Selasa, 19 Oktober 2010

TAFSIR AL KAUTHAR....سورة الكوثر

سورة الكوثر
SURAH AL-KAUTHAR
Surah Ni’mat Yang Banyak
Surah (108) - Makkiyah - 3 ayat
بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
( إِنَّا َأعْ َ طيْنَاكَ الْ َ كوَْثرَ ( 1
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai
Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.
( َفصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ( 2
2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu.
( إِنَّ شَانَِئكَ هُوَ الَْأبْتَرُ ( 3
3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan.
Surah ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. sama seperti Surah Ad-
Duha dan Surah al-Inshirah. Dalam surah ini Allah hiburkan Rasul-Nya dan
menjanjikannya dengan ni'mat kebaikan yang limpah dan mengancamkan
musuhnya dengan mala-petaka keputusan keturunan dan mengarahkannya
ke jalan bersyukur. Kerana itu surah ini merupakan satu gambaran dari
kehidupan da'wah dan kehidupan penda'wah pada zaman permulaan Islam
di Makkah, iaitu satu gambaran dari angkara dan gangguan-gangguan yang
dihadapi Nabi s.a.w. dan da'wah yang disampaikannya, juga satu gambaran
dari pemeliharaan dan naungan Allah terhadap hamba-Nya dan sekumpulan
para mu'min yang kecil. Allah meneguhkan hati Rasul-Nya, menenangkan
fikirannya memberi janji yang baik kepadanya dan mengancamkan
musuhnya dengan mala-petaka.
Begitu juga surah ini menggambarkan hakikat hidayah, ni'mat
kebajikan dan keimanan yang sifat-sifatnya ialah jenuh melimpah-ruah dan
berlanjutan dan menggambarkan hakikat kesesatan, kejahatan dan kekufuran

yang sifatnya ialah remeh, tersorok dan terputus walaupun orang-orang yang
lalai mempunyai tanggapan yang berlainan dari itu.
Tersebut dalam hadith-hadith bahawa tokoh-tokoh Quraysh yang
biadab selalu mengganggu Rasulullah s.a.w. dan da'wahnya dengan
berbagai-bagai tipu daya, sendaan dan ejekan untuk menjauhkan orang ramai
dari mendengar da'wahnya yang benar yang dibawa dari Allah. Di antara
mereka al-'As ibn Wa'il, 'Aqabah ibn Abi Mu'ait, Abu Lahab, Abu Jahal dan
lain-lain. Mereka mencemuhkan Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang
putus keturunan, kerana semua anak lelakinya wafat. Kata salah seorang
mereka: "Biarkannya, kerana ia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun
anak lelaki dan perjuangannya tak lama akan berakhir begitu sahaja."
Tipu daya yang kecil ini mempunyai kesannya dalam masyarakat
yang memang berbangga-bangga dengan adanya anak lelaki yang ramai.
Tikaman ini digunakan oleh musuh-musuh Rasulullah s.a.w. yang benci
kepadanya. Dan mungkin tikaman ini telah mengguriskan hati beliau dan
mendukacitakannya, kerana itulah turunnya surah ini untuk menenang dan
menghiburkan hatinya dan untuk menerangkan hakikat ni'mat kebajikan
yang kekal berterusan yang telah dipilih oleh Allah untuknya dan
menerangkan hakikat keputusan dan kepupusan yang disediakan untuk
musuh-musuhnya.
( إِنَّا َأعْ َ طيْنَاكَ الْ َ كوَْثرَ ( 1
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai
Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.
Maksudnya Kami kurniakan kepadamu ni'mat-ni'mat kebajikan yang
banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu
bertentangan dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh
Quraysh yang biadab itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa ni'mat kebajikan
yang melimpah-ruah dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan
menemuinya pada segala aspek yang difikirkan olehnya iaitu ia akan
menemuinya pada ni'mat nubuwwah dan ni'mat hubungannya dengan Allah
yang Maha Besar, kerana orang yang telah menemui Allah tidak akan
kehilangan sesuatu apa. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-Qur'an yang
diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., kerana satu surah dari al-Qur'an
merupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan.
Ia akan menemuinya pada ni'mat al-mala'ul a'la (para Malaikat yang
tertinggi) yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. dan
mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya.
Nama Rasulullah s.a.w. sentiasa berkembar dengan nama Allah baik di
bumi mahupun di langit. Ia akan menemuinya pada ni'mat sunnah
Rasulullah s.a.w. yang kekal berterusan sepanjang zaman di merata pelosok
bumi. Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta
lidah dan bibir tak berhenti-henti menyeru namanya. Berjuta-juta hati
sentiasa cinta akan sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat.

Ia akan menemuinya pada ni'mat kebajikan yang banyak yang melimpahi
umat manusia dari seluruh generasi dengan sebab da'wahnya sama ada
manusia-manusia yang mengenal ni'mat kebajikan itu dan beriman
dengannya atau manusia-manusia yang tidak mengenalnya tetapi turut
dilimpahi ni'mat ke atas mereka. Ia akan menemuinya pada ni'mat-ni'mat
kebajikan dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa yang tidak terhitung
banyaknya. Sebarang usaha untuk menghitungkan ni'mat-ni'mat Allah
merupakan semacam usaha hendak memperkecil-kecilkannya.
Ni'mat al-kauthar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
adalah ni'mat yang melimpah-ruah tidak terhingga, tidak terkira dan tidak
terbatas. Oleh sebab itu ayat ini ditinggalkan begitu tanpa diberi huraian
yang tertentu. Ia meliputi segala kebajikan yang berkembang subur.
Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang
menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga
yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai
itu merupakan salah satu ni'mat daripada ni'mat-ni'mat kebajikan yang
melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini
amat munasabah dengan keterangan ayat al-Qur'an.
( َفصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ( 2
2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu.
Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah yang bertentangan
dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya
s.a.w. supaya mensyukuri ni'mat itu dengan kewajipannya yang pertama,
iaitu kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah
dalam amal ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan
menyembelihkan binatang korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa
menghiraukan kesyirikan orang-orang musyrik dan tanpa menyertai upacara
ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka yang menyebut-nyebut lain dari
nama Allah ketika menyembelih korban-korban mereka.
Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah
sahaja ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan
binatang-binatang sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah
menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam dalam usaha
membersihkan seluruh kehidupan dari kesan-kesan syirik bukan hanya
sekadar membersihkan fikiran dan hati sahaja. Islam adalah agama keesaan
dalam erti katanya yang sebenar dan agama Tauhid yang bersih dan jelas,
kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam segala bentuk rupanya
dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam 'ibadat dan dalam
'adat resam kehidupan.
Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam
melayani kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelahbahagi
dan membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa

kehidupan ini tawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas
sebagaimana yang kita dapat lihat dalam masalah binatang-binatang
sembelihan dan lain-lainnya dari syi'ar-syi'ar 'ibadat dan tradisi-tradisi
kehidupan.
( إِنَّ شَانَِئكَ هُوَ الَْأبْتَرُ ( 3
3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan.
Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad
s.a.w. bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan
ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir
ini pula Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi
Muhammad s.a.w., tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencinya
dan janji Allah itu amat benar kerana sebutan nama mereka telah terputus,
sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi.
Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia
ini dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas
tidak pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah
mendengar nama beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin
terputus. Ia akan menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan
menunjangkan akar umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran,
kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana ia membesar dan kuat.
Ukuran-ukuran Allah berlainan dari ukuran-ukuran manusia, tetapi
manusia sahaja yang terkeliru dan tertipu apabila mereka menyangka
bahawa ukuran-ukuran merekalah yang menentukan hakikat-hakikat segala
perkara. Di hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat
ini sebagai satu contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh
Quraysh yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang
hina dan menarik hati orang ramai? Ketika itu mereka menyangka bahawa
mereka telah berjaya menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat
jalan da'wahnya, di mana mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan
kesan-kesan peninggalan mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat
kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah yang
dicap mereka sebagai manusia yang terputus keturunannya itu?
Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak
mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia
mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh
dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya
kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya
walaupun dalam setengah-setengah ketika ia kelihatan panjang umur dan
akar-akarnya menunjang jauh.
Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong
tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu.

Tafsir Fi Zilalil Quran

Tiada ulasan: