Selasa, 5 Oktober 2010

NILAI SENDIRI..SAPE BETUL DAN SAPE AUTA@TIPU

Janji Manek Urai akan hantui BN di Galas, kata PAS
Salhan K Ahmad
Okt 4, 10
4:50pm


Ketua penerangan PAS Idris Ahmad berkata, peningkatan sokongan terhadap calon Umno semasa pilihan raya kecil Manek Urai tahun pada 2008 bukan disebabkan apa-apa modul tertentu yang unik kepada pilihan raya itu saja.

"Dalam mana-mana pilihan raya juga sama, mereka hanya ada satu modul iaitu gunakan sumber kewangan dan menabur janji-janji," katanya dan menambah, janji tersebut termasuk pembinaan satu jambatan baru di Manek Urai.

Jambatan dua lorong dianggarkan bernilai RM7 hingga RM10 juta itu diumumkan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen pilihan raya kecil tersebut, bagi menggantikan satu jambatan merentasi Sungai sedia ada di kawasan itu.

"Kita akan dedahkan balik janji-janji ini di Galas," kata Idris lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kesan daripada janji jambatan tersebut, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menang tipis untuk mengekalkan kerusi tersebut dengan kelebihan 65 undi sahaja, berbanding 5,283 undi yang diperolehi calon BN Tuan Aziz Tuan Mat.

Mengulas keputusan tersebut, ada di kalangan pemimpin PAS tempatan beranggapan bahawa ianya disumbang daripada pengundi muda yang tidak mempunyai sikap politik yang jelas dan mudah disogok dengan janji-janji BN.

Melihat realiti semasa pula, Idris berkata Manek Urai bukanlah penanda aras sebenar bagi sokongan daripada golongan pengundi muda.

Jelasnya, pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai tahun lalu berlangsung ketika Pakatan Rakyat masih baru membentuk kerajaan di negeri-negeri yang dikuasainya.

"Ketika pilihan raya umum ke-12, anak muda kita telah tunjukkan kelainan sikap mereka (apabila ramai yang mengundi calon Pakatan Rakyat).

"Tapi kita baru bentuk kerajaan sendiri, kesannya belum kelihatan (oleh mereka)," katanya lagi.

Ketika ditanya, beliau juga berkata PAS setakat ini masih belum mempunyai apa-apa senarai calon untuk pilihan raya kecil Galas.

Ditanya lanjut, beliau berkata mesyuarat PAS Pusat semalam juga tidak membincangkan perkara itu.

Katanya lagi, PAS Pusat menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab untuk memilih calon kepada PAS negeri.

"PAS negeri akan mesyuarat (mengenai calon Galas) selepas SPR umumkan tarikh untuk pilihan raya kecil (Galas)," katanya lagi



Kecewa dengan Koh, Lim letak jawatan penasihat
Okt 4, 10 4:03pm

Penasihat dan bekas presiden Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik akan menulis memaklumkan kepada parti itu berhubung keputusannya.
Katanya, beliau kecewa dengan cara presiden parti itu sekarang, Tan Sri Koh Tsu Koon menangani konflik yang melanda parti berkenaan.

"Beliau seseorang yang tidak suka campur tangan dalam menyelesaikan konflik kerana bimbang akan menyentuh perasaan orang lain,” katanya ketika menghadiri konvokesyen Universiti Terbuka Wawasan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Lim, sikap Koh yang sentiasa 'melepaskan tangan' telah mendatangkan banyak masalah dalam parti.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya itu akan diserahkan kepada ibu pejabat parti Gerakan, esok.

Lim, yang menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Koh pada April 2007, berkata beliau tidak berpuas hati dengan penggantinnya itu yang gagal mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan banyak isu melibatkan Gerakan walaupun telah diberi pelbagai nasihat.

"Apakah hala tuju parti? Mungkin pengunduran saya ini akan menyedarkan beliau. Apa gunanya memberi nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar," katanya kepada pemberita.

Katanya sebagai presiden, Koh perlu memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah.

Lim menjelaskan bahawa beliau membuat keputusan untuk berundur selepas membaca laporan akhbar bahawa Koh enggan menghadiri mesyuarat agung luar biasa Gerakan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu melibatkan parti di negeri itu, sebaliknya memilih untuk hadir mesyuarat agung MCA pada 10 Okt ini.

"Di manakah letaknya keutamaan beliau," katanya.

Lim berkata bahawa setelah menjadi anggota Gerakan selama 36 tahun, beliau amat sedih melihat masalah kepimpinan yang melanda parti itu di Pulau Pinang.

Beberapa anggota Gerakan di Pulau Pinang mahu supaya pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nam digantikan.

"Inilah punca kepada kemelut dalam parti. Ada satu atau dua pimpinan yang cuba mengukur sokongan kepada mereka," katanya







'Si sepet, si kaki botol': Hamim buat laporan polis
Jimadie Shah Othman
Okt 4, 10
2:12pm


Penolong Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husain hari ini membuat laporan polis terhadap portal berita The Malaysian Insider dan seorang wartawannya berhubung isu kenyataan 'rasisnya'.

Beliau hadir membuat laporan itu di balai polis Sentul kira-kira jam 1 petang dengan diiringi Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Arman Azha Abu Hanifah.

Hamim (kanan) bagaimanapun enggan bercakap sepatah pun kepada media, termasuk kandungan laporannya.

Beliau sebaliknya hanya membaca surah al-Fatihah dan berdoa untuk perpaduan umat Islam dan pemimpinnya di luar balai selepas membuat aduannya.

Hamim kemudian beredar daripada tempat itu tanpa mempedulikan wartawan yang mengejarnya sampai ke kereta.

Bagaimanapun, tampil berpakaian serba hitam - termasuk berkaca mata gelap - pegawai kerajaan itu sempat melambai dan tersenyum kepada pihak media yang menunggunya kira-kira sejam.

Menurut Arman Azha, laporan polis Hamim itu dibuat terhadap akhbar dan wartawan portal itu Boo Su-Lyn yang didakwa menyalahtafsirkan kenyataannya dan menyelinap dalam program tertutup mereka.

Menurut Arman Azha (kiri) lagi, tindakan Boo Su-Lyn itu yang "menyalahtafsirkan" kenyataan Hamim itu boleh "menggugat muhibah dan keamanan kaum".

"Kami PERKASA berdiri teguh di belakang beliau (Hamim). Itu adalah program tertutup. Media harus hormat," kata Arman Azha lagi.

The Malaysian Insider dalam laporannya minggu lalu mendakwa Hamim menghina dan melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata' dan 'si kaki botol'.

Pegawai kanan BTN itu juga dilaporkan oleh Boo sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka



Orang Asli dakwa diganggu dan dibuli
Hazlan Zakaria
Okt 4, 10
3:38pm


Sekumpulan Orang Asli dari Kampung Sebir berhampiran Seremban di Negeri Sembilan hari ini mendakwa mereka 'diganggu dan dibuli' oleh polis dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

"Kami berasa sedih dan terhina dengan tindakan ke atas kami sebagai Orang Asli,” kata Zurdi Baharu, yang mewakili komuniti kaum itu di Kampung Serbir.

Lebih kurang 15 daripada penduduk kampung itu berjumpa dengan wartawan ketika sidang media di bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Pada 30 September lalu dan beberapa hari selepas itu, kumpulan berkenaan mendakwa mereka diganggu oleh polis dan pegawai JHEOA yang mengarahkan mereka memohon permit bagi 'perjumpaan adat' yang mereka cadang anjurkan.

Orang Asli berkenaan mendakwa sebelum ini mereka belum pernah diminta memohon permit atau kebenaran bagi sebarang 'perjumpaan adat' mereka.

Menurut mereka, gangguan terbaru itu dipercayai cubaan mengagalkan usaha mereka membincangkan pindaan Akta Orang Asli 1954 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beberapa pemimpin Orang Asli mendakwa mereka tidak dirunding berhubung pindaan Akta Orang Asli dan bimbang pindaan tersebut akan menjejaskan kehidupan mereka.
Melabelkan gangguan polis ke atas Orang Asli itu sebagai 'pelik' perwakilan Jawatankuasa Kampung Orang Asli Negeri Sembilan, Tijah Yok Chupin yang turut hadir pada sidang media ini berkata tindakan pihak berkuasa adalah melarangnya daripada bercakap dengan penduduk kaumnya di Kampung Sebir.

"Saya dijadualkan bercakap kepada mereka pada mesyuarat itu. Mereka mahu tahu berhubung maklum balas kerajaan berhubung protes yang diadakan pada Mac lalu di Putrajaya berhubung pindaan Akta Orang Asli.

"Jika saya tidak dijemput, mereka akan dibuli oleh polis,” kata Tijah.

Beliau juga percaya tindakan pihak berkuasa itu bertujuan menghalang Orang Asli daripada membincangkan pindaan akta berkenaan.

Tiada ulasan: