Jumaat, 29 Oktober 2010

LAH NI ORANG DAH CERDIK...TAK BOLEH TIPU2...JIKA KITA GUNA TEKTIK PENIPU...ORANG LAH NI BERBULU

Fatwa 'Ikut Suka PAS': Umno keliru dan terus keliru
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO? Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata



Masjid mati sebelum manusia mati angkara Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid.

Akhirnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, masjid dan surau telah mati sebelum manusia mati.

Sehubungan itu, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Tan Sri Muhyidin Yassin yang mengatakan bahawa PAS meniru Umno dalam soal kerjasama dengan parti bukan Islam.

“Perlu ditegaskan kerjasama PAS dengan bukan Islam ialah tahaluf siasi tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS, sedangkan kerjasama Umno dalam Barisan Nasional dalam dalam bentuk wala’, yang menggadaikan prinsip Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya pula ialah al-Quran,as-Sunnah, ijmak dan qias.

PAS, tegasnya sekali-kali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa kerana perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam.

“Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program mungkar yang terbaru seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini,” ujarnya sinis.

Sehubungan itu, tegasnya PAS mencabar Muhyiddin jelaskan bila PAS menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini.

Katanya, tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata beliau Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam dalam BN telah bertindak biadab dengan agama, antaranya ialah merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al-Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007.

Jelasnya lagi, tahaluf siasi membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas di mana masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu.



PAK hutang Kelantan RM30 juta
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husein meminta Menteri Pengangkutan Malaysia memberikan penjelasan mengenai hutang Perbadanan Aset Keretapi (PAK) kepada Kelantan.

Muhammad ketika membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, PAK belum menjelaskan bayaran cukai tanah tahun 2010 bagi tanah-tanah negeri itu yang digunakannya sebanyak RM 30,216,658.70.

"Saya mendapat satu surat rupanya KTMB ini yang masuk ke Kelantan tak bayar hutang kepada Kelantan,cukai tanah berjumlah lebih RM30 juta. Jadi saya nak minta jawapan daripada Menteri apa sebenarnya yang terjadi," kata beliau.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen selepas itu turut menunjukkan surat tuntutan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan kepada PAK yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menurut surat berkenaan, isu tuntutan bayaran cukai tanah tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hasil Negeri pada 16 Mei lalu.

Mesyuarat itu memutuskan PAK menjelaskan terlebih dahulu bayaran cukai tanah yang tertunggak bagi tahun 2009 dan cukai tanah tahun 2010 yang berjumlah RM 3,958,273.70 iaitu jumlah sebelum 1 Julai tahun ini sebelum permohonan PAK untuk dikecualikan daripada menjelaskan jumlah baki bayaran cukai tanah mengikut kadar baru daripada tahun 1994 sehingga tahun 2008 berjumlah RM 26,258,385 diberi pertimbangan lanjut.

Berikutan PAK belum membuat apa-apa bayaran, mereka telah didenda lewat bayaran cukai tanah selepas 30 Jun tahun semasa dikenakan selaras dengan peruntukan kaedah 17, kaedah-kaedah Tanah Kelantan 1966.

Sehubungan itu, PAK perlu menjelaskan hutang sebanyak RM 4,552,016.70 sebelum penghujung tahun ini



Kerjasama: Umno umpama Lebai Malang
Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 28 Okt: Umno terus membayangkan fobianya terhadap PAS apabila terus bertindak menghentam parti itu dalam isu kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas.

“Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam di bawah tajuk ‘TPM bidas ‘fatwa’ ikut suka Pas’.

“Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata ketika berkempen di Galas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, secara umumnya pemimpin DAP hari ini tidak lagi menjadi kumpulan yang anti Islam sebaliknya beransur-ansur mengenali kesucian agama ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Tuan Guru menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

“Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.

“Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja,” jelasnya



Bajet 2011 abai masalah hutang isi rumah
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Bajet 2011 yang dibentang pada 15 Oktober lalu tidak menyebut sebarang langkah konkrit untuk menangani masalah hutang isi rumah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 mendedahkan hutang isi rumah negara tahun ini jika dinisbah pada Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) adalah tertinggi di Asia.

"Hutang isi rumah teleh meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini daripada 63.9 peratus KDNK (RM389 bilion) pada tahun lepas," ujarnya petang tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) ketika memetik Laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari BMN mendedahkan, pinjaman isi rumah pada April hingga Jun tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

Tambahnya, pihak Kaunseling Kredit dan Agensi Pengurusan Hutang Kebangsaan (AKPK) tahun lalu turut merakamkan, hampir 50 peratus dari 3000 yang datang mendapatkan khidmat AKPK adalah dalam likungan umum 30 tahun hingga 40 tahun.

AKPK, katanya lagi turut mendedahkan sebanyak 15 peratus mereka yang terbabit adalah dalam likungan usian 20an.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP) berkata, CiMB Invenstment Bank Bhd. mendedahkan, hutang isi-rumah berpunca daripada hutang rumah dan hartanah (50 peratus); pinjaman kereta (27 peratus); pinjaman peribadi (8.9 peratus); dan hutang kad kredit (6.3 peratus).

"Mier dan pelbagai pihak termasuk Malaysian Rating Corp Bhd. (MARC) telah melahirkan kekhuatiran bahawa trend ini mempunyai potensi untuk mencetuskan pelbagai risiko, termasuk kebankrapan (insolvency) dan menjejaskan pencapaian pertumbuhan ekonomi seandainya penggunaan (consumption) terjejas," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, urus tadbir ekonomi oleh Datuk Seri Najib, seakan dijamin baik oleh Gabenor BNM Tan Sri Ungku Dr. Zetti Athar Ungku Abdul Aziz sebelum ini.

"Gabenor BNM menyebut bahawa mereka (BNM) bersedia dengan pelbagai langkah institutional supaya paras hutang tidak melebihi paras pruden," beliau menambah



Tiada ulasan: