Khamis, 7 Oktober 2010

NAK BERPOLITIK KENA TAHAN DIKUTUK DALAM PADA ITU KENA LAKUKAN MENGIKUT SYARIAT@KEHENDAK ALLAH...KALAH MENANG ADALAH ADAT BERJUANG

Nak berpolitik mesti tahan kena kutuk
Dr Charles Rank

Perkara ini ialah asam garam berpolitik.

Azmin kutuk Mahathir, Mahathir juga sering kali mengutuk Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dan Tuan Guru Abdul Hadi (TGAH) semasa beliau berkuasa. Tapi TGNA dan TGAH tidak pernah melatah dan ahli PAS juga tidak pernah memberi komen dalam akhbar. Yang saya dengar TGNA dan TGAH cuma kutuk Umno. Dan perkara yang disentuh dan dikomen ialah penyelewengan dalam Umno dalam semua hal termasuk kesucian agama Islam.

Tidak pernah kedua Tuan Guru ini mengutuk individu. Ada satu insiden di mana TGNA panggil Umno "barua". Tidak lama kemudian mantan PM kita ini telah mengunjungi Kelantan dan dalam ceramah, beliau terus menghentam TGNA dan mengutuk serta mengaibkan TGNA. Itulah Dr Mahathir yang sebenar.

Apalah sangat nak disanjung mantan Perdana Menteri itu. Projek-projek mega yang telah dijalankan dan sudah terlaksana bukannya dari duit poket dia. Semua duit projek dalam Malaysia ini ialah duit rakyat.

Nak kata beliau perjuangkan bangsa Melayu semasa beliau berkuasa, tidak juga. Saya tengok kaum Melayu tidak ada apa-apa bezapun kalau nak ‘dibenchmarkkan’ dengan kaum lain. Malah kaum Melayulah yang menjuarai serta menduduki "TOP ON THE LIST" dalam istilah penagihan dadah, peragut, mat rempit, pembuangan bayi, perogol dan rasuah. Inilah wacana yang ditiup dan dicanang atas nama PEMBANGUNAN oleh Umno.

Saya yakin jika ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa pada Pilihan Raya Umum 13 yang akan datang ini, parti PAS dapat membentuk kerajaan dengan berpandukan al-Quran dan Hadis. Masalah serta gejala penagihan dadah, mat rempit, pembuangan bayi, peragut, perogol dan rasuah akan pasti dapat dikurangkan, insya Allah.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.


Bakal haji disaran doakan calon PAS menang
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Okt: Bakal-bakal haji khususnya pengundi Dun Galas disaran memohon doa untuk kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini sebaik sahaja tiba di tanah suci.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, ketika membuat gesaan itu seterusnya berkata, semoga dengan doa restu bakal-bakal haji, Allah akan membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat yang bakal bertanding.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan 50 orang bakal haji yang akan menunaikan ibadat haji tahun ini di Pejabat PAS Berek 12, di sini semalam.

Menurut Rohani lagi, walaupun belum mengerjakan ibadat haji, namun tidak menjadi kesalahan untuk berdoa kemenangan calon yang bakal bertanding, di samping untuk mengekalkan kemenangan yang akan datang.

“Untuk kemenangan Islam dan keamanan seluruhnya marilah sama-sama kita berdoa untuk kemenangan Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri ketika ditemui turut menyeru golongan muslimat di seluruh kawasan dalam negeri ini turun ke bawah dengan perancangan rapi bagi membantu kemenangan calon PAS yang bakal bertanding.

“Pilihan raya kecil Dun Galas perlu dipertahankan demi untuk kesinambungan perjuangan yang seterusnya,” ujarnya.

Tegasnya, muslimat perlu mempersiapkan diri masing-masing untuk menghadapi tentangan lawan.

“Apa yang penting berhadapan dengan lawan dengan cara yang sihat serta berfakta dan bukannya dakyah sebagaimana mereka,” ujarnya


Royalti: Kelantan saman tidak libatkan Pusat
Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.

Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.

"Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.

"Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini," katanya pada satu majlis di sini, semalam.

4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat.

Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut.

Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti.

Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.

Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak


Galas: DHPP kumpul sukarelawan bukan Islam
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sedang mengumpul sukarelawan di kalangan masyarakat bukan Islam bagi membantu memenangkan calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

Timbalan pengerusinya, N. Bala Subramaniam turut menyuarakan rasa yakin bahawa Orang Asal di Dun tersebut akan melengkapkan jentera DHPP.

"Beberapa pilihan raya kecil yang lalu banyak memberi pengalaman kepada kita (DHPP) untuk menjelaskan Islam yang Tok Guru Nik Aziz ajar.

"Saya yakin orang-orang Asli di sana (Galas) akan bantu jentera khas kita untuk jelaskan,” ujarnya.

Beliau juga menganggap PAS lebih layak menangngani Islamofobia berbanding Umno.

Beliau berkata demikian memandangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan antara tokoh PAS yang banyak membuka mata masyarakat bukan Islam untuk mendekati keindahan Islam serta perjuangan PAS.

"Umno atau Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) tidak boleh selesaikan Islamofobia kerana mereka suka api perkauman.

"Tok Guru Nik Aziz, Dr. Mujahid serta pemimpin-pemimpin lain lebih layak dan boleh (tangani Islamofobia)," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, Nik Aziz, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan telah membuktikan bahawa pemerintahan PAS selama 20 tahun di Kelantan menyaksikan keharmonian semua agama dipelihara.

"Lebih 20 tahun memerintah (Kelantan), kita tidak dengar Tok Guru bermusuhan dengan agama-agama lain.

"Tok Guru suka semua rakyat beragama supaya rakyat jadi naik," ujarnya.

Begitu juga dengan Mujahid, katanya Ahli Parlimen Parit Buntar itu banyak mewujudkan hubungan mesra dengan masyarakat bukan Islam sehingga mereka berminat untuk mengetahui tentang keindahan Islam serta menyertai PAS, melalui DHPP.

Berbeza dengan Umno, katanya era Najib menyaksikan orang bukan Islam dihalang dari mendekati Islam.

"Zaman Najib, orang bukan Islam tak boleh masuk masjid, nama (kalimah) Allah tidak boleh sebut, rumah ibadat terbakar dan banyak lagi," ujarnya.

Era Najib juga katanya, seakan tidak mahu orang Melayu dan bukan Melayu bersatu padu menurut Islam.

"Ajaran Islam ajar perpaduan sesama manusia, ajaran yang bukan dari Tuhan ajar mereka (Umno) api perkauman," beliau menambah



Tiada ulasan: