Rabu, 3 April 2013

BILA BUTA AGAMA...KESALAHAN DIRI TAK DISEDARI....ULAMAK UPAHAN PUN TAK BERANI NAK TEGUR

PRU13: Rakyat jangan terperangkap strategi Najib

Harakahdaily, 02 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat jangan leka dengan strategi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyembunyikan tarikh pembubaran parlimen dan PRU13.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini salah satu strategi untuk rakyat lupa masalah negara dan masalah peribadi yang dipikul oleh beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Beliau hendak rakyat, termasuk penyokong Umno hanya bincang bila tarikh pembubaran Parlimen dan tidak bincang masalah negara dan masalah peribadi,” katanya kepada Harakahdaily.

Baginya, Najib begitu tertekan dengan penolakan rakyat terhadap Umno dan BN.

“Beliau tentu runsing, jika 2008 populariti Tun Abdullah Badwi tidak seteruk beliau, lima negeri tumbang sedangkan populariti Najib lebih teruk daripada zaman Pak Lah,” ujarnya.

Beliau menambah, Najib pula diselubungi dengan masalah peribadi dan keluarga yang menjadi bahan ketawa di media baru, termasuk dari kalangan pemimpin Umno.

Menurutnya, mereka hanya menunggu masa untuk membelasah Najib, selepas beliau tidak ada kuasa.

Beliau menambah, Najib dihantui, kebimbangan tidak mendapat dua pertiga majoriti, telahan lagi jika BN tumbang.

“Jika gagal mendapat mandat sebanyak itu, Najib dan Rosmah kena bersedia untuk meninggalkan kemewahan kerana akan dihambat oleh ahli Umno sendiri,” katanya.

Oleh itu, kata Idris semua rakyat jangan sibuk meramal tarikh pilihan raya kerana ia adalah strategi Najib untuk melekakan rakyat daripada membincang masalah negara.

“Hakikatnya rakyat sudah tidak sabar untuk menukar kerajaan BN. Bila Najib bubar tidak penting, tugas kita ialah memastikan jentera kita bersedia.

“Kita jangan terikut-ikut dengan taktik Najib yang menyembunyikan kepada semua manusia,” kata beliau lagi.


Membersih diari hidup dari catatan dosa

Dr Juanda Jaya, 22 Mac 2013
Perjalanan hidup manusia terlalu panjang. Bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat. Lima fasa telah ditakdirkan untuk kita lalui. Orang yang beriman percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini. Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan yang dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan yang disorokkan. Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semuanya yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.

Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan menghadapi cabaran hidup ini. Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi. Apakah sebenarnya yang tersirat dari sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur 60 tahun.” Hadis riwayat al-Bukhari.

Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa hingga berhenti pada usia 60 tahun. Tetapi sebenarnya ia mengingatkan kita bahawa jika tak berubah juga perangai sampai mencecah usia 60 tahun, tanda-tanda kebinasaan telah nampak. Kerana manusia itu mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Kalau lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan. Kalau tidak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tidak jumpa jalan Tuhan sebab mata dah rabun.

Kalau kita imbas kenangan manis semasa mula-mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumahtangga itu. Semakin lama semakin kukuh menerjang badai. Pahit manis menjadi pengajaran. Kita bertambah dewasa dan matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segalanya dengan pasangan. Setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tidak tenggelam dihentam gelombang.

Begitu juga dengan perkara iman dalam diri yang sentiasa harus diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak lagi yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.

Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu lebih matang daripada mereka dan lebih baik lagi iman dan amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup kita dengan catatan amalan soleh. Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita tentang hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana. Semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

http://drjuanda.com/

Fitnah berterusan punca perpecahan

Ahmad Baei Jaafar, 02 Apr 2013
Walaupun parlimen belum dibubarkan, kempen pilihan raya sudah mula rancak di sana sini. Menariknya pendekatan yang diambil kini ialah dengan menggunakan stand agama. Di tempat saya baru-baru ini dianjurkan Dialog 1Malaysia menolak fitnah. Tahniah Umno/BN atas pendekatan baru ini, cuma sedih juga saya apabila melihat sambutannya tidak begitu membanggakan.

Saya tidak pasti mengapa majlis ini tidak mendapat sambutan. Adakah kerana mereka tidak berminat dengan program agama, atau kerana mereka tercium bau politik. Yalah tokoh agamawan mudah Umno itu sudah tersuhur namanya. Sah mereka tidak berminat dengan politik.

Saya sempat bersama program itu dan merakamkan gambar majlis tersebut. Namun perbincangannya agak hambar. Kupasannya tidak menarik, malah penceramah juga tidak ada gaya penarik. Sebenarnya rakyat Malaysia terutama rakyat Selangor keliru, dengan tajuk itu, siapa yang patut menolak fitnah dan siapa pula yang membuat fitnah. Oleh sebab mereka tidak tahu kedudukan itu maka lebih baik tidak terlibat langsung. Kalau tidak mereka turut terpalit dengan dosa fitnah pula.

Supaya lebih jelas mari kita kupas maksud fitnah terlebih dahulu. Pada bahasa, fitnah bermaksud huru hara. Maka orang yang buat fitnah ialah orang yang mencetuskan huru hara dalam masyarakat. Orang yang menyebarkan fitnah ialah orang yang memanjangkan keadaan hubu hara itu kepada pengetahuan umum. Terjadinya huru hara ini apabila seseorang manusia dengan secara sedar berniat jahat untuk membangkitkan ketegangan dalam masyarakat, lalu mereka cerita kisah yang berkaitan.
Berdasarkan maksud ini, siapa dalam kalangan rakyat Malaysia yang benar-benar tahu isu yang dibangkitkan itu. Saya percaya jurucakap mengenai isu ini pun tidak tahu punca isu sebenar. Bayangkan kalau mereka tidak tahu, tidakkah mereka termasuk dalam membuat fitnah atau menyebarkan fitnah.

Tetapi katalah dalam kalangan mereka ada yang tahu isu sebenar. Dan dia bercakap kepada umum isu yang sebenar sebagaimana dia tahu, tentulah sebaran yang disampaikan itu dikira mengumpat. Sedangkan fitnah dan mengumpat di dalam Islam adalah dosa besar.

Jelas di sini, ustaz yang bercakap dalam majlis itu adalah pembawa fitnah atau mengumpat. Hadirin di dalam majlis itu jika terpengaruh dengan penjelasan itu, mereka turut mendapat sahamnya. Di sini beruntunglah mereka yang tidak datang.

Selain itu, perbincangan awal lebih tertumpu kepada kalimah Allah. Sedangkan isu itu sudah lama diselesaikan. Orang Kristian sudah bersetuju menamatkan tuntutan mereka. Manakala orang Islam sudah sedar bahawa Kalimah Allah itu milik orang Islam. Bahkan orang bukan Islam juga sudah akur dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu saya sedih dengan keterampilan tokoh agama dalam Umno yang mereka didatangkan kepada masyarakat untuk sekadarkan menjelaskan perkara yang sudah basi. Sepatutnya mereka datang untuk membangunkan jiwa orang Melayu bagaimana berpolitik secara profesional, bagaimana orang Melayu harus menguasai ilmu, bagaimana orang Melayu harus menguasai ekonomi. Dan yang paling penting tokoh ini patut diberi peluang merancang bagaimana memartabatkan Islam di negara ini.

Dalam majlis lain saya agak kagum iaitu forum rakyat yang bertajuk; Malapetaka Perpecahan Ummah, Apa Sudahnya? Dalam poster yang disebarkan tidak disebut tokoh yang terlibat. Barangkali kerana tajuk yang memang menarik, kehadiran amat menggalakkan.

Alhamdulillah perbincangan agak ilmiah. Cuma sebelum forum bermula, dalam ucapan alaun daripada tokoh politik tempatan yang antara lain menyebut tentang pepercahan orang Melayu yang bermula daripada PAS keluar daripada Umno sebelum pilihanraya pertama. Kemudian orang Melayu berpecah lagi dengan tertubuhnya Parti Semangat 46, dan yang terakhir wujud pula Parti Keadilan Rakyat.

Menurutnya beliau sedih dengan perpecahan yang amat serius itu. “Haruskan kita biarkan perpecahan ini terus berlaku dalam masyarakat Melayu,” soalnya.

Persoalan ini kalau diajukan kepada orang Umno tentu mereka kata, tak patut dan mereka yang keluar itu mesti kembali kepada Umno atau sekurang-kurangnya semua orang Melayu tidak patut memberi sokongan kepada mereka yang berpecah itu. Tetapi kalau soalan itu diajukan kepada lawannya tentu mereka akan mentertawakan sahaja. Kenapa?

Tahukah kita bagaimana tertubuhnya PAS? Sebenarnya seawal penubuhan Umno dianggotai oleh ulama tetapi mereka keluar daripada Umno dan menubuhkan PAS. Tentulah tidak wajar mereka keluar Umno kalau pertubuhan Melayu itu sempurna dan baik dasarnya.

Jelas di sini mereka keluar Umno kerana dasar yang dibawa oleh Umno tidak serasi dengan ulama tersebut. Ulama masuk Umno adalah untuk sama-sama memperjuangkan Islam, meninggikan kalimah Allah di bumi ini. Tetapi apabila tidak berlaku maka lebih baik mereka keluar dan menubuhkan PAS.

Jadi, wajarkan Umno salahkan PAS kerana berpecah daripada induk? Umno kalau sayangkan rakannya, betulkan dasarnya sebagaimana yang diharapkan iaitu dengan memasukkan perjuangan Islam. Dengan itu barulah mereka akan kembali kepada Umno. Kalau begitu, yang salah dalam hal ini ialah Umno kerana tidak dapat menjaga hati rakan kongsinya.

Kenapa pula timbul parti Semangat 46? Bolehlah disalahkan S46 sebagai berpecah daripada induknya? Tahukah anda wujudnya S46 kerana Umno diharamkan oleh ROS. Jadi, S46 ditubuhkan untuk menyelamatkan Umno yang sudah hilang kuasanya. Sepatutnya semua orang Umno masuk S46 bukan menubuhkan Umno (baru). Kalau begitu kedudukannya, yang berpecah ialah Umno (baru) sebab mereka tidak mahu menyokong orang yang menyelamatkan orang Melayu.

Kemudian tertubuh pula Parti Keadilan Rakyat (PKR). Wajarkah penubuhan parti ini dikatakan berpecah daripada Melayu? Tahukah anda penubuhan parti ini selepas Anwar Ibrahim dilucutkan daripada Umno dan dipenjarakan beberapa tahun. Penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia akhirnya menubuhkan PKR demi untuk menyelamatkan orang Melayu dan Malaysia daripada terus dizalimi pemerintah. Mereka menuntut keadilan undang-undang dan pemerintahan kerana pada mereka Anwar Ibrahim tidak diadili secara betul.

Oleh sebab yang menyokong penubuhan itu terdiri daripada bukan sahaja orang Melayu yang menyokong Umno malah bangsa lain wajarkah kita cap mereka sebagai penyebab perpecahan ummah atau orang Melayu? Tentulah tidak wajar. Perkara ini perlu difahami oleh semua orang Melayu terutama yang menganggotai Umno. Jangan sampai mereka tersalah fahami lalu menjadi pak turut yang membawa kepada neraka Allah.

Bagi menghilangkan keraguan umat Islam Melayu, suka saya jelaskan di sini bahawa isu yang menjadikan orang Melayu berpecah bukan kerana banyak parti politik orang Melayu. Malah wujudnya boleh mencantikkan lagi demokrasi di Malaysia. Tetapi yang menjadikan perpecahan itu ialah wujudnya orang-orang parti politik yang terus bercakap, buat fitnah dan caci maki orang daripada parti politik lain walaupun selepas tamat pilihan raya.

Sebenarnya amalan ini menjadi budaya pemimpin politik sehinggalah kepada ahli biasa, malah yang paling tidak terkawal ialah ahli biasa. Tuduh menuduh terus berlaku dalam setiap ucapan mereka terutama dalam persidangan parlimen. Manakala orang ramai pula terus berdebat di kedai-kedai kopi apabila bertemu muka. Inilah punca perpecahan sebenarnya.

Jelas di sini kalau kerajaan berniat baik untuk menyelamatkan orang Melayu daripada perpecahan perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah isytiharkan perdamaian setelah selesai pilihan raya. Pemerintah hendaklah menghulurkan tangan kepada pembangkang dan parti-parti yang bertanding mohon kemaafan dan bertaubat kepada Allah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nasr ayat 1-3.

Maksudnya:
1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),
2. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,
3. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Percayalah dengan pengisytiharan perdamaian mereka boleh saling membantu dalam memajukan negara. Pembangkang patut diberi hak untuk membantu kerajaan tertutama dalam hal-hal yang kerajaan terlepas pandang. Dengan cara ini, insya-Allah tidak akan berlaku perpecahan lagi dalam kalangan orang Melayu.

http://baei.blogspot.com/

Bebaskan pengundi PRU13 dari putaran ganas proses pembodohan

Ahmad Lutfi Othman, 02 Apr 2013
Selama ini Umno-BN sememangnya berusaha keras mengekalkan sebahagian pengundi dalam keadaan jahil, tidak terdedah dengan maklumat, terperosok dalam perangkap kemiskinan, bersikap tertutup, mudah dibakar emosi, dan gerun untuk melakukan perubahan.

Semakin bijak dan berpengetahuan rakyat, apatah lagi posisi terangkat kepada tahap kelompok kelas menengah, dan sentiasa dibekalkan dengan informasi terkini, juga berfikiran rasional dan mengelak daripada bertindak melulu; semuanya adalah ciri-ciri positif yang memudahkan proses perubahan dapat berjalan lancar.

Sebenarnya tidaklah sukar untuk menjangkakan kawasan  pilihan raya yang masih payah ditembusi pengaruh Pakatan Rakyat. Meskipun masa kian terbatas dan majoriti pengundi dikatakan sudah membuat pilihan, namun peluang masih terbentang untuk mempengaruhi "pemilih yang boleh dipengaruhi".

Selain faktor komposisi kaum yang menjadi pertimbangan utama -- dengan majoriti masyarakat Tionghua dilihat sudah berpatah arang dengan BN -- kategori pengundi kota, penduduk pinggir bandar, kampung tradisi dan rancangan Felda sudah dianggap memadai untuk menelah keputusan PRU13 nanti.

(Namun, tidak mustahil apa yang sudah dijangka dan dianggap realiti boleh bertukar tanpa isyarat awal; bukankah ada pemerhati meramalkan Malaysia di ambang "revolusi"?)


Elit penguasa amat memahami fenomena ini.  Mereka arif dengan tonggak kekuatan yang menyokong singgahsana kekuasaan selama hampir enam dekad ini. Justeru, tiada perancangan holistik untuk mengeluarkan  masyarakat yang hidup serba kekurangan, terkepung dengan "proses pembodohan umat", yang berpaut terus dengan subsidi dan bantuan kerajaan.

Namun begitu, saya pernah menulis dalam kolum ini, sempena Syarahan Baling yang disampaikan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, pada 10 Disember 2012 -- mengingati demonstrasi bersejarah lebih 30,000 penduduk miskin pada Disember 1974 -- usah remehkan minda politik orang kampung.

Kemiskinan tidak semestinya memenjarakan mereka asalkan dapat bebas-lepas daripada mentaliti jiwa hamba, bersedia memprotes dan berdiri tegak mempersoalkan kelaziman kuno dan khurafat lama.

Lokasi penempatan yang terpisah jauh ke pendalaman, tersorok daripada aliran maklumat, yang menyukarkan perhubungan dan komunikasi, memang satu cabaran besar, tetapi penghuninya masih berpotensi untuk turut berpartisipasi dalam gelombang menuntut perubahan.

Sesungguhnya proses pendemokrasian sudah menjadi wabak sejagat dan telah terbukti berjaya menukar regim autokratik dan meruntuhkan diktator zalim zaman berzaman. Sekali imbas,  tiada siapa menduga golongan tertindas yang kelihatan hilang upaya sebagai insan mampu bersuara, menjerit tentang kepedihan dan kesakitan terpendam.

Rakyat yang kelihatan daif tiba-tiba bangkit serentak menuntut hak dan tidak peduli lagi dengan muncung meriam, apatah lagi tembakan gas pemedih mata dan hayunan belantan. Sekurang-kurangnya itulah yang berlaku di negara-negara Timur Tengah, yang mencetuskan fenomena Arab Spring.

Secara peribadi, saya memilih faktor pengaliran maklumat yang bebas dan lancar sebagai punca utama sejarah baru dapat dilakar. Dalam suasana informasi -- yang kemudiannya membentuk persepsi -- tidak lagi dapat dikawal dan dimonopoli seperti dahulu, maka "padang permainan" boleh dikatakan hampir sama rata, sekali gus  menyediakan "gelanggang pertarungan" yang seimbang.  

Dalam konteks berdepan  BN dalam PRU13, aktivis Pakatan umpama sudah dapat berdiri sama tinggi dan  duduk sama rendah. Kelebihan di pihak BN yang menguasai (secara tidak sah) pelbagai sumber dan kemudahan, bukan alasan untuk merasa gugup dan gentar, sebaliknya mendorong inovasi lebih kreatif mencari pendekatan terbaik meraih sokongan rakyat.

Kunci kata adalah penyebaran (dan juga pembentukan) maklumat.

Soalnya, sejauh mana minda pengundi dicerdaskan dengan bekalan informasi secukupnya agar mereka dapat membuat keputusan rasional yang tepat? Ledakan maklumat di hujung jari, terutama melalui media baru, hanya mewujudkan situasi lebih demokratik, tetapi ia tidak semestinya secara automatik menguntungkan Pakatan.

Masyarakat yang diasak dengan kerencaman maklumat tidak lagi menelan bulat-bulat, sebaliknya dapat menyaring dan mencerakinkannya. Operasi pencerdasan dan pencerahan, sekali gus membebaskan rakyat daripada proses pembodohan yang berakar sejak sekian lama itu tidak datang sendiri; ia harus direncana dan digerakkan secara sistematik, dalam keadaan penuh kesedaran bahawa umat yang bijaksana dan peduli akan memilih kebenaran.


Kerajaan cuba memperlihatkan sikap responsifnya terhadap beberapa cadangan penambahbaikan sistem demokrasi dan perjalanan pilihan raya tetapi apabila dihadapkan soal akses media -- seperti dituntut gabungan Bersih dan ratusan NGO sealiran -- elit pemerintah tetap bersikap "pekak badak" dan mencari sejuta daleh.

Slot 10 minit RTM untuk menyiarkan manifesto secara rakaman selepas Parlimen dibubarkan lebih berupa penghinaan terhadap tuntutan kebebasan media. Ia diperkukuhkan lagi dengan penolakan Harian Metro untuk menyiarkan iklan program pembasmian kemiskinan kerajaan Pulau Pinang.

Selain memperkasakan medium internet sebagai saluran kempen paling berkesan, cepat dan murah, Pakatan bukan sahaja tidak harus melupakan media tradisi -- iaitu bahan bercetak, terutama untuk profil pengundi tertentu -- malah perlu menampilkannya dalam persembahan lebih berkualiti, dengan sebaran dari pintu ke pintu.

Saya perhatikan, klip video yang dihasilkan aktivis Pakatan untuk menjelaskan tawaran baru seperti penurunan harga kereta, rumah mampu milik, pendidikan percuma, ditambah siri ceramah tokoh-tokoh utamanya dalam YouTube, merupakan daya penarik yang sukar diatasi BN. Buletin Utama TV3 secara drastik kehilangan bisanya dan semakin tidak dipedulikan.

Siaran televisyen internet adalah produk terkini yang memusnahkan sama sekali keegoan strategis media BN. "Cuma, PAS yang menjadi perintis awalnya agak perlahan sekarang. DAP lebih ke depan dalam hal ini, dituruti KeADILan," kata seorang penganalisis.

Persaingan merebut hati dan minda pengundi dalam PRU13 tentunya akan menyaksikan pendekatan baru "membentuk dan menyampaikan maklumat" yang mengkagumkan. Namun, jangan dilupakan kaedah tradisi berkempen secara bersemuka, dan dibawa bersama bahan bercetak yang tinggi mutu kandungan dan grafiknya oleh petugas dari rumah ke rumah.

Kami di Harakah, antara lain, menawarkan sisipan Bangkit, yang akan dipergiatkan lagi selepas Parlimen dibubarkan. Selaku peneraju Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), saya dan rakan-rakan yang terlibat sejak lebih 12 tahun lalu, mohon sokongan untuk menjayakan projek penerbitan PRU13. Sumbangan boleh disalur terus ke akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.

Kunci kata seterusnya ialah pengundi Melayu, khususnya di luar bandar, harus terus dibekalkan maklumat yang mudah diakses.

Pagi Ahad lalu, ketika saya turun dari kompleks membeli-belah di Ampang, selepas gagal mencari bahan bacaan menarik di kedai buku Popular, seorang anak muda, memakai kemeja-T Harian Metro, sibuk mengagihkan naskhah NST secara percuma.

"Ada orang BN taja ke?" kata seorang wanita Tionghua separuh abad. "Ada apa isu menarik di dalam hentam Pakatan?" tanya saya pula. Anak muda itu hanya ketawa kecil.

Rupanya akhbar hujung minggu itu memuatkan laporan eksklusif, dengan tajuk muka depan "Kelantan After Dark", selain wawancara bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, dengan gambar besar Mohamad Hassan.

Terlintas dalam fikiran saya idea penajaan akhbar Harakah yang pernah dilancarkan enam tahun lalu, yang masih belum berjaya dilaksanakan. Diharapkan idea KAMI untuk membekalkan kempen bahan bercetak, menjelaskan persoalan pokok yang perlu difahami rakyat, selain menepis kecelaruan yang sengaja ditimbulkan, akan mendapat sokongan ramai, insya-ALlah.
 

 

 


 


'Tazkirah' Najib mengelirukan

http://greenboc.blogspot.com, 02 Apr 2013


Dalam Berita TV3 ucapan Najib Tun Razak di Masjid Sri Petaling. Beliau begitu lantang memperkatakan tentang menjaga Islam, mempertahankan syriat dan menjaga kalimah suci. Saya pening kerana:

1. Adakah Syariat Islam telah dilaksana di Malaysia? Jika ada mana dia? :

a. Undang-undang hudud qisas, takzir dan hisbah kat mana?

b. Sistem ekonomi Islam, ihya' mawat, Iqta, haram riba, tiada penswastaan harta awam, cukai hanya daripada orang kaya untuk orang miskin dll, kat mana?

c. Isu kalimah Allah bukankah ianya bermula drpd KDN benarkan cetak bible dalam Bahasa Melayu? Yg benarkan ialah KDN yang diterajui umno yang mana presidennya ialah Najib Tun Razak. Sampai hari ini saya masih belum dengar dari Najib: "Kami umno bertegas bahawa penggunaan kalimah Allah dalam bible versi BM adalah salah dan tidak dibenarkan. Tapi yang ada buat statement penegasan ini ialah PAS via Syura statement.

2. Dia bercakap seolah Islam sudah sedia dilaksanakan di Malaysia. Sebab tu saya bertanya di atas, mana!!!!

Kalau tidak ada dan jika Najib bercakap seolah-olah ada, bermakna dia berbohong dan lebih dahsyat sanggup menjadikan agama dan syariatnya sebagai bahan kempen.

Oleh :
Ustaz Zaharuddin Muhammad,
Ahli Majlis Syura Ulamak PAS



Tiada ulasan: