Rosmah sangkal dakwaan campur tangan pemilihan calon
16 April 2013
Datin Seri Rosmah Mansor
Rosmah berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana penentuan calon diputuskan sepenuhnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kepimpinan tertinggi BN.
"Menjelang PRU ini saya telah banyak difitnah dan ditohmah... inilah yang saya rasa sebagai isteri pemimpin negara dan perkara itu sememangnya tidak boleh dielakkan.
"Antara (tohmahan) yang saya dengar, ada pihak yang bercakap saya masuk campur dalam pemilihan calon...itu tidak benar kerana kalau saya masuk campur pasti saya tahu siapa yang dicalonkan atau digugurkan," katanya ketika berucap dalam majlis Ramah Mesra Warga Industri Hospitaliti, Kulinari dan Demonstrasi Masakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah dan Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Kota Raja Ir Kamaruzaman Johari.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Rosmah menggesa semua isteri calon yang bertanding atas tiket BN supaya mengambil langkah proaktif dan memberi sokongan dengan turun padang menemani suami masing-masing berkempen.
Beliau berkata, sokongan penuh yang diberi kepada calon yang bertanding secara tidak langsung mampu memberi kemenangan bukan sahaja kepada calon itu tetapi juga kepada BN.
"Saya minta isteri yang suaminya menjadi calon supaya turut sama menyibukkan diri berkempen untuk suami masing-masing.
"Dengan adanya kerjasama dan sokongan bersepadu daripada pelbagai pihak, kita (BN) mampu pertahankan kepimpinan di negara ini termasuk mengambil semula Selangor daripada (pakatan) pembangkang," katanya.
Rosmah turut mengingatkan suri rumah agar sentiasa menyajikan makanan yang seimbang kepada keluarga kerana rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk memupuk amalan pemakanan secara sihat.
"Saya menyeru kepada para ibu sekalian, sebagai suri rumah tangga kita harus bijak mengatur pemakanan keluarga supaya mereka sihat sejahtera," katanya. - Bernama
PR batal sidang media, masih halusi isu kerusi
16 April 2013
Sidang media Majlis Pimpinan PR yang dijadualkan pada jam 4 petang tadi dibatalkan dua jam selepas ia tertangguh.
"Sidang media dibatalkan kerana mesyuarat masih lagi berjalan dan tidak diketahui bila akan tamat," kata seorang pegawai ibu pejabat PKR kepada wartawan yang menunggu, dipetik Astro Awani.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok diihat meninggalkan ibu pejabat PKR sebelum diikuti oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, PR akan mengumumkan baki kerusi yang belum diumumkan calonnya selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN).
Sinar Harian Online difahamkan antara kerusi yang belum diputuskan calon oleh PR adalah Telok Kemang, Kuala Pilah dan Rembau. Tiga kerusi itu ditandingi oleh PKR dalam pilihan raya umum 2008 tetapi ia hanya menang di Telok Kemang.
Pembahagian kerusi Dun di Negeri Sembilan juga dikatakan sedikit bermasalah apabila PKR kawasan Labu menuntut supaya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon parti itu dan bukannya keputusan Pakatan Rakyat sekarang meletakkan calon Pas.
Selain itu, masalah juga dikesan timbul di kawasan Dun Sungai Acheh di Pulau Pinang melibatkan PKR dan Pas serta di Dun Johor Jaya di Johor melibatkan PKR dan DAP.
Masalah sama juga dikatakan berlaku di kerusi Dun Changkat Jering selepas Pas mengumumkan kerusi itu akan ditandingi oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sedangkan kerusi itu pada 2008 ditandingi oleh PKR.
Dalam pada itu, wartawan Sinar Harian dari Seremban melaporkan bahawa PR Negeri Sembilan yang sepatutnya mengumumkan calonya pada malam ni terpaksa ditanguhkan kerana dipercayai PKR negeri ini mempunyai masalah dalam pemilihan calon.
Pengumuman akan dibuat dalam satu tarikh yang akan di beritahu dalam masa terdekat, kata seorang pemimpin.
BN mengumumkan barisan calonnya secara berperingkat-peringkat sejak pagi tadi.
Komponen PR telah mengumumkan calonnya secara berperingkat sejak akhir bulan lalu.
Isa Samad lawan Aishah di Jempol
16 April 2013
Isa Samad dan Aishah
Mohd Isa yang menyandang kerusi Dun Bagan Pinang, disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini selepas diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, semalam.
Keputusan itu bukan saja menyaksikan Mohd Isa kembali semula ke kerusi sama yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum 2004, malah lebih menarik, beliau akan bertemu dengan penyanyi popular era 90an, Wan Aishah Wan Ariffin, atau Aishah yang bertanding di bawah tiket Pas.
Mohd Isa berkata, pertukaran kerusi beliau daripada Dun Bagan Pinang ke Parlimen Jempol bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini pun beliau amat rapat dengan masyarakat peneroka di kawasan tersebut.
Menurutnya, dengan tersenarai semula namanya di Parlimen Jempol, memudahkan beliau memberi nafas baru kepada seluruh masyarakat sekitar kawasan itu, terutama peneroka Felda.
“Walaupun saya tidak pasti apa faktor utama kenapa saya dipilih untuk ke Jempol, namun saya yakin pucuk pimpinan lebih mengetahuinya.
"Bagaimanapun, memandangkan Jempol ini terdiri daripada ramai ahli peneroka Felda, tidak mustahil untuk saya mendapat sokongan daripada mereka. Saya yakin seluruh masyarakat Jempol akan memilih Barisan Nasional (BN), sekaligus menyokong saya pada PRU13 ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Watikah di Kediaman Menteri Besar, di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata, beliau juga yakin akan dapat membantu merampas kembali Dun Bahau dari pembangkang, sekaligus mengekalkan kerusi di empat Dun bawah Parlimen Jempol seperti Palong, Serting, Jeram Padang dan Bahau.
Pada PRU12 lalu, kerusi Parlimen Jempol dimenangi Datuk Lilah Yassin selepas mengalahkan calon Pas, Siti Meriam Naam (Pas) dengan majoriti besar 12,320 undi.
Gelang Patah, Putrajaya antara kerusi panas
16 April 2013
Lim Kit Siang dan Abdul Ghani Othman
Kerusi Parlimen Gelang Patah yang bakal menyaksikan pertembungan dua 'otai' politik, iaitu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan veteran DAP Lim Kit Siang pastinya menjadi tumpuan peminat politik tanah air.
Rata-rata berpendapat pertembungan dua tokoh itu ibarat pertandingan 'kalah mati' bagi karier politik masing-masing.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan rekod perkhidmatan Abdul Ghani sebagai menteri besar mahupun wakil rakyat merupakan salah satu elemen menjadi penanda aras kepada pertembungan di kerusi berkenaan.
"Abdul Ghani adalah supremo dan arkitek kepada pembangunan Johor, dan merupakan seorang yang amat popular di kalangan pengundi, berbanding veteran DAP Lim Kit Siang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.
"Semua pengundi termasuk pengundi Cina amat menghargai apa yang telah Abdul Ghani lakukan di Johor. Beliau (Abdul Ghani) adalah orang yang bertanggungjawab membangunkan Nusajaya dan Iskandar Malaysia di situ selain orang yang amat mengetahui selok-belok Johor berbanding Kit Siang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Nusajaya, adalah pusat pentadbiran baru Johor menempatkan kelompok industri dan logistik selatan, hab perubatan dan 'EduCity' atau bandar raya ilmu.
Kerusi Parlimen Gelang Patah dimenangi Tan Ah Eng daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 8,851 undi mengalahkan calon PKR Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, prospek kemenangan Abdul Ghani adalah tinggi dan adalah mustahil untuk orang yang banyak berjasa kepada negeri Johor ditolak mentah-mentah pengundi Parlimen Gelang Patah berbanding Kit Siang, penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur selama dua penggal sejak 2004, yang datang hanya mencari makan.
Katanya, pertandingan kali ini juga akan menentukan hidup mati karier politik kedua-dua calon tersebut.
Selain Parlimen Gelang Patah, turut mencuri tumpuan ialah kerusi Parlimen Putrajaya yang ditandingi penyandangnya selama dua penggal sejak 2004 iaitu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Pencalonan Husam menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya motif penghijrahan beliau ke pusat pentadbiran kerajaan pusat itu, yang ditafsir ramai bertujuan 'mencuri' undi penjawat awam, selain dilihat sebagai calon berkemungkinan dilantik pakatan pembangkang sebagai perdana menteri, sekiranya berjaya ke Putrajaya.
Bagaimanapun Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Atory Hussein berpandangan elemen kenegerian tidak mampu mempengaruhi undi penjawat awam yang nyata menyokong agenda pembangunan dan transformasi yang dilaksanakan BN, selain Tengku Adnan sendiri mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.
"Sudah tentu, peluang Husam untuk memang di situ amat tipis apatah lagi beliau bukanlah muka yang dikenali pengundi di Putrajaya berbanding Tengku Adnan," katanya.
Turut menarik perhatian ialah kerusi Parlimen Lembah Pantai di mana penyandangnya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang akan ditentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Raja Nong Chik sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri telah membangunkan Lembah Pantai menerusi pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, mewujudkan Skim khas pembelian rumah Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL), tambahan tiga laluan Aliran Transit Massa (MRT), Kompleks Perpustakaan 1Malaysia yang memanfaatkan lebih 20,000 penduduk di sekitar Lembah Pantai.
Juga menarik untuk diperhatikan ialah pertembungan di kerusi Parlimen Shah Alam antara penyandangnya iaitu Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor Khalid Samad dan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Zulkifli Nordin.
Penampilan Zulkifli, penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu sebagai calon rakan BN nyata mengejutkan banyak pihak.
Zulkifli yang mempunyai latar belakang perundangan dan banyak menjuarai isu-isu agama dilihat saingan terbaik untuk menentang Khalid, yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu kontroversi termasuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam selain gagal melaksanakan janjinya untuk menutup kilang arak di Selangor. - Bernama
MB Kedah ditentang sepupu sendiri
16 April 2013
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mengumumkan sepupu Azizan, Mohd Fadzillah Mohd Ali, 55, seorang arkitek dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerai, sebagai calon BN kerusi Dun itu.
Mohd Fadzillah, yang merupakan antara 19 muka baharu BN yang akan bertanding di kerusi Dun di negeri jelapang padi ini, berkata beliau bersedia untuk berhadapan dengan sepupunya itu yang juga pesuruhjaya Pas Kedah.
Walaupun Azizan merupakan wakil rakyat Dun Sungai Limau sejak Pilihan Raya Umum 1995, Mohd Fadzillah yakin dapat merampas kerusi Dun itu daripada Pas kerana beliau membantu membawa pembangunan di kawasan itu walaupun merupakan muka baru dalam PRU.
"Saya sudah menjadi penyelaras di Dun Sungai Limau lebih kurang tiga tahun dan mempunyai pengalaman dalam membawa pembangunan kerajaan persekutuan ke kawasan ini," katanya.
Mohd Fadzillah yang berasal dari Sungai Limau berkata pengalamannya sebagai seorang arkitek juga banyak membantu dalam melakukan kerja-kerja dalam Dun itu, dan masyarakat di situ mengenali beliau.
Walaupun berlainan parti politik, Mohd Fadzillah berkata beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Azizan dan sering berhubung dengan sepupunya itu.
"Saya percaya BN lebih baik daripada parti pembangkang. Apabila saya setuju bertanding menentang beliau (Azizan), ramai juga ahli keluarga yang tidak setuju. Bagi saya, ini soal pilihan raya dan hubungan saya dengan beliau ibarat air dicincang tidak akan putus," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan BN dan Umno yang memilihnya untuk bertanding kerusi Dun itu setelah bergiat aktif dalam bidang politik selama lebih 30 tahun.
Muka baru yang akan bertanding kerusi Dun Kuah, Nor Saidi Nayan, 42, pula adalah Ketua Pemuda Umno Langkawi, dan berasal dari Kampung Chandek Kura, Mukim Kedawang, Langkawi serta merupakan seorang pegawai kastam.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang bertanding di kerusi Parlimen Padang Terap berkata beliau bersedia menghadapi siapa sahaja yang diketengahkan parti lawan.
Bekas Adun Pedu selama dua penggal sejak pilihan raya umum 2004 dan Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berkata dengan bertanding di kerusi Parlimen menuntutnya menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan BN sekali gus menawan semula Kedah daripada kerajaan Pas. - Bernama
Tidak disenarai calon BN, Ibrahim Ali tetap tanding di Pasir Mas
16 April 2013
Datuk Ibrahim Ali
Beliau juga akan bertanding kerusi Dun.
Bagaimanapun pilihannya itu akan diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.
“Terus terang saya berharap akan dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN). Tetapi saya tidak disenaraikan dan sebabnya tidak diketahui,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.
Ketibaan Ibrahim pada jam 4.20 petang itu disambut oleh lebih 500 ahli Perkasa.
Menurutnya, walaupun tidak terpilih tetapi beliau langsung tidak berkecil hati dan menyeru kepada semua ahli Perkasa di seluruh negara supaya memberi sokongan kepada BN.
Beliau berkata, pilihannya untuk terus bertanding di Parlimen Pasir Mas bukan bererti beliau menentang BN tetapi atas dasar sebagai penyandang serta keinginan rakyat yang mahu beliau terus mempertahankan kerusi tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita simbol apakah yang akan digunakan oleh Ibrahim untuk PRU13 nanti, dengan berseloroh berkata, beliau mungkin memilih simbol katak puru.
“Saya akan pilih salah satu simbol yang akan diberikan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada penamaan calon nanti,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas menewaskan calon BN, Datuk Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.
Mustapa tanding 2 kerusi, pertaruh 25 muka baru di Kelantan
16 April 2013
Dato’ Seri Mustapa Mohamed
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, turut mempertahankan kerusi Parlimen Jeli yang disandangnya.
Percaturan meletakkan Mustapa bertanding di kerusi Dun, menguatkan tanggapan bahawa beliau bakal menjadi Menteri Besar sekiranya BN menawan Kelantan.
Ketika mengumumkan senarai nama calon BN Kelantan di Bangunan Umno di sini hari ini, yang mengetengahkan 45 peratus atau 25 muka baharu, Mustapa turut mengumumkan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin bertanding di kerusi Parlimen Bachok.
Vetaran Umno, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang manakala tujuh anggota Dun yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, termasuk satu pada pilihan raya kecil lepas, turut disenarai untuk mempertahankan kerusi Dun masing-masing.
Mereka ialah Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Kok Lanas), Datuk Noor Zahidi Omar (Pengkalan Kubor), Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga), Datuk Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah), Mat Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) dan Abd Aziz Yusoff (Galas).
Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff pula diberi kepercayaan untuk bertanding di Dun Guchil manakala calon daripada MCA yang diwakili Ketua MCA Kota Baharu Ir Tan Ken Ten bertanding di Dun Kota Lama.
Muka baharu yang diketengahkan BN kali ini terdiri daripada Wan Razman Wan Abd Razak (Dun Chempaka), Kanidy Omar (Dun Tanjong Mas), Mohd Fakhrurazi Abdul Rahim ((Dun Bunut Payong), Tuan Anuwa Tuan Mat (Dun Pengkalan Pasir), Aimi Jusoh (Dun Chetok), Ghazali Ismail (Parlimen Rantau Panjang), Datuk Mohamad Nordin Awang (Dun Salor), Mohd Shamsul Mohd Yusoff (Dun Pasir Tumboh), Wan Mohd Nazi Wan Hamat (DUN Demit), Mohd Zain Yasim (DunTawang).
Datuk Mohammad Zaidi Sidek (Dun Perupok), Mohd Othman Omar (Dun Melor), Mohd Basri Awang (Dun Kadok), Baharudin Yusof (Dun Bukit Panau), Bakri@Mohd Bakri Mustapha (Dun Gual Ipoh), Dayang Saniah Awang Hamid (Dun Kemahang), Tuan Mustaffa Tuan Mat (Parlimen Pasir Puteh), Zulkifli Ali (Dun Selising), Mohd Rujhan Salleh (Dun Limbongan), Zawawi Othman (Dun Semerak), Redzuan Stapha (Dun Gaal), Halim@Ab Halim Ismail (Dun Pulai Chondong), Azemi Mat Zin (Dun Temangan), Eriandi Ismail (Dun Kemuning), Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff (Dun Guchil) dan Che Jalal Muda (Dun Manek Urai).
BN Kelantan turut menyenaraikan enam tokoh agama, termasuk Mohd Shamsul Yusoff, Mohd Fakhrurazi Abdul Rahim dan Mohd Afandi Yusoff. Golongan wanita juga turut tidak dipinggirkan dan diberikan kepercayaan menggalas harapan iaitu Dayang Saniah Awang Hamid (Dun Kemahang) dan Nik Noriza Nik Salleh (Dun Pasir Pekan).
Mengulas pengumuman calon itu, Mustapa berharap mereka yang dipilih mampu menggalas harapan rakyat Kelantan dalam membela nasib rakyat, selain yakin tidak berlaku masalah "cah keting".
"Semalam, saya sudah bertemu dengan semua bahagian di Kelantan, termasuk mereka yang dicalonkan dan tidak dicalonkan. Pertemuan berlangsung dalam keadaan harmoni dan saya yakin tidak akan berlaku masalah cah keting," katanya.
Mustapa berkata tokoh lama yang dikekalkan masih mampu memberi perkhidmatan dan diterima rakyat.
Beliau berkata ia penting bagi mengekalkan keseimbangan memandangkan tokoh-tokoh lama tersebut mempunyai pengalaman luas dalam memenangi hati rakyat, selain sudah terbukti telah menjalankan tugas dengan baik.
"Yang penting, rakyat hendaklah berminat dan berkenan dengan calon kita, dan saya yakin barisan calon-calon kita ini akan menyebabkan rakyat berminat terhadap kita Mustapa yang menyifatkan semua nama tersebut sebagai pasukan transformasi BN Kelantan, yakin BN mampu menang sekurang-kurangnya di 23 kerusi Dun dan lapan kerusi Parlimen.
Terdapat 14 kerusi Parlimen dan 45 Dun di Kelantan. Pada pilihan raya umum lepas, Pas menang 37 kerusi Dun, BN (enam) dan PKR (1), namun pada pilihan raya kecil Galas pada 2010, BN kembali merampas kerusi berkenaan manakala dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN ialah Gua Musang melalui Tengku Razaleigh dan Jeli oleh Mustapa manakala PAS (lapan), PKR (3) dan Bebas (1).
Mengenai Dun Guchil yang diwakili PPP, Mustapa berkata ia merupakan pengorbanan besar Umno Bahagian Kuala Krai memandangkan ia merupakan kerusi tradisi mereka.
"Ini satu sejarah kerana PPP kita tahu perlu kerusi juga. Saya harap PPP bekerja kuat untuk hargai pengorbanan Umno dan menang cemerlang di Dun Guchil," katanya.
Mustapa berkata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali tidak bertanding atas tiket BN memandangkan BN telah meletakkan Timbalan Ketua Bahagiannya Che Johan Che Pa sebagai calon di kawasan tersebut.
"Keputusan telah dibuat oleh parti, dan BN diwakili oleh Che Johan. BN telah berurusan (dengan semua pihak) dan tradisi kita bertanding semua kerusi bagi menyuburkan demokrasi," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan