Pemilihan calon BN, Pakatan jadi tumpuan
4 April 2013
Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn di sini untuk memperkukuh segala kelonggaran sebelum mengemukakan manifesto BN pada Sabtu ini, dengan perdana menteri juga berjanji akan mengumumkan nama calon lebih awal sebelum hari penamaan calon.
Momentum bergerak laju apabila Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, yang dispekulasi bahawa segalanya akan berakhir menjelang bulan ini.
Najib yang akan mengetuai BN ke medan tempur buat pertam kali berkata, pengumuman lebih awal daripada biasa calon BN akan membolehkan mereka lebih bersedia dan bertemu pengundi lebih awal.
"Tunggu pengumuman. Saya tidak mahu berkata apa-apa sekarang tetapi akan ada perubahan. Ia penting untuk mempunyai unsur kejutan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan kedua-dua mesyuarat tersebut.
Menghadapi pertempuran sukar untuk memperoleh semula kehilangan yang dialami pada pilihan raya umum 2008, BN dijangka mengemukakan 40 peratus calon muka baru.
Najib mengesahkan beliau akan mempertahankan kubu Pekan apabila diminta mengulas keputusan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak dan tidak lagi mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Permatang Pauh.
"Saya tidak pernah termimpi untuk meninggalkan Pekan. Secara politiknya, saya akan hidup dan mati di Pekan," kata Najib yang menjaga Pekan sejak 1976, tempat kelahiran dan kawasan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia ketika menjadi perdana menteri kedua.
Manifesto BN, kata Najib mengandungi komitmen BN untuk meneruskan transformasi negara dan ekonomi demi kemakmuran rakyat.
Menurut Anwar, isteri beliau dan Presiden PKR, Datin Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding walaupun dilaporkan sebelum ini beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.
Anwar memberitahu stesen Al-Jazeera semalam bahawa isterinya mengambil keputusan tidak bertanding apabila Anwar ditanya tentang soal nepotisme di dalam PKR kerana beliau merupakan penasihat PKR sementara anak perempuan mereka Nurul Izzah, Naib Presiden PKR.
Wan Azizah tidak kelihatan apabila Anwar dan pemimpin parti pembangkang yang lain berhimpun selama tiga jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum Anwar muncul dan berkata perbicangan peruntukan kerusi dikalangan mereka akan disambung esok.
Pas diwakili Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sementara DAP diwakili Setiausaha Agung DAP, Lim
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Selepas pembubaran semalam, 48 hingga 78 jam seterusnya adalah kritikal bagi BN dan pembangkang untuk menentukan senarai calon mereka. Dari apa yang dlihat terdapat beberapa lagi perkara yang masih perlu diatasi dan dijangka proses tawar-menawar dan pertukaran akan berterusan sehingga hari penamaan calon," kata penganalisis politik.
Pertarungan kali ini akan menyaksikan BN dan pakatan pembangkang merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun di 12 buah negeri kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.
Dun Johor dan Selangor bubar hari ini, sementara tiga negeri lagi yang diperintah pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah masih belum dibubarkan.
Guan Eng dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Dun negeri masing-masing akan dibubar esok sementara Nik Abdul Aziz menghadap Sultan Muhammad V malam ini. - Bernama
Bicara Minda: Hadi Awang kupas 'Negara Berkebajikan' Isnin ini
4 April 2013
Beliau merupakan pemimpin pertama akan muncul pada sesi ini selepas Dewan Rakyat dibubarkan semalam.
Selepas kemunculan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam, Hadi akan berkongsi perjalanan politik beliau dan Pas.
"Datuk Seri Hadi akan menyentuh tajuk Kerajaan Berkebajikan: Persepsi dan Realiti," kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali.
Program kali ini akan berlangsung mulai jam 2.30 petang hingga 5 petang di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program ini, yang dianjurkan bersama oleh Sinar Harian, mobTV dan Sinar Harian Online, boleh menghubungi Laila (019-3310211), Ida Aziz (019-6222874), Rini (019-3371066.
Mesyuarat khas SPR tentukan tarikh PRU awal minggu depan
4 April 2013
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menunggu surat makluman pembubaran daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negara.
"Kita kena menghormati keputusan (pembubaran). Ada negeri belum bubar Dun... kita tunggu makluman daripada speaker negeri masing-masing.
"Lagipun SPR ada beberapa perkara yang harus diselesaikan minggu ini. Jadi, mesyuarat khas akan diadakan awal minggu depan," kata beliau kepada Sinar Harian Online malam tadi.
Ketika dihubungi malam tadi, hanya Dewan Rakyat dan empat Dun telah sah dibubarkan.
Menjelang tengah malam dua lagi negeri membubarkan Dun.
Setakat tengah malam tadi, Dun Perlis, Melaka, Sabah, Perak, Pahang dan Terengganu sudah diisytiharkan pembubaran.
Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan Dun diikuti Sabah, Melaka, Perak, Terengganu dan Pahang.
Menteri Besar dan Ketua Menteri di empat negeri yang dikuasai parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka bermesyuarat hari ini sebelum mengumumkan tarikh pembubaran Dun masing-masing.
Sebanyak 22 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun akan dipertandingkan kali ini.
Mat Sabu bertanding di Kedah
4 April 2013
Bercakap kepada Bernama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bagaimanapun enggan memberitahu kawasan yang akan ditandingi itu.
"Nanti kita akan putuskan selepas mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan rakyat hari ini," katanya.
Sebelum ini, desas-desus mengatakan Mat Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang, Kedah.
Mat Sabu pada pilihan raya umum 2008 bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan kalah kepada Datuk Razali Ismail dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 628 undi.
Sementara itu, Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa dijangka bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya yang kini disandang Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Saya dengar-dengar begitulah, tetapi kita tunggu hasil keputusan mesyuarat hari ini," kata Husam.
Husam adalah Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, Kelantan dan beliau antara yang disebut-sebut bakal Menteri Besar Kelantan yang kini disandang Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - Bernama
Khairy cenderung tidak mahu tanding PRU13
4 April 2013
Menurutnya, komitmen beliau adalah memastikan kemenangan BN lebih diutamakan jika pun tidak berpeluang untuk disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum kali ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap keputusan dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pencalonan akan diterima dengan terbuka.
Tambahnya, pemimpin-pemimpin muda tidak boleh berkecil hati dan menentang jika tidak dipilih menjadi calon, sebaliknya pilihan raya umum menjadi bukti kesetiaan kepada BN.
“Ramai yang tanya saya melalui Twitter sama ada saya bertanding atau tidak. Saya sudah maklum kepada Najib, keutamaan saya yakni saya lebih cenderung untuk tidak bertanding pada PRU13.
“Tetapi saya seorang yang agak ‘old-fashioned’, saya akur dengan apa sahaja yang bakal diputuskan oleh Pengerusi BN. Kalau diarah bertanding, saya akur.
"Kalau diminta undur, saya akur juga. Yang penting, komitmen saya untuk memastikan kemenangan BN tidak berbelah bagi tak kira jadi calon atau tidak.
“Saya harap yang lain, terutamanya pemimpin Pemuda, juga pegang kepada prinsip yang sama. Janganlah merajuk atau menentang jika tidak dipilih menjadi calon, kita kena bergerak dalam satu pasukan,” kata beliau dalam laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Najib telah mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU13.
Mengulas lanjut Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, dengan pengalaman dimiliki walaupun tidak menjadi salah seorang Ahli Kabinet dan menjadi ejekan musuh politik, namun ia mampu melaksanakan tugas dengan baik.
Katanya, perkara yang penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengutamakan jawatan di dalam parti.
“Mungkin pengalaman saya boleh jadi teladan, walaupun telah empat tahun saya berkhidmat di dalam Umno dan BN namun saya tak pegang sebarang jawatan dalam Kabinet, ramai musuh ejek, tapi saya dapat laksanakan tugas dengan baik.
“Jadi apa yang penting bagi kita adalah amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.
Isu Lahad Datu: 'Datuk Seri', 3 lain ditahan
4 April 2013
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain di sebuah rumah di Tanjung Aru kira-kira jam 10.30 malam tadi.
"Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," kata beliau dipetik Star Online.
Lahad Datu, seorang lelaki tempatan bergelar Datuk Seri yang dicari berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat, ditahan di sebuah rumah pangsa di Tanjung Aru, Kota Kinabalu malam tadi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 10.30 malam, beberapa jam selepas berita dia dicari polis disiarkan melalui media.
Beliau berkata penahanan lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesultanan Sulu itu dibuat hasil maklumat orang ramai.
"Susulan itu, polis turut menahan seorang wanita, dipercayai isteri Datuk Seri itu dan seorang lelaki masing-masing berusia 55 dan 30 tahun, di kawasan berdekatan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Tan berkata beberapa dokumen penting turut dirampas, dan ketiga-tiga mereka kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Semalam, Tan memberitahu sidang akhbar polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan kes berkaitan Operasi Daulat, dan polis turut mengedarkan gambar lelaki terbabit.
Sementara itu, Tan berkata sebuah balai polis bergerak akan mula beroperasi esok di Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian, Lok Buani, Lok Sambuang, Tanagian dan Sungai Bilis bagi memudahkan orang kampung membuat laporan berkaitan kehilangan harta benda berikutan pencerobohan militan Sulu.
Mengenai situasi terkini kampung terbabit, Tan berkata keadaan adalah selamat, aman dan tenteram dengan penduduk digalak menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
"Beberapa sekolah juga akan kembali dibuka Isnin ini, ibu bapa janganlah bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana pasukan keselamatan sentiasa berkawal dan berada di kawasan berhampiran," katanya.- Bernama
Kisah anggota Unit Gempur Marin: Saksi anggota kita ditetak
4 April 2013
Beliau berkongsi suka dukanya di bumi bergolak itu bersama pembaca Sinar Harian selepas hampir sebulan berada di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul.
Menurutnya, masih terbayang di matanya ketika menyaksikan pengganas menetak anggota keselamatan dan ditembak sehingga perut terburai tetapi masih gagah menyerang anggota terbabit.
“Walaupun ditembak berulang kali dan perutnya sudah ditembusi berbelas tembakan, namun dirinya masih gagah menyerang anggota keselamatan yang sudah tidak bermaya itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara Op Daulat, di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah 3, dekat sini, kelmarin.
Katanya, lelaki terbabit bersama isterinya mengunci rumah dari luar dan bertindak ketika Unit Tindakan Khas (UTK) menggeledah rumah dengan menyerang di sebalik pintu.
Katanya, anggota yang lain hanya bersiap sedia jika muncul lagi pengganas di sebalik rumah itu.
Bagaimanapun, katanya, peristiwa itu langsung tidak mematahkan semangatnya malah semakin bersedia untuk ke sana semula selagi Op Daulat belum berakhir.
Pada awalnya Gin Ching mengakui gentar sebaik tiba di tanah yang dipenuhi bekas perang itu tambahan pula melihat kelongsong peluru bertaburan di atas jalan raya dan letupan serta tembakan di sekeliling kawasan itu.
“Berada kira-kira 400 meter dari lokasi pengganas Sulu menjadikan kami bersiap-sedia sepanjang masa,” katanya yang menjadikan pengalaman itu satu cabaran dan kekuatan diri untuk terus menjaga keamanan negara.
Katanya, dia turut ditugaskan bersama anggota UNGERIN dari wilayah lain bukan untuk mengawal keadaan di darat malah membantu pasukan keselamatan di laut bagi mengelakkan penceroboh bertindak menyelamatkan diri melalui jalan air.
Menurutnya, kawasan perkampungan di atas air itu bersimpang-siur dengan keadaan struktur binaan rumah yang sama mengelirukan anggota bertugas.
“Memang sukar untuk keluar masuk di situ dan seolah-olah seperti perangkap kepada anggota keselamatan. Sekiranya kita tersilap langkah memijak di atas jeti atau jambatan menghubungkan perumahan, pasti terjatuh ke dalam air,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan