Sabtu, 23 Oktober 2010

BIAR HILANG NYAWA...MEMPERTAHAN HUKUM ALLAH...ATAU BERJUANG UNTUK ALLAH ....

BIAR HILANG NYAWA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan dan hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima semua kaum di negara ini.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis (Raja-Raja) yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu.

“Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit. Sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Ketika menyampaikan ucapan bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran” itu, Najib dengan tegas berkata, tindakan pihak tertentu yang kini mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai bangsa yang dilindungi hak-hak tertentu, ternyata telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak puas hati terhadap bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya.

“Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain perizaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu,” katanya.

Najib berkata, pindaan terhadap artikel-artikel itu tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181,” katanya.

Katanya, perkara itu tidak perlu dibincangkan dalam mana-mana forum kerana perbahasan mengenainya dibimbangi akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan naluri asal wujud antara etnik.

Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat bahawa sejarah membuktikan bahawa tidak kira betapa majunya sesebuah negara atau tamadun, sekiranya soal naluri asal tidak diuruskan dengan baik, ia akan menyaksikan kezaliman yang dahsyat

Tiada ulasan: