Selasa, 26 Oktober 2010

BERLAWAN DENGAN JUJUR....MENANG KALAH ADAT BERTANDING...DOSA ITU JELAS...

“Kita tak pergi sana sebab presiden tak ada”
Harakahdaily

GUA MUSANG, 26 Okt: “Kita tak pergi ke khemah sana (BN) sebab presiden sana (Umno) tak ada," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berseloroh.

Jawapan bersahaja Ahli Parlimen Marang itu merujuk ketidakhadiran Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bagi mengiringi calon BN pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas, pagi tadi.

Beliau menyatakan demikian sebagai membalas kehadiran Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke khemah yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pemimpin Pakatan Rakyat.

Shahrizat dengan nada selamba berkata, beliau pergi ke khemah tersebut untuk bertemu Presiden PAS.

"Kita datang sebab nak bertemu presiden (PAS)," katanya sewaktu menunggu pengumuman rasmi SPR mengenai calon-calon yang akan bertanding pada PRK Galas, 4 November ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh turut berbual dengan Shahrizat.

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim juga berbuat demikian sambil bersetuju memberikan ruang selama 15 minit kepada Pakatan Rakyat melalui RTM.

PRK N.45 Galas menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Dr Zulkefli Mohamad daripada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff



Tuduh khalwat: Nik Aziz setuju dibawa ke mahkamah
Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 26 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju jika tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang membuat tuduhan kononnya calon PAS berkhalwat.

Ketika ditanya wartawan tentang wujudnya tuduhan terhadap Dr Zulkefli Mohamed pernah ditangkap khalwat, Tuan Guru Nik Aziz berkata, beliau bersetuju tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang membuat tuduhan itu.

"Nak tuduh boleh tuduh, tapi betul ke tak benda tu. Saya setuju kalau benda tu bawa ke mahkamah. Dia (Zulkefli) nak bawa ke tidak, terpulang pada dia," katanya.

Zulkefli sebelum itu berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan itu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya.

Selepas diisytiharkan calon PAS, beliau dilaporkan media Umno-Online bahawa pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramlelah Mat Jusoh.

Zulkefli dengan tegas menafikannya kerana Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya, sedangkan isterinya ialah Zainab Jalar.

“Berkenaan dengan hak yang dikeluarkan dalam Umno-Online yang dikatakan saya terlibat dalamkes khalwat, kemudian diletak pula nama Ramelah binti Mat Jusoh.

“Ramelah binti Mat Jusoh itu adalah sebenarnya emak saya, dan untuk kes khalwat ini sepatutnya dibuat semakan di mana-mana Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah untuk dipastikan, dan (kes yang dibangkitkan ini) saya menafikan sekeras-kerasnya,” ujarnya



Jangan dahului SPR umum menang p’raya
Wartawan Kita

GUA MUSANG, 25 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta mana-mana pihak tidak mendahuluinya bagi mengisytiharkan calon yang menang pada pilihan raya.

Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata, pernah berlaku pada pilihan raya kecil di Dun Manek Urai tahun lepas, jentera BN mengisytiharkan lebih awal kemenangan selepas agen mereka membuat culaan menang di tempat pengundian di sebuah sekolah.

“Kiraan culaan yang dibuat agen Umno silap dan bertentangan dengan keputusan sebenar yang diperolehi SPR.

“Oleh itu, saya nasihatkan jangan ada mana-mana pihak mendahului SPR membuat sesuatu hebahan mengenai keput usan pilihan raya,” katanya pada persidangan media di Pusat Media Dun Galas di Kesedar Inn hari ini.

Beliau juga memberitahu perbicaraan bantahan daftar pengundi baru suku ketiga tahun ini bagi peringkat parlimen Tanah Merah akan diadakan selepas pilihan raya kecil Galas.

Menurutnya, parti politik di kawasan tersebut membantah lebih 400 nama pemilih baru yang disenaraikan di parlimen berkenaan.

Katanya, pihak yang membantah dan dibantah akan dipanggil pada perbicaraan yang akan dikendalikan pengarah SPR Kelantan.

Sebelum ini, Majlis Tindakan Dun Kemahang dan Dun Bukit Panau di Tanah Merah mengesan terdapat ramai nama-nama pemilih baru yang dipamerkan SPR tidak dikenali penduduk tempatan



Tiga penjuru di Batu Sapi
Warta Rakyat

SANDAKAN, 26 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiga calon bertanding untuk pilihan raya kecil Batu Sapi apabila borang penamaan calon ketiga-tiga tidak mendapat sebarang bantahan dan diterima oleh SPR.

Mereka adalah calon PKR dari Pakatan Rakyat, Ansari Abdullah, calon BN dari PBS Linda Tsen Thau Lin dan Datuk Yong Teck Lee dari Parti Progresif Sabah (SAPP).

Calon bebas yang dijangka turut menyerahkan borang untuk menyertai pilihan raya ini telah menarik diri di saat akhir.

Perarakan calon PKR telah dipimpin oleh Presidennya sendiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Turut serta adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Turut serta mengiringi calon PKR, Ansari Abdullah adalah Mustafa Kamil Ayub, Tian Chua, Elizabeth Wong dan juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Muhamad Abdullah.

Mereka disertai oleh beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat di Sabah yang berarak menuju ke pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Masyarakat Sandakan, Jalan Laila itu.

Gambar sekitar hari penamaan calon

Doa untuk keberkatan dan kemenangan.

Calon PKR diiringi isteri, pemimpin PKR, PAS dan DAP menuju pusat penamaan calon.

Dr Wan Azizah dan Datuk Mustafa berbincang sementara menunggu calon-calon yang layak bertanding diumumkan oleh SPR.

Para penyokong BN di Batu Sapi...agak tertekan.

TPM Muhyidin yang memimpin perarakan calon BN di Batu Sapi.



Galas: BN juara isu, PAS dampingi pengundi
Salhan K Ahmad
Okt 26, 10
9:16am


Walaupun penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas hanya berlangsung pagi ini, tetapi persaingan sengit telahpun bermula di pihak PAS dan BN untuk membina kredibiliti calon masing-masing.

Dalam hal ini, BN dilihat telah mengambil pendekatan yang lebih agresif. Menginsafi kelemahan mereka dalam pilihan raya sebelum ini, BN menggunakan media dalam talian sebagai medan kempen Galas.

Dua blog sudahpun dibangunkan untuk calonnya, Abdul Aziz Yusof oleh sekretariat penerangan media baru Umno – 1galas.wordpress.com dan suaragalas.wordpress.com.

Abdul Aziz juga sudah mula menyentuh isu-isu setempat di dalam DUN Galas. Bagaimanapun, beliau hanya memilih untuk mengulas isu yang bakal memberi kelebihan kepadanya.

Antaranya ialah isu penerokaan tanah di kawasan penempatan Orang Asli di Pos Brooke melalui program Ladang Rakyat yang diusahakan kerajaan negeri.

“Masalahnya, tanah mereka diambil oleh kerajaan negeri untuk Ladang Rakyat. Ini yang jadi isu besarnya. Mungkin kita akan bawah isu ini.

“Air (sungai yang digunakan Orang Asli) pun jadi keruh sebab Ladang Rakyat,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan BN semalam.

Di sisi PAS, calonnya Dr Zulkefli Mohamad pula setakat ini dilihat masih belum dapat menonjolkan dirinya kerana masih perlu berhadapan dengan isu peribadi.

Baru saja PAS mengumumkan Dr Zulkefli pada Jumaat lalu, beliau sudahpun dipaksa berhadapan dengan dakwaan bahawa beliau pernah melakukan khalwat – satu dakwaan yang boleh menyebabkannya kehilangan banyak undi.

Beliau telahpun menafikan dakwaan tersebut, malah berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal Umno Online – media rasmi Umno yang menyiarkan dakwaan itu.

Sebagai parti yang sering bercakap soal memperjuangkan Islam, PAS secara lazimnya tidak akan meletakkan calon yang bermasalah dari segi moral.

Namun, PAS bertegas untuk menamakan Dr Zulkefli sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil ini. Keyakinan yang ditunjukkan itu memberi gambaran bahawa Dr Zulkefli telahpun lulus satu ujian untuk pencalonannya.

Walaupun pencalonan rasmi hanya berlaku pada hari ini, beliau sudahpun mula bertemu dengan pengundi. Antaranya ialah melalui satu program di daerah pengundian Pulai pada malam semalam, walaupun sekadar untuk bersalaman dengan para hadirin serta tetamu yang hadir.

Namun program makan malam yang turut disertai dua Nik Abdul Aziz dan penasihat DAP Lim Kit Siang itu nampaknya mendapat sambutan yang menggalakkan. Semua 55 buah meja di restoran itu habis ditempah bagi menjayakan program amal berkenaan.

Calon BN, Abdul Aziz bagaimanapun masih perlu berdepan dengan kenyataan bahawa beliau ketinggalan jauh di belakang dari segi kelayakan akademik, berbanding Dr Dzulkefli.

Perkara ini bagaimanapun dipandang mudah oleh pemimpin tertinggi BN. Saranan yang diberikan – sokongan perlu diberi kepada BN dan bukannya berdasarkan kelayakan SPM Abdul Aziz.

Dijelaskan, BN lebih mampu membawa pembangunan ke negeri ini, seperti yang boleh dilihat dalam pelancaran Projek Perumahan Rakyat

Malah, kata timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan persekutuan parti itu mampu menyediakan peruntukan pembangunan untuk Kelantan berjumlah sehingga RM7 bilion, jauh lebih besar daripada belanjawan kerajaan Kelantan sendiri.

Bagaimanapun, “roh keikhlasan Umno” dalam menyalurkan bantuan itu, seperti yang dibangkitkan setiausaha Umno Kelantan dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berakhir hujung minggu lalu, nampaknya masih belum dapat dilihat.

Persoalannya, mengapa perlu menunggu sehingga berlaku pilihan raya kecil untuk melancarkan projek-projek pembangunan tersebut?




ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina
Okt 26, 10 3:03pm

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:
  • Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
  • Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
  • Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market. Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan



N45 Galas: Tiada Kelibat Ku Li Jadi Tanda Tanya

GUA MUSANG: Kelibat Pengarah Pilihanraya Kecil Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak kelihatan di Pusat Penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada proses penamaan calon yang berlangsung hari ini menimbil tanda tanya.

Bagaimanapun difahamkan Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li berada bersama-sama penyokong BN di luar pusat penamaan calon.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Tengku Razaleigh hadir dan bersama-sama calon pada sebelah pagi namun kini berkumpul bersama penyokong dan pengundi di luar pusat berkenaan.

"Ku Li ada, beliau hadir... tapi tak naik atas. Beliau luangkan masa bersama-sama pengundi dan penyokong di bawah," katanya.

Sementara itu calon BN, Ab Aziz Yusoff ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan Tengku Razaleigh bagi memberi sokongan moral kepadanya, beliau berkata Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu mahu menghabiskan masanya bersama pengundi di luar pusat penamaan calon.

Ditanya sama ada Tengku Razaleigh berkecil hati atau merajuk dengan beberapa perkara, Ab Aziz berkata: "Beliau nak jalan jauh, tak larat... bukan merajuk apa."

Pilihan raya kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 November depan menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz daripada BN yang akan menentang calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed


N45 Galas: Bantahan PAS Gagal

GUA MUSANG: PAS membangkitkan isu status pekerjaan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dalam usaha menggagalkan pencalonan wakil parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan 4 November depan.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan yang dikemukakan terhadap pencalonan Ab Aziz itu.

Sehingga tempoh bantahan tamat pada pukul 11 pagi, SPR memaklumkan hanya menerima satu bantahan terhadap kedua-dua pencalonan tanpa memaklumkan bantahan berkenaan dibuat terhadap BN ataupun PAS.

Namun Ab Aziz ketika ditemui media memaklumkan bahawa PAS membangkit isu status pekerjaannya sama ada masih menjawat jawatan kerajaan ataupun tidak.

"Bantahan tersebut ialah sama ada saya masih menjawat jawatan kerajaan, mereka ingat saya tak berhenti kerja lagi.

"Tapi sebenarnya saya telahpun memohon bersara awal...lebih awal lagi," jelasnya.

Ab Aziz melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan selepas diberi kepercayaan oleh kepimpinan tertinggi Umno bagi mewakili BN pada pilihan raya ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 November depan menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz daripada BN yang akan menentang calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Mengulas mengenai strategi kempen yang bakal digunakan bagi menentang calon BN, Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dengan menemui seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian.

"Pendekatan kita akan turun ke bawah, berjumpa dengan seramai mungkin pengundi, saya akan turun melawat ke ke pusat-pusat mengundi," katanya sambil menaruh keyakinan bahawa BN berpotensi untuk mencapai kemenangan di DUN Galas.

Ditanya sama ada beliau bimbang sekiranya pembangkang membangkitkan isu kelayakan akademiknya iaitu sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding calon PAS yang merupakan seorang doktor, Ab Aziz berkata: "Soal itu saya tidak gerun, saya lebih lama berbanding calon PAS di Gua Musang.

"Saya pun berasal dari Gua Musang...banyak terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat, saya tak bimbang, dari segi peribadi tak ada masalah."



Tiada Cadangan Wujud Pendaftaran Pemilih Secara Automatik - Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi mencapai umur 21 tahun kerana sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tinggal di alamat yang tercatat dalam kad pengenalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menjawab soalan lisan Ab Aziz Ab Kadir (PKR-Ketereh) berkata, jika dilaksanakan, ia akan memberi implikasi besar kepada mereka yang terlibat.

Ini kerana katanya, memandangkan keadaan mobiliti penduduk amat tinggi ekoran berpindah alamat kediaman dan pertukaran tempat kerja.

“Tidak membuat pertukaran alamat pada kad pengenalan menyebabkan bilangan mereka yang didaftarkan di luar kawasan tempat mereka bermastautin adalah tinggi.

“Mungkin ada antara mereka tidak lagi menetap di alamat tersebut serta tidak mempunyai ahli keluarga di alamat yang didaftarkan. Jika hal ini berlaku, ia akan menimbulkan kesulitan pemilih itu sendiri,” katanya di Dewan Rakyat, Parlimen di sini pada Selasa.

Mohamed Nazri berkata, jika dilaksanakan juga, amat bertentangan dengan kehendak Perlembangaan mengenai tempat mastautin sebenar pemilih itu ekoran telah berpindah ke tempat lain.

Menurutnya, jika berlaku pilihan raya maka pemilih berkenaan akan menghadapi kesulitan untuk menentukan pusat mengundi kerana namanya tidak disenaraikan di tempat mengundi beliau bermastautin.

“Jika ramai yang berpindah tempat bermastautin tetapi tidak memaklumkannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dikhuatiri ramai pemilih tidak akan kembali mengundi jika pusat mengundi mereka terlalu jauh dari tempat kediaman mereka.

“Dikhuatiri peratus pemilih yang keluar mengundi di bahagian pilihan raya berkurangan dan akan menjejaskan imej negara di mata dunia. Hakikatnya, kerajaan belum lagi bercadang untuk membuat pendaftaran memilih secara automatik,” katanya.

Pun begitu, Mohamed Nazri menjelaskan, kerajaan sentiasa mengkaji cara lebih efektif dan mempertimbangkan pelbagai cadangan untuk mempertingkatkan dan menambahbaik kaedah sedia ada agar pilihan raya di negara ini lebih sistematik dan demokratik.

Membalas jawapan itu, Ab Aziz (PKR – Ketereh) berkata, sistem itu kemungkinan mempunyai contoh yang sudah dilaksanakan di negara-negara lain.

Beliau berkata, walaupun masalah yang sama berbangkit berhubung isu daftar pemilih tetapi masih wujud pengundi luar iaitu pengundi yang tidak mengikut alamat tetap.

“Sistem pendaftaran pemilih secara automatik ini dapat menyelamatkan banyak perkara, sebagai contoh wang kerajaan dan wang rakyat,” katanya.

Sebagai contoh, Ab Aziz berkata, berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira 4.3 juta rakyat yang berumur lebih 21 tahun tidak berdaftar.

“Jika kita mengikut cadangan SPR memberi setiap seorang RM3 kepada pembantu pendaftaran maka akan melibatkan kos melebihi RM12 juta.

“Saya rasa tiada masalah dengan mobiliti sekarang kerana kedudukan jalan raya pun baik. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah jika kita mewujudkan satu sistem yang lebih baik untuk dilaksanakan bagi menjimatkan masa, tenaga dan birokrasi,” katanya.

SPR sebelum ini bercadang menaikkan bayaran kepada penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3

Tiada ulasan: