Jumaat, 5 April 2013

KESIAN GURU...SAPE BERADA DIATAS ATAU DIBAWAH SEMUANYA HASIL BUAH TANGAN GURU

PRU13: PAS Pahang sasar 12 Dun, 3 parlimen

Muhammad Faizal, 04 Apr 2013
TEMERLOH: PAS Pahang meletakkan sasaran 10 campur 2 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata 12 kerusi Dun itu termasuk mempertahankan 2 kerusi yang dimenangi iaitu Beserah dan Semantan manakala 10 Dun lagi sasaran untuk dimenangi.

"Sementara itu peringkat parlimen pula, 3 kerusi menjadi sasaran kita," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau juga memberitahu, dari sudut persiapan PAS Pahang berada pada 99 peratus, manakala satu peratus hanya persiapan calon yang perlu mendapat kelulusan peringkat pusat.

"Persiapan jentera di seluruh Pahang telah siap sepenuhnya termasuk bahan-bahan kempen.

"Bagi pelancaran manifesto peringkat negeri dan pengisytiharan calon, kita akan menetapkan pada satu tarikh yang akan dihadiri oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri," sambung beliau lagi.

Menurut beliau lagi untuk kempen pilihanraya kali ini, semua program akan diadakan melibatkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berharap dengan kerjasama itu akan memperlihatkan satu perubahan besar di Pahang pada PRU13 nanti.

200 anak muda Dun MB T'ganu sertai PAS

Harakahdaily Foto: Buletinonline, 04 Apr 2013
KEMAMAN: Tamparan hebat buat Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said apabila 200 anak muda dari Dun Kijal yang diwakilinya secara terbuka mengisytiharkan sokong PAS.

Dalam satu majlis ceramah di Pantai Kijal baru-baru ini, kumpulan anak muda itu turut mengisi borang ahli PAS dan menyerahkan kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kesemua mereka adalah dari beberapa buah kampung termasuk Rumah Murah Kijal, Kampung Meraga Beris, Kampung Darat Air Putih, Kampung Penunjuk, Kampung Tengah, Kampung Bukit Kuang, Kampung Telok Kalong, Kampung Seri Bandi dan Kampung Ibok yang kesemuanya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Ketua Pemuda PAS Dun Kijal, Ustaz Zulkifli Nara berkata, penyertaan golongan belia dari Dun yang diwakili Ahmad yang juga Ketua Bahagian Umno Kemaman itu sekaligus meningkatkan sokongan kepada PAS untuk menawan kembali Dun tersebut.

PAS pernah memenangi kerusi Dun Kijal ini pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.

Sementara itu, para pemuda yang menyertai PAS itu berkata, mereka menyokong dan menyertai PAS kerana mahu bersama-sama menyertai perjuangan menegakkan Islam di Kijal khasnya dan Malaysia amnya.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Riduan Mohd Nor, Setiausaha PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid,Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah MTD PAS Kijal Ustaz Hazri Jusoh.

Kemasukan 200 pemuda dan pemudi tersebut memberi tamparan hebat kepada Menteri Besar, Ahmad Said yang merupakan ADUN Kijal dan Ketua Bahagian UMNO Kemaman.

PRU13: Anwar lonjak kemenangan Pakatan Perak

Harakahdaily, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengalu-alukan kesediaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan secara terbuka ingin bertanding di Perak.
“Ia juga akan mengukuhkan momentum rakyat Perak khasnya dan Pakatan Rakyat amnya di Perak,” ujar Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

Katanya, pihaknya telah melontarkan cadangan jika Anwar sudi untuk bertanding di Perak.

“Inilah masanya kita melihat telatah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ‘anak buah’ kepada Datuk Seri Anwar di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dahulu.

“Kami percaya semua jentera PR sudah bersedia menerima Datuk Seri Anwar di Perak nanti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Anwar dijangka mengumumkan senarai penuh calon PKR yang akan bertanding di negeri itu pada perhimpunan Jelajah Merdeka Rakyat di Grik, malam ini.

Ribat dalam gerak kerja pilihan raya

Ustaz Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali, 04 Apr 2013
Pilihan raya ke-13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi Sabilillah yang disebut di dalam al-Quran dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan penyertaan tenaga kerja pilihan raya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam dalam memerintah Malaysia.
Konsep Ribat fi SabiliLlah

Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah al-Muwatta', Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut :

Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah

Maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. la merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya.

Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala yang berbunyi :

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfaal : ayat 60)


Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya :

"Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah : ayat 262)

Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan

Ribat seperti ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang Islam daripada musuh. Definisi Ribat seperti ini merujuk kepada firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah menjadi ribat (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah Ali-Imran : ayat 200)

Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi SAW antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa'ad al-Sa'idi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya..." (Sahih Bukhari)

Manakala di dalam Sahih Muslim turut meriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezekinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur)." (Sahih Muslim)

Ketiga : Ribat Dalam Ibadah

Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda (bermaksud), "Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wuduk di waktu sukar, memperbanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat." (Sahih Muslim).

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirannya, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif menafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid. Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.

Pilihan raya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah

Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah disepakati oleh Sahabat Nabi SAW dan para ulama. Dalilnya ialah ijmak Sahabat melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi SAW. Dalam konteks Malaysia, pilihan raya menjadi satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara untuk memilih pemerintah. Pilihan raya akan menentukan sama ada pemerintah yang terpiiih memerintah menurut al-Quran dan Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan gerakan Islam dalam pilihan raya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan negara diperintah menurut Islam.

Penglibatan dalam pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Kaedah Fiqah ada menegaskan, "Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Dalam konteks semasa perundangan Malaysia hari ini menegakkan khilafah yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi pilihan raya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.

Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran

Pilihan raya menjadi wasilah untuk menegur pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru, gerak kerja pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim." (Musnad Imam Ahmad)

Ribat Dalam Gerak Kerja Pilihan raya

Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja Jihad melibatkan pilihan raya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihan raya bermaksud :

1. Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihan raya melibatkan harta.
2. Mengikat diri untuk berada di medan pilihan raya sepenuhnya sekiranya mampu sepanjang tempoh kempen pilihan raya ke-13.
3. Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh.
4. Menjaga  ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihan raya dengan  menyempurnakan wuduk, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat berjamaah di markaz-markaz pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihanraya.

Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta

Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya ketika berlangsungnya peperangan Tabuk; Saidina Uthman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan 300 ekor unta berjumlah 1000 dinar beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang. 1000 dinar bersamaan dengan RM859,000 menurut kiraan hari ini berdasarkan dinar emas Kelantan bernilai RM859 untuk 1 dinar. Manakala harga 300 ekor unta boleh dinilai hari ini dengan RM 1.5 juta berdasarkan harga semasa seekor unta RM5000.

Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam pilihanraya ke-13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya ke-13 insya Allah. Para ulama boleh melaksanakan ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihan raya untuk menggamit kemenangan dikuriakan oleh Allah.

http://www.tarbawi.my

Zamri calon terbaik, Pemuda PAS Wilayah

Hazayani Zakaria, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman tersebut memandangkan pihaknya sudah lama bersedia menghadapi tempoh genting ini.

"Pemuda Wilayah sudah bergerak kerja secara serius sejak tiga bulan yang lalu. Selepas mendapat tahu PAS bertanding di Titiwangsa dan Putrajaya, jentera pemuda khususnya jentera penerangan memang memberikan fokus kepada gerak kerja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

DPPWP katanya, sudah membuat pembahagian jentera untuk gerak kerja di Titiwangsa dan Putrajaya bagi mengelakkan ketidakseimbangan jentera di dua kawasan itu.

"Pemuda dan jentera di peringkat yang lain awal-awal lagi sudah bagi kawasan bantu di tempat ini kerana kita mahu memaksimumkan jentera kita dan mengelakkan kekurangan atau lebihan tenaga di salah satu tempat," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami yang diisytiharkan sebagai calon PAS di Parlimen Titiwangsa.

Beliau menyifatkan pemilihan tersebut sebagai penghormatan parti kepada Dewan Pemuda dan yakin Ahmad Zamri mampu menggalas amanah besar yang diberikan.

"Bagi DPPWP, perlantikan Ahmad Zamri dilihat sebagai satu penghormatan buat pemuda PAS umumnya dan Pemuda PAS WP khususnya.

"Keaktifan Ahmad Zamri membantu rakyat Titiwangsa dilihat seusai Allahyarham Dr Lo' Lo' masih hidup lagi. Ahmad Zamri banyak memperjuangkan isu-isu terutamanya berkaitan Isu Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, pencalonan ini juga merupakan suatu perlantikan yang tepat kerana mendapat sokongan penuh bukan sahaja di peringkat akar umbi Kawasan Titiwangsa tetapi seluruh jentera pemuda.

"DPPWP mendoakan agar Ahmad Zamri diberikan nusrah oleh Allah SWT dalam memperjuangkan agenda rakyat di Titiwangsa sekaligus meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dr. Lo'Lo'," katanya.

Penyandag Kerusi Titiwangsa sebelum ini, Allahyarham Dr. Lo'Lo' Ghazali meninggal dunia pada 16 Julai 2011 akibat kanser.

Pada PRU ke-12, Allahyarham Dr. Lo'Lo' mengalahkan calon BN, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Jumlah pengundi ketika itu adalah seramai 52,017 orang. Allahyarham mendapat 17, 857 undi manakala Aziz mendapat 15,885 undi.

Rekod cemerlang perkhidmatan Allahyarham selama tiga tahun selaku wakil rakyat diteruskan PAS Titiwangsa selepas ketiadaan beliau.

Guru dibebani sistem mengarut

Mental Terbeban,
Sebelum ini kerajaan telah menguar-uarkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji bebanan tugas guru. Sejak tahun 2010 sehingga 2013, jawatankuasa ini masih belum mengemukakan apa-apa penyelesaian bagi isu ini. Belum pun kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk bebanan yang disebutkan sebelum ini, timbul pula bebanan-bebanan baru.

Akhir-akhir ini, guru-guru dibebani dengan pelbagai lagi kerja perkeranian secara online dan bukan online. Jika dulu guru hanya perlu mencatat markah pelajar dalam buku rekod, kini terpaksa menghadap komputer berjam lamanya  untuk memasukkan pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS, SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM,  dan dan lain-lain lagi. Bayangkan bukan sahaja segala maklumat pelajar di bawah tanggungjawab kami untuk kami isi, malahan guru-guru juga telah menjadi pegawai kesihatan di sekolah. Kami jugalah yang menimbang berat pelajar dan mengira BMI untuk setiap pelajar, menganalisis dan merekodkannya pada setiap bulan.

Dengan adanya sistem PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) pula, waktu tidur bukan lagi pukul 11 malam, tetapi pernah sampai pukul tiga pagi saya menghadap komputer. Saya sentiasa tidur lambat untuk menyediakan dan menanda latihan dalam kapisiti yang begitu banyak setiap minggu sejak PBS dilaksanakan. Demam kami dibuatnya. Saya tidak mampu menyiapkan kerja-kerja PBS seperti membina instrument sendiri, meriso kertas, menanda, menyemak, menyusun dan memasukkan data ke dalam sistem di mana melibatkan 160 orang pelajar bagi setiap 216 soalan. Masalah paling besar  ialah semasa ingin memasukkan 160 band pelajar ke dalam sistem. (160 X 216 = 34,560 data). Selepas dimasukkan dalam sistem, kami terpaksa menggeledah fail untuk memasukkan latihan untuk semua pelajar. Jadi bayangkan berapa banyak data dan masa harus diambil untuk menyiapkannya. Sistem sedia ada pula tidak mesra pengguna dan kerapkali menghadapi ‘internal error.’

Bukan sahaja guru-guru merasai keperitan PBS, malahan pelajar apabila ditanya juga mengatakan, “Ruginya masuk tingkatan satu tahun ini (tahun lepas).” Mereka menunjukkan reaksi muak apabila nampak sahaja kelibat guru. Setiap guru yang masuk selepas sedikit penerangan, akan memberikan latihan sehingga ujian yang mereka hadapi dalam satu hari bertubi-tubi melebihi “input”.

Di sekolah kami berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja ko-kurikulum, mengisi data, terlibat dalam AJK kecil untuk pelbagai jenis program, menjalankan kelas tambahan dan lain-lain lagi, di rumah juga kerja terpaksa disambung sampai ke pagi. Kami bukanlah robot. Dengan pelbagai tugasan ini, bilakah masanya untuk kami membuat persediaan untuk masuk mengajar dan menjadi pendidik yang efektif?

Bila ditanya tentang PBS dan keluar di kaca televisyen, segala komentar yang diberikan nampak positif, tetapi untuk mengetahui hakikat sebenar, turun dan lihatlah sendiri keadaan guru-guru di sekolah yang makin tertekan. Kami rasa benar-benar diperbodohkan dengan Dialog: Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang disiarkan pada 20 Februari 2013 jam 10 malam di TV1 kerana seluruh guru di Malaysia tahu situasi yang sebenar adalah sebaliknya.

Kami terfikir-fikir mengapakah kerajaan mengambil sistem PBS yang telah dimansuhkan oleh banyak negara maju? Mengapa kerajaan tidak mengkaji dengan mendalam sistem ini? Di negara maju PBS dilaksanakan kerana bilangan pelajar dalam setiap kelas adalah sedikit, guru dibantu oleh “teacher assistant” tambahan pula silibus pelajaran juga sangat sedikit dibandingkan dengan Malaysia dan di setiap kelas ada fasiliti yang lengkap.

Saya sebagai rakyat Malaysia sedih dengan pembaziran secara besar-besaran dalam perbelanjaan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekejap mahu aplikasi sistem PPSMI, sekejap mahu mansuhkan PPSMI. Ini jugalah yang akan berlaku pada sistem PBS. Apabila pimpinan sudah bertukar, sistem pun akan berubah. Bukankah ini pembaziran namanya. Penukaran buku teks sahaja melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang lebih besar seperti kursus untuk guru-guru dan lain-lain lagi.

Kasihanilah kami. Di manakah janji kerajaan ingin mengkaji bebanan tugas guru-guru kerana kini bebanan kami bertambah lagi? Kami juga ingin melapangkan masa bersama anak-anak kalau bukan setiap hari pun, sekurang-kurangnya pada hujung minggu kami ingin mengenepikan sebentar kerja-kerja yang berlambak dan keluar makan bersama suami dan anak-anak. Bukankah falsafah pendidikan negara menekankan  “berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”. Kami, guru-guru benar-benar perit dengan apa yang kami terpaksa kami lalui hari ini.

Marilah kawan-kawan sekalian, untuk PRU kali ini kita bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, budaya, latar belakang dan fahaman politik menolak sistem pendidikan sedia ada yang menghempap guru-guru pada hari ini.

Jangan sudah terhantuk baru terngadah,  cukuplah dengan rekod kita menjadi antara warga paling ramai mengisi ruangan wad jiwa, marilah kita sama-sama berdoa dengan cara masing-masing agar bebanan yang menghempap di dada kita akan terlepas dengan kejayaan parti pembangkang.

Sampai bilakah kita harus membuat begitu banyak kerja perkeranian, kerja pemfailan, pengisian pelbagai jenis data, penandaan, pengisisan data  dan penyusunan beratus latihan PBS, aktiviti ko-kurikulum, majlis dan aktiviti rasmi sekolah, kursus, mesyuarat, penandaan buku latihan, kelas tambahan dan bermacam bagai lagi yang begitu banyak sehingga tidak mampu disenaraikan satu-satu. Kita dipaksa melakukan segalanya sedangkan kita bukanlah Aladdin dengan Lampu Ajaib. Kita hanya ada 24 jam sehari. Aladdin pun boleh lari bila tengok senarai tugas yang dicampakkan atas kepala kita.

Marilah kita berikan peluang kepada parti pembangkang untuk membuktikan kata-kata mereka untuk membela nasib guru-guru. Biarlah Menteri-menteri yang cerdik pandai tahu kita warga pendidik juga mempunyai suara dan ada masanya akan berasa letih. Marilah kita berganding bahu menyokong parti pembangkang supaya suatu hari nanti kerajaan pada hari ini  akan buka mata kepada keperitan yang terpaksa kita lalui saban hari.

Tiada ulasan: