Arab Saudi berkenaan RM3.5 bilion secara tunai untuk pegangan saham dalam sebuah pelaburan.

"Namun lima bulan kemudian, 1MDB menjual semula ekuiti itu kepada PetroSaudi pada harga RM4.1bilion ringgit, semata-mata untuk membolehkan 1MDB menunjukkan keuntungan RM615 juta pada Mac lal," kata Anwar.

Menurut beliau Najib juga tidak menyatakan fakta penting – bahawa 1MDB hanya akan memperolehi hasil daripada jualan itu jika PetroSaudi berjaya melunaskan pinjaman bank selama 11 tahun yang cuma akan selesai dibayar pada 31 Mac 2021.

NONE“Ini bermakna lebih 70 peratus daripada modal berbayar 1MDB iaitu RM5bilion kini terikat kepada pinjaman bank (sebuah syarikat asing) dengan tidak ada kepastian sama ada ia akan dibayar balik atau tidak.

“Hari ini kita ada penyata kewangan 1MDB yang mendedahkan salahguna wang kerajaan tanpa rasa malu yang dilakukan Barisan Nasional dan bagaimana mereka berterusan menyalahgunakan kekayaan negara,” kata Anwar.

Dalam kes Sarawak pula, Anwar berkata PetroSaudi membayar RM1.5bilion untuk mengambil alih UBG Berhad, sebuah syarikat yang menguasai kepentingan perniagaan milik keluarga Taib.

UBG mengalami pelbagai kesukaran tahun lalu, apabila sekali lagi PetroSaudi tampil untuk mengambil alih syarikat itu dalam keadaan mencurigakan.

azlanAnwar mendesak penubuhan sebuah pasukan audit untuk menyiasat urusniaga 1MDB, PetroSaudi dan UBG untuk memastikan sama ada wang rakyat digunakan dalam transaksi antara tiga syarikat berkenaan.

Sebarang pinjaman bank kepada 1MDB harus dibekukan, dan rancangan kerajaan untuk memindahkan sebidang tanah awam di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur kepada syarikat itu juga mesti dihentikan, kata Anwar.

Anwar menegaskan siasatan harus bertumpu kepada pihak yang mendalangi 1MDB bagi memastikan amanah yang diberikan kepada syarikat itu tidak tersasar.

Anwar berkata PetroSaudi dan syarikat sekutunya didaftar di pusat-pusat bebas cukai seperti Kepulauan Caymans dan Virgin Islands.

Justeru transaksi antara PetroSaudi dan 1Malaysia tidak mempunyai ketelusan dan akan terus diselubungi dengan kecurigaan.


17 kerusi dalam tangan, 11 jadi rebutan?
Nazri Abdullah

KUCHING, 13 April: Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak.

"Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN.

Ianya juga ditambah dengan faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.

"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.

Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi.

Husam tolak tanding Presiden, hanya AJK sahaja
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 April: Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Husam Musa, hari ini menyatakan sokongan penuh beliau kepada pimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan dengan itu, Husam menolak sebarang percalonan dari mana-mana PAS kawasan untuk mencalonkan beliau sebagai Presiden PAS.

“Saya menyokong 100 peratus kepada pimpinan Tuan Guru Haji Hadi, kerana kepada saya beliau adalah seorang yang berwibawa dan boleh menyatukan PAS.

“Jadi saya harap kawasan-kawasan lain tidak mencalonkan saya bagi jawatan presiden,” katanya.

“Saya tidak pernah ada hasrat untuk bertanding jawatan setinggi itu, apa tah lagi apabila dipertembungkan dengan Tuan Guru Haji Hadi,” katanya lagi.

Ujarnya, generasi muda kini mungkin tidak mengetahui hubungannya dengan Tuan Guru Haji Hadi.

“Pada tahun 1983 bila saya lepas universiti, saya ‘full time’ berkerja dengan PAS.

“Dan yang menerima saya di dalam majlis rasmi adalah Tuan Guru Haji Hadi dan almarhum Ustaz Hassan Syukri,” ujarnya lagi.

Walau macam mana pun beliau mengucap kan terima kasih kepada PAS kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan beliau sebagai Presiden PAS.

“Mungkin PAS Bukit Bintang mempunyai sebab-sebab yang tertentu sehingga mencalonkan saya,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau hanya akan bertanding sebagai AJK PAS Pusat sahaja dan fokus utama beliau ialah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Tugas utama saya ialah bagi memastikan Kelantan diuruskan dengan baik dan berjaya dalam PRU 13 yang semakin hampir,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan Husam bagi bertanding jawatan Presiden PAS sewaktu mesyuarat agung PAS kawasan berkenaan.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas Naib Presiden, Mohamad Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Manakala, tiga jawatan Naib Presiden mereka mencalonkan Salahuddin Ayob, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.


PAS kenal Anwar... dan pemimpin Umno
Ahmad Tajdid

Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor (Gaps) yang juga bekas Setiausaha Angkatan Muda KeADILan (AMK), Sd. Johari Md. Yasin dilaporkan kesal kerana PAS masih gagal diyakinkan dengan fitnah video seks membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menuduh PAS masih bersekongkol dengan Anwar meskipun diyakini mengetahui siapakah sebenarnya pemimpin pembangkang itu.

"Saya amat yakin PAS tahu kebenaran kes yang dihadapi Anwar namun dibutakan oleh matlamat politik yang mengatasi perjuangan kononnya berasaskan Islam," kata Sd. Johari seperti dipetik Utusan Online.

Nampaknya isu video lucah yang dicetuskan Trio Umno @ Dato' T masih terus mendominasi laporan media massa pro-Umno meskipun ia gagal meyakinkan rakyat. Walaupun penafian telah dibuat Anwar dan keluarganya tentang video itu, namun ia langsung tidak diendahkan lawan politik Anwar.

Malah kini isu jam tangan Omega pula dimainkan sedangkan polis sendiri menyatakan tiada keperluan untuk mendapatkan jam tangan Omega itu daripada Anwar.

Isu video lucah itu juga nampaknya lebih diberi perhatian NGO-NGO Melayu dan ahli akademik Melayu pro-Umno seperti Prof Kamarudin Kachar dan Prof Ramlah Adam berbanding isu-isu lain yang menyentuh survival dan kepentingan orang Melayu yang lebih mendesak.

Mereka tidak langsung prihatin dengan pengakuan Perdana Menteri bahawa RM52 bilion pegangan saham Melayu-Bumiputera hilang di Bursa Malaysia dan hanya berbaki RM2 bilion sahaja; tetapi amat prihatin dengan video lucah berimej kabur yang kononnya membabitkan Anwar.

Kaya sangatkah Melayu dan tinggi menjulangkah kedudukan ekonomi mereka hinggakan lesapnya RM52 bilion (RM52 ribu juta) saham Melayu di Bursa Malaysia langsung tidak dipedulikan; sedangkan
hanya RM1 bilion diperuntukkan sebagai modal permulaan oleh kerajaan BN melalui Unit Peneraju Agenda BUmiputera (Teraju) bagi membolehkan syarikat Bumiputera berskala besar disenaraikan dalam pasaran saham!

Sejak bila pula persoalan akhlak pemimpin menjadi perhatian utama Umno dan para penyokongnya sedangkan parti itu sendiri dipenuhi kebejatan akhlak dan moral para pemimpinnya sejak sekian lama?

Sd Johari mempertikaikan sikap PAS yang kononnya masih mahu bersama Anwar sedangkan mengetahui 'cerita sebenar' tentang Ketua Pembangkang itu. Soalnya, apakah pertuduhan yang dikaitkan dengan Anwar itu disertakan dengan bukti 'prima facie' dan 'melangkaui keraguan yang munasabah'?

Adakah Sd Johari dan individu yang bersekongkol dengannya mengetahui tentang beratnya dosa menuduh seseorang itu berzina sedangkan gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil?

Jenayah qazaf yang dilakukan Sd Johari, Umno, NGO-NGO tunggangan Umno, Utusan Malaysia, Kosmo!, TV3 dan lain-lainnya sebenarnya sama berat dengan dosa berzina. Dan adakah mereka yang terbabit dengan 'pesta qazaf' itu bersedia untuk menghadapi hukuman Allah SWT di akhirat kelak?

Jika bukti yang dihadapkan untuk mensabitkan Anwar dengan kegiatan tidak bermoral sudah memadai dan boleh diambil kira, puluhan kes berkaitan moral membabitkan pemimpin Umno juga boleh meyakinkan pemimpin PAS dan dijadikan modal politik. Tapi itu bukanlah budaya PAS yang gagal difahami Umno.

PAS menyedari peri pentingnya seseorang muslim memahami tentang keperluan syariat diturunkan (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga agama (akidah), nyawa, maruah, zuriat dan harta manusia. Kepentingan menjaga lima perkara itulah menyebabkan pembuktian terhadap perkara-perkara berhubung jenayah syariah begitu dititikberatkan Islam.

Tuduhan melakukan zina adalah sesuatu yang berat di sisi syariat kerana ia membabitkan soal maruah dan zuriat manusia. Malah menurut pandangan ulama, menyembunyikan perbuatan maksiat dan bertaubat kepada Allah lebih utama daripada mengakuinya di hadapan hakim bagi dikenakan hukuman hudud.

Anwar bukanlah individu yang terkenal dengan perbuatan dan amalan maksiat berbanding sebahagian pemimpin Umno.

Seperti bidasan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali ketika menjawab isu 'kaki botol' membabitkan bekas calon KeADILan PRK Hulu Selangor, Dato' Zaid Ibrahim: "Semua Perdana Menteri minum arak kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi."

Sehubungan itu Mustafa menasihati Umno supaya tidak memainkan isu-isu menyerang peribadi lawan kerana mereka (pemimpin Umno) juga terdedah dengan pelbagai kelemahan masa kini dan masa silam!

Tidak hairanlah apabila seorang pemimpin muda KeADILan, Che'gu Bard mengakui pernah ditawarkan dua klip video seks membabitkan Ketua Pemuda Umno dan isteri seorang pemimpin negara.

Dan cerita-cerita skandal seks berkaitan pemimpin Umno bukanlah sesuatu yang asing pada pengetahuan pemimpin PAS. Ada di antaranya membabitkan pengakuan si suami tentang kecurangan isterinya, seorang pemimpin Wanita Umno.

Kesimpulannya, jika bukti mengaitkan Anwar dalam isu video seks ini cukup kuat untuk menjarakkan PAS dengan Anwar dan KeADILan seperti diharapkan Sd Johari, maka ia pasti menjadi hujah paling kuat untuk PAS terus menolak Umno bagi menentang kebejatan moral dan akhlak para pemimpinnya!


Malaysiakini dan Sarawak Report diserang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 April: Kerana bimbangkan pengaruhnya yang semakin berkembang, laman web Sarawak Report (SR) dan Malaysiakini diserang oleh pihak-pihak tertentu dan tidak boleh dilawati.

Sarawak Report mula diserang empat hari lepas manakala Malaysiakini tidak boleh dilawati langsung mulai semalam.

SR sejak dari penubuhannya menumpukan serangan mereka kepada kepimpinan BN Sarawak khasnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Taib Mahmud.

Laporan Malaysiakini bagaimana pengundi Sarawak berebut-rebut Tupperware dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga sangat memalukan Najib dan BN.

Malaysiakini juga telah berjaya memperlihatkan pertembungan antara Najib dengan Taib Mahmud di Sarawak.

Menurut sumber dalaman, kedua-duanya diserang dari luar negeri melalui D-DOS atau denial-of-service. Dalam kenyataannya, Malaysiakini memaklumkan, laman mereka gagal berfungsi kerana di serang penyerang siber. Perkara ini dimaklumkan Malaysiakini jam 5:46 petang semalam dalam laman web sementara mereka.

Melalui serangan ini, kedua-dua laman ini diserang oleh komputer yang menyebabkan terlampau ramai permintaan untuk memasukinya sehingga ia lumpuh.

(Gambar: Laporan Sarawak Report terkini)

Namun kedua-duanya sudah mengubah ke laman sementara untuk mempastikan mereka terus boleh memberikan khidmat menjelang pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Malaysiakini telah dipindah ke laman sementara mereka iaitu malaysiakinicom.wordpress.com manakala Sarawak Report di http://www1.sarawakreport.org/


Penduduk Kampung Sebayor teruja tunggu Kak Ani
Sazali M Noor

MUARA TUANG, 13 April: Dalam kesibukan kempen hari ketujuh pilihanraya negeri (PRN) Sarawak, kehadiran calon PAS Muara Tuang Noraini Hamzah (Kak Ani) ke Kampung Sebayor disini, disambut meriah.

Program ziarah pengundi dari rumah ke rumah pada Selasa 12 April, diatur oleh kontingen PAS Terengganu, diselang seli dengan nyanyian dan laungan slogan dari anak-anak kecil, seolah-olah satu pasukan sorak.

"Pusing-pusing jalan-jalan, dulu dacing sekarang bulan,"jerit anak-anak dengan gembira kerana PRN Sarawak kali ini adalah pengalaman yang baru kepada PAS dan mereka.

Fenomena PAS yang bertanding buat kali pertama di sini menjadi buah mulut dan percakapan orang ramai.

Mereka yang baru berkenalan dengan PAS, kekadang memanggil parti itu sebagai 'bola ping pong', 'telur atau bendera jepun', selain nama 'glamour' PAS sebagai parti bulan.

Individu yang menjadi teras, menyokong Pakatan Rakyat di Kampung Sebayor adalah Pak Ghali, 70, yang sebelum ini banyak membantu calon PKR yang bertanding di situ.

Ketika ditemui, Pak Ghali sedang sibuk memasang bendera 'Jepun' berwarna hijau dengan galah buluh yang panjang.

Katanya, beliau dan para penyokong di kampung tersebut sudah berhari-hari, menunggu-nunggu kedatangan Kak Ani ke kampung Sebayor.

"Saya memang tunggu dah beberapa hari, tunggu calon datang ke sini, orang ramai pun sudah tanya saya, bila calon akan datang.

"Saya kata mungkin dia sibuk ke kawasan lain yang ada pengundi lebih ramai lebih dulu,"kata bekas tentera yang juga pesara Jabatan Pelajaran Sarawak itu.

Menurutnya, dalam rumah beliau, ada sembilan orang pengundi yang akan mengundi Kak Ani dari parti PAS.

Menurutnya, beliau tidak ketinggalan dari mendengar perkembangan PAS di Semenanjung kerana salah seorang anaknya yang bekerja sebagai tentera telah 20 tahun menetap diKelantan.

"Anak saya kerja askar, sudah 20 tahun tinggal di Kelantan, dia banyak beritahu saya tentang pemerintahan PAS di Kelantan,"jelasnya.

Turut serta dalam kempen tersebut adalah, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat.


Dun menang jadi anak angkat PAS Pusat
Nazri Abdullah

(Ustaz Abdul Hadi bersama pemimpin PAS Sarawak di samping calon PAS Beting Maro, Abang Mat [kanan sekali] di Pusa Hulu, Beting Maro)

BETING MARO, 13 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa mana-mana Dun yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak akan dijadikan Dun angkat PAS pusat.

Jaminan itu dinyatakan beliau dalam satu ceramah di sini malam tadi.

"Yang mana, Dun tersebut akan dijadikan sebagai model yang akan memangkinkan kemasukan PAS ke Sarawak dan Sabah dengan lebih meluas lagi,"katanya.

(Gambar: Bukan guna helikopter tetapi hanya dengan sampan untuk bertemu pengundi)

Sementara itu, semalam beliau juga telah menghubungi menerusi telefon kesemua calon PAS yang bertanding di lima Dun di sini iaitu di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.

Selain bertanyakan khabar kepada calon, beliau turut memberikan kata nasihat dan motivasi.

Antara lain, beliau menasihatkan agar calon meneruskan usaha mendekati rakyat dan tetap dalam perjuangan biarpun wujud usaha pihak tertentu menawarkan ganjaran agar calon menarik diri.

Sebelum ini, Wakil Calon PAS Tanjong Datu, Syed Abdul Rahman telah membuat laporan polis ekoran tindakan pihak-pihak tertentu memujuk calon PAS di itu, Hani Sahari menarik diri.

Yang amat dikesali adalah panggilan itu antaranya dari dari nombor telefon yang kemudiannya dikenalpasti dari Bukit Aman sendiri.

(Gambar: Ustaz hadi di sambut orang ramai setibanya di Pusa Hulu)

Kepada jentera pula, Ustaz Hadi menyeru agar mereka membantu calon dalam usaha bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Dun masing-masing.

Hari ini masuk hari ke lapan kempen pilihan raya di sini yang masih berbaki dua hari sebelum hari pembuangan undi 16 April ini.

Di fasa terakhir ini, parti-parti yang bertanding dilihat makin agresif menjalankan kempen mereka.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri dijanga akan turun berkempen di Dun Sebuyau di mana PAS meletakkan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Adam Ahid sebagai calon mereka menetang calon BN Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abdul Hadi membuat rayuan khas kepada rakyat Sarawak menjelang hari mengundi 16 April ini. Berikut adalah rayuan beliau.

Rayuan Presiden PAS kepada rakyat Sarawak

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama.

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri.

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti.

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.



Shukur Harun: Menunggu tsunami politik melanda Sarawak
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Hanya beberapa hari saja lagi rakyat Malaysia akan mengetahui samada Barisan Nasional akan dapat mempertahankan lagi kuasanya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April ini atau tersungkur di tangan Pakatan Rakyat.

Ini adalah pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, khususnya Negeri Sarawak. Pertarungan ini juga menyaksikan sama ada Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud akan terus berkuasa atau sebaliknya.

Pilihan raya ini juga dikatakan menjadi petunjuk kepada pemimp Kerajaan Pusat Najib Tun Razak mengenai tarikh pilihan raya umu di Malaysia. Jika BN menang, khabarnya, Perdana Menteri akan memanggil segera pilihan raya umum, begitulah pula sebaliknya.

Namun dalam sepanjang kempen baik di kawasan bandar – Kuching, Sibu dan Miri – mahupun semi bandar bahkan di kawasan pedalaman termasuk kawasan rumah panjang ternyata kempen Pakatan Rakyat khususnya DAP (di kawasan bandar) mendapat sambutan luar biasa.

Ini sesuatu yang luar biasa yang belum pernah berlaku selama ini dan ini sangat merunsingkan pemimpin Barisan Nasional menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin ‘berkampung’ di Sarawak untuk berkempen.

Ini adalah bayangan ketakutan mereka terhadap kemungkinan tsunami politik akan melanda Sarawak pada 16 April ini, sama seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008 dulu.

Faktor Nik Aziz

Kempen Pakatan mendapat sambutan hangat dengan kehadiran orang ramai yang sangat menonjol dan kempennya juga mendapat sambutan. Ini terutama dengan kehadiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang bagi orang Sarawak, Mursyidul Am itu, biasa didengar namanya saja, tetapi kali ini beliau turut berucap dan menerima sambutan begitu hangat sekali.

Di masa lalu, dalam beberapa pilihan raya di Sarawak di mana PAS turut bertanding, orang Sarawak hanya berkata ‘Ini PAS parti Nik Aziz Kelantan’ ketika melihat poster dan bendera PAS. Tetapi dalam pilihan raya negeri kali ini keadaan amat berbeza – Tuan Guru datang sendiri berucap dan bersalaman dengan sekian banyak orang.

Ramai rakyat Sarawak terpegun melihat kesederhanaan Tuan Guru dengan tongkat dan jubah putihnya berceramah memberika pandangan mengenai keadilan Islam yang diterapkan di negeri Kelantan yang diperintahnya.

Ramai yang membandingkan kesederhanaan Tuan Guru Nik Abd Aziz dengan pemimpin Umno yang ‘serba hebat dan mewah’.

Ada yang hadir di majlis ceramah Tuan Guru telah bercakap dengan kawan-kawannya, “kalau pemimpin Sarawak seperti ini, tak adalah tanah rakyat yang diambil, jauh sekali mengumpul kekayaan.”

Sementara itu PAS tampil kali ini dengan persiapan yang lebih kemas di mana petugas tempatan berganding bahu dengan petugas dari Semenanjung dengan bendera dan kain rentang. Diikuti dengan kehadiran ramai pemimpin PAS – antaranya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan timbalannya, naib-naib presiden, anggota Dewan Harian, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat serta AJK PAS Pusat yang lain.

Seperti biasa petugas PAS dari Kelantan, Terengganu dan Kedah datang membantu silih berganti, diikuti oleh negeri lain. Ini ternyata sebuah pilihan raya negeri yang sangat mencemaskan pemimpin Barisan Nasional.

Sebelum ini mereka tidak menyangka pembangkang melakukan kempen yang begitu intensif sekali, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang telah berkampung di Sarawak sejak hari penamaan calon lagi.

Pemimpin PAS seperi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayob, Datuk Mahfuz Omar, Ir. Nizar Jamaludin, Muhamad Sabu, Ir. Khalid Samad, Dr. Mariah Mahmud dan pemimpin lain berulang alik dari Semenanjung ke Sarawak. Dalam masa yang sama pemimpin PKR juga demikian.

Ini menunjukkan pilihan raya negeri Sarawak kali ini sangat luar biasa. Ia sebenarnya adalah pertarungan paling sengit antara BN dan Pakatan Rakyat.

Isu yang sangat mendominasi dalam pilihan raya kali ini ialah perampasan tanah rakyat yang sangat ketara, kemiskinan yang sangat mencengkam, isu kekayaan Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud dan suku sakatnya, pembangunan desa yang terabai.

Ada kawasan pedalaman, khabarnya, masih menggunakan air hujan kerana selama ini tiada bekalan air paip, jurang kaya miskin yang sangat ketara, isu Al Kitab yang tidak selesai, diskriminasi berleluasa dan banyak lagi.

Kesemua 71 kerusi Dun di Sarawak menyaksikan perebutan antara BN, Pakatan Rakyat, Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) mahupun calon bebas, bermula hari ini sehinggalah hari pengundiannya pada 16 April 2011.

BN bertanding di kesemua 71 kerusi, iaitu PBB-35, SUPP-19, PRS 9 dan SPDP-8, sementara PR bertanding untuk 69 kerusi (PKR-48, DAP-15, PAS-5). SNAP membariskan 26 orang calon, sementara PCM bertanding untuk 6 kerusi, dan terdapat seramai 41 orang calon bebas dalam PRN Sarawak 2011.

Sebanyak 27 Dun menyaksikan pertembungan ‘satu lawan satu’; 2 kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dan 17 kawasan menyaksikan pertarungan empat penjuru.

Terdapat satu kawasan Dun yang menyaksikan pertandingan lima calon, dan satu lagi enam calon. Begitu hebat sekali.

Kerajaan BN Sarawak menerima tamparannya pada tahun 2006 apabila pembangkang berjaya merampas sembilan kerusi dari tangannya. Bagaimanapun, pembangkang akhirnya hanya tinggal tujuh kerusi, setelah dua ADUN yang terpilih menyertai BN. PKR menang kerusi Padungan menerusi Dominique Ng, sementara DAP merangkul enam kerusi, termasuklah Kidurong, Bt Assek, Meradon, Pending, Kota Sentosa dan Batu Lintang.

Masih menjadi ramalan apakah ‘tsunami politik’ yang melanda Semenanjung Malaysia pada 8 Mac 2008 bakal memberi kesan terhadap bumi kenyalang ini?

Kajian Merdeka Review

Kajian Merdeka Review menyenaraikan kerusi-kerusi yang disandang BN, tetapi besar kemungkinan ditembusi Pakatan Rakyat atau pembangkang pada PRN Sarawak ini.

Kerusi BN yang mungkin dirampas Pakatan Rakyat menurut Merdeka Review itu, ialah:

N24 Beting Maro (Parlimen: Batang Lupar)

Mungkinkah ia menjadi kerusi Dun pertama yang dimenangi PAS di Sarawak? Dalam PRN Sarawak 2006, PAS hanya tewas dengan perbezaan 896 undi. Calon PBB Bolhassan bin Di @ Ahmad Di memperolehi 2,796 undi, sementara calon PAS Alem bin Din mendapat 1,901 undi.

Kali ini, Abang Ahmad Kerdee Abang Masadus menyarung jersi PAS dalam percubaannya untuk membuka lembaran baru dalam sejarah PAS di Bumi Kenyalang. Beliau berdepan dengan Razali Ghapor dari PBB.

N30 Saribas (Parlimen: Betong)


PBB hanya menang dengan majoriti 94 undi dalam PRN Sarawak 2006, menewaskan calon PKR Abang Zulkifli bin Abang Engkeh. Abang Zulkifli bertanding semula di kawasan ini, berdepan dengan calon PBB Ricky @ Mohammad Razi Sitam.

N20 Sadong Jaya (Parlimen: Batang Sadong)

Calon PKR tewas dalam PRN Sarawak 2006 dengan hanya perbezaan 858 undi, kepada calon PBB. Kali ini, PKR memberi laluan kepada calon PAS, Abang Eddy Allyanny untuk bertanding kawasan Dun ini dengan cara menukar kerusi Senadin. Abang Eddy berdepan dengan Aidel Lariwoo dari PBB dan calon Bebas Mahayudin bin Wahab.

N25 Balai Ringin (Parlimen: Sri Aman)


Perang tiga penjuru dalam PRN Sarawak 2006 menyaksikan pertembungan antara calon PRS, SNAP dan Bebas. Seandainyn dijumlahkan undi yang diperolehi calon SNAP (1559 undi) dan bebas (742 undi), maka PRS-BN hanya menang dengan lebihan 774 undi.

Kali ini, pertandingan tiga penjuru digandakan, antara calon PRS Snowdan Lawan, calon PKR Ibi anak Uding, dan calon SNAP Dan Giang, Lipeh anak Mawi (PCM), Cobbold Ak Lusoi (bebas) dan Suji anak Gansi (bebas).

N28 Engkelili (Parlimen: Lubok Antu)

Calon SNAP Johnichal Rayong Anak Ngipa berjaya menewaskan Jonathan Krai Pilo dengan majoriti 426 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimana pun, Johnichal kemudiannya menyertai BN menjurus kepada kehilangan satu kerusi daripada pembangkang.

Kali ini, Johnichal Rayong bertanding atas tiket SUPP, menentang calon PKR Marudi @ Barudi anak Mawong, Jimmy Simon Ma (bebas) dan calon SNAP Semijie Anak Janting.

N29 Batang Ai (Parlimen: Lubok Antu)

Nicholas Bawin Anak Anggat bertanding atas tiket SNAP dalam PR Sarawak 2006, kalah hanya dengan perbezaan 806 undi. Bagaimanapun, dalam PKR Batang Ai pada April 2009, BN berjaya menewaskan Jawah Gerang (KeADILan) dengan majoriti 1,850 undi.

Kini, Nicholas Bawin pula bertanding dengan menyarung jersi PKR. PRS-BN meletakkan Malcom Mussen anak Lamon untuk mempertahankan kerusi ini. PRS-BN dijangka berdepan dengan pertarungan sengit, kononnya banyak janji yang ditaburkan ketika PKR Batang Ai 2009 belum dikota.

N70 Ba'kelalan (Parlimen: Lawas)

Baru Bian tewas dengan perbezaan hanya 475 undi dalam PR Sarawak 2006. Selain pengaruhnya di kalangan Kristian, Pengerusi PKR Sarawak ini juga seorang peguam yang banyak mengendalikan kes tanah adat. Baru Bian pernah dijulang sebagai Ketua Menteri di laman sosial Facebook, seandainya Pakatan Rakyat berjaya memerintah di Sarawak. Beliau berdepan dengan calon SPDP-BN, Willie Liau.

N39 Repok (Parlimen: Sarikei)


SUPP menang dengan majoriti 576 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, DAP meletakkan calonnya Wong Hua Seh untuk bertembung dengan David Teng Lung Chi.

N48 Pelawan (Parlimen: Sibu)

SUPP menang dengan majoriti 263 undi dalam PRN Sarawak 2006 di kawasan yang terdiri daripada 90% pengundi Cina ini. Bagaimana pun, DAP memperolehi lebihan 3,491 undi daripada kawasan ini dalam PRU 2008, untuk kerusi parlimen Sibu. Dalam PRK Sibu 2010, DAP melebarkan jurangnya dengan SUPP, apabila meperolehi 5,469 undi, mengatasi SUPP. Calon DAP David Wong K Woan akan berdepan dengan calon SUPP-BN, Vincent Goh Chung Siong (BN-SUPP).

N47 Bawang Assan (Parlimen: Sibu)

Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh menang dengan majoriti 2,504 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimana pun undi majoritinya menunjukkan pola penurunan, jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 (tinggal majoriti 1,458 undi) dan PRK Sibu 2010 (866 undi). Kali ini, Wong berdepan calon DAP Alice La
Kiong Yieng.

N46 Dudong (Parlimen: Lanang)

SUPP menang dengan majoriti 408 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, SUPP meletakkan ahli parlimen Lanang, Tiong Thi King untuk mempertahankan kerusi ini, berdepan dengan cabaran Yap Hoi Liong.

N 43 Ngemah (Parlimen: Kanowit)

Kerusi ini dimenangi calon bebas Adeh Ak Denong dengan major 549 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PRS dan SNAP. Bagaimana pun, Adeh Ak Denong menyertai BN selepas menang dalam PRN Sarawak 2006. PKR meletakkan calonnyn Aris anak Alap, berdepan dengan Alexandar Vincent dari PRS-BN Adeh Ak Denong dari PCM, Yakup Khalid (bebas) dan Micheal Anak Lias dari SNAP.

N 57 Belaga (Parlimen: Hulu Rajang)

Kerusi ini dimenangi calon PRS-BN Liwan Lagang dengan majoriti 227 undi, dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan calon SNAP John Bampa dan calon bebas Stanley Ajang Batok dalam PRN Sarawak 2006. Stanley memperolehi 1,628 undi dan John Bampa memperolehi 912 undi. Dengan kata lain, jumlah undi kedua-dua calon ini melebihi jumlah undi yang diperolehi calon BN. Lingkungan kawasan Dun Belaga merangkumi Sungai Asam iaitu tempat kediaman kira-kira 10 ribu penghuni yang dipindah kerana pembinaan Empangan Bakun.

Kali ini, 6 calon mengambil bahagian dalam pertandingan Dun Belaga, iaitu penyandangnya Liwan Lagang, calon PKR Basa Kesing @ Ali Basah Kesing, calon SNAP John Bampa @ Tusau dan wakil PERS Michael Jok dan dua orang calon bebas Matthew ak Munan dan Kenneth Adan Silek.

Ada beberapa kerusi yang menjadi tumpuan umum, meskipun tidak semestinya dirampas dari tangan BN. Antaranya:

N51 Balingian (Parlimen: Mukah)


Pada tahun 2006, Abdul Taib Mahmud memenangi 6,393 undi sementara calon Ibrahim Bayau dari PKR hanya memperoleh 667 undi. Ketua Menteri yang memerintah untuk 30 tahun Sarawak ini dijadikan sasaran dalam PRN Sarawak 2011, berikutan tempoh pemerintahannya yang terlalu lama, malah terpalit dengan tuduhan rasuah, sebagaimana yang dibongkarkan media dan pembangkang.

PKR meletakkan Suriati Abdullah untuk menentang beliau, pada yang sama beliau juga dicabar oleh sepupunya, Salleh Jafaruddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

N13 Batu Kawah (Parlimen: Stampin)

Meskipun menang dengan majoriti 4,180 undi pada tahun 2006 namun kerusi Dun ini merupakan satu-satunya kawasan majoriti Cina yang masih dipertahankan SUPP di Kuching. Penyandangnya, Tan Joh Phoi dari SUPP berdepan dengan cabaran Christina Chiew Wang See dari DAP.

N63 Piasau (Parlimen: Miri)

Kerusi yang dimenangi Presiden SUPP George Chan dengan majoritin 3,918 undi. Beliau berdepan dengan cabaran Ling Sie Kiong dan DAP.

N64 Pujut (Parlimen: Miri)


SUPP menang dengan majoriti 1,370 undi dalam PRN Sarawak 2006. Chia Chu Fatt meraih 55.5% undi popular, namun undi popular menurun 8.8% di kawasan ini untuk BN dalam PRU 2008 (Parlimen Miri). Dalam PRN Sarawak 2011, Chia Chu Fatt akan berdepan dengan Fong Pau Teck.

Dua kerusi yang bahaya untuk Pakatan Rakyat

N 11 Batu Lintang (Parlimen: Stampin)


Kerusi DUN ini dimenangi calon DAP dalam PRN Sarawak 2006 dengan majoriti 3,407 undi. Bagaimanapun, kerusi ini ditukar dengan DUN Padungan, untuk menyelesaikan pertikaian antara DAP dengan PKR. Dengan rombakan tersebut, Voon Lee Shag dari DAP dan Dominique Ng dari PKR tersingkir dari senarai calon. Kini, kerusi ini ditanding oleh See Chee How dari PKR bersama Sih Hua Tong (SUPP-BN), dan Soo Lina (Bebas). Soo Lin dilihat sebagai penyokong Dominique Ng.

N 9 Padungan (Parlimen: Bandar Kuching)


Satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi PKR dalam PRN Sarawak 2006, dengan majoriti 1,417 undi. DAP diberi laluan untuk bertanding di kawasan ini, dan PKR sebaliknya bertanding di Dun Batu Lintang. Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan penyandangnya, Dominique Ng, yang bertanding kali ini sebagai calon bebas. Beliau berdepan dengan Sim Kiang Chiok dari SUPP dan Wong King Wei dari DAP. Demikianlah menurut kajian Merdeka Review.


Jenazah Sahimi selamat disemadikan di Kota Bharu
Rizal Tahir

(Jenazah Allahyarham Kapten Sahimi disolatkan di rumahnya. Turut sama adalah Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan)

KOTA BHARU, 13 April: Kepulangan jenazah Allahyarham Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan di Dataran Perbandaran Sibu petang Ahad lalu disambut dengan kesedihan oleh anggota keluarganya.

Turut serta menyambut jenazah beliau adalah pemimpin kerajaan negeri yang diketuai Datuk Husam Musa jam 7.20 malam tadi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Sahimi meninggal selepas kemalangan helikopter yang dipandunya sebaik sahaja selesai menghantar para pembantu Timbalan Perdana Menteri yang berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Jenazah allahyarham Sahimi, 38 yang juga bekas anggota polis tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 7.20 malam dengan pesawat khas jenis Nomed 20A milik Layang-Layang Air.

Pesawat yang diterbangkan khas dari Sibu itu mula berlepas dari lapangan terbang Sibu kira-kira jam 1.45 petang dan kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Senai, Johor Bharu untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Bharu.

Solat jenazah allahyarham Sahimi diimamkan Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Ustaz Ropein Hasan, di rumah saudara mangsa di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini selepas solat Isyak. Turut serta menyembahyangkan jenazah allahyarham adalah Husam sendiri.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Pohon Tanjung, Wakaf Mek Zainab. Turut menguruskan jenazah allahyarham adalah 15 anggota Unit Amal Kota Bharu yang diketuai Mohd Aliman Ismail.

Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.

Husam ketika ditemui berharap Allahyarham tergolong pada golongan orang yang syahid dalam menjalankan tugasnya.

“Saya juga berharap anggota keluarga tenang menerima takdir dan ketentuan Allah,”ujarnya.

Sempena kunjungan itu, Husam turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga dan akan mencadangkan pada kerajaan negeri untuk memberi sumbangan lain yang sewajarnya.

Abang allahyarham, Mohd Bizanuddin Ghazali, 45, menyifatkan allahyarham seorang adik yang baik, warak serta pendiam.

“Apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan Allah lebih tahu tentang ketentuan itu, kami sekeluarga redha,”ujarnya.

Isteri allahyarham Suriani Mohammad, 38 yang begitu tenang ketika ditemui juga turut redha di atas apa yang berlaku.

“Dia seorang suami yang baik dan saya redha pemergiannya,”ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat cahayamata, Salman, 13 yang kini sedang belajar di salah sebuah sekolah tahfiz, Mohd Helmi, 9, Yasmin Salsabila, 7 dan Iskandar, 4.


Kembalikan hasil bumi untuk anak jati
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 April: Kelab PAS Ireland menyeru seluruh rakyat Sarawak bangkit dengan penuh kesedaran dan membawa perubahan yang positif kepada negeri agar hasil bumi negeri dapat dinikmati oleh semua anak jati.

“Penentuan siapa yang bakal memerintah Sarawak sedang berada di tangan anda semua. Laksanakan tanggungjawab anda semua dengan baik,” seru kelab berkenaan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pilihan raya Negeri Sarawak yang bakal berlangsung pada 16 April 2011 adalah yang ke 10 semenjak Borneo menyertai Gagasan Malaysia pada tahun 1963.

Menurut kenyataan itu, beberapa dekad berlalu menyaksikan ‘apathy’ kepimpinan yang berjaya mengikis minda pribumi serta membunuh dalam diam semangat juang Bangsa Sarawak.

Bagi kelab tersebut, itulah hegemoni diktator Bumi Kenyalang, Taib Mahmud, bermaharajalela sepertiga kurun, merampok hasil bumi, mencabul hak-hak serta memundurkan ekonomi rakyat.

“Kini angin perubahan telah tiba ke Bumi Kenyalang. Arus deras yang melanda sudah tidak bisa dikekang lagi. Tsunami PRU12 2008 yang mengubah corak lanskap politik Malaysia masakini mula dirasai oleh anak-anak bangsa Sarawak,” tambah kenyataan itu.

Bag imereka, penamaan calon yang telah berlangsung pada 6 April lalu telah menunjukkan sokongan yang padu kepada politik baru yang dibawa oleh PAS dan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat.


Ubah untuk lari dari tradisi pemangsa BN
Harakahdaily

MUARA TUANG, 13 April: Rakyat Sarawak mesti melakukan perubahan pada pilihan raya negeri yang berlangsung 16 April ini daripada terus menjadi mangsa kerajaan.

Ini kerana kerajaan BN negeri secara tradisi menjadikan rakyat sebagai mangsa termasuk merampas tanah mereka dengan alasan untuk menjadikan negeri ini maju.

Justeru, adakah rakyat dan pengundi termasuk di Dun Muara Tuang kepada jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menjadikan Sarawak Maju pada 2020.

Itulah pertanyaan yang dilontarkan oleh AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar bawah) semasa berucap di hadapan kira-kira 100 orang kaum Iban di Kampung Rembus, malam tadi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, sedangkan apa yang berlaku tanah rakyat dirampas dan kehidupan mereka terpinggir.

Katanya, tanah mereka diambil oleh kerajaan dan diberikan kepada pemaju untuk pembangunan kononnya untuk menjadikan negeri ini maju pada 2020 nanti.

Namun, ujarnya pampasan yang diberikan kepada tuan tanah hanyalah sekelumit yang menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit.

“Apakah rakyat percaya kepada jaminan Taib pada tahun 2020 untuk menjadikan Sarawak maju sedangkan yang kaya raya adalah suku sakatnya,” ujarnya.

Menurutnya, Sarawak adalah negeri kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan balak tetapi dibolot dan ‘difaraidkan’ oleh pemimpin negeri kepada suku sakat mereka.

Tambahnya, ini menjadikan anak beranak, adik beradik dan kawan-kawan Taib menjadi kaya raya umpama memiliki hartanah lapan negara merentasi empat benua.

Beliau mengambil contoh bagaimana adik Taib melalui syarikat Titanium Management Sdn Bhd mendapat tanah terbesar seluas 70,000 hektar di Sungai Kloh dan Dor.

Paling kecil pun, katanya suku sakat Taib mendapat seluas 61 hektar tanah rakyat.

Beliau turut mengambil contoh projek Empangan Bakun yang menyebabkan 10,000 orang yang terdiri daripada 13 kaum termasuk Penan, Kayan dan Kanyah terpaksa keluar dari penempatan asal.

Ekoran itu, mereka terpaksa mencari kehidupan di bandar sedangkan tidak mempunyai kelayakan, kedudukan dan ketrampilan yang akhirnya menjadi ‘alat’ kepada permasalahan sosial.

Melayu Bangkit: Pemuda PAS bantah penglibatan IIM
Pendakyah sebar risalah ‘Hari Kiamat 21 Mei 2011’
Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 12 April: Pihak berkuasa agama negeri ini digesa segera menyiasat motif sekumpulan pendakyah Kristian warga Amerika Syarikat yang giat menyebarkan risalah berkaitan hari kiamat mengikut kepercayaan mereka di sekitar bandar ini.

Exco Dewan Pemuda PAS Pahang, Khairy Abdul Ghani berkata, usaha penyebaran risalah tersebut mestilah dihentikan segera kerana dikhuatiri boleh menggugat akidah dan berlaku panik di kalangan umat Islam.

“Kelmarin (Ahad), kira-kira jam 2.30 petang kami didatangi sekumpulan warga Amerika yang bertindak menyebarkan risalah berkaitan ‘Judgement Day on May 21, 2011’ oleh pendakyah Kristian yang memakai seragam yang sama bertemakan Judgement Day.

“Mereka mendakwa, mereka dalam perjalanan ke merata tempat dengan menaiki kapal untuk menyebarkan makluman tersebut kepada semua umat manusia di seluruh dunia,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut Khairy yang membuka perniagaannya di pusat perniagaan East Coast Mall dekat sini, semasa menyebarkan risalah tersebut mereka mendakwa dengan kemusnahan dan bencana alam yang semakin menjadi-jadi pada masa ini menunjukkan bahawa hari kiamat sudah sangat hampir.

Tambahnya, beliau juga mendapat maklumat orang ramai di tempat lain juga menerima risalah yang sama kerana pendakyah berkenaan akan menumpukan sasaran di tempat orang ramai bercuti hujung minggu.

“Sebagai Muslim kita sentiasa percaya kepada Hari Akhirat iaitu kehidupan selepas mati, tetapi menurut risalah yang diedarkan, hari Kiamat itu akan berlaku pada 21 Mei 2011 mengikut formula mereka.

“Pada saya hanya Allah yang tahu bila kiamat akan berlaku dan bukan ditentukan oleh manusia. Mungkin juga ada agenda lain di sebalik penyebaran risalah tersebut iaitu untuk melemahkan umat Islam daripada bekerja dan berusaha.

“Jadi sebab itu saya desak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan polis segera bertindak kerana jika penyebaran ini tidak dihentikan segera, kami sangat bimbang sekiranya ia boleh menggugat akidah umat Islam dan mengkucar-kacirkan keadaan,” katanya.

Difahamkan, kumpulan yang menyebarkan risalah secara terang-terangan itu sengaja mensasarkan kumpulan orang Melayu terutama muda-mudi tanpa diketahui apakah sebenarnya tujuan mereka.

Sementara itu, risalah yang sama dapat dibaca di: http://www.familyradio.com/graphical/literature/judgment/judgment.html.

Antara lain risalah berkenaan memetik hujah-hujah daripada kitab Bible yang menyatakan tuhan memusnahkan alam ini kerana dosa yang dilakukan oleh manusia.














Tiada ulasan: