Sabtu, 2 Oktober 2010

LOK LAH BERHENTI BAGILAH ORANG LAIN...JANGAN SAMPAI ORANG MELUAT KAT KITA

Taib lepas jawatan jika berpuas hati
Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@bharian.com.my
2010/10/02

Mahu pemimpin fahami perjuangan beliau

ASAJAYA: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata beliau hanya akan berasa puas melepaskan jawatannya jika semua pemimpin yang melaksanakan pembangunan negeri ini pada masa depan memahami konsep sebenar politik pembangunan yang beliau perjuangkan

Justeru, beliau menasihatkan pemimpin negeri khususnya daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), supaya memahami kepemimpinan beliau selama ini yang berteraskan perjuangan membina keupayaan rakyat untuk bersama menjayakan pembangunan negeri ini.

“Saya mahu semua orang tahu itu (dasar kerajaan negeri Sarawak), sebelum saya terpaksa berhenti (meletakkan jawatan)... maklumlah saya sudah tua. Saya mahu semua pemimpin khususnya PBB supaya memahami yang kita sebenarnya perlu membina keupayaan rakyat,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Bahagian Samarahan di Dewan Kompleks Sukan Asajaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Seri Mohd Ali Mahmud; ADUN Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah dan ADUN Sebuyau, Julaihi Narawi.

Abdul Taib berkata, usaha membina keupayaan rakyat yang beliau maksudkan ialah berusaha membina lebih banyak organisasi swasta tempatan untuk menjayakan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.

“Apabila kita membina lebih banyak organisasi swasta, barulah dasar kita dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, dasar politik pembangunan yang tersusun tidak memberi sebarang makna jika rakyat negeri ini sebaliknya tidak mampu melaksanakannya sehingga menyebabkan wang kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan.

“Inilah yang saya mahu rakyat tahu dan inilah nasihat saya kepada pemimpin negeri supaya usaha kita untuk meningkatkan keupayaan rakyat diteruskan kerana tanpa penyertaan lebih ramai rakyat dalam pembangunan negeri, sukar bagi kita untuk melihat keberkesanan dasar yang kita perjuangkan.

“Kita tidak mahu projek pembangunan hanya diberi kepada organisasi swasta yang sama saja, kerana ia hanya akan meningkatkan lagi nilai projek itu,” katanya.


Pelbagai reaksi Samy Vellu mahu bersara
Oleh Shaarani Ismail dan Sophia Ahmad
edisimingguan@bharian.com.my
2010/10/02

Kayveas syor undur awal, GAS bubar gerakan

KUALA LUMPUR: Keputusan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk meninggalkan jawatan tertinggi dalam parti itu Januari depan mengundang pelbagai reaksi daripada rakan sejawatan dalam komponen Barisan Nasional (BN) serta musuh politiknya

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, meminta semua pihak menghormati keputusan berkenaan dan yakin ia dibuat atas kerelaan sendiri tanpa dipengaruhi tekanan atau desakan politik mana-mana pihak.

“Keputusan Samy Vellu perlu dihormati semua pihak. Tidak wajar mencipta spekulasi semata-mata untuk mensensasikan perkara ini, sebaliknya semua pihak harus terima kenyataan dan menghormati keinginan beliau untuk bersara.

“Samy Vellu sudah banyak menyumbang ke arah pembangunan serta pembentukan masyarakat India di negara ini dan saya percaya, beliau berasa masa sudah tiba untuk melepaskan kepemimpinan MIC kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata Samy Vellu seharusnya meletak jawatan sebelum 2004 lagi, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-11.

“Keadaan akan menjadi lebih baik untuk masyarakat India sekiranya beliau melakukannya sebelum itu (PRU Ke-11) berbanding sekarang,” katanya.
Bagi pengasas Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), V Mugillan, beliau secara rasmi membubarkan gerakan berkenaan bermula semalam sambil mendakwa berjaya dalam misinya mendesak Samy Vellu berundur.

“Meskipun beliau akan berundur awal, GAS tidak menganjurkan jamuan atau pesta seperti dikatakan sebelum ini... tindakan Samy Vellu berundur lebih awal pun sudah memadai.

“Saya mempunyai kepercayaan tinggi terhadap penggantinya, Datuk G Palanivel kerana pernah berkhidmat di bawah kepimpinan beliau,” katanya.


Najib: Pemimpin mesti keluar cara terhormat
Okt 1, 10 3:59pm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghormati keputusan Datuk Seri S Samy Vellu untuk meletak jawatan sebagai Presiden MIC pada Januari tahun depan.

Samy Vellu, 74, adalah pemimpin paling lama memegang jawatan itu apabila menerajui parti itu selama hampir 32 tahun.

"Saya hormati keputusan Datuk Seri Samy kerana saya berpendapat setiap orang sedar sebagai ahli politik akan tiba masanya apabila kita perlu meninggalkan pentas itu," katanya kepada pemberita ketika diminta megulas keputusan Samy Vellu.

"Tapi adalah penting apabila kita meninggalkan pentas itu, pertama-tama kita tinggalkan, satu legasi, dan keduanya kita tinggalkan sebuah parti yang kuat dan ia perlu menjadi semangat bagi setiap orang."

“Ia bukan sahaja terpakai kepada Datuk Seri Samy tapi terpakai kepada kita semua bahawa pada satu hari nanti kita juga perlu meninggalkan pentas itu, tapi kita perlu keluar secara terhormat,” kata Najib.

Beliau ditemui selepas melawat pameran pertandingan reka bentuk sebuah hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

"Dan pada masa yang sama apa yang paling penting adalah bagi kita meninggalkan rekod perkhidmatan yang baik dan sudah pasti ada seseorang atau pengganti kita yang mampu meneruskan misi atau perjuangan itu.”

Beliau berkata meninggalkan pentas itu secara tiba-tiba juga tidak baik "kerana pada ketika itu parti akan berada dalam keadaan berubah-ubah."

“Anda mesti pastikan ada kesinambungan dalam kepimpinan. Ia tidak mengira apakah tempoh masa dan tidak ada apa yang dikatakan tempoh masa tetap tapi apa yang penting ialah kita tahu bila masa yang sesuai untuk berundur dan pada masa yang sama menyediakan barisan pengganti.”

Ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai pengumuman itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, "beliau telah menjangka mengenai pengumuman Samy itu."

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau. Kita sepatutnya tidak lupa bahawa sejak bertahun-tahun, beliau telah menyumbang kepada MIC dan begitu juga kepada kerajaan," kata Najib.

Semasa mengumumkan keputusan itu semalam, Samy Vellu, yang dilahirkan di Kluang, berkata timbalan dan bekas setiausaha akhbarnya Senator Datuk G Palanivel akan menggantikan beliau.

Samy Vellu mengambil alih kepimpinan parti itu sebagai timbalan presiden pada 13 Sept 1979 berikutan kematian kematian Tan Sri V Manickavasagam.

-Bernama


Samy Vellu: Saya akan letak jawatan Januari ini
Sep 30, 10 2:12pm

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu telah mempercepatkan tarikh persaraannya daripada September tahun depan kepada Januari 2011.

Ahli politik veteran yang ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum 2008 di parlimen Sungai siput itu mendedahkan rancangan peralihannya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti di Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya pasti akan melepaskan jawatan Presiden MIC selepas pulang daripada menghadiri Privasi Barathiya Divas di India Januari tahun depan.

"Mungkin sebelum 15 Januari saya akan lepaskan jawatan presiden. Jawatan itu akan diserah kepada Timbalan Presiden, Datuk G Palanivel," katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC.

Supremo MIC itu sebelum ini pernah berkata beliau akan melepaskan cengkamannya ke atas parti itu antara September atau Oktober tahun depan setelah berkuasa 32 tahun.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi memberi peluang kepada timbalannya, Datuk G Palanivel membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Saya akan umumkan tarikh peletakan jawatan tidak lama lagi. Selepas meletak jawatan, saya tidak akan mencampuri urusan dalaman parti dan hanya akan menjadi ahli biasa MIC,” katanya.

Palanivel (kanan), iaitu Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, yang duduk di sebelah Samy Vellu pada sidang akhbar itu, enggan mengulas sambil berkata beliau akan memberi komen pada satu tarikh kemudian.

Semasa Konvensyen MIC Wilayah Persekutuan, Mei lalu, Samy Vellu dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan itu 'tujuh atau lapan bulan' sebelum penggalnya sebagai presiden berakhir pada Mac 2012.

Samy Vellu mula menerajui parti kaum India itu pada 13 Sept 1979 dalam kapasiti sebagai pemangku presiden berikutan kematian Tan Sri V Manickavasagam.

Tiada ulasan: