Khamis, 28 Oktober 2010

JANGANLAH BUAT PENIPUAN...MEMAKAN ATAU MENGAMBIL HARTA SECARA BATIL.....

TAKAUTLAH DENGAN JANJI ALLAH...NERAKA BALASAN ORANG MENYELEWENG SERTA MAKAN HARTA RAKYAT SECARA BATIL.....


ETP: Tiada lagi pasar malam, Bazaar Makan ganti gerai
Aidila Razak
Okt 27, 10
4:34pm


Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu akan menjadi nostalgia apabila ia bakal digantikan dengan Pasar Komuniti, mengikut bidang ekonomi utama negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Isnin lalu.

Tujuan rancangan kerajaan itu adalah menyelaraskan beberapa pasar berkenaan dan menyatukan mereka di lokasi-lokasi yang mempunyai persekitaran yang kondusif.

“Pada masa ini, pasar-pasar tersebut menghadapi cabaran prasarana.

“Mereka beroperasi di beberapa lokasi sementara (contohnya,; padang permainan,tempat letak kereta, di tepi jalan raya) yang sering menyumbang kepada kesesakan dan keadaan kotor,” petik laporan ETP itu.

Projek ini dijangka menyaksikan peniaga terpaksa berbelanja lebih kerana pasar tradisional mereka sekrang ini adalah murah - mereka boleh menyewa satu lot untuk kurang RM10 sehari.

Bagi menyusun semula peniaga berkenaan, projek ini memerlukan dana swasta dan pelaburan RM15.5 bilion bagi membantu memperuntukan pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah, menyediakan pembiayaan atau rundingan bagi mendapatkan kadar bayaran lesen kenderaan dan lesen gerai jualan yang lebih rendah kepada peniagaan.

Inisiatif Pasar Komuniti yang dicadangkan itu dikatakan akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM8.8 bilion pendapatan negara kasar setahun dan mewujudkan 141,000 pekerjaan menjelang 2020.

Projek yang sama juga akan menyaksikan penjaja yang menjual makanan di gerai-gerai jalanan ditempatkan di pusat makan sehenti yang dinamakan Bazaar Makan di mana pengunjung boleh mencuba dan menikmati masakan Malaysia dan antarabangsa yang terbaik

Pusat makan besar premium itu turut akan mempunyai kedai makanan ternama seperti restoran keluarga, restoran perkhidmatan segera, kafe, bar dan restoran mewah.

Pusat makanan ini juga akan menyediakan daya tarikan seperti taman pancaindera, permainan dan gelanggang acara dan taman permainan, dan kedai runcit kecil seperti kedai serbaneka dan surat khabar.

Setiap Bazaar Makan yang didirikan akan bersaiz lebih kurang 9,000 meter persegi, dengan kapasiti tempat duduk sekitar 3,500
orang.

Sejumlah 10 Bazaar Makan akan dibina dalam tempoh 10 tahun akan datang di bandar-bandar utama di Malaysia dan usahasama ini akan diuruskan secara persendirian dan oleh Wesria Food Sdn Bhd.

Projek ini melibatkan pelaburan dan pembiayaan sebanyak RM270 juta, di mana hampir 90 peratus daripadanya dicadangkan dari sektor swasta.

Kerajaan berharap Bazaar makan ini mampu akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM230 juta pendatan dalam negara kasar setahun dan mewujudkan 4,200 pekerjaan baru menjelang 2020



Audit: K'jaan persekutuan terlebih belanja RM4.83b
Wong Teck Chi
Okt 27, 10
6:08pm


Kerajaan persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu. Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan,” petik Laporan Ketua Audit Negara 2009 sambil menekankan bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Laporan itu juga mendedahkan 11 agensi - termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.

Ketua Audit Negara juga mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh kerajaan persekutuan.

Menurut laporan itu 607 (50.5 peratus) daripada 1,203 pinjaman yang disalurkan kepada kerajaan negeri adalah hutang yang diberikan antara satu hingga 13 tahun lalu.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion)



Dr Asri: 'Hantu' mana curi wang zakat kita?
Okt 27, 10 3:13pm

Ekoran laporan audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan eset Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa 'mengesahkan' wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) berkata, laporan Jabatan Audit Negara - antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik - memerlukan penjelasan dan jawapan sejauh mana ketepatannya.

"Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan.

"Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Ke mana pergi segala peruntukan ini?" soal pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan.

Miskin terus merempat

Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.

Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.

"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban?

"Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.

Sehubungan itu, tokoh ulama yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, fungsi zakat perlu dimuhasabah semula sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

Ambil kesempatan asnaf amilin

"Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu (yang) didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.

"Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud di pelbagai negeri, sementara kemewahan PUZ (Pusat Urus Zakat) juga ternyata (berlaku) di pelbagai negeri.

"Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf amilin (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan," kata Dr Mohd Asri.

Menurut beliau, kewujudan kes seperti itu mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti "institusi-institusi yang berjenama agama".

"Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berpendapat, perubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan tersebut.

"Itu pun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang," tambahnya lagi.




Festival busana: Pemuda PAS buat aduan pada Jakim
Abdul Rahim Sabri
Okt 27, 10
1:53pm


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini menyerahkan memorandum aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung Festival Fesyen Islam (IFF) yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu kerana dikatakan satu penghinaan kepada Islam.

Festival busana tersebut dinaungi oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Rombongan enam pemimpin Pemuda PAS Wilayah diketuai oleh pemangku ketua Herman Samsudeen memasuki Jakim pada jam 11.15 pagi.

Memorandum tersebut, diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Jakim Asiah Al-Kharib Shah di pejabatnya pagi ini.

"Penganjuran Festival Fesyen Islam, walaupun namanya Islam, tetapi ia jelas menghina Islam apabila menampilkan model yang berpakaian menjolok mata. Lebih menyedihkan apabila model terbabit memakai baju yang tertulis 'Muhammad' dalam bahasa Arab dalam keadaan terbalik.

"Soalnya, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penganjur dalam festival ini melainkan berniat mahu menghina Islam? Lebih dari itu, mengapakah Datin Seri Rosmah Mansor terlibat secara langusng merasmikan dan menaungi festival ini.

"Ia pasti akan memburukkan imej Malaysia di mata dunia Islam yang lain memandangkan ia melibatkan nama perdana menteri Malaysia sendiri," kata Herman dalam memorandum tersebut.

Dalam memorandum itu juga, Herman juga turut menyenaraikan aduan mereka mengenai konsert penyanyi 'gay' Adam Lambert yang didakwa "tidak wajar diadakan".

'Beri Jakim kuasa penguatkuasaan'

Sehubungan itu, Herman meminta agar Jakim mengambil peranan bersungguh-sungguh serta melibatkan diri secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan dalam negara serta melibatkan pemimpin negara.

"Justeru itu, di atas dua perkara ini DPPWP memohon agar Jakim memainkan peranan lebih aktif sebagai penasihat kepada kerajaan dan pemimpin negara agar tidak menganjurkan program maksiat atau terlibat dengan mana-mana program mungkar," kata Herman.

Sementara itu, dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Herman berkata Jakim perlu mengambil inisiatif untuk mengawal program yang tidak menepati syariat Islam.

"Kita minta Jakim memainkan peranan lebih besar memberi teguran kepada kerajaan," katanya.

Herman juga bersetuju dengan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin berhubung cadangan menubuhkan panel syariah sebelum pertunjukkan fesyen diadakan.

"Kita menyokong satu panel khusus (ahlinya) daripada wakil Jakim atau majlis fatwa kebangsaan.

"Kita tak halang festival fesyen. Buatlah, tapi mesti betul ikut cara Islam," katanya sambil menambah festival fesyen Islam dijangka sekali lagi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 5 November depan.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan agar Jakim dinaik taraf sebagai satu kementerian supaya ia mempunyai bidang kuasa yang luas, antaranya melibatkan penguatkuasaan



Hab hiburan: NGO Islam tunggu pilihan raya
Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri
Okt 27, 10
12:48pm


Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.

"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman (kiri) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Budaya berfoya-foya

Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri.

"Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya.

"Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata:

"Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti."

PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Merafak sembah pada Agong

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim pula menggesa kerajaan memikirkan semula kewajaran tindakan itu kerana ia "punca kepada masalah sosial".

"Kita risau (jika) spa dan disko diperbanyakkan, keupayaan kita untuk membendung masalah sosial bertambah buruk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, rancangan itu "tidak sesuai" sebaliknya kerajaan perlu memikirkan kelainan untuk ditunjukkan kepada pelancong seperti melalui pusat makanan tradisional, muzium budaya atau program homestay.

"Saya berpendapat pelancong luar datang bukan nak untuk melihat kelab malam sebab di negara mereka kelab malam lebih canggih dan menarik," katanya.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula mahukan perdana menteri menarik balik rancangan dalam program ETP itu bagi menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"PPMM juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong agar mempertahankan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Islam dalam setiap tindakan kerajaan," kata presidennya Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Hab halal lebih utama

Zainul Rijal berkata rancangan itu juga tidak selari dengan satu prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pula berpendapat, Malaysia tidak sesuai dijadikan hab hiburan memandangkan negara ini diiktiraf sebagai negara Islam.

"Sebagai sebuah negara Islam, kerajaan seharusnya membangunkan industri pelancongan yang memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali warisan Islam negara dan melihat masyarakat Islam negara ini yang hidup aman damai dengan kewujudan pelbagai agama," kata setiausahanya Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Katanya, banyak kaedah untuk memacu ekonomi negara antaranya dengan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan sains dan pendidikan Islam.

"Dan lebih utama dikembangkan hab halal dengan memperkenalkan pelancongan halal sebagai keunikan Malaysia tersendiri," kata Mohd Roslan lagi



179 korban tsunami, Merapi meletus
Okt 27, 10 6:52pm

Pihak berkuasa Indonesia merayu bantuan selepas tsunami melanda sebuah kepulauan, diikuti pula dengan letupan gunung berapi, mengakibatkan ramai yang terkorban dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Keseluruhan kampung tenggelam dan rumah-rumah di kawasan berhampiran pantai barat Sumatera, musnah dilanda gelombang besar selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 di sekala richter.

Sekurang-kurangnya 154 orang terkorban manakala kira-kira 400 lagi masih hilang, kata para pegawai.

"Mereka kehilangan rumah masing-masing dan sekarang memerlukan banyak bantuan. Khemah tiba hari ini, tetapi kita masih perlukan banyak lagi," kata ketua pengurusan bencara daerah Sumatera Barat, Harmensyah.

"Kita perlu mencari orang yang hilang secepat mungkin. Sebahagian daripada mereka mungkin telah menyelamatkan diri di kawasan pergunungan. Tetapi mungkin ramai juga yang telah dihanyutkan."

Beberapa ratus kilometer jauhnya di Jawa tengah, 25 orang terkorban apabila gunung berapi yang paling aktif di republik itu - Gunung Merapi - meletup semalam, dan memuntahkan lava dan gas.

Para pegawai berkata hampir 29,000 orang menyelamatkan diri dengan berlindung di sekitar bandaraya Yogyakarta, tetapi ada kebimbangan mengenai nasib ribuan lagi penduduk yang enggan meninggal kampung mereka.

Gempa bumi yang melanda Isnin lalu di kepulauan Mentawai - sebuah kawasan yang popular dengan aktiviti peluncuran, mencetuskan tsunami setinggi tiga meter (10 kaki) dan memusnahkan 10 buah kampung.

Sementara itu ombak tsunami melonjak sejauh 600 meter ke daratan kepulauan Pagai Selatan, kata para pegawai. Di pulau Pagai Utara, sebuah pusat peranginan dan hampir 200 rumah musnah.

Kakitangan perubatan dikejarkan dengan helikopter tetapi usaha menyelamat terjejas oleh masalah komunikasi di kepulauan terbabit, yang memakan masa satu hari menaiki feri untuk sampai dari pelabuhan di Padang di wilayah Sumatera Barat.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan tempoh lawatan ke Vietnam untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin negara-negara Asean dan dalam perjalanan ke Mentawai. Menurut para pegawai, beliau dijangka tiba pada hari Khamis. - AFP




Wartawan antara 15 korban Gunung Merapi
Okt 27, 10 12:31pm

Seorang wartawan portal berita vivanews.com adalah antara 15 yang ditemui mati di dalam dan sekitar halaman rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan di kaki gunung itu yang meletus petang semalam.

Mayat wartawan itu ditemui dalam rumah Mbah Maridjan bersama tiga yang lain manakala mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu di daerah Sleman apabila pasukan penyelamat sampai ke situ pukul 10 malam tadi.

Semua mereka ditemui dalam keadaan sukar dikenali kerana melecur seluruh tubuh akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu apabila gunung berapi teraktif di dunia itu meletus semalam.

Sebagai jurukunci gunung itu, Mbah Maridjan, ialah seorang warga emas yang kontroversial kerana enggan meninggalkan rumahnya, yang merupakan rumah terakhir sebelum ke puncak gunung berapi itu semasa letusan Merapi pada 2006 tetapi terselamat dalam bencana itu.

Bagaimanapun, nasib Mbah Maridjan belum diketahui, sama ada terselamat atau terkorban dalam insiden berkenaan.

Semalam seorang bayi turut mati akibat letusan gunung berapi itu kerana kesan lecur.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren (institusi agama) di Magelang, 15 km dari gunung berapi itu beserta 10 yang lain telah dipindahkan oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Solo tengah malam tadi.

Kesemua mereka dibawa dengan dua buah bas dan sebuah kenderaan APV termasuklah dua warganegara Singapura, 3 wanita isteri kepada pelajar dan
dua bayi perempuan.

Misi pemindahan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dengan dibantu pegawai-pegawai kedutaan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia.

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membuka Bilik Operasi 24 jam mulai malam tadi bagi menyalurkan maklumat terkini dan melayan pertanyaan rakyat Malaysia di Malaysia mengenai letusan Gunung Merapi.

Ketua Canseri Raja Reza Raja Zaib Shah berkata bilik gerakan itu memantau perkembangan terkini kejadian bencana itu.

Talian Bilik Operasi itu adalah seperti berikut:
No. Telefon : 62-21-5224947 (talian am)
No. Telefon : 62-21-5224971 (talian terus)
No. Faks :62-21-5224974





Tiada ulasan: