Ahad, 31 Oktober 2010

MASING2 MENGGUNAKAN TEKTIK MASING2....

'Pengundi pandai tuntut duit dari 2 pihak'
Salhan K Ahmad
Okt 31, 10
11:38am


PAS tetap mempertahankan tindakannya menawarkan bayaran sehingga RM250 kos perjalanan kepada pengundi DUN Galas yang berada di luar kawasan itu.

Penasihat PAS bagi pilihan raya kecil itu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan amalan biasa yang turut dilakukan Umno dan MCA.

"(Malah) kalau pengundi itu pandai, dia boleh ambil daripada kedua-dua pihak. Itu (amalan) biasa bagi orang Kelantan.

"Mungkin dia boleh minta daripada PAS, Umno dan mungkin daripada MCA pun ada disediakan. Jadi kalau RM200 kali tiga, RM600, banyak juga tu.

"Ini bukan satu perkara pelik, kita tidak ada halangan atau sekat mereka (daripada terima daripada pihak lawan)," katanya.

Bercakap dalam sidang media di markas PAS pagi ini beliau juga berkata perkara itu bukanlah satu bentuk sogokan tetapi untuk memudahkan perjalanan para pengundi yang berada di luar.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berkenaan janji PAS untuk menampung kos perjalanan pengundi berkenaan untuk keluar mengundi pada 4 November nanti.

Langkah berkenaan bertujuan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang disasarkan sehingga 81 peratus bagi memastikan kemenangan kepada PAS, kata Wan Abdul Rahim lagi


Adik Teoh Beng Hock ditahan polis di Galas
Lee Wayloon
Okt 31, 10
3:36pm


Seorang adik kepada mendiang Teoh Beng Hock bersama tiga yang lain ditahan polis di bandar Gua Musang hari ini.

Lee Lan dan anggota "Malaysians for Beng Hock" itu dibawa sekumpulan anggota polis diketuai Supt Maszely Minhad ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gua Musang pada kira-kira jam 2.20 petang ini.

Maszely memberitahu wartawan bahawa polis menerima aduan bahawa kumpulan berkenaan telah menjalankan aktiviti kempen.

Kumpulan itu, yang tiba semalam bagi "mencari keadilan" untuk mendiang Teoh, ditahan di tepi jalan ketika sedang berjalan menuju ke kereta sambil membawa risalah tentang kes kematian dalam tahanan, kata penyelarasnya Chong Kok Siong.

"Lapan daripada kami diminta menyerahkan kad pengenalan kepada kumpulan 10 anggota polis, empat daripada kami membawa risalah sambil berjalan menuju ke kereta di Kampung Baru," katanya.

"Polis berpakaian biasa menyekat kami; dia kata, isu (kematian dalam) tahanan akan menjejaskan keselamatan, tidak boleh disuarakan secara terbuka.

"Tetapi, saya beritahu, angka (kematian) ini daripada Hisham (Menteri Dalam Negeri Hishammmuddin Hussein) di Parlimen, malah akhbar melaporkannya.

"Saya cabar dia, 'kalau kami betul, tangkaplah kami'," kata aktivis sosial itu



Ahmad Maslan: PPR RM180 juta hanya kos anggaran
Salhan K Ahmad
Okt 31, 10
4:24pm


Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kos sebanyak RM180 juta untuk Projek Perumahan Rakyat Gua Musang yang diumumkan pada 24 November lalu hanyalah kos anggaran dan mungkin melibatkan beberapa fasa.

Katanya, projek pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah itu juga berharga RM80,000 dan bukannya melebihi RM100,000 seperti yang dipertikaikan exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.

"Itu kos anggaran. Kos terperinci itu masih belum dikira lagi. Mungkin termasuk tanah dan perkara-perkara lain lah. Ini baru anggaran.

"Yang kita diberitahu, angka sebenarnya ialah RM80 ribu satu unit. (Kos) RM180 juta ini anggaran, mungkin ada fasa.

"Maklumat terperinci itu kita tidak dapat. Mungkin ada fasa pertama, kedua (untuk projek ini)," katanya ketika bercakap kepada wartawan di Pusat Media bagi pilihan raya kecil DUN Galas di Gua Musang hari ini.

Katanya, jumlah kos sebanyak RM80,000 seunit itu juga termasuk subsidi sebanyak RM45,000.

"Saya kira yang RM180,000 ribu ini mungkin dari segi fasa dia, saya difahamkan," katanya lagi

Husam sebelum ini mempersoalkan kos pembinaan yang tinggi bagi setiap unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang dilancarkan timbalan perdana menteri pada 24 Oktober lalu

Menurut Husam, peruntukan untuk membina flat berkenaan terlalu tinggi sehingga RM120,000 bagi setiap untuk seluas 700 kaki persegi itu.

Beliau juga berkata, kos itu terlalu tinggi memandangkan kos untuk rumah flat kos di Kelantan hanya akan mencecah RM50,000 atau RM60,000 setiap unit


Galas seimbang, tapi BN lebih peluang
Okt 31, 10 12:31pm

Walaupun kekuatan BN dan PAS dilihat seimbang dalam pilihan raya kecil DUN Galas, namun BN dilihat mempunyai peluang lebih baik untuk memenanginya pada 4 November ini.

Kempen pilihan raya kecil yang masuk hari keenam hari ini menyaksikan keseimbangan itu berubah dengan corak kempen Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih menumpukan kepada menemui pengundi daripada mengadakan program ceramah besar-besaran.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyerahkan sepenuhnya corak kempen kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN kawasan Galas itu kerana beliau lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi itu.

Dengan menggunakan strategi baru berkempen dengan mendekati 11,553 pengundi di DUN Galas, ia diterima baik oleh penduduk Galas.

Berbeza sebelum ini, BN tidak lagi menumpukan kepada program besar-besaran serta penganjuran pelbagai aktiviti dengan menjadikan pemimpin besar sebagai 'umpan' bagi memancing kehadiran penduduk.

Kempen kali ini dirangka bagi memberi impak terhadap pengundi iaitu berkempen secara bersemuka, yakni terus kepada kumpulan sasaran iaitu pengundi dan rakyat bagi memastikan kemenangan kepada calon BN, Abdul Aziz Yusoff yang akan berdepan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamad pada pilihan raya kecil DUN itu pada 4 November ini.

Malahan di kawasan 1,889 pengundi Orang Asli, BN meletakkan jenteranya di rumah-rumah mereka untuk menetap di sana bagi memberikan penjelasan serta membantu Orang Asli termasuk di Pos Hendrop, Pos Blau, Kuala Betis dan Pos Brooke.

Pemerhati politik berpendapat BN mempunyai peluang lebih baik untuk menang berikutan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari penamaan calon Selasa lepas yang menyifatkan kempen Pas di Galas bermula pada tahap keyakinan yang rendah.

Mereka berpendapat keyakinan Abdul Hadi mungkin berasaskan fakta kekuatan BN di Galas pada pilihan raya umum (PRU) 1999 dan 2004 dan 2008.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1999, calon BN, Mohamad Saufi Deraman menang dengan majoriti 2,264 undi dan pada PRU 2004 Mohamad Saufi mengalahkan Chek Hashim dengan majoriti 1,729 undi tetapi pada PRU 2008, Chek Hashim menewaskan Mohamad Saufi dengan majoriti 646 undi.

Dari aspek isu semasa dalam berkempen sejak lima hari lalu, PAS dilihat semakin terdesak dengan membuat serangan peribadi terhadap Tengku Razaleigh.

Ini bertentangan dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang menyatakan Pas tidak menentang Tengku Razaleigh tetapi parti yang diwakilinya.

Pemerhati politik melihat keadaan itu sebagai PAS sudah kekeringan isu sehingga terpaksa menyerang peribadi Tengku Razaleigh.

Mereka berpendapat kekuatan BN di Galas turut dipengaruhi ketokohan dan jasa Tengku Razaleigh, yang merupakan anak raja pencetus kepada pembukaan serta pembangunan Gua Musang sehingga ia menjadi pintu masuk ke Kelantan daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri daripada Pantai Barat, melalui Cameron Highlands.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan "Ku Li", merupakan tokoh yang dihormati dan beliau merupakan anggota Parlimen paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat iaitu selama 41 tahun mulai 1974.

--Bernama

Tiada ulasan: