Sabtu, 2 April 2011

APA JE PERJUANGAN BIAR BERDASARKAN AKIDAH...JIKA NAK SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT...

Di mana moral Najib pertahan Adun Lenggeng
Harakahdaily

TEMERLOH, 2 April: Kejadian demi kejadian di mana kemungkaran dipertahankan semakin menjadi-jadi di dunia politik Malaysia.

Terbaru, tatkala rakyat masih mempersoalkan isu mengapa orang yang menayangkan video lucah dipertahankan oleh kerajaan, hari ini mereka dikejutkan lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara terang-terang mempertahankan seorang Adun yang dibuktikan bersalah atas tuduhan rasuah.

Meskipun dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 kerana rasuah semalam, Najib bukan sahaja tidak serta merta menasihati Adun Lenggeng, Mustafa Salim untuk melepaskan jawatannya demi menjaga maruah kerajaan dan parti, malah beliau mengingatkan rakyat bahawa Mustafa masih seorang Adun yang sah.

“Tindakan PM masih mempertahankan Adun yang dibuktikan melakukan rasuah dianggap satu tindakan tidak bermoral daripada pihak Barisan Nasional.

Sebagai pimpinan utama, sepatutnya PM menasihatkan beliau untuk meletak jawatan bagi menjaga maruah parti,” kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut mengenai nasib Mustafa ketika disoal pemberita hari ini, Najib turut menegaskan bahawa Mustafa masih lagi Adun Lenggeng kerana beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen Seremban ke atasnya semalam.

Namun begitu, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa kenyataan Najib seolah-olah dibuat tanpa melihat pada cermin kerana ia jauh berlainan dengan tindakan Barisan Nasional ketika mereka menyerang barisan pimpinan Pakatan Rakyat dengan pelbagai tuduhan rasuah.

“Walaupun beliau masih ada hak untuk membuat rayuan, namun sebagai pemimpin politik, bila mana disabit kesalahan merasuah, di mana umum mengetahui ialah satu amalan jijik pada waktu BN menyerang pimpinan PR dengan pelbagai tuduhan rasuah dan tiba-tiba Adun mereka yang disahkan terima rasuah adalah amat menghinakan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyeru para pengundi Sarawak untuk mengambil iktibar daripada kes Adun Lenggeng ini yang jelas memperlihatkan pimpinan Umno sudah terbukti gagal untuk menjadi model yang baik bagi rakyat.

“Bayangkan kalau baru sepenggal jadi YB dah mula buat perangai, bagaimana kalau 30 tahun jadi pemimpin, berapa banyak kekayaan negara akan disapu?” soal Tuan Ibrahim.

Selain itu, katanya, PAS turut menasihatkan Adun Lenggeng agar meletakkan jawatan dengan segera sekiranya beliau masih mempunyai rasa tanggungjawab, maruah dan harga diri.

“Rayuan hanyalah prosedur perundangan bukan kaedah yang boleh menggambarkan maruah diri bagi menjaga nama baik,” tegur beliau.

Fitnah Dan Adat Perjuangan

Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Siapa tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fekah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini.

Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang telah mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.


- Prof Hamka

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir, atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh.

Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencana ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang.

Demikian Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservertif Tanah Melayu dengan tuduhan ‘kaum muda’ dan ‘wahabi’. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki, atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Al-Imam Al-Bukhari

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara.

Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Prof Hamka

Kembali kita kepada kisah Prof Hamka. Ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan beliau dan ayahnya Haji Rasul. Pernah dituduh kafir, sesat, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi. Ini adalah resam kelompok yang menjaga kepentingan mereka, bimbangkan gerakan pembaharuan. Mereka bimbangkan kedudukan, aliran, jawatan, kepentingan dan pengaruh mereka hilang.


- Buku ‘Ayahku’ karangan Prof Hamka

Saya cadangkan pembaca membaca buku karangan Prof Hamka yang sekarang sudah ada di pasaran kita yang berjudul ‘Ayahku’. Antara dalam buku berkenaan Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu.

Hamka memetik kata-kata ayahnya:

“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas:

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i. (m.s 160).

Prof Hamka menceritakan:

“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (m.s. 162).

Hasil perjuangan gerakan yang dituduh ‘kaum muda’ itulah yang membebaskan kejumudan pemikiran, kezaliman terhadap wanita oleh mahkamah syariah di Indonesia ketika itu. Dalam buku berkenaan Hamka telah menceritakan kesempitan pandangan golongan agama yang jumud sehingga menyiksa wanita dalam kes-kes penceraian.

Di bawah tajuk Nikah Si Kani (m.s. 171), Prof Hamka menceritakan perjuangan mereka menghadapi golongan pemikiran sempit. Namun, adat pejuang berbagai tuduhan dan fitnah dihadapi oleh ayahnya dan perjuangan mereka. Kalimat ‘wahabi, kaum muda, keluar mazhab, sesat, kafir dan berbagai lagi menjadi mainan ulama-ulama ‘lama’ ketika itu dalam menghadapi gerakan tajdid dan pembaharuan oleh Prof Hamka dan ayahnya.

Bacalah!

Bacalah buku-buku perjuangan dan pengorbanan, ia akan memberikan rangsangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin meneruskan agenda dakwah dan pembaharuan umat. Sebab itu al-Quran mengubati perasaan Nabi s.a.w dengan kisah-kisah silam yang dapat menyedarkan tentang harga pengorbanan yang wajib dibayar dalam meneruskan agenda perubahan.

Firman Allah:

(maksudnya) Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.Dan demi sesungguhnya, rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu. Dan jika perbuatan berpaling mereka (keingkaran mereka) itu terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil”. (Surah al-An’am, ayat 33-35).

Pertentangan akan berlaku, sudah pasti, para nabi pun tidak dapat mengelakkannya, namun perjuangan akan terus berlangsung di setiap zaman. Tiada siapa yang dapat mengubah tabiat sejarah, tetapi kita boleh memilih dalam sejarah siapa yang ingin kita berpihak!


Syarat baru: K'jaan mahu sekat belajar di al-Azhar

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 April: PAS kesal terhadap keputusan Kementerian Pelajaran mengenakan syarat baru yang menyukarkan pelajar hendak belajar agama di Universiti al-Azhar, Mesir.

“Kenapa perlu dipayahkan kepada mereka yang hendak belajar di Universiti Azhar?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Sebelumnya, kata beliau kerajaan telah membatalkan program berkembar tiga tahun di Malaysia, setahun di Azhar.

Katanya, kerajaan juga membatalkan sijil-sijil yang dikeluarkan oleh sekolah atau pihak Jabatan Agama Islam negeri-negeri sebaliknya meminta supaya Al-Azhar hanya mengiktiraf sijil STAM sahaja.

“Tindakan ini dibuat sebagai usaha hendak menyekat pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar,” ujarnya.

Katanya, kerajaan sedar pelajar yang belajar agama di Universiti Azhar di mana 90 peratus tidak menyokong Umno, walaupun ibu bapa mereka penyokong tegar parti itu.

Soalnya, apakah kerajaan hendak berniaga pula dengan pelajar untuk belajar agama dengan mengadakan kursus bahasa Arab berbayar, alasannya kerana lemah menguasai bahasa Arab sedangkan kos belajar di Azhar seolah-olah percuma sahaja.

Menurutnya, seperti sedia maklum mereka yang belajar di Azhar, kebanyakan daripada keluarga miskin kerana kos hidup begitu murah berbanding dengan negara Arab yang lain.



Felcra pecat mandor serah memo pada menteri?
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang mandor ladang di Felcra Seberang Perak II diberhentikan kerja serta-merta berkuat kuasa 30 Mac lalu kerana didakwa memalukan dan mencemarkan nama baik Felcra.

Ishak Saari dikenakan tindakan tersebut sehari selepas beliau menyertai rombongan menyerahkan memorandum berkaitan masalah dan tuntutan warga Felcra di Perak kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik di Parlimen.

Ishak telah berkhidmat di Felcra berkenaan kira-kira empat tahun, bermula Februari 2007.

Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman, Ishak dipecat oleh pengurus kewangan Felcra tersebut, Rodzi Mohd Salleh setelah mendapat arahan daripada Pengurus Felcra Besar Felcra Seberang Perak, Mutalib Tais merangkap Timbalan Pengarah Felcra Negeri Perak.

Beliau memberitahu, selain tindakan memecat Ishak, beberapa peserta Felcra yang dilihat lantang menyuarakan permasalahan Felcra telah diberi amaran akan menerima nasib yang sama seperti Ishak.

Mengulas tindakan pihak Felcra tersebut, Mazlan menyifatkan janji Hassan dalam pertemuan 29 Mac lalu sebagai satu pendustaan kepada peserta Felcra.

Hassan dalam pertemuan tersebut berjanji akan memanjangkan tuntutan peserta Felcra kepada Menteri dan 'gembira' dengan pendekatan dialog yang dipilih mereka.

"Saya cukup kesal dengan tindakan yang diambil terhadap peserta Felcra tanpa alasan yang kukuh dan apa yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri (Hassan) itu satu pendustaan semata-mata sebaliknya tekanan dikenakan kepada peserta Felcra termasuk pegawai-pegawai yang berkhidmat turut diberi amaran keras," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pemecatan ini juga tegaskan menggambarkan rakyat langsung tidak diberi peluang untuk menyuarakan hak mereka kepada pihak atasan.

"Felcra semakin melampau. Bukan nak menyelesaikan masalah yang diajukan kepada mereka tetapi mengugut peserta.

"Pintu untuk rakyat menyuarakan masalah mereka kepada Menteri, Suhakam, tertutup rapat. Ini sangat tidak demokrasi," tegasnya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya sedang berunding dengan peguam untuk meneliti perkara tersebut bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Felcra.

Satu pertemuan dengan peserta Felcra seluruh Perak juga katanya akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan kedudukan perkara tersebut.

Beliau turut mengulangi desakan agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal dan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menangani permasalahan warga Felcra secara profesional.

"Saya minta menteri dan pengerusi Felcra mengotakan janji supaya sebarang isu hendaklah ditangani dengan profesional bukan mengenakan tindakan sewenang-wenangnya," katanya.


Ahli PKR OKU ditahan ISA
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang semalam.

Kadir Hashim, 42, adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily.

Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai kepada KeadilanDaily.

Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan.

“Kami (ahli PKR dan keluarga Kadir) tidak tahu sebab sebenar beliau ditahan polis,” kata Izhar.

Beliau berkata, PKR Wilayah Persekutuan akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu mengetahui sebab sebenar penahanan Kadir dan mendesak supaya peguam dan ahli keluarga dibenar melawat Kadir secepat mungkin.

Mereka juga menganggap penggunaan ISA terhadap Kadir bertentangan dengan prinsip hak asasi, keadilan dan piawasai hak asasi antarabangsa, selain terdedah kepada bahaya penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan.

Mengakui nilai keselamatan negara penting, GMI dan Suaram tetapi setiap invidu berhak memperoleh perbicaraan yang adil.

Mereka juga kecewa kerana kerajaan dari satu segi mahu mengkaji semula penggunaan ISA tetapi pada masa masa membuat tangkapan melulu mengikut akta zalim itu.


Dun Selangor lulus usul mansuh ISA

Harakahdaily
SHAH ALAM, 2 Apr: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor semalam meluluskan usul ‘Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)’ yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Turut diluluskan usul mewujudkan sekretariat khas bagi menggerakkan program-progran kesedaran seluruh Selangor untuk menerangkan berkenaan kezaliman akta tersebut.

Dewan juga meluluskan untuk memberikan peruntukkan bagi memasang papan-papan tanda (billboard) di setiap DUN dengan tema ‘Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA’.

Timbalan Speaker Haniza Talha berkata, melalui usul ini, kerajaan negeri akan menubuhkan sekretariat khas untuk melaksanakan program penerangan termasuk kempen mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor.

Shaari ketika membentangkan usul tersebut berkata, ISA hanya senjata politik kerajaan untuk menakutkan rakyat namun lebih zalim apabila rakyat yang menjadi mangsa ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah.

“Negara Israel yang zalim pun ada undang-undang seperti ISA, tetapi mereka menahan rakyat dibawah kuasa Perintah Tentera 1500, selama 15 hari yang sekarang sudah dipendekkan ke lapan hari, dan apabila ditahan boleh membela di mahkamah tentera. Dan apabila mahkamah tentera yang memang tidak adil ini jika berpuashati disambung enam bulan sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, ISA pula boleh menahan seseorang individu sehingga 60 hari dan boleh disambung ke dua tahun, serta tahanannya pula dikenakan penyeksaan tanpa alasan munasabah.

“Penggunaan ISA ini adalah kuasa kerajaan untuk menerapkan budaya ugut, ancam dan menakutkan rakyat dan kesan daripada itu berlakulah pembolotan dan pemusatan kuasa yang cukup luarbiasa dalam amalan sistem demokrasi negara,” tegas beliau lagi.

Menurut Shaari, usul mansuhkan ISA itu juga terdapat dalam program 100 hari Pakatan Rakyat yang diedarkan menerusi Buku Jingga.

“Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah untuk melonjakkan lagi usaha memberi penerangan kepada rakyat kerana hari ini kita ada kelebihan, untuk melaksanakan program dengan segera,” tambahnya.



Pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk meninggal
Harakahdaily

PORT DICKSON, 2 April: Pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk yang juga bekas Adun Jimah, Yap Ah Peng, 69, (gambar) meninggal dunia malam tadi.

Yap tiba-tiba pengsan di rumahnya di Pekan Bukit Pelanduk di bawa ke Hospital Port Dickson dan disahkan meninggal.

Semasa menjadi Adun Jimah MCA, Yap pernah menjadi pengerusi jawatankuasa pembangunan semula ternakan babi Negeri Sembilan yang menghasilkan satu enakmen.

Namun kerana tabiat buruk Umno, pelaksanaannya gagal menyebabkan penduduk dan penternak enggan berpindah. Selepas itulah berlaku JE di Bukit Pelanduk.

Selepas itulah Yap berjuang untuk membela nasib mereka sehingga mengumpulkan tandatangan untuk satu memo kepada PAS.

Yap telah menyerahkan memo itu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyokong pelaksanaan hudud.

Tujuannya agar pencuri tanah rakyat di Bukit Pelanduk ini dapat dipotong tangannya.

Kini beliau pergi untuk selama-lamanya sebelum sempat melihat pencuri tanah rakyat yang beliau wakili sempat dihukum.


Tiada ulasan: