Ahad, 3 April 2011

SAPE PUN BOLEH BERANGAN....BERCITA2 NAK MENANG...JANGAN MAIN KOTOR.....MENANG PUN TAK BERGUNA...SEBAB TAK BERMARUAH

Najib tidak kata yakin tawan Pulau Pinang - Tsu Koon
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 April: Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan rampas kembali Pulau Pinang sebagaimana yang dilaporkan Bernama.

Menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan sebuah laman web, Koh berkata, Najib tidak pernah seyakin itu ketika bercakap kepada media di Pulau Pinang semalam.

"PM sangat berhati-hati dengan kenyataannya. Dia kata, dia lawat lima kawasan. Rakyat telah memberikan sambutan yang hangat. Jika sambutan hangat boleh diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, jadi BN bolehlah ambil balik beberapa kerusi," jelas Koh.

Namun, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu., "PM tidak pernah kata mengambil semula kerajaan negeri kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam. Mungkin Bernama salah lapor (kenyataan PM)."

Koh yang bersama Najib di Pulau Pinang semalam berkata demikian kepada media selepas melancar sebuah buku awal hari ini.

Pada asalnya, Koh ketika ditanya kenyataan PM itu menyalahkan laman web berkenaan, namun selepas itu diberitahu ia laporan media rasmi kerajaan iaitu Bernama.

Laporan Bernama

Dalam laporanya sebelum ini, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini (2 April) banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.

Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.

Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.


Saya tidak boleh terima kenyataan KPN - Dr Lo' Lo'
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 April: "Saya awal-awal lagi tidak boleh terima kenyataan KPN yang dilihat tidak serius dalam menangani isu yang merupakan kemuncak politik durjana," kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar ketika mengulas isu video seks politik yang didalangi Trio Umno baru-baru ini.

Trio Umno itu adalah Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Datuk Shuib Lazim. (gambar Malaysiakini)

Pertama kali, KPN berkata, polis tidak boleh menangkap mana-mana pihak sesuka hati tanpa sebarang bukti apabila ditanya kenapa pihak yang menayangkan video lucah secara terbuka tidak ditahan.

Terbaru, beliau berkata, video seks itu terbukti tulen yang membayangkan ia benar dan menyalahkan plihak didakwa terlibat dalam video itu tanpa menyebutnya.

Ketua Polis Negara KPN dalam kenyataan terbarunya berkata, siasatan kini dalam peringkat akhir oleh pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan.

"Dengan ini diumumkan bahawa siasatan (video) kini di tahap terakhir...ini bermakna polis telah menerima laporan pakar mengenai kesahihan video itu. Dengan kata lain, rakaman itu adalah tulen," katanya pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) 1 April lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks terbabit.

"Cuba bayangkan jika yang terlibat dengan penayangan video lucah ini pimpinan Pakatan Rakyat atau pihak yang nak diperkenakan oleh pemimpin BN, agaknya bagaimana reaksi KPN dan polis umumnya," kata Dr Lo' Lo' melahirkan rasa kesalnya.

Beliau yakin, kenyataan-kenyatan KPN itu sedang diperhatikan rakyat dan boleh membawa rebahnya Barisan Nasional yang sedang memerintah.

"Saya nak ingatkan KPN bahawa rakyat melihat ketidakadilan ini dan Allah Maha Melihat," kata Dr Lo' Lo'.

Pelawa Ku LI berjuang bersama Pakatan
Suhaimi Mokhtar

Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li memang dianggap umum satu-satunya pemimpin berwibawa Umno yang masih tinggal. Pemimpin dari keluarga diRaja Kelantan itu memang mempunyai pemikiran dan pendirian politik tersendiri, berbanding dengan pemimpin Umno yang telah luput, apalagi dengan pemimpin Umno terkini.

Ku Li yang hampir-hampir memenangi pemilihan Presiden Umno mengalahkan Dr Mahathir apabila beliau hanya kalah sebanyak lebih 40 undi, telah melalui pengembaraan politik yang jauh, berjuang untuk menjadi pemimpin utama negara, sebagai Perdana Menteri (PM).

Dari awal lagi, ketika masih muda Ku LI memang dipupuk dan diasuh oleh PM kedua, Tun Abdul Razak, ayahanda PM sekarang untuk mewarisi kepimpinan Umno, namun nasib tidak menyebelahinya. Beliau sentiasa terhalang oleh keadaan kelangsungan politik persekitaran yang kadang-kadang di luar perhitungan manusiawi.

Perlantikan Ku Li mengetuai Petronas, Pernas, Bank Bumiputra dan lain-lain agensi kerajaan yang dewasa ini lebih dikenali sebagai GLC (Syarikat Milik Kerajaan) merupakan petanda bahawa beliau memang di ‘groom’ untuk nanti mewarisi kepimpinan Umno.

Ku Li menjulang sehingga mencapai peringkat antara Naib Presiden Umno yang mendapat undi terbanyak, tetapi dalam pergolakan politik Umno, Ku Li tidak terpilih untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika Hussien Onn, PM ketiga mengambil alih pimpinan Tun Razak yang meninggal dunia secara mengejut di London pada tahun 1976.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Hussien Onn mahu melantik Ghazali Shafie sebagai TPM, tetapi tiga Naib Presiden, Ku LI, Ghaffar Baba dan Mahathir membantah ura-ura itu dan mahukan salah saorang dari tiga Naib Presiden dilantik.

Hussien Onn memilih Mahathir yang mendapat undi paling rendah diantara tiga Naib Presiden. Ku Li terhalang untuk menjadi TPM yang merupakan satu langkah ke hadapan bagi memungkinkan untuk menjadi PM.

Hussien Onn hanya menjadi PM satu penggal sahaja, jawatan itu diserahkan kepada Mahathir yang tidak memilih TPM tetapi membiarkan perlawanan antara Musa Hitam dan Ku Li bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Umno bagi menentukan siapa di pilih oleh perwakilan Umno sebagai Timbalan Presiden dan sekaligus sebagai TPM.

Ku Li kecundang lagi akibat permainan politik Mahathir. Bulan madu pemerintahan awal Mahathir dengan regunya Musa yang dipanggil era 2M, Mahathir-Musa, tidak dapat bertahan lama. Musa berundur dan akhirnya sampailah saat pertandingan regu Ku Li- Musa, yang menyebelahi Ku Li bertanding melawan Mahathir-Ghaffar untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Mahathir-Ghaffar menang dan Ku Li mengalami kekalahan akibat ada bahagian yang menjanjikan undi baginya, di saat-saat akhir tidak bersamanya. Sejak itu Ku Li mengembara jauh dalam arena politik yang sebelumnya menyaksikan Umno diharamkan pendaftarannya dan Mahathir menubuhkan Umno baru. Ku Li mahu mengekalkan Umno lama dan menamakannya sebagai Parti Semangat 46, mengambil sempena kewujudan Umno pada tahun 1946.

Kegagalan Ku Li untuk mengalahkan Mahathir berkemungkinan persepsi perwakilan Umno bahawa Presiden Umno dan sekaligus PM mestilah berkisar antara anak kelahiran Kedah, Pahang, Johor dan Pulau Pinang. Ku Li yang berasal dari Kelantan tidak diberi kesempatan, walaupun beliau juga membawa nama Tengku dihadapannya, seperti Tunku Abdul Rahman, PM pertama yang berasal dari Kedah. Nama Tengku sahaja tidak cukop bagi Ku Li kerana beliau berasal dari Kelantan.

Ku Li kemudiannya berada di pentas pembangkang dengan mengadakan persefahaman pilihanraya dengan PAS dan DAP. Dengan PAS digerakkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), tetapi dalam pilihan raya yang diadakan Semangat 46 tidak dapat menandingi Umno-BN yang menggunakan segala jentera kerajaan untuk menjamin kemenangannya. Melaluinya PAS bersama S46 mampu
mengambilalih pimpinan negeri Kelantan.

Ku Li akhirnya membubarkan S46 dan menyertai semula Umno tetapi rentetan yang panjang dalam karrier politik Ku Li ini menunjukkan Ku Li pernah berkerjasama dengan pembangkang terutama PAS, maka adalah sewajarnya Ku Li membuat satu penilaian semula terhadap politik baru bagi menyelamatkan negara ini dari politik kotor, jijik, rasuah, ketidakadilan dan penuh dengan fitnah serta
dendam kesumat.

Ku Li sebagai ahli politik ulong yang mempunyai kebijaksanaan mampu meningkatkan momentum bersama pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengangkat perubahan lanskap politik dan reformasi demokratik penuh keadilan dalam pilihanraya ke-13 bagi menamatkan pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Perjuangan Ku Li dalam Umno sudah sampai kepenghujungnya. Terakhir Ku Li diminta berkhidmat untuk menggalas jentera pilihanraya kecil Dun Galas di Kelantan bagi merampas kemenangan dari PAS. Faktor Ku Li adalah sebahagian dari punca sebab kemenangan calun Umno di Galas yang terletak di bawah kawasan Parlimen Gua Musang yang merupakan satu-satunya kawasan yang tidak dapat dirampas oleh PAS dan terus menerus dapat dikekalkan oleh Ku Li.

Sebagai ahli politik Ku Li boleh sahaja berjuang bersama Pakatan Rakyat kerana parti politik hanya satu wadah perjuangan untuk menerajui kepentingan rakyat. Kelihatan Umno-BN yang dipimpin oleh generasi kedua, ketiga Umno sudah tidak sesuai dengan kepintaran generasi lama, walaupun Ku Li bukanlah terdiri dari genarasi pertama Umno, kerana budaya Umno sekarang sangat jelek,kotor dan jijik.

Ku Li sendiri memberikan komennya bahawa video seks yang mengaitkan Anwar Ibrahim tidak dapat diterimanya. Rakyat juga tidak dapat menerimanya. Ia serupa sahaja dengan kes liwat 1998, katanya.

Banyak pertembungan pendapat antara Ku Li dengan pimpinan Umno sekarang. Ia menyentuh bukan perkara-perkara kecil, tetapi melibatkan dasar. Ku Li menentang Kelantan tidak diberi royalti petrol begitu juga royalti minyak untuk Terengganu ditukar menjadi wang Ihsan. Mahathir ialah orang yang melaksanakan rampasan royalti minyak di Terengganu sebaik sahaja PAS memenangi pilihanraya 1999.

Sebagai orang yang terlibat secara langsung merangka perjanjian Patrolium bersama pakar-pakar lain termasuk Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, Ku Li membela hak negeri-negeri untuk mendapat royalti minyak lima peratus sebagaimana perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri yang persekitaran lautnya terdapat deposit minyak dan gas.

Jika Ku Li terus berada dalam Umno, tokoh yang disenangi oleh kawan dan lawan itu tidak dapat membuat sumbangan besar kepada rakyat dengan kapasiti yang ada. Di pentas Pakatan Rakyat dijangkakan beliau mampu memberi sumbangan lebih besar sebelum hayat politiknya berakhir.

Ada yang berpendapat Ku Li tidak berpengaruh lagi kecuali di Kelantan, kerana beliau dianggap sebagai tenaga sudah terpakai, tetapi dengan berada dalam Pakatan Rakyat, ia mampu dikitar semula dan sedikit sebanyak melonjakkan momentum kebangkitan untuk menukar kerajaan Umno-BN yang memerintah terlalu lama.

Kalau pernah pada satu ketika Pakatan Rakyat meuar-uarkan untuk mengambilalih pimpinan kerajaan melalui penyebrangan MP-MP kerajaan kepada Pakatan Rakyat,tetapi tidak menjadi kenyataan,maka adalah lebih wajar,Pakatan Rakyat ,ketika menjelang pilihanraya ke-13 mengajak dan mempelawa beberapa kerat yang masih mempunyai kredebaliti termasuk Ku Li untuk bersama Pakatan Rakyat menukar lanskap politik negara.Mungkin selepas pilihanraya ke-13 giliran anak kelahiran Pulau Pinang pula mampu menerajui negara sebagai PM.Inilah kesepakatan antara komponan Pakatan Rakyat.


Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok

Ahmad Lutfi Othman
SUKAR sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas.

Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit. Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.

Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China. Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"

Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil. Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.

Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.

Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu. Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.

Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.

Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.

Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan. Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.

Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM). Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.

Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.

Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.

Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.

Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.

Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?

Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.

Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.

Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.

Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.

Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.

Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri. "Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.

Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."

Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.

Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.

Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"

Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."

Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.

Tiada ulasan: