Rabu, 10 April 2013

BETUL BINA NEGARA BUKAN SEBAT DUIT NEGARA

PRU13: Cuti tambahan pelajar, staf universiti

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi menunut cuti tambahan kepada mahasiswa, ahli akademik dan kakitangan universiti sempena pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ia ekoran pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membayangkan kemungkinan besar hari pengundiaan akan diadakan pada hari berkerja.

Serahan memorandum dibuat Presiden Gamis Muhamad Azan Safar kepada Pegawai Khas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Syahmi Amri, di pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Antara tuntutan dalam memorandum itu termasuklah meminta cuti dua hari sebelum dan dua hari selepas hari mengundi untuk memberikan ruang keselesaan balik mengundi nanti.

"Kita juga menuntut dibatalkan segala kursus, program mahupun aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan warga universiti pada PRU13 nanti," katanya.

Selain itu mereka juga menuntut agar KPT mengarahkan seluruh IPT dibawah KPT untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan ini tanpa sebarang kerenah birokrasi.

"Usaha ini juga tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendidik rakyat secara umumnya tentang kepentingan merayakan pesta demokrasi terbesar dalam negara kita, ini bukan usaha main-main," katanya lagi.

Turut menyertai penyerahan tersebut Maaruf Club dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) dan beberapa lagi persatuan mahasiswa lain.

Saya tak gentar ke Putrajaya - Husam

Salmiyah Harun , 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa tidak gentar untuk bertanding di kerusi parlimen Putrajaya walaupun ramai yang menjangkakan kerusi itu akan 'mematikan' beliau.

Husam ketika memberi ucapan sebaik sahaja diumumkan sebagai calon di Putrajaya mengakui kerusi yang diamanahkan itu sukar untuk dimenangi, namun baginya ia dilihat satu cabaran yang besar dan perlu digalasnya dengan bijak.

P125 Putrajaya disandang oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menenangi kerusi ini pada PRU 2008 dengan majoriti sebanyak 2,734 undi.

"Dia seorang setiausaha agung, seorang  yang strategis dan tokoh yang hebat. Walaupun cabaran yang berat, saya cabar untuk berikhtiar biar Putrajaya diwarnakan dengan warna yang sesuai dengan rakyat.

"Di bawah lembayung kehidupan tidak salah untuk mencuba," tegasnya.

Katanya, trend sekarang adalah trend untuk perubahan dan memerlukan beliau menggariskan strategi ke atas Putrajaya yang bukan sahaja kerusi parlimen tetapi sebagai pusat transformasi negara.

Husam turut menerima nasihat daripada kalangan ahli parti agar beliau tidak bertanding di kerusi Putrajaya kerana ia tidak selamat buatnya.

"90 peratus mereka yang berjumpa dengan saya menasihatkan saya jangan pergi (Putrajaya) sebab saya akan 'mati'. Bagus juga macam itu, sebab ramai yang akan doakan saya hidup," katanya.

Bagaimanapun beliau akur, dengan keputusan parti walaupun terpaksa meninggalkan negerinya tetapi beliau gembira apabila orang Putrajaya menyambut kedatangannya di sini.

"Saya gembira kerana penduduk Putrajaya anggap saya calon yang sesuai. Nama saya naik empat kali di Putrajaya, "katanya.

Langkah pertama sebaik sahaja diumumkan akan bertanding di Putrajaya, Husam berkata beliau akan berjumpa dan melawat penduduk yang terdiri daripada kakitangan awam untuk mengetahui apa aspirasi dan masalah mereka serta isu yang akan beliau perjuangkan.

Husam turut menasihatkan agar tidak ada bendera parti di jalan-jalan protokal di sekitar Putrajaya kerana menghormati pusat itu sebagai kota pentadbiran kerajaan.

Hari ini Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan enam calon PAS yang akan bertanding kerusi parlimen dalam PRU ini.

Timbalan Presiden parti itu Mohamad Sabu akan bertanding di Parlimen Pendang, manakala Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.

Selain itu, dua lagi Naib Presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub masing-masing akan bertanding di Parlimen Pokok Sena, Kedah dan Pulai, Johor.

Sebanyak 76 kerusi parlimen dan 230 kerusi DUN yang akan ditandingi PAS dalam PRU kali ini.

PAS sedia satu peguam satu Parlimen

Hazayani Zakaria, 09 Apr 2013

(Abang Mat menunjukkan logo satu peguam satu parlimen yang disediakan oleh lajnah guaman PAS)

KUALA LUMPUR: Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat melancarkan 'Satu Peguam Satu Parlimen' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Lajnah tersebut menyediakan seratus peguam di 76 Parlimen yang ditandingi PAS pada PRU 13, 95 peratus daripadanya terdiri daripada peguam muda.

Menurut peguam dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, pasukan peguam tersebut akan menyelia dan menguruskan semua calon PAS yang bertanding di setiap Parlimen.

"Tujuan kami untuk memastikan proses pilihan raya dijalankan menurut batas-batas perundangan dan kita menolak sebarang aktiviti yang tidak bermoral dan sebarang huru-hara," kata beliau pada sidang media bersama pimpinan tertinggi PAS di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Tambah beliau, peguam-peguam tersebut akan dibahagikan kepda dua kumpulan iaitu untuk menjaga bilik gerakan dan turun ke lapangan bermula dari hari penamaan calon sehingga ke hari pembuangan undi.

"Kami komited untuk memberi khidmat dari segi undang-undang dan ketua-ketua peguam akan menjaga negeri masing-masing.

"Kita akan bertanding secara profesional dan kita minta Umno BN akan menentang kita dengan profesional," katanya.

Sebagai simbolik, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyerahkan watikah pelantikan peguam kepada beberapa pesuruhjaya negeri sambil disaksikan Pengerusi Lajnah tersebut, Asmuni Awi.

Raja Bahrin mahu golongan pro berperanan membina negara

Harakahdaily, 09 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Arkitek terkenal,  Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan penyertaan beliau ke dalam politik adalah untuk mempastikan golongan profesional memainkan peranan dalam membentuk halatuju negara.

Raja Bahrin yang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai calon parti Islam itu di Parlimen Kuala Terengganu berkata, beliau akan mempastikan suara golongan profesional didengari dalam pentadbiran negara.

"Cukuplah Malaysia kehilangan seorang teknokrat besar negara, Datuk Seri Hassan Marican yang kini menjadi peneraju pelbagai badan korporat besar di Singapura dan antara bangsa.

"Saya akan mewakili golongan ini untuk bersama-sama menyumbang untuk negara," kata beliau ketika ditemui para wartawan selepas pengumuman itu.

Menurut Raja Bahrin, selama ini ramai golongan profesional yang menyertai politik namun jarang arkitek seperti beliau berbuat demikian.

(Gambar atas: Raja Bahrin menunjukkkan dokumen-dokumen dari Lembaga Arkitek dan PAM yang membersihkan nama beliau ekoran runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu)

"Semasa saya di Kuala Terengganu semalam, saya didatangi oleh sekumpulan profesional di Kuala Terengganu yang meminta saya mewakili golongan semacam mereka," katanya.

Ketika diumumkan sebagai calon, Raja Bahrin turut membuat beberapa penjelasan yang antara lain menolak bebanan kesalahan akibat runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizani Kuala Terengganu.

Beliau mengakui membuat rekabentuk stadium itu tetapi untuk bahagian konkrit sahaja kerana bumbungnya di buat secara 'design and build' (reka dan bina) oleh kontraktor dari Korea.

Bahagian konkrit stadium itu tetap utuh selepas bumbungnya runtuh.

"Jika mereka kata saya bersalah dalam runtuhnya bumbung stadium ini, dakwalah saya," kata beliau dalm sidang media itu.

Ketika ditanya apakah beliau mahu menyertai pilihan raya kali ini untuk dijadikan platform untuk membersihkan namanya, Raja Bahrin menafikannya.

"Antara isu-isu besar yang saya perjuangkan di Kuala Terengganu adalah mempertahankan Pasar Payang, royalti untuk Terengganu dan mempertahankan sebuah kampung di bandaraya Kuala Terengganu iaitu Kampung Ladang Tok Pelam.

"Kampung Ladang Tok Pelam (kanan) ini sangat unik kerana di sinilah industri kampung seperti membuat keris, pertukangan tembaga, perak, batek dan sebagainya berkembang pesat di Terengganu.

"Namun kampung yang sangat unik ini dimusnahkan untuk memberikan laluan kepada pembinaan jalan raya," jelas Raja Bahrin.

Bagi beliau, kampung sebegini perlu dipertahankan kerana ia adalah asas industri di Terengganu sebelum minyak dijumpai di negeri itu.

"Sampai bila kita mahu bertahan dengan minyak kerana ia akan habis... sepatutnya kita mempertahankan keunikan kampung ini," kata beliau.

PRU13: Pemantau Kelantan serah memo kepada SPR

Rizal Tahir, 09 Apr 2013


KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menggunakan kuasanya untuk mengarahkan mana-mana kementerian untuk memberi ruang kepada mana-mana parti berkempen dalam setiap pilihanraya, termasuk pembangkang.

Ketua Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan, Mohamad Faizal Che Yusoff, ketika memberitahu media berkata dalam tempoh kerajaan sementara ini khususnya SPR boleh mengarahkan mana-mana kementerian untuk diberi peluang kepada pembangkang berkempen melalui saluran yang sama.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum Pemantau Pilihan Raya Kelantan kepada Pengarah SPR negeri, Mohamad Mahmood, di pejabatnya pagi tadi. (Gambar atas)

Menurut Faizal, peruntukan Bahagian 8 Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan di mana pihak SPR mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi awam bagi memastikan urusan pilihanraya berjalan baik.

“Namun apa yang kita sering dengar, SPR tidak ada kuasa, SPR tidak ada kuasa, sebenarnya mereka boleh berbuat demikian melalui peruntukan tersebut,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, setakat ini SPR mengakui hanya gesaan tempoh kempen selama 21 hari sahaja yang mudah diikuti.

Antara isi memorandum yang diserahkan pada SPR itu antara lain menuntut media yang bebas bagi memberi ruang yang sama pada pembangkang dalam media arus perdana.

Selain itu, Pemantau juga turut mendesak supaya daftar pemilih yang bebas dari kesilapan dan pengundi hantu agar badan itu tidak dipersoalkan lagi oleh masyarakat.

SPR juga perlu lebih berwibawa dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai badan pengendali pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam.

Perantau sokong Raja Bahrin bertanding di K Trg

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Lembah Kelang menyokong pemilihan Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar), Pengerusi Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) cawangan Terengganu sebagai calon PAS bertanding di parlimen Kuala Terengganu pada PRU13 nanti.

Setiausaha Perantau, Shuhaimi Embong ketika berkata, pemilihan Raja Bahrin untuk membawa suara rakyat Kuala Terengganu ke Dewan Rakyat.

Katanya, Perantau akan terus menyokong perjuangannya walaupun telah menyertai politik PAS dan berharap Raja Baharin meneruskan perjuangan membela penduduk-penduduk marhaen di Kuala Terengganu.

“Bagi Perantau, perjuangan bersama Amanah dengan beberapa NGO lain membentuk ‘Badan Bertindak Selamatkan Pasar Payang’ bukan sahaja bertujuan mengekalkan Pasar Payang itu sendiri sebagaimana yang sedia ada tetapi lebih jauh daripada itu adalah membela nasib peniaga-peniaga di Pasar Payang dan lain-lain pasar juga terus dibela,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Perantau katanya, bersedia membantu Raja Bahrin untuk berkempen bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu bagi membolehkan beliau mempunyai platform yang lebih luas di pentas politik untuk membela tanah-tanah orang Melayu di bandar raya itu daripada diambil sewenang-wenangnya oleh kerajaan negeri.

Kaji semula arah 240,000 petugas PRU undi pos

Roketkini.com, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Apa akan jadi dengan 240,000 kertas undi kakitangan kerajaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewajibkan mereka mendaftar sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Keresahan ini timbul apabila undi pos sering dihantui isu manipulasi dan ketelusan tambahan pula ia lebih mudah dikesan dan memberi ‘risiko’ kepada pengundi berkenaan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata perkara itu dimaklumkan seorang guru yang menghadiri taklimat SPR yang diadakan di Bangi, 7 Januari lalu.

“Kakitangan yang menjadi petugas pilihan raya kini wajib menjadi pengundi pos. Perkara itu menimbulkan keraguan sebab pada PRU 2008, mereka dibenarkan keluar mengundi di kawasan masing-masing.

“Mereka juga boleh keluar makan dan menunaikan sembahyang bagi petugas beragama Islam,” ujar Teo pada satu sidang media.

Penyandang Parlimen Serdang itu menggesa SPR membenarkan petugasnya untuk mengundi lebih awal kerana ia lebih dipercayai dan boleh dipantau ejen parti politik.

“Kita harap SPR dapat mendengar dan prihatin dengan keresahan yang timbul itu,” kata beliau.

Satu daripada tuntutan Pakatan Rakyat (PR) dan Bersih untuk pilihan raya yang adil, bersih dan telus adalah pemansuhan undi pos.

Antara manipulasi dan penipuan yang boleh berlaku dalam undi pos ialah kerana pengundi mempunyai risiko untuk diugut dan pertindihan nama yang mana pengundi boleh mengundi secara pos dan pada masa yang sama boleh mengundi seperti biasa.

Manifesto BN: Kenapa tiru PR jika mahu bela rakyat?

Abdul Aziz Mustafa, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Jika Barisan Nasional benar-benar ikhlas dan pentingkan rakyat, sepatutnya sudah lama ia laksanakan apa yang ditirunya dari manifesto Pakatan Rakyat (PR), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Keengganan BN sebelum ini untuk melaksanakan apa yang ditawarkan oleh PR itu membuktikan parti yang dipimpin oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) itu tidak ikhlas dan tidak pentingkan rakyat," kata beliau.

Sebagai contoh, kata Mahfuz, para pemimpin BN sebelum ini berlumba-lumba membohongi rakyat kononnya negara akan bankrap kalau harga kereta diturunkan.

"Tiba-tiba sekarang BN tiru manifesto PR dan menawarkan penurunan harga kereta.

"Nampak benar berbohong, tidak ikhlas dan tidak pentingkan rakyat sebelum ini," kata Mahfuz.

Cerita BN meniru manifesto PR tersebar ke seluruh dunia apabila Bloomberg melaporkannya dalam berita bertajuk Malaysia's Najib unveils poll manifesto similar to Anwar's.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, BN menciplak sekurang-kurangnya 22 idea di dalam manifesto PR.

Mahfuz meminta rakyat menyedari bahawa janji-janji BN di dalam manifestonya itu hakikatnya adalah bukti kegagalannya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

"Sebagai contoh, janji BN untuk melindungi pembeli rumah.

"Mengapa perlu tunggu sehingga menang pilihan raya umum ke-13 baru hendak buat sedangkan sepatutnya perkara itu sudah lama dilaksanakan dan semakin kemas langkah perlindungan kepada pembeli rumah," katanya.

Begitu juga dengan janji BN hendak meningkatkan jumlah permit teksi individu.

"Perkara itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan tetapi sebaliknya BN menjadikan menjadikan pemandu-pemandu teksi sebagai hamba kepada syarikat-syarikat teksi," kata Mahfuz.

Beliau juga mendedahkan ulang siar janji-janji lama di dalam manifesto BN.

"Janji membina rumah mampu milik kepada rakyat contohnya adalah siaran ulangan janji-janji lama ketia Najib mula menjadi Perdana Menteri tetapi tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan," kata Mahfuz.

Najib gagal tunai janji 650,000 peluang kerja baru

Harakahdaily, 09 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mempertahankan angka 650,000 peluang pekerjaan baru setiap tahun yang dijanjikannya, apabila jelas rekodnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan tidak ditepati.

Demikian kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan sebagai respons kepada salah satu janji utama yang dimuatkan di dalam Manifesto BN iaitu mewujudkan sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 2 juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, tawaran peluang pekerjaan itu menjadi antara tawaran ekonomi paling utama di dalam Manifesto BN kepada rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, Barisan Nasional selalu ghairah menuduh bahawa program ekonomi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak realistik, walaupun mereka tidak berkemampuan untuk menyanggah pembentangan angka-angka yang dibawa oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Jelasnya, untuk menyuburkan amalan demokrasi dan persaingan dasar menjelang PRU13 ini, PKR mengambil langkah membandingkan janji-janji di dalam Manifesto BN dengan rekod pencapaian mereka setakat ini, untuk menilai sama ada janji yang dibawa itu benar-benar boleh ditepati seperti yang selalu dilaungkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiap tahun, ujarnya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menerbitkan jumlah pekerjaan keseluruhan dan guna tenaga buruh rasmi di dalam negara ini.

Angka itu, jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat adalah tepat untuk menganggarkan jumlah pekerjaan baru yang dihasilkan setiap tahun.

Beliau berkata, perangkaan Unit Perancang Ekonomi menunjukkan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya mewujudkan sekitar purata 300,000 pekerjaan baru sahaja setiap tahun sejak Najib menjadi Perdana Menteri, seperti di bawah.

Tahun
Jumlah Pekerjaan
Bilangan Pekerjaan Baru
2009
11.6 juta

2010
11.9 juta
300,000
2011
12.2 juta
300,000
2012
12.5 juta
300,000

Justeru, kata Rafizi untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto BN, ini bermakna Najib perlu menambah pekerjaan sebanyak 650,000 setahun secara purata, iaitu lebih dari satu kali ganda dari jumlah sedia ada.

“Angka ini tidak munasabah, terutamanya apabila tidak ada apa-apa rancangan di pihak Barisan Nasional untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Di dalam Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk mewujudkan tambahan 1 juta peluang pekerjaan baru dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan pekerja asing dan melatih pelajar lepasan SPM, bagi mengelakkan pengangguran di kalangan mereka.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui lama

Tiada ulasan: