Rabu, 10 April 2013

PENUH DENGAN SLOGAN...HABUK PUN TAK DE...PENCAPAIAN MUNGKIN TAK SEBERAPA...KAYA RAYA PIHAK TERTENTU SAJA

PRU13: Mengundi 5 Mei, penamaan calon 20 April

Salmiyah Harun, 10 Apr 2013

(Sidang media yang dibuat oleh SPR)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh bagi penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah pada 20 April manakala hari mengundi pula pada 5 Mei depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas suruhanjaya itu di ibu pejabat SPR di sini, sebentar tadi.

Pada 3 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU13 diadakan.

Sementara itu, Abdul Aziz turut mengumumkan seramai 13,268,002 orang pengundi berdaftar layak mengundi pada pilihanraya kali ini.

Jumlah itu termasuk pengundi biasa, tentera dan pasangan, polis dan pasangan, pasukan gerakan am dan pasangan serta pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April ini.

Daftar pemilih induk 2012 akan digunakan untuk pilihan raya ini.

379 pegawai SPR akan memantau pilihan raya ini dengan 243,000 petugas akan mengendalikan pilihan raya ini.

RM400 juta telah diperuntukkan untuk mengendalikan pilihan raya ini.

Muhyiddin tidak faham struktur cukai kereta

Harakahdaily, 10 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa harga kereta akan turun apabila Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dilaksanakan sepenuhnya membayangkan beliau tidak memahami struktur cukai kereta yang dilaksanakan sendiri oleh BN.

Sekarang pun, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Afta sudah dilaksanakan apabila pembelian kereta-kereta yang dikilang di Asean tidak dikenakan sebarang cukai import.

Jelasnya, Afta dilaksanakan untuk menghapuskan halangan dagangan (trade barriers) dalam bentuk tarif import supaya barangan boleh bergerak bebas tanpa diskriminasi harga di dalam lingkungan pasaran besar Asean.

Beliau berkata, yang menyebabkan harga kereta naik melambung adalah cukai eksais dan cukai jualan yang dikenakan dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta.

“Cukai eksais dan cukai jualan inilah yang menjadikan harga jualan kereta bertambah satu kali ganda, bukannya cukai import kerana Afta telah pun menghapuskan cukai import ke atas kereta-kereta dari negara Asean,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas rafizi lagi, setiap tahun, 90% dari kereta yang dijual di Malaysia dikilang di Malaysia atau negara-negara Asean.

Oleh yang demikian, katanya untuk menurunkan harga kereta, dasar percukaian negara perlu ditukar dengan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta seperti yang dicadangkan oleh PKR.

Sebab itu, ujar beliau apabila Muhyiddin sendiri tidak memahami faktor yang meningkatkan harga kereta sekali ganda, ini menimbulkan keraguan sama ada Barisan Nasional betul-betul ikhlas dengan janjinya untuk menurunkan harga kereta.

Lebih membimbangkan, kata Rafizi kenyataan Muhyiddin yang mengaitkan penurunan harga kereta dengan pelaksanaan Afta membayangkan bahawa janji itu hanya satu gimik politik yang tidak akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional sekiranya menang nanti.

Justeru, Rafizi menyeru supaya Muhyiddin memberi penjelasan sama ada beliau tidak faham tentang struktur percukaian negara dan tersilap membuat kenyataan apabila menyebut pelaksanaan Afta akan menurunkan harga kereta.

“Atau beliau tahu rancangan Barisan Nasional untuk mengaitkan janji menurunkan harga kereta dengan Afta tetapi bukan cukai eksais, sekaligus mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak ikhlas untuk melaksanakan penurunan harga kereta,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau tidak akan memberi sebarang maklum balas terhadap kenyataan Muhyiddin bahawa Pakatan Rakyatlah yang menciplak Manifesto BN.

“Itu satu kenyataan bertaraf kebudak-budakan yang tidak selayaknya datang dari seorang bekas menteri kanan, maka ia tidak layak untuk diambil serius oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Janji BN yang tidak ditepati di Pahang

Mohd Zuhdi Marsuki, 10 Apr 2013
Maklumat Sehingga Jun 2012

1. Parlimen Cameron Highland:

a.     BN gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan isu hak milik tanah di Taman Sedia, Tanah Rata.
b.     BN gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah liputan (coverage) telefon di Pos Betau, Jelai.

2. Parlimen Raub:

a.     BN gagal menunaikan janji untuk membina sekolah di Sega, Raub.

3. Parlimen Jerantut:

a.     BN gagal menunaikan janji kepada hampir 20,000 penduduk untuk membaiki jalan antara Jerantut dan Benta yang dijanjikan sejak 2004. Tempat-tempat yang dibaiki hanya di kawasan-kawasan yang sangat kritikal dan ia kembali rosak.
b.     BN gagal menunaikan janji untuk membina kawasan sesuai untuk pemasaran hasil pertanian penduduk di persimpangan ke Pulau Tawar.
c.      BN gagal menunaikan janji untuk Pusat Latihan Lanjutan Teknologi (ADTEC) di Pulau Tawar.
d.     BN gagal membina jalan masuk ke kubur penganut Hindu di Batu 1, Jerantut.

4. Parlimen Indera Mahkota:

a.     BN gagal memenuhi permintaan penduduk supaya membina dewan pelbagai guna di Taman Indera Mahkota.
b.     Walaupun parlimen Indera Mahkota dimenangi oleh PKR, BN sejak 10 tahun yang lalu telah berjanji untuk membina gerai-gerai di kawasan rekreasi Pantai Balok, Beserah, dan masih belum tertunai.
c.      BN juga gagal menunaikan janji sejak PRU tahun 2004 untuk membina rail keretapi dari Mentakab ke Kuantan yang akan melalui kawasan Indera Mahkota.

5. Parlimen Kuantan:

a.     Walaupun parlimen Kuantan dimenangi PKR, dalam PRU yang lalu BN berjanji untuk membina jambatan dari Kampung Cherok Paloh ke Tanjung Kosong yang diperlukan oleh sekitar 15,000 orang penduduk, tetapi gagal ditunaikan.

6. Parlimen Temerloh:

a.     BN gagal menunaikan janji untuk membina MRSM di Kampung Lintang berhampiran Lebuhraya Pantai Timur.
b.     BN juga gagal menunaikan janji untuk memberi bantuan begi projek pembenihan ikan di seluruh kawasan parlimen Temerloh.
c.      BN gagal menunaikan janji menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terputus di seluruh kawasan parlimen Temerloh.

7. Parlimen Bentong:

a.     BN gagal untuk menunaikan janji membina jalan lurus dari Jalan Karak ke Simpang Pelangai.
b.     BN gagal menunaikan janji untuk membina PULAPOL terbesar di negara ini di Simpang Pelangai, Bentong.

8. Parlimen Kuala Krau:

a.     BN gagal memenuhi tuntutan rakyat untuk membaiki kualiti perkhimatan Pusat Kesihatan di seluruh kawasan parlimen ini terutama di Pusat Bandar Jengka.
b.     BN gagal memenuhi kehendak rakyat menaiktaraf perbekalan air di kawasan ini yang bertekanan rendah.
c.      BN gagal memenuhi tuntutan hampir 10,000 belia kawasan parlimen ini untuk peluang pekerjaan dan usahawan pertanian sehingga menyebabkan ramai yang berhijrah.

9. Parlimen Maran:

a.     BN gagal menunaikan janji mempercepatkan penyelesaian masalah bekalan air di Chenor disebabkan projek menaiktaraf infrastruktur bekalan air sangat perlahan walaupun telah dimulakan.
b.     BN gagal memenuhi tuntutan penduduk di Ulu Luit menyediakan kemudahan bas sekolah terutama bagi kanak-kanak sekolah rendah.

Dulu dan kini...fenin aku

Harakahdaily, 10 Apr 2013

Dulu PAS nak buat negara Islam
BN kata tak sesuai kerana Malaysia rakyatnya majmuk
sekarang PAS guna pendekatan Negara Berkebajikan
BN kata PAS dah lupa Negara Islam.

Dulu PAS tak buat pakatan dengan parti bukan Islam
BN kata PAS ekstrimis, anti sosial dan tak releven
sekarang PAS berkawan dengan DAP, PKR dan ada DHPP
BN kata Pas dah berubah demi kuasa dan dah sesat.

Dulu pas hanya didokong oleh tok guru, ulama dan orang kampung
BN kata PAS tak moden, fundamentalis dan parti orang kampung.
Sekarang PAS didokong oleh Ulama, profesional dan teknokrat Islamis
BN kata PAS dah tinggalkan kempimpinan Ulama..

Dulu Pakatan buat janji nak turunkan harga kereta
BN kata negara dan industri kerta akan bengkrap
Sekarang BN pula tiru manisfeto nak turunkan harga kereta
semua pencacai kata itu yang terbaik dari BN...

Dulu DAP bantah hudud
BN kata kita perangi DAP yang anti Islam
Sekarang CHUA Sui LEK bantah hudud
BN kata itu hanya kata2 individu

Dulu BN jadi kerajaan Pahang,Johor dan Melaka sampai sekarang masalah air masih tak selesai
Sekarang bila berkempen sebut bagi BN menang di Selangor dan Kelantan ..kerajaan akan selesaikan masaalah air di kedua2 negeri...apalah punya fikiran...

Fenin le macam ni


* Posting yang kini sangat popular di Facebook tetapi siapa penulis asal tidak dikenalpasti

Aku Melayu di Kota Inggeris

Kemilau Publika, 10 Apr 2013


Aku Melayu di Kota Inggeris
oleh Muhaimin Sulam
Harga: RM22.00/RM25.00
ISBN: 978-967-361-074-4
Tarikh Terbit: Mac 2013
Jumlah Muka Surat: 292

___Sinopsis_________________________________________________

‘Aku Melayu di Kota Inggeris’ merupakan satu catatan pengembaraan anak Melayu. Setelah lebih setahun selepas kembali ke tanah air, di fikiranku memang ingin membukukan kembali pengalaman berada di tanah Inggeris. Kukongsi catatan setengah dekad suka duka kepada yang ingin membacanya. Membaca tentang episod separuh jiwa yang tersiat dalam mencari makna kehidupan. Hidup merantau di bumi asing memang tidak sama menempurung di kampung sendiri. Telah ramai anak-anak Melayu yang merantau, hidup jauh lebih mencabar. Masing-masing dengan cabaran mereka sendiri. Sedikit kesempatan yang kumiliki terlalu kerdil untuk dikongsi baca.

Sebelum matinya seorang anak Adam, berbekal titisan hikmah al-Furqan, mutiara sabda Nabi junjungan. Meminjam azimat sang pendekar silam, mantera tabib sufi dan kiasan pujangga. Begitu juga dari bicara lembut bapa yang tidak pernah jemu ditelaah kembali. Resah rindu seorang ibu. Belajar daripada ajaran guru-guru biasa yang luar biasa. Sindiran kawan, cabaran musuh. Mengembara di bumi asing sebenarnya merupakan proses belajar bertawakal, menguji sabar diri dan mencari erti diri sendiri.

Semoga buku bermanfaat untuk pembaca semua, amin.

Info lanjut sila layari www.kemilau.net.my

PRU13: Dewan Ulamak PAS ingatkan ahli perbetul niat

Harakahdaily, 10 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengingatkan ahli dan jentera parti agar membetulkan niat perjuangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Setiausaha DUPP, Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, PAS memilih sistem demokrasi untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia dan memerlukan jentera yang komited untuk mencapai matlamat ini.

"Pada saat suhu politik begitu membahang dan kita telah mengetahui tarikh pilihan raya yang menjadi pilihan PAS dalam menegakkan demokrasi amat wajar para amilin dan petugas pilihan raya membetulkan niat perjuangan untuk menegakkan syiar dan syariat Allah SWT di bumi Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan, ahli dan jentera harus bersiap sedia dari semua aspek termasuk kebergantungan kepada Allah  bagi memenangi PRU 13.

Katanya, ketika PAS diuji dengan pelbagai pancaroba, mehnah dan tribulasi, seluruh jentera harus bersedia menyumbang tenaga sepanjang tempoh kempen PRU 13.

"Ketahuilah saudara-saudaraku bahawa Islam tidak mungkin dapat ditegakkan jika kita tidak mempunyai kuasa memerintah. Justeru hendaklah sama-sama kita membetulkan niat kerana Allah SWT.

"Ayuh, marilah kita bersiap-siaga dengan merabitahkan (mengikat) hubungan hati sesama kita dan bertawakal (berserah diri) yang mutlak kepada yang Maha Esa setelah segala usahakan semaksimanya telah kita gembeleng.

"Ramuan takwa yang disulami dengan amalan soleh dan usaha yang berterusan sudah pasti menatijahkan kejayaan kita dalam pilihan raya,"katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRU13 adalah pada 20 April manakala hari mengundi pula pada 5 Mei depan.

Manakala tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April ini.

Dr. Khairuddin difahamkan bertanding di salah satu Parlimen di Kuala Terengganu pada PRU13.

Calon pemuda di Kelantan dijangka bertambah

Mohd Nor Yahya, 10 Apr 2013
KOTA BHARU: PAS Kelantan telah lama bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, biar pun hari mengundi baru diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 5 Mei ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jentera pilihan raya PAS di seluruh Kelantan bergerak secara lebih aktif lagi setelah Parlimen dibubarkan baru-baru ini.

“Tempoh berkempen yang agak lama membolehkan Pakatan Rakyat mendekati pengundi secara lebih selesa memandangkan penyebaran maklumat melalui media arus perdana agak terbatas.

“Saya menyambut baik langkah SPR dan ini munasabah kerana masa agak selesa bagi membolehkan setiap parti politik berkempen,” katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Kelantan di As Syabab Point hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini mengumumkan penamaan calon pada 20 April dan hari mengundi 5 Mei hadapan. Ini bermakna tempoh kempen selama 14 hari.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, jentera pilihan raya pemuda PAS sudah digerakkan sejak awal lagi dengan membuka bilik gerakan di setiap Parlimen dan Dun.

“Jentera kempen telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk mendekati anak muda dan menyebarkan maklumat mengenai isu semasa yang berlaku,” katanya.

Ditanya calon PRU-13 beliau berkata, InsyaAllah terdapat muka baru dan dijangka berlaku peningkatan jumlah calon daripada pemuda berbanding PRU 2008.

Menurutnya pada PRU 2008 tiga calon pemuda PAS diketengahkan dan tahun ini dijangka berlaku pertambahan lagi.

Sementara itu Mohd Amar berkata, kehadiran lebih ramai peguam diperlukan memandangkan terdapat banyak peraturan baru dilaksanakan SPR bagi PRU-13.

“Kita berharap dengan adanya bilik gerakan Luham, calon dan jentera parti di semua peringkat dapat menggunakan khidmat peguam di sini,” ujar beliau.

Katanya pasukan peguam PAS juga akan memantau ceramah, kempen kedua-dua belah bagi memastikan tidak berlaku perlanggaran peraturan pilihan raya.

Pengerusi Luham, Hisham Fauzi berkata, seramai 55 peguam terdiri daripada 35 peguam sivil dan 20 peguam syarie akan bertugas sepanjang masa tempoh kempen PRU-13.

Katanya, pasukan peguam akan memastikan pengisian borang pencalonan diisi sebaik mungkin supaya tidak berlaku kesalahan teknikal.

Oleh itu kata beliau semua calon dan petugas parti yang menghadapi masalah dari aspek perundangan boleh menghubungi talian khas 0145166346 beroperasi 24 jam bermula hari ini.

Penyelaras Bilik Gerakan Luham, peguam Muhammad Abdul Rasyid Yah.

Kerajaan sementara boleh guna harta awam - SPR

Salmiyah Harun, 10 Apr 2013
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan tindakan kerajaan sementara yang menggunakan harta awam dan kerajaan bukan melanggar undang-undang yang boleh didakwa di mahkamah.


Bagaimanapun menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, tindakan itu bergantung kepada garis panduan kod etika kerajaan sementara masing-masing.

Jelasnya, kerajaan sementara tidak boleh menggunakan harta atau aset kerajaan selepas penamaan calon hinggalah hari mengundi.

"Aset kerajaan boleh guna, sekarang kempen belum mula. Lepas penamaan calon hingga hari menggundi tidak boleh," katanya dalam sidang media di Pusat Media SPR di sini hari ini.

Sementara itu, SPR  melarang penggunaan pondok panas pada hari mengundi yang boleh menimbulkan suasana yang tidak sihat.

"Tidak ada pondok panas. Kalau kita dapati ada, kita akan robohkan.

"Buat masa sekarang, binalah banyak mana pondok panas tetapi dilarang pada hari mengundi," katanya.

Tiada ulasan: