Sabtu, 2 Oktober 2010

TAKZIAH...AL FATIHAH...ALLAH JIKA NAK MENJEMPUT KITA BILA2 MASA....MAKA TENTUKAN KITA SENTIASA TAKWA DAN MENINGGALKAN SEGALA MAKSIAT


Pegawai polis mati kejar mat rempit




KUALA LUMPUR 1 Okt. - Naluri sebagai seorang polis yang tidak boleh melihat penjenayah terlepas mendorong pegawai ini mengejar seorang mat rempit dalam satu operasi yang dijalankan malam tadi.

Semasa kejadian, Mohd. Khairul Zaini Mohd. Zain (gambar), 31, mengetuai 10 anggotanya membuat pemantauan di lokasi 'panas' di pusat bandar yang menjadi tumpuan golongan itu.

Namun ketika meronda di sekitar Sentul, beliau yang berpakaian preman dikatakan terserempak dengan seorang mat rempit sedang membuat aksi berbahaya lalu bertindak mengejar lelaki itu.

Malangnya, semasa mengejar suspek di Jalan Sentul Murni, Taman Datuk Senu di sini, motosikal Yamaha 125Z ditunggang Mohd. Khairul Zaini gagal mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari jalan sehala.

Akibatnya dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, motosikal Mohd. Khairul Zaini merempuh kereta tersebut mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kereta jenis Toyota itu tidak dapat melihat motosikal mangsa disebabkan terlindung oleh kereta lain yang diletakkan di tepi jalan di simpang berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman yang ditemui di tempat kejadian malam tadi sedih dengan insiden menimpa mangsa.

"Apa yang berlaku, satu kejadian buruk yang menimpa pegawai bertugas dan ini merupakan kejadian pertama melibatkan pegawai saya sehingga mengalami kemalangan maut," katanya.

Beliau juga kesal kerana ia menunjukkan gejala mat rempit masih berleluasa dan perlu dibendung bukan sahaja oleh polis tetapi seluruh masyarakat.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan dimandi serta dikafankan di Masjid Bukit Aman pagi ini.

"Khairul Zaini yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan PDRM akan dihantar ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.

"Mayat mangsa dihantar menggunakan pesawat unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu wanita berusia 44 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987





'Papa dah mati biar Danish jaga mama'


2010/10/02


KOTA BHARU: ‘Papa dah mati... tak apa, nanti Danish jaga mama,’ itulah luahan Muhammad Danish Farhan Mohd Khairul Zaini, 4, anak tunggal seorang pegawai polis trafik yang maut dalam kemalangan ketika mengejar sekumpulan ‘mat rempit’ dalam kejadian di Jalan Taman Datuk Senu di sini, malam kelmarin.

Reaksi kanak-kanak itu tidak mengejutkan kerana itulah pesanan sering disampaikan bapanya, Cif Inspektor Khairul Zaini Mohd Zain, 32. Allahyarham berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 10 tahun lalu

Isteri mangsa, Harlina Abdul Hadi, 31, ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Panji, di sini, berkata Allahyarham sering berpesan kepada anak tunggal itu supaya sentiasa menjaga diri jika ditakdirkan beliau meninggal dunia.

“Kali terakhir kami bersama jam 9 malam semalam (kelmarin) sebelum Allahyarham keluar bertugas mengetuai satu operasi trafik. Dia juga sebelum itu sempat mencium Danish dan bersalam dengan saya sebelum meninggalkan rumah.

“Namun tiga jam kemudian, bapa saudara datang ke rumah memberitahu suami sudah meninggal... perasaan saya ketika itu tak menentu dan sebak,” katanya sambil menambah Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum itu, cuma mengadu letih kerana sering bertugas malam, selain baru pulang dari Sabah, Isnin lalu.

Khairul Zaini daripada Pasukan Kuatkuasa Khas Unit Cegah Lumba Haram Trafik Kuala Lumpur, mati di tempat kejadian selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang ketika mangsa mengejar sekumpulan ‘mat rempit’ yang merempuh sekatan polis di Jalan Taman Datuk Senu, pada jam 10.50 malam.

Mangsa cedera parah di kepala dan badan, tetapi kumpulan samseng jalanan terbabit dapat melepaskan diri.
Jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Masjid Bukit Aman di Kuala Lumpur yang turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebelum dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji, selepas Asar.






BUKAN SENANG NAK HIDUP SEDARHANA...DAN REDA TAKDIR..YANG MANA ORANG LAIN LEBIH BERJAYA DAN BERPANGKAT SERTA BERKUASA.....SEDANGKAN KITA BIASA DAN DAIF



Lagi individu bakal didedah

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Identiti seorang lagi individu yang didakwa mengatur usaha menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui satu perbualan telefon akan didedahkan dalam masa terdekat.

Bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong yang mendedahkan tentang kewujudan rakaman perbualan itu semalam berkata, beliau dan beberapa rakan pemimpin dalam PKR sudah dapat mengenal pasti suara individu itu namun memerlukan sedikit masa untuk memastikannya.

"Dalam masa sehari dua lagi, saya dan beberapa rakan akan mendedahkan lelaki itu melalui satu sidang akhbar khas.

"Pada masa sama, saya meminta kepimpinan PKR menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan khas dengan segera bagi mengambil tindakan sewajarnya berkenaan rakaman telefon itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lum Yong yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mengulas langkah seterusnya dalam merungkai misteri seorang lagi individu yang didakwa mengatur rancangan menjatuhkan Abdul Khalid bersama Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar melalui satu perbualan telefon.

Pada sidang akhbar semalam, Lum Yong mendakwa, rakaman perbualan telefon itu diterimanya dalam bentuk cakera padat di rumahnya 11 hari yang lalu.

Antara kandungan perbualan itu adalah mengenai habuan yang dijanjikan dalam bentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) kepada penggerak Reformis bagi menjayakan demonstrasi bogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada tahun 2009.

Sementara itu, Ramlan yang dihubungi akhbar ini semalam mendakwa Naib Presiden PKR, Azmin Ali pernah menawarkan habuan kepada Reformis untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

Lum Yong menambah, beliau menerima banyak panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ahli dan pemimpin PKR dari seluruh negara hari ini ekoran pendedahannya semalam yang menyatakan pelbagai pandangan berhubung perkara itu.

"Ramai pemimpin PKR dari Sabah serta Kedah telefon saya hari ini dan usulkan kepada para pemimpin tertinggi parti untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan khas sebelum pemilihan parti November ini.

"Ia perlu ditubuh dan diselesaikan segera supaya ahli parti berupaya memilih calon terbaik untuk memimpin PKR dengan penuh integriti pada masa hadapan," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau bersedia untuk dibicarakan oleh jawatankuasa disiplin parti ekoran pendedahannya semalam dengan syarat kedua-dua calon Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Zaid Ibrahim dan Azmin turut diambil tindakan serupa.

"Mereka juga ada mendedahkan beberapa perkara sensitif mengenai PKR melalui media dengan alasan mahu memperbetulkan parti, sama sahaja dengan tujuan saya. Jadi saya harap tiada perbezaan hukuman nanti," pintanya.

Sehubungan itu, Lum Yong memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada jawatankuasa disiplin PKR dalam menyiasat isu rakaman perbualan telefon misteri tersebut.

Katanya, beliau akan menyerahkan empat salinan cakera padat rakaman perbualan telefon tersebut iaitu masing-masing satu kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Azmin; Abdul Khalid dan Jawatankuasa Disiplin PKR esok.

Tiada ulasan: