Selasa, 5 Oktober 2010

BAGAIMANA JIKA ..PERKARA BEGINI DITEMPAT KITA

Isteri ahli perniagaan serah memorandum minta cepatkan siasatan


Jayanthi menyerahkan memorandum kepada Mohd. Zaki Abu Bakar bagi mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya di Bukit aman, kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Isteri seorang ahli perniagaan dari Banting hari ini menghantar memorandum meminta polis menyegerakan siasatan berhubung kehilangan suaminya yang didakwa mungkin ada kaitan dengan suspek pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

S. Jayanthy, 33, tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira 11 pagi dan menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman Cif Inspektor Mohd. Zaki Abu Bakar.

Jayanthy ketika ditemui berkata, beliau telah membuat dua laporan polis selepas suaminya S. Anpalagan, 43, tidak pulang ke rumah, bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas mengenai perkembangan kes itu.

"Laporan pertama dibuat pada 4 Ogos tahun lalu di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang manakala laporan kedua dibuat di Balai Polis Kuala Kubu Bharu pada 25 Februari lalu.

"Lebih setahun saya belum menerima sebarang berita mengenai suami saya," katanya.

Kelmarin, Jayanthy mengadakan sidang akhbar di Kapar, Klang memaklumkan mengenai kehilangan suaminya yang dipercayai berkait dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati bersama tiga lelaki.

Selain usahawan wanita itu yang hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu, dua ahli perniagaan termasuk seorang warga India turut dilaporkan hilang selepas berurusan di Banting.

Menurut Jayanthy lagi, selepas kehilangan suaminya, seorang individu yang mendakwa sebagai pembantu Anpalagan telah memintanya supaya menandatangani beberapa dokumen.

"Lelaki tersebut yang menamakan dirinya Rajasekaran mengatakan tanda tangan saya diperlukan atas kehendak suami saya.

"Dia memberi jaminan bahawa suami saya masih hidup namun saya terkejut apabila mendapati syarikat milik saya bertukar daripada Swiss Krishma Sdn. Bhd. kepada Beruntung Cattle Farm," ujarnya.

Katanya, Rajasekaran bersama dua rakannya telah membayar RM10,000 sebagai elaun kepadanya dalam tempoh tiga bulan selepas memperoleh tandatangannya.

Bagaimanapun, selepas kali terakhir menerima wang tersebut pada Mac lalu dia telah diminta supaya meninggalkan pejabat suaminya.

"Saya percaya Rajasekaran serta rakan-rakannya mengetahui keadaan sebenar suami saya memandangkan mereka memberitahu suami masih hidup.

"Saya mohon pihak polis agar menyiasat pemilikan semua harta benda suami saya yang dianggarkan mencecah sehingga RM2 juta," katanya.

Tambahnya, kemungkinan dokumen tersebut disediakan oleh seorang peguam yang mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan Sosilawati.

"Sebelum suami saya hilang ada penduduk dari Banting juga pernah melihat suspek pembunuhan Sosilawati bersamanya," katanya.

Anpalagan dikatakan memiliki tanah seluas empat ekar serta rumah banglo di pekan Banting selain mempunyai perniagaan gunting rambut atas nama IDEES Enterprise selain mengusahakan sebidang tanah yang dipajak seluas 430 hektar di Bukit Beruntung atas nama SKC Cattle.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis telah meminta wanita itu hadir di mana-mana balai polis bagi membolehkan pihak berkuasa merakamkan percakapan dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kehilangan suaminya



Azizan ugut mahu dedah nama

ALOR SETAR 4 Okt. - Isu kenaikan tarif air di negeri ini makin panas apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) pula mengugut akan mendedahkan nama-nama pihak yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian sehingga berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air.

Perkara itu disuarakan Azizan setelah beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam yang menyifatkannya memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sehingga 27 peratus.

Azizan berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak perlu menuding jari kepada beliau kerana hutang piutang yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri sekarang disebabkan oleh parti itu.

"Jangan tuding jari pada saya sebab hutang BN yang buat, lepas itu suruh saya bayar.

"Kalau pemimpin BN bising lagi saya akan beritahu saham mereka yang terlibat dalam syarikat yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung hutang rawatan air," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din mengumumkan tarif air di Kedah akan dinaikkan 27 peratus mulai Jumaat lalu bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

Kata Adzmi, tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1993 dan sepanjang 17 tahun itu semakan semula tarif air di Kedah tidak pernah dibuat.

Kenaikan tarif air ini mendapat bantahan banyak pihak kerana kenaikan itu dianggap membebankan rakyat Negeri Kedah.

Azizan mendakwa, kerajaan negeri kini terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana penswastaan air di Langkawi yang dibuat oleh kerajaan BN terdahulu.

"Syarikat Taliworks Sdn. Bhd. adalah syarikat yang mendapat kontrak merawat air di Langkawi namun kerajaan negeri terpaksa menanggung hutang yang besar akibat penswastaan ini.

"Untuk 2009, kerajaan terpaksa membayar RM39 juta kepada Taliworks sedangkan kutipan hanya RM14 juta dan ini bermakna kerajaan terpaksa tambah lagi RM25 juta kepada mereka," katanya.

Azizan berkata, beliau tidak tahu perjanjian apakah yang dibuat oleh pimpinan terdahulu dengan Taliworks yang menyaksikan hanya satu pihak yang mendapat keuntungan.

"Kontrak Taliworks dengan kerajaan negeri hanya akan tamat pada 2020 dan kita kini sedang berbincang dengan syarikat tersebut bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama.

"Jadi kepada pemimpin terdahulu jangan tegur saya kerana saya ada bukti siapa yang terlibat dalam syarikat ini dan hanya tunggu masa untuk dedahkannya," katanya



Azizan: BN punca tarif air naik di Kedah
Okt 5, 10 9:53am

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempertahankan pendiriannya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu berhubung kenaikan tarif air di negeri itu oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) mulai bulan ini.

Beliau mendakwa kerajaan BN sebelum ini adalah penyebab utama kerajaan negeri pimpinannya terpaksa menanggung beban hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM1.7 bilion.

"RM1.7 bilion itu meliputi keseluruhan hutang yang ditanggung kerajaan negeri melalui projek air, perumahan dan projek di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech, dan bukannya hutang projek bekalan air bersih," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Alor Setar, semalam.

Azizan mengulas kenyataan ketua pembangkang Kedah yang juga bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid Ahald lalu bahawa beliau cuba memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lalu.

Sebelum ini, beliau mendakwa kenaikan tarif air tersebut berpunca daripada penstrukturan semula industri air yang dilaksanakan kerajaan pusat pada 2006, bertujuan menyelesaikan pinjaman oleh kerajaan negeri berhubung bekalan air.

Pada sidang akhbar berkenaan, Azizan berkata kenaikan tarif air tersebut juga perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri terpaksa membayar kepada dua syarikat pengendali rawatan air di negeri itu, Taliworks Sdn Bhd dan Air Utara Indah Sdn Bhd.

"Di Langkawi, kerajaan terpaksa membelanjakan RM39 juta setahun untuk membayar kepada Taliworks. Namun kerajaan negeri hanya memperoleh RM14 juta sahaja kutipan daripada pengguna, dan kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM25 juta lagi bagi membiayai kos rawatan air yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

"Ia sama bagi Syarikat Air Utara Indah yang mengenakan caj sebanyak 18 sen bagi satu meter padu air, namun kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak 48 peratus ekoran air tidak sampai kepada pengguna 100 peratus," katanya.

Beliau berkata ini disebabkan masalah paip yang menyalurkan air ke kediaman rosak, dan sedang diperbaiki oleh kontraktor terbabit.

- Bernama

Tiada ulasan: