Jumaat, 8 Oktober 2010

KALAU KENYATAAN NI BETUL...KOMEN SAYA...KAH KAH KAH KAH...ORANG MEMPERTIKAI PERKARA NI DIA KENA BERSIH DARI WANG HARAM...BESOK JAWAB DIAKHIRAT KELAK

Pulang wang 'judi', k'jaan P Pinang belum terima sesen
Okt 8, 10 1:28pm

Kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga hari ini masih belum menerima apa-apa wang yang dikembalikan meskipun Umno dan BN sibuk menganjurkan majlis untuk warga emas memulangkan wang berkenaan yang didakwa datang daripada sumber perjudian.

“Kerajaan negeri berharap mereka agar jangan terpedaya dengan Umno kerana yang rugi hanyalah warga emas yang hilang peluang mendapat RM100 setiap tahun dan RM1,000 sekali untuk waris mereka,” kata ketua menterinya, Lim Guan Eng.

Isu itu tercetus apabila pada satu majlis anjuran Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim pada 30 September lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Dua hari kemudian, 70 lagi warga emas dari Bayan Baru pula menjejaki tindakan rakan mereka itu dengan mengembalikan wang RM100 ringgit yang diterima mereka kepada Ketua Umno Bahagian Bayan Baru Datuk Abdul Rahim Saibu.

Program diteruskan

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Pemuda Umno negeri Norman Zahalan dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata 1,000 lagi warga emas di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ehsan yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

“Kerajaan negeri akan meneruskan program penghargaan warga emas dengan pemberian sumbangan RM100 setiap tahun di masa akan datang selagi Pakatan Rakyat masih menjadi kerajaan negeri ini tetapi kita tidak halang jika ada yang mahu memulangkan cuma fikir masak-masak dahulu,

“Jangan mudah terpedaya dengan fitnah Umno kerana yang rugi akhirnya ialah warga emas dan waris-waris mereka yang tidak mendapat sumbangan RM100 setiap tahun dan RM1,000 untuk belanja pengebumian,” kata Lim selepas menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil rakyat Pulau Pinang, Selasa lalu.

Menurut Lim, hakikatnya Umno dan BN, sengaja mengadu domba fitnah seumpama itu bagi mengelakkan pertanyaan rakyat yang hairan mengapa kerajaan negeri BN sebelum ini tidak mampu memberi bantuan sedemikian.

“Jawapan kepada 'keanehan' itu sangat mudah kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang berjimat-cermat dan berhemah dalam segala perbelanjaan dan tidak makan duit, maka boleh beri duit pada warga emas berbanding dengan kerajaan BN yang bertindak sebaliknya,

Dalam pada itu, Lim turut menuntut penjelasan Umno BN berhubung kutipan cukai judi sebanyak RM2.3 bilion oleh kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.

Penjelasan cukai dosa BN

Tegas beliau, penjelasan berkenaan perlu bagi memaklumkan kepada umum mengenai saluran cukai dosa itu ke dalam akaun hasil disatukan kerana pihaknya difahamkan duit hasil kutipan judi RM2.3 bilion setiap tahun digunakan untuk membiayai semua projek pembangunan dan pembayaran gaji semua 1.2 juta warga penjawat awam persekutuan.

“Tidak seperti kami yang membantu warga emas di Pulau Pinang dengan menggunakan lebihan hasil pendapatan negeri menerusi pendekatan jimat cermat dan tidak makan duit” katanya.

Ini katanya, dibuktikan dengan surat terima kasih kepada Kelab Lumba Kuda yang secara terang lagi bersuluh mengenai sumbangan untuk program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) dan bukan untuk program penghargaan warga emas itu, katanya.

Tambahan pula, jelas beliau lagi, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus telah mengesahkan pihaknya mengasingkan sumbangan dari Kelab Lumba Kuda dan syarikat korporat lain untuk program melibatkan orang Islam dari mengelakkan unsur haram dan semua dana yang digunakan untuk program penghargaan warga emas itu datangnya dari penjimatan dijana oleh pendekatan anti-rasuah kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tipu muslihat UMNO untuk memaksa kerajaan negeri membatalkan program penghargaan warga emas yang secara ikhlas mengenang jasa dan budi sumbangan warga emas kita,” kata beliau lagi


PA Zahrain pulangkan RM1,000 wang 'haram'
Susan Loone
Okt 2, 10
8:54pm

Ismail Mohd Ali - pembantu khas kepada ahli parlimen bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang keluar PKR Februari lalu - hari ini memulangkan wang ehsan RM1,000 sumbangan kerajaan negeri Pulau Pinang di atas kematian ibunya.

Ismail (kanan) berkata beliau memutuskan untuk memulangkan wang tersebut selepas berbincang dengan ahli keluarga ekoran laporan bahawa wang itu dipercayai dari sumber judi.

Ismail menerima sumbangan itu melalui program kebajikan warga emas kerajaan negeri pada bulan Ogos ketika ibunya meninggal dunia pada bulan Julai ketika berusia 82 tahun.

"Saya tidak mahu atau memerlukan wang ini. Biarkan ia dibelanjakan untuk orang miskin," katanya dalam sidang akhbar Umno bahagian di Bayan Baru untuk kira-kira 50 warga emas yang mahu memulangkan wang ehsan yang diterima dari kerajaan negeri.

Ismail, yang mendakwa beliau bukan ahli Umno, dan hadir di sidang akhbar itu atas kapasiti peribadi, menggesa Exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab terhadap halehwal agama, Abdul Malik Abdul Kassim supaya jangan "bermain politik" dengan isu tersebut.

"Haram adalah haram. Abdul Malik tidak layak menjadi exco untuk halehwal agama," katanya.

Ini adalah kali kedua majlis seumpama itu diadakan untuk warga emas berhimpun bagi memulangkan wang ehsan sumbangan kerajaan negeri


YB Umno diminta pulangkan gaji wang 'haram'
Susan Loone
Okt 1, 10
10:14am

Seramai 11 ADUN Umno di Pulau Pinang dicabar memulangkan wang gaji mereka kerana kemungkinan wang berkenaan datangnya dari sumber judi.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang membuat cabaran itu juga menggesa Umno mengarahkan semua staf dan kakitangan akhbar Utusan Malaysia milik parti itu untuk memulangkan semua gaji mereka.

Tindakan itu supaya kakitangan Islamnya tidak 'termakan wang haram'. Sekretariat itu mendakwa ada unsur-unsur perjudian dalam penghasilan gaji mereka, menerusi iklan-iklan empat nombor ekor di akhbar itu.

“(Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat juga) mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah pengaruh mereka supaya memulangkan semua pendapatan gaji semula kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih daripada percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak,” kata mereka ketika membacakan kenyataan media.

Menurut setiausaha pemuda PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, - Umno kini tertekan dengan keupayaan Pakatan dalam perbelanjaan berhemah kerajaan negeri yang berjaya mempunyai wang berlebihan dan memperuntukkan dana RM20 juta untuk program menghargai sumbangan warga emas.

Katanya, tertekan dengan keupayaan itu, Umno memfitnah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“(Justeru) cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada Umno membuktikan diri mereka adalah 'pembela Melayu yang sebenar', seperti yang selalu mereka war-warkan.

Warga emas ditipu

“Kami juga menyeru agar Umno benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di televisyen dan di dada-dada akhbar,” kata Syed Mikael pada persidangan akhbar di Prai, semalam.

Turut menadatangani kenyataan bersama ini adalah Setiausaha Pemuda DAP, Pulau Pinang, Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Pulau Pinang, Mohd Nor Harun.

Dua hari lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang diberikan itu selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Ia berikutan pendedahan oleh pemimpin Umno yang mendakwa bahawa wang berkenaan diperolehi daripada sumber perjudian.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kumpulan warga emas berkenaan telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga setiausaha perhubungan Umno Pulau Pinang.

“Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul.

"Ini bukti jelas, bahawa Umno sanggup buat apa saja, hingga sanggup menidakkan hak rakyat, semata-mata mahukan populariti politik murahan!” kata Syed Mikael.

Ng pula menganggap Umno merampas hak warga emas beragama Islam apabila mendalangi usaha dengan 'memperbodohkan' mereka dengan menyebarkan propaganda tidak bersandar fakta.

Diaturkan Umno

“Kesian mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi jelas, Umno cuba merampas apa yang sepatutnya mereka dapat," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana syarikat menghulur sumbangan baik badan korporat mahupun kelab lumba kuda tetapi dana itu diasing mengikut kategori.

"Bantuan ini terletak di bawah pegawai kewangan negeri. Mereka boleh mengasingkan sumbangan tanpa ada masalah", katanya yang kesal kerana warga emas disogok maklumat tidak tepat dan percaya ia didalangi pimpinan Umno.

"Itu majlis yang diaturkan Umno. Tak adalah, mana boleh warga emas yang minta majlis macam itu. Ini memang didalangi mereka. Siapa yang membangkitkan isu ini terlebih dahulu? Umnolah,” katanya lagi.

"Kalau Umno cakap semua wang termasuk RM100 haram, maka, gaji yang diterima ADUN Umno juga haram. Jadi, pulangkan duit gaji, jangan ambil,” kata beliau yang juga ADUN Komtar itu.


Dr Asri: Bantuan k'jaan Pulau Pinang tidak haram
Sep 27, 10 2:34pm
Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” katanya dalam pesanan SMS kepada Malaysiakini dari Beijing, China.

Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

“Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan.”

Beliau mengulas laporan akhbar yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Judi hendaklah dicegah

Menurut Dr Asri, hakikatnya di Malaysia, wang judi digunakan bukan sahaja oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi juga oleh kerajaan persekutuan. Sumber itu diperolehi menerusi bentuk cukai judi, arak, hiburan dan lain-lain lagi.

“Pendapatan kerajaan itu juga digunakan untuk pelbagai keperluan rakyat. Kakitangan kerajaan yang mendapat gaji juga dari pelbagai sumber,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Asri, segala aktiviti yang menggalakkan judi hendaklah dicegah oleh semua kerajaan kerana judi adalah haram dan merosakkan masyarakat.

Dalam perkembangan yang sama, Lim hari ini berkata Umno cuba meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

“Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Ada juga bukan Islam miskin tegar

“Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?” soal Lim.

Katanya lagi, bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan belanjawan.

Program penghargaan warga emas yang menjadi isu kontroversial itu membayar RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan mendapat RM100 setiap tahun. Di samping itu, waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

“Urustadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009.

“Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan. Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen 'anti-rasuah' yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit,” katanya lagi

Tiada ulasan: