Isnin, 15 April 2013

OMBAK BERGELORA...SILAP KEMUDI KAPAL AKAN KARAM

Umno nafi edar video lucah, saman Harakahdaily

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Umno hari ini menghantar surat tuntutan melalui peguamnya  mendakwa Harakahdaily membuat fitnah kepadanya ekoran penyebaran video lucah.

Surat yang dikeluarkan oleh firma guaman Hafarizan Wan & Aisha Mubarak itu (gambar kiri) mendakwa Harakahdailly memfitnah Umno apabila menyiarkan berita bertajuk 'Mustafa ceramah di Dungun, dakwa  Umno terlibat'.

Menurut surat peguam yang ditujukan kepada Ketua Pengarang Harakahdaily itu, Umno mendakwa berita itu mempunyai kata-kata fitnah ke atas Umno iaitu anak guam syarikat guaman ini.

"Artikel yang bertajuk 'Mustafa ceramah di Dungun, dakwa Umno terlibat' yang dilaporkan, diterbitkan dan/atau dibenarkan penerbitannya oleh pihak tuan yang jelas mempunyai kata-kata fitnah ke atas anakguam kami bertarikh 13 April 2013 adalah seperti berikut:-

"Dungun: Ketika blogger Umno menyebarkan berita kononnya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meletakkan jawatan, beliau memberikan ceramah di markas PAS Kampung Molek dekat sini malam tadi.

"Dalam ceramah itu, beliau mendakwa Umno sudah terdesak sehingga sanggup memlemparkan pelbagai fitnah untuk menjatuhkan beliau dari arena politik tanah air.

"Bagi Mustafa, Umno bertanggungjawab terhadap fitnah yang dibuat ke atasnya melalui media.

"Ini adalah kebiasaan Umno, mereka sanggup guna taktik kotor dengan menyebarkan fitnah...saya adalah mangsa terbaharu fitnah Umno," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Menurut surat yang ditandatangani peguam Umno, Datuk Hafarizan Harun itu, kenyataan di atas bermaksud:-

1) Anak guam kami merancang video lucah tersebut

2) Anak guam kami kononnya dengan sengaja mahu membuat video berkaitan dengan video lucah dan lain-lain tafsiran lagi.

Sehubungan itu, peguam Umno itu berkata, anak guamnya iaitu Umno menuntut lima perkara untuk dilakukan Harakahdaily.

1) Berhenti membuat fitnah berkenaan

2) Mohon maaf

3) Menarik balik

4) Aku janji untuk tidak menyiarnya lagi

5) membayar ganti rugi kerana kerosakan reputasi.

Surat itu juga mengugut, jika tidak berbuat perkara di atas, satu perintah injunksi akan dipohon untuk menghalang penyebaran dakwaan itu.

Sehingga kini tidak diketahui adakah Bernama juga menerima surat yang sama kerana sumber berita Harakahdaily yang dipertikaikan itu dipetik dari Bernama.
Semalam Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan penglibatan Umno dengan video lucah itu yang kini memakan Umno itu.

Pelbagai kumpulan NGO dan personaliti membuat kenyataan bantahan terhadap budaya politik kotor menggunakan video lucah untuk membunuh lawan masing-masing.

Blog-blog Umno yang menyiarkan video ini tidak selari dalam menjelaskan siapakah yang menyebarkan video ini.

Sesetengah blogger mengaitkannya dengan PKR kononnya kerana marahkan dengan Datuk Mustafa Ali dalam isu kerusi manakala satu kumpulan lagi pula menyatakan ia kerja kumpulan kerajaan perpaduan atau Anwarinas dan parasit dalam PAS yang kononnya tidak senang dengan Mustafa.

Yang pasti semua laman yang menyiarkan video ini adalah laman pro Umno.

PAS bina replika kapal terbang terbesar

http://idahsalam.blogspot.com, 15 Apr 2013



Gambar dirakam di Sik Kedah. Orang-orang kampung berkerjasama membina sebuah replika kapal terbang yang terbesar setakat ini dibina oleh para ahli dan penyokong PAS.

Lihat di sini.

Kelantan berjaya ubah wajah Lembah Sireh

Aslani M, 15 Apr 2013
KOTA BHARU: Banyak peluang pekerjaan diwujudkan. Dahulu kawasan pertanian, kini bandar baru. Selain itu kerajaan negeri juga memperolehi pulangan lebih RM42 juta.
Projek pembangunan Lembah Sireh mula beroperasi 2007. Keluasannya kira-kira 716 ekar termasuk di Pasir Pekan seluas 114 ekar.

Keluasan tersebut di mana lebih 50 peratus telah ditebus guna dan hampir separuh lagi masih berada dalam air.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, biar pun pada perjanjian awal dipersetujui hampir 1,000 ekar diberi kepada syarikat dibangunkan, namun sehingga sekarang hanya 716 ekar dimajukan.

Katanya, daripada keluasan tersebut hanya seluas lebih 259 ekar yang sudah dibangunkan dengan bangunan-bangunan perniagaan.

Malah katanya pemaju juga menyediakan dana sebanyak RM3 juta untuk projek kos rendah dan pampasan kepada 130 petani di Lembah Sireh sebelum ini.

“Kerajaan yang telah berjaya mengubah kawasan pertanian kepada bandar baru sehingga dapat menampung banyak peluang pekerjaan penduduk tempatan.

“Petani pula dipindah ke Kampung Tikat di mana dapat melakukan aktiviti pertanian dengan lebih baik,” katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi Umno Kelantan, meminta kerajaan negeri menjelaskan sumbangan diberi syarikat pemaju di Lembah Sireh, Liziz Standaco Sdn Bhd selepas melulus kawasan seluas hampir 1,000 ekar di Lembah Sireh.

Menurut Datuk Seri Mustapa Mohamed syarikat sepatutnya membayar nilai Jambatan Sultan Yahya kedua yang dibina kerajaan pusat.

Ahmad berkata, tanah di Lembah Sireh diberi secara pajakan kepada syarikat terbabit, di mana sebahagian besar berada dalam air.

Sebelum ini Umno mengungkitkan tujuh projek yang tidak dilaksanakan kerajaan negeri termasuk jambatan di Palekbang, pelabuhan darat di Kuala Krai dan bandar baru Pengkalan Kubur.

Projek tersebut sebenarnya bukan janji kerajaan negeri sebaliknya usaha dilakukan swasta biar pun ada di antaranya telah dilakukan upacara pecah tanah.

Difahamkan pemaju berdepan dengan pelbagai birokrasi di peringkat pusat termasuk mendapat sumber kewangan.

PRU13: Dalil BN akan tewas terlalu banyak

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dalil BN akan tewas terlalu banyak, tulis Aspan Alias.

Kali ini kita sebut sebahagiannya sahaja. Yang paling menonjol ialah tiga Presiden parti-parti dalam BN tidak bertanding, iaitu Chua Soi Lek dari MCA, Peter Chin dari SUPP dan Koh Tsu Koon dari Gerakan.

“Kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jawapannya kerana kepada siapa yang memahami keadaan sebenar dalam BN itu mereka akan mudah mengetahuinya,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/, sebagaimana di bawah.

Dalil BN akan tewas terlalu banyak. Kali ini kita sebut sebahagiannya sahaja. Yang paling menonjol ialah tiga Presiden parti-parti dalam BN tidak bertanding, iaitu Chua Soi Lek dari MCA, Peter Chin dari SUPP dan Koh Tsu Koon dari Gerakan. Kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jawapannya kerana kepada siapa yang memahami keadaan sebenar dalam BN itu mereka akan mudah mengetahuinya.

Sebenarnya BN itu hanyalah UMNO dan saya telah menyebutnya setahun yang lalu. Pilihanraya kali ini adalah di antara UMNO dengan Pakatan Rakyat kerana parti-parti dalam BN sudah boleh dianggap tidak wujud lagi...MCA, Gerakan, MIC dan PPP boleh kita anggap hanya tinggal pada namanya sahaja.

Parti-parti komponen dalam BN ini hanya membebankan UMNO yang mempunyai masalah besarnya sendiri. UMNO sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dari orang Melayu yang paling ketara. Tetapi dalam politik UMNO terpaksa juga mencari jalan untuk ‘survival’nya sendiri. Tindakan UMNO mengambil kembali banyak kerusi yang sebelum ini diagihkan kepada parti-parti komponen itu membuktikan yang UMNO sendiri menganggap rakan komponen mereka itu sebagai beban besar kepada BN.

Kawasan Kuantan dan Gerik telah pasti kembali ke tangan UMNO dan UMNO sedang berusaha mengambil kembali Gelang Patah dan Wangsa Maju. Semuanya ini tidak sepatutnya dilakukan oleh UMNO jika BN mengambil berat tentang setiakawanan dalam BN itu. Tetapi apa lagi yang UMNO perlu lakukan jika tidak mengambil kembali kawasan ini? Pendeknya BN sedang berhadapan masalah yang paling besar dalam sejarah kewujudannya.Mengambil kembali kerusi yang telah diagihkan kepada MCA dan Gerakan itu merupakan 'vote of no confindence' UMNO terhadap rakan komponennya sendiri.

Semuanya ini membuatkan rakyat tidak lagi berkeyakinan kerana sesebuah parti atau ‘coalition’ yang bermasalah sampai ke tahap ini secara ‘natural’ nya akan tidak diyakini oleh rakyat yang mengundi itu. Acapkali saya menyebut tentang isu ‘legitimacy’ dalam blog ini. Ramai di antara pimpinan UMNO sendiri tidak mangambil kira isu ‘legitimacy’ ini dengan serius. Mereka mengutamakan kedudukan sahaja dan mereka lakukan dengan berbagai-bagai cara untuk menaiki tangga kepimpinan melalui cara dan kaedah yang tidak menjamin ‘legitimacy’ itu.

Saya sudah lama menyedari yang memilih Perdana Menteri secara ‘convention’ sekarang ini tidak memberikan ‘legitimacy’ terhadap kepimpinan negara. Seseorang Presiden UMNO itu secara automatik menjadi PM yang diamalkan hari ini tidak lagi berkesan untuk kestabilan negara ini dalam jangka panjang. Selama ini dengan otot yang ada kepada seseorang PM itu digunakan sepenuhnya untuk menguasai perwakilan UMNO yang tidak melebihi dari lima ribu orang.

Seorang Presiden UMNO hanya memerlukan undi 51 peratus dari lima ribu orang ini untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu lebih kurang 2,600 orang sahaja. Oleh itu nasib negara hanya ditentukan oleh 2,600 orang Melayu yang boleh dibeli dengan wang ringgit dan janji untuk jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Rakyat negara yang berjumlah hampir 30 juta orang ini tidak mempunyai peranan untuk melakukan pemilihan terhadap seorang Perdana Menteri itu.

Itulah masalah hiliran politik memilih Perdana Menteri secara ‘convention’ ini. Peruntukan perlembagaan untuk memilih seorang Perdana Menteri secara betul itu ada tetapi tidak pernah dilakukan. Dalam Perlembagaan kita, telah diperuntukkan yang sesiapa di kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti itulah yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri. Peruntukan itu ada tetapi tidak pernah terpakai dan dipakai. Perdana Menteri sekarang ini sesungguhnya tidak mempunyai 'legitimcy' yang kuat untuk mengaku sebagai PM pilihan rakyat.

Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO telah menggunakan media massa perdana untuk mencari kesalahan pihak pembangkang seperti orang mencari kutu. Media massa diperguna untuk memberikan ruang kepada orang yang tidak mempunyai ‘purity of mind’ seperti memberikan ruang kepada Tunku Aziz, seorang ‘political novice’ yang telah meninggalkan DAP oleh kerana perselisihan peribadi yang kecil dalam parti itu.Tunku Aziz telah memilih untuk melayani ego beliau yang besar dan tidak lagi bertindak seperti seorang yang kanan yang mempunyai 'wisdom' kepimpinan.

Tunku Aziz pula mengambil kesempatan untuk membelasah DAP seolah-olah parti itu tidak pernah ada jasa membawa beliau dikenali ramai seperti sekarang ini. UMNO menggunakan isu Tunku Aziz untuk membelasah DAP sedangkan DAP tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap beliau kerana memberikan reaksi terhadap tuduhan Tunku Aziz itu adalah tindakan yang membuang masa sahaja. Masalah beliau (Tunku Aziz) itu merupakan masalah peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan perjuangan parti.

Isu perkauman yang dimainkan oleh Dr Mahathir sekarang ini adalah tanda-tanda dan dalil awal yang UMNO itu akan gugur dalam pilihanraya ini. Kini rakyat mahukan perpaduan kaum dan tidak mahu lagi hidup bermusuh-musuhan. Pilihanraya kali ini merupakan titik tolak untuk penentuan sama ada ‘ultimate’ kita untuk mencapai perpaduan kaum itu tercapai.

Jika kita mendengar hasutan Dr Mahathir maka kita akan menghadapi masalah perkauman yang berpanjangan. Jika rakyat mengambil dan menerima nasihat pihak lain yang mengutamakan perpaduan kaum dengan lebih tekun itu maka berbahagialah kita hidup dalam suasana muhibbah.

UMNO sudah tidak lagi mempunyai nilai-nilai untuk kerukunan hidup bersama dalam masyarakat majmuk negara ini. Mereka sanggup membeli hati rakyat dengan berbagai-bagai cara dan membeli pimpinan yang tidak stabil pemikiran seperti Tunku Aziz dan lain-lain lagi.

Hidup mereka sentiasa hendak bergaduh dan tidak lagi tunduk kepada tuntutan agama dan adat yang sentiasa melarang kita bergaduh sesama sendiri. Kali ini, kita lakukan apa yang perlu dalam pilihanraya yang akan sampai hanya beberapa hari sahaja lagi.

Pastikan permuafakatan diantara kaum ini kita perkayakan dan tidak lagi terkongkong dengan ‘communal politics’ yang tidak berpenghujungan itu.
Pilihlah di antara kemahuan UMNO dengan kemahuan rakyat

Najib dikelilingi penasihat kewangan yang tidak tahu?

Harakahdaily, 15 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli tidak hairan kenapa kewangan negara menjadi lebih buruk di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini, katanya kerana Najib dikelilingi penasihat kewangan yang tidak tahu pun bagaimana membuat unjuran kewangan yang tepat.

Justeru, selepas ini, beliau akan membentangkan lebih banyak kepincangan-kepincangan analisa kewangan yang digunakan oleh BN, termasuklah perbandingan kos program Manifesto Rakyat yang dibuat BN.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Saya telah berjaya mendapatkan analisa sulit oleh Barisan Nasional mengenai bidasan-bidasan yang digunakan selama ini oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Barisan Nasional yang mengemukakan angka-angka yang menakutkan rakyat.

Angka-angka ini termasuklah kononnya Manifesto Rakyat akan menyebabkan defisit negara melambung hingga 13.2%, atau pelaksanaan Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji dan lain-lain.

Selama ini, saya tertunggu-tunggu Barisan Nasional membentangkan analisa kewangan yang digunakan untuk membuat kesimpulan unjuran-unjuran yang menakutkan rakyat itu. Sehingga kini, tidak ada seorang pimpinan Barisan Nasional pun yang tampil mempertahankan hujah kewangan.

Jumaat lepas, saya menerima dokumen sulit yang memberi maklumat penuh kira-kira dan unjuran kewangan yang selama ini digunakan oleh Barisan Nasional, yang saya sertakan bersama. Sepanjang minggu ini, saya akan menjawab kembali kira-kira dan unjuran kewangan yang digunakan Barisan Nasional ini dan membuktikan bahawa analisa kewangannya dibuat atas asas dan andaian yang salah.

Sebagai contohnya, Barisan Nasional menganggarkan bahawa belanja mengurus di bawah Pakatan Rakyat (apabila program-program yang dimuatkan di dalam Manifesto Rakyat dilaksanakan) akan mencecah RM270 bilion setiap tahun. Anggaran kos yang diunjukan Barisan Nasional untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat adalah RM73 bilion setahun (iaitu RM68 bilion dalam belanja mengurus dan RM5 bilion dalam belanja pembangunan setiap tahun).

Asas anggaran Barisan Nasional bahawa belanja mengurus akan mencecah RM270 bilion adalah berdasarkan perbelanjaan dan keborosan Barisan Nasional yang sedia ada, iaitu belanja mengurus setinggi RM202 bilion setiap tahun. Asas ini adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambil kira 2 strategi Pakatan Rakyat untuk mengawal perbelanjaan dan mendapatkan nilai terbaik dari wang rakyat seperti berikut:

1.      Menghentikan perbelanjaan melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun, yang kini mencecah RM20 bilion setiap tahun.

2.      Menghentikan ketirisan dan rasuah dengan sasaran menjimatkan 10% dari perbelanjaan di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai RM250 bilion; yang akan memastikan peruntukan RM25 bilion hasil penjimatan dapat digunakan untuk membiayai program-program manifesto.

Dua langkah ini, yang langsung tidak diambil kira oleh Barisan Nasional di dalam analisa kewangannya sudah pasti akan menurunkan perbelanjaan mengurus sedia ada. Maknanya, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, sudah tentu penjimatan yang berlaku membolehkan lebih banyak dana dibelanjakan untuk rakyat bagi menampung lebih banyak program.

Kegagalan Barisan Nasional mengambil kira sasaran penjimatan ini menunjukkan bahawa analisa kewangan Barisan Nasional yang digunakan untuk membidas Manifesto Rakyat adalah tidak tepat, menyeleweng dan berniat jahat.

Selepas ini, saya akan bentangkan lebih banyak kepincangan-kepincangan analisa kewangan yang digunakan oleh Barisan Nasional, termasuklah perbandingan kos program Manifesto Rakyat yang dibuat Barisan Nasional.

Saya tidak hairan kenapa kewangan negara menjadi lebih buruk di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau dikelilingi penasihat kewangan yang tidak tahu pun bagaimana membuat unjuran kewangan yang tepat.

Beg mahal jadi poster gergasi

Omak Kau, 15 Apr 2013


Kesungguhan anak-anak muda dengan daya kreativiti yang tinggi ditunjukkan beberapa anak muda yang bencikan rasuah dan  kemewahan melampau telah mereka cipta satu replika gergasi bag tangan wanita gergasi jenama BIRKIN HERMES yang sering diguna pakai oleh seorang isteri pemimpin negara.

Satu dunia tahu bahawa sebuah bag tangan wanita jenama ini harganya ratusan ribu ringgi dan Rosmah Mansor memiliki koleksi berpuluh dengan warna yang berlainan.

Klik untuk melihat ulasan blogger Omak Kau.

BN bakal bergelora selepas nama calon diketahui

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: MCA bahagian Gelang Patah, Wangsa Maju, Serdang dan Kuantan sudahpun melenting berikutan berita Umno cuba merampas kerusi mereka.

Semalam Malaysiakini melaporkan MCA bahagian Gelang Patah mengisytiharkan berhenti kerja selepas mendapat ura-ura bahawa Pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh bakal tidak dicalonkan.

Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang ditendang dari kerusi DUN Johor dikatakan bakal berentap situ untuk berdepan dengan penasihat DAP Lim Kit Siang.

MCA bahagian Serdang pula memberontak setelah mendapat maklumat bahawa seorang pembelot dalaman bakal dicalonkan sebagai calon parlimen Serdang.

Liew Yuen Keong, Ketua MCA Serdang yang enggan mendedahkan nama pembelot itu berkata rahsia pembelot ini memang diketahui umum di kawasannya.

Ini tidak ditambah lagi dengan pemberontakan di MCA Wangsa Maju dan Kuantan. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob melenting apabila akhbar The Star melaporkan bahawa kerusi Kuantan akan digantikan dengan kerusi Temerloh. Akhirnya The Star terpaksa membuat permohonan maaf dan pembetulan terhadap berita tersebut.

Kerusi Wangsa Maju pula hampir pasti hilang dari tangan MCA apabila Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerusi itu adalah kerusi pinjam dari Umno ke MCA.

Berita perebutan kerusi Umno pula tertutup sehingga kini. Tapi insiden di Putrajaya di mana satu laporan polis dibuat ke atas Tengku Adnan kerana menampar seorang pemimpin Umno tempatan yang datang berjumpa beliau. Ura-ura menyatakan bahawa ia berpunca daripada agihan kerusi.

Ramai yang mengunakan pemimpin veteran parti yang disegani Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak untuk melobi bagi pihak mereka. Kes paling klasik ialah apabila seorang menteri penggal lalu telah mengguna khidmat isteri sendiri untuk melobi supaya beliau dikekalkan.

Dalam pertemuan 10 April, Najib membuat seruan terakhir kepada pemimpin akar umbi BN supaya menerima senarai calon yang bakal diumumkan kelak.

Harakahdaily sempat menelefon sumber Umno untuk bertanyakan mengenai perkembangan calon-calon BN sejurus berita melaporkan bahawa Najib bakal menyerahkan surat tauliah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) kepada pengerusi-pengerusi negeri di ibu negara.

“Masalah terbesar calon BN ialah perkataan ‘winnable’ itu. Tiada kriteria pada perkataan ‘winnable’. Bukan tengok track record, bukan nilai prestasi dan bukan nilai peluang menang. Ia dinilai siapa yang Kak Ros suka dan Tun Mahathir suka. Di samping itu juga ada percaturan nak pastikan kem masing-masing mendapat calon parlimen yang paling banyak menang.

"Sebab itu baru timbul rasa tidak puas hati melampau. Sekarang buat apa pun silap. Hanya harap Tingkat 2 B4 jangan rumitkan keadaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan sendiri sepertimana PAS dulu. Apa yang mereka buat kini ialah biar Umno jalan seorang tanpa rakan-rakannya,” kata sumber Umno itu.

Sumber Umno menambah penentuan calon kali ini juga berkait rapat dengan pemilihan parti Umno yang bakal berlaku selepas PRU13.

“Ini yang merumitkan keadaan. Dalam percaturan ada percaturan. Jika ramai memberontak dan situasi dalaman tidak terkawal, tunggu sahaja video fitnah akan keluar lagi untuk mengalih perhatian rakyat. Just be prepared,” nasihat sumber Umno itu lagi.

Ketika ditanya samada beliau bakal menjadi calon di PRU13, sumber Umno itu berkata, “Insha-Allah, kalau Kak Ros tak membantah, ya. Saya pernah tersilap kata benda tak baik pada dia dan perkara itu sampai padanya. Kalau Kak Ros masih berdendam, tak ada harapanlah.”

Tiada ulasan: