Putrajaya: Sampai masa Ku Nan berundur
| Hasnol Bin Harun , | 14 Apr 2013 |
Setelah
Presiden PAS mengumumkan calon untuk kerusi Parlimen P125 Putrajaya
ialah Datuk Husam Musa, keretakan Umno Bahagian Putrajaya semakin parah.
Bukan sahaja dengan ketokohan yang ada pada Husam, tetapi Umno Putrajaya sendiri mengalami pertembungan yang cukup kuat sejak 2 tahun yang lepas.
Sejak akhir tahun 2011 lagi, peringkat akar umbi mula berbicara soal tampuk kepimpinan Tengku Adnan (gambar) di Putrajaya. Ia berikutan cakap-cakap umum khususnya pengundi di Putrajaya berkenaan keperibadian yang ada pada Tengku Adnan (Ku Nan).
Kita juga turut melahirkan kekesalan berhubung rekod saham judi yang dipegang oleh Ku Nan melalui syarikatnya Cimsec Nominees sebanyak 3.5 Juta dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sport Toto.
Ku Nan juga pernah mencatatkan kisah pilu buat umat Islam apabila berusaha bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk memeliki saham dalam Bukit Tinggi resort Berhad milik penuh Vincent Tan yang bergiat aktif dalam kegiatan berjudi “mesin”.
Ini juga termasuklah cadangan jahil yang dilontarkan oleh Ku Nan kepada kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menambah tempoh masa operasi Pusat hiburan hingga jam 5 pagi.
Sampai masanya untuk Ku Nan berundur, kami memerlukan pemimpin yang benar- benar dapat membela jatidiri melayu dalam erti kata yang sebenar. Ada beberapa nama yang menjadi perbualan di peringkat akar umbi yang dilihat bersih dan sangat dekat di hati penduduk apatahlagi pengundi Putrajaya.
Nama yang biasa disebut dan sangat sinonim dengan penduduk Putrajaya ialah Tan Sri Aseh Che Mat. Seorang tokoh yang mungkin tidak dikenali oleh masyarakat luar Bandar, tetapi inilah nama yang dilihat sangat sesuai bagi membawa hasrat warga putrajaya.
Berbekalkan pengalaman yang luas sebagai bekas setiausaha di Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh kini menjawat sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang sangat mengetahui segenap inci bumi Putrajaya, apatahlagi denyut nadi rakyat. Berdepan dengan seorang tokoh kebanggaan PAS, Datuk Husam, Umno memerlukan calon yang benar-benar bersih juga lebih dekat dengan rakyat.
Tan Sri Aseh bukanlah muka baru dalam pentadbiran kerajaan. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Perbendaharaan Malaysia pada Mac 1974 dan kemudian berpindah ke Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.
Setelah kembali dari belajar di Amerika Syarikat dalam Sarjana Pentadbiran Awam ,beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Hak Ehwal Polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Timbalan Ketua Pengarah Imigresen pada Disember 1995, seterusnya menjadi Ketua Pengarah Imigresen pada tahun 1998.
Jasa besar Tan Sri Aseh khususnya kepada parti sendiri anataranya ialah dengan menubuhkan Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) pada tahun 2009 yang secara langusng bertujuan memastikan kelansungan gerak kerja parti walupun telah bersara daripada kakitangan awam.
Anak beliau, Datuk Muhamad Khairun Bin Aseh
juga sangat aktif menggerakkan Umno bahagian Putrajaya. Betan beliau telah mengabdikan diri sedaya upaya dalam menggerakkan Umno khususnya bagi mengekalkan kemenangan Umno di Putrajaya.
Inilah suara akar umbi yang secara jujurnya telah muak dan bosan dengan nama Tengku Adnan. Selari dengan transformasi Perdana Menteri yang telah sedaya upaya memastikan penguasaan Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia dengan menonjolkan tokoh yang benar-benar berintegriti dan bermoral, Tan Sri Aseh adalah individu yang selayaknya.
Jika ditanya dimana pula hendak diletakkan Tengku Adnan, cukuplah sekadar mengisi kekosongan kerani di pejabat Umno Bahagian.
(Penulis adalah AJK Umno Bahagian Putrajaya)
Dr Hamzah, Yohanis, Zakhwan calon PAS di Jerantut
| Khairil Abdul Rahim, | 14 Apr 2013 |

(Yuhanis, Dr Hamzah dan Zakhwan calon-calon PAS di Jerantut)
JERANTUT: PAS Jerantut mencipta sejarah apabila menampilkan tiga calonnya terdiri daripada lulusan Timur Tengah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk dua muka baru.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam ceramah di Bandar Baru Inderapura, di sini semalam, mengumumkan Dr Hamzah Jaafar, 48, bertanding di Parlimen Jerantut.
Manakala calon muda PAS Yohanis Ahmad, 35, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar dan Mohd Zakhwan Ahmad Badaruddin, 34, menggalas cabaran di Dun Tahan.
Yohanis ialah anak kelahiran Kampung Kedondong, Pulau Tawar itu merupakan lulusan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al Azhar, Mesir merupakan pengurus pentadbiran sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
Sementara Zakhwan merupakan pendakwah bebas berasal dari Kampung Lada, Jerantut Feri dan berlulusan ijazah sarjana dari sebuah universiti di Yaman.
Kedua-duanya membuat penampilan sulung pada PRU kali ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah yang juga seorang usahawan, diberi kepercayaan kali ketiga untuk bertanding di Parlimen Jerantut.
Beliau merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Sarjana Pengajian Islam Universiti Malaya dan memiliki Ijazah, Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan Sunnah dari Universiti Colombo.
Manakala bagi satu lagi kerusi iaitu Dun Damak, Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) masih lagi memperincikan dua calon daripada DAP dan PKR.
Menarik perhatian, bekas Ahli Parlimen Jerantut Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dari BN telah mengisytiharkan tidak akan bertanding pada PRU kali ini membuatkan peluang Dr Hamzah cerah untuk menang.
Pada PRU lepas Tengku Azlan hanya menang tipis iaitu 1,946 undi. Beliau mendapat 19,543 undi manakala Dr Hamzah 17,597.
Bagi dua bekas Adun BN Pulau Tawar dan Tahan pula dilaporkan mempunyai peluang samar-samar unduk dicalonkan semula.
Berikut ialah keputusan N.9 Tahan dalam PRU 12:
Wan Amizan Wan Abd Razak (BN) 5,112 undi, Nuridah Salleh (PAS) 3,755 (majoriti 3,755).
N.11 Pulau Tawar:
Ishak A.Ghani (PAS) 5,426 undi, Dr Ahmad Shukri Ismail(BN) 8,720 (majoriti 3,294).
Manifesto: Najib wajar terima jemputan Bersih
| Harakahdaily, | 14 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, digesa agar menyahut
jemputan yang ditawarkan Bersih 2.0 untuk membentangkan manifesto BN.Ia bagi membuktikan Najib bersedia berhadapan dengan khalayak, bukan hanya di kaca televisyen media perdana semata-mata.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata tawaran itu datangnya dari sebuah badan aktivis pilihan raya yang berprestij yang bersedia menjadi moderator pada program tersebut.
"Dalam menyuburkan demokrasi ini, Najib perlu menyahut tawaran itu kerana budaya itu budaya sihat yang perlu diamalkan di negara kita.
"Jangan hanya bercakap di televisyen, tetapi tidak berani di khalayak. Sesekali perlu berada di gelanggang yang lain. Jangan hanya menjadi jaguh kampung," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau
berpandangan, penganjuran oleh Bersih itu memang sewajarnya disambut
baik, lebih-lebih lagi apabila ia turut menjemput Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan sama.Minggu lalu, Bersih bertindak menjemput kedua-dua pemimpin tersebut untuk membentangkan manifesto masing-masing dalam satu majlis yang akan diadakan 17 April ini, di Dewan Perhimpunan Cina.
Bagaimanapun, Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga berkata pihaknya belum mendapat sebarang jawapan daripada Najib, manakala Anwar bersedia untuk berbuat demikian.
Menurut Ambiga, format pembentangan pada majlis itu akan dibincangkan kemudian bagi memastikan ia akan memberi ruang yang lebih adil untuk kedua-dua pihak.
Majlis itu, tambah Ambiga akan tetap diteruskan apapun jawapan yang diberikan Najib kelak.
Pengedaran bahan lucah terus dibantah
| Hazayani Zakaria, | 14 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kesal terhadap tindakan pihak tertentu menjadikan bahan lucah sebagai modal berkempen.Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) berkata, budaya lucah sebegini harus dihentikan kerana akan menjejaskan persekitaran dan pemikiran masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja.
"Sebagai seorang wanita dan seorang ibu, saya berasa sangat malu dan marah terhadap pihak yang menjadikan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral sebagai modal kempen.
"Maruah wanita dieksploitasi, masa depan anak-anak diperjudi. Hentikan budaya jijik ini demi maruah kaum wanita dan masa depan anak-anak kita," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara
itu, badan bukan kerajaan (NGO) Mursyid menyeru masyarakat untuk
mengeji dan mengelakkan diri dari menyokong sebarang usaha meraih undi
melalui penyebaran gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral
sama ada melibatkan ahli atau pemimpin dari mana-mana parti sekalipun.Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, semua pihak tidak wajar menyebarkan sebarang bahan-bahan sedemikian walaupun ia adalah benar.
"Dilarang juga menyebarluaskan video dan gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Hal ini terpakai kepada seluruh warga Malaysia dari semua parti dan bangsa," katanya.
Murshid merupakan NGO yang terdiri daripada kumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam.
Kenapa tiada bendera PAS di Putrajaya?
| Salmiyah Harun, | 14 Apr 2013 |

(Anggota Unit Amal PAS mencabut balik bendera yang dipasang sebaik sahaja selesai program, jika tidak ia akan dibuang pihak lain)
PUTRAJAYA: Ketika kawasan lain sedang rancak berperang bendera menjelang pilihan raya umum Mei ini, namun suasana ini tidak dapat dirasai di P.125 Putrajaya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah BN sahaja yang bertanding di parlimen Putrajaya memandangkan hanya bendera BN sahaja yang memenuhi pusat pentadbiran kerajaan itu.
Dalam tinjauan Harakahdaily, baru-baru ini sebaik sahaja Datuk Husam Musa dicalonkan sebagai calon PAS Putrajaya, mendapati di sepanjang jalan Persiaran Putrajaya dipenuhi bendera BN, tidak sehelai pun terdapat bendera PAS.
Malah Harakahdaily turut menerima mesej 'WhatsApp' daripada warga Putrajaya yang menanyakan sama ada PAS bertanding atau tidak di sana.
"PAS bertanding ke di Putrajaya, satu bendera pun tak ada? Bendera perlu naikkan semangat," ujar salah seorang pengundi di sana.
Ketika menghadiri liputan kempen pertama Husam di Presint 18 Khamis lalu, laluan ke tempat ceramah dipenuhi dengan bendera PAS yang diselang seli dengan bendera BN.
Bagaimanapun, selesai sahaja program itu kira-kira jam 11.30 malam kelihatan petugas Unit Amal PAS sedang mencabut dan menggulung semula kesemua bendera itu.
Harakahdaily, cuba mendapat penjelasan mengapa mereka menggulung semua bendera PAS kerana pilihan raya semakin hampir dan bendera itu diperlukan kerana PAS pun turut bertanding di situ.
Menurut petugas Unit Amal, mereka perlu berbuat demikian kerana ada sesetengah pihak yang tidak menyenangi kebangkitan PAS di Putrajaya lebih-lebih lagi apabila PAS meletakkan Husam di kota pentadbiran itu.
"Kalau kami pacak bendera PAS jam tiga pagi, jam empat pagi mereka datang cabut bendera PAS. Kami sayangkan bendera ini. Bila ada program PAS baru kami pacak, habis sahaja program kami cabut simpan. Begitulah rutin kami mungkin sampai pilihan raya.
"Malah kami pernah diberi amaran, jangan sekali-kali pacak bendera PAS," kata salah seorang petugas Unit Amal yang ditemui.
Namun, bendera bukanlah bahan kempen utama kerana PAS Putrajaya bersama Husam mempunyai strategi dan pendekatan yang tersendiri bagaimana hendak menawan hati pengundi Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan