Jumaat, 4 Januari 2013

BILA KAWAN BOCORKAN RAHSIA KITA

'Hospital tak siap-siap, BN tak tepati janji'

Harakahdaily, 02 Jan 2013
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya lima buah hospital yang dijanjikan oleh Barisan Nasional di seluruh negara gagal siap seperti yang sepatutnya.

Ketua Biro Kepenggunaan PKR Yahaya Saari berkata, ianya termasuk hospital yang dijanjikan oleh BN sejak 2006 lalu lagi namun tidak siap hingga ke hari ini.

Malah menurutnya, ada projek yang sampai dipecah tanah sebanyak dua kali menjelang pilihan raya 2008 lalu, namun sehingga sekarang tidak nampak sebarang perkembangan.

"Di Tanjung Karang Selangor, hospital telah dijanjikan sebelum pilihan raya ke-10 lagi iaitu pada tahun 1999.

"Tahun 2004 janji lagi, 2008 janji lagi tapi tak siap-siap sampai sekarang. Tapak dah ada sign board dah ada tapi projek tak jalan-jalan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Projek pembinaan hospital yang turut terbengkalai termasuk Hospital Rembau, Negeri Sembilan,  Hospital Dungun, Terengganu dan Hospital Parit Buntar, Perak, Hospital Bera, Pahang dan beberapa hospital di Kedah dan Sarawak.

Menurut beliau lagi, apa yang sedang berlaku ini adalah kegagalan nyata pentadbiran BN di mana sehingga kini dianggarkan RM153,476,989,353 wang negara hilang angkara penyelewengan.

Katanya, jika wang itu diurus dengan betul sudah tentu ianya mampu disalurkan bagi menyiapkan hospital-hospital tersebut bagi kemudahan rakyat di negara ini.

"Lebih 70 peratus pekerja mendapat gaji di bawah RM1500 jadi kalau kerajaan meneruskan cadangan mengasingkan kos konsultansi dan kos perubatan mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban.

"Negara kita mampu memberikan perubatan percuma jika kerajaan mengagihkan hasil negara dengan baik," katanya.

LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menghentikan ‘serangan keganasanan cukai’ terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebaliknya menyiasat mereka yang telah membuat ‘sumbangan’ haram kepada BN atau memiliki kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini bagi membuktikan LHDN adil, tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

Begitupun, katanya DAP mengalu-alukan usaha LHDN untuk meningkatkan hasil cukai melalui keuntungan produktiviti dan memantapkan pematuhan cukai.

“Ini tidak sepatutnya mengakibatkan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk siasatan untuk kes cukai yang melebihi 6 tahun yang lampau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Demi kepentingan undang-undang, katanya sebarang peningkatan dalam pengutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.

LHDN telah berjaya meningkatkan pengutipan hasil cukai pendapatan korporat daripada RM36.3 bilion pada tahun 2010 kepada RM46.9 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 29% serta peningkatan hasil cukai pendapatan individu daripada RM17.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM20.2 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 13.5%. Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5% kepada RM54.1 bilion pada tahun 2012 manakala cukai pendapatan individu dijangka meningkat 11.1% kepada RM22.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.

Namun demikian, kata beliau komitmen baru oleh LHDN ini tidak harus menjadi alasan untuk memburu orang dengan sewenang-wenangnya.

Ini, ujarnya termasuk mengejar cukai lama yang melebihi 6 tahun serta penggunaan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menakuti PKS untuk ‘melangsaikan’ tuntutan tertunggak.

Tambahnya, PKS yang merupakan tunjang belakang ekonomi kita, juga menghadapi cabaran-cabaran domestik seperti pematuhan kepada Akta Saingan Adil 2010 dan persediaan untuk pelaksanaan gaji minima tahun ini.

Lim berkata, daripada menggunakan taktik keras dan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap PKS dan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk membuli NGO seperti Suaram, LHDN sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersifat adil dengan menyiasat ‘sumbangan’ RM40 juta kepada Umno melalui Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mereka yang terlibat dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ serta kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin BN seperti Ketua Menteri Sarawak.

Katanya lagi, DAP menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pemindaan kepada Akta Pembatasan 1953 supaya agensi-agensi kerajaan seperti LHDN tidak diberi carte blanche untuk menyiasat tuntutan cukai tanpa statut pembatasan.

DAP, ujar beliau mencadangkan bahawa 6 tahun yang kini digunakan sebagai status pembatasan untuk syarikat-syarikat swasta yang ingin medapatkan tuntutan di bawah Akta Pembatasan 1953 juga diterima pakai oleh LHDN.

“DAP juga menyeru agar kerajaan mempertimbangkan ‘pengampunan’ bagi cukai-cukai melebihi 6 tahun yang tidak dibayar untuk membantu PKS melalui keadaan ekonomi semasa yang susah ini,” katanya yang juga Ketua menteri Pulau Pinang.

Panduan' SPR sekat peranan pemerhati p'raya

Nazri Abdullah, 02 Jan 2013
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mempersoal 'panduan' yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada enam badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Semenjung Malaysia.

Ini kerana kata mereka, panduan itu dilihat lebih berupa 'sekatan' kepada NGO-NGO terbabit untuk menjalankan tugas mereka dalam membuat pemerhatian terhadap ketelusan proses pengundian.

Antara 'panduan' tersebut termasuklah:

1-Wakil NGO yang dilantik tidak dibenar memerhati proses mengira undi.

2-Tidak dibenar mengambil foto salah laku atau penipuan tanpa kebenaran.

3-Tidak boleh bercakap dengan agen parti dan kakitangan pusat undi.

4-Tidak dibenar bercakap kepada pihak media.

5-Tidak boleh mengeluarkan apa-apa maklumat kepada pihak ketiga sebelum melaporkan kepada SPR.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, panduan yang dikemukakan SPR kepada NGO pemerhati tersebut bukan sahaja menyekat malah tidak munasabah.

"Panduan yang dikemukakan SPR ini berupa sekatan. Ini tak musabah sama sekali.

"Ini tidak langsung mencerminkan kesediaan SPR untuk menjalankan pilihan raya yang adil dan telus," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Datuk Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Hishamuddin Rais.

Sebelum ini SPR mengumumkan melantik enam buah NGO iaitu Merdeka Centre, Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), Transparency International, Centre for Public Policy (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemerhati pada PRU13 nanti.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata inisiatif itu, yang pertama kali diperkenalkan SPR, bertujuan memberi peluang kepada NGO berkenaan menilai sendiri ketelusan dan peraturan SPR sepanjang pilihan raya berlangsung.

Difahamkan seramai tiga orang wakil ngo pemerhati tersebut dibenar bertugas di setiap parlimen.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemantauan akan menjadi lebih kritikal khususnya di kawasan yang disifatkan sebagai 'kerusi panas'.

Antaranya ialah kerusi yang ditandingi pimpinan tertinggi parti, kawasan peningkatan undi baru yang tinggi, kawasan yang pernah berlaku pembelian undi serta kawasan yang beza undi pada pilihan raya lalu hanya 3 peratus.

"Kawasan-kawasan ini memerlukan aspek pemantauan ditingkatkan.

"Ini kerana kawasan-kawasan ini berpotensi untuk dimanipulasi," katanya.

PKR dedah dokumen pembelian berlian

Hazayani Zakaria, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PKR hari ini mendedahkan beberapa dokumen mengenai pemindahan wang yang dibuat oleh syarikat-syarikat ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Pemindahan wang  oleh Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd  kepada syarikat-syarikat barang kemas mewah di Hong Kong itu dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur yang dibayar oleh beliau.

Bagaimanapun, nama Rosmah tidak tercatat dalam mana-mana slip pemindahan wang tersebut.

Ini kerana, segala serahan pembelian itu dibuat kepada orang tengah termasuk di Singapura.

Isnin lepas, sebuah buku bertajuk 'Black Ros 1.0' mula disebarkan yang juga mengandungi cerita dan dokumen berkaitan pembelian belian sebegini.

Buku ini merupakan siri pertam kerana menurut sumber, sebuah lagi buku bertajuk 'Black Megic Woman' pula akan diterbitkan.

Namun, Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan salah-satu dokumen tersebut yang mengandungi satu email dari seorang kakitangan sebuah syarikat permata di Hong Kong yang mempunyai nama Rosmah.

"Dokumen yang ada dengan saya ini turut mengandungi invois dan penyata hutang dari dua buah syarikat barang kemas mewah di Hong Kong iaitu Firestone Co Ltd dan Dehres Ltd," kata beliau dalam sidang media di Ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Menurut Rafizi, invois Dehres Ltd dialamatkan dan dibilkan kepada sebuah syarikat kawalan Deepak, bagi pembelian satu lot berlian bernilai USD115,000 (bersamaan RM408,250).

"Carpet Raya Sdn Bhd membayar jumlah yang sama iaitu USD115,000 kepada Dehres Ltd seperti yang dibuktikan dengan slip permohonan kiriman wang oleh Carpet Raya Sdn Bhd," katanya.

Dokumen juga mengandungi beberapa invois dari Firestone Co Ltd. Salah satunya adalah bertarikh 10 Mac 2009 bagi pembelian beberapa barang kemas. Salah satu dari barang kemas yang dibeli adalah cincin berlian bernombor Lot DR2763.

Pembelian barang-barang kemas mewah bernilai USD1.5 juta (bersamaan RM5.325 juta) dibayar dengan beberapa kiriman wang seperti yang dibutirkan di dalam penyata hutang yang dikeluarkan oleh Firestone Co. Ltd.

"Kiriman wang kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 14 April 2009 itu padan dengan slip permohonan kiriman wang yang dibuat oleh Carpet Raya Sdn Bhd bertarikh 13 April 2009.

"Ini menguatkan dakwaan Deepak bahawa pembelian barang kemas mewah dari Firestone Co. Ltd. dibayar oleh beliau melalui syarikat-syarikatnya," kata Rafizi lagi.

Justeru, Rafizi menegaskan, dakwaan Deepak bahawa beliau membayar pembelian barang kemas mewah berjumlah RM13 juta dalam tempoh 3 bulan oleh Rosmah adalah satu dakwaan yang sangat serius, apatah lagi apabila beliau menampilkan dokumen-dokumen sebagai bukti.

"Sebab itu, tindakan tergopoh-gapah Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengheret dana pencen anggota tentera untuk membayar RM160 juta kepada Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seolah-olah mengiyakan pandangan umum bahawa beliau mula panik dengan pendedahan yang dibuat oleh Deepak," katanya.

Beliau juga berkata, perkara ini wajar disiasat sepenuhnya dan beberapa laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat dalam tempoh seminggu dari sekarang berkenaan perkara ini agar ia dapat disiasat segera.

2013: OKU harap perubahan lebih besar

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KOTA BHARU: Golongan orang kelainan upaya (OKU) yang kini berjumlah 4.2 juta berharap 2013 menjadi titik perubahan lebih besar kepada pembangunan OKU di Malaysia.

Penggerak Kempen OKU Bangkit, Mohammad Faizal Che Yusof berharap setiap isu melibatkan OKU ditangani dengan penuh rasa keinsafan.

Katanya, tahun 2012 memberi kesan amat signifikan kepada perjuangan meletakkan agenda OKU bagi menarik perhatian masyarakat dan pemimpin politik.

Beliau berkata, penghujung 2012 genaplah enam tahun Konvensyen Bagi Hak-Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) diterima pakai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Manakala di peringkat domestik pula, penghujung 2012 juga menggenapkan lima tahun Akta OKU 2008 dibentang dan diluluskan di parlimen.

“Terhasilnya CRPD di peringkat antarabangsa dan Akta 2008 di negara kita adalah suatu komitmen sistem perundangan global kepada corak pembangunan OKU berganjak dari berasaskan simpati dan kesihatan kepada berasas hak.

“Di atas kertas dan ucapan, pembangunan OKU berasaskan hak mudah difahami, namun tiba waktu perlaksanaan, ia penuh berliku dan tidak mudah didepani,” katanya di sini.

Pada muktamar lalu Mohammad Faizal tampil di pentas PAS berucap mewakili NGO OKU pada sesi ucapan penangguhan. Beliau juga Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Kelantan.

Bagaimanapun beliau berharap ada penambahbaikan agensi utama yang dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan OKU iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya meski pun JKM dibantu Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU), namun masih kedengaran rintihan-rintihan OKU dan keluarga terhadap keberkesanan sistem dilaksanakan oleh JKM terutamanya di peringkat daerah.

“Walhal pejabat daerah merupakan tempat utama didatangi OKU bagi melunaskan sebarang isu dan persoalan. Contohnya pengeluaran kad OKU yang baru.

“Pada 3 Disember lalu kerajaan mengisytiharkan pelaksanaan Sistem Maklumat OKU (SMOKU), malangnya pengeluaran kad OKU yang baru masih banyak belum diselesaikan.

“Tiadanya kad OKU menjejaskan banyak urusan OKU dan keluarga terutamanya dalam usaha mendapatkan pendidikan paling asas,” katanya yang juga seorang peguam.

Sementara itu Mohammad Faizal juga melancarkan Pusat Rakyat Cakna Prihatin sebagai mendokong hak rakyat dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Segala masalah berkaitan boleh diajukan kepada: pusatrakyatcp@gmail.com

Pentas astaka Kemaman runtuh tutup tirai 2012

Khairul Azlam Mohamad, 01 Jan 2013



KEMAMAN: Negeri Terengganu Darul Iman menutup tirai 2012 dengan insiden bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai, Kemaman runtuh pada 30 Disember lalu.

Kejadian ‘runtuh’ seolah-olah badi bagi negeri ini selepas kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh pada 2 Jun 2009.

Tinjauan Harakahdaily mendapati sengkuap (awning) di pentas astaka berkenaan runtuh menyembah bumi dipercayai strukturnya yang lemah serta reput sekitar jam 2.30 petang.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat menggesa agar siasatan perlu dibuat secara telus bagi memastikan punca sebenar sebahagian bumbung astaka itu runtuh.

Ini kerana, katanya kejadian runtuh, roboh dan tumbang banyak berlaku di negeri ini seolah-olah membenarkan jolokan gelaran ‘Terengganu Darul Runtuh’ yang memalukan.

Sebelum ini, pelbagai jenis bangunan runtuh di Terengganu sehingga menerima jolokan 'Darul Runtuh'. Antaranya sekolah, masjid, stadium dan stesen bas. Kolam renang bertaraf nasional juga rosak iaitu bocor dengan airnya melimpah ke ruang niaga di sebelah kolam renang di Batu Burok itu.

Pelbagai pihak menyifatkan punca runtuhan itu adalah pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan akibat dari kontraktor kroni dan amalan rasuah dalam pembinaannya.

Adakah Pang bunuh diri kerana Rapid Pengerang?

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO Pengerang percaya lebih banyak tragedi berlaku di Pengerang jika pihak berkenaan masih lagi berkeras berhubung projek Rapid di situ.

Sehubungan itu, Bendaharinya Chua Peng Sin dalam satu kenyataan semalam menyeru pihak kerajaan agar mengambil berat terhadap apa yang telah berlaku khususnya tiga sekeluarga yang mati dengan membakar serpihan arang di blik mereka semalam. (Gambar)

Berikut ialah kenyataan penuh Chua Peng Sin.

Pagi ini saya menerima maklumat bahawa sekeluarga Pang yang mempunyai 3 ahli keluarga di Kampung Jawa, didapati semua ahli keluarganya membunuh diri di tempat tinggal sendiri dengan membakar serpihan arang di blik.

Gabungan NGO Pengerang (GNP) lalu pergi ke tempat tragedi tersebut, dan 3 mayat telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Melalui penduduk tempatan, Ahli Gabungan telah dimaklumkan bahawa Keluarga Pang ini adalah keluarga miskin, dan isterinya adalah pesakit strok, dan anaknya yang berumur 20 tahun itu, merupakan orang kurang upaya yang mempunyai kecacatan akal.

Encik Pang yang berumur 50–an bekerja sebagai pembantu restoran, akan tetapi baru-baru dia perlu menjaga isteri dan anaknya, dia terpaksa berhenti bekerja.

Beberapa bulan yang lalu, disebabkan oleh pembangunan RAPID, Keluarga Pang telah menerima surat pengambil tanah.

Rumah kediaman Keluarga Pang dibina di atas seorang tuan tanah lain, sehubungan itu Keluarga Pang cuma menerima pampasan sebanyak RM20 ribu sahaja sebagai pampasan.

Selepas Pang menerima surat pengambilan tanah, dia pernah meminta pertolongan dari pihak parti politik pemerintah, dan pernah memberitahu pihak tersebut bahawa dia ingin membunuh diri.

GNP berasa amat sedih terhadap tragedi yang berlaku, di mana keluarga miskin tidak dapat menahan tekanan hidup, hasil dari pengambilan tanah oleh pihak pemaju, dan akhirnya terpaksa membunuh diri.

Kami juga menyeru pihak kerajaan perlu mengambil berat terhadap apa yang telah berlaku, jika pihak berkenaan masih lagi berkeras untuk terus membuat pembangunan ini, dipercayai akan menyebabkan lebih banyak tragedi berlaku di Pengerang.

Cakap Mahathir berdolak-dalik - Tamrin

Harakah, 02 Jan 2013
Menjelang PRU-13 ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin galak bersuara mencampuri urusan pentadbiran dan politik negara. Tamrin Tun Ghafar yang bergelumang dengan Umno selama 44 tahun dan sertai PAS 11 Julai lalu 'cukup masak' dengan pekung dan temberang Mahathir. Baginya Mahathir seorang pemimpijn 'lidah bercabang' sepanjang 22 tahun menjadi PM. Ikuti butiran lanjut bersama AHMAD LUTFI OTHMAN, TARMIZI MOHD JAM dan ARIF ATAN dalam wawancara eksklusif anak Negarawan Tun Ghafar ini di Pejabat  Harakah pada 21 Disember lalu.

HARAKAH: Bagaimana tindakan Mahathir dulu dan kecenderungannya kini dalam isu pemilihan pemimpin Umno-BN, pada kaca mata Saudara?

TAMRIN TUN GAFAR: Semasa dia letak jawatan Perdana Menteri di PWTC, Mahathir kata dia tidak akan masuk campur urusan politik dan pentadbiran negara. Mahathir kata tidak macam orang 'seberang' sana. Maksudnya masa itu, Mahathir perli Lee Kuan Yew yang jadi Menteri Mentor pasal dia bergaduh dengan Lee banyak isu.
Tapi, bila zaman Dollah (Abdullah Badawi) jadi Perdana Menteri, Mahathir kempen habis-habisan minta rakyat supaya pilih calon bukan atas dasar parti tetapi pilih calon. Itu kempen Mahathir zaman Dollah tahun 2008 dulu pasal ketika itu dia nak paksa Dollah letak jawatan dan dia berjaya ketika itu.
Tetapi sekarang pula dia kata, "kita mesti menangkan semua calon Umno-BN tanpa kira calon itu bagus tak bagus asalkan dia Umno-BN". Dua bulan dulu, Mahathir pernah kata, kalau Umno-BN nak menang, mesti letak calon-calon luar dari hierarki Umno sekarang kerana pemimpin-pemimpin Umno yang ada sekarang ini mencerminkan rasuah dan penyelewengan kuasa jadi rakyat akan tolak.

Maksudnya, Mahathir bercakap berdolak-dalih?

Jadi, kita nampak Mahathir ini berdolak-dalih. Kejap kata begitu, kejap kata begini. Itu dari segi nak pilih calon. Tak kisah siapa, asalkan Umno-BN, rakyat kena undi. Tapi calon-calon luar ini bermasalah, penerimaan di peringkat bahagian. Itu sebab Najib dalam ucapannya menegaskan tak kira siapa, kita mesti sokong. Dalam tradisi Umno, kalau kamu bukan dari orang bahagian, kamu akan disembelih. Itu realiti yang berlaku.
Semasa zaman Dollah, Mahathir pernah kata Umno parti perkauman tetapi dibidas oleh Nazri Aziz bahawa jika begitu, Mahathir adalah bapa segala rasis selama 22 tahun dia memerintah.Nampak tak..., Mahathir cakap ikut sedap mulut sahaja. Pada masa itu, Mahathir memang nak bantai Dollah saja. Sekarang pula Mahathir kata Umno parti perpaduan, berjuang untuk semua kaum. Lihat, bagaimana lidah bercabang Mahathir.

Macam mana realiti dan praktik sebenar Mahathir berkaitan hal Yahudi-Israel pula sejak dulu hingga hari ini?

Dalam isu Israel ini. Mahathir tuduh Anwar (Ibrahim) sebagai agen Yahudi. Tetapi pada awal 1990-an, senyap-senyap Mahathir hantar Almarhum Tengku Abdullah Rahman (Tengku Abdullah Melewar) sahabat baik dia ke Tel Aviv untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Yahudi dan perkara ini telah terbongkar.
Saya sendiri pada tahun 1994 dalam Parlimen telah menentang tindakan itu. Mahathir jugalah Perdana Menteri pertama yang membenarkan pasukan kriket bertanding di Dataran Merdeka. Seminggu rakyat protes apabila Mahathir benarkan pemain kriket Israel beraksi di Dataran Merdeka. Akibatnya, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayob dipenjarakan sebulan.

Tapi Najib pun macam Mahathir, suka dengan Yahudi Zionis ini...

Memang betul. Kerajaan bawah Najib sekarang ini bayar RM77 juta kepada Apco Worldwide sebagai penasihat. Dua orang ahli lembaga Apco ialah agen Yahudi Zionis dan perkara ini dibangkitkan tapi Mahathir senyap. Dia tak menentang pula walaupun disahkan oleh Musa Hassan baru-baru ini.
Mukhriz, anak Mahathir pula dalam Tweet sebagai reaksi kepada bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang mahu kepastian sama ada Malaysia berdagang dengan Israel atau tidak. Jawapan Mukhriz dalam Tweetnya ialah memang Malaysia membenarkan kapal-kapal Israel berlabuh mengangkut minyak masak dari Pelabuhan Klang untuk Israel beri kepada rakyat Palestin sebagai bantuan.
Tak masuk akal. Sedangkan kita hendak hantar bantuan pun kena tembak. Kenyataan Mukriz sebagai Timbalan Menteri Industri itu tidak masuk akal. Mahathir sekali lagi senyap.

Mahathir dan anaknya telah memonopoli hasil minyak...

Itulah, sepatutnya, Mahathir sebagai Penasihat Petronas, dia mesti tentukan Petronas yang bekalkan petrol kepada kapal terbang MAS diteruskan. Sekarang anaknya pula yang menguasai 19.9 peratus saham dalam Sam Miguel sebuah syarikat arak yang terbesar di Filipina. Nilai harga yang Mirzan beli ialah RM3 bilion.
Katakanlah, bank beri 80 peratus pinjaman, jadi Mirzan perlu cari 20 peratus lagi daripada RM3 bilion iaitu RM600 juta. Mirzan cari duit tunai itu dari mana? Keuntungan daripada itulah diguna beli Exxon Mobil di Malaysia dan dijadikan Petron. Petron inilah yang dibenarkan membekalkan minyak kepada pesawat MAS. Sepatutnya tak boleh berlaku. Keutamaan patut diberi kepada Petronas. Apa guna Mahathir ada di situ? (sebagai Penasihat Petronas). Alasan dia senang saja. Dia cakap dia tiada kuasa dan tidak boleh campur tangan. Kalau begitu, letak jawatan sajalah. Jangan makan gaji buta saja dengan Petronas.
Begitu juga dengan konsesi carigali minyak. Mahathir beri kepada anaknya, Mokhzani melalui syarikat Kencana dan Sapura, Dato' Shahril Shamsuddin. Sekarang ini, kedua-dua syarikat itu bergabung. Persoalannya, mengapa tidak ditenderkan. Bercakap tentang bilion-billion ringgit. Macam mana boleh beri begitu sahaja.
Takkan Mahathir sebagai penasihat, dia tak tahu langsung. Jadi, dia datang pejabat buat apa? Mustahil Mahathir tak tahu. Dia akan beri alasan dia hanya penasihat. Itu helah dia. Negara ini bukan milik dia hingga boleh buat apa saja.
Mahathir juga banyak isu penyelewengan kuasa. Tahun 1990-an, Mahathir salahguna duit rakyat. RM3 bilion digunakan untuk menyelamatkan bisnes anaknya, Mirzan apabila kerajaan membeli syarikat konsesi perkapalan yang dikuasai oleh Mirzan. Masa itu Mirzan hampir nak bankrap. Rugi banyak. Dia gunakan duit kerajaan yang juga duit rakyat untuk menyelamatkan anaknya.

Adakah Mahathir lidah bercabang juga dalam perkara berkaitan Islam?

Dari segi agama, Mahathir ni sudah lama caci Islam. Tahun 1992, kenyataan Mahathir kepada wartawan, dia dah mula kata  apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri nescaya ramailah umat Islam mati dan kudung tangan.
Pada tahun 1997, dia kata tujuan perempuan Arab tutup aurat kerana pada zaman Jahiliah orang Arab mempunyai nafsu kuat sedangkan dalam Quran terang-terang jelaskan hukum tutup aurat ini. Begitu juga, Mahathir kata hudud ialah ciptaan ahli-ahli Feqah. Itu kenyataan dia pada 26 Februari 2012 ketika Konvensyen di Unimas.
Mahathir juga kutuk Rasulullah SAW. "Zaman itu tidak ada 'gillete', tidak ada pisau cukur. Itu sebabnya Nabi ada misai, janggut sebab tak bercukur." Itu kenyataan dia pada 1997.
Terbaru ini, kata Mahathir lebih baik kita berkawan dengan syaitan yang kita kenal daripada malaikat yang kita tak kenal. Itu proverb orang Barat tetapi yang kita persoal apabila wartawan tanya dia di rumahnya masa Hari Raya Puasa, siapa syaitan? Mahathir kata syaitan dan iblis itu ialah Umno-BN. "Kita kenal dia. Kita boleh kerja dengan dia. Malaikat depa tu bukan kita kenal pun. Tak tahu dia baik tak baik". Lihat. Dia tekankan lagi isu ini. Apa jenis Islam Mahathir ini? Mengapa alim ulama, mufti-mufti senyap saja perkara ini.

Dalam isu Anwar macam mana?

Mahathir berbohong besar apabila kata Anwar sendiri tumbuk mata sendiri sampai lebam. Pada masa itu orang Umno percaya apa yang dia cakap. Suratkhabar muka depan keluar. Tapi akhirnya Rahim Noor, Ketua Polis Negara mengaku dia yang tumbuk. Terbukti, itu pembohongan Mahathir lagi.

Semua orang tahu, Mahathir telah 'menelanjangkan' Raja-raja Melayu sebelum ini. Apa tindakan Mahathir semasa dan selepas menjadi Perdana Menteri?

Mahathir yang mula-mula menelanjangkan Raja-raja Melayu dan merampas kuasa raja-raja  tetapi dia juga hentam Prof. Dr Aziz Bari kononnya tak hormati Sultan Selangor. Dia gunakan semua khususnya Umno, media dan sebagainya. Dia adakan perhimpunan rakyat di seluruh negara masa itu. Maki hamun raja-raja. Kami (Pemuda Umno) diarahkan beritahu Sultan Pahang ada 200 kuda dalam bilik aircond. Sultan Pahang kaki judi, kaki mabuk, kaki perempuan, jual balak, jual itu semua. Sultan Johor, Sultan Perak macam-macamlah. Kita 'attack' raja-raja ketika itu atas arahan Dr. Mahathir. Hari ini bila kita tegur, dia pula sekarang jadi pembela Sultan. Itu sebab saya kata dia lidah bercabang.

Mengapa kenyataan dan tindakan Mahathir tak konsisten?

Mahathir buat semua ini pasal jika Pakatan Rakyat menang, pertama, dia akan rasa malu dengan Anwar Ibrahim. Itu pasal dia panik. Tamparan hebat bagi dia. Realitinya, Mahathir turun padang hari ini pasal dia tahu Najib lemah. Najib bukan seorang strategis dan tidak ada kematangan dalam politik sebenarnya. Mahathir kena bantu. Win-win situation.

Pasal apa?

Mahathir risau diheret ke mahkamah kalau Pakatan menang dengan penyelewengan kuasa, rasuah yang dilakukan selama dia memerintah 22 tahun. Tidak cukup dengan itu, dia juga bimbang dengan perniagaan anak-anaknya, Mirzan dengan Petron, Mokhzani dengan minyaknya.
Mahathir juga nak tengok anaknya, Mukhriz bukan sekadar jadi Menteri Besar Kedah saja tapi kalau boleh bila Najib dipaksa turun besok seperti mana yang dibuat pada Dollah, dia akan naikkan Muhyiddin. Suka tak suka Muhyiddin terpaksa ambil Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mahathir 'kamceng' dengan Muhyiddin pasal kedua-dua mereka 'rapat' dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Itu fakta.

Mahathir anggap Najib lemah, bukan strategis

Mengapa kenyataan dan tindakan Mahathir tak konsisten?

Mahathir buat semua ini pasal jika Pakatan Rakyat menang, pertama, dia akan rasa malu dengan Anwar Ibrahim. Itu pasal dia panik. Tamparan hebat bagi dia. Realitinya, Mahathir turun padang hari ini pasal dia tahu Najib lemah. Najib bukan seorang strategis dan tidak ada kematangan dalam politik sebenarnya. Mahathir kena bantu. Win-win situation.

Pasal apa?

Mahathir risau diheret ke mahkamah kalau Pakatan menang dengan penyelewengan kuasa, rasuah yang dilakukan selama dia memerintah 22 tahun. Tidak cukup dengan itu, dia juga bimbang dengan perniagaan anak-anaknya, Mirzan dengan Petron, Mokhzani dengan minyaknya.
Mahathir juga nak tengok anaknya, Mukhriz bukan sekadar jadi Menteri Besar Kedah saja tapi kalau boleh bila Najib dipaksa turun besok seperti mana yang dibuat pada Dollah, dia akan naikkan Muhyiddin. Suka tak suka Muhyiddin terpaksa ambil Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mahathir 'kamceng' dengan Muhyiddin pasal kedua-dua mereka 'rapat' dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Itu fakta.

Apa agaknya Saudara nampak, sikap Mahathir terhadap Najib sebagai Perdana Menteri sekarang?

Dalam perjumpaan-perjumpaan tertutup, Mahathir selalu kata Najib tak cerdik dan dia marah dengan Rosmah Mansor tetapi baru-baru ini dia hadir sama apabila Rosmah lancarkan kapal TLDM. Sekarang, ke mana Rosmah pergi, Mahathir terhegeh-hegeh ikut. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Mahathir tahu Najib sekarang lemah dan tak bijak. Bawah Dollah, dia tak boleh dapat apa-apa. Itu sebab dia caci dan hina Dollah. Mahathir ni pendendam. Sampai sekarang pun, dia caci Dollah lagi. Anwar jangan cakaplah....
Perangai Mahathir memang macam itu. Najib lemah, 'speechless'. Tak boleh buat apa-apa. Anak-anak Mahathir dapat itu dapat ini. Suka tak suka kena bagi. Pemimpin-pemimpin Umno hari ini semua sudah beli insurans.

Kenapa mereka beli 'insuran'... macam ada yang tak kena!

Yalah. Tiba-tiba kes Deepak keluar, Musa Hasan keluar, masing-masing dah macam cacing kepanasan sekarang ini. Masing-masing nak beralih pada Muhyiddin. Mereka tahu Najib akan jatuh tetapi mereka tak tahu Muhyiddin pun akan jatuh juga pasal Barisan Nasional akan kalah PRU-13!
Dulu tak silap ada suatu ketika Mahathir dilabel sebagai manusia paling kuat pembohong, Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya oleh mereka yang sekarang ini jadi pencacai-pencacai Umno seperti Ezam Mohd Nor, Zahid Mat Arif dan lain-lain. Hari ini hanya kerana nak bantuan Mahathir, mereka ciumlah tangan Mahathir tu.

Sepanjang penelitian Saudara, Mahathir ni memang lidah bercabang?

Mahathir ini memang lidah bercabang. Orang Kubang Pasu tahu sangat sifat sebenar dan kenal siapa Mahathir sebenarnya hingga menolak Mahathir sebagai perwakilan Umno Bahagian ke Persidangan Umno Malaysia dulu.

JIM dibubar setelah 22 tahun terlibat dakwah

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) akan dibubarkan, meninggalkan legasinya sebagai salah sebuah gerakan Islam di Malaysia yang amat aktif, lantang  dan berkesan dalam menggerakkan massa sepanjang lebih dua dekad.

Keputusan untuk membubarkan JIM adalah selaras dengan hasrat pertubuhan tersebut untuk menyepadukan semua sumber organisasi di bawah organisasi baru iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), lapor web MalaysiaHarmoni.

“Kami memutuskan untuk membubarkan JIM bagi menyepadukan sumber-sumber organisasi bagi membolehkan kami melaksanakan tugas yang lebih besar dalam masyarakat demi melonjakkan lagi dakwah,” kata Zaid Kamaruddin, Presiden JIM ketika ditemui selepas Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) Khas JIM yang diadakan Sabtu lalu.

Satu PPN Khas yang dihadiri oleh hampir dua ratus orang perwakilan JIM dan Wanita JIM di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah dipanggil untuk membincangkan usul membubarkan JIM.

Perhimpunan yang berlangsung di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur itu akhirnya sebulat suara meluluskan usul pembubaran JIM.

Perhimpunan khas tersebut juga telah meluluskan usul untuk memindahkan semua harta dan aset JIM kepada IKRAM.

IKRAM diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 22 Oktober 2009. Menurut  Undang-undang tubuh Pertubuhan IKRAM Malaysia, IKRAM adalah sebuah pertubuhan dakwah, kebajikan serta tarbiah yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran Islam.

Menurut Zaid, kebanyakkan ahli JIM yang aktif dalam amal dakwah dalam masyarakat kini menjadi ahli IKRAM dan membawa bersama pengalaman-pengalaman berharga. Mereka dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam IKRAM.

“Kekuatan yang ada pada JIM termasuk harta, aset maknawi serta institusi-institusi seperti sekolah, Hidayah Centre dan Raudhatus Sakinah akan diserahkan kepada IKRAM,” ujar Zaid.

“Pengalaman yang kita peroleh semasa bergerak di bawah JIM akan dimanfaatkan dalam membina tapak yang kukuh bagi penglibatan IKRAM dalam masyarakat,” katanya lagi.

Turut hadir dalam PPN Khas JIM ialah Timbalan Presiden JIM, Syed Ibrahim Syed Noh, Naib Presiden Profesor Dr Sahrim Ahmad, Setiausaha Agung, Nahar Md Nor dan Bendahari, Tuan Yaacob Tuan Sof selain Yang Dipertua Negeri-negeri dan daerah-daerah.

JIM ditubuhkan pada 27 Julai 1990 sebagai sebuah gerakan Islam yang memusatkan aktivitinya kepada misi membangun sumber manusia untuk melahirkan insan baik dan yang mengajak kepada kebaikan; membudayakan pendekatan perkongsian dan permuafakatan serta mengislah dan menggembleng masyarakat ke arah penegakan kebenaran dan keadilan sejagat selaras dengan motto JIM, “Bersama Islam Membina Masyarakat”.

Dalam tempoh 22 tahun, JIM dipimpin oleh tiga orang tokoh Presidennya iaitu Saari Sungib, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Zaid Kamaruddin yang berjaya meletakkan JIM sebaris dengan gerakan Islam yang lebih awal bertapak di Malaysia.

Walaupun ditubuhkan pada tahun 1990, usaha  dakwah dan tarbiah oleh aktivis-aktivis JIM dikatakan bermula lebih awal iaitu sejak pertengahan dekad 1970-an lagi tatkala pelajar-pelajar Malaysia lulusan dari universiti-universiti di United Kingdom dan Mesir kembali ke tanah air.

Gerakan dakwah oleh kumpulan ini kemudiannya dikukuhkan dengan penyertaan graduan dari Amerika Syarikat, Australia, Kuwait, India dan dari insitusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

Ditubuhkan oleh Saari Sungib dan sebuah jawatankuasa penaja, JIM dipimpin oleh Saari sehingga tahun 1999. Saari kini aktif dalam politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Ulu Kelang. Dr Mohamed Hatta dan Zaid pula kini masing-masing menjadi Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung IKRAM.

Sepanjang tempoh pengoperasiannya, JIM telah membina hubungan dan jaringan yang amat baik dan luas dengan pelbagai NGO dan juga parti-parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang dan seterusnya berjaya mengambil tempat dan memainkan peranan berkesan dalam masyarakat.

Beberapa orang aktivis JIM berada dalam kepemipinan gabungan NGO-NGO yang berpengaruh dan bereputasi di Malaysia seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Malaysians for Free And Fair Election (Mafrel), Bersih 2.0  dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

“Setiap penglibatan kami dalam gabungan-gabungan NGO ini adalah selaras dengan objektif dan prinsip perjuangan kami,” tegas Zaid mengenai pembabitan JIM dalam gabungan lain.

“Jadi, penglibatan luas ahli-ahli JIM, akan dimanfaatkan dan diteruskan oleh IKRAM,” tambah Zaid lagi.

Umno tidak mampu bertahan lagi

Aspan Alias, 02 Jan 2013
Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Najib dan Rosmah untuk memberikan jawapan kepada semua tuduhan keatas beliau dan isteri oleh Deepak melalui Harakahdaily atau TV PAS.  Nampaknya media perdana tidak mahu membuat liputan ke atas isu yang amat serius itu. Isu yang dibangkitkan terhadap Najib suami isteri oleh Deepak ini bukannya isu yang kecil. Ia merupakan isu yang sangat besar kerana ia menjatuhkan imej negara dan rakyat keseluruhannya di mata dunia.


Bagi saya tawaran Tuan Ibrahim itu sangat baik dan elok diambil perhatian oleh Najib suami isteri. Isu yang dilemparkan oleh Deepak ini terlalu berat dan ia sepatutnya mendapat pembelaan dari pimpinan UMNO yang lain, khususnya dari Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan kepada Najib. Sepatutnya semua ahli-ahli jemaah kabinet memberikan kenyataan sokongan kepada Najib tetapi tidak kedengaran perkara itu berlaku dan nampaknya Najib terpaksa berperang sendirian dalam isu ini.

Semua pimpinan UMNO dalam Kabinet mesti faham yang mereka juga mesti berhenti jika apa yang dituduh terhadap Najib itu ternyata benar. Mereka (menteri-menteri) adalah lantikan Perdana Menteri dan jika Perdana Menteri terpaksa berhenti mereka juga mesti berhenti. Ini adalah amalan moral demokrasi yang sebenarnya.

Hanya Zahid Hamidi yang cuba untuk membantu tetapi Zahid membantu Najib dengan cara yang sangat tidak beretika dan bersalahan dengan moral politik dan etika kepimpinan dengan menggunakan harta rakyat dan LTAT serta Kementerian yang beliau ketuai ini. Hasilnya isu bertambah besar dan tidak ada jalan yang lain yang mampu di lakukan oleh Najib lagi selain dari berfikir untuk meletakkan jawatan dengan semua ahli-ahli jemaah kabinet beliau. Adalah tidak patut lagi barisan kabinet yang ada pada hari ini kekal kerana keadaan sudah terlalu buruk dan tidak wajar terus kekal mentadbir kerajaan.

Jika Najib dan keseluruhan kepimpinan serius untuk menjaga UMNO itu maka itu sahajalah jalan yang sesuai untuk dilakukan oleh Perdana Menteri itu. Jika Najib masih mahu mempertahankan politik beliau sahaja maka keseluruhan UMNO dan beliau sendiri akan menghadapi kecenderungan untuk ditewaskan oleh rakyat dalam pilihanraya kali ini. Najib sepatutnya dengan pantas memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk menyelesaikan isu ini dengan semua ahli-ahli MKT berhenti dan membiarkan ahli-ahli dan perwakilan untuk menentukan kepimpinan baru dalam UMNO itu.

Masalah yang dihadapi oleh UMNO kian hari kian dalam dan tidak nampak kecenderungan untuk parti itu pulih kembali. Najib sudah terlalu terbeban dengan masalah dan beliau pun tidak mendapat sokongan dari kabinet beliau sendiri. Semuanya sedang melukah di tempat yang genting dan sempit. Ramai yang sedang menimba di air yang keruh di dalam UMNO dan nampaknya semakin hari semakin sah UMNO akan tamat usianya melainkan kesemua kepimpinan itu ditukar untuk membawa imej dan aura yang baru.

Tetapi keberangkalian untuk Najib berhenti adalah jauh dari jangkaan kerana jika hijab sudah tertutup tidak ada apa dan sesuatu pun mampu untuk membukanya kembali melainkan dengan kehendak Maha Pencipta. UMNO nampaknya semakin hari semakin banyak isu-isu kotor yang menyelubunginya dan tidak ada kemungkinan untuknya pulih kembali.

Tetapi ia tidak mengapa kerana Pakatan Rakyat mampu untuk mengambil alih tanggungjawab besar terhadap negara ini. PAS boleh menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang kesemuanya beragama Islam dan jika orang Melayu melakukan perubahan seperti ini maka mudah bagi rakyat untuk mencari penyelesaiannya.

Rakan-rakan kita kaum Cina sudah lama membuat keputusan untuk tidak bersama BN lagi. Jika orang Melayu memberikan sokongan terhadap PAS, PKR dan DAP maka pertukaran ini akan berlaku dengan ‘decisive’ seterusnya membawa politik dan aura yang baru dalam kepimpinan negara dan kerajaan selepas itu.

Perubahan itu memang perkara biasa dalam mana-mana demokrasi dan jika ia berlaku di sini, ia merupakan satu kejadian yang pertama kali kita alami dan akan melengkapkan proses demokrasi itu untuk kepentingan rakyat semua kaum di negara ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Abdul Ghani salah maklumat sokongan PAS di Johor

Suhaizan Kaiat, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Orang Melayu Johor dengan sifatnya tidak suka menzahirkan sokongan kepada mana-mana parti politik akan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya akan datang.


Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai sokongan terhadap PAS adalah tidak benar.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan Sinar Harian hari ini menyiarkan kenyataan Abd Ghani bahawa kira-kira 90% orang Melayu Johor menolak PAS.

Ini, kata Suhaizan kerana sejak pilihanraya 1999 sokongan orang Melayu kepada PAS di Johor semakin meningkat.

“Kenyataan Datuk Abdul Ghani ini memberi maksud bahawa PAS hanya mendapat sokongan orang Melayu Johor sebanyak 10% sahaja,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Sinar Harian hari ini menyiarkan kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Abd Ghani Othman yang menyatakan bahawa kira-kira 90% orang Melayu Johor menolak PAS.

Kenyataan Datuk Abdul Ghani ini memberi maksud bahawa PAS hanya mendapat sokongan orang Melayu Johor sebanyak 10% sahaja.

Kenyataan ini adalah tidak benar kerana sejak pilihanraya 1999 sokongan orang Melayu kepada PAS di Johor semakin meningkat.

Walaupun pada tahun 2004, Kerajaan Barisan Altenatif di Terengganu tumbang dan Kelantan menang tipis tetapi sokongan orang Melayu di Johor meningkat.

Pada pilihanraya ke-12 tahun 2008, Dun Sungai Balang dalam Parlimen Muar dengan peratus pengundi Melayu 71.38%, PAS memperolehi 42.42 %. Dun Endau dalam parlimen Mersing dengan peratus pengundi Melayu 77.81 %, PAS memperolehi 34.33 %. Dun Sri Medan dalam Parlimen Parit Sulong dengan peratus pengundi Melayu sebanyak 89.35%, PAS memperolehi 27.99 %.

Data-data ini membuktikan bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor kepada PAS sekitar 30% bukannya 10% seperti yang digambarkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Johor.

Dengan penuh rendah diri PAS Johor merayu tambahan sokongan 10%  orang Melayu bagi menggantikan Umno dalam pilihanraya ke-13.

Dengan bantuan parti rakan seperti PKR dan DAP dan dengan izin Allah, Pakatan Rakyat boleh menawan Johor jika orang Melayu meningkatkan sokongan hanya 10 % sahaja.

Atas keazaman ingin memberi yang terbaik kepada rakyat Johor maka PAS Johor telah membawa balik Salahuddin Ayub dalam pilihanraya ke-13. Penerimaan rakyat terhadap Salahuddin sangat membanggakan. Al-hamdulillah.

Sehingga Umno terpaksa mengadakan retreat untuk menghadapi kepulangan Salahuddin Ayub.

Mungkin juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor mendapat maklumat yang salah daripada penasihat-penasihatnya dengan memberi gambaran sokongan PAS di Dun Sedeli dan Penawar di mana PAS hanya mendapat sokongan sekitar 10% sahaja. Mungkin sokongan inilah yang digunakan oleh Umno untuk mengukur kekuatan PAS di Johor.

Malang bagi Pengerusi Perhubungan Umno Johor mendapat maklumat yang salah. Kedua-dua Dun ini (Sedeli dan Penawar) adalah dalam kumpulan Dun gred C dan PAS tidak meletakkan kedua-dua Dun ini dalam Dun sasaran dalam pilianraya ke- 13.

Saya yakin orang Melayu di Johor telah muak dengan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat bahagian yang bercakaran untuk merebut jawatan sehingga mereka melupakan tanggungjawab mereka kepada rakyat yang mengundi mereka. Hanyalah pada musim pilihan raya pimimpin Umno memohon simpati rakyat.

Rakyat Johor yang rata-rata terpelajar tidak akan tertipu dengan gelagat pemimpin Umno ini.Orang Melayu Johor dengan sifatnya tidak suka menzahirkan sokongan kepada mana-mana parti politik akan membuat keputusan yang tepat dalam pilihanraya akan datang. Insya-Allah.

PKNS optimis pertumbuhan ekonomi Selangor 2013

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013.

“Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat,” ujar Pengurus Besar PKNS, Othman Omar (gambar) dalam satu kenyataan.


Berikut kenyataan penuh beliau.

Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013.

Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat.

PKNS telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dari sudut pembangunan bisnes dan  korporat antaranya termasuk:

1. Projek perumahan di Alam Nusantara, Setia Alam dan Seksyen 24, Shah Alam habis dijual dalam masa 6 jam selepas dilancarkan. Tiada stok hartanah PKNS di luar Lembah Klang seperti Antara Gapi, Kota Puteri dan Bernam Jaya yang kesemuanya habis dijual.

2. PKNS telah membayar kesemua hutangnya (zero gearing) dan kini berada dalam kedudukan kewangan yang begitu kukuh. Keuntungan PKNS pada tahun 2012 dijangka mencecah RM300 juta meneruskan pencapaian cemerlang dan konsisten sejak 2008.

3. Projek perumahan mampu milik di Bukit Botak, Selayang kini dalam fasa terakhir dan dijangka siap pada Mac 2013. Sebanyak 1,422 unit rumah berkembar disiapkan oleh PKNS dalam tempoh tidak sampai 18 bulan setelah terbengkalai hampir tiga puluh tahun ianya terbengkalai akibat pemaju sebelumnya. Kos pembinaan berjumlah hampir RM260 juta di mana PKNS menanggung subsidi sebanyak RM80 juta. Setiap unit rumah dijual pada harga RM99,000 seunit di bawah harga pasaran sebanyak RM300,000 seunit.

4. PKNS turut menanggung subsidi berjumlah RM12 juta untuk membina 124 unit pangsapuri 6-tingkat perumahan mampu milik di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang dijangka siap pada Jun 2013. Malah, PKNS akan membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion untuk membina 12,000 unit rumah mampu milik di seluruh Negeri Selangor dalam tempoh 8 tahun sehingga tahun 2020.

5. Pada tahun 2012, PKNS telah dianugerahkan sebagai Top 10 Property Developer Di Asia Tenggara oleh BCI Asia Awards. Projek Datum Jelatek, Kuala Lumpur oleh Datumcorp International (milik penuh PKNS) turut menerima anugerah Most Iconic Design of The Year oleh Malaysian Reserve Editors' Choice Property Awards.

6. PKNS merupakan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pertama di dalam negara yang menandatangani Lafaz Integriti Korporat (Corporate Integrity Pledge) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). PKNS turut mencatatkan penjimatan (bottomline savings) melebihi RM100 juta pada tahun 2012 hasil daripada inisiatif integriti menerusi proses tender terbuka.

7. Penubuhan PKNS Real Estate (milik penuh PKNS) pada tahun 2012, yang fokus dalam pelaburan dan pengurusan hartanah untuk meningkatkan nilai aset serta menjana pendapatan berterusan bagi PKNS. Ini akan menjadi salah satu aktiviti teras bisnes PKNS.

8. Pembuatan Halal Sutures oleh Worldwide Medivest Sdn Bhd (milik penuh PKNS) akan mula beroperasi pada suku kedua tahun 2013. Alatan perubatan (sutures) ini merupakan yang pertama menurut perakuan syariah di dalam negara dan rantau ini.

9. Rangkaian hotel syariah terulung negara, Hotel De Palma (milik penuh PKNS) telah dianugerahkan piawaian Islamic Standard Quality (ISQ) pada tahun 2012.

10. Pembangunan usahawan Bumiputera merupakan salah satu fokus utama PKNS dan akan memperuntukkan lebih daripada RM15 juta pada tahun 2013 menerusi pelbagai program pembangunan usahawan dan pelbagai subsidi.

Pada tahun 2013, PKNS akan terus menumpukan usaha menerusi aktiviti-aktiviti teras bisnes dalam pembangunan hartanah di Antara Gapi, Kota Puteri, Bernam Jaya dan banyak lagi kawasan-kawasan strategik dan berpotensi. Projek-projek perumahan mampu milik akan diteruskan dengan lebih aktif di Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Taman Sains Selangor 2, Seksyen U12 Petaling, dan di banyak lokasi lain seluruh Negeri Selangor.

Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa PKNS terbukti sebagai jenama yang  dipercayai, berkredibiliti tinggi serta diterima ramai.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan PKNS dengan penuh rasa tawadduk dan rendah diri sedar bahawa pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kepercayaan kerajaan, pihak berkuasa, rakan-rakan kongsi dan rakyat.

PKNS ingin menegaskan tekad dan komitmen organisasi untuk terus mempertingkatkan ekonomi Bumiputera dan rakyat Negeri Selangor menerusi pelbagai program ekonomi,  pembangunan usahawan, pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat.

Semoga tahun 2013 yang bakal mendatang akan membawa harapan baru kepada rakyat Negeri Selangor, khasnya dan Malaysia, amnya.

Lagi anak muda bantah Awang Adek

Aslani M, 02 Jan 2013



BACHOK: Kenyataan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mendakwa kerajaan pusat tidak pernah berjanji mendarat minyak di perairan Kelantan ke Bachok, mengundang lagi kemarahan anak-anak muda.

Baru-baru ini lebih 300 anak muda dan penduduk tempatan menyertai bantahan di perkarangan Masjid Mahmudi Bachok.

Mereka bergabung di bawah Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) dan Solidariti Rakyat Bachok Tuntut Pendaratan Gas ke Bachok (Cabar).

Mereka melaungkan perkataan "Awe Adek pengkhianat", "Awe Adek Koya Cerdik" "Daratkan Gas ke Bachok", "Awe Adek Pengderhaka" dan "Jangan Khianati Rakyat Bachok Kali Ke-2".

Turut hadir pada perhimpunan aman tersebut Setiausaha R, Hisyamuddin Ghazali, Pengerusi R Bachok, Zahari Sidek dan Pengerusi Cabar, Marzuk Shaari.

Hisyamuddin berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai membantah kenyataan Awang Adek yang dinggap ingkar terhadap titah Sultan Kelantan.

Pada awal tahun lepas Sultan Muhammad V ketika bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri berharap gas yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) didaratkan di Bachok.

“Kami mendesak kerajaan dan Petronas mendaratkan gas ke Bachok memandangkan jarak telaga ke pantai Bachok hanya 160 km sahaja.

“Namun kerajaan baru-baru ini mengumumkan gas yang terdapat di perairan Kelantan iaitu di Blok PM301 akan salurkan ke Kerteh mulai 2013.

“Sedangkan kosnya sehingga RM16 bilion bagi membina paip baru sejauh 300 km serta loji penapisan baru,” katanya di sini.

Hisyamuddin juga berkata, berdasar kepada kajian sekiranya gas didaratkan di Bachok ia akan memberikan 11,000 peluang kerja kepada penduduk setempat.

Oleh itu beliau berharap rakyat Kelantan bangkit menuntut gas yang berjumlah 1.7 trillion kaki padu didaratkan ke Kelantan.

“Rakyat Kelantan akan berputih mata sekali lagi selepas pengkhianatan kali pertama bilamana gas dilarikan ke Songkhla pada 2004,” ujarnya.

Jelajah C4-R ke KLCC

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan program Cycling For Royalti (C4-R) hari kedua bermula di Pasar Pagi Kok Lanas jam 8.30 pagi tadi.

Sebelum itu peserta C4-R mengedar 500 keping sticker R dan 500 Buletin R kepada orang ramai di kedai Kok Lanas.

Acara perlepasan dilakukan anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood.

Pengarah Program, Jeming Hassan berkata, sambutan penduduk setempat menggalakkan di mana lebih 200 hadir pada acara perlepasan biar pun dalam keadaan hujan lebat.

“Misi kami seterusnya ke Bachok dan Pasir Puteh. Bachok sepatutnya menjadi tempat pendaratan minyak dan gas.

“Di Pasir Puteh kami akan mengadakan ceramah perdana R di Kampung Gong Tinggi, Dun Semerak malam ini. Presiden R, Nazri Deraman dan Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim akan menjelaskan isu royalti dan pendaratan gas,” katanya.

Esok jelajah C4-R akan bergerak dari Pasir Puteh ke Kuala Terengganu.

Dan esok juga R akan mengadakan perhimpunan aman “Dedah Penyelewengan Wang Ihsan Lesap RM12.3 juta” di hadapan bangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bermula jam 12.30 tengahari.

Jeming juga mengalu-alukan sumbangan kewangan, basikal, jaket keselamatan, helmet, makan-minum dan tempat tinggal untuk peserta C4-R. Sesiapa yang berminat boleh berhubung Cik Nurul: 019 9159559.

Tiada ulasan: