Sabtu, 23 Oktober 2010

PANDANGAN DARI BLOG2

Sekolah mengandung: Apabila nasihat ditolak, inilah akibatnya!
http://mutaligat.blogspot.com/

Apabila saya mengkritik pembukaan Sekolah Mengandung ramai pengampu Ali Rustam melenting menyatakan bahawa PAS hanya pandai mengkritik dan tidak berbuat apa-apa. Persoalannya sekarang siapa yang berkuasa di Melaka ini?

PAS sejak dari dahulu kini dan selama mencadang dan menasihatkan kerajaan negeri supaya menutup semua pusat maksiat dan menghentikan program maksiat supaya punca-punca maksiat ini dapat dikurang dan dibasmikan.

Kerajaan negeri Melaka yang mentadbir dan menguasai negeri mempunyai kuasa untuk menutup semua pusat maksiat seperti kelab malam, pub, rumah urut, pusat pelacuran, night club, dangdut, Spa dan sebagainya. Selain itu program-program maksiat yang melibatkan percampuran dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan mesti dihentikan serta merta.

Pada masa yang sama kerajaan negeri mesti memperbanyakkan kelas-kelas pengajian agama di masjid dan surau, memperbanyakkan sekolah agama, menambah peruntukan untuk progam agama Islam dalam bajet negeri dan sebagainya.

Namun semua nasihat dan cadangan yang kita ajukan ditolak mentah-mentah malah kerajaan negeri menggalakkan pula program-program maksiat di negeri ini.

Cuba tuan-puan melawat Taman Melaka Raya pada malam hari .......sudah pasti tuan-puan akan melihat ianya bagaikan tempat pesta maksiat yang tidak kawal. Hotel-hotel murah yang menjadi tempat melampias nafsu tumbuh bagaikan cendawan tumbuh. Itu semua menjadi tempat maksiat dan zina yang sesetengahnya melahirkan anak luar nikah.....

PAS yang tidak mempunyai kuasa di negeri Melaka ini sememangnya hanya pandai bercakap dan menasihat sahaja kerana kami tidak ada kuasa. Namun kita hendaklah merujuk kepada Hadis Nabi....Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan kuasa, Jika tiada kuasa cegahlah dengan lisan, jika tidak berkuasa dengan lisan bencilah dalam hati....itu adalah selemah-lemah iman.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan



100 tingkat beza dengan 100 keluarga

http://dragsuperstar.blogspot.com

Najib dengan angkuh mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga - keluarga miskin yang berada di negeri - negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri - negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam - macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga - keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan lain - lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket kami semakin kering. Jika benar Belanjawan ini untuk rakyat, salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji. Ini bukan mental subsidi, tapi sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang memikirkan masalah rakyat. Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya - raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerananya semua sudah mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik - klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka. Kita orang bandar jangan angkuh. Sila lihat apa yang terjadi kepada saudara - mara kita yang berada di kampung. Baik yang Melayu, Cina, India, Iban dan lain - lain.

5 Billion jika disalurkan kepada 100 orang keluarga yang susah. Sudah pasti nilainya lebih bermakna daripada bangunan 100 tingkat. Bangunan yang boleh dibina kemudian hari. Yang penting adalah rakyat. Rakyat yang menjadi aset penting kepada negara. Tanpa rakyat hilanglah Malaysia. Tanpa rakyat siapalah Rosmah?

Malu jika sebuah kerajaan negeri mampu memberi pelbagai bantuan. Kerajaan pusat sepatutnya mampu buat lebih daripada itu.

Buat rakyat Malaysia yang punya otak dan akal. Berfikirlah dengan baik. Kita sebagai rakyat Malaysia semakin terdesak. Kita semakin kurang duitnya dalam poket kita. Apa yang perlu kita buat. Ubah sebelum parah!



BN di persimpangan, Najib mula goyah?
http://kalamperantau.wordpress.com

Barisan Nasional (BN) yang dibentuk menjelang pilahanraya umum 1974 ekoran kegagalan perikatan UMNO-MCA-MIC kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 dilihat begitu sukar untuk ditumbangkan kerana mempunyai semua kekuatan sebagai sebuah perikatan parti-parti politik pemerintah yang gagal disaingi oleh pembangkang.

Beberapa percubaan telah dilakukan untuk menggugat BN dalam beberapa siri pilihanraya umum sebelum ini. Percubaan pada pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990 sehinggakan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebuah komponen BN yang memerintah Sabah ketika itu sanggup keluar BN untuk bersama dengan Gagasan Rakyat yang ditaja oleh Tengku Razaleigh Hamzah (pembangkang melalui Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) ketika itu begitu mencemaskan.

Tetapi cabaran Tengku Razaleigh yang membentuk Gagasan Rakyat (PMS46-DAP-IPF dan PBS) dan Angkatan Perpaduan Ummah (PMS46-PAS-Berjasa-Hamim) tidak cukup kuat untuk menumbangkan dan mencabut ‘hayat’ politik BN sebagai peneraju politik Malaysia. Hanya Kelantan sahaja yang mampu disapu bersih oleh APU. Tiada satu kerusi pun yang mampu dimenangi oleh BN.

Selepas itu BN mampu bangkit semula dalam pilihanraya umum ke-9 pada tahun 1995 dan seterusnya PMS46 dibubarkan selepas itu untuk bersatu dengan UMNO semula. Gagasan pembangkang bersatu pun berkubur dengan berkuburnya PMS46. Walaubagaimanapun APU tinggal PAS, Berjasa dan Hamim hanya mampu bertahan di Kelantan sahaja.

Tetapi dengan kembalinya Ku Li dan rakannya, sekali UMNO sekali lagi tergugat dengan pemecatan Anwar Ibrahim pula pada tahun 1998. Sekali lagi momentum politik meningkat semula khususnya dikalangan orang-orang Melayu. Satu parti baru dikenali, Parti Keadilan Nasional (keADILan) dibentuk bagi menenuhi keperluan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim.

Sekali lagi gagasan pembangkang yang baru dikenali Barisan Alternatif (BA) oleh keADILan-PAS-DAP-PRM pula dibentuk menjelang pilihanraya umum ke-10 pada tahun 1999. Keputusannya menyebabkan BN khususnya UMNO telah kehilangan pula Terengganu disamping Kelantan yang terus berada ditangan PAS.

Malah Kedah pun mula tergugat bila BN gagal mendapat majoriti dua pertiga. Tetapi keadaan ini tidak lama, DAP yang kurang berjaya dalam pilihanraya umum ke-10 meninggalkan BA dengan menjadikan PAS sebagai ‘kambing hitam’ dengan isu Hudud dan Negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Sekali lagi BN berjaya cemerlang dalam pilihanraya umum ke-11 pada 2004 dibawah pimpinan baru, Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Aura Pak Lah hampir-hampir berjaya menyisih PAS dari terus menerajui Kelantan dengan hanya kelebihan tiga kerusi sahaja. Kemudiannya tinggal majority satu kerusi sahaja selepas PAS tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Ketika berada diambang keseronokan dengan kemenangan paling besar dalam sejarah, BN mula lupa diri menyebabkan mereka hampir-hampir kecundang dalam pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008. Mereka gagal mendapat majority 2/3 diparlimen dan kehilangan 5 negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan kepada BA (PKR-PAS) dan DAP dalam satu pertandingan satu lawan satu. Tetapi Perak dirampas semula BN dalam satu operasi rampasan kuasa setahun selepas itu.

Sejak itu, PKR-DAP-PAS membentuk Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah negeri-negeri yang dimenangi oleh pembangkang selain Kelantan. Kemudiannya dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang diadakan selepas PRU ke-12, PR dan BN masing-masing berjaya mengekalkan kerusi masing-masing kecuali Kuala Terengganu dan Hulu Selangor serta Sibu (Sarawak). Kuala Terengganu jatuh ketangan PAS (PR) dan Hulu Selangor pula kembali kepada BN (MIC). DAP (PR) berjaya merampas kerusi BN (SUPP) di Sarawak. Lain-lain kerusi adalah status quo kepada parti yang memenanginya dalam PRU ke-12 lalu.

PR begitu ghairah untuk menawan Putrajaya dalama PRU ke-13 nanti menyebab Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berada dalam zon selesa walaupun projek 16 September untuk membentuk kerajaan baru melalui satu gabungan atau perikatan PR dengan anggota BN yang berpaling tadah gagal. Ramai yang meramalkan Najib masih teragak-agak sama ada membubarkan parlimen serentak dengan pilihanraya Negeri Sarawak atau membiarkan parlimen dibuabarkan selepas keputusan pilihanraya Sarawak diketahui.

BN di ambang kehancuran?

Dalam keadaan sekarang, PR mula berpadu untuk menumbangkan BN walaupun dihadapkan dengan berbagai isu yang dicipta untuk meretakkan pakatan ini. Sebaliknya parti-parti BN pula mula goyah dan hilang keyakinan kepada BN dan UMNO.

Bukan rahsia lagi MCA tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN. Begitu juga dengan Gerakan yang tidak senang dengan perkembangan terkini BN. Malah MIC pun boleh meninggalkan BN jika UMNO banyak mencampuri urusan dalam parti tersebut. Lebih-lebih lagi tindakan UMNO mengambil Kongres India Muslim (KIMMA) yang tidak dipersetujui oleh MIC menyertai BN sejak sekian lama sebagai “sayapnya” baru UMNO.

Di Sabah, Sabah Progressif Party (SAPP) telah meninggalkan BN selepas pilihanraya umum ke-12. Kini Liberal Demokratik Party (LDP) juga sedang berkira-kira meninggalkan BN setelah pimpinannya hilang keyakinan dan tidak dapat bekerjasama dengan Musa Aman, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi BN Negeri Sabah.

Begitu juga di Sarawak, SUPP antara komponen tertua yang bersama mengasaskan BN dulu dilaporkan berkira-kira untuk meninggalkan BN Negeri Sarawak untuk membentuk kerjasama dengan Sarawak Nasional Party (SNAP) bagi menghadapi pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Perkara ini bukan perkara baru dalam politik Sarawak. Pernah dalam tahun 1980-an dulu, Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) keluar dari BN Negeri Sarawak bekerjasama PERMAS pimpinan Tun Rahman Yaakob memberikan tentang yang sengit kepada BN dalam politik Sarawak. Tetapi selepas beberapa pilihanraya, PBDS kembali semula kepada BN Negeri Sarawak sehinggalah dibubarkan beberapa tahun yang lepas selepas Datuk Leo Moggie bersara dari politik.

Sejak tahun pilihanraya 1996, SUPP telah kehilangan kerusi kepada DAP khususnya dikawasan majoriti Cina di kawasan bandar (Meradong, Bukit Assek, dan Kidurong). Selain DAP menang 3 kerusi, BN juga turut kehilangan dua lagi kerusi kepada Bebas pilihanraya tersebut, BN masih utuh dengan memenangi 57 kerusi di DUN Sarawak.

Kemudian pada pilihan raya negeri 2001 BN meraih kemenangan besar daripada 62 kerusi yang dipertandingkan. Parti Keadilan Nasional (KeADILan), dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) buat kali pertama bertanding dalam pilihanraya Negeri Sarawak. KeADILAN dan PAS tidak memenangi apa-apa kerusi. Ketika itu pembangkang hanya memenangi 2 kerusi, iaitu masing-masing satu DAP dan satu bebas.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak 2006 pula berlaku sedikit anjakan senario politik di Sarawak, pabila pihak pembangkang SNAP, KeADILan dan DAP berjaya membentuk kerjasama melalui Barisan Bersatu Sarawak. Sementara PAS hanya menjalin kerjasama dengan KeADILan dan bertanding di satu kerusi sahaja, iaitu DUN Beting Maro dalam parlimen Batang Lupar.

Dalam pilihanraya ini, dominasi BN di Sarawak mula goyah. DAP menang lima kerusi (Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan Kindurong), KeADILan pula menang kerusi Padungan) dan SNAP kerusi Engkili. Dengan kemenangan DAP di Parlimen Sibu baru-baru ini, momentum untuk menumbangkan BN di Sarawak makin tinggi.

Perkembangan ini sedang dibuat analisa bukan sahaja oleh parti-parti pembangkang, malah oleh komponen BN Sarawak sendiri. Bagi mereka ini peluang untuk mengurangkan cengkaman PBB dan Taib Mahmud sendiri keatas politik Sarawak yang sudah berakar umbi sekian lama. Dengan perkembangan politik semasa, mampukah BN Sarawak ditumbangkan?



Mata memandang hati memerhati

http://msomelayu.blogspot.com/

TEKTIK propaganda Umno - apa saja mereka bangunkan projek tidak kira, sekolah, bangunan, masjid, jambatan ataupun jamban tahi maka akan ditunjukkan kepada umum. Satu signboard gergasi akan dibangunkan di sisi projek berkenaan dengan tulisan terang berbunyi; Projek Kerajaan Persekutuan guna untuk bersohor kepada rakyat kononnya mereka sajalah mengambil berat hal ehwal rakyat.

Mungkin kalau Umno tidak berbuat begitu orang tidak tahu yang projek itu dibangunkan oleh mereka. Bagi UBN mereka beranggapan rakyat negara ini masih buta huruf dan buta akal fikiran tidak tahu bahawa segala projek di negara ini dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan yang ditunjungi UBN makanya ia kena ditonjolkan pada papan tanda. Mereka beranggapan rakyat belum memahamai sistem demokrai dan pentadbiran.

Di Jepun dan Amrika Syarikat serta Arab Saudia tidak pula ditulis pemakluman demikian di mana-mana projek yang dibangunkan. Malahan di Kelantan negeri yang sebesar mangkuk bubur itu pun tidak apa-apa projek dibangunkan untuk faedah rakyat ditulis sebagai projek kerajaan Negeri Kelantan. Kerajaan Kelantan tidak pun bersohor kepada rakyat.

Inilah bezanya antara kerajaan yang cerdik dan kerajaan yang terdesak yang sudah merasai apa saja sumbangan mereka kepada rakyat tidak diterima seadanya. Rakyat tidak akan membalas projek itu dengan terus memberi sokongan kepada mereka. Sebenarnya apa yang dilakukan kerajaan UBN ini satu penyakit jiwa. Kalau mereka yang rakyat menerima baik papantanda demikian tidak diperlukan lagi.

Sejauh itu sajalah IQ politik Umno. Semua benda dan semua perkara dieksploitkan untuk kepentingan politik. Walhal membangun apa-apa projek untuk kepentingan dan kemudahan rakyat adalah tanggungjawab dan fungsi sesebuah kerajaan yang tidak perlu disohorkan kepada rakyat. Sesiapa yang menerajui kerajaan Persekutuan menjadi tanggungjawabnya membangunkan negara tanpa perlu dihebuhkan. Tetapi kerana tahap politiknya masih rendah maka ia disohorkan demikian rupa.

Salah satu projek BN ialah membina - (sebenarnya menaikan taraf) taman rekreasi di Sungai Sam yang terletak di Jalan Kuala Krai - Gua Musang di persimpangan ke Dabong. Tercakung papan tanda yang memaklumkan projek berkenaan yang ianya di bangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan bersama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan. Projek itu adalah peruntukan dari RMK 9.

Adalah di situ sebuah surau yang boleh memuatkan 50 jemaah, sebuah wakaf dan bangku tempat berihat. Turut juga disediakan sebuah jamban. Jika dikira kesemua kos projek itu tidak pun sampai RM100 ribut tetapi papan tandanya hebat seolah-olah projek itu melebihi RM10 juta.

Menurut apa yang tercatat di papan tanda projek itu masuk tapak (mula kerja) Ogos 2009 dan dijangka siap pada Oktober 2009, dua bulan. Memang pun wajar sebab ianya kecil sebesar tahi mata saja. Nama kontrek juga dicatat disitu.

Walaupun tempoh penyempurnaanya sudah sampai, namun sampai kini ianya masih belum sempurna. Sudah hampir setahun masih belum dapat digunakan sepenuhnya. Jamban tidak boleh digunakan. Pintunya dipalang. Kemudahan air paip juga tidak berfungsi. Paip ada, air tak dak. Ada kepala paip sudah jatuh terkulai, macam kepala pejuang Melayu kena pancung dek Jepun disebabkan kejahatan brua Jepun dari bangsa Melayu.

Begitu juga dengan kemudahan eleterik untuk kemudahan surau. Pendawaianya masih belum selesai. Keadaan dalam surau lebih kurang macam kambing kambing saja. Sejadah berselerakkan. Persekitaran juga kotor dan berbau.

Persoalanya kenapa walaupun ianya sudah lama siap tetapi taman rekreasi itu belum sempurna? Apa sebab dan dimanakah kesalahannya?

Apakah kontraktor tidak dapat menyiapkan kerana ketiadaan wang? Ataupun sebahagian besar wangnya sudah disapu menyebabkan ia tidak sempat disempurnakan. Untuk menyiapkan ia memerlukan projek tambahan dari Rancangan Malaysia Ke-10?

Kalau kemungkinan ini berlaku keadaan itu ia tidak menghairankan kerana itulah fenomena yang berlaku dalam negara ini. Projek bukan saja tebengkalai, rosak dan roboh tetapi ada yang hanya ada papan tanda saja tetapi projek tidak menjadi langsung.

Ada juga projek yang kehabisan wang dan ditambah berkali-kali atau diadakan retender, tetapi tidak juga siap. Kenapa jadi begitu kerana wang disalah gunakan. Wang untuk menyiapkan projek melayang ke poket orang lain ataupun disonglap untuk biasa aktiviti politik. Para kontraktor yang selalu berurusan untuk mendapat apa-apa tander kerajaan Persekutuan (UBN) faham sangat mengenai hal ini kerana banyak sangat pengutip tol haram yang dihalalkan di tengah jalan.

Mungkin juga projek menaikkan taraf taman rekreasi Sungai Sam itu menjadi mangsa akan berbobrakan itu menyebabkan walaupun ianya sudah dianggap siap tetapi masih belum digunakan. Dipercayai bukan saja projek taman rekreasi itu saja tetapi projek-projek lain juga menjadi mangsa sama.

Semua kerja itu adalah projek hendak tipu dan pedayakan rakyat. Itulah sebahagian daripada bentuk siasah negara ini. Kerenah dan kebusukan inilah yang cuba hendak diatasi Najib Razak yang sampai kini masih belum berjaya. Bukan begitu Mat? Mat Maslan juga tentu suka kerana papan tanda koridor depu juga sudah roboh!


Fikh Kerahsiaan Wanita menjawab permasalahan Muslimah

Harakahdaily

Buku "Fikh Kerahsiaan Wanita" karangan ulama' besar Mesir, Profesor Dr. Saadudin Mus'ad Hilali adalah sangat penting dibaca dan dimiliki oleh individu Muslim terutamanya golongan wanita.

Buku yang membincangkan hukum-hakam yang melibatkan alat sulit wanita ini bermula dari masalah keputihan, khatan, hinggalah masalah rogol. Di mana ini adalah antara perkara yang mengundang rasa malu di kalangan wanita untuk bertanya. Maka buku ini menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Buku yang ditulis berdasarkan lima mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali dan Zahiri) membuka ruang yang luas kepada wanita Muslim Malaysia untuk beramal dengan pendapat mazhab-mazhab Islam sekiranya mereka berasa sulit untuk beramal dengan mazhab Syafie yang menjadi mazhab utama di Malaysia.

Maka dengan keluaran buku ini, ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi wanita kini. InsyaAllah.

Buku ini sudah boleh didapati di pasaran pada harga RM 20(Sem. Malaysia) dan RM 22(Sabah/Sarawak).

Dapatkan di gedung MPH berdekatan atau hubungi Pelima Media 03-89267746.



Bajet pinggir siswa, kebejatan sosial tanpa penghujung
http://persadakini.blogspot.com

Dengan segala masalah sosial yang kritikal melanda masyarakat sekarang, saya mewakili suara dan pandangan anak muda mahasiswa, amat geram, kecewa, sedih dan marah bila mana beberapa orang pimpinan kerajaan dan parti politik, membuat kenyataan membantah konsert Adam Lambert yang mana ianya dipandang sebagai suatu tindakan yang ekstrim. Bukanlah hanya kerana ianya datang dari mulut pimpinan Barisan Nasional, akan tetapi ianya lebih menyedihkan bila mana ianya keluar dari mulut salah seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sendiri.

Demostrasi secara aman tersebut yang disertai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan penyertaan ahli-ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), yang mewakili mahasiswa dari pelbagai kampus, adalah bagi membuka minda masyarakat, betapa penerapan dan pengaruh nilai-nilai budaya songsang yang sememangnya wajib dibendung. Jika tidak dibendung, dikhuatiri dan amat dibimbangi ianya akan melarat seterusnya menjadi ikutan dan budaya masyarakat kita pula. Sebelum ianya membarah dalam masyarakat, biarlah ianya dicegah sebelum terlambat.

Saya tidak mahu memfokuskan sama ada Pemuda Pas atau Pemuda Umno sekalipun yang membuat bantahan terhadap konsert tersebut, sudah semestinya sebagai mahasiswa yang boleh berfikir secara matang, akan menyokong sepenuhnya bantahan tersebut, kerana dengan penganjuran konsert tersebut, ianya sebenarnya lebih membuka ruang ke arah keburukan berbanding kebaikan. Jika tidak, mana mungkin mahasiswa yang berada bawah payungan GAMIS mahu menyertai bantahan tersebut secara konsisten, dengan penyerahan memo sebelum ini dan sebagainya, berkaitan dengan konsert ini.

Agak kurang bijak bagi seorang yang ‘menjaga’ hal ehwal kementerian pelajaran, bertindak mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Beliau menyatakan bantahan konsert Adam Lambert ini menjadikan PAS sebuah parti ekstrim. Menolak dan mengekang budaya serta budata ‘gay’ dikatakan ekstrim? Lihatlah dan nilailah sendiri mentaliti seorang timbalan menteri pelajaran di negara kita. Inikah yang kita harapkan untuk membentuk dan menjaga sistem pendidikan di negara ini??

Ya, mungkin beliau mengeluarkan kenyataan tersebut atas kapasiti beliau sebagai pimpinan Pemuda MCA, namun perlu diingat kesan kenyataan yang keluar dari beliau itu datangnya dari batang tubuh seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada masa yang sama, bukannya beliau dari kementerian kebudayaan dan kesenian sebagai contohnya. Sedangkan jika kita fahami, ini bukanlah masalah yang melibatkan parti politik semata-mata, akan tetapi ianya masalah masyarakat dan negara.

Kita mahu generasi anak muda kita, tidak terpengaruh dengan anasir-anasir barat seperti itu. Setiap agama juga menekankan kepentingan menjaga adab dan moral dalam penghayatan agama masing-masing. Kita mahu anak muda dan belia mempunyai jati diri, berakhlak, bermoral tinggi, dan bukannya mengambil contoh teladan dari mana-mana personaliti luar negara yang mengamalkan gaya hidup dan norma yang songsang.

Cukuplah dengan masalah pembuangan bayi yang makin membarah, gengsterisme perkauman, meragut, merogol, merompak dan membunuh, yang sudah melanda negara kini. Jangan ditambah lagi penyakit masyarakat bila mana kerajaan sendiri yang menyediakan medium dan ruang yang banyak ke arah kebejatan sosial tersebut.

Mahasiswa menuntut kerajaan memandang serius perkara ini, jangan dibuat atas kepentingan politik pihak-pihak tertentu sahaja! Sudahlah PTPTN dan AUKU yang masih menghantui mahasiswa, termimpi-mimpi bajet mahu berikan mahasiswa hadiah berupa bantuan biasiswa, elaun atau yang seumpama dengannya, seperti mana yang terselit dalam peruntukan perlembagaan.

Terutama sekali bagi pelajar dan mahasiswa yang datangnya dari keluarga latar belakangnya sederhana dan tidak berkemampuan, tiadakah bantuan atau peruntukan sedikit buat mereka, tambahan pula dengan keuntungan PETRONAS yang semakin bertambah setiap tahun, namun mimpi tersebut ternyata indahnya sekejap cuma! Bila tersedar, ianya hanyalah sekadar sebuah mimpi. Harapan dan perubahan, hanyalah mimpi kosong!! Bajet meminggirkan mahasiswa, kebejatan sosial pula tiada penghujungnya!


Tiada ulasan: