Jumaat, 5 April 2013

BUKAN FELDA KERATONG AJE INGIN PERUBAHAN....MUNGKIN KEBANYAKKAN RAKYAT MALAYSIA

Jerantut: Kekalkan Tg Azlan atau tidak?

Anis Nazri, 05 Apr 2013
Sesiapa sahaja yang ingin berkunjung ke Taman Negara, Pahang, Jerantut merupakan pintu masuk utama ke hutan rekreasi tersebut.

Selain terkenal dengan Taman Negara, di Jerantut juga terdapat satu gua yang merupakan tapak arkeologi yang dibuka kepada orang awam, iaitu Gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari timur Jerantut.

Berkeluasan 755,771.93 hektar, Jerantut juga merupakan daerah terbesar di negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Parlimen Jerantut P81 diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN), Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar.

Memperoleh 19,543 undi, beliau menewaskan calon PAS, Dr. Hamzah Jaafar yang mendapat undi sebanyak 17 597 undi dengan majoriti sebanyak 1946 undi.

Bagaimanapun, ketika kunjungan Harakahdaily ke parlimen berkenaan baru-baru ini, terdapat pihak yang mengatakan para pengundi di parlimen itu tidak menyenangi sikap wakil rakyat mereka yang tidak turun padang.

Biarpun Tengku Azlan berdarah raja, status tersebut tidak menjadikan para pengundi Jerantut senang dengan sikap wakil rakyat itu.

Namun, ketika pengundi dikatakan tidak bersedia untuk mengundi Tengku Azlan pada pilihan raya umum ke-13 jika dicalonkan semula, lain pula kisahnya di Umno bahagian tersebut.

Dikhabarkan Umno bahagian sedar rasa tidak senang pengundi kepada Tengku Azlan jika dicalonkan semula, namun terpaksa berbuat demikian bagi menyatu-padukan jentera parti.

Terdapat beberapa pihak di kalangan Umno yang dikatakan berhajat untuk mengisi kerusi tersebut pada pru13 ini, namun ia dikatakan hanya bakal mengundang padah kepada BN.

Tengku Azlan sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk tidak bertanding lagi kali ini.

Beliau mahu terlibat aktif dengan NGO yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, Amanah.

"Jika nama lain dipilih selain Tengku Azlan, kemungkinan berlaku perpecahan di kalangan jentera parti kerana masing-masing mempunyai 'team' tersendiri.

"Pihak yang tidak berpuas hati akan memprotes, jadi besar kemungkinan mereka akan meletakkan juga Tengku Azlan bagi menyatu-padukan jentera parti terlebih dahulu," dakwa Penolong Setiausaha PAS Jerantut, Che' Mat Yunus Ismail.

Bagaimanapun, bagi PAS Jerantut, sekiranya Tengku Azlan dicalonkan semula, ia tidak menggugat kemantapan jentera parti dalam persiapan menghadapi pilihan raya.

Lebih-lebih lagi, calon PAS bagi parlimen Jerantut pada pru12 lalu, Dr. Hamzah Jaafar hanya tewas dengan majoriti sebanyak 1946 undi.


(Dr Hamzah dengan Tengku Azlan...Apakah mereka berdua akan bertembung lagi kali ini?)

Mengikut perkiraan pelbagai pihak, Jerantut tersenarai sebagai kawasan Parlimen yang boleh dimenangi PAS dalam pilihan raya kali ini.

Namun jentera PAS nampaknya sangat berhati-hati dengan maklumat ini kerana bimbang ia akan menyebabkan jentera bawahan mereka berada dalam zon selesa.

Dr. Hamzah, anak kelahiran Batu Balai, Jerantut pernah mewakili PAS sebagai calon di kerusi tersebut pada pru11, pru12 dan dijangkakan sekali lagi pada pru13 ini.

Biarpun kalah dengan hanya majoriti 1946, Dr. Hamzah memenangi majoriti sebanyak 2000 di Dun Damak - salah satu Dun yang berada di bawh parlimen Jerantut.

Bagaimanapun, kebanjiran majoriti undi Dun Pulau Tawar dan Dun Tahan mencairkan kelebihan Dr. Hamzah di Dun Damak.

Dun Damak merupakan kawasan campuran yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kerusi tersebut pada beberapa siri pilihan raya umum lalu antara calon DAP dan PKR melawan BN.

Selain Damak, dua lagi Dun yang berada di bawah parlimen Jerantut ialah Dun Pulau Tawar dan Dun Tahan yang merupakan kawasan pengundi Melayu.

Jika kena dengan percaturannya, PAS boleh menawan kerusi parlimen Jerantut, lebih-lebih lagi dengan perpecahan jentera Umno, selain terdapat ura-ura yang mengatakan Umno Jerantut berhasrat untuk 'menggugurkan' MCA di kerusi Dun Damak untuk digantikan dengan Umno.

Tinggal lagi, Pakatan Rakyat Jerantut perlu berkerja keras bagi memenangi hati pengundi Jerantut, termasuk 17 Felda yang berada di bawah parlimen Jerantut.

Anwar: Bukan tidak sayang Permatang Pauh

Mohd Sabri Said, 05 Apr 2013
PERMATANG PAUH: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) bersedia untuk bertanding di Perak bagi meningkatkan prestasi Pakatan Rakyat serta menunjukan sikap terbuka dan berani berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Beliau bercakap pada wartawam sebelum menyampaikan tazkirah Jumaat di Masjid Jamek Sama Gagah, Permatang Pauh tengahari tadi.

Jelasnya, bukan tidak sayangkan Permatamg Pauh tetapi kerana membuka ruang bagi memenangkan kerusi parlimen mesti berani bertindak dengan tujuan mempromosikan pejuangan membentuk negera yang lebih sejahtera.

"Kehendak rakyat mesti dihormati.  Sentimen dan kemahuan rakyat saya terpaksa memikirkan untuk bertindak demikian. Apa pun ia bukan muktamad lagi," tegasnya.

Lagi pun tujuan tersebut, untuk mengimbangi kekuatan Pakatan Rakyat di mana di Kelantan iaitu Pantai Timur ada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Di Pulau Pinang ada Lim Guan Eng maka kedudukan di tengah sangat penting.

Beliau berpesan pada jentera agar lebih menumpukan terhadap gerak kerja menambah baikan yang mana lemah tanpa mempertikaikan arahan parti termasuk pencalonan semasa pilihanraya umum ke 13 kelak.

Menyentuh mengenai sikap pihak keselamatan yang masih tidak bertindak terhadap gejala samseng UMNO yang sering megacau dan kadang-kadang membaling batu ke arah program Pakatan Rakyat beliau berkata, ia masih tidak profesional.

"Sepatutnya sebagai pihak yang menjagai keselamatan negara mesti bersikap profesional jangan menyebelahi pihak yang tidak bertamadhun dan kuno.  Mereka boleh panggil semua parti di Malaysia untuk menerangkan mana yang boleh dilakukan dan tidak, " jelasnya.

Warga felda Keratong tak sabar nak buat perubahan

Muhammad Faizal, 05 Apr 2013
ROMPIN: Penduduk Felda Keratong yang ditemui semalam sangat teruja dengan pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin.

Rata-rata penduduk yang ditemui Harakahdaily meluahkan rasa gembira dengan berita pengumuman itu yang didakwa dinanti sudah lama.

Ditanya apakah sebab mereka begitu gembira, mereka berkata 'kami sudah tidak sabar mahu mengundi untuk membuat perubahan".

Abdul Aziz Musrani, 49, seorang pesara kerajaan menyeru agar penduduk felda memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) supaya pembaharuan dapat dilakukan.

"Sebagai penduduk di Keratong saya mengharapkan agar seluruh penduduk menyokong Pakatan Rakyat supaya kita dapat mengalahkan Barisan Nasional.

"Saya akan bertemu dengan kawan-kawan untuk sama-sama mengambil peluang terbaik ini memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk pembaharuan yang lebih baik," kata beliau yang ditemui pada siri jelajah Treler Negara Berkebajikan di Bandar Tun Razak di sini.

Tomirim Mohd Fadzil, 66, pula menjelaskan keluarganya kini mahu membuat perubahan untuk masa depan yang lebih baik khususnya soal bebanan hidup yang tinggi yang terpaksa ditanggung mereka sedangkan pemimpin negara terus mengaut hasil negara.

Selain itu katanya, beliau melahirkan rasa kecewa berhubung bantuan pendidikan kepada anak-anaknya, sehingga beliau terpaksa berkerja keras menampung kos pengajian mereka.

"Saya menyambut baik manifesto Pakatan Rakyat yang mahu memberi pendidikan percuma kepada seluruh rakyat, inilah impian yang kami nantikan selama ini.

"Rata-rata penduduk di sini tidak mendapat bantuan pendidikan, kami mahukan jaminan masa depan kepada anak kami sehinggakan terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi memastikan masa depan mereka lebih baik," katannya.

Sementara itu, Mohd Khairul Azuad, 25, melahirkan rasa teruja untuk mengundi buat kali pertama dalam hidupnya pada PRU13 ini.

Malah katanya lagi, generasi muda tidak perlu takut untuk membuat perubahan, memilih kerajaan yang lebih baik.

"Generasi muda sekarang ini sudah boleh menilai sesebuah kerajaan, mana yang baik dan mana yang banyak melakukan penyelewengan.

"Saya yakin peluang ini akan diambil oleh kesemua generasi muda dan ia bukan satu kesalahan kalau kita membuat perubahan," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pengundi wanita yang sempat ditemui merasakan pengumuman pembubaran parlimen semalam merupakan satu rahmat untuk membuat pilihan menukar kerajaan.

Norsiah Sekak, 57, berkata wanita felda wajib berubah dan perlu keluar dari takuk lama dan jangan biarkan BN terus memerah keringat rakyat untuk kepentingan pemimpin mereka sendiri.

"Kami dari golongan wanita mahu kerajaan yang ada sekarang ini ditukar kerana tidak sanggup bersongkong dengan penyelewengan mereka.

"Saya pasti jika Pakatan Rakyat memerintah ia akan menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik dari BN, tidak salah untuk kita mencuba dalam mencari kelainan jika itu terbaik untuk rakyat," jelasnya.

Beliau yang berharap agar wanita-wanita felda tidak menonton berita di televisyen mulai hari ini hinggalah hari mengundi untuk mengelakkan mereka terus terpengaruh dengan berita sebelah pihak.

Bersih senarai hitam calon langgar kod etika

Anis Nazri, 05 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 akan menyenaraihitamkan mana-mana calon parti yang melanggar etika pilihan raya sepanjang kempen pilihan raya umum ke -13.

Penyenaraian itu dilakukan melalui sebuah badan pemantau pilihan raya yang dibentuk di bawah Bersih dan Mafrel, iaitu Pemantau.

Nama-nama calon yang disenaraihitamkan itu akan disiarkan di laman web rasmi badan itu, www.pru13.info sebagai panduan untuk rakyat membuat penilaian dalam memilih pemimpin mereka.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, calon-calon yang disenaraihitamkan merupakan mereka yang didapati melanggar kod etika, sama ada mengeluarkan kata-kata kesat, menghasut dan sebagainya sepanjang kempen pilihan raya.

Justeru, tambah beliau sukarelawan Pemantau akan melakukan pemantauan secara terperinci berserta bukti-bukti berupa rakaman audio dan video terhadap mana-mana calon parti yang bertanding yang didapati melanggar etika pilihan raya.

"Sukarelawan kami akan memantau mulai hari ini setiap kata-kata yang diucapkan, diceramahkan mana-mana calon yang bertanding, yang didapati menghasut, mengeluarkan kata-kata kesat dan berunsur keganasan.

"Sama ada mereka dari Barisan Nasional, mahupun Pakatan Rakyat, dan juga calon bebas, tiada yang akan ketinggalan dari diperhatikan oleh sukarelawan kami," tegas beliau pada sidang media badan itu, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata mana-mana pihak yang mendapati calon-calon yang bertanding melakukan pelanggaran etika, boleh membuat aduan melalui online di www.pru13.info/aduan.

Sementara itu, Ajk Bersih, Maria Chin Abdullah, berkata Pemantau sudah menerima beberapa aduan berkaitan pelanggaran etika pilihan raya, antaranya kibaran bendera parti yang bertanding sebelum parlimen dibubarkan.

Malah, terdapat dua nama turut disenaraikan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang dikatakan melanggar etika pilihan raya.

Menurut Maria, mereka mengambil kira tweet daripada Zahid yang menyebut "We shall move to the warzone to kill all adverse political intruders".

Manakala, Hishamudin pula dikatakan gagal menangani isu membabitkan penyokong Pemuda Umno Gombak yang menjerit "potong kepala dia (Naib Presiden PKR, Tian Chua) dalam satu majlis pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, kata Ambiga mereka akan menubuhkan satu badan bebas bagi menangani isu senaraihitam ini, di samping memberi peluang kepada kedua-duanya untuk membela diri, seterusnya tidak disenaraihitamkan," kata Ambiga.

Prestasi P Pinang baik, 5 tahun lagi lebih baik

Harakahdaily, 05 Apr 2013


GEORGE TOWN: “Di Pulau Pinang, rakyat tidak lagi takut sama kerajaan negeri macam dulu. Sekarang kerajaan negeri yang takut sama rakyat,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jika rakyat dapat merasakan dalam lima tahun ini Pulau Pinang telah mencatat prestasi yang baik, maka pastinya lima tahun yang akan datang akan menjadi lebih baik.

“Sesungguhnya Pulau Pinang layak menerima yang terbaik,” ujarnya ketika berucap pada pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Dun) di Komtar, hari ini.

Justeru, beliau mengajak rakyat supaya memastikan persaingan untuk masa depan negeri ini tidak akan menjadi pertarungan antara siapa yang lebih pandai memfitnah, membenci atau mengugut, tetapi menjadi pertarungan yang mulia antara idea, ideal, prinsip dan dasar-dasar berjiwa rakyat.

“Peluang untuk mengejar impian harus diberi kepada anak-anak kita dan bukan hanya kepada anak-anak para menteri atau Perdana Menteri kini dan lampau,” katanya lagi.

Guan Eng menekankan bahawa Pakatan Rakyat (PR) menawarkan visi masyarakat majmuk yang bersatu dan madani serta menghormati kepelbagaian dan hak asasi.

Tegasnya, kerajaan negeri percaya bahawa PR mempunyai idea yang lebih bernas, idealisme yang lebih kukuh, prinsip yang telah diuji masa dan dasar-dasar berjiwa rakyat untuk menjaminkan masa depan anak-anak.

“Sekiranya diberikan peluang semula untuk terus memerintah Pulau Pinang, kami yakin, Pulau Pinang boleh menjadi No.1 di Malaysia sebagai negeri pintar dan bertaraf antarabangsa.

“Demi Pulau Pinang yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat. Ini kalilah!” ujarnya.

Semalam, beliau telah menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas untuk memohon perkenan supaya Dun Pulau Pinang ke-12 dibubarkan. (Gambar atas)

Selaras dengan Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri telah pun memperkenankan bagi Dun dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

PRU13: Hadnan Mohamad calon PAS di Labuan

Hazayani Zakaria, 05 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Kawasan Labuan, Hadnan Mohamad diumumkan sebagai calon PAS Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Perkara itu diumumkan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad di Pejabat PAS Kampung Baru pagi ini.

Hadnan, 55, berasal dari Tanjung Aru dan merupakan anak tempatan Labuan.

Beliau berkhidmat dengan Sabah Shell Petroleum Company Limited sebagai Material Supply Coordinator dan pernah menjawat jawatan sebagai Vice President For Sabah Petroleum Industrial Woorkers Union.

Menurut Mohamad, PAS yakin Hadnan mampu mendapat sokongan di sana berdasarkan pengalaman beliau dalam parti dan bidang korporat.

"Dengan pengalaman luas beliau dalam bidang korporat serta tahap intelektual dan profesionalisme yang tinggi, PAS Wilayah percaya beliau adalah orang yang paling sesuai sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat di Labuan," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Muslimat Nuridah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Halim Hasan dan Ketua Dewan Himpunan PAS Wilayah Persekutuan, Vincent Lee.

Pembangunan OKU lebih cemerlang di bawah PR

Harakahdaily, 05 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Buat pertama kalI parti politik melalui PAS telah mengiktiraf peranan sektor orang kelainan upaya (OKU) hingga peringkat tertinggi parti.

Begitupun, Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof berkata bukan tiada cubaan parti-parti lain mengiktiraf OKU sebagaimana hari ini.

Namun, jelas beliau apa yang dilakukan oleh PAS di mana pimpinan pusat melalui mesyuaratnya telah menerima dan memberi pengiktirafan adalah julung kali dalam perkembangan politik negara.

Pada hari ini, katanya pihak sekretariat bukan sekadar berfungsi sebagai wakil OKU menyatakan suara memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat, lebih dari itu kami diterima sebagai wakil untuk mencetuskan perubahan kepada pembangunan OKU di Malaysia melalui PAS dan Pakatan Rakyat.

“Justeru, kami menyeru seluruh warga OKU dan ahli keluarga serta mereka yang prihatin kepada isu-isu OKU untuk memberi sokongan padu kepada PAS, PKR dan DAP dengan apa jua cara termasuklah memberi undi pada PRU13 kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, melalui hubungan baik yang ada, pihak sekretariat juga telah dimaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih bersedia untuk menyediakan prasarana yang dapat membantu pengundi-pengundi OKU pada kali ini.

Katanya, perkara tersebut juga telah disahkan oleh wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab kepada hal ehwal OKU pada masa ini.

“Pada kesempatan ini, ingin kami tegaskan keyakinan kami bahawa pembaharuan kepada pembangunan OKU akan lebih terbuka dan cemerlang melalui perubahan tampuk pimpinan kerajaan kepada Pakatan Rakyat.

“Kami akan terus iltizam untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakayt membawa suara dan menyampaikan hasrat OKU untuk suatu perubahan yang lebih baik di Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya.

Tiada ulasan: