Isnin, 8 April 2013

BERKUASALAH KALAU KITA BAIK DAN ADIL....LEPASKAN KUASA JIKA SEDAR KITA ZALIM DAN TAK ADIL

Janji BN yang tidak ditepati di Johor

Dr Mohd Zuhdi Marsuki, 08 Apr 2013
Maklumat Sehingga Jun 2012, mengikut parlimen

1. Parlimen Segamat:


a. BN gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan parlimen Segamat.

2. Parlimen Labis:

a. Dalam DUN Tenang BN gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah banjir dengan komitmen untuk melebar dan mendalamkan sungai.
b. Dalam DUN Tenang BN gagal menunaikan janji menaiktaraf dan melebarkan jalan.
c. Di seluruh kawasan Parlimen Labis, BN gagal menunaikan janji untuk memberikan bantuan kewangan kepada calon-calon yang telah berjaya dalam peperiksaan SPM.

3. Parlimen Pagoh:

a. BN gagal menunaikan janji untuk mengatasi masalah banjir akibat limpahan Sungai Muar.
b. BN juga gagal menunaikan janji untuk memberikan hak milik tanah di Bukit Serampang.

4. Parlimen Ledang:


a. BN gagal menunaikan janji untuk membina masjid baru di Kampung Parit Zain.

5. Parlimen Bakri:

a. Walaupun parlimen ini dimenangi oleh DAP, BN pernah berjanji untuk menaiktaraf atau membina jeti perikanan yang lengkap di Pengkalan dan Bentayan, tetapi gagal ditunaikan.
b. BN juga gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah banjir di seluruh kawasan dalam parlimen Bakri.

6. Parlimen Muar:

a. Di DUN Sungai Balang, daripada 1980 an sehingga 2012, BN gagal menunaikan janji untuk memberikan hak milik kekal kepada pemilik-pemilik sementara (TOL) dari Sarang Buaya, Menanti sehingga Maharani, yang dianggarkan seluas 1500 ekar.
b. BN gagal menunaikan janji sejak 2006 untuk mendirikan lot-lot kedai untuk keluarga nelayan di perkampungan nelayan, Kampung Jawa.

7. Parlimen Batu Pahat:


a. BN gagal menunaikan janji menyiapkan Projek Pintu Air Bagai Laut yang terbengkalai di Bagan Laut, Rengit.

8. Parlimen Kluang:


a. BN gagal menunaikan janji untuk membina kolej atau institusi pengajian tinggi di parlimen Kluang.
b. BN gagal menunaikan janji untuk menempatkan peniaga-peniaga Melayu di lokasi yang strategic di bandar Kluang.
c. BN gagal menunaikan janji untuk membina rumah kos rendah di Mahkota.
d. BN gagal menunaikan janji di seluruh kawasan parlimen Kluang yang sering dilanda banjir.

9. Parlimen Gelang Patah:

a. BN gagal menunaikan janji menyiapkan projek-projek terbengkalai, iaitu Kemayan City, Waterfront City dan Plaza Skudai.
b. BN telah gagal menunaikan janji untuk mula membina Kem Tentera Darat Skudai yang masih tertangguh.
c. BN telah gagal menunaikan janji untuk membayar pampas an yang wajar kepada pemilik-pemilik tanah yang tanah mereka diambil untuk pembinaan lebuhraya.

*Penulis adalah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat

PRU13: PAS gesa SPR serah nama pengundi awal

Muhammad Faizal, 08 Apr 2013
SHAH ALAM: PAS Selangor menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan senarai nama pengundi awal kepada calon dan parti yang bertanding sewaktu penamaan calon PRU13 nanti.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Abdul Khalid Samad berkata, penyerahan nama-nama pengundi awal adalah mempermudahkan PAS untuk mengeluarkan nama mereka dalam senarai daftar pemilih pada hari pengundian.

Malah katanya lagi, penyerahan senarai nama-nama tersebut adalah dapat mengelakkan ia dimanipulasikan oleh Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi.

"Terdapat 200,000 lebih senarai nama pengundi awal yang akan mengundi pada pilihan raya nanti.

"Bagi memastikan nama-nama tersebut tidak dimanupulasikan oleh BN pada hari mengundi, kita menggesa agar SPR menyerahkan senarai tersebut kepada setiap parti yang bertanding untuk kita mengeluarkan nama-nama mereka dalam daftar pemilih," jelasnya pada sidang media, hari ini.

Selain itu juga Khalid yang turut mencadangkan agar selepas pengundian awal dilakukan, pengiraan undi perlu dilakukan segera di tempat pengundian tersebut.

Katanya, walaupun terdapat kawalan oleh wakil parti tetapi masih boleh berlaku penipuan kerana tidak ada wakil parti yang dapat berada di peti undi setiap masa.

"Kita juga turut mencadangkan agar pengiraan undi awal dilakukan sejurus selesainya pengundian dilakukan, ia perlu dilakukan di tempat pengundian.

"Sebelum ini kita selalu mendengar terdapat undi pos yang dimanipulasi untuk menentukan kemenangan calon BN, kita tidak mahu ini berlaku apabila pengiraan awal dilakukan ia dapat mengelakkan perkara tersebut berlaku," sambung beliau lagi.

Beliau berharap SPR sebagai satu badan yang telus dan adil dapat mempertimbangkan perkara tersebut bagi memastikan hak rakyat yang memilih sebuah kerajaan yang adil tidak dikhianati.

Presiden PAS di Bicara Minda Sinar petang ini

Harakahdaily, 08 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan muncul di program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian jam 2.30 petang ini.

Beliau akan mengupas tajuk 'Kerajaan Berkebajikan: Persepsi dan Realiti' dan akan berdepan dengan soalan yang bakal dilontar hadirin berhubung isu itu dan juga isu politik semasa.

Program ini juga akan disiar secara langsung menerusi laman sesawang mobTV.

Ini adalah kali pertama Tuan Guru Abdul Hadi dipelawa muncul di program anjuran Sinar Harian setakat ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam juga pernah dijemput berkongsi pengalaman di pentas sama.

Cara selamatkan parti yang lama berkuasa

Ahmad Lutfi Othman, 08 Apr 2013
Semasa menonton Buletin Utama TV3 Khamis lalu, saya terdengar pengumuman bahawa manifesto BN yang akan dilancarkan pada 6 April, di Stadium Bukit Jalil, akan disiarkan secara langsung.

Pada pagi Jumaat, ketika bersiap-siap ke pejabat, pandangan saya terpaku kepada siaran Astro Awani, yang turut menghebahkan siaran langsung pembentangan Pengerusi BN, Najib Razak itu, melalui tiga saluran tiga bahasa utama.

Malamnya, ketika begitu banyak iklan bukan komersil yang cuba berselindung daripada  motif politik BN yang sarat,  dengan klip video lagu-lagu pelbagai rentak mengasak mata dan telinga penonton di waktu puncak, saya perasan TV3 menyiarkan lagu khas BN Selangor. Tak pasti sama ada TV3 mengenakan bayaran untuk slot iklan itu.

Segera terlintas dalam fikiran saya tawaran slot 10 minit siaran rakaman manifesto PRU13 kepada setiap parti yang bertanding. Memalukan, sekali gus menghina! Jelas khalayak mahu diperbodohkan. Dr Rais Yatim yang mempunyai PhD berkaitan demokrasi  telah merendahkan diri dan partinya sendiri ke tahap paling bawah.

Kesimpulannya, tuntutan akses media untuk memudahkan kempen pilihan raya hanya menjadi bahan persendaan elit politik Umno. SPR pula langsung tidak bersikap proaktif, malah mengunci mulut daripada memberi perincian terhadap perjalanan kerajaan sementara.

Dari sisi lain, rakyat semakin jelak dan muak dengan aksi melampau pemimpin Umno-BN yang terus mengawal mutlak media untuk propaganda murahan berkempen PRU13. Stesen TV kini sudah menjadi bilik gerakan BN. Tepat seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, indeks kebebasan media di negara kita setaraf dengan negara-negara mundur di Afrika.

Dalam pada itu, saya perhatikan tidak ramai orang berbicara soal tempoh kempen minimum apabila lebih sibuk membuat tekaan hari penamaan calon dan pengundian. Tanpa sedar kita telah menerima kempen singkat; di zaman Dr Mahathir Mohamad, tempohnya di bawah 10 hari. Hanya pada 2008, Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan kepada 13 hari.

Untuk membuktikan transformasi politiknya, Najib perlu menimbangkan tempoh dicadangkan Bersih, iaitu 21 hari, selain berdada lapang membenarkan rakyat mendapat maklumat secukupnya daripada semua parti bertanding, melalui media awam, khususnya TV. Jangan pula ada yang menyindir: "Lebih mudah mencari kucing bertanduk berbanding menanti ehsan Najib."


II.

Petang Khamis lalu, lima aktivis pelajar UKM, termasuk Presiden Gamis dan Pengerusi Tolak (Gelombang Anak Muda Tolak Umno-BN), Azan Safar berkunjung ke rumah saya.

Agak teruja saya mendengar komitmen tinggi anak-anak muda melakukan kempen jelajah seluruh negara -- didahului dengan perhimpunan lebih 300 siswa di hadapan Seri Perdana -- terutama untuk mendapatkan tandatangan sepanjang 1km, kira-kira membabitkan dua juta rakyat Malaysia, bagi menolak penguasaan Umno-BN hampir enam dekad.

"Simbolik pelancaran TOLAK di hadapan Ibu Pejabat  Umno di PWTC adalah mesej jelas anak muda tidak gentar dan bersedia memimpin perubahan untuk Malaysia yang lebih baik. Bahkan, kita akan pastikan gelombang ini akan menjadi tekanan besar buat UMNO-BN di fasa akhir menjelang PRU13 ini. Ayuh kita bersama menggerakkan gelombang perubahan ini," kata Azan dalam kenyataan awal 15 Mac lalu.

Manakala pelancaran kutipan tandatangan bagi merubah kepimpinan negara diadakan di kompleks membeli-belah Sogo, 3 April. Tolak menyenaraikan  tujuh alasan mengapa Umno-BN perlu ditolak, di antaranya: "Umno-BN mengamalkan rasuah dan kronisme sebagai budaya dalam parti dan pentadbiran negara; Umno-BN gagal menguruskan ekonomi negara sehingga membebankan rakyat dengan hutang dan kos sara hidup yang tinggi; Umno-BN campur tangan dalam IPT dan menyekat kebebasan akademik mahasiswa dan universiti; Umno-BN menafikan hak rakyat dan mengadaikan kepentingan bangsa Melayu."


Selepas menikmati nasi beriani masakan isteri,  saya diberitahu Azan bahawa esoknya, selepas solat Jumaat, mereka bersama NGO yang bersama Tolak akan mengadakan sudut pidato di Masjid Negara. Seterusnya hari Sabtu, Tolak  akan memulakan kempen jelajah seluruh Malaysia, bermula di Kuala Lumpur ke Terminal One, Seremban, menaiki tren.

Sebenarnya, selain mendengar tekad mereka untuk mencetuskan perubahan dalam PRU13, saya lebih terkesan dengan "penindasan" berterusan pihak universiti terhadap gerakan pelajar yang dikuasai Pro-M, seperti di UKM.

Majlis Perwakilan Pelajar (dilihat tidak cenderung dengan Umno-BN) yang mendapat mandat sah majoriti mahasiswa langsung tidak dihormati. Urusetia Hal Ehwal Pelajar telah mengambil alih banyak peranan PMUKM dan lebih menjolok mata, membekukan kegiatan tradisi persatuan sehingga berakhirnya PRU13. Satu tindakan cukup melampau.

Ya, idea pembaharuan Timbalan Menteri KPT, Saifuddin Abdullah -- yang banyak bercakap soal politik baru dan proses pendemokrasian alam kampus -- sebenarnya telah dibakul-sampahkan oleh elit universiti yang masih dikongkong bebalisme dan fahaman lapuk.

Biarpun Auku dipinda dan membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, termasuk untuk menjadi calon pilihan raya, kekangan aktiviti dalaman kampus tetap seperti pelajar sekolah. Pimpinan kampus masih diperbudakkan. Sebarang peraturan, termasuk yang bersifat karut-marut dan antiintelektual, mudah saja untuk diperkenal dan dikuatkuasakan.

"Sepatutnya rakan-rakan pimpinan kampus bersuara lantang menjerit memberitahu dunia tentang tekanan berterusan yang mereka hadapi," reaksi saya tidak puas hati. "Dan ia menjadi bukti apa yang didakwa transformasi Najib Razak adalah pura-pura belaka. Masyarakat luar langsung tidak tahu, sampai ke peringkat itu HEP menindas PMUKM."

III.


Saya tertarik dengan tulisan kolumnis terkemuka Karim Raslan dalam Sinar Harian dan The Star bahawa parti politik memang  mampu berubah walaupun telah lama memegang tampuk kuasa  tetapi dengan syarat mereka perlu ditewaskan terlebih dahulu, sebelum pembaharuan berlaku.

Beliau  memberi contoh Parti Kongres di India, Parti Demokrat Liberal (LDP) di Jepun dan Parti Revolusi Berinstitusi (PRI) di Mexico. Kongres, parti politik tertua di India, yang dikalahkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1996 kembali dengan kemenangan besar pada 2004 selepas pucuk pimpinannya memodenkan parti itu.


PRI yang memerintah Mexico selama 71 tahun mengamalkan rasuah, salahguna kuasa dan penipuan. Pemenang Anugerah Nobel dari Peru, Mario Vargas Llosa, menyifatkan regim PRI sebagai "diktator sempurna".

Apabila Enrique Pena Nieto, 46 tahun, dipilih sebagai Presiden Mexico pada akhir 2012, selepas partinya, PRI kalah pada tahun 2000, rakyat bimbang mereka akan kembali diseret ke era yang sinonim dengan penyelewengan.

Tetapi Pena Nieto pantas memberi kejutan dan  antara langkah awalnya adalah mengajak parti-parti politik Mexico menandatangani "Pact for Mexico", dokumen yang menjanjikan pembaharuan menyeluruh termasuk ketelusan pengendalian hal-hal kewangan kerajaan tempatan dan  memecahkan monopoli dua syarikat telekomunikasi.

"Kesimpulannya," tulis Karim Raslan, "parti politik boleh berubah dan krap sekali pengalaman pahit berada di bangku pembangkang yang  mencetuskan perubahan positif ini. Terpulanglah kepada teman-teman di sini memikirkannya."

Justeru, mengambil iktibar analisis dibuat Karim Raslah itu, "selamatkanlah" Umno-BN yang memerintah negara sejak merdeka 57 tahun lalu dengan memberi peluangnya berehat, kalaupun tidak terus bersara!

Menilai 5 tahun kepimpinan Ahmad Said

-, 08 Apr 2013



Suasana politik di negeri Terengganu kembali menjadi ‘panas’ dengan pelbagai spekulasi tentang calon dan parti yang akan memacu kepimpinan negeri selepas pilihanraya umum (PRU) akan datang ini. Datuk Seri Ahmad Said telah awal-awal lagi menolak spekulasi dan khabar angin kencang bahawa beliau tidak lagi akan dicalonkan dalam PRU13 ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, berkata; "Takkanlah saya nak serah tanpa bubuh (letak) nama sendiri. Perkara ini tidak logik sebab saya sendiri sudahpun berbincang dengan PM…".

Namun cakap-cakap politik kebanyakan rakyat Terengganu bahawa Ahmad Said akan digugurkan pada PRU ke 13 ini terus bertiup kencang. Mantan Adun Kijal itu telah diberikan mandat untuk memimpin kerajaan negeri sejak lima tahun lalu setelah berlakunya krisis kepimpinan Umno dengan pihak istana bagi melantik menteri besar. Beliau dianggap sebagai mantan menteri besar paling ‘kontroversi’ dalam sejarah Malaysia kerana perlantikan jawatan MB ini.

Rakyat Terengganu kini boleh menilai sendiri 5 tahun pentadbiran Terengganu di bawah kepimpinan beliau. Ramai yang menimbulkan persoalan, apakah beliau akan terus diberikan lagi kepercayaan mentadbir Ganu Kite sekiranya Umno/BN dapat memenangi majoriti kerusi DUN? Bagaimanakah bentuk ‘report card’ beliau sepanjang 5 tahun menjadi MB ini? Adakah beliau patut diberikan markah ‘cemerlang’, ‘lulus’, atau ‘gagal’ untuk pretasi sepanjang pentadbiran beliau ini?  Mari kita amati fakta-fakta di bawah;

1. Negeri Terengganu sepanjang 5 tahun di bawah pentadbiran Ahmad Said, telah melaksanakan ‘perbelanjaan amat luar biasa’. Bajet kerajaan negeri telah mencecah hampir RM10 billion dengan defisit tahunan hampir RM200 juta setiap tahun. Bermula dari tahun 2008, negeri Terengganu telah mencatatkan bajet tertinggi berbanding seluruh negeri di Semananjung Malaysia dengan perbelanjaan lebih RM2 bilion setiap tahun. Perbelanjaan ini jauh mengatasi negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Persoalannya, apakah ini telah memberi manfaat kepada rakyat Terengganu yang rata-rata masih terpaksa bergelut dengan kehidupan harian yang amat mencabar?

2. Antara perbelanjaan yang dilakukan oleh beliau, bermula dari tahun 2009 ribuan warga Terengganu diberikan kotak-kotak kurma dan air zam zam secara percuma yang diedar melalui JKKK setiap kampong. Program ini melibatkan kos berjumlah hampir RM 8 juta setiap tahun dimana kontraknya diberikan kepada kroni. Persoalannya apakah pemberian buah kurma dan air zam zam ini suatu yang wajar sedangkan masih terdapat keutamaan lain seperti membantu golongan miskin di negeri Darul Iman ini. Di kalangan adun-adun UMNO sendiri ada bersungut akan kosnya yang terlalu tinggi dan pembaziran yang ketara.

3. Kerajaan negeri telah membeli stesen Radio Manis FM yang berpengkalan di Kota Bahru berharga RM 7 juta. Stesen radio ini pada asalnya merupakan stesen Radio KADA milik Tan Sri Hussein Ahmad yang diberi lesen radio melalui Husa Network Sdn Bhd. Proses mengambilalih stesen berkenaan telah dilakukan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT) pada pertengahan tahun 2009. Ramai di kalangan rakyat Terengganu mempersoalkan apa rasional kerajaan negeri membeli stesen radio ini, sedangkan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

4. Kerajaan negeri telah  membina projek tempat letak kereta bertingkat menggunakan sistem putaran di Jalan Batas Baru hasil teknologi yang dibawa masuk dari China yang dikatakan yang projek pertama di Malaysia telah menelan belanja hampir RM10 juta. Namun projek ini menimbulkan kesangsian rakyat Terengganu. Apa tidaknya, selain tidak praktikal, kos pembinaannya yang menelan belanja hampir RM10 juta serta kos pengoperasian yang terlalu tinggi sehinggakan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terpaksa menghantar kakitangannya ke negara China bagi menguasai pengendalian operasi sistem itu kelak.

5. Projek Pembangunan Tasik Kenyir yang melibatkan kos lebih RM300 juta dengan perbelanjaan yang  melibatkan pembinaan seperti;
- Taman Anggur – RM 3 juta
- Taman Rambutan – RM2 juta
- Taman Orkid – RM 4 juta
- Pusat Santuari Gajah Sungai Deka – RM40 juta
- Kenyir Water Theme Park – RM80 juta
- Pusat Bebas Cukai – RM80 juta

Bagi projek Taman Burung pula, seekor itik yang diimport dibeli dengan harga  RM1,700 manakala seekor angsa berharga RM5,600. Peruntukkan untuk Taman ini menelan belanja lebih RM6 Juta. Lebih melucukan lagi, sebanyak 5 ekor itik teah mati semasa dalam penjagaan di Kolam rekreasi Rawit, Kenyir. Bukankah lebih baik RM6 juta dibelanjakan untuk rakyat Terengganu  berbanding untuk beberapa ekor itik dan angsa? Siapa sebenarnya yang mendapat habuan daripada projek ini?


6. Taman Rekreasi dan Mini Zoo di Bukit Takal Kemaman yang bernilai hampir RM100 juta dan dikendalikan oleh sebuah syarikat konsultan Global Wildlife Immersion Sdn Bhd, yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Setakat in kerajaan negeri telah berbelanja lebih RM50 juta bagi membeli dan menjaga binatang seperti gajah, harimau, kerbau serta monyet-monyet yang berkeliaran. Persoalannya, mengapa begitu banyak dibelanjakan untuk binatang-binatang ini, sedangkan ianya boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai peluang pekerjaan untuk anak-anak negeri Terengganu.

7. Stadium Sultan Mizan yang runtuh bersama lebih RM300 juta duit rakyat Terengganu. Projek Mega ini adalah hasil warisan bekas mantan Menteri Besar Dato Seri Idris Jusuh, dan telah diserahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk ’Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. yang didatangkan khas dari Korea Selatan. Proses baikpulih yang mengambil masa begitu lama dianggarkan akan menelan belanja lebih RM120 juta.

Namun, persoalan besar yang kini menjadi tanda-tanya semua rakyat Terengganu kini adalah, pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih yang sangat membebankan ini? Ke manakah pula perginya kontraktor-kontraktor kroni yang rapat dengan pimpinan Umno Terengganu setelah mereka mengaut keuntungan  berjuta hasil dari pembinaan Stadium yang runtuh ini? Apakah jumlah keseluruhan RM120 juta ini telah termasuk kos membeli semula kelengkapan stadium yang dianggarkan bernilai RM50 juta yang telah dicuri  pada awal tahun 2012?

8. Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di bina walaupun kosnya telah melambung dari RM2.7 bilion kepada hampir RM5 bilion. Rakyat Terengganu terpaksa menanggung bebanan kenaikan kos yang sangat tinggi bagi menyiapkan projek LPT 2 yang tertangguh ini. Bayangkanlah berapa kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri dengan kelewatan yang berlanjutan dari tahun 2012 kepada tahun 2014? Persoalan besar yang timbul adalah, kenapa projek yang pada asalnya menelan belanja lebih RM2.7 billion ini amat jauh tersasar dari tarikh jangka siap iaitu pada tahun 2010 lagi. Pihak manakah pula yang akan menanggung semua kos tambahan akibat kelewatan yang amat ketara ini?

9. Isu tanah di Kuala Terengganu juga menjadi perbualan semua pihak. Kini satu demi satu tanah dan perkampungan Melayu terhakis dek kerana kerakusan ’pembangunan’ dan tiada perancangan rapi yang dibuat. Lebih malang lagi perkampungan tradisi Melayu satu persatu ’hilang’, dari Kampung Paya Keladi, Kampung Tanjung serta Kampung Ladang yang terus meletakkan orang-orang Melayu  Terengganu ’ibarat menjadi pelarian di bumi sendiri’. Lebih mencabar lagi, kerajaan UMNO amat berani membahagikan-bahagikan tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO menjelang PRU13 ini, sedangkan pada waktu yang sama ribuan lagi rakyat Terengganu yang miskin masih tidak mempunyai sebarang tanah walau sekangkang kera!

10. Kerajaan Terengganu secara senyap-senyap telah menggugurkan saman dan tindakan undang-undang terhadap Petronas bersabit bayaran royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu. Bagaimanapun, hingga kini tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan Persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac tahun 2012.

Jelas, penarikan royalti minyak oleh Kerajaan Pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini. Wang royalti yang merupakan hak rakyat Terengganu ini diletakkan di bawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ dan disalur terus kepada pemimpin Umno negeri. Sepanjang Terengganu di’ehsankan’, mereka telah berbelanja semewah-mewahnya dengan pelbagai projek membazir seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal, pembinaan Stadium yang runtuh serta pelbagai pembaziran lain yang dilakukan.

11. Terbaru, Mantan Menteri Besar  Ahmad Said merancang untuk merobohkan Pasar Payang Kuala Terengganu yang merupakan pasar warisan puluhan tahun orang-orang Melayu berniaga dengan merancang untuk menggantikannya dengan Hotel lima bintang dan kondominium bernilai lebih RM400 juta. Projek ini diserahkan kepada sebuah syarikat bukan bumi yang juga kroni yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Apakah kesemua projek-projek ’pembangunan rakyat’ ini benar-benar untuk kepentingan rakyat atau untuk terus memperkayakan kroni-kroni Umno? Rakyat Terengganu bolehlah menilai sendiri prestasi Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Ternyata prestasi Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar adalah di grade ’F’ atau gagal terus. Kini kuasa adalah ditangan rakyat untuk melakukan perubahan yang besar. Marilah kita sama-sama tiupkan semangat rakyat Terengganu dengan berslogankan ’UBAH TERIK NI, Selamatkan Ganukite’.


*Penulis Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: @syedazman

Tiada ulasan: