PRU kali ini milik mahasiswa
Ahmad Shukran bin Shaharudin, |
Kita dikejutkan dengan Tsunami Politik pada PRU12. Iklim politik hari ini bakal menjanjikan sesuatu yang menarik dan berbeza bagi PRU13 kali ini bahkan mungkin lebih dahsyat daripada Tsunami Politik PRU12. Analisis berkenaan dengan keputusan PRU13 telah dibuat oleh beberapa pihak. Antaranya ialah berkenaan dengan penglibatan “first time voter”, 30% daripada jumlah pengundi keseluruhannya. Mereka ini dilihat sebagai penentu kepada kalah menang parti politik yang bertanding. Lebih menarik lagi, hampir kesemua golongan “first time voter” merupakan kumpulan anak muda termasuklah mahasiswa.
Mahasiswa sangat sinonim sebagai suara ketiga, “semak dan imbang” bagi pihak pemerintah. Kelantangan mahasiswa dalam menyatakan pandangan dan pendapat terhadap polisi-polisi kerajaan merupakan antara sebab diwujudkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU). Lalu, apabila AUKU dipinda pada tahun lepas, terutamanya pindaan pada perkara 15 berkenaan penglibatan mahasiswa dalam politik, gerakan-gerakan mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan lagi Pesta Demokrasi Malaysia. Muncul gerakan seperti Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), Kelab Penyokong BN IPTA, Siswa4U, Gelombang Anak Muda Tolak UMNO BN (Tolak).
Harapan saya buat seluruh mahasiswa, terutamanya yang sudah layak mengundi, laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, buktikan pada masyarakat Malaysia yang mahasiswa hari ini sangat ambil berat soal urus tadbir negara dan pembangunan rakyat dalam segenap aspek. Gunakan peluang yang ada untuk terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, hatta sebagai calon seandainya layak dan mampu. Penglibatan kita ini, sebenarnya merupakan pendedahan yang terbaik buat generasi anak muda untuk terjun ke lapangan demokrasi seterusnya membentuk negara impian anak muda.
Akhir sekali, impian saya untuk melihat universiti menjadi institut yang terbuka dalam memberi pendidikan politik kepada mahasiswa dan masyarakat umumnya. Bezakan antara doktrinisasi ideologi politik dan pendidikan politik. Pendidikan politik yang sebenarnya ialah pendidikan yang dapat memberi kesedaran buat mahasiswa akan pentingnya untuk terlibat secara langsung dalam urus tadbir negara. Mahasiswa harus berperanan dalam membentuk negara yang mereka idamkan, negara yang berintegriti, bebas daripada politik wang. Inilah peranan universiti yang sebenarnya, institut pendidikan yang berpegang teguh dengan prinsip keadilan dan kebenaran.
Ahmad Shukran bin Shaharudin
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)
Kenapa tak boleh lawan Umno?
Hairul Nizam Mat Husain, | 17 Apr 2013 |
Buku karangan beliau yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis membincangkan konsep kerajaan menurut kaca mata Islam. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah seperti berikut:
1. Sesebuah kerajaan tidak akan dianggap sebagai kerajaan Islam melainkan apabila kuasa penetapan dasar (al-Sultoh al-Tasyri`iyyah) adalah diserahkan bulat-bulat kepada ketetapan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada pandangan ahli parlimen.
2. Kerajaan Islam terbahagi kepada dua; al-Khilafah al-Rashidah (kerajaan yang sempurna) dan al-Khilafah al-Naqisoh (kerajaan yang berlaku kekurangan). Menurut beliau, al-Khilafah al-Rashidah hanya akan berlaku apabila sistem perlantikan seseorang khalifah adalah dengan pemilihan daripada rakyat. Sekiranya sistem yang diamalkan adalah sistem beraja, maka kerajaan tersebut adalah al-Khilafah al-Naqisoh.
3. Dari sudut sejarah, al-Khilafah al-Rashidah hanya berlaku bermula daripada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar dan berakhir pada pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Tolib. Selepas itu sehinggalah jatuh Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924, Khilafahnya adalah Khilafah yang tempang kerana perlantikan Khalifah adalah dengan cara kekeluargaan.
4. Apabila khilafah adalah khilafah yang tempang (al-Khilafah al-Naqisoh), maka sekiranya umat Islam dapat menjatuhkan khilafah ini dan dapat menggantikannya kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka umat Islam hendaklah menjatuhkan sebuah Khilafah Islamiah yang tempang.
5. Sekiranya umat Islam tidak mampu untuk menggantikan al-Khilafah al-Naqisoh kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka bersabar dengan kezaliman al-Khilafah al-Naqisoh adalah lebih baik daripada hidup di dalam zaman tiadanya Khilafah langsung.
6. Antara usaha yang perlu dimainkan bagi mendirikan Khilafah Islamiah buat masa hadapan adalah mewujudkan institusi ilmu yang mampu mengeluarkan orang-orang yang pakar dalam bidang fiqah (al-Mujtahidun).
Saya secara peribadi semasa di Mesir telah bertemu dengan al-Marhum Dr Tawfiq Shawi yang merupakan menantu kepada Dr Abdul Razzaq al-Sanhuri (Dr Tawfiq Shawi dan isterinya Dr Nadiah al-Sanhuri adalah orang yang bertanggungjawab menterjemahkan buku Fiqh al-Khilafah ke dalam bahasa Arab). Saya bertanya kepada beliau: "Adakah Malaysia sebuah negara Islam?" dan beliau dengan pantas menjawab "Tidak". Saya dapat mengesan sebabnya iaitu Syarak tidak dijadikan pemutus paling tinggi dalam dasar negara sebaliknya tugas ini dirampas oleh dua pertiga ahli Parlimen.
Saya membuat satu kesimpulan:
Sekiranya sebuah Khilafah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum Islam dan menjadikan kuasa pemutus dasar tertingginya adalah Syarak pun boleh dijatuhkan oleh rakyat apabila cara perlantikan Khalifah bukan dengan cara suara rakyat, maka apa sangatlah dengan kerajaan BN yang memerintah Malaysia pada hari ini yang sememangnya bukan negara Islam bahkan sanggup pula mengenepikan aturan-aturan Syarak.
Rasanya Kerajaan BN hari ini sangat-sangat layak untuk diruntuhkan oleh rakyat yang cintakan Islam dan cintakan kesejahteraan sejagat.
* Artikel ini telah diterbitkan pada 23 Jun 2011 lagi dalam blog (alamat di bawah) dengan tajuk “Ada Orang Kata Tak Boleh Lawan Umno Sebab Kita Kena Taat Pada Para Pemimpin?”. Namun, oleh sebab kandungannya amat kena untuk menjawab sebahagian tohmahan Umno, terutamanya bagi menghadapi PRU13 ini, maka wajar disiarkan semula.
http://hairulnizammathusain.blogspot.com/
Iktibar daripada peristiwa Bani Mustaliq
Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi, | 18 Apr 2013 |
Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi-jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. Ia menganggap Rasulullah telah merampas cita-citanya.
Sejak itu, tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang sentiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah SAW dan Islam yang dipimpin oleh Baginda SAW.
Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah Taala mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka. Allah Taala berfirman:
"Kalaulah mereka keluar bersama-sama kamu, tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu, sedang ada diantara kamu orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." (Surah at-Taubah : ayat 47)
Kerja Jahat Abdullah bin Ubai
Pernah seketika berlaku perselisihan antara dua kumpulan terbesar sahabat Nabi SAW (muhajirin dan ansar) lalu Rasulullah SAW menegur mereka berdua, "Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu?"
Akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai. Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata, "Apakah munasabah dia (Rasullullah SAW) melakukan demikian. Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita, mereka hendak menunjukkan kekuatan. Samalah seperti kata pepatah, gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu. Jaga-jaga, kalau pulang ke Madinah, nanti tahulah dia nanti. Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina!"
Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid memberitahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah SAW akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut. Kebetulan Saidina Umar al-Khattab ada bersama Rasullulah. Lalu Umar berkata, "Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia!"
Tetapi hal itu dihalang oleh Nabi SAW, bimbang fitnah lebih besar, nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri. Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah (seorang yang beriman dan soleh) minta izin dari nabi SAW untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW bagi mengelakkan fitnah yang besar.
Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah dan bersumpah menafikan ucapannya.
Tiba-tiba seorang Ansar mengatakan, "Ya Rasullullah, mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor!"
Lalu Rasulullah SAW terus mengingatkannya. Maka berdukacitalah Zaid bin Arqam (yang melaporkan) kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan. Tetapi Allah Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al-Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai. Akhirnya Rasulullah SAW memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al-Munafiqun kepadanya kemudian Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Sesungguhnya Allah telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar."
Formula Atasi Salah Faham
Bermula dari mukjizat Nabi SAW yang bertanyakan al-Harith bin Dirar di manakah berbaki dua ekor unta yang sepatutnya turut dibawa oleh al-Harith untuk menebus anaknya Juwairiyyah binti al Harith yang menjadi tahanan perang dalam peristiwa al-Mustaliq ini.
Al-Harith sebenarnya menyembunyikan dua ekor unta tersebut kerana sayang kepada unta itu dan hanya membawa beberapa ekor unta yang lain. Al-Harith berasa hairan bagaimana Nabi SAW boleh mengetahuinya jika tidak kerana ini wahyu dari Allah, lalu al Harith memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Malah seluruh anak-anaknya dan beberapa orang dari kaumnya turut memeluk Islam.
Nabi SAW sendiri akhirnya berkahwin dengan anak perempuan al-Harith dan menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin yang berjasa besar serta berjuang di samping Rasulullah SAW.
Akhirnya Bani Mustaliq memeluk ajaran Islam dan berada di bawah kerajaan Islam. Pada suatu hari Rasulullah SAW menghantar al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'it supaya mengumpulkan harta zakat. Apabila Bani Mustaliq mengetahui kedatangan utusan Rasulullah SAW lalu mereka keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangannya tetapi malangnya utusan itu (al-Walid bin Uqbah) tersalah faham dengan menyangka bahawa mereka keluar beramai-ramai untuk memeranginya.
Utusan itu lantas pulang dan melaporkannya kepada Rasulullah SAW berita yang tidak betul itu. Lalu Rasulullah SAW mengerahkan bala tentera untuk pergi menyerang balas bani Mustaliq. Mujurlah, bala tentera Islam tidak gopoh menyerang sebaliknya menghantar pengintip untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku.
Apabila pengintip menghampiri kumpulan Bani Mustaliq, tiba-tiba didengari suara azan berkumandang untuk menunaikan solat fardhu dan keadaan itu menandakan mereka masih setia kepada Islam.
Setengah riwayat menyebut, Bani Mustaliq menghantar utusan bertemu Rasulullah SAW lalu menceritakan perihal utusan Rasulullah SAW yang melarikan diri itu. Bersempena salah faham inilah Allah Taala menurunkan wahyunya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq yang membawa berita maka telitilah terlebih dahulu nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil maka menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal." (Surah al-Hujurat : ayat 49)
Peristiwa ini mengajar kita umat Islam menghadapi kelemahan dari dalam berkait dengan kaedah menerima maklumat yang perlu ditapis terlebih dahulu dan bagaimana mahu menghadapi musuh dalaman iaitu golongan munafiq serta menghadapi musuh luar yang licik dan bijak mengambil kesempatan sehinggalah kita (Islam) berjaya mengalahkan mereka dan memancarkan cahaya Islam sehingga mereka menjadi anggota Islam yang setia dan teguh.
http://www.tarbawi.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan