Rabu, 6 Oktober 2010

BUATLAH SESUATU ITU NIAT UNTUK ALLAH...AGAR TEPAT DAN JADI IBADAH...TENTU ALLAH MEMBERI PERTOLONGAN...INSYAALLAH

Semua petugas PAS, Pakatan dikerah ke Galas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.

Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.

“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.

“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.

“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya


Pilihan raya kecil Galas 4 November
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 4 November sebagai hari mengundi manakala 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai PRK Dun Galas di sini, pagi ini.

Kerusi Dun Galas kosong berikutan kematian wakilnya dari PAS, Chek Hashim Sulaiman yang yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lepas.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman. Beliau mendapat 4,399 undi manakala Saufi pula 3,753 undi.

Dalam pilihan raya umum 2004, Che Hashim kalah kepada Saufi dengan 1729 undi.

Sementara itu, dalam mesyuaratnya baru-baru ini, PAS telah melantik Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya ini. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Penasihat manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai Ketua Operasinya.

Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, Ukno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li) sebagai pengarah pilihan raya, satu pendekatan luar biasa yang tidak pernah dibuat oleh BN sebelum ini. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi BN melantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai pengarah.

Muhyidin pula dalam satu kenyataannya turut mencadangkan Ku Li sebagai calon BN dalam pilihan raya ini. Bagaimanapun, sehingga kini Ku Li sendiri tidak mengesahkan samada beliau menerima kedua-dua tawaran tersebut. Beliau hanya akan membuat pengumuman 9 Oktober ini di KLIA sebaik sahaja sampai dari luar negara.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor berkata, Ku Li telah menerima tawaran sebagai pengarah pilihan raya itu



CCTV: Selangor baik pulih kerja teruk Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melangkah ke depan untuk mengatasi gejala yang tidak bermoral dengan cadangan yang proaktif untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) bagi merakam semua kegiatan dan pengunjung ke pusat hiburan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tindakan yang diambil oleh Kerajaan Selangor adalah lebih baik daripada negeri yang dipimpin oleh Umno.

Katanya, Kerajaan Selangor pada hari ini sedang membaik pulih kerosakan yang teruk hasil daripada kerja buat Umno selama ini.

Menurutnya, Umno menyuburkan kegiatan maksiat kerana ia sebagai satu senjata yang berkesan supaya rakyat diulit dengan mimpi dan tidak mempedulikan apa pemimpin BN hendak sapu harta rakyat.

“Keadaan ini amat jauh dengan program yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, ada juga cadangan untuk membuat reka bentuk semula tempat-tempat itu agar lebih terbuka dan bakal dibekalkan dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi Idris, walaupun ini bukanlah merupakan tindakan terawal dan terakhir, namun ia satu permulaan yang baik untuk mencegah kegiatan yang tidak bermoral di negeri ini, yang sudah berkarat biru hasil peninggalan kerajaan BN Umno selama 51 tahun.

Katanya, langkah yang diambil oleh Kerajaan Selangor satu lagi usaha yang bersepadu dan harmoni untuk merealisasikan harapan rakyat di negeri Selangor selepas 8 Mac 2008.

Selain daripada usaha terbaru meletakkan CCTV, kerajaan Selangor telah berusaha membentuk jati diri rakyat dengan program pembangunan Insan Negeri Selngor (SPIES), kelas pengajian ilmu disemarakkan, masjid dan surau diaktifkan.

Beliau menambah, dengan penuh kesedaran, bukan senang hendak membina kembali tamadun manusia yang sudah rosak dalam sekelip mata, namun usaha mesti dibuat sebagai satu tanggungjawab kepada rakyat.

Justeru, ujarnya semua perkara ini akan dihitung di hadapan Allah SWT.

Tambahnya, pemimpin Umno di Selangor yang gila talak untuk meraih sokongan supaya rakyat benci dengan kerajaan Pakatan Rakyat, memfitnah kononnya Selangor membiarkan kegiatan maksiat berleluasa.

Hakikatnya, kata beliau untuk menutup kerja jahat mereka selama ini yang membiarkan kegitan tidak bermoral dibuka, sebaliknya surau ditutup dan ulamak diburu macam pelarian tanpa dokumen.

Katanya, kalau pemimpin Umno ikhlas untuk memerangi maksiat di Selangor, mereka mesti mengarahkan kuasa pusat seperti polis, imigresen, kastam, sedangkan kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa yang terhad, namun berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki keadaan.

Menurutnya lagi, sama juga seperti isu kecurian pasir di Selangor yang sudah berlaku sejak berzaman, kuasa yang dimiliki oleh pusat tidak bertindak, sehingga tindakan Tan Sri Khalid mencadangkan supaya pegawai SPRM ditempatkan di pejabat KSSB.

“Sekarang isu pasir sudah senyap bimbang takut tertangkap sesama sendiri. Kita mengharapkan dengan adanya CCTV dapat juga rakyat tahu siapakah pengunjung tetap dan berpencen ke tempat itu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: