Sabtu, 16 Oktober 2010

MANA JIHAD HARTA KITA? ATAU BELUM TERIMA TELEGRAM DARI ALLAH ?

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Apabila saya membaca satu artikel yang terdapat dalam Blog MUNTALAQ, ianya amat menyentuh nurani saya. Satu tazkirah tersirat dari Allah melalui peristiwa yang tersurat dalam kehidupan kita. Lantas saya menerjah ke dalam diri sendiri untuk mengutip seberapa banyak tazkirah dari kisan tersebut. Untuk itu,mari kita hayati kisah ini selanjutnya...


Pada suatu hari, saya dikunjungi seorang kawan yang amat saya kasihi. Wajahnya keruh diselaputi kesedihan dan keresahan yang tidak dapat saya duga puncanya. Dengan rasa cemas saya bertanya: “Apa yang telah terjadi? Anta sakitkah?” Dia menggelengkan kepala. Saya bertanya lagi, meneka sesuatu yang lain pula:

“Ada sesuatu yang berlaku di rumahmu? Anak anta kemalangan? Anta kesuntukan wang?”

Setiap soalan yang saya ajukan, dijawab dengan gelengan kepala. Saya kehilangan idea untuk meneka, apa sebenarnya yang dialami oleh kawan saya ini. Walaupun ditanya bertalu-talu dia enggan menceritakan masalahnya. Namun akhirnya dia akur apabila saya tidak putus-putus mendesak agar dia meluahkan apa yang terbuku di benaknya.

Apabila dia mula membuka bicara, hati saya segera terusik, seluruh tubuh saya bergoncang dan mata saya terbeliak kagum dan terpegun!

Dia berkata:

“Ya akhi, sebenarnya saya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan saya untuk Allah. Pada setiap bulan, apabila saya menerima gaji saya terus saya keluarkan sebagai sedekah dakwah saya. Saya tidak pernah mengabaikannya seperti saya tunaikan perkara yang wajib. Bagi saya ia cukai jihad ke atas saya.”

Saya berkata kepadanya:

“Apa yang anta lakukan itu memang sesuatu yang sangat baik. Saya berdoa mudah-mudahan Allah terima amalmu. Tetapi apa yang merunsingkan anta sekarang?”

Dia menjawab:

“Bulan ini saya terlewat membayar cukai jihad bulanan saya beberapa hari. Pada hari saya terima gaji, saya terus pulang ke rumah. Kerana sibuk dengan pelbagai urusan, saya terlupa untuk membayar apa yang saya lakukan setiap bulan. Beberapa hari berlalu, saya menjadi lebih leka dan lemah semangat. Pada masa yang sama, gaji yang saya terima semakin berkurangan.”

Saya memberikan pandangan:

“Kalau begitu, anta boleh bayar selepas dua hari, tiga hari, empat hari atau lima hari. Kalau anta kesuntukan wang, kami saudara-saudaramu, sahabat-sahabatmu dan teman-temanmu akan bantu.”

Dia berkata lagi:

“Sesungguhnya semenjak saya menanam azam dalam diri saya dan berjanji akan mengeluarkan sebahagian daripada gaji saya setiap bulan pada hari saya menerimanya, saya akan menerima amaran langsung daripada Allah sekiranya saya terlewat melakukannya. Allah akan mengutus kepada saya telegram berupa amaran dan persoalan, mana hak dakwahmu? Mana jihadmu?

Sekarang, soalan-soalan itu muncul lagi dan berlaku di depan mata ku di atas jasad anak-anakku. Dua hari lepas, yang seorang terkena demam panas membahang, yang lain pula menggigil kesejukan. Kereta aku mula rosak secara tiba-tiba yang tidak aku jangka. Pelbagai masalah yang memerlukan belanja lebih dalam bulan ini berlaku tanpa di jangka. Maka belanja yang terpaksa dikeluarkan untuk dua tiga hari lepas pun meningkat.

Maha Suci Allah! Keadaan akan bertukar. Dengan aku tidak mengeluarkan sedikit daripada gajiku untuk jihad, aku terpaksa menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi untuk ubat anakku dan keperluan-keperluan lain. Aku telah terlewat membayar. Maka telegram pun tiba.

Inilah yang mendorong aku segera datang untuk melunaskan tanggungjawabku. Dan itulah sebabnya anta melihat saya sedih dan sugul. Saya telah terlewat membayar bahagian yang diperuntukkan untuk jihad daripada gaji bulanan saya!”


Ayuhai ikhwah wal akhawat,

Bagaimana dengan harta kita? Apakah kita telah berpuashati dengan infaq kita untuk Allah selama ini. Hanya kita mempunyai jawapannya dan jawapan itu bakal kita bentangkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.

Ya ALlah, Engkau jauhilah diri kami dari belitan harta yang menyebabkan kami bakhil untuk menyumbangkannya pada jalanMu.

Tiada ulasan: