Ahad, 24 April 2011

BAHAYA JIKA BERJUANG@PENJUANG...ADA SIFAT GILA PANGKAT...CINTA DUNIA...SUKA MENUNJUK2...IBADAH KURANG...MALAS HADIR KE MAJLIS ILMU & SOLAT JEMAAH

Parti bukan sendirian berhad, urus secara jamaah
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 24 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.

Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.

Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.

Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.

Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.

"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.

"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.

Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.

"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, jika musuh dapat merampas semula Selangor, mereka pasti akan melakukan sekatan lebih teruk daripada sebelum ini.

Menurutnya, kemenangan PAS di banyak kawasan termasuk Shah Alam dalam PRU 12 pada Mac 2008 adalah hasil pendirian dan sokongan banyak pihak termasuk bukan Islam dan Melayu.

Kerana itu, jelasnya, gerak kerja selepas ini mestilah menjurus ke arah mendekatkan mereka termasuk semua anggota masyarakat lain bagi memahamkan mereka perjuangan dan matlanat PAS dalam memberi dan memelihara hak dan tuntutan semua pihak termasuk bukan Islam.


Berjuang kerana Allah dan Rasul

Huzir Sulaiman

Sebelum Tentera Islam bersiap sedia untuk berkumpul di Yarmuk menanti serangan bala Tentera Rom, Khalifah Abu Bakar mengarahkan Panglima Khalid Al-Walid untuk mengambil alih pimpinan daripada Abu Ubaidah termasuk memimpin seluruh bala tenteranya. Abu Ubaidah terus berkata “Mudah-mudahan Allah memberkati khalifah dengan pandangannya dan selamatkan Khalid dengan tugasnya”.

Menariknya kata-kata dari Panglima Abu Ubaidah ini, adalah kerana ia menjadi bukti keikhlasan dan kebesaran jiwa para sahabat sehingga kasih sayang dan ukhuwwah tidak diganggu oleh kepentingan pangkat dan kedudukan sehingga mereka boleh diatur dan ditukar jawatan dengan sebegitu rupa.

Inilah bukti kekuatan iman dan roh yang ada pada setiap para sahabat sehingga 2 kerajaan besar ketika itu iaitu Rom dan Parsi tunduk di bawah kekuasaan ISLAM.

Kemenangan menentang Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno adalah sesuatu yang pasti jika PAS memenuhi syarat kemenangan itu untuk melayakkan diri diberi pertolongan dari Allah S.W.T. Apabila kekuatan roh berbekalkan iman dan keikhlasan serta persediaan yang terbaik mengikut kemampuan, bersama taktik dan strategi yang bijak, pertolongan dari Allah S.W.T itu pasti akan berlaku tanpa halangan. Satu petikan yang saya ambil dari karangan Tuan Guru Presiden sendiri, satu karya yang cukup bermakna buat diri saya iaitu “Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin”.

Pentingnya setiap pejuang gerakan ISLAM khususnya yang berada di dalam PAS melalui proses didikan itu atau proses tarbiyyah itu sepertimana proses yang sama dilalui oleh para sahabat Nabi S.A.W kerana jika tidak, PAS akan melahirkan barisan pimpinan yang lemah untuk memimpin gerakan itu. Dan jika pimpinan itu dipilih dari perwakilan yang juga tidak melalui proses tarbiyyah itu, saya khuatir, PAS tidak akan dapat melayakkan diri untuk menerima pertolongan dari Allah S.W.T sepertimana pertolongan yang telah diberikan kepada para sahabat Nabi suatu ketika dahulu.

Saya khuatir. Saya tidak akan khuatir tanpa bersebab. Semoga pemerhatian saya tersilap atau tersilau dari hakikat sebenar khususnya di kawasan saya sendiri. Pilihlah mereka yang teguh dari aspek akidah dan akhlak, dan juga mereka yang mampu menyatukan semua pihak untuk berjuang ke arah satu matlamat, tidak kira dari kalangan ahli PAS malah dari kalangan parti komponen Pakatan Rakyat itu sendiri khususnya PKR dan DAP.

Bagaimana pentingnya kepimpinan ulama’ untuk membarisi kepimpinan PAS, begitu juga pada pandangan peribadi saya, pentingnya golongan professional untuk juga bersama-sama dalam barisan pimpinan baru kali ini.

Pesanan dari Ayahanda Almarhum Ustaz Hj.Fadzil Noor dari kertas kerja beliau, “Konsep Kepimpinan Dalam Parti Islam Semalaysia”, “Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”.

Apabila Panglima Khalid Al-Walid dilucutkan jawatan oleh Khalifah Umar Al-Khattab, beliau masih bersama-sama gagah dalam barisan serangan menyerang musuh ISLAM tanpa ada rasa kekecewaan sedikitpun di wajahnya sehingga perlakuan yang dianggap pelik oleh sebahagian ketika itu dijawab dengan penuh yakin oleh beliau “Kerana Allah Dan Rasulnya Aku Berjuang”.

Dan jika kerana itu juga, sebab utama kenapa kita bersama di dalam PAS, pastinya kasih sayang dan ukhuwwah antara kita akan terus dipelihara oleh semua khususnya ketika proses pemilihan pimpinan di peringkat cawangan, kawasan dan pastinya ketika di Muktamar PAS yang ke-57 yang menjelang tiba. Insya Allah.


2 Tok Guru aset umat Islam, bukan sekadar PAS
Mohamed Zainal Abidin Hussin
PASIR PUTEH, 24 April: Dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata.

"Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa," kata AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.

Kegigihan dan keputusan tepat mereka, kata beliau menyebabkan perancangan-perancangan Umno merosakkan Islam dan rakyat negara ini dapat ditepis dengan baik.

"Sejak Umno menggunakan khidmat nasihat APCO (yang dikaitkan dengan Yahudi) dan merencana pelbagai taktik untuk merosakkan PAS dan Islam, kita amat bertuah kerana kedua-dua pemimpin ini terus komited mempertahankan kesucian Islam dan harapan rakyat," kata beliau di majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di dewan utama Majlis Daerah ini, petang kelmarin.

Menurutnya, meskipun kedua-dua tokoh ini amat tinggi pengetahuan mereka tentang Islam dan pelbagai ilmu lain, mereka sentiasa berbincang dan mengambil pandangan semua pihak dalam memutuskan setiap perkara.

"Dalam jawatankuasa pusat (PAS) kami kerapkali terpaksa melanjutkan perbincangan hingga pukul tiga, empat pagi kerana mereka mahu semua pandangan di dengar sebelum satu keputusan dibuat demi kebaikan umat dan rakyat," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau meminta ahli-ahli PAS dan rakan-rakan yang mahu bersama memperjuangkan keadilan dan keselamatan menggunakan segala ruang untuk memberikan sokongan besar kepada tokoh seumpama ini yang tujuan hidup mereka semata-mata mencari redha Allah dan mengharap kesejahteraan rakyat.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain dalam ucapannya memberi amaran kepada Umno supaya menghentikan kegiatan tidak bermoral dengan memfitnah dan menyebarkan berita-berita palsu yang mengelirukan orang ramai.

"Di peringkat nasional, rakyat sudah muak dengan fitnah hodoh seperti diperlakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga anak-anak kecil kebingunan dengan apa yang dilaporkan di media.

"Di Pasir Puteh ini, media digunakan untuk menyebar berita palsu kononnya berduyun-duyun ahli PAS masuk Umno," katanya.

Di sebelah pagi telah diadakan mesyauarat agung muslimat PAS kawasan Pasir Puteh di tempat yang sama.

"Pagi ini kita adakan masyuarat (agung) muslimat di sini, perwakilan yang hadir hampir 600, ini membuktikan segala dakwaan bahawa orang kawasan ini begitu ramai masuk Umno satu pembohongan," ujar beliau.


Emel percuma untuk rakyat Malaysia, berbaloikah?
Muhammad Safwan Anang @ Talib

Satu lagi siri keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan walaupun Perdana Menteri dengan tegasnya menyebut bahawa dana yang digunakan bagi membangun projek ini tidak sama sekali menggunakan duit rakyat. Nah, kalau bukan duit rakyat soalnya duit siapa? Kerajaan mana yang sediakan peruntukan tersebut? Perkara ini sebenarnya mengelirukan banyak pihak termasuk kakitangan kerajaan sendiri yang belum tentu mampu mengendalikan projek ini dengan jayanya.

Bagi saya bukan emel percuma sebagai pilihan utama kepada rakyat sekarang. Setahu saya banyak lagi pilihan untuk rakyat untuk menggunakan perkhidmatan emel percuma. Sebagai contoh mudah di bank-bank dan perkhidmatan emel daripada universiti pun percuma. Jadi, tidak perlulah kerajaan mewar-warkan inisiatif tersebut yang bagi saya mempunyai kepentingan lain. Nama emel sahaja pun sudah cukup menggambarkan ianya berkepentingan.

Apa yang lebih utama diusahakan pihak kerajaan adalah memperuntukkan internet ke seluruh negara kalau benar-benar ingin jadikan Malaysia sebagai negara maju. Belum pun internet, nak disediakan emel percuma. Saya sebutkan internet yang lebih utama dek kerana sumber maklumat yang sangat terhad sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada maklumat-maklumat asas yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Justeru, saya mencadangkan sediakan internet terlebih dahulu. Sebagai contoh,apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor yang sedang menggiat usaha meluaskan jalur internet ke seluruh negeri Selangor.

Bahkan pelaburan untuk projek ini sehingga mencecah RM50 juta! Seperti yang dipetik dari sebuah laporan akhbar mengenai ucapan Perdana Menteri: “He said that the RM50 million investment would have a GNI impact of RM39 million up to 2015 Further the 1 Malaysia email initiative will allow direct and secure communications between Malaysian citizens and government as well as enhance delivery of public services..”

Soalnya,adakah projek ini adil untuk semua rakyat Malaysia walaupun namanya emel 1 Malaysia? Bagaimana para penduduk di kawasan pedalaman yang kawasannya pun belum tentu mempunyai sumber asas seperti bekalan air bersih dan elektrik! Hak asasi ini yang perlu pihak kerajaan lebih peka dan prihatin. Cuma baru-baru ini saya juga dimaklumkan projek pemberian mini komputer riba secara percuma apabila membuat penyambungan internet pun telah dihentikan oleh pihak kerajaan dengan alasan tidak cukup dana dan kehabisan peruntukan sedangkan projek ini sangat besar manfaatnya untuk rakyat. Janganlah terlalu ghairah mengejar impian sehingga hak asasi rakyat diabaikan. Ibarat kata Karam Sigh Walia, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan!

Bagi saya juga, pendidikan percuma lebih utama diusaha dan diharmonikan oleh kerajaan berbanding sekadar emel percuma yang katanya bakal mengganti surat-surat rasmi kerajaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha berjimat cermat. Bagaimana pula masa depan para posmen di Malaysia? Agaknya mereka pula hilang kerja gara-gara surat sudah bertukar dalam bentuk emel !

Sekadar pandangan!

Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2011/2012

Tricubes pinjam RM5.3 juta bagi projek emel percuma
Apr 23, 11 9:39am

Firma teknologi maklumat, Tricubes Bhd berkata pelaburan awal untuk Projek Emel 1Malaysia adalah RM5.3 juta, yang mana pembiayaan awalnya telah didapatkan menerusi dana dalaman dan pinjaman.

NONEKerana jumlah pelaburan bagi projek lebih 10 tahun itu dianggarkan RM50 juta, ia menjangka untuk melaburkan semula perolehan yang diterima daripada projek itu untuk memastikan kelangsungan.

"Kerajaan tidak membiaya atau menaja jamin projek ini. Ini adalah projek pembiayaan swasta sepenuhnya," kata Tricubes dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ia juga berkata kerajaan hanya bertindak sebagai fasilitator bagi beberapa maklumat tertentu dan proses seperti pengesahan data dari agensi-agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

Alamat emel domain yang didaftar dan diluluskan adalah namaanda@myemail.my, katanya, menekankan bahawa Emel itu akan memberi pilihan kepada pengguna untuk meningkatkan keselamatan emel.

azlan"Tricubes dan Microsoft kini bekerja rapat untuk memastikan integriti dan kerahsiaan pengguna," katanya, apabila ditanya jika kerajaan boleh memantau akaun emel itu.

Tricubes juga berkata perkhidmatan asasnya adalah perkhidmatan emel tanpa bayaran kepada pengguna sementara sumber hasil akan diperolehi dari perkhidmatan tambah nilai yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

Mengenai status GN3, Tricubes menerangkan ia telah banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, yang mengambil masa yang panjang, dan kini sedang menjana pulangan untuk mendapatkan semula pelaburan.

Bagaimanapun, ia berkata syarikat GN3, dibenarkan oleh Bursa Malaysia untuk meneruskan aktiviti perniagannya.

Untuk kekal disenaraikan, syarikat GN3 itu harus menyelaraskan kedudukan kewangannya.

Tricubes telah membuat pencapaian pertamanya dalam pelan pelarasan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, dengan pelantikan penaja, M&A Securities Sdn Bhd pada Januari tahun ini.

Penaja itu dijangka menghantar pelan pelarasan syarikat kepada Bursa Malaysia dan mendapatkan kelulusan sebelum 29 Okt 2011.

- Bernama

Dari Email 1Malaysia, baik bagi wi-fi percuma
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 24 April: Kerajaan Malaysia patut meniru langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan Wi-Fi percuma kepada keseluruhan rakyat bukannya memperkenalkan Email 1 Malaysia yang mempunyai motif tersendiri untuk menyelamatkan kedudukan syarikat Tricubes Berhad yang terumbang ambing.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yussof menegaskan, perbelanjaan RM50 juta wang rakyat demi kroni tidak boleh diterima lagi bahkan patut dihukum dengan memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang kerana lebih cerdik menggunakan wang kerajaan untuk sesuatu projek.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan email 1 Malaysia. Ia berubah-ubah dari projek kerajaan kepada inisiatif swasta. Media pula mendedahkan syarikat Tricubes Berhad adalah syarikat yang hampir bankrap dan dikaitkan dengan adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak melalui Kumpulan CIMB.

Agensi kerajaan yang menggunakan email ini pula akan dikenakan caj 50 sen satu email yang akan diperolehi oleh Tricube sedangkan sebelum ini ia hanya percuma dan tidak akan menggunakan wang rakyat.

Sejak pengumuman ini, saham Tricubes telah naik mencanak di Bursa Malaysia kepada angka yang tidak pernah dicapainya sebelum ini.

"Jika nak sangat bagi jalur lebar untuk meningkatkan prestasi negara lebih baik bagi Wi-Fi percuma pada rakyat bukanya email 1 Malaysia. Lagipun ramai rakyat dah ada email sendiri termasuk remaja atau pelajar sekolah. Kita rasa Wi-Fi amat penting kerana ia dapat mengurangkan kos penggunaan internet sepertimana sekarang ia menjadikan syarikat telekomunikasi bertambah kaya buat keuntungan, " terang Yusmadi (gambar) ketika ditemui di majlis Hi-Tea di Nans Food Court, Taman Serdang, Kepala Batas baru-baru ini.

Lagipun katanya, cadangan berkenaan bertujuan mengongkong rakyat terutamanya golongan pemuda agar memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada untuk meneruskan tranformasi yang dibentangkan oleh Perdana Menteri beberapa minggu sebelum menjelangnya tarikh piliharanraya Sarawak.

Selain mempunyai motif yang tersirat barangkali cara itu merupakan taktik Barisan Nasional (BN) melebarkan proganda dan dakyah kepada sasaran dengan lebih mudah terus ke dalam komputer yang mendaftar dengan email 1 Malaysia.

"Dengan kewujudan email yang dipantau oleh kerajaan lebih mudah untuk mereka menyebarkan propaganda bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 nanti, " tambahnya.

Program khas sempena perlantikan Adnan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pinang Tunggal turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Azmin Ali, Ketua Perhubungan KeAdiLan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husain.


Anwar, Husam dalam seminar Muqasid
Atiff Idris

KOTA BHARU, 24 April: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) akan mengadakan seminar pemikiran Islam semasa berkaitan Maqasid Syar’iyyah yang akan diadakan di Balai Islam Lundang.

Seminar tersebut akan diadakan pada 30 April 2011 bersamaan 26 Jamadilawal 1432H bermula jam 2.00 petang.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, Datuk Husam bin Musa, Exco Kelantan dan Dr. Muhammad Nur Manuty, Pensyarah KUIS yang juga Ketua Penerangan PKR.

Manakala Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan menyempurnakan majlis perasmian penutup yang dijangka berakhir pada jam 5.00 petang.

Moderator seminar ini Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri kelantan.

Pengarah TATOK, Mohd Khir Abdul Ghani berkata, seminar ini diadakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat tentang matlamat Syariah.

“Peserta dianggarkan lebih 1500 orang terdiri daripada pimpinan masyarakat, badan-badan NGO, pelajar-pelajar IPT dan DHPP Kelantan serta para aktivis daripada pelbagai bangsa tanpa mengira fahaman politik turut turut dialu-alukan,

“Tujuan diadakan seminar untuk memberi gambaran jelas tentang konsep Maqasid Syar’iyyah dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia yang meliputi asas-asas kehidupan manusia untuk seluruh masyarakat yang berbilang kaum," katanya.

Pada jam 9.00 malam pula akan diadakan ceramah penjelasan isu-isu semasa yang dianjurkan pihak Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di Padang Majlis Daerah Machang.

Penceramah ialah Nik Abdul Aziz, Anwar, Husam dan Anthony Loke, Ketua Pemuda DAP.

MCA minta pulau Utusan, apa kata Pemuda Umno

Harakahdaily

KOTA BHARU, 24 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Pergerakan Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian terhadap gesaan Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok agar akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia dipulaukan oleh rakyat Malaysia.

Gesaan ini dilaporkan oleh laman web berita dalam talian Malaysiakini pada 23 April 2011.
Ini ekoran rencana yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan minggu lepas yang mencadangkan agar digerakkan kempen ‘1Melayu, 1Bumi’.

Pemuda PAS Kelantan, kata Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa cadangan tersebut merupakan cadangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Hakikatnya, kata beliau, Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi Umno dan sebarang tulisan yang tersiar di dalamnya khususnya yang berkaitan dengan sidang pengarangnya sendiri harus dipikul tanggungjawabnya oleh Umno.

Justeru, Fadhli (gambar) berkata, Pemuda PAS Kelantan melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA merupakan satu cabaran kepada Umno yang mengaku memperjuangkan bangsa Melayu.

"Jika selama ini mereka sering menuduh bahawa PAS telah menjadi kuda tunggangan DAP, maka hari ini apabila MCA secara terang menyelar lidah rasmi Umno, adakah Umno berani untuk bersuara?" katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS Kelantan beranggapan, sekiranya Umno khususnya Pergerakan Pemudanya hanya diam membisu, bererti mereka sendiri sudah merelakan diri menjadi kuda tunggangan MCA.

"Sepatutnya, pada masa inilah Pemuda UMNO perlu menunjukkan kejantanan mereka tampil ke hadapan membela suara rasmi mereka yang dianggap pembela bangsa Melayu selama ini," katanya.

Hakikatnya, kata Fadhli, seruan Utusan Malaysia itu hanyalah mengulangi pendirian politik perkauman yang diamalkan oleh Umno selama ini.

Pemuda PAS Kelantan katanya yakin, masyarakat Malaysia semakin menyedari permainan politik yang merbahaya ini dan akan menolak politik perkauman yang diamalkan oleh Umno dana rakan-rakan parti politik di dalam komponen Barisan Nasional


Dr M: Media arus perdana sesekali perlu kritik k'jaan
Apr 24, 11 7:27pm

Media arus perdana dalam negara harus sesekali menjadi pengkritik kerajaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ramai yang tidak bersedia untuk mengkritik kerajaan kerana mereka beranggapan mesti menyokong kerajaan sentiasa.

Dr Mahathir berkata media arus perdana juga mengamalkan tapisan berita sendiri dan ini memberi persepsi salah, seolah-olah berita mereka ditapis oleh kerajaan.

"Jadi kerajaan kadang-kadang mendapat pandangan yang berat sebelah tentang apa yang dimahukan oleh rakyat. Mereka (media) berpendapat harus lakukan tapisan sendiri.

"Dan ini sudah pasti memberi tanggapan bahawa kerajaan yang menyekat mereka," katanya pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Dr Mahathir yang juga penaung kepada Blog House Malaysia, penganjur persidangan itu berkata kritikan membina harus diberi demi kebaikan negara.

Katanya semasa penulis blog harus memberi layanan adil kepada kerajaan dan rakyat di laman blog mereka, penulis blog juga harus dilayan secara adil dan saksama.

Seramai 35 penulis blog dari negara Asean menghadiri persidangan itu yang bertema 'Blogging Mindfully and Responsibly'.



Mustafa minta Azmin jangan percaya media perdana
Hafiz Yatim
Apr 24, 11
6:51pm
Kongsi 51
Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata timbalan presiden PKR, Azmin Ali tidak seharusnya melenting dan dengan mudah mempercayai apa yang dilaporkan dalam media arus perdana berhubung ulasannya mengenai kes video seks.

Mustafa berkata, Azmin tidak seharusnya mempercayai apa yang disiarkan oleh media 'milik Umno' semalam yang menyebut PAS akan menyemak semula hubungannya dengan PKR ekoran skandal video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana, kata Mustafa, hanya mahu memecah-belahkan gabungan Pakatan Rakyat.

"Lihat laporan dalam media bukan milik Umno atau BN seperti Harakah dan yang lainnya, yang lebih bertanggungjawab dalam laporan mereka dan memberi gambaran yang lebih jelas," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Azmin membidas laporan yang memetik Mustafa berhubung video seks yang dikaitkan dengan Anwar.



1Melayu 1Bumi hasrat sebenar Umno
Fakhri Ali

BAYAN LEPAS, 23 April: Isu 1Melayu, 1Bumi sepertimana yang diperkatakan oleh akhbar Utusan Melayu, milik Umno sebenarnya menyuarakan hasrat sebenar parti tersebut dan dasar yang ingin mereka praktikkan.

Namun begitu, bagi Pakatan Rakyat (PR), ia bukannya sesuatu yang membanggakan.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata demikian ketika menyampaikan ceramah isu semasa di Sungai Tiram, Bayan Lepas malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, turut menyatakan apa yang cuba ditimbulkan oleh Umno melalui akhbar tersebut akan mengundang prasangka yang parah kerana mempertontonkan keakuan yang melampau.

"Dalam PR kita membela semua golongan masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan. Siapa sahaja yang sukar dan melarat pasti akan dibela bagi menjadikan mereka juga dapat hidup dalam sempurna dengan kumpulan masyarakat yang lain.

"Oleh kerana itulah, PR enggan menerima momokan prejudis seperti ini untuk diperjuangkan sebagai landasan politik yang akan membawa parah dan kemudaratan," tegasnya lagi.

Azmin juga menyatakan dalam pilihan raya umum yang akan datang, PKR tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana pihak yang telah menggugat kestabilan parti sepertimana yang dilakukan oleh wakil rakyat yang melompat.

"PKR akan pastikan tapisan kali ini adalah yang terbaik, setelah pengalaman lalu membuktikan, tanpa tapisan yang terbaik, maka hasilnya juga adalah yang tidak baik sepertimana yang dibuktikan oleh wakil rakyat PKR yang mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas.

"Mereka ini juga sebenarnya menjatuhkan imej sendiri, apabila meletakkan martabat mereka, pada tahap yang begitu rendah dengan tidak menghormati mandat yang telah diberikan oleh pengundi atas tiket parti sebelum ini.

"Walau bagaimana pun, kita akan pastikan insiden ini tidak akan berulang lagi dalam pilihan raya yang akan datang. Tapisan yang terbaik akan dilakukan sebelum pemilihan wakil rakyat dilakukan," tegasnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain.




Mengapa polis cekap susah dakwa trio Umno?
Harakahdaily

KUANTAN, 24 April: Siasatan siap, dihantar ke pejabat Peguam Negara, kena tendang, sudah lengkapkan siasatan dan hantar semula, pejabat Peguam Negara tendang lagi dan kini tetiba polis meminta lebih banyak masa untuk melengkapkan siasatan berhubung video lucah yang didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang.

“Polis Malaysia yang terkenal dengan kecekapannya, apa yang payah sangat untuk dakwa pemilik video dan orang yang menayang klip video lucah kepada orang awam? Kan ini terang-bederang sudah bercanggah dengan akta yang ada?” sindir Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan polis memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks yang didedahkan trio Umno Datuk T, yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik setelah Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis untuk menyemak dan menambah maklumat berhubung kertas siasatran rakaman aksi tersebut untuk kali keduanya.

"Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.

"Kita jalankan kerja kita dan apa juga keputusannya kemudian akan diumumkan kalau bukan kita pihak Peguam Negara akan umumkan,” kata Khalid yang dipetik Bernama.

Khalid, bagaimanapun enggan mendedahkan bahagian mana dalam siasatan tersebut yang ditegur Pejabat Peguam Negara. Jika selepas ini polis menghantar lagi kertas siasatan kepada Peguam Negara, ini adalah kali ketiga perkara ini dilakukan.

Berikut ialah kronologi ‘pengisytiharan’ polis mengenai siasatan video seks melalui media tradisional Umno Barisan Nasional:

11 April: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata identiti pemilik jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada polis berhubung kes rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pelaku dilaporkan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui tidak lama lagi.

Polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat yang mengedarnya bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya.

14 April: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah memperolehi bukti-bukti ‘kukuh’ yang mencukupi untuk mengenalpasti individu yang dikaitkan dalam video seks.

“Kami sudah mengambil kenyataan dari semua orang yang boleh membantu dalam siasatan kes ini, termasuk wanita dalam video,” Ismail dipetik berkata oleh The Star.

15 April: Acryl berkata polis percaya wanita dalam rakaman video seks itu adalah rakyat China dan menafikan laporan akhbar yang memetik Ismail sebagai berkata polis telah mengambil keterangan wanita dalam video itu.

Setakat ini maklumat kita mempercayai wanita (dalam) video itu sebagai warga China tetapi belum disahkan secara pasti dan setakat ini tiada perkembangan yang sensasi," katanya kepada Bernama menerusi SMS.

18 April: Acryl berkata “kemungkinan” Datuk T akan didakwa berikutan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.

Jam Omega, katanya, bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu.

April 20: Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis membuat semakan serta penambahan maklumat berhubung kertas siasatan rakaman aksi seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang.

“Saya telah berikan polis arahan supaya menyiasat lanjut. Kita tidak memberikan mereka sebarang tempoh masa untuk melengkapkan siasatan.

"Ini kali kedua kertas siasatan dipulangkan kepada polis,” kata Ketua pendakwa Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

April 21: Berita Harian pada tajuk utamanya hari ini memetik sumber sebagai berkata sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

April 23: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, “Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.”

“Kenyataan pihak polis bahawa mereka telah siap dan telah serah kepada pihak pnguam negara, dan media telahpun mengambarkan bahawa Datuk T trio Umno akan didakwa; tiba-tiba kini polis memerlukan masa lagi untuk lengkapkan siasatan.

"Apakah ada motif lain sehingga ianya mengambil masa yang sangat lama? Apapun rakyat akan terus menilai setiap perkara,” kata Tuan Ibrahim sebagai respon kepada perkembangan kenyataan polis yang semakin tidak menentu dan kelewatan siasatan yand didakwanya akan mendedahkan mangsa kepada pelbagai keaiban yang dimanipulasikan oleh media tradisional Umno Barisan Nasional.

Topik video seks yang didakwa membabitkan Anwar telah menjadi topik hangat media tradisional Umno Barisan Nasional sejurus selepas video berkenaan dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan trio Umno dikenali sebagai 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac yang lalu.


Tiada ulasan: