Ahad, 9 Januari 2011

ADAT BERPOLITIK HINGGA TAK KISAH MORAL SERTA ADAB SERTA SOPAN...TENTU MEROSAKKAN NAMA BAIK SENDIRI....

'Mohon maaf pada Lim tiada kaitan dengan teguran'
Jan 9, 11 8:00pm


Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang (PKMMPP) hari ini menjelaskan permohonan maaf pada pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan teguran persatuan itu sebelum ini terhadap kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Muhamad Fadzill Hassan berkata permohonan itu dilakukan untuk saling memahami serta memaafkan antara satu sama lain.

"Permohonan maaf saya itu adalah atas kemungkinan terkasar bahasa sebelum ini terhadap kerajaan negeri, itu saja.

"Ini bukan bererti ia ada kaitan dengan teguran saya terhadap kerajaan negeri sebelum ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau tampil membuat kenyataan itu selepas dilaporkan memohon maaf kepada Lim Guan Eng berhubung beberapa teguran persatuan tersebut terhadap kerajaan negeri, termasuk isu pemberian kontrak kepada kontraktor bumiputera.

Muhamad Fadzill berkata pertemuan itu jemputan ketua menteri bagi menyelesaikan isu 46 kontraktor Melayu di negeri tersebut yang didakwa kroni Umno.

"Dakwaan kerajaan negeri bahawa kontraktor terbabit adalah kroni Umno tidak tepat kerana terdapat kontraktor yang disenaraikan itu bukan anggota Umno," katanya.

Dalam pertemuan Jumaat lepas, beliau berkata Lim telah bersetuju bahawa masalah membabitkan kontraktor berkenaan dianggap selesai.

"Selaku pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kontraktor Melayu Pulau Pinang, PKMMPP mengambil langkah bertemu kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah 46 kontraktor tersebut bagi membela nasib mereka," katanya.

- Bernama



Penduduk bakar patung ADUN Sri Muda
Jan 9, 11 7:51pm


Kira-kira 300 penduduk Kampung Jalan Kebun di Klang hari ini mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah tindakan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie yang didakwa mengeluarkan
kenyataan biadap terhadap Sultan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan memutarbelit titah ucapan baginda.

Mereka menuntut Shuhaimi agar segera memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dan meletakkan jawatannya sebagai ADUN.

Sambil melaungkan 'Daulat Tuanku' dan menyanyikan lagu 'Selamat Tuanku', penduduk kampung terbabit turut bertindak membakar poster Shuhaimi bagi menggambarkan kemarahan mereka.

"Kami berasa malu dengan tindakan Shuhaimi kerana sebagai orang Melayu dan juga ADUN, beliau tergamak berbuat demikian kepada Sultan Selangor serta sanggup dipergunakan oleh orang lain demi kepentingan politik peribadi," kata ahli Jawatankuasa Penduduk kampung itu Buang Abdul Basir kepada pemberita.

Shuhaimi dalam blognya baru-baru ini didakwa berkata bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak perlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Umno bahagian Kota Raja, Kamal Ariffin Kaimin yang turut menyertai demonstrasi itu berkata penduduk kampung juga kesal dengan tindakan Abdul Khalid yang sanggup memutar-belitkan titah ucapan Sultan Selangor baru-baru ini mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru.

- Bernama


Isu SUK: Cubaan keruh hubungan MB-istana, kata Ibrahim
Jan 9, 11 7:20pm


Isu penolakan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi bagi jawatan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) Selangor dilihat sebagai satu usaha pihak tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan antara Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan istana, kata ahli parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Menurutnya, Khalid tentunya tidak mahu pening kepala dengan isu berkenaan apatah lagi mahu bermasalah dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Tetapi saya lihat ada pihak yang cuba mengeruhkan suasana ini dengan bertindak umpama baling batu sembunyikan tangan dalam isu-isu tertentu.

"Kesungguhan MB (Khalid) menolak Khusrin jelas ada dalang di belakangnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Ibrahim, yang juga presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), berkata setakat ini Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak bersuara dalam media, tetapi bukannya bermakna mereka tidak berperanan.

"Tapi apa MB boleh buat. Dia ikut sahaja dalang di sebalik isu ini. Isu ini tidak menguntungkan beliau (Khalid) malah merugikannya. Matlamat utama ialah bermulanya pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor," katanya.

Anwar, yang juga adalah penasihat ekonomi Selangor manakala Azmin adalah ADUN Selangor kawasan Bukit Antarabangsa, merangkap pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor.

Ibrahim berkata dalam isu ini, satu analisa politik perlu dibuat dengan tepat kerana untuk meminda undang-undang, sebanyak 2/3 majoriti atau 37 kerusi diperlukan sedangkan kerajaan Selangor sekarang hanya mempunyai 35 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhannya.

Sementara itu, bekas ADUN Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom mendakwa isu ini disengajakan oleh satu gerakan dalaman PKR sendiri untuk menghilangkan keyakinan sultan dan rakyat kepada peribadi dan kepimpinan seterusnya kewibawaan Khalid.

Beliau berkata PKR seolah-olah sengaja membiarkan malah menggalakkan Khalid terus membuat kesilapan demi kesilapan yang dianggap besar sehingga sanggup mempertikaikan perkenan Tuanku Sultan.

"Ini menyebabkan segala tindak tanduk sebagai seorang MB tidak mendapat keyakinan dan restu Sultan.

"Akibatnya bila isu menjadi semakin besar, kemungkinan besar Sultan akan mengeluarkan titah bahawa Tuanku tidak dapat bekerjasama dengan Khalid dan akan menggantikan dengan muka baru untuk menjadi MB," katanya yang dipetik dari kenyataan di sebuah blog hari ini.

Zainal Abidin berkata beliau melihat dan meramalkan tindakan Khalid meneruskan sidang DUN tanpa perkenan Sultan Selangor tanpa kehadiran SUK baru yang dilantik akan memberikan kesan negatif hingga boleh mengakibatkan sidang tidak sah.

Katanya, gerakan menolak dan mengetepikan Khalid sebagai pemimpin PKR yang berwibawa seterusnya sebagai menteri besar telah telah lama dirancang oleh pemimpin dalaman PKR sendiri.

Beliau berkata sandiwara PKR untuk mengetepikan Khalid juga dapat dilihat melalui keputusan Anwar melantik Azmin mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor yang pada mulanya dipegang oleh Khalid tahun lepas.

Bernama

Pertemuan cetus spekulasi p'raya mengejut
Jan 9, 11 1:04pm


Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ahli parlimen BN semalam, mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pilihan umum mengejut diadakan tahun ini.

Najib, yang merupakan pengerusi BN tidak perlu memanggil pilihan raya umum sehingga 2013, tetapi siri kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, telah memanaskan spekulasi tersebut.

Beliau yang menjadi perdana menteri pada 2009 selepas BN kalah teruk pada 2008 sehingga memaksa penyandang sebelum ini bersara awal, menolak tanggapan tersebut.

Sebaliknya beliau berkata, pertemuannya dengan 112 ahli parlimen BN itu difokuskan pada usaha untuk mengukuhkan BN, yang selepas setengah abad berkuasa, dilanda reputasi sebagai korup dan tidak berkesan.

"Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik. Pilihan raya itu sebahagian dariapda apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat," katanya dalam laporan New Straits Times.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen yang ditemui selepas pertemuan dengan perdana menteri dalam kumpulan tiga orang untuk melaporkan kemajuan di kawasan masing-masing berkata, mereka percaya ia
merupakan persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

"Beliau mahu menyelesaikan semua isu sebelum pilihan raya diadakan. Mungkin beliau akan memanggil pilihan raya mengejut," kata Datuk Nur Jazlan Mohamed, demikian menurut laporan the Star.

AFP


Pak Lah perjelas kenyataan tentang dakwaan rogol
Jan 9, 11 7:39pm


Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menjelaskan bahawa beliau hanya membuat kenyataan berhubung dakwaan rogol terhadap seorang menteri semalam, kerana beliau hanya baru mengetahui mengenai dakwaan itu.

Katanya beliau tidak berkata apa-apa sebelum ini kerana tidak dimaklumkan mengenai dakwaan itu.

Abdullah berkata beliau memberi maklum balas semalam kerana media bertanya mengenai dakwaan itu yang tersiar dalam beberapa laman blog yang mendakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah merogol bekas pembantu rumahnya pada 2007.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak menyatakan perkara-perkara lain dan mahu menghindarkan diri daripada rujukan-rujukan lain dalam laporan awal yang memetik beliau berhubung dakwaan itu.

Jumaat lalu, bekas pembantu rumah Rais menafikan dakwaan rogol itu.


Bernama

Tiada ulasan: