Selasa, 12 Oktober 2010

PERISTIWA DAN PERKARA YANG BERLAKU YANG PERLU KITA FIKIR...ADAKAH BERLAKU KETELUSAN ATAU SEBALIKNYA

Projek pangkalan udara Sg Besi dimeterai tanpa LOI
Okt 12, 10 7:09pm

Jawapan bertulis daripada Kementerian Pertahanan berhubung pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat hari ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan berhubung projek kontroversial itu.

Menurut kementerian pertahanan, kerajaan pada dasarnya telah menerima cadangan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menterti kewangan.

Bagaimanapun, tidak ada surat menyatakan hasrat atau letter of intent (LOI) dikeluarkan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu).

Chua berkata malah, 1MDB juga telah memeterai perjanjian dengan Mubadala Development yang beribu-pejabat di Abu Dhabi bagi membangunkan semula pangkalan udara seluas 458 ekar itu.

Perjanjian yang dimeterai pada Jumaat lalu itu akan menyaksikan pembangunan semula pangkalan udara di Lembah Klang itu untuk dimasukkan ke Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIFD).

Projek yang dikenali sebagai 'Greater Kuala Lumpur ' itu dijangka menelan belanja RM26 bilion. Permeteraian kedua-dua syarikat itu disaksikan oleh Najib.

"Jika benar 1MDB memeterai perjanjian minggu lalu, jawapan Zahid adalah menggelirukan kerana sesebuah projek tidak boleh diberikan kepada sesebuah syarikat tanpa LOI," kata Chua.

Tambahnya lagi, keselamatan negara juga menjadi satu isu kerana pemindahan pangkalan udara itu juga akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk mencari tapak atau lokasi yang strategik.

"Kita terpaksa kaji bagaimana tindakan itu akan menjejaskan keselamatan sesebuah bandaraya. Ada beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai perlindungan ketenteraan udara bagi melindungi ibu negara mereka,” kata Chua sambil memberikan contoh, pangkalan udara Andrews di Maryland, Amerika Syarikat yang terletak 13 kilometer dari ibu negara pentadbiran negara itu di Washington DC



Campur tangan PDRM: KDN tak cadang siasat
Okt 12, 10 7:18pm

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk membuat siasatan ke atas dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan polis.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan ke atas dakwaan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu hasil siasatan dakwaan bekas Ketua Polis Negara itu, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 6 September lalu, Musa melahirkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

Kementerian berkenaan kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan.

- Bernama



Kematian Aminul: 17 kelongsong peluru dijumpai
Hafiz Yatim
Okt 12, 10
10:51am


Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mendengar perbicaraan seorang koperal yang didakwa menembak mati remaja berusia 15 rahun, Aminulrasyid Amzah, yang bermula hari ini diberitahu 17 kelongsong peluru dijumpai di lokasi kejadian.

Pasukan forensik polis juga menjumpai dua butir peluru hidup daripada jalan di mana adengan mengejar itu berlaku.

Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi pertama dalam perbicaraan ini adalah lans koperal Mohd Sabri Salleh.

Katanya, ketika kejadian pada 26 April lalu, beliau ditugaskan di Bahagian Gerakan di Shah Alam antara tengah malam hingga jam 8 pagi.

Pada sekitar 1.45 pagi Mohd Sabri berkata beliau menerima panggilan dari kereta peronda SL589 memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.

Katanya, kereta peronda berkenaan memohon bantuan bagi menghentikan kereta tersebut.

“Setelah beberapa minit kemudian, Saya menerima panggilan dari kereta peronda SL614 memaklumkan mereka sedang mengejar kereta Iswara dari Hotel Concorde Hotel ke Bulatan Kayangan dan kemudiannya menghala balik."

"Saya panggil anggota di SL614, Koperal Jenain (tertuduh) melalui telefon bimbitnya. Dia memaklumkan bahawa kereta Iswara itu telah hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2."

Mohd Sabri berkata Jenain kemudiannya meminta beliau memanggil ambulans kerana pemandu Iswara itu cedera.

Saksi kedua, detektif lans koperal Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25, memberitahu mahkamah bahawa dia merakamkan 41 keping gambar di lokasi kejadian.

"Saya ambil gambar di jalan, pokok yang dilanggar, kelongsong peluru, juga gambar di dalam kereta dan mangsa,” katanya.

Menurut timbalan pendakwa raya persekutuan, DPP Mohd Dusuki Mokhtar, sejumlah lima saksi akan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan yang dijadualkan selama 11 minggu.

Jenain diwakili oleh peguambela Salim Bashir (bawah, kanan) manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, dihadapkan ke mahkamah dan membuat pengakuan tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Kematian mengejut remaja itu menimbulkan kemarahan orang ramai berhubung dakwaan polis yang melepaskan tembakan secara membabi-buta dan memaksa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) berhubung penggunaan senjata api.

Sebuah panel yang dipengerusikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi mengkaji IGSO dan juga menyiasat kejadiaan berkenaan.
Adalah dilaporkan Aminulrasyid dan rakannya , Azamuddin Omar, juga berusia 15 tahun sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam pada malam kejadian itu.

Selepas memotong sebuah kereta polis, mereka dikejar dan beberapa das tembakan dilepaskan.Kereta yang mereka naiki akhirnya berhenti di bahu jalan, di mana Aminulrasyid dijumpai mati di kerusi pemandu















Malaysia punyai rakan digital paling ramai
Okt 12, 10 4:14pm

Percaya atau tidak - rakyat Malaysia mempunyai rakan paling ramai dan pengguna utama di rangkaian laman sosial di dunia.

Ini adalah berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan oleh firma pemasaran antarabangsa, TNS yang memantau gelagat dan tabiat orang ramai di internet.

Rakayat Malaysia secara purata mempunyai 233 rakan digital dan ini diikuti 231 di Brazil dan 217 di Norway.

Mereka yang paling kurang rakan digital adalah di Jepun dengan hanya 29 kawan diikuti dengan 38 di Tanzania dan 50 di Korea Selatan.

Ketua Pegawai Pembangunan TNS, Matthew Froggatt berkata keputudsan itu mungkin menunjukkan 'budaya yang tidak ramai rakan tetapi persahabatan yang erat” di negara-negara berkenaan.

“Pengguna China pula secara purata mempunyai 68 kawan di rangkaian mereka di sebalik merupakan pengguna utama di laman sosial,” Froggatt.

Selain mempunyai rakan yang paling ramai, rakyat Malaysia juga menghabiskan masa yang paling lama di internet - purata sembilan jam setiap minggu melayari laman sosial berkenaan.

Warga Russia menduduki tangga kedua dengan purata 8.1 jam setiap minggu dan dikuti oleh rakyat Turki dengan 7.7 jam setiap minggu.

Malaysiakini
, portal berita utama negara ini, sehingga hari ini mempunyai 72,954 peminat Facebook dengan seksyen bahasa Cina mempunyai 36,022 pengikut dan disusuli oleh laman berbahasa Melayu (22,131) dan bahasa Inggeris (13,901)



Konsert artis 'gay': K'jaan terus dibidas
Jimadie Shah Othman
Okt 12, 10
4:34pm


Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) terus dikritik pelbagai pihak kerana tetap dengan pendiriannya membenarkan artis 'gay' Amerika Syarikat Adam Lambert mengadakan konsert di negara ini.

Bagi Persatuan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), konsert anjuran Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music itu harus dibatalkan kerana ia didakwa melanggarkan perlembagaan dan Rukun Negara.

Presiden PPMM, Zainul Rijal Abu Bakar (kiri) berkata, tafsiran undang-undang dalam kes Meor Atiqullah, hakim memutuskan segala dasar yang dilaksanakan hendaklah berdasarkan kaedah hukum Islam.

"Tetapi apa yang berlaku ini jelas bercanggah dengan Islam dan meruntuhkan akhlak," kata Zainul Rijal kepada Malaysiakini hari ini.

Menurutnya lagi, dalam rukun negara juga digariskan soal kesopanan dan kesusilaan dan bukannya "terkinja-kinja" dalam konsert.

Walaupun dibantah kuat, terutamanya oleh PAS, konsert sulung 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dilaporkan boleh diteruskan dengan syarat ia menepati garis panduan, antaranya tidak melibatkan kelakuan melampau ketika persembahan.

Ketua Penolong Setiausaha Puspal Mohd Dian Nais dilaporkan berkata penganjurnya telah diberikan penerangan mengenai peraturan lain yang perlu dipatuhi termasuk jarak 7.5 meter antara pentas dan penonton.

Wabak 'halalkan' gay

Beliau juga memberitahu, Puspal sebelum ini pernah menghentikan konsert Akon di Sunway Pyramid kerana artis tersebut membuka bajunya ketika persembahan.

Sementara itu, dua lagi persatuan mahasiswa Islam - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) - turut menghamburkan 'kemarahan' yang sama kepada Puspal, agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Menurut Presiden Gamis Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (kanan), konsert itu akan menjadi "wabak" dan ikutan remaja Malaysia untuk 'menghalalkan' budaya gay.

"Ambillah iktibar dari sirah kaum Nabi Lut yang akhirnya dtimpakan bala bencana yang dahsyat oleh Allah dan kesannya boleh dilihat hingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara Presiden ISIUKM Mohd Nazri Mohd Tahir pula berkata, di negara ini hubungan sejenis ditolak sepenuhnya.

"Jadi mengapa pihak kerajaan masih lagi membenarkan artis tersebut masuk ke negara ini? Perkara ini boleh diibaratkan seolah-olah hendak mengubat penyakit tetapi dalam masa yang sama membiarkan virus-virus yang membawa penyakit terus berlegar-legar dengan bebasnya," katanya.

Konsert sulung Lambert dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran




Lebih ramai ahli Gerakan akan sertai Pakatan, PCM
Susan Loone
Okt 12, 10
3:22pm


Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan Pulau Pinang yang berakhir Ahad lalu dilihat masih belum meredakan krisis kepimpinan parti itu. Ia berikutan beberapa bahagian yang tidak berpuas hati, mengugut untuk menyertai parti lawan.

Menurut bekas naib presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, parti yang baru ditubuhkannya, Parti Cinta Malaysia (PCM) telah didatangi oleh beberapa ahli Gerakan yang bercadang membubarkan bahagian mereka kerana tidak berpuas hati dengan keputusan EGM berkenaan.

EGM pada 10 Oktober lalu memutuskan bahawa lebih separuh daripada 322 perwakilan yang mengundi menyokong Datuk Dr Teng Hock Nan kekal sebagai ketua Gerakan Pulau Pinang. Beliau menang dengan kelebihan 29 undi, manakala 145 perwakilan mahu Teng dilucutkan jawatannya. Terdapat satu undi rosak.

Di sebalik kemenangan Teng, ada perwakilan yang berpendapat rasa tidak puas hati terhadap mereka yang mahu beliau dipecat diberikan tumpuan khas agara pembaharuan dapat dilakukan.

Huan yang sekarang ini adalah naib presiden PCM berkata beberapa pemimpin peringkat bahagian dan cawangan juga telah menyatakan minat mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat atau PCM.

Antara mereka, dakwanya adalah Kebun Sireh yang bercadang membubarkan bahagiannya bagi membolehkan ahlinya menyertai PKR manakala ahli bahagian Bukit Tengah pula dikatakan berminat menyerati DAP.

"Lebih banyak bahagian akan mengambil tindakan yang sama dan membubarkan bahagian masing-masing dan anggota mereka akan menyertai PCM. Orang yang patut dipersalahkan ialah diri Teng sendiri, kerana mengamalkan politik berpuak-puak,” Kata Huan.

Ketika dihubungi, ketua bahagian Kebun Sireh, Sim Chooi Kung mengesahkan anggota bahagiannya bercadang meninggalkan Gerakan kerana tidak berpuas hati Teng kekal ketua parti itu meskipun mereka mengundi menentangnya.

Menurut Sim, anggota Kebun Sireh yang dianggarkan berjumlah 250, bebas menyertai mana-mana parti tetapi kebanyakan mereka memilih PKR, meskipun parti itu tidak mempunyai bahagian di kawasan itu.

“Kami bercadang letak jawatan beramai-ramai dan menubuhkan bahagian PKR yang baru. Ahli akan bermesyuarat minggu ini sebelum kami mengumumkan keputusan rasmi,” katanya.

Ketua bahagian Bukit Tengah Lee Nam Sim pula keberatan untuk mendedahkan rancangan pembubaran bahagian itu tetapi memberitahu mereka akan bermesyuarat dalam sehari dua ini bagi membincangkan tindakan susulan.

"Selepas berbincang, kita akan membuat keputusan rasmi,” kata Lee.

Sementara itu, Teng berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung desas desus ada bahagian yang mahu meninggalkan Gerakan berikutan EGM berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Saya juga tidak akan memanggil untuk bertanyakan mengapa mereka mahu meninggalkan Gerakan. Kita akan lihat apa yang terjadi selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Adalah dipercayai ketua bahagian Kepala Batas Gerakan Jeffrey Beh meletakkan jawatannya hari ini bersama 300 penyokongnya



Mayat wanita bogel ditemui terdampar
Okt 12, 10 5:35pm

Mayat seorang wanita ditemui terdampar dalam keadaan bogel di tebing pantai berhampiran gelanggang squash dekat Tembeling Resort di Kuantan, petang semalam.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui sepasang suami isteri pada jam 5.15 petang.

"Tiada tanda kecederaan luaran dikesan pada mayat berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenalpasti dan pihaknya meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga, menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

- Bernama

Tiada ulasan: