Rabu, 6 April 2011

BILA MANUSIA TAK TAKUT HUKUM ALLAH DIAKHIRAT NANTI....MEREKA LEKA DUNIA...HINGGA LUPA NERAKA ALLAH...KERANA BUAT KEJAHATAN DIDUNIA....

Wartawan tanya lagi tentang jam Omega
Abdul Rahim Sabri
Apr 5, 11
4:45pm


Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah berkata beliau ada menyimpan jam Omega milik suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa oleh trio 'Datuk T' hilang di dalam sebuah bilik hotel.

Menjawab soalan pemberita sama ada Anwar yang juga ketua pembangkang ada kehilangan jam itu, Wan Azizah menjawab, jam tangan itu tidak hilang, dan berada dalam simpanannya (Wan Azizah).

“Tidak ada (kehilangan jam)... Ya, ia ada (dengan kami). Kami ada jam tangan tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar ketika menjawab soalan wartawan berhubung video seks yang dimuatkan di Internet semalam.

Seorang wartawan meminta jam tangan itu ditunjukkan kepada media, tetap soalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Wan Azizah, keluarga dan beberapa pemimpin yang hadir dalam sidang media itu.

Bahkan terdapat di kalangan mereka mempertikaikan permintaan wartawan tersebut.

“Adakah awak serius? Mengapa kami didakwa? Adakah awak pendakwaraya?” kata anak sulung Anwar, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Kemudiannya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mencelah dengan menyifatkan permintaan wartawan tersebut sebagai sesuatu yang “menjijikkan”.

“Saya fikir soalan ini juga mencerminkan bahawa kamu betul-betul tidak menghargai keadilan," katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh dalam satu sidang media menafikan sekeras-sekerasnya lelaki yang dikatakan dalam video tersebut adalah dirinya dan menafikan beliau kehilangan jam tersebut.

Bahkan beliau meminta wartawan bertanyakan sendiri kepada isterinya kerana beliau yang menyimpan jam tangan tersebut.



'Itu bukan Anwar', kata Wan Azizah
Abdul Rahim Sabri
Apr 5, 11
11:08am

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan dakwaan bahawa beliau adalah lelaki dalam video seks yang sebahagian daripadanya telah disiarkan di internet semalam.

NONEIsteri Anwar yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kata video itu merupakan "bukti paling jelas" bahawa suaminya bukanlah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur itu.

Membaca satu kenyataan hari ini, wan Azizah berkata, keluarganya telah memutuskan untuk menonton video
yang disiarkan di Internet itu dan mendapati jelas bahawa susuk badan lelaki berkenaan terlalu berbeza dengan susuk badan Anwar.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah pengerusi DAP Karpal Singh, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bapa mertua Anwar, Datuk Wan Ismail Wan Mahmud serta anak sulung ketua umum PKR itu, Nurul Izzah.

Turut hadir dalam sidang media itu, bapa mertua Anwar, Datuk Wan Ismail Wan Mahmud.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, keluarganya telah diuji dengan pelbagai dugaan sejak 1998 dan pelbagai fitnah dan tuduhan telah dilemparkan terhadap Anwar.

"Setiap tuduhan tersebut adalah sendirinya terlalu berat, tetapi Datuk Seri Anwar terpaksa melalui satu demi satu tuduhan yang busuk, jelek dan jijik," katanya.

Namun, tambah beliau, jika disenaraikan semua tuduhan tersebut, nyata sekali tidak masuk akal bagaimana Anwar dapat melakukan kesemuanya yang bertentangan antara satu sama lain.

"Dalam kes video terbaru ini, kami sekeluarga memutuskan untuk menonton sendiri rakaman tersebut.

"Video tersebut adalah bukti paling kukuh bagi sesiapa yang benar-benar mengenali Datuk Seri Anwar bahawa tuduhan terbaru ini satu lagi fitnah zalim dan palsu.

"Siapa lagi yang lebih mengenali beliau dengan begitu intim kalau bukan kami, keluarga terdekat beliau, yang telah bersama beliau dalam susah dan senang, khusus dari saat beliau berada di arus perdana kepimpinan negara hinggalah ke hari-hari beliau mulai pulih dari serangan apabila beliau dibebaskan daripada penjara.

NONE"Jelas kelihatan susuk tubuh badan pelaku dalam video tersebut amat berlainan daripada susuk badan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini diperkukuh lagi memandangkan sejak lebih setahun yang lalu, anak-anak Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menemani beliau setiap kali beliau pergi melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi selaku sebahagian daripada aktiviti pemuliharaan kesihatan tulang belakang," tambahnya.

Oleh itu, kata Wan Azizah, mereka sekeluarga berpendirian bahawa keluarnya video ini adalah satu lagi contoh taktik politik lucah dan menolak sekeras-kerasnya politik sedemikian.

sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Malaysia untuk bersama menegakkan keadilan dan menolak politik kotor.

"Kembalikan agenda perjuangan menuntut reformasi menyeluruh dalam sistem politik, ekonomi dan sosial negara," katanya sambil menambah bahawa dalam menghadapi dugaan ini, mereka yakin ada hikmah di sebaliknya.

"Pendedahan sedutan video ini dibuat pada 4 April 2011 – ulangtahun ke-12 Parti Keadilan Nasional yang lahir daripada kegawatan politik negara.

"Fitnah dan tohmahan ini berpunca daripada ketamakan terhadap kuasa dan politik yang sudah hilang nilai moralnya.

"Kita sewajarnya berbincang secara kritis perbezaan pandangan kita, bukan dengan serangan peribadi yang kotor dan hina," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua rakyat tidak terperangkap dengan permainan tersebut, dan sebaliknya meneruskan usaha menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran.

Ditanya mengapa beliau mengubah fikiran untuk menonton sedutan video tersebut, Wan Azizah berkata beliau diberitahu tidak ada unsur lucah dalam video itu.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Wan Azizah berkata

"Tidak ada apa-apa (perkara lucah) berlaku...(Jadi saya) nak memuaskan hati.

(Individu) itu bukan Anwar Ibrahim dalam video tersebut," tegasnya ketika menjawab soalan wartawan mengenai identiti lelaki tersebut.

Ditanya sama ada penyebaran sedutan video itu mengganggu atau mempengaruhi ahli PKR, Wan Azizah berkata, ceramah di Subang Jaya dua hari lalu, membuktikan semangat mereka naik kerana menyifatkan video itu "tidak beretika, memalu dan mengaibkan".

Ditanya sama ada akan menyahut cabaran pihak yang meminta Anwar bersumpah cara Islam, Wan Azizah berkata: "Tangkap dulu (Datuk T)..."

Menurut Wan Azizah lagi, tidak timbul sama ada video itu tulen atau tidak, tetapi sebaliknya menegaskan sekali lagi bahawa lelaki dalam video tersebut bukan Anwar.

Sementara itu, Wan Ismail pula - ketika menjawab soalan wartawan - berkata video tersebut adalah tuduhan yang tidak bermoral terhadap menantunya.

"Ia satu tuduhan yang tidak ada asas sama sekali. Orang itu tidak ada cara lain dah (maka mereka) berusaha pelbagai cara untuk memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.


PERKASA dakwa blog hina pemimpin BN dan Pakatan
Abdul Rahim Sabri
Apr 5, 11
7:04pm


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik blog yang didakwa menghina pemimpin BN dan Pakatan Rakyat dengan meletakkan gambar yang telah diubahsuai.

NONELaporan polis itu dibuat oleh Pemangku Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris kepada pemilik laman blog alfanso-rightstoon.blogspot.com di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi kira-kira jam 3 petang ini.

Dalam laporan polis itu, Irwan berkata pihaknya banyak menerima rungutan mengenai blog tersebut yang didakwa menghina beberapa tokoh pemimpin negera.

Beliau mendakwa, blog itu menyiarkan gambar ilustrasi provokatif dengan gelaran yang menghina pemimpin negara.

Blog itu juga, dakwanya, turut mengungkit kemelut novel interlok yang menurutnya telahpun diselesaikan oleh timbalan perdana menteri.

Sehubungan itu, Irwan menggesa menggesa pihak polis menyiasat pemilik laman blog ini dan tindakan sewajarnya diambil bagi mengelakkan rasa kurang senang masyarakat.

“Dan kami gesa lawan web ini ditutup kerana ia tidak membawa apa-apa manafaat kepada masyarakat,” katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Irwan ketika dihubungi Malaysiakini menyifatkan tindakan menyiarkan gambar-gambar tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mendesak pemilik laman blog itu menarik gambar yang telah disiarkan dan memohon maaf kepada pemimpin terbabit, termasuk pemimpin Pakatan Rakyat.



'Larang pengkritik masuk S'wak satu salahguna kuasa'
Apr 5, 11 6:02pm


NGO hak asasi manusia mengutuk larangan terhadap aktivis Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) Steven Ng daripada memasuki Sarawak dan menyifatkannya sebagai tindakan menutup mulut pengkritik menjelang pilihan raya negeri.

Menurut Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ng dihalang memasuki negeri itu oleh pegawai imigresen di lapangan terbang antarabangsa Kuching pada 3 April.

Ng diberitahu bahawa jabatan keselamatan negeri telah mengeluarkan arahan supaya tidak membenarkan beliau memasuki Sarawak.

Ng menerima satu surat rasmi yang mengandungi arahan tersebut mengikut Seksyen 65(i)(a) Akta Imigresen 1959/63, tetapi ia tidak menyatakan sebab lain berhubung larangan tersebut.

NGO itu seterusnya melaporkan bahawa pegawai imigresen Sarawak itu cuba menyerahkan Ng kepada pihak keselamatan lapangan terbang tetapi selepas Ng membantahnya, mereka bersetuju membenarkannya pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, NGO tersebut berkata, pihaknya memandang berat insiden terbaru itu kerana mendakwa ia merupakan satu penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Sarawak untuk menghadkan kebebasan pengkritik untuk masuk dan keluar dari negeri itu.

“Terdapat banyak kes rakyat Sarawak yang dinafikan hak mereka untuk keluar negeri dan aktivis dari Peninsula Malaysia dilarang masuk ke Sarawak.”

Salah satu kes seumpama itu membabitkan Jannie Lasimbang, seorang penduduk asal Sarawak yang terbabit dalam misi pencarian maklumat mengenai kaum Penan, telah dilarang masuk ke negeri itu.


Video seks: AMK lapor kepada SKMM
Salhan K Ahmad
Apr 5, 11
5:52pm


Sayap pemuda PKR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) - hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap beberapa pihak yang didakwa terlibat menyebarkan satu video seks di Internet.

Video seks berkenaan dipercayai merupakan sedutan daripada video lucah yang ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Laporan itu antara lainnya menamakan laman papagomo.com, pisau.net dan juga gerakanantipkr.blogspot.com sebagai pihak yang perlu disiasat berhubung penyebaran video berkenaan.

NONESelain itu, AMK turut menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas seorang pengguna Youtube yang menggunakan nama 'thepowerman' – individu yang memuatkan klip berkenaan di laman tersebut.

Timbalan ketua penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip berkata, aduan itu dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas penyebaran klip video bertajuk VTS 01 1 itu.

"AMK percaya penyebaran video ini dalam laman maya dan laman sosial berniat jahat dan cuba merosakkan masyarakat pengguna (Internet) dengan cuba menayangkan sebuah video berunsurkan seks dan lucah.

"Kami desak supaya buat siasatan segera dan supaya tarik semua video ini dari semua laman sosial dan laman maya yang cuba mengaitkan kononnya ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah) pelaku seks ataupun pelakon dalam video yang mereka tayangkan kepada umum.

"Kami mengutuk dan berasa kesal (atas) tindakan mereka ini. Kami menggesa polis dan ketua polis negara siasat segera dari mana datangnya punca bahan video ini, (bagaimana) boleh terdedah kepada umum," kata Rozan Azen ketika dihubungi Malaysiakini.

AMK turut mengemukakan cetakan kandungan laman web berkenaan berhubung isu tersebut ketika membuat laporan pada kira-kira jam 2.30 petang di ibu pejabat SKMM Cyberjaya itu, katanya lagi.

Tambahnya, laporan itu diterima oleh timbalan pengarah bagi biro aduan pengguna SKMM Shaharliza Mohd Saman.



Karpal: Pakatan akan tolak usul tubuh s'raya
Apr 5, 11 4:30pm


Pakatan Rakyat akan menolak sekiranya usul menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata isu berkenaan tidak memerlukan kepada penubuhan suruhajaya kerana kes itu telah dilaporkan kepada polis.

"Suruhanjaya siasatan diraja lazimnya ditubuhkan bagi menyiasat perkara-perkara besar seperti rakaman video Lingam yang membabitkan pegawai tinggi," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, BN akan membawa usul penubuhan suruhanjaya itu ke Parlimen.


Polis siasat video seks dimuat di Internet
Salhan K Ahmad
Apr 5, 11
12:37pm


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis turut menyiasat sebahagian rakaman video seks yang didakwa menunjukkan aksi seorang pemimpin utama pembangkang, yang dimuatkan di Internet.

Beliau mengesahkan bahawa siasatan itu turut meliputi individu yang terlibat memuatkannya di laman video Youtube dan di laman blog.

NONE"Kita siasat secara menyeluruh," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dilaporkan, video pendek itu menunjukkan beberapa kesamaan dengan video yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ismail turut ditanya bagaimana video berkenaan boleh dibocorkan di Internet.

Polis juga ingin tahu

Beliau ditanya demikian memandangkan individu yang mengaku bertanggungjawab ke atas video berkenaan, telah menyatakan hanya terdapat dalam dalam satu salinan sahaja.

"Ini kata dia kan? Betul atau tidak kita pun hendak tahu juga.

"Saya tidak boleh respon kepada setiap individu yang ada pandangan tertentu. Saya dah terangkan tindakan polis, saya dah terangkan kepada semua.

"Saya yakin apa yang polis buat adalah untuk mementingkan kepentingan rakyat menyeluruh," katanya lagi.

Rakaman berkenaan dilaporkan telah diserahkan kepada polis oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik pada 24 Mac lalu.

Selain Rahim, dua lagi i'Datuk T' yang mengaku bertanggungjawab menayangkan video berkenaan ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bendahari sebuah NGO Melayu Datuk Shuib Lazim.

KDN: Siasatan polis profesional

Sehubungan itu, menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata beliau sendiri tidak tahu sumber video pendek yang dimuatkan di laman Youtube.

Hishammuddin sebelum ini telah menafikan bahawa kementeriannya atau pihak polis berperanan dalam isu tersebut.

NONEDalam sidang media sama hari ini, Hishammuddin turut menyatakan keyakinannya terhadap siasatan PDRM ke atas kes video lucah itu.

"Saya pun tak tahu mana datangnya video di Youtube tapi setahu saya dalam konteks apa yang berada dalam tanggungjawab pihak polis bersandarkan kepada laporan polis yang dibuat, Tan Sri IGP sendiri memantaunya dan kita telah umumkan kepada pihak media dan itulah merupakan apa yang ada dalam pengetahuan pihak polis.

"Ini dimaklumkan kepada saya oleh IGP apabila ditanya tadi,siapa yang keluarkan, siapa yang dedahkan, siapa dalam video itu, siapa yang turunkan dalam Youtube, wallahu a'lam.

"Tetapi yang paling penting rakyat mesti memahami polis ada tanggungjawab mereka dan setakat ini saya tengok pihak PDRM telah menjalankan tugasnya secara profesional dengan menilai video yang ada pada mereka dan lepas itu serah kepada peguam negara," katanya lagi.

Hishamuddin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu pelancaran sistem pemantauan keselamatan bandar di sebuah hotel di Kuala Lumpur.



Bekas timbalan GM Yayasan S'gor dituduh rasuah
Apr 5, 11 1:12pm


Bekas timbalan pengurus besar (pengurusan) Yayasan Selangor, Mohd Saifulruddin Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

Dia menghadapi tiga tuduhan secara rasuah menyetujui menerima suapan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM45,000.

Mohd Saifulruddin dituduh melakukan kesalahan itu di antara 5 Oktober 2010 dan 11 November 2010. Dia didakwa dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Saifulruddin dituduh menerima wang tunai RM20,000 sebagai upah dalam membantu syarikat Drift Z Enterprise dipilih dan dilantik sebagai pengurus acara majlis sambutan 40 tahun Yayasan Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam 5 Oktober 2010 di alamat no.3, Jalan Platinum 7/43C, Seksyen 7, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi tuduhan kedua pula, dia dituduh menerima wang tunai berjumlah RM20,000 pada jam 9 malam 25 Oktober 2010 di alamat yang sama sebagai upah kerana tidak menahan pembayaran ketika itu kepada Syarikat Drift Z Enterprise.

Manakala bagi tuduhan ketiga, Mohd Saifulruddin dituduh menerima RM5,000 sebagai dorongan supaya melepaskan bayaran tambahan program sebanyak RM93,982.40 kepada syarikat yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9 malm 11 November 2010 di hadapan Restoran The Skewers, Subang Avenue, Selangor.

Mohd Saifulruddin dituduh menerima wang rasuah dalam ketiga-tiga tuduhan tersebut dari Husni Abd Rahim.

Mohd Saifulruddin sebelum ini telah dipecat kerajaan Selangor pada 17 Februari lalu.

Dia tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam Sawmee Ullah. Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 9 Mei depan.

Mahkamah juga membenarkan ikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwaraya Anthony Kevin Morais dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Mat Ghani.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.




Tiada ulasan: