Jumaat, 4 Januari 2013

APA YANG KITA DAPAT ADALAH HASIL DARI TANGAN2 KITA SENDIRI

Amanat: Ustaz Hadi ulangi sedia 'live' bila-bila masa

Harakahdaily, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini sekali lagi menyatakan kesediaannya tampil secara langsung bila-bila masa sama ada di RTM mahupun TV3 bagi menjelaskan berhubung 'Amanat Haji Hadi'.

Dalam kenyataan terbaru di Facebook hari ini, Presiden PAS itu turut berkata, hasratnya itu sebelum ini sudah disiar secara terbuka oleh media dan tidak perlu lagi baginya untuk mengemukakan surat rasmi kepada kedua-dua pihak televisyen tersebut.

"Saya tak ada apa apa. Kerajaanlah yang anjur, saya akan pergi bila bila masa dan dimana jua.

"Surat apa lagi, permintaan satu jam bersiaran media telah siarkan secara terbuka jadi tak perlu buat rasmi. Bukan saya yang cetuskan, dia orang yang minta," katanya.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan kesediaannya memperjelaskan 'amanat' yang dipolemikkan Umno BN itu secara langsung di televisyen perdana.

Beliau meminta masa satu jam untuk sesi penjelasan secara langsung itu dan bersedia menjawab soalan dikemukakan sepanjang sesi penjelasan itu nanti.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dalam kenyataan balasnya berkata, pihaknya tiada masalah memberi ruang berkenaan.

Bagaimanapun beliau meletakkan syarat ia perlu dibuat secara rakaman dan bergantung kepada pertimbangan RTM sama ada sesuai disiarkan atau tidak.

Sehingga kini, hanya RTM melalui Rais Yatim sahaja yang mengeluarkan kenyataan balas terhadap permintaan Presiden PAS itu, manakala TV3 yang juga lancang menyerang Ustaz Hadi dalam isu tersebut, masih membisu.

Rumah, kenderaan Presiden R disimbah cat

Harakahdaily, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Kejadian ugutan ke atas Nazri Deraman, Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Gas dan Minyak Kelantan atau dikenali dengan R yang terus berlaku amat membimbangkan dan mengancam hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Koordinator Pusat Rakyat Cakna Prihatin, Mohammad Faizal Che Yusof, kejadian simbahan cat ke atas rumah, kenderaan dan harta benda Nazri di Kadok, Kelantan yang disedari beliau seawal jam 4.00 pagi tadi adalah ugutan dan tindakan ganas yang kesebelas menimpa penggiat-penggiat R.

“Kami difahamkan laporan demi laporan telah dibuat kepada pihak polis sejak dua tahun yang lalu. Malangnya sehingga kini tiada satu tindakan yang meyakinkan diambil oleh pihak polis bagi mencegah perlakuan jenayah tersebut dari berulang.

“Kami juga penuh yakin bahawa siri-siri ugutan dan kelakuan tak bertamadun tersebut dijalankan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan merasa tergugat dengan kegiatan-kegiatan menuntut hak oleh R,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Baginya, ia dilihat begitu terancang dan bagai dilindungi oleh pihak-pihak tertentu.

Menurutnya lagi, dalam beberapa kejadian lepas, ugutan dan serangan ke atas penggiat-penggiat R begitu ketara.

“Si pelaku dapat dikenal pasti namun tiada sebarang dakwaan atau tindakan pencegahan diambil,” katanya.

Justeru, kata beliau pihaknya menyeru dan menggesa untuk pihak keselamatan memandang Sirius laporan-laporan yang akan dan telah dibuat.

“Kami amat kesal, di sebalik tiadanya perlindungan undang-undang diberikan kepada penggiat R, mereka sebaliknya terus diintip dan diekori oleh pihak cawangan khas Polis Diraja Malaysia,” ujarnya lagi.

Katanya, selaku pihak mendokong aspirasi rakyat dan kedaulatan undang-undang, Pusat Rakyat Cakna Prihatin akan terus menyokong pengukuhan hak-hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru mereka yang di luar sana untuk sama-sama menyokong dan membantu menegakkan keadilan dan memastikan hak-hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dihormati secukupnya.

Emel kepada kami untuk sebarang aduan, pusatrakyatcp@gmail.com – 20 Safar 1434H.

Majalah Perancis terbit kartun hina Rasulullah

Terjemahan Mohamad Yahya, 03 Jan 2013


(Majalah Charlie Hebdo menegaskan isu khas tersebut adalah hasil kajian akademik - AFP)

PARIS: Sebuah majalah satira Perancis, yang pejabatnya telah dilembarkan bom api selepas ia menerbitkan kartun Nabi Muhammad September tahun lepas, telah menerbitkan isu khas kartun satira  Nabi Muhammad yang mengandungi 64 muka surat.

Editor majalah mingguan Charlie Hebdo menegaskan bahawa penerbitan tersebut yang bertajuk "Kehidupan Muhammad", yang diterbitkan Rabu lalu, adalah hasil kajian akademik yang disediakan oleh ahli sosiologi Perancis-Tunisia.

Sebelum penerbitan, Stephane Charbonnier, yang juga ilustrator buku, berkata, "Saya tidak fikir orang Islam dengan intelektual yang lebih tinggi akan menganggapnya tidak sesuai".

Beliau memberitahu agensi berita AFP minggu lepas bahawa "Ia adalah biografi yang dibenarkan oleh Islam kerana ia telah disunting oleh orang Islam."

Isnin lalu, penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan mengecam kerja tersebut sebagai satu provokasi yang disengajakan.

"Melakarkan kehidupan Nabi ke dalam kartun itu sendiri adalah satu kesilapan," Ibrahim Kalin menulis di akaun Twitter beliau.

"Apa pun pihak Carlie Hebdo cuba katakan, ini adalah satu provokasi."

Jurucakap kerajaan Perancis, Najat Vallaud-Belkacem memberitahu penyiar France  2: "Tidak ada keperluan untuk menghangatkan lagi keadaan."

Majalah tersebut telah beberapa kali menerbitkan Nabi umat Islam dalam versi kartun dan mendakwa ia adalah usaha mempertahankan kebebasan bersuara, yang seterusnya mencetuskan kemarahan orang Islam yang percaya menggambarkan Nabi Muhammad adalah satu perbuatan yang dilarang.

September lalu, Charlie Hebdo menerbitkan kartun menghina Nabi ketika protes ganas kepada filem hina Nabi  berlaku di beberapa negara.

Pada tahun 2011, pejabat majalah itu telah dilanda bom api dan laman web digodam selepas menerbitkan edisi bertajuk "Charia Hebdo" yang memaparkan beberapa kartun Nabi Muhammad.

Charbonnier, yang telah menerima ancaman bunuh, kini hidup di bawah perlindungan polis. (aljazeera.com)

Timbalan Presiden PAS kunjungi Ghanoushi

Salmiyah Harun, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Parti An-Nahdah Dr. Rashid Ghanoushi di Tunisia pada 25 Disember baru-baru ini.

Mereka bersama-sama bertukar fikiran dan pandangan berhubung pilihan raya dan masa depan parti An-Nahdah dan juga suasana politik di Malaysia.

Dalam kunjungan selama setengah jam itu, Mohamad turut menyampaikan salam Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada tokoh yang disegani itu.

Mohamad yang ditemani Ajk PAS Pusat Hanipa Maidin, meminta tokoh itu turut mendoakan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti.

An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan dinafikan dan An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara termasuk Dr Rashid Ganoushi sendiri.

Namun pada pilihan raya terbaru Oktober lalu, iaitu selepas berlakunya revolusi rakyat di negara iti, An-Nahdah telah telah mendapat majoriti kerusi dan memenangi pilihan raya tersebut.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Munsif Marzouki, pimpinan An-Nahdah dilantik Presiden Tunisia yang baru.

Sokong tuntut Bertam PM307, serah memo 11 Jan

Harakahdaily, 03 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) menyokong kerajaan Terengganu menuntut hak kedaulatan di kawasan medan minyak yang baru di Blok PM 307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang adalah milik Terengganu, kata Setiausahanya, Shuhaimi Embong.


"Perantau menyokong cadangan menghantar memo tersebut kepada Pengerusi Petronas tetapi dengan syarat, bukan pada Jumaat, 4 Januari ini tetapi bersedia jika ditunda kepada seminggu selepas, itu, yakni Jumaat, 11 Januari pada masa yang sama dan di tempat yang seperti yang dirancangkan oleh sekretariat 'Bertam Hok Ganu Kite',” katanya  ketika ditanya berhubung dengan kenyataan Adun Batu Burok, Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Pengerusi 'Bertam Hok Ganukite', Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kenyataannya pada Harakahdaily pada 29 Disember 2012 berkata, Rakyat Terengganu di Kuala Lumpur akan menyerahkan memo tuntutan kepada Pengerusi Petronas bagi menuntut telaga minyak Bertam diserahkan kepada Terengganu akan diserahkan pada 4 Januari ini selepas solat Jumaat di Menara Kembar Petronas, KLCC.

Dalam kenyataan kepada media selepas mendengar taklimat dan penjelasan daripada Pengerusi  'Bertam Hok Ganukite', malam tadi, Shuhaimi menyeru anak-anak Terengganu di perantauan khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor melupakan perbezaan pandangan politik dan parti bersama-sama menyokong tuntutan itu demi mempertahankan hak dan maruah kedaulatan wilayah negeri Terengganu Darul Iman.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dipetik Bernama berkata pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini, "Kita menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu".

Gangguan air di KL bukti Syabas gagal

Harakahdaily, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Gangguan terbaru bekalan air di beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan termasuk di Bandar Tun Razak sejak dua hari yang lalu membuktikan bahawa Syabas memang tidak mampu untuk menguruskan pembekalan air kepada seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata masalah itu adalah sebahagian kesan daripada projek penswastaan industri air yang tidak dilakukan secara berhemah oleh kerajaan BN Selangor.

"Konsesi air bukan diberikan kepada syarikat yang mampu dari segi pengalaman mengurus dan kemampuan kewangan tetapi atas dasar mahu mengkayakan kroni.

"Rakyat yang akhirnya menanggung beban, beban membayar harga yang tinggi dan risiko catuan air yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru katanya, masalah yang berterusan itu menguatkan lagi azam kerajaan negeri untuk terus mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 atau WSIA.

Sehingga kini katanya, Kerajaan Persekutuan sengaja melambat-lambatkan proses penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu jelasnya, bagi mengatasi gangguan bekalan air yang dijangka berlarutan dan akan menjejaskan lebih 100,000 akaun pengguna, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan bantuan dengan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bersiap sedia dengan lori-lori tangki air.

Semalam,  Kerajaan Negeri telah meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghantar lori tangki air ke kawasan terlibat di Bandar Tun Razak, Hulu Langat dan Ampang, ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar juga telah meminta Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor untuk memantau pembekalan air di seluruh negeri dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Pelan bantuan juga telah disediakan termasuk menghantar  lori-lori tangki air ke kawasan yang bermasalah.

"Sehingga hari ini,  sebanyak tujuh lori tangki air telah dihantar oleh PBT-PBT di Selangor ke Wilayah Persekutuan khusus ke kawasan yang terjejas teruk akibat kegagalan Syabas menyelenggara rumah pam air dan membuat pemeriksaan berkala," katanya.

Padanlah Ketua Pemuda Umno macam itu

Harakahdaily, 02 Jan 2013

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa simpatinya dengan Pemuda Umno yang mempunyai ketua tetapi tidak dihormati langsung oleh Umno.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) yang mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mengenai 'isu Amanat Haji Hadi' hari ini.

Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa siaran langsung penjelasan Presiden PAS adalah merbahaya.

"Saya hanya ingin menyuarakan simpati kepada Pemuda Umno kerana mempunyai ketua seperti ini.

"Barangkali inilah faktornya beliau tidak terpilih menjawat apa-apa jawatan dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekalipun memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno," kata Abdul Latif dalam kenyataannya hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Latif berkata, beliau terpanggil untuk memberikan respon terhadap kenyataan beberapa orang mufti berkaitan isu permintaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk muncul di kaca televisyen secara langsung bagi memberikan penjelasan berkenaan apa yang didakwa sebagai 'Amanat haji Hadi'.

Kenyataan para mufti yang dimaksudkan ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar-akhbar pada hari ini 2 Januari 2013.

"Saya ingin melahirkan rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan pandangan para mufti yang beranggapan bahawa siaran langsung penjelasan tersebut tidak perlu kerana akan menambah kekeliruan," katanya.

Bahkan ada yang mempertikaikan niat sebenar Presiden PAS tersebut adakah mahu memberikan penjelasan ataupun mahu mencari populariti?

"Pada saya, tidak timbul isu mencari populariti kerana pihak yang mencetuskan kembali isu yang telah berlalu tiga dekad ini ialah media massa milik UMNO/Barisan Nasional sendiri," katanya.

Katanya, Presiden PAS telah dikutuk dan dilanyak selama berminggu-minggu dengan pelbagai jenis kecaman dan tohmahan, justeru beliau berhak untuk memberikan penjelasan yang boleh diakses oleh semua pihak.

Sekiranya penjelasan Presiden PAS dibimbangi menimbulkan kekeliruan, adakah para mufti sendiri sanggup menegur sikap kerajaan yang membenarkan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen yang tentunya mempunyai kesan sosial terhadap anak muda? soal beliau.

"Adakah adil namanya apabila ucapan Presiden Umno ketika Perhimpunan Agung Umno disiarkan terus menerus secara langsung namun hak Presiden PAS untuk memberikan penjelasan ke atas fitnah yang dilemparkan hanya untuk sejam telah dinafikan?

"Tidakkah ruang sejam yang diberikan kepada Presiden PAS itu boleh dijawab semula dengan penjelasan selama berminggu-minggu oleh para mufti ini?

"Atau mufti-mufti ini merasa tidak yakin dengan kemampuan ilmu yang ada pada mereka untuk menjawab kembali penjelasan Presiden PAS?" soal beliau lagi.

Perlu diperjelaskan, katanya, beliau menghormati para mufti atas ilmu dan kedudukan yang dimiliki, "namun dalam hal ini saya memohon izin untuk berbeza pandangan."

"Pada saya, jika para mufti hanya ingin bersuara di atas kepentingan Umno/Barisan Nasional, lebih tepat jika sekiranya berundur secara terhormat dan menyertai politik sepenuh masa.

"Justeru, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Presiden PAS berhak diberikan peluang untuk muncul secara langsung melalui televisyen bagi memberikan penjelasan.

"Adapun cadangan agar beliau menggunakan web tv melalui internet adalah tidak relevan sama sekali kerana ia tidak mampu dicapai oleh semua pihak berbanding fitnah dan tohmahan terhadap beliau yang telah diulang-ulang selama beberapa minggu melalui media massa utama," tambahnya.

Amanat: Penjelasan 'live', Umno tunggu apa lagi?

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS mendesak Umno untuk segera memberikan ruang kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang muncul secara langsung di televisyen bagi menjelaskan polemik berkaitan isu 'Amanat Hadi'.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, Umno sewajarnya tidak perlu berlengah selepas Presiden PAS itu telah menyatakan hasrat mahu membuat penjelasan secara langsung sama ada di saluran RTM ataupun TV3.

Sebelum ini katanya, Umno bertali arus menggunakan seluruh saluran mereka menyerang Tuan Guru Abdul Hadi dengan mencabar Presiden PAS itu menjelaskan 'amanat' yang dikeluarkan kira-kira 30 tahun dahulu di Banggol Peradong.

"Umno nak tunggu apa lagi? Ustaz Hadi sudah buat permintaan. Segerakan kemunculan Presiden PAS di TV1 dan TV3.

"Saya harap akan ada suatu tindakan dalam masa yang terdekat untuk menunjukkan komitmen mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, Umno kini dilihat tersepit dengan permintaan Presiden PAS itu sehingga terpaksa mencipta pelbagai alasan untuk mengelaknya.

Malah katanya, Umno kini dilihat cuba 'mencuci tangan' dengan meletakkan pula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta mufti untuk berdepan dalam isu ini.

"Umno jangan guna institusi agama termasuk mufti untuk menggagalkan permintaan Ustaz Hadi ini.

"Taktik ini samalah seperti yang digunakan untuk membatalkan Debat PAS-Umno pada tahun 1985," katanya lagi.

Najib wajar dijemput

Sebelum ini ketika bercakap kepada Sinar Harian, Salahudin secara sinis mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dipanggil bersama dalam forum yang dicadang Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Salahudin berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di televisyen bersama Ustaz Hadi adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, jemputan dibuat itu adalah perkara kedua, yang penting bagi PAS penjelasan amanat presiden perlu dibuat secara langsung di televisyen.

Dalam laporan media kelmarin, Rais berkata, tokoh agama dan mufti akan turut dijemput untuk bersama dalam satu forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Ustaz Hadi bagi memperjelas amanatnya.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatarbelakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita."

Pakatan jumpa KPN bincang Himpunan 12 Jan

Nazri Abdullah, 02 Jan 2013

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara berhubung penganjuran Himpunan 1 Juta Rakyat di Stadium Merdeka pada 12 Januari ini.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Mohamad Sabu, berkata pertemuan itu akan disertai pemimpin utama ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dalam masa terdekat.

"Pertemuan itu bagi membincangkan agar pihak polis memberi kerjasama supaya himpunan itu nanti berjalan dengan baik.

"Kita memberi jaminan bahawa himpunan itu nanti akan berlangusung aman," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu HKR Hishamuddin Rais.

Selain itu kata Mohamad, pihak jawatankuasa induk sekretariat HKR pula, akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Wilayah Persekutuan bagi memaklumkan berhubung penganjuran himpunan itu.

Najib tunai janji

Sementara itu, Mohamad memberitahu, sehingga kini pihaknya belum menerima jawapan dari pihak pengurusan stadium terhadap surat permohonan yang dihantar 26 Disember lalu.

Ketika ditanya sama ada penganjur mempunyai alternatif lain jika stadium itu tidak dapat digunakan, beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janji untuk membenarkan himpunan tersebut diadakan di stadium itu seperti yang dinyatakan ketika himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

"Buat masa ini hanya Stadium Merdeka. Saya yakin Perdana Menteri akan menepati janji," katanya.

Pada himpunan yang akan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang itu juga nanti, satu deklarasi rakyat yang dinamakan sebagai 'Deklarasi 12 Jan' akan dibentangkan.

Beliau juga memaklumkan himpunan serupa akan diadakan rakyat Malaysia di luar negara seperti himpunan Bersih lalu.

Muhyiddin kudeta kuasa Najib?

Mohd Sayuti Omar, 02 Jan 2013

RENCAH FIKIR

Menjelang 1 Januari 2013 dengan rasminya Muhyiddin Yassin mengambil alih (kudeta) 'kekuasan' dalam Umno daripada Najib Razak tanpa menukar status jawatan. Ramai yang tidak terperasan transisi secara senyap ini. Malahan di dalam Umno sendiri ramai yang tidak tahu mungkin menafikan kalau diberitakan hal ini. Mereka mengira ketiadaan Najib dalam negara sejak 30 Disember ialah rutin biasa kerana bercuti di luar negeri.
Orang Umno apa lagi di peringkat bawahan begitu naif untuk membaca gerak dan gelombang dalam parti itu. Sebab itulah mereka mudah untuk diperdayakan oleh pemimpin mereka. Bagi tahu apa saja mereka akan percaya dan tidak terliur untuk 'mengogeh-ogehkan' apa saja diberi tahu. Kalau dikatakan ahli Umno taksub sampai peringkat hujung kasut mereka marah.

Selain itu mereka yang menyayangi Najib cuba membuat penjelasan pemergian Najib ke luar negara di akhir tahun adalah kebiasaan, untuk berihat atau release tension. Lagi pun kebetulan beliau ada misi perdagangan dalam mencari pelabur untuk membahkan pendapatan negara. Indeks perdagangan negara perlu dinaikkan untuk memberi tahu rakyat Najib layak dan ada wibawa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. Najib kena lakukan dan membukti dia hebat dari Anwar Ibrahim kalau tidak dia akan ditolak oleh rakyat.
Setiap kali Najib ke luar negara dan menanda tangani MoU maka akan dihebohkan kononnya pelabur asing meningkat di negera ini. Kalau dihimpunkan jumlah atau nilai pelaburan asing ke negara ini yang dikatakan Najib rasanya negara sudah kelebihan modal dan rizab negara pun sudah lebih dari mencukupi. Anehnya kenapa pula negara memiliki hutang sebanyak RM476.68 billion?

Najib dikesan berada di luar negara pada hari 28 Disember, beliau sempat hadir menziarahi body Lim Keng Yaik. Sampai hari ini Najib masih lagi belum menampakkan kelibat batang hidung. Sebelum asap pembakaran body Keng Yaik habis berarak ke udara Najib dan isterinya sudah menghilang.

Ada juga desas desus mengatakan Najib mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Umno di London. Mereka terdiri dari pengerusi perhubungan Umno. Antara yang ke sana ialah Noh Omar, Mustapa Mohamed, Zambry Abdul Kadir dan yang lain-lain. Pertemuan itu kononnya untuk finalis calon-calon Umno. Kok ya pun kenapa sampai ke London tidak bolehkah difinaliskan di dalam negara. Apakah masalahnya?

Biasanya kalau sesuatu bekalan atau bungkusan sylit itu dibawa jauh ke tempat asing besarlah masalah atau pun wap busuk yang ada dalam bungkusan itu pasti memeritkan hidung banyak pihak.

Pun begitu pertemuan itu tidak menjadi isu kerana ia ditenggelami dengan apa yang berlaku di dalam negara. Pemerhati sendiri tidak begitu terfokus kepada Najib tetapi lebih melihat apa yang berlaku dalam negara (Umno). Pemerhati sedang melihat gelagat dan juga tindak tanduk Muhyiddin memenuhi beberapa slog kenegaraan sementera Najib pulang.

Kemunculan Muhyiddin bersama isterinya, Noraini Abdul Rahman di malam mengira detik 12 malam memberi konotasi tersendiri. Tidak sepatutnya Najib masih berehat di luar negara atau shoping mega hujung tahun dengan Rosmah Mansor. Apakah shopping mega itu untuk menghabiskan wang yang diterima Rosmah dari pelbagai sumber komisen? Detik 12 malam tidak penting, namun sebagai PM Najib harus bersama rakyat mengobarkan semangat dan menggelombangkan aspirasi tahun baru.

Najib seharusnya mengepalai menanamkan azam untuk tahun 2013. Walaupun ada perutusan rasmi ia tidak mencukupi kerana rakyat mahukan sentuhan langsung. (Katanya perutusan Najib dipotong 15 minit dari time asal).

Atau apakah Najib sudah dapat merasai bahawa rakyat terutamanya generasi muda tidak begitu mengkaguminya jadi kehadirannya tidak dinanti. Mungkin Najib ingin mengelakkan malu sekali lagi seperti berlaku pada tahun lepas. Countdown detik 12 malam tahun baru yang dihadiri Najib tidak berapa ramai berbanding dengan majlis sama yang dihostkan oleh Azhar Idrus di Shah Alam. Jadi untuk tidak berulang aib itu lebih baik dia tidak bersama detik 12 malam untuk dia tidak dibandingkan sekali dengan Azhar Idrus.

Ketiadaan Najib dan diganti dengan Muhyiddin itu katanya ada sangkut paut dengan perkembangan terbaru di dalam Umno. Laporan terbaru mengenai prestasi UBN dan Najib tidak memihak kepada Najib. Najib yang sebelum ini dilaporkan oleh berbagai pusat penyelidikan yang menjadi pak angguk kepada Umno, memberi nilai dan graf tinggi kepada Najib.

Peratus popularitinya meningkat dari bulan ke bulan, kononnya jauh meninggalkan populariti bakal PM Anwar Ibrahim. Tetapi laporan lain yang boleh dipercayai pula mendapati populariti Najib menurun di bawah 50%. Satu laporan kajian disediakan sebuah Pusat Pengajian Tinggi baru-baru ini katanya palsu dan ia dibuat untuk mempengaruhi pemikiran umum serta menyedapkan hati Najib saja. Najib sendiri tahu akan kebenaran dan result kajian itu. Ada cerita mengatakan pengarah kajian itu kena sepak oleh pegawai Najib.

Penampilan Najib di perhimpunan agung Umno yang tidak begitu memberangsangkan turut memberi kesan kepada UBN. Antara punca utama ialah tiada apa-apa pembaharuan dan lonjakan semangat dilakukan Najib dalam perhimpunan agung Umno lalu. Najib dilihat gagal untuk membangkitkan semangat orang di luar Dewan Merdeka menerusi perhimpunan berkenaan. Perhimpunan ke 60 itu sendiri lunyah dan lemah tanpa bersemangat.

Tindakan Najib dan beberapa pemimpin lain terus menyerang dan menghina pemimpin Pakatan Rakyat tidak mendapat tindak balas memuaskan dari rakyat. Satu kajian sikap selepas itu mendapat kredibiliti Umno di tangan Najib semakin jatuh dan merendah ke bumi hina.  Orang ramai yang mengharapkan menjelamanya politik yang gentleman dan berdasarkan fakta kecewa degan Najib.

Selain itu pendedahan tauke karpet yang baik dengan Rosmah Mansor, Deepak Jaikishan turut memberi kesan buruk kepada Najib. Pendedahan itu menyebabkan rakyat mengenang kembali kepada kejadian yang menimpa jelitawan Altantuya Shaariibuu. Kegagalan Najib untuk menjawab dan menjelaskan menyebabkan rakyat mengesahkan bahawa apa-apa yang didedahkan oleh Deepak.

Najib sendiri terkaku tatkala isu itu didedahkan. Seluruh sendi dan ototnya menjadi lemah gemulai sebaik mendengar pendedahan itu. Orang yang dijadikan pendukung dan hambanya dalam politik, Ahmad Zahid Hamidi yang mula menunjukkan kejantanan beriya untuk menjawab apa yang didedahkan Deepak akhirnya diam membisu. Pembisuan Zahid itu menambahkan kecurigaan orang ramai kepada Najib dan menganggap apa didedahkan Deepak itu benar. Zahid hari ini jadi seperti tak ubah anak burung yang baru tetas yang tergelongsor dari sarangnya yang dibuat atas pokok tinggi. Kepanasan. Dia dikatakan melakukan kesilapan besar bila memberi reaksi terhadap pendedahan Deepak itu. Dalam politik kalau ada reaksi bermakna sesuatu itu ada prima facie.

Atas prestasi dan perkembangan baru itulah menyebabkan ada olak baru di dalam Umno. Ada konsensus kecil dibuat di kalangan tertentu bahawa Najib tidak mampu untuk mengemudikan pilihan raya umum akan datang. Masalah dan isu yang mengelilingi dirinya dan isterinya menjadi liabiliti kepada Umno. Justeru konsesus itu membuat keputusan orang lain hendak diletak di hadapan bagi mengelirukan rakyat bagi tidak menampakkan Umno bermasalah.

Dalam hal ini Muhyiddin telah diberi tugas dan tanggungjawab. Konsesus itu membuat penilaian kalau Muhyiddin duduk di hadapan menyebabkan rakyat tidak akan nampak Rosmah dan Altantuya serta Deepak. Muhyuddin pula setakat ini tidak ada isu-isu peribadi yang boleh menggeletek hati rakyat untuk diketawakan seperti mana rakyat mentertawakan Najib yang cuba menyembunyikan segala macam isu itu.

Dalam pada itu Mahathir Mohamad direstui memainkan peranan besar. Mahathir kini secara tidak langsung menjadi penasihat kepada pengarah pilihan raya BN, yang disandang oleh Muhyiddin secara kudeta dari Najib. Sebab itulah kini Mahathir bergerak ke hulu ke hilir memberi penerangan dan juga arahan. Demi untuk menang Mahathir terpaksa menambah beberapa jenis pil suplimen lagi untuk menjadi kesihatannya tidak terganggu. Katanya Mahathir sendiri mengakui kerjanya untuk memastikan UBN menang kali ini adalah paling kuat berbanding dengan kerja yang sama sebelum ini. "Saya tidak sesungguh hari ini untuk memenangkan BN," katanya.

Beberapa siri pertemuan dengan pimpinan bahagian atau pun entiti Melayu dan NGO yang kononya berjuang membela Melayu dan Umno juga diadakan. Hampir setiap hari program untuk Mahathir diatur. Lihat di media PB siapa yang kerap muncul hari ini, Mahathir atau siapa. Kekerapan Mahathir muncul dan ruang yang diperolehinya di tv lebih tinggi berbanding dengan pemimpin kanan Umno yang lain, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafei Apdal dan lain-lain. Mahathir seakan bertindak menjadi ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri! Hebat.

Mengenai Najib di luar negeri, apakah dia sengaja untuk menguji keupayaan Muhyiddin dan Mahathir? Kalau benar seperti yang dijangkakan itu ia adalah satu kesilapan. Mahathir yang kini dianggap sebagai bomoh tua yang mampu mengubati sakit Umno dan menyihirkan orang Melayu tua dengan mitos dan bidaahnya sudah memperolehi momentum untuk bergerak terus mengatur strategi dan agendanya.

Apa dilakukan Mahathir dan Muhyiddin ialah untuk memastikan Najib tidak mengepalai pilihan raya. Sudah ada agenda di sebalik kerjakuat untuk kemenangan UBN itu adalah untuk menyingkir Najib dari menjadi perdana menteri. Mahathir ada perhitungan lain dalam hal ini, bukan dia begitu rindu sangat Muhyiddin jadi PM, tetapi dia mahu anaknya Mukhriz segera menduduki kerusi timbalan perdana menteri.

Kemenangan UBN bagi Mahathir bukan juga untuk menyelamatkan Najib, Rosmah dan lain-lain tetapi utamanya menyelamatkan dirinya sendiri. Kerana sudah pasti kalau UBN jatuh nasib Mahathir akan jadi seperti Hosni Mubarak atau Saddam Hussein ataupun para diktator lain. Yang terbayang di mata Mahathir kini bukan lembaga anaknya berada di kerusi TPM tetapi jerjak-jerjak besi, tirani.

Sesunggunya ketiadaan Najib sehari dua ini bukan satu kebiasaan tetapi ia perlu dilihat dengan penuh misteri. Ha guana Mat, Mat mana lagi Mat Maslan lah. Fikir Mat... - http://msomelayu.blogspot.com

Sungai sama tetapi Golok selamat, Tumpat banjir

Rizal Tahir, 02 Jan 2013


(Datuk Kamarudin [baju kuning] menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada mangsa banjir)

TUMPAT: Rakyat di seluruh negara khususnya Kelantan diminta menolak kerajaan Umno dan BN memandangkan pemimpin parti itu telah lama mendera rakyat Kelantan khususnya dalam pembinaan tebatan banjir.

Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata akibat penderaan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN, masyarakat Kelantan khususnya Tumpat dan Rantau Panjang terdedah dengan banjir.

Menurutnya, ianya berlaku berikutan keengganan kerajaan Pusat membina tebatan banjir sebagaimana kerajaan Thailand membinanya di Sungai Golok.

“Aliran air sungai yang sama, iaitu Sungai Golok, tetapi rakyat Thailand terselamat dari masaalah air banjir, sebaliknya rakyat Malaysia di Kelantan ini menderita akibat keenganan kerajaan untuk membina tebatan itu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas melakukan lawatan dan penyampaikan sumbangan banjir kepada hampir 1,000 keluarga di Dun Pengkalan Kubur Isnin lalu.

Jelasnya, permohonan itu telah dinyatakan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dauglas Unggah Embas.

Malah, katanya menteri itu telah menghantar pegawainya untuk menyiasat berhubung dakwaan itu di Tumpat khususnya di kawasan banjir.

Menurut beliau, bidang kuasa projek sebegitu adalah di bawah pusat bukannya kerajaan negeri.

“Pada masa yang sama kita juga turut memohon perkara itu diselesaikan melalui Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, Datuk Seri Nazri Aziz, bagaimanapun sehingga hari ini ianya tetap sama,”ujarnya.

Untuk itu, katanya tiada gunanya rakyat memberi ruang pada kerajaan BN memerintah negara sekiranya nasib mereka diabaikan.

Kamaruddin melakukan lawatan dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa di tiga tempat, Kampung Telaga Bata, Kajang Sebidang dan Telok Jering.

Sumbangan itu berupa beras, gula, biskut, sardine serta keperluan harian yang lain.

Dakwaan Deepak: Muhyiddin dirayu selamatkan Umno?

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Sumber Harakahdaily di Umno muncul kembali di 2013, kali ini dengan menyatakan bahawa parti terbesar Melayu itu kini amat tertekan dengan dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

“Kami tidak boleh bersuara dalam isu (dakwaan Deepak). Kami diarahkan tidak boleh berkata apa-apa. Malah semua media pro-kita tidak boleh melaporkan mengenai dakwaan Deepak. Kami tertekan kerana tahu isu ini adalah bom C4 buat Umno di PRU13,” kata sumber itu kepada Harakahdaily hari ini.

Sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi Umno berkata, ramai dalam Umno kini memohon Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertindak menyelamatkan Umno daripada ditenggelamkan oleh Najib dan isterinya.

“Masalah ada pada wanita tersebut… yang lelaki itu ok, tapi apa nak buat, mereka suami-isteri. Jadi, kalau nak buang wanita, kena buang yang laki bersama. Kami dok doa Muhyiddin akan bersuara untuk memanggil Najib turun takhta demi survival Umno,” kata beliau.

Ditanya samada beliau mempercayai dakwaan Deepak, sumber itu berkata “ada perkara yang boleh dipercayai” terutamanya mengenai bahagian-bahagian mengenai Rosmah.

“Tapi kebenaran dalam isu itu bukan lagi pokok yang dibimbangi oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Umno. Mereka bimbang isu ini menjadi bom C4 yang meletup di muka Umno-BN menjelang PRU13 lagi. Sekarang pun dah hangat, walaupun tak lapor, semua sedang mencari-cari buku yang Deepak keluarkan,” katanya lagi.

Isnin lepas, buku 'Black Rose 1.0' mula diedarkan kepada umum. Buku setebal 26 muka surat sahaja itu penuh dengan pendedahan.

Namun ketika dihubungi Harakahdaily, Deepak enggan mengesahkan beliau yang menulis dan menerbitkan buku itu.

Sumber Umno itu seterusnya memberitahu, Umno cuba menutup isu Deepak dengan isu Amanat Haji Hadi yang sedang diperbesarkan dan disensasikan, supaya orang Melayu lebih tertumpu pada isu yang sudah 31 tahun berlalu itu mengenai Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang daripada dakwaan Deepak.

“Isu Amanat Hadi ini sengaja dibesarkan – tapi apabila Haji Hadi minta jawab secara live semua kalut, tak tahu nak respon – jawapan berterabur. Tapi mereka akan terus main sehingga Deepak dapat disenyapkan,” kata beliau.

Ditanya apakah Umno percaya isu Amanat Hadi ini akan membawa undi pada mereka, sumber itu ketawa – “Ini untuk tutup isu Deepak sahaja, yang lain mereka tak pernah fikir pun.”

“Sekarang kami berharap Tan Sri Muhyiddin akan mengorak langkah, diharap beliau mendapat sokongan daripada bekas PM Tun Dr Mahathir. Kalau tak, Umno dalam bahaya. Tak berbaloi jika Umno jatuh kerana satu wanita yang…. “ kata sumber itu.

Ditanya apakah sambungan pada ayat tersebut, sumber itu berselorah, “Lu fikirlah sendiri.”

“Ahli-ahli Umno sekarang berharap Muhyiddin yang menerajui Umno ke PRU13. Masa ada 6 bulan sahaja lagi. Sempat jika Muhyiddin bergerak sekarang, beliau akan dapat sokongan padu jika beliau berani bersuara. Rasanya Tun Dr Mahathir pun dah terima siapa  liabiliti sebenar buat Umno-BN masa kini,” tambah sumber itu lagi.

Ditanya apakah strategi Umno menjelang PRU13, sumber itu berkata, “Apa lagi? Serang PAS habis-habisan sehingga PAS keluar Pakatan Rakyat. Kemenangan mutlak Pakatan bergantung sepenuhnya pada PAS. Jika PAS gagal tawan undi Melayu, Umno kekal menjadi kerajaan. DAP dan PKR bukan lawan Umno sebenar. Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi Perdana Menteri kalau PAS tewas. PKR, DAP boleh menang lawan MCA dan MIC tapi Umno mesti tidak boleh kalah pada PAS. Jika tewas, BN akan jadi pembangkang.”

Harakahdaily turut cuba mengusik sumber apakah nasihat yang beliau ada untuk PAS.

“Bertahan dan jangan masuk perangkap seperti isu kalimah Allah. Penjelasan (Ketua Penerangan PAS) Tuan Ibrahim matikan satu senjata Umno terhadap PAS. Kini isu Amanat Hadi, Haji Hadi bertahan bagus untuk PAS, kerana dah nampak semua peringkat ahli dan pemimpin PAS kini rally (bersatu) di belakang presiden mereka untuk melawan Umno. Umno selama ini harapkan PAS berpecah dengan menggunakan si Jati dan kawan si Jati yang masih dalam PAS, tapi disebabkan nak tutup isu Deepak, kini mereka terpaksa guna isu amanat Haji Hadi, yang sebaliknya, telah menyatukan PAS semula,” katanya.

Ditanya samada beliau mengharapkan Umno akan tewas di PRU13, “Untuk negara, naluri saya kata ya. Demi diri sendiri, tidak. Sini tempat cari makan saya,” katanya sebelum beredar.

Datuk Bandar PJ baru amal dasar pintu terbuka

Selangorku, 02 Jan 2013
PETALING JAYA: Warga Petaling Jaya akan dapat menengahkan aduan mereka secara terus kepada Datuk Bandar baru Datin Paduka Alinah Ahmad, yang mahu mengamalkan dasar pintu terbuka atau open door policy.
Melalui dasar tersebut, Alinah antara lain akan memberi ruang selama sejam pada setiap hari bekerja untuk warga Petaling Jaya bertemu dan memanjangkan aduan kepadanya sendiri secara empat mata.

“Semua orang boleh berjumpa saya pada setiap hari dengan mengadakan temujanji terlebih dahulu.

“Ini juga merupakan salah satu cara untuk menilai samada perkhidmatan atau apa yang MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) lakukan menepati ‘expectation’ warga Petaling Jaya,” jelas beliau yang memulakan tugas hari ini.

Beliau juga akan menekankan dasar menyelesaikan aduan orang ramai dalam dua minggu.

“Saya sendiri akan mengadakan mesyuarat ‘follow up’ setiap dua minggu sekali, seterusnya memastikan agar masalah-masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin selewat-lewatnya dua minggu,” tegas Datuk Bandar Wanita Pertama Malaysia ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Upacara Penyerahan Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya pagi tadi.

Selain itu, Alinah berkata beliau sendiri akan turun padang memantau warga kerjanya untuk memastikan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan cekap dan efisien.

“Saya tidak akan memberitahu sesiapa. Sebaliknya saya lebih suka mengadakan ‘suprise visit’ kerana dengan itu baru kita tahu samada mereka buat kerja atau tidak,” jelasnya lagi.

Beliau juga akan memberi perhatian kepada pengurusan aset MBPJ selain perancangan untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya bertaraf dunia.

Pagi tadi, Alinah menandatangani Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya dengan disaksikan Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib dan di hadapan ahli-ahli majlis MBPJ di Dewan Bunga Tanjung Ibu Pejabat MBPJ,

Alinah sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selain pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Kuala Langat dan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) Setiausaha Kerajaan Negeri.

WWW1: TV3 akui tak buat pengesahan twitter Nizar

Muhammad Faeez Azahar, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dalam perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap TV3, Pengarang Urusan Kumpulan Editor Media Prima Berhad, Datuk Mohd Ashraf Abdullah mengakui bahawa TV3 tidak membuat sebarang usaha untuk pengesahan daripada sumber asalnya.

Ketika diajukan soalan oleh Peguam mewakili Nizar, Mohd Fitri Asmuni, defendan (Ashraf) bersetuju ianya perlu dibuat sedemikian mengikut etika dan amalan media.

Ashraf yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam bidang tersebut turut bersetuju isu yang dilaporkan oleh TV3 menerusi Buletin Utama 30 Mei tahun lalu berkenaan Twitter plaintif (Mohammad Nizar) adalah isu besar dan serius.

Ini kerana ianya melibatkan Plaintif sebagai tokoh politik dan Istitusi Di Raja iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Defenden turut bersetuju bahawa dalam kes-kes yang dianggap serius sebegini, sekiranya defendan-defendan gagal mendapatkan pengesahan sebelum sesuatu berita itu diterbitkan, ianya akan menjejaskan salah satu pihak.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Mantan Menteri Besar Perak mendakwa, TV3 telah memutar belitkan kenyataannya di laman sosial tersebut yang langsung tidak menyebut Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1.

Jelas beliau, TV3 perlu menyemak tentang kesahihan berita tersebut sebelum disiarkan kepada umum.

Katanya, ianya mungkin bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik, ahli parlimen dan ketua pembangkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Jelas beliau, penyiaran berita yang diputarbelitkan itu berniat jahat untuk memberi gambaran negatif terhadapnya berkaitan dengan istitusi Di Raja.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sebelum ini membuat keputusan untuk menyaman media tersebut sebanyak RM50 juta selepas memfitnah beliau mengatakan Nizar menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1 berharga RM520 ribu.

Perbicaraan tersebut berlangsung semalam di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur ditangguhkan dan akan bersambung Jumaat ini.
Turut hadir memberi sokongan ialah Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Madhi Hasan dan Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Safarizal Saleh
Iklan Teks

Tiada ulasan: