Ahad, 7 April 2013

BUKAN SEMUA MEREKA MAMPU CIPLAK...DENGAN CIPLAK KITA TAHU BAGAIMANA MEREKA PUN SETUJU MENIFESTO PAKATAN

BN ciplak manifesto Pakatan dengan ketara

Salmiyah Harun, 07 Apr 2013


(Mustafa bersama Mariah dan Zailah dalam sidang media di Pusat Media PAS hari ini)

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa sekurang-kurang sembilan perkara dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak malam tadi menciplak manifesto Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini berkata,  yang paling ketara adalah janji BN untuk memberikan bayaran tunai lebih 20 peratus kpada negeri pengeluar minyak.

Manifesto BN itu berbunyi, "Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyakdan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang."

Padahal dalam manifestonya, Pakatan dengan jelas mengatakan, "Menaikkan royalty kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%."

Mustafa berkata BN hanya mengolah istilah tertentu dalam untuk membezakan antara kedua-dua manifesto tetapi "polisi yang dipinda mengikut cara kita".

Mustafa berkata demikian dalam sidangnya di Pusat Media PAS hari ini. Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Yusof dan timbalannya, Dr Mariah Mahmud.

Dalam sidang media itu, Mustafa turut menyerang penggunaan masa kira-kira dua jam oleh Najib untuk membentangkan manifesto BN dalam TV1 dan TV3.

"Kita dijanjikan 10 minit untuk membentangkan manifesto itu. Itupun dirakamkan bukan live," katanya.

Atas sebab itulah, katanya Pakatan membuat keputusan menolak tawaran ini kerana ia disifatkan hanya 'ajak-ajak ayam sahaja'.

Siti Zailah ketika mencelah dalam isu ini juga kesal dengan langkah kerajaan BN itu kerana dengan 10 minit apa yang boleh diterangkan, "nak bentang tikar pun dah lima minit."

Selain itu, BN juga menawarkan penurunan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Pakatan pula menawarkan, "Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.

"Mewujudkan industry automotif negara yang benar-benar berdayasaing dan boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah."

Sementara itu, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu sidang media berasingan hari ini berkata, beliau melihat bahawa manifesto yang diumumkan tidak disalin bulat-bulat daripada tawaran Pakatan tetapi cuba mengetengahkan tawaran “populis, tanpa perubahan fundamental”.


“Ini adalah plagiarisme dalam definisinya yang jelas. Manifesto itu populis, tetapi tercicir perkara yang lebih utama, iaitu reformasi fundamental,” katanya dalam ucapan selepas acara pemeriksaan kesihatan di kawasan Lembah Pantai hari ini.

Senarai penuh perbandingan antara manifesto Pakatan Rakyat dan Manifesto BN

Harga kereta

Manifesto Rakyat

Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.
Mewujudkan industry automotif negara yang benar-benar berdayasaing dan boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

Manifesto ciplak

Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional

Dasar Perumahan

Manifesto Rakyat

150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM75,000) dan kategori kos sederhana (antara RM150,000 hingga RM250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

Manifesto BN


Membina 1,000,000 rumah mampu milik – digerakkan oleh sector awam dan swasta – termasuk 500,000 buah rumah PR1MA

Keretapa laju

Manifesto Rakyat
Memulakan langkah kearah membina system keretapi laju antara bandar yang pertama di rantau Asia Tenggara.


Manifesto BN


Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan system landasan keretaapi berkembar

Lebuhraya Sabah dan Sarawak

Manifesto Rakyat

Memulakan pembinaan lebuhraya merentasi Sabah dan Sarawak yang menghubungkan Kuching ke Kota Kinabalu dan Kudat


Manifesto BN


Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudung di Sabah

Royalti Petroleum

Manifesto rakyat

Menaikkan royalty kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%.

Manifesto BN


Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyakdan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang


Permit Teksi


Manifesto Rakyat

Permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan teksi.


Manifesto BN

Meningkatkan jumlah  permit  teksi individu


Pengkalan data

Manifesto rakyat
Mewujudkan system pengkalan data nasional bersepadu mengenai maklumat sosio ekonomi rakyat dengan menggabungkan semua maklumat sediaada yang kini diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi dan badan.

Manifesto BN

Memperhalusi dan menambahbaik jaringan bantuan keselamatan menerusi system pangkalan data yang bersepadu

Tanah wakaf

Manifesto rakyat

Menambah nilai tanah-tanah wakaf demi menjana kebajikan ekonomi untuk rakyat

Manifesto BN


Menjana pendapatan daripada pembangunan tanah wakaf dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri

Pakej penggajian baru


Manifesto rakyat
Pakej penggajian baru yang menggabungkan prinsip-prinsip dayakerja cemerlang, tempoh perkhidmatan dan potensi kepimpinan demi menjamin keadilan sementara mencungkil bakat kepimpinan


Manifesto BN

Memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak 3 peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan

Umno lupa MCA pun Cina seperti DAP juga

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir, 07 Apr 2013
KOTA BHARU: Di kampung-kampung penceramah Umno terus melemparkan dakwaan, sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, DAP akan menjadi Perdana Menteri.

Sedangkan apa yang berlaku bilangan kerusi bakal ditandingi DAP lebih kecil berbanding PKR dan PAS. Apa yang jelas isu perkauman masih lagi mendominasi kempen Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Umno seperti lupa mereka telah bergabung dengan MCA dan MIC sejak merdeka lagi.

“Mungkinkah kerana terlalu menggelabah mereka terlupa Umno telah bersahabat dengan MCA dan MIC, namun tiada kefahaman Islam diberi kepada mereka.

“Sedangkan biar pun kita baru menjalin kerjasama dengan DAP banyak kesan positif diperolehi. Mereka sanggup mendengar kuliah agama disampaikan pendakwah.

“Paling menakjubkan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu Dun Pulau Pinang akan dibubarkan pada hari Jumaat dengan mengambil kira penghulu segala hari,” ujarnya.

Berucap pada majlis Lokal Agenda Pemimpin Bersama Masyarakat anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam katanya kerjasama dengan DAP membolehkan pemimpin mereka memahami lebih dekat lagi mengenai Islam.

Katanya, hasil kefahaman itulah yang menyebabkan pemimpin Umno menjadi gelabah kerana perjuangan mereka sejak dahulu sehingga sekarang berteraskan bangsa.

Kata beliau berlainan dengan Umno yang bersahabat dengan MCA dan MIC di mana mereka lebih menjadi pak turut.

Di majlis berkenaan Menteri Besar juga menyampaikan sumbangan kepada penerima skim Az-Ziwaaj, Al-It’am, Takaful Kifaalah dan cabutan bertuah.

Manakala peserta Ladang Rakyat pula menyerah sumbangan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, pemberita Harakahdaily Cawangan Kelantan, Mohd Rizal Md Tahir memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah mesin basuh separuh automatik.

BN tidak turunkan petrol, hapus tol dan PTPTN

Salmiyah Harun, 07 Apr 2013



KUALA LUMPUR: PAS percaya rakyat negara ini bijak dan tidak akan mudah terkeliru dengan manifesto BN yang ketara menciplak manifesto Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, manifesto Pakatan Rakyat lebih awal dibentangkan dan dari situ rakyat sudah faham dan mengerti apa yang akan dilaksanakan oleh Pakatan selepas diberi mandat nanti.

"Apa yang dibentangkan oleh BN banyak persamaan bukan kebetulan tetapi diceduk dari Pakatan Rakyat. Rakyat sudah tahu dan bijak menilai.

"Selain itu, saya berharap media memainkan peranan dan menjelaskan apa yang sebenarnya kepada rakyat," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS hari ini.

Bagaimanapun, katanya manifesto BN masih tidak mencakupi harapan besar rakyat seperti menurunkan harga petrol, menghapuskan tol dan pemansuhan pinjaman PTPTN.

Katanya, menurunkan harga petrol adalah perkara utama yang ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini kerana ia memberi kredit meluas kepada rakyat malangnya BN tidak berani untuk menjanjikan perkara ini.

Selain itu, BN masih tidak berani untuk menawarkan prinsip asas sebagaimana yang djanjikan oleh Pakatan Rakyat iaitu pentadbiran yang telus, amanah dan berintegriti.

"BN tidak berani pula untuk ciplak janji pentadbiran telus, amanah dan berintegriti. Saya percaya inilah akan jadi kayu pengukur rakyat untuk memilih kerajaan nanti," katanya.

Kakitangan penjara dibeku cuti untuk halang mengundi?

Warden Rimas,
Berhubung dengan perkara di atas saya mewakili seluruh kakitangan penjara khususnya anggota bawahan melahirkan rasa dukacita akan permainan politik kotor oleh Barisan Nasional.

Mereka telah memperkudakan agensi kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri yang mana telah mengeluarkan surat pekeliling yang telah mengarahkan semua Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri membekukan cuti semua pegawai dan anggota tidak terkecuali bagi kami yang berkhidmat di Jabatan Penjara Malaysia.

Bagi saya sendiri yang hampir 23 tahun berkhidmat inilah baru kali pertama semua anggota Jabatan Penjara Malaysia telah dinafikan hak kami sebagai PENGUNDI oleh sebuah parti yang melaungkankan sistem demokrasi tetapi telah melacurkan kata-kata mereka dengan permainan politik kotor mereka yang memperkudakan agensi kerajaan.

Untuk makluman saudara bukan semuanya kami kakitangan penjara yang mengundi di tempat kami bekerja kerana pada PRU - PRU yang lepas tiada masalah bagi kami untuk balik mengundi di tempat asal masing-masing.

Bagi saya serta isteri sendiri yang telah membuat pertukaran alamat dari Johor balik semula ke Kedah tetapi atas urusan kerja kerana telah dinaikkan pangkat berkhidmat di Perak.

PRU 13 inilah kami terasa amat dukacita kerana tidak berpeluang untuk balik menmgundi di tempat dan negeri kelahiran kami disebabkan oleh mereka yang berkepentingan dan mengamal politik kotor kerana mereka merasakan PRU 13 ini Barisal Nasional akan menjadi  pembangkang untuk Parlimen Malaysia.

Bagi saya inilah satu cara bagi Barisan Nasional untuk mengekalkan tampuk pemerintahan dengan cara yang paling kotor dalam sejarah PRU di Malaysia.

Saya difahamkan bahawa hampir 90% anggota Jabatan Penjara Malaysia menyokong PR pada PRU-PRU yang lepas dan juga pada PRU 13 kali ini.

Jadi sebagai warga Malaysia yang prihatin saya amat berharap agar Harakahdaily menghebohkan perkara ini untuk makluman semua parti-parti dan PAKATAN RAKYAT kerana kami anggota Jabatan Penjara Malaysia tidak mengundi secara pos.
Sekian terima kasih.

Mahkamah benarkan Husam injuksi blogger Parpukari

Aslani M, 07 Apr 2013
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ke atas blogger mesra Umno, “Parpukari”.

Parpukari atau nama sebenar Mohamad Salim Iskandar difahamkan rakan rapat dengan blogger Umno, Papagomo.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, dengan perintah injunksi tersebut Khamis lalu, Parpukari dilarang daripada menulis apa-apa berkaitan Husam sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Pada prosiding sebelum ini Hakim Datuk Yazid Mustaffa menolak permohonan peguam Parpukari, Jasbeer Singh Kaura untuk meminda penyata pembelaan.

Malah mahkamah juga menolak permohonan Parpukari memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Blogger terbabit pada 19 Februari 2012 menulis dan menggunakan gambar-gambar secara tidak tepat dan tidak benar yang dikaitkan dengan plaintif.

Rencana tersebut disiarkan dalam blog; http://parpukari.blogspot.com bertajuk “parpukari productions mempersembahkan kisah cinta terlarang 2 benua!”.

Dalam writ saman plaintif mendesak defendan memohon maaf secara bertulis kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blognya dan memadam artikel berkaitan.

Selain itu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu, gantirugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.  Kes tersebut akan dibicara pada 19 dan 20 Jun hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ekoran dakwaan menteri terbabit melulus saham FGVH lebih besar kepada syarikat Bumiputera berbanding peneroka.

"Siapa kroni yang diberi keistimewaan itu, syarikat mana yang diluluskan MITI untuk memiliki saham Felda. Kita minta menteri terbabit mengeluarkan senarai syarikat berkenaan dan menjawab isu-isu berkaitan," katanya pada ceramah Kelantanku Hijau di Padang Kemahkotaan, Jeli malam tadi.

Baru-baru ini Mustapa dilaporkan menuntut Husam memohon maaf berhubung dakwaan fitnah berkaitan saham FGVH yang diberi kepada kroni atau berdepan dengan tindakan saman.

Husam berkata, beliau bersedia menjawab isu tersebut di mahkamah dan tidak perlu menunggu notis 48 jam seperti diberi pemimpin terbabit.

Tiada peluang ke-3 Mustapa Mohamed di Jeli

M Faqih | Foto Rizal Tahir & Yusri Amin, 07 Apr 2013

(Anwar bercakap dengan penduduk Jeli)


JELI: Ribuan yang memenuhi setiap ruang Padang Kemahkotaan malam tadi tidak mahu lagi peluang ketiga diberi kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dengan nada bersemangat mereka melaungkan kesediaan untuk mengembalikan fenomena 1999, apabila anggota parlimen Jeli itu hanya berjawatan menteri atas kapasiti senator.

“Sungguh luar biasa sekali semangat rakyat Jeli. Tidak pernah saya melihat begitu ramai hadir pada perhimpunan malam ini.

“Tidak sama dengan keadaan yang berlaku pada kempen pilihan raya umum 2004 dan 2008. Sekarang cukup menyakin,” kata Anuar Mohamad, 47 dari Air Lanas.

Ahmad dari Gunung Reng, Batu Melintang pula membisikkan suasana petang semalam ada kelainan yang dirasakan.

“Hujan turun dengan lebat sekali seketika. Hati saya terasa begitu tenang. Inilah bayangan awal rakyat Jeli sekarang ketika mereka disogok dengan aneka umpan kebendaan,” ujarnya.

Seorang penduduk dari Kemubu, Dabong memberitahu penduduk kampung berpakat menyewa bas datang ke Bandar Jeli. Katanya, setiap penduduk membayar RM10 tambang pergi balik.

Dua pemuda memakai t-shirt hijau ketika menumpang teduh di Masjid Bandar Jeli memberitahu beliau datang dari Dabong menunggang motosikal.

Beliau datang sebelah petang, sedangkan ramai rakannya bertolak lebih awal. Di jalan Kota Bharu-Salor banyak kelihatan anak-anak muda mengibarkan bendera R.

Memasuki Bandar Jeli bendera bendera bulan purnama, PKR, R dan K dilihat di mana-mana. Kereta yang dipandu anak-anak muda seperti megah mengibarkan bendera tersebut.

Sebelum hujan mencurah-curah anak-anak muda yang berhimpun di padang memberi ingatan kepada anggota parlimen Jeli supaya jangan mengkhianati rakyat Kelantan.

“Kita tidak mahu lagi pemimpin seperti ini berada di Jeli,” laung mereka melalui pembesar suara.

Menghampiri waktu Maghrib orang ramai bertali arus memasuki ruang padang. Kenderaan memenuhi di mana sahaja ruang kosong.

Solat Maghrib diimamkan bekas Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang. Solat hajat pula diketuai bekas Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa.

Ribuan rakyat Jeli menyertai munajat, zikir dan bacaan selawat. Mereka memohon kepada Allah Taala diberikan pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengedarkan 2,000 surat terbuka tiga halaman kepada Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lima isu dibangkitkan iaitu saham Felda, AP eksport minyak sawit, AP import kereta, Dasar Automatik Negara dan isu Syarikat Perumahan Negara menjual rumah rakyat kepada sebuah syarikat.

Beliau juga meluahkan rasa hairan projek jalan raya yang dibina dari Kampung Berdang ke Sungai Rual hanya terhenti di atas bukit.

Menurutnya pada 2007 peruntukan dilulus sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.  Dan pada 2010 ada pula peruntukan RM70 juta disenaraikan.

“Saya tidak faham sama ada peruntukan RM55 juta telah digunakan sehingga perlu ada tambahan RM70 juta lagi.

“Kalau peruntukan tidak cukup mengapa perlu dibina jalan berkenaan. Jadi kita minta Mustapa jelaskan,” katanya.

Hadir sama pada Pra Himpunan Kelantanku Hijau  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, anggota-anggota Exco dan pemimpin PAS serta PKR Jeli.

Tiada ulasan: