Rabu, 6 Oktober 2010

KEPUTUSAN JANGAN MENJERAT DIRI...LAH NI RAKYAT BIJAK...TAHU BAGAIMANA KEKAYAAN BOLEH DAPAT DENGAN BEGITU SEGERA...SENDIRI MAU INGATLAH...

Menteri Pengangkutan berhak batal keputusan LPK
Aidila Razak
Okt 5, 10
3:37pm


Menteri Pengangkutan mempunyai kuasa untuk menolak sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Pelabuhan Klang untuk sama ada mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas pengarahnya.

"Adalah menjadi haknya sebagai menteri untuk menentukan perkara yang di bawah kementeriannya. Tetapi beliau selama ini belum pernah campur tangan.

"Beliau hanya menentang keputusan kami untuk tidak membayar Kuala Dimensi tetapi bagi kami, kami telah menjalankan tanggungjawab,” kata pengerusi lembaga pengarahnya, Lee Hwa Beng.

Menurut Lee, lembaga pengarah sekarang yang dianggotai oleh tujuh anggota, masih belum dapat membuat keputusan sama ada mengambil tindakan undang-undang kerana masih mahu berunding dengan penasihat undang-undang mereka.

"Ini adalah keputusan yang paling sukar, kami akan dibidas jika bertindak dan akan juga dikutuk jika berdiam diri.

"Apa yang dilakukan bukan satu jenayah tetapi ketidak-cekapan pengurusan, jadi adalah sukar untuk membuat keputusan.

"Lagipun, ia membabitkan ramai orang termasuk lantikan politik dan wakil kerajaan termasuk dari pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan,” katanya.

Katanya, ahli lembaga pengarah mempunyai sehingga 30 November untuk merujuk kepada peguam masing-masing.

Peguam LPK sebelum ini telah menasihatkan ahli lembaga pengarah supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas pengarahnya.

Mereka juga menghadapi tindakan saman oleh lembaga pengarah pada masa akan datang jika gagal mengambil tindakan sewajarnya.



PKFZ: Mahkamah arah perbicaraan terbuka
Okt 1, 10 1:25pm
Kongsi 5
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan dua saman oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) ke atas Kuala Dimensi Sdn Bhd berhubung kemelut yang membabitkan bayaran RM900 juta dibicarakan.

Ia berikutan keputusan sebulat suara tiga hakim Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan LPK berhubung penangguhan hukuman oleh Mahkamah Tinggi supaya kedua-dua pihak boleh menyelesaikan kemelut mereka melalui arbitrasi tertutup.

Hakim, Low Hop Bing, ketika mengumumkan keputusan itu juga mengarahkan Kuala Dimensi untuk membayar kos RM30,000 dan meminta perkara itu dibicarakan di mahkamah terbuka di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dua hakim lain yang bersidang bersama Low hari ini adalah Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Zaharah Ibrahim.

Berikutan penghakiman hari ini, kes berkenaan akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dengan menetapkan tarikh sebutan kes bagi membolehkan perbicaraan disambung semula.

Terdapat empat saman yang dikemukakan oleh LPK ke atas Kuala Dimensi untuk menuntut kontraktor utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) itu memulangkan bayaran yang dibuat atas dakwaan terlebih tuntutan.



PKFZ: Ling mohon kertas kabinet dinyah-rahsia
Hafiz Yatim
Sep 3, 10
10:00am

Kongsi 16

Bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memohon kesnya berhubung tuduhan menipu kerajaan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut peguamnya, Wong Kian Kheong, beliau telah menulis kepada pejabat peguam negara pada 1 September lalu agar supaya memindahkan kes yang didakwa mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Ia membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, pihak pembelaan juga telah memohon supaya kertas kabinet yang dianggap rahsia dikasifikasikan semula dan salinannya diberikan kepada mereka untuk tujuan pembelaan.

Tiga dokumen dipohon

Tiga dokumen yang dipohonnya itu adalah dokumen mesyuarat jemaah menteri, mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pengangkutan dan mesyuarat jawatankuasa jemaah menteri.

"Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, kami perlukan penjelasan takrif 'rahsia rasmi' dengan merujuk kepada tiga dokumen ini yang tergolong sebagai 'rahsia rasmi'. Saya perlu dokumen ini diklasifikasi untuk membolehkan pembelaan sewajarnya dibuat.

"Untuk sediakan pembelaan, saya juga telah memberitahu pendakwaan bahawa saya perlu menemubual saksi-saksi berkenaan dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif dengan kehadiran pegawai penyiasat," kata Wong sambil memohon satu tarikh sebutan awal dan singkat demi kepentingan awam memandangkan Ling pernah menjadi menteri.

Adalah dipercayai bahawa pihak pendakwaan sejak beberapa hari lalu telah menerima beberapa dokumen tetapi minit mesyuarat kabinet yang dikehendakinya itu tidak disertakan.

Wong juga memohon untuk menyoal beberapa saksi sebelum perbicaraan bermula di hadapan pegawai penyiasat.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak membantah kes itu ditetapkan sebagai kes sebutan tetapi bukanlah dalam tempoh yang singkat.

"Kami tidak membantah untuk tetapkan tarikh sebutan tetapi tidak mungkin pembelaan sendiri boleh buat jika tarikh yang singkat ditetapkan sebab untuk temubual saksi, pembela perlukan dokumen. Pendakwaan juga terlibat dalam kes PKFZ yang lain.

"Kami memohon akhir November ini untuk membolehkan pendakwaan meneliti permohonan yang kami terima pada 1 Sept (pindah kes ke Mahkamah Tinggi) agar pendakwaan menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Sebutan semula

“Kami akan kemukakan dokumen-dokumen yang dipohon pembelaan mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah. Akan terdapat dokumen lain yang akan diserah sebeum bicara" katanya.

Mengenai Akta Rahsia Rasmi yang dibangkitkan Wong, beliau berkata sekiranya pihak pembelaan akan menggunakan dokumen itu di mahkamah kelak, sudah pasti pihak pendakwaan akan menjelaskannya dan ia tidak menimbulkan sebarang isu.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 30 Nov untuk sebutan kes.

Pada 29 Julai lalu, Ling, 67, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu, di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002.

Mengikut pertuduhan utama, Ling dituduh memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah itu mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dan Lembaga Pelabuhan Klang.

Terma-terma berkenaan ialah:
  • luas tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki pesegi;
  • kadar pembelian tahan adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000;
  • tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600).

Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah tersebut mengikut terma-terma itu dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Oleh demikian, beliau dituduh dengan sengaja mendorong jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tahan tersebut yang mana jemaah menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada jemaah menteri.

Pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sehingga lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hadir bersama Ling di mahkamah ialah isterinya Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki mereka, Hee Leong dan Hee Keat.

Tiada ulasan: