Isnin, 18 Oktober 2010

JIKA KITA CERDIK KITA BOLEH TAHU SAPE AMANAH DAN YANG TAK AMANAH

Najib sukar perolehi majoriti 2/3, kata Dr M
Aidila Razak
Okt 18, 10
3:40pm


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal berdepan dengan laluan sukar untuk memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang ekoran prestasi suram pendahulunya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"(Najib) warisi kerajaan yang buruk. Beliau lebih hebat daripada (perdana menteri) nombor lima (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang tidak cekap," katanya perdana menteri keempat itu kepada pemberita hari ini.

Ditemui di sebuah forum antarabangsa di Kuala Lumpur, Dr Mahathir (kiri) terus mengkritik Abdullah, penggantinya yang didakwanya mensia-siakan mandat besar yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004 lalu.

"Bila kamu mendapat dua pertiga majoriti, ia patut digunakan untuk perkara yang betul. Dalam empat tahun, daripada 2004 hingga 2008 Abdulllah lakukan banyak perkara salah yang menyebabkan beliau kalah pada 2008," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun kelihatan lebih berlembut kepada Najib yang disifatkan "cuba membetulkan keadaan".

Menyuarakan penghargaannya kepada usaha Najib itu, perdana menteri paling dalam dalam sejarah Malaysa itu turut mengambil peluang menyelar bekas timbalannya yang kini menjadi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beliau lalui masa sukar sekarang. Najib ada beberapa idea yang bagus dan yang tidak berapa bagus.

"Saya harap beliau mendapat sokongan kerana parti alternatif yang lebih buruk akan mengambil alih tampuk kekuasaan," kata Dr Mahathir.



Najib: Hebahkan jasa & budi BN
Okt 17, 10 4:57pm
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah sampai masanya BN memberitahu rakyat akan jasa dan budi yang dilakukan parti pemerintah itu selama ini untuk mensejahterakan kehidupan mereka.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN tidak banyak mengembar gemburkan apa yang dilakukan untuk rakyat berbanding parti pembangkang, walaupun mereka hanya membuat sedikit sahaja untuk rakyat.

"Kita buat banyak tapi tak riuh rendah. Mereka buat sedikit tapi riuh sekampung. Kita buat bangunan tak gembar gembur...kita buat setinggi gunung...(tapi kadang kadang) orang tak hargai," katanya berucap melancarkan Karnival Skuad Sayang Wanita Umno di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib berkata walaupun kerajaan memberikan pengecualian pembayaran bil eletrik bagi pengguna yang bil eletriknya berjumlah RM20 ke bawah kepada lebih kurang sejuta isi rumah di seluruh negara, tetapi tidak mengembar gemburkannya seperti sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu ke bawah.

Najib berkata dalam sistem demokrasi berparlimen, hati nurani rakyat jelata harus sentiasa dijaga kerana merekalah yang mendokong kejayaan sesebuah parti apabila sampai masanya.

"Sebab itu dalam Bajet 2011 saya telah cuba memasukkan kepentingan semua pihak untuk mensejahterakan rakyat," katanya.

Menurut Perdana Menteri pelbagai insentif disediakan demi kepentingan rakyat dalam bajet ini, antaranya Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah di mana skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Katanya dalam Bajet ini, buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.

'Jadi usaha untuk mensejahterakan rakyat akan kita teruskan," tambah beliau.

Najib juga meminta Wanita Umno dan BN agar terus mengadakan program-program seumpama ini untuk kepentingan rakyat di kawasan-kawasan "mencabar" seperti Ampang di sini yang kini dipegang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Tak kira kita dikutuk...tak kira...asal atas nama perjuangan kita tidak akan undur. Kalau nak tebus kekalahan di Ampang kena jaga rakyat Ampang," kata beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor.

Perdana Menteri juga berkata beliau akan mempertimbangkan beberapa permintaan Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang dalam ucapan di majlis itu meminta jasa baik Najib untuk memberikan peruntukan menukar bumbung asbestos di rumah-rumah pangsa kawasan perumahan itu, selain kemudahan tempat permainan.

Najib berkata Wanita Umno memang merupakan tulang belakang parti dan mereka cukup rajin dan kuat bekerja.

"Dan Skuad Sayang ini saya lihat lebih menerlah kegiatannya di peringkat akar umbi," katanya.

Skuad Sayang yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas merupakan program kesukarelaan dan kebajikan Wanita Umno serta juga Wanita BN bagi menepati hasrat mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.

--Bernama


Parlimen: Pengetua Telah Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sudah ditukar ke Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai telah ditukar ke Jabatan Pelajaran Johor sementara Pengetua Bukit Selambau telah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda,” katanya ketika Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung tindakan kerajaan terhadap pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

“Dalam kes membabitkan pengetua dari Kulaijaya tindakan telah diambil dengan pegawai kanan itu sudah pun digantung perkhidmatan bermula 13 Oktober lalu.

“Dalam tempoh prosiding siasatan, kakitangan kerajaan terbabit telah dilarang daripada meneruskan perkhidmatannya. Bagi kes pengetua Johor, terdapat ramai saksi (yang menghadiri) perhimpunan sekolah ketika insiden didakwa berlaku, justeru banyak keterangan perlu diambil,” katanya.

Mohamed Nazri menegaskan, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua guru berkenaan.

“Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Jadi ia makan masa sedikit untuk menyiasat dan ambil tindakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat.

Jelasnya, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

Bagi kes di Bukit Selambau, Mohamed Nazri berkata, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran dan dia telah memohon maaf secara terbuka.

“Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan.

“Kita tak mahu penyiasatan yang ‘flip-flop’ akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati,” katanya


Bukti Kuota Perumahan 70 Peratus Kepada Bumiputera Di Kedah

ALOR SETAR: Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang Isnin menunjukkan surat daripada Pejabat Tanah dan Galian Kedah untuk membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan Kedah telah menaikkan kuota perumahan kepada 70 peratus untuk Bumiputera di negeri itu.

"Semalam Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta menunjukkan bukti, jadi hari ini saya tunjukkan bukti itu," katanya kepada pemberita di pejabat Garakan di siniIsnin.

Katanya beliau bukan hendak mencabar Azizan tetapi beliau mahu Menteri Besar menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Pada Disember 2009, mereka (kerajaan negeri) mengatakan isu itu telah selesai tetapi apabila terdapat pemaju menerima surat daripada PTG berkaitan dengan kenaikan kuota sehingga 70 peratus, saya rasa tertipu dengan janji-janji kerajaan negeri," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata dakwaan yang dibuat oleh pemimpin MCA dan Gerakan tentang syarat pemilikan untuk Bumiputera dinaikkan sehingga 70 peratus adalah tidak benar.

"Apa yang sebenarnya berlaku ialah sebuah syarikat pemaju membuat permohonan kepada saya untuk menjual 30 peratus kepada bukan Bumiputera, syarat yang dibuat adalah atas permintaan pemaju itu sendiri," katanya.

Berkaitan isu kuota 50-50 yang dimanipulasikan oleh MCA dan Gearakan, beliau berkata ia cuma sekitar 15 peratus daripada tanah yang dimajukan.

"Kira-kira 70 peratus lagi adalah berstatus milikan bebas iaitu kuota untuk Bumiputera hanya 30 peratus, bermakna bukan Bumiputera boleh membeli sehingga 70 peratus.

"Memandangkan bukan Bumiputera hanya merupakan 22.6 peratus dari penduduk Kedah maka mereka tiada masalah langsung untuk membeli rumah di negeri ini kerana peluang untuk mereka memiliki rumah sangat besar," katanya. - BERNAMA



Parlimen – Guan Eng Gesa Kerajaan Kaji Semula Kenaikan Elaun JKKK

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pembinaan projek mega namun tiada pemberian bonus kepada kakitangan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keputusan kerajaan menaikkan elaun JKKK namun tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat di negara ini.

“Kita mendapat maklum balas yang negatif daripada rakyat kerana mereka rasa kurang senang hati dengan Belanjawan 2011.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan boleh menaikkan elaun JKKK daripada RM450 kepada RM800 sedangkan mereka tidak mampu membayar bonus kepada kakitangan awam.

“Bukan itu sahaja, kerajaan mahu membina bangunan Warisan Merdeka berharga RM5 bilion. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Kalau elaun dinaikkan ia perlu diberikan kepada semua. Kalau tak ada tak perlu beri,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan kenaikan elaun bulanan Pengerusi JKKK dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Bukan itu sahaja, kerajaan turut meluluskan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka itu dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara termasuk pembinaan sebuah menara 100 tingkat di Malaysia.

Malah Setiuasaha Agung DAP itu juga menyelar tindakan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

“Kenaikan cukai ini akan hanya membebankan golongan miskin kerana mereka tidak mampu untuk menampung kenaikan kos perkhidmatan tersebut.

“Ini adalah bentuk hiburan kepada orang miskin. Kita harap ia boleh dikaji semula, kerana ini akan menembahkan beban kepada rakyat Malaysia sebanyak RM597 juta dengan kenaikan cukai perkhidmatan ini,” katanya.



Kerajaan Sedang Timbang Hukuman Ke Atas Dua Guru Yang Keluar Kenyataan Berbaur Perkauman

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap dua guru, masing-masing di Johor dan Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman Ogos lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan dengan menimbang semua keterangan daripada saksi terlibat agar keputusan yang diambil kelak merupakan satu keputusan yang adil kepada semua pihak.

"Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Jadi makan masa sedikit (untuk siasat dan ambil tindakan)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur)yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat.

Nazri berkata situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

"Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan. Kita tak mahu penyiasatan yang 'flip-flop' akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) tentang tindakan yang telah diambil terhadap guru-guru itu, Mohamed Nazri berkata guru besar di Kulai, Johor sedang dalam prosiding tatatertib dan ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

"Bagi kes di Bukit Selambau, Sungai Petani pula, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran. Beliau telah memohon maaf secara terbuka dan kini ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan)tentang adakah kerajaan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Namewee yang mengulangi perbuatan bersifat perkauman, Nazri berkata:

"Kita tetap akan ambil tindakan terhadap Namewee tapi mesti berdasar kepada fakta-fakta yang menyabitkannya. Dia bukan pegawai kerajaan jadi kita tak boleh ambil tindakan terhadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Laporan polis telah dibuat dan kita sedang timbang beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadapnya," katanya. - BERNAMA




Tiada ulasan: