Rabu, 10 April 2013

DIA BAGUS DIA BOLEH....ORANG LAIN TAK BAGUS DAN TAK BOLEH....MACAMLAH RAKYAT TAK TAHU SAPE KAKI KELENTUNG

Presiden PAS ulangi rela jadi khadam rakyat

Muhammad Faizal, 09 Apr 2013

(Ustaz Hadi ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media selepas bicara Sinar semalam)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang mengulangi pendirian beliau yang rela menjadi khadam rakyat dan bersedia menjadi nelayan asalkan kebajikan rakyat terus terbela di bawah Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan ketika sidang media sejurus selesai program Bicara Minda, Negara Berkebajikan: Persepsi atau Realiti anjuran akhbar Sinar Harian semalam.

"Saya rela menjadi khadam kepada rakyat, bersedia untuk balik kampung menjadi nelayan asalkan rakyat terbela kebajikannya di bawah Pakatan Rakyat.

"Siapa juga calon itu bukan perkara besar tetapi ia mestilah beragama Islam dan mengikut perlembagaan persekutuan serta mendapat mandat rakyat," kata beliau.

Hadi yang turut memberitahu beliau tidak boleh mendahului adat selagi hak belum ditentukan oleh kuasa rakyat untuk memilih.

"Isu saya sebagai Perdana Menteri itu tidak perlu ditimbulkan, saya tidak boleh mendahului adat.

"Kita ada rakyat, kita ada perlembagaan dan kita ada Yang Di Pertuan Agong, biarlah kesemuanya menentukan siapa calon Perdana Menteri yang penting kuasa rakyat memilih kita terlebih dahulu," jelasnya.

Beliau yang juga turut menyatakan PAS akan meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada pilihanraya nanti, namun kawasan dan calon belum diputuskan lagi.

Menurut beliau lagi, perkara itu tidak timbul apa-apa masalah kerana DAP boleh melekatkan calon Melayu begitu juga PKR, dan PAS turut boleh melaksanakannya, ia bukan perkara yang perlu dipersoalkan oleh Umno-Barisan Nasional.

Kelayakan Papagomo jadi calon p'raya dipersoal

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Laporan Malaysiakini hari ini membawa pandangan dua orang peguam yang mempersoal kelayakan Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang mahu bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

Portal berita itu memetik peguam, Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh yang sependapat bahawa berkata Papagomo tidak boleh bertanding disebabkan pernah dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh mahkamah atas kesalahan rasuah ketika bertugas sebagai konstabel polis trafik.

Ianya selaras dengan Perkara 48 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa seorang anggota parlimen hilang kelayakan apabila didapati bersalah dan dijatuhi hukuman untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun dan didenda tidak kurang dari RM2,000 dan tidak menerima pengampunan.

Perkara itu juga menyatakan, individu yang didapati bersalah tidak dibenarkan untuk bertanding dalam tempoh lima tahun

Ambil borang calon

Sementara itu, bloger Umno itu dalam entri terbarunya hari ini memberitahu beliau telahpun mengambil borang calon SPR untuk bertanding di Permatang Pauh menentang Anwar yang juga Ketua Umum PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Menurutnya, borang itu diambil wakilnya Ambil borang calon Rafi Awang Kecik yang juga merupakan Presiden Nadi Rakyat Malaysia.

Kos hidup: Manifesto BN bersifat jangka pendek

KPRU, 09 Apr 2013
Dalam pelancaran ‘Aku Janji”-nya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan manifesto yang seakan-akan manifesto yang dilancarkan oleh Pakatan Rakyat (PAKATAN) beberapa minggu yang lalu.

Namun, apa yang kekurangan adalah Najib tidak memberi penyelesaikan kepada bagaimana beliau hendak menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia dalam menghadapi kenaikan taraf hidup dalam negara.

Di mana Najib ingin meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib gagal untuk menyatakan usaha mampan dan berjangka panjang untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya rakyat Malaysia yang miskin.

Pemberian BR1M ini ternyata tidak mencukupi untuk meliputi satu tahun, malah perbelanjaan satu minggu bagi sebuah keluarga di kawasan bandar terutamanya kawasan-kawasan maju seperti Lembah Klang.

Di mana PAKATAN merancang untuk mengurangkan kadar caj air dan caj elektrik untuk membantu meringankan bebanan rakyat Malaysia, Najib masih meneruskan pemberian wang tunai yang tidak akan mengeluarkan rakyat Malaysia yang miskin dari kemiskinan.

Najib ingin meneruskan pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan barangan yang dijual oleh KR1M mungkin lebih murah kerana tidak berjenama akan tetapi, dengan skandal kualiti rendah atau merbahaya, Najib telah menolak hak rakyat Malaysia untuk akses kepada barangan berkualiti pada harga berpatutan.

Beliau telah menggalakkan situasi, kualiti rendah, harga rendah, keselamatan dan kesihatan rakyat diabaikan pada jangka masa panjang.

Najib juga mengutarakan menaikkan Baucer buku 1Malaysia (BB1M) dari RM250 kepada RM300 namun pada masa yang sama, Najib tidak mengutarakan sebarang rancangan untuk membantu para pelajar pada jangka masa panjang, iaitu di mana kadar yuran kemasukan universiti kian meningkat terutamanya di sektor swasta, masih tiada penyelesaian alternatif kecuali penerusan pinjaman PTPTN yang sebenarnya membantu pihak institusi pengajian tinggi meraih keuntungan dan membebankan para pelajar terutamanya selepas habis pengajian.

Begitu juga rancangan Najib untuk melaksanakan dasar 1Malaysia 1Harga untuk barangan keperluan asas. Akan tetapi, pada masa yang sama, Najib gagal untuk menyatakan mekanisme untuk memastikan dasar tersebut tidak menguntungkan mana-mana pihak berkepentingan.

Ini adalah berbeza dengan PAKATAN merancang untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan merupakan suatu permulaan yang positif untuk membantu rakyat menghadapi taraf hidup yang kian meningkat. Di samping meletakkan jenama politik kepada barangan keperluan asas rakyat, ianya tidak memberikan sebarang penyelesaian kepada masalah kabotaj di Sabah dan Sarawak.

Najib juga tidak menyatakan rancangan untuk membantu warga Sabah dan Sarawak untuk menghadapi kenaikan barangan memandangkan kedua-dua negeri mempunyai kadar kemisikinan antara yang tertinggi di Malaysia. Memandangkan dasar 1Negara 1Harga ini hanya meliputi barangan keperluan asas, ianya mempunyai skop yang lebih kecil dari skop yang diberikan oleh manifesto PAKATAN untuk menghapuskan dasar kabotaj di Sabah dan Sarawak.

Dalam manifesto BN, Najib memilih untuk mentransformasikan automotif negara dengan mengurangkan harga kereta sekurang-kurangnya 20 peratus akan tetapi, walaupun ianya diambil dari rancangan PAKATAN untuk menurunkan harga kereta dalam cara menghapuskan duti eksais, ianya tidak memberikan rancangan terperinci mengenai mekanisme untuk menurunkan harga serta jangka masa yang diperlukan untuk menurunkan harga kereta.

Secara asasnya, di bawah Najib, amalan pemberian wang tunai diteruskan tanpa memberikan penyelesaian kukuh kepada masalah kemiskinan dan ketidakmampuan rakyat untuk menghadapi taraf hidup yang kian meningkat.

Di mana Najib meletakkan jenama politik ke atas keperluan asas rakyat seperti pendidikan, perumahan, barangan runcit, kesihatan, Najib memilih untuk mempolitikkan kehidupan seharian rakyat.


*KPRU adalah Kajian Politik untuk Perubahan yang menjalankan kajian berkaitan pilihan raya.

Kebajikan: Beza 5 tahun PR dengan 4 tahun Najib

Muhammad Faizal, 09 Apr 2013
SHAH ALAM: Keberkesanan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di empat buah negeri melebihi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerajui Malaysia.
Ini kerana PR telah mentadbir selama lima tahun sedangkan Najib hanya empat tahun sahaja.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad pada sidang media di pejabatnya semalam memberitahu sepanjang lima tahun pemerintahan Pakatan, rakyat dapat menilai kebajikan yang dilaksanakan.

Namun pentadbiran Najib selama empat tahun hanya melalui tempoh transformasi dan sogokan kepada rakyat sahaja tanpa ada kebajikan untuk jangka masa panjang.

Khalid turut menyatakan Najib telah melakukan kesilapan besar dalam pentadbirannya apabila melengah-lengahkan pembubaran parlimen sehingga memberikan masa yang cukup untuk rakyat membandingkan Pakatan dan Barisan Nasional (BN).

"Lima tahun Pakatan dan empat tahun BN satu tempoh masa yang amat besar, lima tahun Pakatan memberi kebajikan kepada rakyat untuk tempoh jangka panjang, sedangkan BN empat tahun hanya melalui proses transformasi," jelas beliau.

Tambahnya lagi, tempoh terbaik Najib untuk membubarkan parlimen adalah setahun selepas beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Khalid menambah, sepanjang tempoh lima tahun juga mewujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ketiga-tiga parti.

"Dalam Pakatan kita masing-masing bekerjasama dan setiap keputusan dilakukan mengikut apa yang diputuskan oleh ketiga-tiga parti.

"Tidak ada parti yang boleh mendahului mana-mana parti, PAS, DAP dan PKR masing-masing memerlukan persetujuan bersama," kata beliau.

Menurut beliau lagi, sehingga sekarang BN masih mencari rentak untuk mendapat sokongan rakyat.
Namun, ujarnya Pakatan terus ke hadapan apabila kebajikan rakyat yang dilaksanakan di negeri yang diterajui mereka terus mendapat sokongan rakyat.

Betul tidak mesti menang tapi silap akan kalah

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Kewarasan pemimpin mana-mana parti untuk membayangkan apa yang mereka katakan dalam paparan mereka terhadap rakyat dalam siri kempen sekarang menjadi salah satu dari elemen penentu dalam pilihan raya kali ini.
Menurut penulis Aspan Alias, jika kedua-dua pihak tidak melakukan kesilapan di saat-saat akhir ini, Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kejayaan kerana geraf sokongan yang bertambah dari hari kehari.
“Pendeknya dalam pilihanraya kali ini, bukannya siapa yang betul yang akan menerima kemenangan sebaliknya ia bergantung kepada pihak mana yang melakukan kesilapan yang akan kalah dalam mother of all elctions ini,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com, sebagaimana di bawah.

Dengan kuasa yang begitu besar dan otot yang besar, UMNO masih tidak mampu mengekang kemaraan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya kali ini. BN mempunyai media massa arus perdana yang canggih sedangkan Pakatan Rakyat hanya mempunyai media alternatif yang sama-sama dipergunakan oleh pihak BN. Jalan yang sebenarnya ada kepada pihak Pakatan hanyalah majlis ceramah yang diadakan setiap hari di seluruh negara.

Sekarang kekuatan Pakatan Rakyat adalah sama dengan kekuatan BN. Pakatan Rakyat walaupun menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan rakyat melalui saluran TV perdana mereka (rakyat) tetap jelas memberikan sokongan. Ini adalah bukti yang rakyat berkendakkan pembaharuan yang besar kepada kehidupan bernegara. Keadaan 50/50 kali ini mencemaskan BN khususnya UMNO sehinggakan BN hanya membubarkan Parlimen pada 3hb April yang lalu kerana mereka (BN) dalam keadaan terdesak.

Apabila keadaan seperti ini wujud, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan kecil akan menghadapi kekalahan. Jika BN terus-menerus melakukan kesalahan lagi ia akan mempastikan BN itu kalah. Begitu juga di pihak Pakatan Rakyat. Jika PR melakukan kesilapan kecil dan ditarik balik sokongan oleh hanya segelintir masyarakat yang mengundi maka Pakatan akan menghadapi kekalahan. Mana-mana pihak tidak boleh mengambil ringan tentang isu ini.

Tetapi apabila keadaan 50/50 seperti yang berlaku sekarang ini, kewajaran untuk Pakatan Rakyat untuk mendapat undi kemenangan itu lebih mudah kerana graf sokongan rakyat terhadap PR sedang meninggi. Ini ditambah pula dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh BN dalam banyak perkara selalu terjadi sekarang ini. Bagi PR kenaikan geraf inilah yang perlu dipertahankan untuk menghindar geraf itu mendatar atau menurun. UMNO akan menghadapi masalah untuk mengumumkan calon di setiap kawasan kerana sedikit permainan ‘cah keting’ di kalangan ahli-ahlinya sudah pasti membawa mudharat terhadap UMNO itu.

Kesalahan yang dilakukan di satu kawasan dalam beberapa isu penting akan memberikan kesan kepada kawasan-kawasan lain. Mencalonkan seorang yang ‘winnable’ di satu kawasan itu tidak semestinya membawa kebaikan jika calon ‘winnable’ di kawasan itu adalah pimpinan besar tetapi mempunyai masalah besar kepada diri mereka dari sudut persepsi rakyat seluruh negara.

Contohnya, jika Ibrahim Ali terpaksa menjadi calon BN di Pasir Mas dan disokong oleh Dr Mahathir dan mendapat kemenangan, ia akan menjejaskan UMNO di seluruh negara kerana Ibrahim dipersepsikan sebagai seorang yang terlalu ‘controversial’ bagi seluruh rakyat terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai pengundi dari berbilang kaum.

Keadaan yang serupa akan dialami oleh mana-mana parti sama ada dari pihak BN atau pun dari pihak pembangkang. Meletakkan calon di suatu tempat itu akan mempengaruhi kawasan-kawasan lain kerana pemilihan calon-calon di satu kawasan itu menunjukkan sikap parti itu sendiri.

Jika sikap yang ditunjukkan itu memberikan gambaran yang tidak selari dengan apa yang dijanjikan oleh sesuatu parti itu, maka rakyat akan berfikir banyak kali untuk terus menyokong parti-parti tersebut. Isu ini menjadi isu besar apatah lagi keadaan sama kuat di antara pihak pemerintah dan pembangkang sekarang.

Kesilapan yang kecil akan memberikan impak yang besar terhadap keputusan pilihanraya, lebih-lebih lagi dari kumpulan atas pagar yang agak besar kali ini. Rakyat perlu ingat parti-parti dalam Pakatan Rakyat kini bukan lagi parti-parti pembangkang tetapi sebaliknya parti-parti ini adalah parti-parti ‘altenative’ yang mempunyai ‘consequence’ besar dalam pilihanraya kali ini.

Kedua-dua pihak akan menghadapi masalah yang sama, iaitu untuk mendapatkan pengundi di atas pagar. Selalunya pengundi di atas pagar ini akan mementingkan kredibiliti sesebuah parti itu. Kredibiliti sesebuah parti akan dinilai dari kesungguhan parti parti itu melakukan apa yang mereka janjikan dalam hal politik negara sekarang ini.

‘Communal politics’ sudah menjadi elemen yang telah ‘outmoded’ buat generasi sekarang ini. Jika ada bayangan yang sesebuah parti itu masih terbelenggu dengan ‘communal politics’ ini pengundi di atas pagarlah yang akan menentukan ke mana arah ‘pattern’ pengundian semasa hari mengundi itu nanti. Bayangan itu tentulah mudah dilihat dari senarai calon-calon yang diturunkan oleh parti-parti itu.

Sebenarnya isu-isu dalam masa berkempen sekarang sudah difahami oleh ramai rakyat dan itu bukan lagi menjadi isu untuk diperbesar-besarkan. Yang menjadi pemerhatian rakyat sekarang bagaimana seriusnya sesebuah parti itu benar-benar melaksanakan perjuangan sesebuah parti itu.

Pihak mana yang membuat kesilapan akan mendapat kerugian dan inilah yang selalu terjadi dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Peralihan 2% atau 3% undi sahaja akan menentukan menang kalah mana-mana pihak kali ini.

Bagi rakyat yang penting bagi mereka sekarang ini ialah perubahan, bukan sahaja dari perubahan parti politik yang memerintah, tetapi juga berusaha untuk memilih perubahan suasana dan sikap politik yang boleh memantapkan pengurusan negara dan negeri.

Mana pihak yang berkemampuan untuk menjadikan rasuah sebagai sejarah dan tidak menunjukkan sikap politik komunal parti itulah yang akan mencapai kejayaan. Parti itulah yang akan berjaya menambat hati rakyat yang sedang dalam pencarian ini.

Kita lihat dan telah banyak membaca sejarah, kuasa yang besar yang disandang sebegitu lama akan hilang kerana kerakusan pimpinannya dan kufur terhadap nikmat yang mereka dapat sekian lama.

Ada juga sejarah yang membuktikan kuasa yang hampir diperolehi terlepas dari genggaman mereka semata-mata kerana kesilapan kecil dan sikap yang menakutkan rakyat terpancar pada saat-saat matlamat mereka tercapai.

Kewarasan pimpinan mana-mana parti untuk membayangkan apa yang mereka katakan dalam paparan mereka terhadap rakyat dalam siri kempen mereka sekarang ini menjadi salah satu dari elemen penentu dalam pilihanraya kali ini.

Jika kedua-dua pihak tidak melakukan kesilapan di saat-saat akhir ini Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kejayaan kerana geraf sokongan yang bertambah dari hari kehari.Pendeknya dalam pilihanraya kali ini, bukannya siapa yang betul yang akan menerima kemenangan sebaliknya ia bergantung kepada pihak mana yang melakukan kesilapan yang akan kalah dalam mother of all elections ini.

Berkebajikan: Pemimpin beriman, budiman dan adil

Harakahdaily, 09 Apr 2013
SHAH ALAM: Konsep paling penting dalam sebuah negara berkebajikan, adalah dipimpin oleh individu yang yang beriman kepada tuhan dan memiliki akhlak yang baik dan bersifat budiman.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan Tuhan mampu menggalas amanah dengan jujur khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat.

"Pemimpin yang dilantik perlu mereka yang tidak memisahkan politik dan agama. Membuat perkiraan dosa pahala.

"Bukan pemimpin yang buat salah, lepas itu pergi umrah nak tunjuk semua selesai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian semalam atas tajuk Negara Berkebajikan : Persepsi dan Realiti.

Dalam program itu semalam, Tuan Guru Abdul Hadi membentangkan taarif, konsep serta teras asas dalam pembentukan sebuah negara berkebajikan yang mahu diperkenalkan PAS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam negara berkebajikan juga pemimpinnya harus adil dalam menunaikan amanah.

"Adil kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Adil kepada semua rakyat. Tak kira yang menyokong ataupun yang tak menyokong kita.

"Nabi ajar kita, pemimpin tak boleh berlagak seperti Tuhan," katanya lagi.

Pada masa yang sama, negara berkebajikan juga menggunakan konsep zakat iaitu mengambil dari kumpulan orang kaya untuk diberi kepada orang miskin.

Ianya termasuk sistem percukaian di mana orang kaya dikenakan cukai, dan orang miskin tidak dikenakan cukai.

Ini penting katanya, supaya hasil negara dapat diagih kepada rakyat dan tidak berlegar di kalangan kelompok tertentu dan orang-orang kaya sahaja.

"Waktu kita perintah Terengganu, kita hapuskan tol, kita naikkan cukai balak dan industri. Oarang tanya tak bankrap ke? Tak, malah meningkatkan pendapatan negeri.

"Pembalak pun tak ada bantahan bila kita tinggikan cukai balak sebab dia kata bayar rasuah lagi tinggi dari bayar cukai," katanya.

Selain itu katanya, pemimpin negara berkebajikan juga harus mengamalkan konsep amar ma'ruf dan nahi mungkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti yang dituntut agama.

Mengulas realiti semasa, presiden PAS tiu berkata, semua menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang masyarakatnya majmuk dan berbilang kaum di mana Melayu adalah teras negara ini.

Maka kepelbagaian tersebut harus dimanfaatkan dalam usaha untuk membina tamadun dan Malaysia yang lebih gemilang tanpa meminggirkan mana-mana sektor kaum.

Janji Barisan Nasional yang tidak ditepati

Mohd Zuhdi Marsuki, 09 Apr 2013
Berikut ialah janji BN yang tidak ditepati berdasarkan maklumat sehingga Jun 2012.

NEGERI SEMBILAN

1. Parlimen Rembau:

a.     BN gagal menunaikan janji untuk membina Hospital di Chembong, Rembau.
b.     BN juga gagal menunaikan janji untuk membina cawangan UiTM di parlimen Rembau.

2. Parlimen Teluk Kemang:

a.     Walaupun parlimen Teluk Kemang dimenangi oleh PKR, tetapi dalam PRU lepas BN telah berjanji menaiktaraf jalan dari Teluk Kemang ke Pasir Panjang, dan ia gagal ditunaikan.
b.     BN juga gagal menunaikan janji untuk menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai di Taman Green View, Bagan Pinang dan Taman Anggerik, Teluk Kemang.
c.      BN juga gagal menunaikan janji untuk membina jalan dari Pengkalan Kempas ke Pekan Linggi.
d.     BN juga gagal menunaikan janji membina projek PD Water Front.
e.     BN juga gagal menunaikan janji membina projek PD International Maritime Gateway.
f.       BN juga gagal menunaikan janji untuk memasang penghawa dingin di seluruh masjid Dun Bagan Pinang.
g.     BN juga gagal menunaikan janji untuk membina sekolah baru di Taman Intan, Bagan Pinang.

3. Parlimen Jelebu:

a.     BN gagal untuk membantu petani-petani tempatan untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

MELAKA

1. Parlimen Bukit Katil:

a.    BN gagal menunaikan janji untuk melebarkan jalan di jalan besar Bukit Baru.
b.    BN gagal menunaikan janji untuk membina Projek Tadahan Air berhampiran Kampung Tun Razak, Bukit Baru.

Himpunan Rakyat di Taman Melewar malam ini

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bagi merancakkan semangat pembubaran Parlimen, Jabatan Pilihanraya PAS Wilayah Persekutuan menganjurkan "Himpunan Rakyat: Ini Kali Lah Tukar!" jam 9.30 malam ini.


Program yang akan diadakan di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar ini akan diisi dengan pidato utama oleh tokoh-tokoh Pakatan Rakyat termasuklah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Tokoh-tokoh lain termasuk bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Yahya Lampong; AJK Eksekutif Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw; bekas Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Noor Mohamad.

Menurut Bendahari JPN, Zakaria Abdul Aziz, program ini diadakan bagi mengutip dana PRU13 kerana PAS bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan.

Katanya, pada malam ini calon-calon PAS yang bertanding dijangka akan memberikan ucapan ringkas dalam rangka mereka memperkenalkan diri kepada massa.

Orang-ramai sekitar Lembah Klang dijemput hadir bagi menjayakan "Himpunan Rakyat" ini sebagai solidariti rakyat untuk menjatuhkan BN dalam PRU13 kali ini.

Manifesto BN: Siasat dahulu isu KM Sarawak

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sarawak menasihatkan Perdana Menteri supaya menyelesaikan dahulu tuduhan rasuah Ketua Menteri Sarawak sebelum ‘berjanji’ membanteras rasuah.
“Janganlah hanya sedap didengar, tetapi hakikatnya kosong belaka,” ujar ketuanya, M Arifiriazul B Paijo (gambar) dalam satu kenyataan sebagai respons kepada manifesto BN 2013 untuk membanteras rasuah.

Katanya, ia adalah janji lama, yang dilaung kembali oleh BN tanpa ada tindakan serius dan bersungguh-sungguh.

“Ketua Menteri Sarawak, yang turut berada di pelancaran ‘Aku Janji’ BN, tidak lama sebelum itu dengan angkuh menolak untuk memberikan kerjasama kepada SPRM yang disifatkan ‘tidak jujur’ dan ‘nakal’ dalam siasatan kes video bertajuk ‘Inside Malaysia's Shadow State’ oleh Global Witness yang menjadi sensasi internet,” katanya lagi.

Ini, kata beliau berbeza dengan komitmen semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat yang sentiasa terbuka dengan siasatan SPRM, Ketua Menteri Sarawak kelihatan kebal dan angkuh dalam memberikan kerjasama terhadap usaha membanteras rasuah.

“Jika tidak bersalah, kenapa enggan berkerja sama?” soalnya.

Baginya, seperti yang telah disebut oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain, banyak ‘janji-janji’ BN itu merupakan idea cedokan Manifesto Pakatan Rakyat yang telah disebut sejak beberapa tahun yang lalu.

Bagi rakyat Sarawak, katanya lebuhraya Pan Borneo, merupakan aspirasi Pakatan Rakyat Sarawak sejak beberapa tahun yang sudah.

Beliau menambah, pastinya banyak alasan telah diberikan oleh pemimpin BN untuk menolak cadangan tersebut, antaranya ialah faktor geografi dan faktor kos yang tinggi.

“Tiba-tiba, ia dimasukkan dalam ‘Aku Janji’ BN,” katanya.

Manifesto: Kata akan bankrap, ciplak pula

Harakahdaily, 08 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Sejak Pakatan Rakyat melancarkan manifestonya pada 25 Februari 2013, para pemimpin Umno-BN telah menyerang bahawa tawaran Pakatan Rakyat akan menyebabkan negara muflis.

Tapi, Sabtu lepas, BN melancarkan manifesto yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan Pakatan Rakyat.

Rakyat, terutamanya anak-anak muda dan warga internet terus menuduh BN menciplak manifesto PR dengan hanya mengubah ayat-ayat supaya tidak kelihatan sama.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.

Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata 22 perkara dalam manifesto PR diceduk BN.

Media antarabangsa Bloomberg juga memandang perkara ini dalam sudut yang sama.

“Semua janji ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika membentangkan manifesto Pakatan Rakyat enam minggu sebelum Barisan Nasional membentangkannya dalam perhimpunan hujung minggu lalu," lapor Blomberg.

Jadi apakah hikmah di sebalik semua ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semua ini menunjukkan bahawa janji-janji PR sememangnya boleh dilaksanakan tanpa memufliskan negara sebagaimana yang didakwa BN.

“Sebelum ceduk, Umno-BN kata akan bangkrapkan negara. Selepas ceduk, Umno-BN kata mampu lakukan.

"Tersiratnya ialah Umno-BN mengakui manifesto Pakatan Rakyat sememangnya boleh dilaksanakan. Betul tak?” tulis Tuan Ibrahim di Facebooknya.

Tuan Ibrahim juga menyindir dengan serangkap pantun buat BN.

Rendang ayam lauk lazat,
Terlampau banyak jadi biasa,
Mulut jangan cepat sangat,
Kerana mulut diri binasa.





LAPORAN BERKAITAN

Bloomberg juga dakwa Najib ciplak manifesto Pakatan
BN ciplak manifesto Pakatan dengan ketara

Tiada ulasan: